ADSENSE

Isnin, 30 Disember 2013

Ikan Layar Masak Lada Hitam

Walaupun dah mulakan tugas hari ini, sebagai ibu daku tetap mengutamakan isi perut keluarga kecilku... ecewaaaahhhhh! Padahal tengahari tadi perut masuk angin sebab lambat makan dan terpaksalah Encik Suami belikan makanan! He hehheee.... ini gara-gara kisah malam tadi, sepanjang malam Firdaus tak tidur, asyik meragam menyusu badan sampai ke pagi... alasannya sebab giginya dah nak keluar! Bangun pagi terlewat pulak... terus siap bergegas pergi ke sekolah sebab mengurus pendaftaran pelajar tingkatan 4. Itu yang tak sempat sarapan pagi, bertugas  hingga lewat pukul 12 tengahari!
Wokey... kita lihat hasil air tangan ibu yang sering kelam-kabut hidupnya ni... Amie sediakan Ikan Layar Masak Lada Hitam.


Biasanya Amie masak ikut cara MIL, bubuh lada putih yang memang menjadi kegemaran keluarga, tapi kali ini Amie cuba gunakan campuran lada putih dengan lada hitam pula. Sesekali menderhaka apa salahnya kan... bukan apa, kita mempelbagaikan resepi. Kalau tak cuba mana kita tahu sedap tidaknya. Apa pun masakan MIL memang tidak dapat Amie tandingi, terutama rasa lada putihnya... MIL bubuh banyak, mungkin sebab MIL ada pokok lada putih di belakang rumah kot!



Kepada sesiapa yang belum pernah melihat ikan layar, Amie paparkan kepingan ikan ini di atas. Nampak tak berapa segar sebab Amie dah simpan beberapa hari dalam peti sejuk. Sekarang memang susah nak dapat ikan layar di pasaran, dan kalau kami jumpa pun barangkali dalam setahun hanya sekali atau dua kali saja! Bagi sesiapa yang pernah baca entri Amie sebelum ini tentang hidangan ikan layar ini, sudah tentunya boleh membayangkan betapa besarnya ikan yang boleh mencecah sehingga 90kg seekor dan panjangnya boleh melebihi 3 meter!




Sisiknya agak unik... kena cungkil sedikit kulitnya, dan akan kelihatanlah sisiknya yang berbentuk runcing seperti di atas. Semakin ke bahagian perut ikan sisiknya semakin tajam dan panjang seperti jarum.

Resepi : Ikan Layar Masak Lada Hitam
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 keping ikan layar seberat 1kg - bersihkan dan potong ikut citarasa
1 sudu makan pati asam jawa - bancuh dengan secawan air
3 sudu makan sos lada hitam
1 sudu makan kicap pekat
1 labu bawang besar - mayang kasar
1/2 cawan minyak
1 sudu teh lada putih tumbuk
1 sudu makan lada hitam tumbuk
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
2 inci halia
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk  dan bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan ikan layar dan gaul seketika sehingga ikan berubah warna atau kelihatan layu.
3. Tambahkan sos lada hitam, kicap pekat,  bancuhan air asam jawa dan lada hitam serta lada putih tumbuk. Biarkan sehingga ikan masak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.



Tumisan nampak kekuningan, bukan disebabkan Amie bubuh kunyit tapi Amie gunakan minyak masak Carotino.



Habis licin dah!

Ahad, 29 Disember 2013

Pucuk Timun Jepun Masak Lemak

Pernah makan sayur pucuk timun Jepun? Entah betul entah tidak namanya begitu.... Amie ikut sajalah seperti apa yang disebut oleh penduduk setempat. Kakak ipar Amie suka beli sayur ini sekiranya melalui Kundasang, jadi dapatlah kami seikat dengan sayur-sayuran yang lain. Biasanya sayur ini ditumis begitu saja tapi kali ini Amie cuba masak lemak pula.



Amie bubuh hirisan daging sebagai perencah. Boleh gunakan udang kering ke, udang basah ke, sotong atau ikan bilis dan juga belacan kalau tak mahu gunakan daging. Kalau suka pedas bolehlah bubuh cili padi  atau cili merah lebih sikit.  Di bawah ini, beginilah rupa pucuk timun Jepun tu.


Resepi : Pucuk Timun Jepun Masak Lemak
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ikat pucuk timun Jepun - petik pucuknya yang lembut mengikut panjang yang diingini
400 ml santan pekat
2/3 cawan hirisan daging
sedikit minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
15 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
sedikit belacan


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
2. Masukkan daging dan gaul sebati. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air dan biarkan masak sampai empuk.
3. Masukkan pucuk timun Jepun, dan gaul rata sehingga daun layu.
4. Tambahkan santan pekat, garam & perasa pilihan.
5. Masak sehingga kuah santan mendidih, dan kacau sekali-sekala supaya tidak pecah santan.

Sabtu, 28 Disember 2013

Asam Pedas Ikan Merah

Selamat berhujung minggu buat semua.
Hari ini Amie menghadiri mesyuarat akhir tahun di sekolah. Minggu hadapan, Isnin pendaftaran Tingkatan 4 diadakan, manakala hari Selasa pula program orientasi Tingkatan 1 pula akan berjalan. Rabu, cuti sempena Tahun Baharu 2014 dan sesi persekolahan dibuka dengan rasminya pada hari Khamis, 2 Januari 2014.
Mmmmmm..... kita cerita masak-masak yok! Kalau ada yang perasan akhir-akhir ini masuk saja dapur Amie, asyik dihidangkan dengan lauk-pauk saja! Kalau berjenis-jenis tak apalah juga, ini balik-balik menu ikan! He heheheh... anak-anak memang tak berapa gemar makan ikan, tapi Amie hidangkan juga dengan mempelbagaikan resepi & cara masak. Alhamdulillah habis licin pula setiap kali kami makan. Untuk anak-anak kami, nanti bila sudah duduk berjauhan, bekerja atau sudah berumahtangga, kalau rindu air tangan Mummy terutamanya menu ikan, bolehlah buka dapur Mummy ini. Inilah saja kenang-kenangan terindah yang mampu kami titipkan buat kamu di masa akan datang.


Sebenarnya Amie sedang menunggu kepulangan Encik Suami untuk makan malam bersama tapi sudah masuk waktu Isya' belum muncul kelibatnya lagi. Petang tadi selepas minum petang dan menikmati cempedak goreng,  Encik Suami bersama Fuad ke kampung untuk mengambil Firdaus dan Fairuz. Sementara menunggu, Amie ambil kesempatan ini untuk berkongsi resepi Adam Pedas Ikan Merah. Kali ini Amie masak ringkas sekali. Amie hanya gunakan bahan asas untuk menghasilkan asam pedas. Ikannya pula, Amie ambil bahagian kepala, ekor dan 2 keping bahagian isi.


Resepi : Asam Pedas Ikan Merah

Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
5 keping ikan merah
10 biji kacang bendi - potong bahagian tampuk dan ekor
1 batang serai - dititik
1 kuntum bunga kantan - belah 4
2 keping asam gelugur
2 cawan air
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
30 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2cm halia
5cm kunyit hidup
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, bunga kantan, asam gelugur dan air. Biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan merah dan biarkan masak selama 5-7 minit - jangan masak terlalu lama sebab isi ikan merah lembut
4. Masukkan kacang bendi dan biarkan seketika sehingga kacang bendi berubah warna.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.


Sebenarnya tak sabar nak makan... perut pun dah mula berkeroncong tapi kena tunggu kejap lagi aaahh...

Jumaat, 27 Disember 2013

Ikan Masak Cuka

Selalunya kalau nak hidangkan menu Ikan Masak Cuka, Amie gunakan ikan tengiri tapi kali ini Amie gunakan ikan gerut-gerut pula. Anak-anak suka kuahnya yang masam-masam manis ala-ala acar gitu....


Macam-macam cara orang masak ikan bercuka ni. Ada yang bubuh rempah dan sebagainya. Amie gunakan sajalah mana bahan yang ada di dapur. Yang penting ada bahan asasnya seperti cuka dan bawang serta gula.

Resepi : Ikan Masak Cuka
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 ekor ikan gerut-gerut seberat 1kg (ikan lain pun boleh terutama ikan tenggiri) - bersihkan, lumur dengan sedikit garam dan kunyit, goreng hingga masak - ketepikan
1 cawan hirisan timun
1 labu bawang besar - belah 6
10 biji bawang merah - kupas dan belah tengah jangan sampai putus
10 biji bawang putih - jika ulas besar belah 2
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh serbuk kunyit
1 biji cili merah - belah 2
3 biji cili hijau - belah 2
3 sudu makan cuka
3 sudu makan gula pasir
1sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
1 cawan air


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan masukkan biji sawi. Goreng sebentar.
2. Masukkan bawang besar, bawang merah, bawang putih dan cili merah serta cili hijau. Kacau seketika.
3. Masukkan hirisan timun, serbuk kunyit dan air. Biarkan mendidih sebentar.
4. Tambahkan cuka, gula, dan perencah MAGGI Cukup Rasa.
5. Masukkan ikan dan balik-balikkan beberapa kali sehingga kuah agak pekat.
6. Padamkan api dapur.


Ikan gerut-gerut ni kepalanya saja yang besar, tapi isinya sedap. Kalau terlebih rajin Amie suka masak sambal atau masak sos 3 rasa!

Sup Kepala Ikan

Ini Sup Kepala Ikan yang Amie masak dua hari lepas.Kalau terlepas pandang memang tersimpan sajalah dalam folder sampai bila-bila. Cara masaknya sama saja seperti Sup Ikan Siakap DI SINI, cuma Amie tak bubuh cendawan shiitake & tomato. Masak saja apa yang ada memandangkan waktu itu Firdaus sedang demam dan asyik minta didukung. Bila dah siap masak baru teringat tak ada daun sup... nak minta Encik Suami beli di kedai, rasa kasihan pulak tengok keletihan tak tidur semalaman bergilir-gilir jaga Firdaus.

Orang di sini panggil ikan ini ikan putih, tapi bila masak kepalanya yang besar tu... kulitnya warna hitam pulak. Kalau nak masak bahagian kepalanya kena lama sikit supaya kulitnya jadi lembut berbanding masak bahagian isi.


Resepi : Sup Kepala Ikan
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1.5kg kepala ikan  -  Amie gunakan kepala ikan putih siap dipotong 6 keping
1 keping asam gelugur
sedikit minyak 
1 sudu lada putih - tumbuk
1000ml air (1 liter)
garam / perasa pilihan 

Bahan tumbuk:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 biji cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Bahan hiasan:
hirisan daun sup & daun bawang
bawang goreng



Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng rempah penumis hingga wangi.
2. Masukkan bahan tumbuk dan goreng hingga garing.
3. Tambahkan air, dan biarkan mendidih.
4. Masukkan kepala ikan, asam keping dan biarkan masak di antara 12 - 15 minit.
5. Masukkan lada putih, garam /perasa pilihan dan juga tomato.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan segera dengan taburan daun bawang / sup hiris dan juga bawang goreng.



Ada dua keping bahagian mata.... satu untuk Encik Suami dan satu untuk Amie. Waktu kami makan Fairuz & Fuad tiada bersama... masih bercuti bersama sepupu-sepupunya.

Khamis, 26 Disember 2013

Nasi Goreng Pedas Petai & Kopi Tenom

Pagi ini Encik Suami lewat sedikit pergi kerja. Kami berganti-ganti urus Firdaus. Maklumlah.... bila demam begini, manjanya bukan main lagi.
Bila Amie ke dapur terbau bawang! Rupanya Encik Suami sedang potong bawang besar. Katanya nak buat nasi goreng. Baru Amie teringat ada lebihan nasi, sebab Fuad & Fairuz tidak makan di rumah malam tadi. Dua-duanya bersama sepupu mereka tidur di rumah kakak ipar.


Amie ambil alih pisau dari tangan Encik Suami. Encik Suami pula yang dukung Firdaus. Pesan Encik Suami, buatkan secawan kopi untuknya. Diingatkannya lagi.... gunakan Kopi Tenom! Maklumlah kalau bab sedia sarapan ni memang Amie jarang buat sebab Encik Suami jarang bersarapan di rumah kecuali kalau hari-hari cuti. 


Ini Kopi Tenom... dari daerah Tenom, Sabah. Gunakan satu paket untuk 200 ml air panas. Rendam je bungkusan beberapa minit, tak payah bubuh gula.



Resepi : Nasi Goreng Petai
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 cawan nasi putih
20 biji petai
7 ekor sotong cumi (sotong kecil) - bersihkan dan potong 2
1 cawan hirisan kobis
2 sudu makan sambal belacan
7 biji cili padi - hiris
perencah MAGGI Cukup Rasa secukupnya
minyak

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 genggam udang kering (renda hingga kembang dan toskan)

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan sambal belacan dan goreng lagi hingga sebati.
3. Tambahkan sotong, petai dan hirisan kobis. Gaul lagi.
4. Masukkan nasi putih. 
5. Kacau rata. Masukkan hirisan cili padi dan perasakan dengan perencah MAGGI Cukup Rasa.
6. Angkat dan hidangkan.



Sudahlah nasi goreng pedaaaassss...... ditambah pulak dengan kopi panas! Memang terangkat beb!



Pagi tadi Encik Suami terpaksa bantu Amie siapkan bujang kecik Firdaus. Dah siap mandi, makan bubur, menyusu dan makan ubat, barulah Encik Suami keluar pergi kerja. Sempat lagi Firdaus bye bye.... Encik Suami di depan pintu pagar.


Dukung Firdaus ambil vitamin D dari matahari pagi, tapi bila dia longgarkan kakinya nak gelongsor turun ke tanah Amie cepat-cepat bawa masuk ke dalam rumah. Layan main-main sekejap dah mula nampak layu matanya. Amie bagi susu cap gantung dan terus matanya lelap.... nampak lena sekali tidurnya. Moga cepat sembuh ye sayang Mummy.


Rabu, 25 Disember 2013

Bila Firdaus Demam Panas....

Petang kelmarin Encik Suami terus pecut kereta dari Tawau ke Lahad Datu bila kakak ipar telefon bagi tau Firdaus panas badan. Katanya... selepas Amie telefon pada malam Isnin, sejam kemudian Firdaus diam saja, dan kemudian badannya agak hangat. Kami pun rasa tak sedap hati sepanjang perjalanan.
Dah bawa ke klinik pukul 8 malam semalam. Doktor kata demam biasa dan bagi ubat demam. Pukul 4 pagi tiba-tiba panas mendadak sampai menggigil, menangis dan tersentap-sentap badannya.... 
Kata Encik Suami : Ini tak boleh jadi. Kena bawak lari ke hospital sekarang juhak!


Baru keluar dari emergency ward.... syukurlah setelah masuk ubat, mandikan, dan ambil suhu badan sekali lagi, turun darjah kepanasannya dari 38.7'C kepada 37'C!



Melepas rindu.... Tak mahu lepas dari dukungan Mummy & Baba. Siannya sayang Mummy... adakah sebab demam kerana rindu kena tinggal? Atau nak tumbuh gigi... 

Isnin, 23 Disember 2013

Jalan-Jalan Cari Makan di Restoran Sri Titingan Seafood Tawau

Akhirnya... sampailah kami ke Restoran Sri Titingan yang terkenal dengan hidangan makanan lautnya! Sayangnya, kami terpaksa menunggu giliran kerana tidak ada lagi tempat kosong walaupun ruangan makan melimpah keluar sehingga ke jalan! Rupanya... kena tempah lebih awal untuk dapatkan meja. Kali terakhir Amie datang tahun lepas tapi suasananya tidak begini... penuh sesak dengan pelanggan!


Jom layan hidangan yang kami pesan... Kami memilih seekor Ikan Siakap Masak 3 Rasa dan seekor Ikan Putih Masak Asam Pedas. Kedua-dua ekor dipotong dua menjadikan kesemuanya 4 pinggan memandangkan jumlah kami seramai 13! Jadi senang nak capai bila ada di depan mata.


Laparkah sudah kau Martha....



Ini Sotong Goreng, juga 2 piring.



Sup Sirip juga 2 mangkuk  besar.



Ketam, 2 pinggan... 


Sabar menanti hidangan yang dipesan sampai ke meja... Vivianey, Suan & Zaiton.



Apahal pulak kawan satu ni Si Azlan Chungan sampai terjuling-juling.... 



Sampai lagi hidangan lain... Udang Goreng Mangga.



Sayur... he heheh Vivianey pesan lain, lain bentuk yang sampai... juga 2 pinggan. Tukang masak pun dah pening kot... banyak sangat nak layan order!



Wokeh.... kejap lagi sampailah semua hidangan yang dipesan. Azlan pun dah okey... dah hilang julingnya. Relax saja kawan sebelah tu... Majit & Alias.



Butter Prawn  pun sampai... tapi nampaknya hilang aksesori... daun kari & cili padi yilek.



Haaaa.... ada lagi tambahan, Vivianey order Ayam Mask Thai...



Sesi ratah meratah.... nyum nyummmm! Oh yaaaa... yang dihujung itu... Selamat Pengantin Baru Habibi & wife! Masih kelihatan inai di jari!



Sesi menjmu selera pun beraakhir....  Laili sudah naik jempol!


Bil sampai ke meja...



Semuanya RM265.25 sen.... 13 orang makan!
Murah tau makan di sini...



Kepada sesiapa yang pertama kali berkunjung ke Tawau, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan laut segar di Restoran Sri Titingan yang terletak di Batu 2, Jalan Apas. Sesiapa yang berminat untuk menjamu selera cara steamboat pun boleh makan di sini. Harga? Sangat berpatutan: Dewasa RM20, Kanak-kanak Bawah 12 tahun RM10 dan Kanak-kanak bawah 5 tahun.... free!!!!





Ahad, 22 Disember 2013

Jalan-Jalan Cari Makan - Shervinton Hotel, Tawau

Petang tadi dah pakat dengan kawan-kawan nak dinner 'seafood'. Janjinya pukul 7 malam berkumpul di King Park Hotel, memandangkan tempat penginapan kami tidak sama. Amie di Shervinton Hotel, Martha Chia pula di Heritage Hotel. Selesai solat Maghrib, Amie pun bersiap-siap untuk turun ke lobby sebab Martha dah janji tunggu pukul 6.50. Tiba-tiba dapat mesej dari ketua kami: Jam 7.30 malam ya, bukan 7.00.


Adeeeeehhhh.... perutku sudah terasa pedih... berkeroncong! Jom layan gambar-gambar atas bawah ini sementara menunggu pukul 7.30 malam!


Tempat penginapan Amie di Shervinton Hotel. Kami suka pilih hotel ini disebabkan beberapa faktor. Sayangnya setiap kali datang ke sini, bilik dah penuh.... walaupun dah tempah, kena tunggu sampai petang! Akhirnya dapatlah bilik macam ni... 



Selain luas....


lengkap!


Nak sterika pakaian pun senang sebab sudah disediakan sterika dengan mejanya sekali. Tak payah minta lagi kalau nak guna.



Petang kelmarin Encik Suami hantar Amie ke Tawau. Satu malam saja dia temankan Amie di hotel ini. Pagi tadi selepas hantar Amie ke tempat mesyuarat, Encik Suami terus pulang ke Lahad Datu. Jadi malam ini Amie keseorangan. 


Malam semalam kami berdua makan di gerai tepi pantai. Nampaknya Encik Suamilah yang rasa seronok sangat. Katanya, dah lama tak berdua-duaann... hahahahahhh! Kami pesan sayap ayam panggang... 5 ketul je, takut tak habis. Tiba-tiba teringat anak-anak, dan rasa betapa seronoknya melihat anak-anak makan rebut-rebut macam tak pernah makan!


Laici kang tu Amie punya, Encik Suami punya air kelapa di belakang laici kang tu.



Pesanan lain termasukah tomyam campur semangkuk.



Dan Butter Prawn.... yang Amie dah feed-up nak buat sebab sarang telurnya tak pernah menjadi!



.... dan sayur cangkuk manis. Makanlah kami berdua dengan nasi putih dan lauk-pauk yang dipilih di atas sampai kenyang sambil menikmati tiupan angin malam dari arah pantai. 
Harga kesemua makanan yang dipesan : RM62.50....