ADSENSE

Sabtu, 30 November 2013

Singgang Serani Ikan Che Mat Gebu Memang Malatoooops!!!!

Entah kali yang keberapa daku mencuba resepi olahan Che Mat Gebu dari DAPUR TANPA SEMPADAN beliau. Semuanya tidak menghampakan! Kebanyakan resepinya mudah dan ringkas, tetapi keenakannya usah dipertikaikan! Terima kasih... terima kasih Che Mat di atas segala perkongsian menu dan resepi yang tidak pernah jemu dicuba dan diulangi seperti Singgang Serani di bawah ini.....


Dulu Amie masak Singgang Serani Ikan Tongkol dari dapur Che Mat juga, dan hari ini sekali lagi Amie mengulanginya. Sebab.... sebab sedaaaap!


Sesungguhnya Amie menderhaka dengan menukarkan ikan tongkol kepada ikan di atas dan di bawah ini.... yang Amie sendiri tidak tahu apa namanya! Kami beli di pasar seberat 1.5kg untuk 2 ekor. Kami sangat suka ikan ini tapi sampai sekarang tak pasti namanya yang sebenar. Antara ikan atas dan ikan bawah sebenarnya ada perbezaan dari rupa bentuk dan warnanya, tapi seperti kebiasaanya Amie anggap ia jenis ikan dari keluarga yang sama.



Wokeeeehhh.... Singgang Serani Ikan (tak tahu nama), sudah siap! Kuahnya pun kuning berlenang-lenang bergenang dalam mangkuk. 



Che Mat Gebu gunakan kunyit hidup tau... jadi Amie pun koreklah kunyit hidup di pasar!



Kalau nak rasa yang sedap... jangan suka menderhaka bab bahan ramuannya ye... kunyit hidup ni aromanya berbeza dengan kunyit serbuk tau. Ia lebih semerbak dan segar.



Lepas tu ada lengkuas.... maaf, lengkuas yang Amie paparkan di atas tu tak berapa lawa.... tapi sekurang-kurangnya boleh beri gambaran apa itu lengkuas buat adik-adik yang baru berkenalan dengan dunia masakan.



Jangan lupa halia, serai... cili padi semua tu!



Che Mat guna cili padi kampung...... campur hijau merah, gambar kat atas tu cili padi kampung ke...  ambik 10 biji je, 5 biji hijau 5 biji merah ha hahahah.



Dan tomato.



Ooooops! Jangan lupa lada hitam.... 1 camca teh saja.



Resepinya? Che Mat... minta izin panjangkan di sini sekali lagi ye!

Resepi Asal: Singgang Serani Ikan Tongkol

Bahan-bahan:
1 ekor ikan tongkol saiz sederhana, kerat 4 - 5 bahagian, cuci dan toskan
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
2 batang serai, dititik
2 keping asam gelugor
1 kiub pati ikan bilis
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup, untuk hiasan

Bahan-bahan tumbuk lumat:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
1 camca teh lada hitam biji
10 biji cili padi kampung (cm campur hijau dan merah)

Cara Membuatnya:
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 3 camca besar), tumis serai dan bahan tumbuk lumat hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan). Kacau rata dan biar mendidih.
  2. Masukkan kiub ikan bilis dan asam gelugor. Kacau dan masukkan ikan. Biar mendidih hingga ikan masak. Tambah garam secukup rasa dan masukkan tomato. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas bersama nasi putih.

Daging Lembu Masak Asam Pedas

Alhamdulillah! Hari ini Sabtu yang nyaman.... dingin & mendung! Matahari pun nampak suram ditutup awan kelabu. Tapi di dapur tetap beroperasi seperti biasa. Menjelang tengahari, sudah siap satu hidangan istimewa dari Negeri Melaka Bandar Bersejarah!


Oh! Daging Lembu Masak Asam Pedas yang masih berasap!



Dengan kuah pedasnya yang berlinang-linang! Biasanya masakan asam pedas orang gunakan daun kesum dan bunga kantan, tapi resepi ini gunakan daun limau purut!



Amie patuh segala arahan dalam resepi.... ada kunyit hidup, serai serta....


lengkuas dan daun limau purut!


Resepi : Daging Lembu Masak Asam Pedas
Sumber : Masakan Tradisi Melayu Melaka - Norbi Husin

Bahan-bahan:
1/2 kg daging lembu tetel
sekepal asam jawa - ambil airnya 2 mangkuk
10 helai daun limau purut
2 batang serai - dititik
garam secukup rasa
1 inci lengkuas - dititik

Bahan untuk menumis - dihiris
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 camca halba
1/2 cawan minyak masak

Bahan giling lumat:
20 tangkai lada kering
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 camca besar jintan manis
1/2 camca besar jintan hitam
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

Cara Memasak:
1. Bersihkan daging, toskan.
2. Pijarkan minyak, masukkan halba, biarkan beberapa saat, kemudian tumis bawang yang dihiris. Kacau hingga wangi.
3. Masukkan bahan giling, masak hingga garing. Masukkan daging, lengkuas dan serai. Masak sehingga daging empuk. Jika perlu, tambah sedikit air. Tutup periuk.
4. Setelah daging empuk, masukkan air asam jawa, garam dan daun limau purut. Biarkan hingga kuah mendidih.


Jemput... jemput.... bawa pinggan & nasi masing-masing .... Bismillah.

Jumaat, 29 November 2013

Sambal Tomato

Musim cuti sekolah sekarang ini memang anak-anak berulang alik masuk ke dapur mencari apa yang boleh dimakan. Tambah pula musim hujan begini, perut pun memanglah cepat terasa lapar. Kadang-kadang kalau datang rajin Fuad & Fairuz masak sendiri apa yang boleh dimasak. Eloklah begitu kaaaannn.... masak makanan sendiri, dan tak perlu keluar membeli makanan di gerai atau makanan segera! Dah tuuu... apa pulak kaitan mukadimah di atas dengan Sambal Tomato yang hendak Amie kongsikan ini?


Sesungguhnya Sambal Tomato boleh dicicah dengan apa saja makanan yang sesuai.... alahai anak-anak kami makan keropok pun cicah dengan Sambal Tomato tau! Tak semestinya tunggu ada kuih cucur,  pisang, sukun, ubi keladi atau keledek rebus & goreng baru boleh cicah. Jadinya, memang banyaklah gunanya Sambal Tomato, selain untuk cicah dengan ikan bakar! Memandangkan banyak kegunaannya terutama di musim cuti sekolah ini, Amie pun berkira-kiralah nak buat lebih sikit.... lebihnya boleh simpan untuk esok atau lusa. Tak basi pun.... kalau takut basi, simpan dalam peti sejuk, nak makan bolehlah panaskan semula.


Sambal Tomato Amie kali ini nampak kehijau-hijauan sedikit sebab Amie tidak gunakan cili merah & tomato merah sepenuhnya macam selalu! Kalau anda nak sambal jadi warna merah... gunakan semua cili & tomato merah ye! Kali ini Amie sengaja buat begini sebab nak habiskan stok lada hijau tuu...


Amie gunakan cili padi minyak (betul ke namanya tu - sebab rasanya tak berapa pedas macam cili padi burung tu!) sebab tak mahu rasa sambal yang terlalu pedas!


Dan.... gunakan tomato kampung! Alaaa... gunakan tomato bandar pun boleh apa... tak jadi masalah. Ni saja je.... sebab ada tomato kampung.


Bubuh udang kering kisar.... tapi Sambal Tomato jadi seperti dibawah ni.... ada bintik-bintik hitam laaaa...



Sebab apa.... sebab Amie tambah udang geragau! Nampak tak mata udang geragau yang hitam tu... rupanya mata udang ni tak makan saman masuk pengisar tau! Degil sungguh dia... tak mau hancur!



Lagi pun memang Amie tak mau kisar sampai hancur lunyai pun.... sebab nak masak lama sikit, jadi kononnya biarlah lebur semasa direnih.... ha ahahah bunyi macam nak masak sup pulak! Amie campur dua jenis udang geragau.... yang atas tu jenis halus sikit & warnanya agak merah. Yang bawah ni agak kasar sikit, dan warnanya putih sikit.



Rasanya? Kalau dah namanya udang geragau tu... sama je laaaa.


Amie tambah 3 keping asam gelugur sebab nak rasa Sambal Tomato tu masam sikit. Tak bubuh pun tak apa, sebab dah ada rasa asam-asam tomato.


Dan, gula Melaka...  sukatan ikut suka nak manis ke nak tak berapa manis. Wadeeehhhh...wadeedeeehhh... jom tengok resepinya:

Resepi : Sambal Tomato
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1/2 kg buah tomato - cincang
2 biji bawang besar - cincang
2 batang serai - dititik
3 keping asam gelugur
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
minyak

Bahan kisar :
5 biji cili merah
1 cawan cili padi
10 biji bawang putih
2 inci belacan
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1 cawan udang geragau - bilas

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya dan masukkan kesemua bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
2. Masukkan serai, asam gelugur, bawang besar da tomato. Gaul rata.
3. Perlahankan api dapur, dam biarkan sambal mendidih sehingga tomato dan bawang besar hancur.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.


Sukatan dalam resepi di atas menghasilkan Sambal Tomato yang agak banyak. Jika anda ingin mencubanya, ikutlah sukatan masing-masing. Apa pun Sambal Tomato ini memang sedap, jadi pastikan janganlah buat seco'et je... buatlah lebih-lebih sikit! Tak habis, boleh simpan...


Asam Rebus Ikan Sardin dengan Daun Kemangi

Dah siap hidangan untuk tengahari ini? Sementara menunggu daging lembut (Amie sedang rendam daging di sinki, tapi belum pasti nak masak apa), Amie paparkan lauk kami kelmarin. Ringkas je hidangan kami... main rebus-rebus je.


Amie masak Asam Rebus Ikan Sardin dengan Daun Kemangi.


Agaknya ikan sardin ini jenis yang bersaiz besar sebab satu ekor beratnya hampir 1kg. Betul ke namanya ikan sardin sebab bila tanya penjual ikan, dia kata ikan sardin! Mungkin juga dari spesies  keluarga ikan sardin, sebab rupa bentuknya pun sekan-akan sama. Encik Suami memang suka ikan ini, tapi kami jarang beli sebab bila Amie masak, ada sedikit bau pada ikan ini. Mungkin Amie tak pandai masak kot.... tu sebab tak boleh hilang bau hanyirnya.


4 ekor ikn sardin ini beratnya 3kg.



Gunakan cili merah segar ye...



Jangan lupa serai & kunyit hidup.



Siap daaaahhh..... Jom tengok resepinya.

Resepi  : Asam Rebu Ikan Sardin dengan Daun Kemangi
Olahan  : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan sardin saiz besar- bersihkan dan potong 6
600ml air
1 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 2
3 tangkai daun kemangi
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
5 biji cili merah - buang biji
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit belacan

Cara:
1. Masukkan air di  dalam periuk. Masukkan semua bahan kisar, serai dan asam gelugur.
2. Biarkan  masak hingga mendidih.
3. Masukkan ikan sardin dan masak lagi selama 5 minit. Kemudian masukkan daun kemangi.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur dan hidangkan panas.



Ini daun kemangi @ cemangi atau disebut juga daun selasih..... ada banyak versi daun selasihnya sayaaaaang. Amie masukkan daun kemangi untuk buang bau ikan tu!



Wokeeeehhh.... bereees! Habis dah Asam Rebus Ikan Sardin dengan Daun Kemangi sampai titisan kuah terakhir! Tulang pun tak tinggal lagi.... kucing kami yang entah berapa puluh ekor tu dah tolong bersihkan!

Khamis, 28 November 2013

Kembang Kates @ Bunga Betik Tumis Pedas

Selain sayur peria yang sesetengah orang kata pahit, sesekali Amie masak bunga betik atau dalam bahasa sebelah Encik Suami disebut sebagai 'kembang kates'. Biasanya MIL akan masak lodeh, atau bila kenduri-kendara di adakan di kampung mereka akan buat kerabu @ urap-urapan.


Amie suka ratah-ratah je sayur bunga betik ni!


Sediakan secekak (beberapa tangkai  - lebih kurang 10 tangkai ) bunga betik. Lurut bunganya dan buang tangkainya.



Kalau suka pedas, gunalah seberapa banyak cili padi.... Amie gunakan dalam 20 biji! Jangan lupa sedikit belacan, bawang putih dan bawang merah.



Jika suka, masukkan juga udang kering. Amie tumbuk kasar kesemua bahan termasuk cili padi, belacan, bawang dan juga udang kering.


Dah siap.... Mari kita tengok resepinya.

Resepi : Kembang Kates @ Bunga Betik Tumis Pedas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 tangkai bunga betik (anggaran satu cekak) - lurutkan bunganya dan buang tangkainya.
20 biji cili padi
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
3/4 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
sedikit belacan
minyak 
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Celur bunga betik sehingga lembut. Toskan.
2. Tumbuk kasar cilim padi bersama bawang putih, bawang merh, belacan dan udang kering.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
4. Masukkan bunga betik dan gaul rata.
5. Tambahkan gula / garam / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur dan sedia untuk dihidangkan.

P/S: Tahukah anda... bunga betik dikatakan boleh mengubati penyakit darah tinggi?

Singgang Daging

Sesekali terasa enaknya dapat hirup kuah daging singgang! Sampai berpeluh-peluh dibuatnya. Jadi.... di kesempatan ini Amie ucapkan ribuan terima kasih buat Yatie Memories di atas perkongsian Singgang Daging Kelantan yang ternyata sangatlah sedapnya! Yatie dapat resepi ini daripada Asliza, tapi sayangnya beberapa kali Amie cuba bertandang ke dapur Asliza, pintunya terkunci rapat, tak boleh masuk. Mungkin ada masalah kot... apa pun terima kasih sekali lagi buat kedua-dua insan ini yang sangat bermurah hati berkongsi resepi.


Amie letak tajuk resepi ini Singgang Daging saja, dan tidak tuliskan 'Kelantan' sebab Amie takut Amie silap buat disebabkan terlupa memasukkan cili kisar. Jadi, kuah singgang Amie nampak original he heheh.... apa pun kalau disebut Singgang Daging memang nama ini sinonim dengan negeri Kelantan atau Terengganu. Cara penyediaan dan masakannya juga mudah dan ringkas saja. Minta halal resepinya ye Asliza & Yatie.

Bahan-Bahan
  • 500 gm daging batang pinang - kalau dagiing biasa, rebus hingga empuk dulu
  • 4 keping asam keping
  • 2 btng serai- di ketuk
  • 2 sudu besar cili kisar - Amie lupa nak bubuh
  • Garam gula to taste
  • Air secukupnya untuk kuah
  • Bahan dimayang:
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
Bahan ditumbuk - tak payah hancur sangat
  • 1 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu kecil lada jitam
  • 2 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • sedikit belacan- saya tambah - Amie tak bubuh
Cara-cara:
  1. Cukup senang, masukkan semua bahan2 yang telah dimayang, yang telah ditumbuk, asam keping, garam gula, daging dan air ke dalam periuk.
  2. Renehkan hingga daging empuk. Rasakan semua rasa secukupnya.
  3. Sedap sangat, actually this is the Kelantan version of beef stew. YUUMMmmmmYYYY!


Sekali lagi sangkaan Amie meleset.... ingatkan anak-anak tak gemar masakan rebus-rebus begini, rupanya habis satu periuk dengan kuahnya sekali dihirup Fuad! Katanya, semerbak bau Singgang Daging yang Amie masak!


Rabu, 27 November 2013

Telur Dadar Kacang Panjang Ular

Selalu juga Amie makan nasi dengan telur dadar dicampur kacang panjang, ditambah dengan sambal kicap serta ikan basung (selayang) goreng.... lagilah kalau perut sedang berkeroncong waktu tengahari! Biasanya lauk-pauk begini Amie temui dalam hidangan ketika berkunjung ke rumah ipar. Sekali pandang, telur dadar campur kacang panjang macam biasa saja, tapi sebenarnya ia ada keistimewaannya yang tersendiri. Mari dengar celoteh Amie di kala senja hampir menjelma ini....


Untuk menghabiskan sepuluh batang kacang panjang terasalah sukarnya....! Anak-anak memanglah susah sangat nak makan sayur! Kecuali kalau Amie hiris halus-halus dan campur dalam nasi goreng. Kebetulan pula kakak ipar (yang mengasuh Firdaus), bagi kami kacang panjang yang baru dipetik dari pokok (ada seorang penjual sayur yang datang dari rumah ke rumah. Kakak ipar Amie beli 3 ikat, dan 1 ikat diberikan pada kami. Istimewanya, bukan kacang panjang biasa tapi kacang panjang ular!


Amie dapat akal fikiran untuk buat telur dadar campur dengan hirisan kacang panjang ular. Kacang panjang ular ini memang lebih sedap berbanding kacang panjang biasa. Kulitnya nampak menggerutu, lebih gemuk dan isinya rasa lemak serta berwarna putih.


Amie hiris nipis-nipis, tambahkan bawang besar dipotong dadu, sedikit bawang putih cincang dan pecahkan 3 biji telur. Jangan lupa masukkan satu sudu teh serbuk MAGGI Cukup Rasa.


Lepas tu... dadarlah sampai masak. Mmmmm.... ketika dalam kuali lagi, semerbak kacang panjang ular bercampur bawang besar menusuk hidung!



Kalau nak sedap, sediakan sambal kicap! Dan... gorengkan lebih sikit ikan basung @ selayang!


Gerenti bertambah nasi dua tiga kali!


WW: Hari ini sepi tanpa gelak tawanya.... demam buat pertama kali sejak lahir!