ADSENSE

Isnin, 30 September 2013

Ikan Bolu @ Milkfish Rebus Kunyit, Peria Masak Tumis & Sambal Tomato

Hari ini lauk antara pedas dan  tak pedas weh! Ikan Bolu @ Milkfish Rebus Kunyit tapi bubuh juga cili padi. Boleh picit-picit untuk rasa kepedasannya, maklumlah kalau diketuk atau ditumbuk lebur dalam periuk, rasa pedaslah kuahnya. Nanti ada yang tak mahu makan pulak! Lepas tu tumis peria pulak. Tumbuk kasar beberapa biji cili padi dengan udang kering ... ada rasa pedas jugalah walaupun gunakan cili padi minyak. Dan Nak pedas lagi? Boleh saja.... sediakan sedikit Sambal Tomato. Siap. Bolehlah dihidangkan.... dan seperti biasa Amie sajikan hidangan ini merangkap makan tengahari & malam, maklumlah hampir pukul 4 petang barulah siap memasak setelah berkejar pulang dari kerja.


Nampak saja ketiga-tiga lauk di atas menggunakan cili padi, tapi pedasnya taklah sampai terjelir lidah macam tergigit cili padi burung tu!



Ini Ikan Bolu @ Milkfish Rebus Kunyit. Amie namakan begini sebab selalu terjumpa menu begini di mana-mana kedai makan. Siap dengan cili padi sebiji-sebiji lagi tu. Biasanya ada serai saja, tapi tangan Amie saja gatal petik daun limau purut nak bagi aroma Ikan Bolu Rebus Kunyit ni tambah menyengat! Sebenarnya bau serai yang dititik saja pun dah cukup, apalagi kalau ditambah dengan kunyit hidup... haaaa kalau nak sedap kenalah gunakan kunyit hidup, memang aromanya berbeza jika kita gunakan serbuk kunyit. Tapi kalau tak jumpa kunyit hidup, kunyit serbuk pun boleh, tak menyalahi undang-undang pun.
Sebenarnya dah banyak kali tayang resepi ini, tapi nak buat tayangan lagi untuk kali yang entah ke berapa, sebab suka ikan ini, dan suka sangat masak cara begini! Ringkas, mudah, cepat siap dan yang penting sihat berkhasiat!

Resepi : Ikan Bolu @ Milkfish Rebus Kunyit

Bahan-bahan :
1 ekor ikan bolu - bersihkan dan potong 5
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
1 labu bawang besar - mayang kasar
10 biji cili padi minyak - buang tangkai
1-2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 2
garam / perasa pilihan
800ml air

Bahan tumbuk:
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan air di dalam periuk. Masukkan semua bahan tumbuk bersama serai, bawang besar, dan asam gelugur dan cili padi minyak.
2. Setelah mendidih, masukkan ikan dan biarkan hingga masak  antara 5-7 minit.
3. Masukkan daun limau purut dan tomato.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.


Sementara menunggu ikan masak di dalam periuk, mari sediakan bahan untuk sayur pulak. Lama tak makan peria. Memang Amie suka peria, dan rasanya taklah sepahit mana. Amie suka makan peria sebab boleh bantu bersihkan dan cuci perut kita!

Resepi : Peria Masak Tumis

Bahan-bahan:
1 biji peria - belah 2, keluarkan biji dan hiris nipis atau tebal ikut citarasa
1 biji telur - pukul ringan dan ketepikan
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan tumbuk kasar :
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah
2 sudu makan udang kering - rendam seketika
7 biji cili padi minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan peria dan gaul rata.
3. Masukkan garam / perasa pilihan. Sebatikan.
4. Tuangkan telur secara merata di atas tumisan peria. Biarkan seketika.
5. Gaul sekali lagi.
6. Padamkan api dapur.


Tak lengkap rasanya kalau tak ada sambal, walaupun dah ada cili di dalam kedua-dua menu tapi .... he heheh nak buat Sambal Tomatolah pulak.

Resepi : Sambal Tomato

10 biji cili padi minyak
1 biji tomato merah - buang kulit dan potong dadu / cincang
1/2 labu bawang besar - mayang halus
1 keping belacan sebesar ibu jari - digoreng
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam /  gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama belacan, garam  / gula / perasa pilihan.
2. Masukkan bawang besar dan tomato. Lenyek dengan alu lesung hingga separuh lunyai.
3. Perahkan jus limau kasturi.
4. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat Ulang Tahun Buat Abang Farid

Hari ini, 30 September 2013, Abang Farid genap 18 tahun. 


Walaupun Abang Farid jauh di Labuan, tapi Mummy tetap buatkan sebiji Kek Coklat Keju kegemaran Abang. Hiasan kek ini ringkas, dan kurang kemas (maklumlah Mummy masih proses belajar mendeko), namun Mummy sangat berpuas hati kerana dapat menghasilkannya sempena hari ulang tahun abang pada tahun ini. Adik Fairuz yang cadangkan Mummy susun buah peach dan strawberry di atasnya.
Setiap tahun Abang akan raikan ulang tahun bersama rakan-rakan Abang di rumah, tapi kali ini disebabkan situasi Abang yang berjauhan dari keluarga... nampaknya adalah wakil Abang untuk merasmikan kek hari jadi!


Ha.... ini dia model kek yang terpilih! Terkejut Firdaus bila Fuad letakkan sebiji kek di hadapannya!


Tapi kejap je rasa hairan Firdaus tu.... Lepas tu dia pun majukan dirinya untuk mencapai kek di hadapannya! Teruja betul Firdaus melihat kek ulang tahun Abang Farid... maklumlah ada warna merah, barangkali itulah yang menarik perhatiannya!



Wah! Akhirnya sampailah si kecil ini merangkak betul-betul menghampiri kek!


Bukan main suka lagi dia..... dan di bawah ini, apa yang direnungnya ya!



Hei.... diam-diam je, tadi bukan main lagi ketawa... sekarang senyap pulak dah! Buat apa tu sayang? Eh... nampak melelh pulak air liur!


Hah.... tu dia! Firdaus sudah rasmikan kek ulang tahun Abang Farid! Sempat lagi dia colek topping kek masuk mulut.....


Selamat ulang tahun ke 18 Abang Farid. Semoga gembira bersama teman-teman seperjuangan. Jaga kesihatan, jaga makan minum, dan teruskan menimba ilmu demi masa depan untuk agama, bangsa dan negara.

Ahad, 29 September 2013

Lauk-pauk kampung tetap menyelerakan! Ikan Mata Sebelah Goreng, Sayur Bening & Sambal Mangga.

Mudah, ringkas, cepat penyediaannya dan sudah semestinya enak serta berkhasiat. Siapa boleh nafikan keenakan dan kelazatan lauk-pauk kampung yang pernah kita nikmati hasil air tangan Bonda kita? Barangkali ada sedikit perubahan dari segi bahan dan penyediaannya, namun kenangan di kampung lama tetap datang menggamit selera!


Bonda selalu pesan, makan sayur hijau, hirup kuah sayur yang hangat-hangat panas. Segar! Itu kata Bonda. Masa kecil dulu tak faham apa maksud segar! Yang Amie tahu lepas hirup kuah sup, keluar peluh! Oh... itu yang Bonda maksudkan... sihat segar bugar! Keluar peluh bermaksud sihat... dan peluh yang mengalir di dahi tanda badan kita segar! Sayangnya, anak-anak sekarang susah sangat untuk menjamah sayur-sayuran hijau terutamanya sawi dan bayam! Harap pada kuahnya sajalah yang mereka campur sedikit di atas nasi.


Banyak pula bebelnya malam ni.... terus kepada resepilah ye... oh ya! Nak bebel lagi... zaman anak-anak dulu manalah ada bebola ikan yang dicampur dalam sayur bening. Biasanya Bonda bubuh serai , bawang putih & merah serta ikan bilis tumbuk kasar. Tak apalah, yang penting kuahnya masih bening... jernih! Kuah yang penuh dengan zat sayur-sayuran rebus.

Resepi : Sayur Bening
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 biji bebola ikan - Amie biarkan bulat
1 cawan hirisan kobis bunga
1 cawan hirisan brokoli
1/2 cawan hirisan lobak merah
1 cawan soo hoon yang sudah direndam kembang
600ml air
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
2 biji bawang putih
3 biji bawang merah
1/2 inci halia
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Panaskan air dalam periuk. Masukkan bahan tumbuk kasar. Biarkan mendidih.
2. Masukkan bebola ikan, dan lobak merah diikuti dengan kobis bunga dan brokoli.
3. Biarkan mendidih sekali lagi dan kemudian masukkan soo hoon.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.



Gorenglah ikan macam biasa. Kalau panggang lagilah sedap, tapi malaslah pulak nak buat walaupun sebenarnya niat asal nak panggang ikan mata sebelah tu. Sambal Mangga pula, resepi macam biasalah, tapi tak jadi masalah untuk Amie tuliskan di sini untuk perkongsian dan rujukan Amie pada masa akan datang.

Resepi : Sambal Mangga
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
15 biji cili padi - Amie gunakan cili padi minyak (kurang pedasnya)
1 labu bawang besar - mayang halus
1 keping belacan sebesar ibu jari - Amie goreng sebentar
1 biji mangga - kupas dan cincang
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula secukup rasa

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama belacan, garam dan gula.
2. Masukkan hirisan bawang besar dan mangga cincang.
3. Lenyek seketika dengan alu lesung.
4. Perasakan dengan garam dan gula.
5. Perahkan jus limau kasturi.
6. sedia dihidangkan.

Sarapan pagi dengan Nasi Himpit & Ayam Madras

Baru dua atau tiga hari lepas Amie paparkan resepi  AYAM MADRAS, hari ini buat tayangan lagi! Tak payah panjang-panjang bebelannya di hujung minggu ini, terus saja kepada isi pokoknya... SEDAAAAPPP! Makanlah Ayam Madras dengan apa pun, dengan nasi pun sedap, apalagi kalau buat cicah roti! Kali ini Amie cuba gandingkan dengan nasi himpit pulak!


Resepinya ada DI SINI, tapi kalau tak ada masa nak klik atau talian sangat perlahan laksana siput mengesot, Amie paparkan di bawah ini. Sekali lagi minta izin daripada tuan punya resepi asal, Dayang Jack dan juga sumber rujukan Amie, Dr. Ina Harlina.

RESEPI : AYAM MADRAS
  • 8 ketul ayam
  • 100 g ubi kentang (dipotong wedges)
  • 10 g bawang putih (dihiris halus)
  • 20 g bawang merah (dihiris halus)
  • 15 g halia (dihiris)
  • 4 sb minyak sapi
  • 1 helai daun pandan (disimpul)
  • 5 sb rempah kari daging
  • 1 sk serbuk jintan putih
  • 1 sk serbuk jintan manis
  • 1 biji jus limau nipis
  • 4 biji buah keras (rendam dan kisar)
  • 1 cawan yogurt ( DJ guna 3/4 cawan buttermilk)
  • 1 cawan air
  • 1 cawan susu cair (DJ guna 1/2 cawan shj)
  • 1 sk serbuk pati ayam
  • 1 tangkai daun kari (DJ added)
  • garam dan gula secukup rasa
  • bahan tumis : 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga & 2 cm kulit kayu manis
Cara-cara :
  1. Bancuh serbuk kari daging, jintan manis dan jintan putih dengan secawan air. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi, tumis bahan rempah, bawang merah, bawang putih, halia dan daun kari hingga naik bau.
  3. Masukkan pes kari. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan ayam, daun pandan, ubi kentang, pati ayam lalu dikacau selama 4 minit. Tuangkan sedikit air, buah keras dan susu cair. Masak hingga ubi kentang empuk.
  5. Masukkan yogurt, air limau nipis dan perasakan dgn garam dan gula.


Tak usah banyak cakaplah... makan je!

Sabtu, 28 September 2013

Kaki Ayam Masak Kicap : Percubaan Kali Ketiga!

Seringkali juga Encik Suami pulang membawa mee goreng berlauk kaki ayam! Dan anak-anak pun, kalau boleh nak berebut makan kaki ayam sampai ke tulangnya sekali yang ternyata begitu lembut dan lerai dari tulangnya! Apa istimewanya kaki ayam itu sehingga Amie pernah terdengar ada yang mengatakan lebih sedap dari daging ayam! Pernah beberapa kali Encik Suami meminta Amie masak kaki ayam seperti yang biasa dibelinya itu, tapi Amie sengih-sengih je.... sebab tak tahu resepinya! Sehinggalah pada suatu hari Encik Suami berkata : Mummy boleh masak apa saja, tapi satu yang Mummy tak boleh masak. Amie tanya kembali : Apa yang Mummy tak boleh masak? Jawab Encik Suami : Kaki Ayam Masak Kicap!


Diringkaskan cerita akhirnya Amie mencuba sedaya upaya untuk memasak kaki ayam tersebut. Sebenarnya... malas nak cerita panjang, sebab memang panjang pun kisahnya nak dapatkan resepi ini! Mungkin ada dalam internet tapi malaslah pulak Amie nak google dengan masalah talian yang lembap memanjang! Akhirnya kelmarin dapatlah Amie korek rahsia resepi Kaki Ayam Masak Kicap ini daripada Fauziah Biran, (itu pun setelah 2 kali Amie cuba masak kaki ayam - kali pertama Encik Suami yang beri resepi tapi tak menjadi, kali kedua kakak ipar yang kongsi resepi, walaupun agak menjadi tapi terasa ada yang kurang) rakan sekerja yang pernah beri cadangan untuk Amie cuba buat Mango Casablanca suatu ketika dulu yang akhirnya Amie pula yang banyak terima tempahan dari teman-teman. Fauziah pula, sehingga kini belum pernah sekali cuba menghasilkan Mango Casablanca tersebut! Pelikkan! Fauziah tahu resepi tapi tak pula membuatnya, sedangkan orang yang tak tahu resepi sibuk pulak mencari ke sana ke mari ha hahahha....! Resepi kaki ayam ini pula katanya hasil bertanya dengan orang Cina (keluarga Fauziah memang terlibat secara langsung dalam perniagaan makanan). Mudah-mudahan dengan perkongsian resepi ini akan bertambah murahlah rezeki keluarga Fauziah ye... amin.


Resepi : Kaki Ayam Masak Kicap
Sumber : Fauziah Biran
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg kaki ayam - buang kuku dan potong 2
2 sudu makan cuka
1/2 sudu makan garam
1 liter air 

Bahan untuk menumis:
5 biji bawang putih - pecahkan
5 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang & potong 2
4 sudu makan kicap manis
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Satukan kaki ayam dengan cuka dan garam. Perap seketika.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga garing - bukan goreng hingga masak saja tau, tapi pastikan betul-betul garing! AWAS KETIKA MENGGORENG! WALAUPUN FAUZIAH BERITAHU GORENGAN TIDAK MELETUP TAPI AMIE AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA. SEMASA MENGGORENG MEMANG AMIE TUTUP KUALI DAN TERNYATA MEMANG BESAR-BESAR BUNYI LETUPANNYA! ADA YANG KATA GAULKAN KAKI AYAM DENGAN TEPUNG GANDUM SEBELUM GORENG, TAPI AMIE BELUm CUBA CARA INI.
3. Masukkan kaki ayam tadi ke dalam mangkuk berisi air dan rendam selama lebih kurang 2 jam atau sehingga kembang. Toskan.
4. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bawang putih.
5. Masukkan kaki ayam,  cendawan shiitake dan tumis bersama kicap manis, lada putih serta sedikit air.
6. Perasakannya dengan sedikit garam /perasa pilihan. Untuk memekatkannya bolehlah masukkan bancuhan tepung jagung.
7. Kaki Ayam Masak Kicap sedia untuk dinikmati.


Jumaat, 27 September 2013

Mummy, terima kasih bagi saya adik!

Dua hari lepas.... 
Biasanya Encik Suami akan membawa Fairuz untuk mengambil Firdaus di kampung, tapi hari itu disebabkan ada sedikit urusan yang hendak diselesaikan terpaksalah ambil Firdaus sebelah petang. Mungkin rasa agak sunyi, Fairuz meminta supaya segera ke kampung untuk membawa pulang Firdaus. Amie pujuk Fairuz dengan mengatakan, sebentar lagi kita sama-sama ambil adik bila Encik Suami sudah selesaikan urusannya. Tiba-tiba Fairuz datang memeluk Amie dan berkata:
Mummy, terima kasih bagi saya adik!


Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Amie hingga saat ini! Oh! Fairuz begitu teruja menanti kehadiran seorang adik, dan sememangnya Fairuz sangat menyayangi Firdaus! Ketika kami sedang makan dan kedengaran tangisan Firdaus, orang pertama yang mendapatkan si kecil sudah tentu Fairuz! Fairuz sanggup tinggalkan hidangannya untuk meredakan tangis Firdaus!


Firdaus pula sangat manja dengan Fairuz. Kadang-kadang Amie perhatikan ketika Fairuz menonton televisyen, Firdaus bermain-main di sebelahnya, dan berbeza sekali kalau Amie berada di sisi Firdaus... pasti merengek-rengeklah dia!



Bezanya usia Fairuz dengan Firdaus... 12 tahun!



Dari umur 3 bulan, setiap pagi seawal pukul 5.50 pagi Fairuz akan meriba Firdaus di dalam kereta sepanjang perjalanan ke kampung, untuk hantar Firdaus ke rumah kakak ipar. Dan kemudian barulah Encik Suami hantar Fairuz ke sekolahnya.



Ini salah satu gambar Firdaus yang diambil oleh Fairuz ketika berumur 8 hari. Amie sungguh terkejut bila mendapati foto ini berada dalam folder ketika Amie hendak edit gambar! Entah bila dan dari mana Fairuz dapat idea untuk memakaikan Firdaus kaca mata Encik Suami... ALLAHU AKBAR!


Fairuz akan tidur siang atau malam di sisi Firdaus.... cuma kami bimbang kalau-kalau badannya BERGOLEK MENIMPA SI KECIL!



Terima kasih Fairuz kerana menyayangi adik Firdaus! 

Lauk Pauk Kampung : Ikan Kaci Goreng, Sayur Lemak Labu Manis & Sambal Belacan

Bertemu lagi di pagi Jumaat nan bening... Jumaat bening pulak dah! Apa maksud bening tu...  hening, jernih! He he hehe... tiba-tiba teringat pulak sayur bening... sayur masak bening, bertemankan ikan masin goreng & sambal belacan! Perrrrggghhhh.... lauk pauk kampung begini buatkan daku ingin terus melompat kayuh perahu layar menyeberang Laut China Selatan terus mendarat di Pelabuhan Kelang (entah berapa bulan baru nak sampai... kah...kahhh kena ambil aura Datuk Azhar Mansur nih) ..... Mak ooo maaaakkk! Orang dah sampai nih! Orang balik dari sekolah nih..... lapar, nak makan! Itu cerita dulu... cerita yang sudah lama menjadi kenangan di kampung laman yang nun jauh kutinggalkan namun tak mungkin dapat kulupakan! 


Ini hidangan makan tengahari kami merangkap makan malam, maklum sajalah bila hari bertugas, sekali sajalah berpeluang masak di dapur! 


Ini Ikan Kaci Goreng.... sebab rasanya sedap kalau digoreng, jadi goreng sajalah. Beli dah siap potong dari pasar. Bersihkan sebentar dan cuci bersih. Bubuh garam, kunyit dan masukkkan pelan-pelan dalam minyak panas. Gorenglah sampai masak. MIL & FIL selalu pesan kalau goreng ikan ... goreng lembik-lembik je! MIL & FIL tak mahu Amie goreng ikan sampai garing... he heheh zaman kecik-kecik dulu cara Amie goreng  ikut ajaran orang kampung, gorenglah sampai garing, sampai minyak gorengan tu diam-diam... maksudnya kalau dah minyak tak berbunyi lagi tu, kira masaklah isi ikannya. Taklah takut masih berdarah ke, apa ke. Maklumlah, dulu-dulu mana ada peti sejuk. Ikan yang digoreng banyak-banyak tu bolehlah disimpan untuk lauk makan berkali-kali. Menyimpannya pula dalam periuk besar, tutup rapat-rapat takut ada 'kucing' kepala hitam yang jenguk. Kalau ayahanda beli ikan di pasar Sungai Buluh (jauh pasar tu jadi harus berkati-kati membelinya - dulu timbang kati, sekarang kilogram), sekati kira-kira 600 gram ikut sukatan metrik. Tapi dulu tak pernah jumpa ikan kaci, melainkan ikan gelama atau ikan kerisi yang sekarang ini susah pula Amie jumpa!


Sambil goreng ikan, sambil-sambillah tangan tu kupas bawang putih, bawang merah, buang tangkai cili padi dan cari kepingan belacan. Amie gunakan cili padi minyak, kurang pedasnya. Kalau cara kampung kami, cili padi dikukus di atas nasi yang ditanak dan baru hendak dikeringkan. Banyak cara kalau nak buat sambal belacankan? Kali ini Amie goreng saja semua bahan, dan kemudian tumbuk tapi taklah sampai halus lumat. Rasanya sambal 
belacan yang ditumbuk agak kasar sikit (tak lumat lunyai) lebih sedap pula rasanya... ikut selera Amie ye...).

Resepi : Sambal Belacan
Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
5 biji bawang putih 
7 biji bawang merah
15 biji cili padi minyak
belacan sebesar ibu jari
3 biji limau kasturi
secubit garam & gula
minyak

Cara:
1. Satukan bawang putih, bawang merah, cili padi dan belacan. Goreng hingga wangi - Amie tak goreng sampai garing.
2. Tumbuk bahan di atas dalam lesung.
3. Perahkan jus limau kasturi, dan bubuh secubit garam serta gula - sukatan gula terpulang ikut citarasa masing-masing.
4. Gaul  mesra dan hidangkan.


Ada peneman yang seterusnya... Sayur Lemak Labu Manis. Amie masak lemak putih, tapi keluar juga warna kuning pada kuah daripada isi labu manis. Nak masak sayur ini pun senang saja sebab Amie beli sayur yang siap dipotong bercampur pula dengan kacang panjang dan terung. Santannya pula, beli pati santan segar... tak payahlah nak kisar atau perah lagi. Wah! Senangnya kalau begini... kan kann... jadi sesibuk mana pun, sesiapa saja boleh sediakan hidangan buat keluarga sebab sekarang banyak pilihan untuk memudahkan kerja masak-memasak! Tak payah kupas kelapa, tak payah parut kelapa. Tak payah buang kulit labu... bla..blaa...blaaa. Sediakan sajalah bawang putih, bawang merah, serai sebatang dan juga udang kering! Lebur dalam periuk. Siap! Oh... ya! Amie tak bubuh kunyit, sebab Amie suka menikmati sayur lemak putih... suka aroma santannya yang segar dan wangi! Oleh kerana sudah ada Sambal Belacan, Amie tak bubuh cili dalam masakan ini.

Resepi : Sayur Lemak Labu Manis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
300 gram potongan labu manis
100 gram potongan terung Taiwan
5 batang kacang panjang - patah-patahkan sepanjang 3cm
1 batang serai - dititik
1 cawan santan pekat
2 cawan air
garam /perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu makan udang kering - rendam terlebih dahulu

Cara:
1. Masukkan labu manis dan terung Taiwan, serai ke dalam periuk bersama 2 cawan air dan bahan tumbuk.
2. Rebus hingga mendidih dan empuk. Masukkan kacang panjang.
3. Setelah kacang panjang berubah warna, masukkan santan pekat dan gunakan api sederhana.
4. Kacau sekali-sekali sehingga keluar nampah buih-buih mula mendidih di tepi periuk.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur.

Khamis, 26 September 2013

AYAM MADRAS

Ayam masak kari memang sentiasa membuka selera disebabkan aromanya yang menggoda! Kali ini Amie ingin kongsi resepi Ayam Madras yang Amie angkut dari rumah Puan Doktor INAHAR'S COOKING TIME yang dipanjangkan dari dapur DAYANG JACK.


RESEPI : AYAM MADRAS
  • 8 ketul ayam
  • 100 g ubi kentang (dipotong wedges)
  • 10 g bawang putih (dihiris halus)
  • 20 g bawang merah (dihiris halus)
  • 15 g halia (dihiris)
  • 4 sb minyak sapi
  • 1 helai daun pandan (disimpul)
  • 5 sb rempah kari daging
  • 1 sk serbuk jintan putih
  • 1 sk serbuk jintan manis
  • 1 biji jus limau nipis
  • 4 biji buah keras (rendam dan kisar)
  • 1 cawan yogurt ( DJ guna 3/4 cawan buttermilk)
  • 1 cawan air
  • 1 cawan susu cair (DJ guna 1/2 cawan shj)
  • 1 sk serbuk pati ayam
  • 1 tangkai daun kari (DJ added)
  • garam dan gula secukup rasa
  • bahan tumis : 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga & 2 cm kulit kayu manis
Cara-cara :
  1. Bancuh serbuk kari daging, jintan manis dan jintan putih dengan secawan air. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi, tumis bahan rempah, bawang merah, bawang putih, halia dan daun kari hingga naik bau.
  3. Masukkan pes kari. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan ayam, daun pandan, ubi kentang, pati ayam lalu dikacau selama 4 minit. Tuangkan sedikit air, buah keras dan susu cair. Masak hingga ubi kentang empuk.
  5. Masukkan yogurt, air limau nipis dan perasakan dgn garam dan gula.
Terima kasih yang tidak terhingga buat Dayang Jack & Dr. Ina.... adeeeehhhh sedapnya kalau dapat cicah dengan roti... apa-apa rotilah....ahaks!

Rabu, 25 September 2013

Selasa, 24 September 2013

Easy Tiramisu Cake

Nak kongsi Easy Tiramisu Cake yang sedap tapi mudah cara penyediaannya!  Apa pun terpulanglah pada anda untuk pilih resepi Kek Tiramisu yang disukai, dan yang Amie paparkan ini sebenarnya sesuai untuk yang baru berkenalan dengan dunia 'tiramisu' yang dikatakan berasal dari Treviso, Itali yang bermaksud 'pick me up'  ha hahaha.. apa maksudnya tu? Lahaplah aku.....! Apa pun jika anda tidak mahu menggunakan bahan yang sedia ada, di bawah nanti Amie terangkan serba sedikit penggunaan bahan lain / pilihan.


Resepi : Easy Tiramisu Cake
Olahan : Amie's Little Kitchen


A : Filling
500 gram Easy Tiramisu Mix
500 gram cold water / milk
100 gram whipped cream
75gram Anti Moist Cocoa Powder

Method:
1. Whisk Easy Tiramisu Mix & cold water / milk on slow speed until combined. 
2. Scrape down and whisk on high speed for 3 minutes.
3. Fold in whipped cream.

Anda boleh gantikan bahan di atas dengan memutar 500 gram cream cheese, 500 gram whipping cream dan 1 cawan gula kastor dan satu sudu teh esen vanilla.

B :  Coffee Liqueur Syrup
1 1/2 tsp nescafe
30 gram castor sugar
120 gram hot water
1 tsp Mocha Compound

Method:
1. Mix coffe syrup and let cool.
2. Add coffe liqueur if desired.



Amie gunakan 36 batang biskut / Savoiardi Lady Fingers, parutan coklat putih dan coklat serta buah strawberry sebagai hiasan. Wokey... jom kita buat langkah demi langkah seperti di bawah ini:
1. Mula-mula sediakan  loyang (Amie gunakan bottom loose pan 8 x 8 inci).
2. Celup sebatang lady finger ke dalam coffee lequeur syrup dan susun di atas loyang. 
3. Lakukan langkah 2 sehingga penuh dasar loyang. Amie gunakan 12 batang lady finger untuk lapisan pertama.
4. Ambil filling dan tuangkan di atas susunan lady fingers tadi hingga menutupi keseluruhan permukaannya. 
5. Taburkan anti moist cocoa powder / serbuk koko di atasnya.
6. Ulangi langkah 2, 3, 4 dan 5 sehinggalah ke lapisan ketiga (untuk lapisan ketiga, setelah dituang filling, tutup loyang dan sejukkan di dalam peti sejuk selama 6 jam atau semalaman).
7. Keluarkan dari peti sejuk dan taburkan anti moist cocoa powder di atasnya.
8. Hiasan - ikut suka hati masing-masing weh... he he eheh!


Easy Tiramisu Cake Amie ni comot sikit aaaah... tak apakan, yang penting sodaaaap!
Pick me up...hokeyyyy???

Ahad, 22 September 2013

Teknik Asas : Persediaan Membuat Kek & Pastri

Ramai rakan FB terutamanya adik-adik (mungkin baru berjinak-jinak dengan tepung & the gang) bertanya kepada Amie : 
Macamana nak buat kek? 
Ajarlah saya buat kek. 
Saya nak belajar buat kek dengan Kak Amie. 
Oh! Amie rasa sampai pagi pun tak akan selesai kalau asyik berbalas mesej dengan mereka. Bila Amie tanya, nak buat kek apa? Mereka pun tak tahu apa jenis kek yang hendak mereka cuba buat. Ini bermakna mereka ada minat tetapi tidak ada atau kurang pengetahuan asas mengenainya.



Sebelum ini Amie pernah memaparkan beberapa tips membuat kek di bawah label PETUA DI DAPUR. Jadi kepada sesiapa yang benar-benar berminat untuk lebih mendalami selok-belok pembuatan kek, rajin-rajinlah klik  Panduan Penting (Asas) Untuk Membuat Kek. Kali ini Amie kongsikan Teknik Asas : Persediaan Membuat Kek & Pastri yang Amie baca dari buku masakan ESSENTIAL PASTRIES & CAKES oleh CHEF JIMMY CHANG.

Setelah anda membaca teknik penyediaan asas membuat kek & pastri di bawah ini, bolehlah praktikkan berdasarkan resepi pilihan anda. Tapi ingat ye sayanggggg.... kalau sekali buat tak sempurna seperti yang dibayangkan, janganlah putus asa. Terus cuba dan mencuba sehingga berjaya.... jangan pulak marah-marah kalau kek bantat & masalah lain pula yang timbul. Adun dengan hati dan perasaan, tenang dan jangan nak cepat siap sehingga terabai teknik yang dibaca. Ingat! Jika anda menemui masalah demi masalah (lakukan secara sengaja atau tidak),  setelah kek pertama anda dikeluarkan dari ketuhar, bermakna anda hampir menemui kejayaan sebab anda belajar dan memahami karenah kek berdasarkan pengalaman anda! Jadi... kali kedua dan seterusnya anda akan lebih berhati-hati agar tidak mengulang kesilapan yang sama. Bagaimana pun, tidak mustahil (malah selalu terjadi), kek anda sempurna kejadiannya pada percubaan pertama!

1. Sediakan Loyang & Acuan

(a) Untuk Membakar Pastri & Kek
Terdapat pelbagai bentuk loyang dan acuan untuk bermacam jenis pastri dan kek. Loyang dan acuan perlu digris dengan marjerin atau dilapik dengan kertas pelapik agar pastri dan kek mudah dikeluarkan setelah masak.



(b) Loyang dan Acuan Digris
Gris marjerin, mentega atau sembur minyak masak di serata permukaan dan di sekeliling loyang dan acuan.

(c) Tabur Tepung Gandum pada Loyang
Gris sedikit marjerin di serata permukaan loyang. Tabur tepung gandum agar meliputi loyang. Terbalikkan loyang untuk membuang lebihan tepung.



(d) Kertas Pelapik
Boleh letak terus kertas pelapik dalam loyang atau griskan dahulu loyang dengan marjerin.



2. Cara Mengayak Campuran Tepung
Bahan-bahan kering seperti tepung, serbuk koko, serbuk krimer, gula aising dan serbuk penaik perlu diayak sebelum diadun untuk menapis ketulan halus. Maka pastri dan kek yang dibakar masak dengan elok dan tidak berketul.

3. Cara Memukul Mentega dan Gula Aising
Letak mentega pada suku bilik. Mentega tidak boleh terlalu sejuk atau panas. Gunakan mesin pengadun untuk memukul mentega dan gula aising dalam mangkuk. Pukul pada kelajuan sederhana hingga adunan kembang dan gebu. Gunakan spatula getah untuk mengadun adunan dan campuran tepung. Gaul adunan dengan lembut pada satu arah sahaja sama ada mengikut arah jam atau lawan jam agar udara dalam campuran mentega dan gula tidak terkeluar. Adunan ini menaikkan dan melembutkan tekstur pastri dan kek.

4. Cara Pukul Telur Dengan  Gula Aising Hingga Kembang
Pukul telur dan gula aising dengan pemukul elektrik bentuk kembang hingga naik dan berbuih putih. Gula mengembangkan tekstur telur. Telur lebih senang berbuih jika mangkuk direndam dengan air panas ketika dipukul. Keluarkan mangkuk apabila bahan mencapai suhu badan iaitu 37'C.

5. Cara Memukul Kuning Telur Dengan Gula Aising
Oukul kuning telur dan gula aising dengan mesin pengadun bentuk kembang pada kelajuan sederhana - tinggi. Pukul hingga ia bertukar warna lembut. Bahan campuran ini menggebukan lagi pastri dan kek. Gula boleh menyebabkan kuning telur berketul. Jadi setelah telur kuning dipukul, ia perlu cepat-cepat diadun dengan adunan pastri.

6. Cara Memukul Putih Telur dengan Gula Aising
Gunakan mangkuk yang bersih dan kering. Pastikan tiada bahan asing dalam mangkuk agar putih telur mengembang cantik. Guna telur takat suhu bilik. Pukul putih telur dengan mesin pengadun bentuk kembang pada kelajuan tinggi. Masukkan gula aising sedikit demi sedikit setelah putih telur naik berbuih. Bila putih telur mula memakat, perlahankan pada kelajuan sederhana - tinggi. Pukul hingga putih telur kembang dan buih agak likat.
Bagi anda yang baru belajar membuat pastri dan kek, anda harus berlatih memukul putih telur sehingga mahir. Mula-mula putih telur yang diputar membentuk buih lembut, kemudian menjadi buih likat. usah terlebih pukul kerana putih telur akan berketul dan pecah.



7. Cara Mengadun Kuning Telur & Putih Telur
Isikan kuning telur atau putih telur yang telah dipukul hingga kembang ke dalam adunan pastri dan kek. Masukkan sesuku sukatan dahulu dan adun perlahan dengan spatula getah yang besar. Mula pada bahagian tengah mangkuk dan adunkan dari bawah ke atas. Pusingkan mangkuk sambil mengadun adunan pada satu arah, sama ada lawan atau ikut arah jam. Perlu ikut satu arah sahaja supaya pastri dan kek tidak bantat. Ulang proses ini sehingga kesemua kuning telur atau putih telur di adun sebatin dengan adunan pastri atau kek. Jangan terlebih adun agar udara dalam telur tidak terkeluar.

8. Cara Memanaskan Ketuhar
Panaskan ketuhar 10 minit sebelum membakar pastri dan kek. Perhatikan jangka suhu ketuhar hingga ia mencapai suhu yang diinginkan. Pastri dan kek akan masak dengan sempurna bila anda mengikut masa dan suhu yang ditetapkan untuk setiap resepi.

8. Cara Memutar Krim
Gunakan mangkuk yang bersih dan kering. Tuang krim dalam mangkuk dan rendam mangkuk dalam bekas yang berisi air sejuk campuran ais, supaya krim lebih kembang. Putar krim dengan mesin pengadun bentuk kembang pada kelajuan rendah dan tambah ke kelajuan sederhana - tinggu hingga terbentuk buih lembut, buih sedikit pekat atau buih likat. Ini bergantung pada kegunaan krim dalam pastri. Jika terlebih pukul, krim menjadi berketul atau berminyak. Usah gunakan krim itu. Sila putar krim baru sehingga naik sempurna.


Jemput datang ke MPVKATERING untuk info lebih lanjut jika ada mendapati kek anda bantat.

Kesilapan dan punca kek tidak menjadi:

1- Tekstur yang rapat dan bantat

- Lemak dan gula tidak cukup diputar atau

- Telur tidak dipukul dengan cukup atau
- Adunan mendadih atau
- Terlalu banyak cecair atau
- Suhu ketuhar tidak cukup panas atau
- Serbuk penaik terlalu sedikit atau


2- Kek kering

- Kuantiti serbuk penaik berlebihan atau

- Masa memasak terlalu lama dan api perlahan atau

3- Tekstur kasar dan terbuka
- Kuantiti serbuk penaik berlebihan atau
- Kadar sukatan lemak atau tepung tidak tepat atau
- Lemak dan gula tidak cukup kembang atau
- Ketuhar terlalu panas atau


4- Kek naik tidak sama rata

- Kek tidak diletakkan ditengah ketuhar atau

- Ketuhar tidak cukup panas ketika memasukkan kek atau
- Tetingkat ketuhar tidak rata atau


5- Kek lekuk ditengah

- Terlalu banyak cecair digunakan atau

- Pintu ketuhar dibuka sebelum kek set atau
- Ketuhar kurang panas atau
- Terlalu banyak bahan penaik digunakan atau


6- Kek kemuncak dan merekah ditengah

- Ketuhar terlalu panas atau

- Kek diletakkan terlalu tinggi di dalam ketuhar atau
- Acuan kek terlalu tinggi atau



Ini Kek Labu Manis yang pernah Amie buat. barangkali anda boleh menilai hasil kek ini berdasarkan  info di atas!