ADSENSE

Selasa, 27 Ogos 2013

Rendang Ayam Kota Lama : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (PERAK MONTH)

Enaknya kalau dapat cicah lemang, nasi himpit atau ketupat dengan Rendang Ayam Kota Lama!  Makan dengan nasi putih panas pun sodap! Rendang Ayam Kota Lama merupakan satu lagi resepi tradisi negeri Perak yang sungguh enak tetapi amat mudah untuk disediakan. Semua bahan hanya perlu dilebur di dalam kuali tanpa menumisnya terlebih dahulu. Sepanjang tempoh memasak, anda akan terhidu semerbak campuran pelbagai jenis herba termasuk serai, lengkuas, halia dan kunyit hidup! Aroma yang terbit daripada hirisan daun kunyit sebagai sentuhan terakhir membuatkan anda tidak sabar untuk menjamahnya!


Resepi asalnya menggunakan ayam kampung, dan memang daging ayam kampung yang agak keras sedikit berbanding dengan ayam daging amat sesuai untuk dijadikan masakan rendang! 

Resepi : Rendang Ayam Kota Lama oleh Chef Sapiah
Sumber : Resepi Tradisi Cita Rasa Malaysia : Perak

Bahan-bahan:
1 ekor ayam kampung
2 sudu makan cili boh
2 sudu makan kerisik
1 cawan santan
2 helai daun kunyit - dihiris
sedikit air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3 batang serai
1 1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit
1 inci halia

Cara:
1. Bersihkan ayam.
2. Masukkan ayam ke dalam kuali bersama bahan yang sudah dikisar tanpa perlu menumis. 
3. Biarkan mendidih dan boleh masukkan kerisik dan santan.
4 .Tambah sedikit air dan biarkan hingga masak.
5. Kemudian masukkan daun kunyit yang sudah dihiris.
6. Hidangkan bersama lemang atau nasi putih panas.


I am submitting this post to  Malaysian Food Festival  Perak Month hosted by Wendyinkk of Table for 2....or More




Isnin, 26 Ogos 2013

Hujung Minggu Yang Sibuk

Entri ini sudah terlewat untuk dipaparkan .... tapi Amie tetap ingin abadikannya sebagai kenang-kenangan tentang kesibukan Amie mengatur dan mengurus masa di hujung minggu! Nampaknya kali ini Firdaus jadi  model merangkap Duta Kek Lapis... he heheh seronok baca komen tentang gambar di bawah di FACEBOOK.


Terima kasih sayang Mummy Firdaus...  kalau sayang cerewet, tak bolehlah Mummy siapkan tempahan ini semua.



Tempahan petang Sabtu : Mango Casablanca. Terima kasih Puan Kamsiah Idris & Puan Hajah Sitti Jaliha Haji Salman.


Pada petang yang sama juga Amie sempat penuhi tempahan untuk Ayam Panggang Madu & Ayam Panggang Rosemary.


Terima kasih Cik Mardyanna Buang di atas tempahan Ayam Panaggang Madu & Ayam Panggang Rosemary.Terima kasih juga buat Ustaz Hasnan kerana menempah Ayam Panggang Rosemary & Mango Casablanca. Katanya kedua-dua menu ini untuk hidangan berbuka puasa. 

Alhamdulillah. Tugasan paling mencabar sudah tentulah menyiapkan tempahan Kek Lapis Cheese Masam Manis. Amie siapkan setelah berehat dan tidur, dan bangun semula pada pukul 2.30 pagi.



Selepas Subuh, Amie sempat sediakan serba sedikit sarapan pagi Untuk keluarga kecil kami. Pada ketika ini, terdengar bunyi mesin basuh dari bilik air. Rupanya Encik Suami bantu cuci pakaian. Alhamdulillah....  Encik Suami sangat memahami dan sesungguhnya Amie tidak mampu untuk menyempurnakan semua tugas rumah tangga ketika sibuk menyiapkan plebagai tempahan. 


Sebelum Encik Suami keluar ( ada kerja yang hendak diselesaikan), kami sempat bersarapan pagi berdua. Fairuz & Fuad & Firdaus menyambung tidur!



Tempahan Kek Lapis Cheese Masam Manis : Terima kasih buat Madame Cindy Peh Li Foon, Madame Janet Liaw, Encik Leong Weng Onn, Encik Albert & Puan Fazilawati Abdul Rahim.



Tempahan Mago Casablanca : Terima kasih buat Encik Leong Weng Onn, Encik Albert, dan Madame Irene Lim Tong Keng.



Tempahan terakhir datangnya daripada Puan Tinie Ibrahim, dan terima kasih yang tidak terhingga kerana Puan Tinie berpuas hati dengan Ayam Panggang Rosemary & Sos Lada Hitamnya yang katanya sedap! Seronok dengar!



Harap semuanya berpuas hati dengan tempahan masing-masing. Terima kasih daun keladi, terima kasih kerana sudi menempah dengan Amie's Little Kitchen! Jumpa lagi.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Kerabu Kacang Kelisa : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (PERAK MONTH)

Enaknya meratah Kerabu Kacang Kelisa... rangup! Krup... krap... krupppp! Tak sedar habis semangkuk. Jom nikmati sama-sama hidangan ringkas tapi sungguh menyelerakan, dan biasanya turut menjadi pilihan untuk dihidangkan di majlis kenduri.


Resepi : Kerabu Kacang Kelisa oleh Mazlan Marketing Katering Kg Temiang, Ipoh, Perak
Sumber :  Lauk Tradisi Kenduri Perak : Majalah RASA Edisi Mei 2012

Bahan-bahan:
300 gram kacang kelisa - dihiris halus
1 labu bawang besar - dihiris halus
100 gram kelapa parut - digoreng / sangan kering
50 gram udang kering - dikisar halus
4 biji cili merah - dikisar halus
1 sudu teh belacan - dikisar halus
1 sudu makan asam limau
garam & gula secukup rasa

Cara:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas.
2. Gaul rata bersama gula dan garam.
3. Masukan perahan jus limau dan gaul lagi.
4. Masukkan ke dalam mangkuk hidangan dan sedia dinikmati.


I am submitting this post to  Malaysian Food Festival  Perak Month hosted by Wendyinkk of Table for 2....or More



Jumaat, 23 Ogos 2013

Ayam Percik Perak : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (PERAK MONTH)

Jom cuba resepi Ayam Percik yang sungguh sedap tapi amat ringkas dan begitu mudah cara penyediaannya. Hidangan ini merupakan salah satu Resepi Perak: Saji Menu Warisan Istimewa daripada Hotel Heritage.


Resepi : Ayam Percik Perak oleh Chef Johnson Chang & Chef Jubidi, Hotel Heritaga, Ipoh, Perak.
Sumber : Majalah SAJI Edisi November 2011


Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong 8
500ml santan
1 keping asam keping
1 batang serai - diketuk

gula & garam

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
4 tangkai cili merah
10 gram jintan putih
10 gram jintan manis
2.5 gram lada hitam

Cara:
1. Masukkan ayam yang telah dibersihkan ke dalam periuk. 
2. Masukkan pula bahan kisar, santan, gula, asam keping dan garam.
3. Masak dengan menggunakan api sederhana besar sehingga ayam separuh masak. 
4. Biarkan kuah menjadi pekat.
5. Sementara itu, angkat ayam tadi dan dipanggang pula di atas bara api.
6. Semasa memanggang percikkan kuah santan dengan menggunakan serai. Panggang sehingga ayam masak.


Siapa tidak terliur melihat ayam percik terhidang di hadapan mata? Penyediaannya sangat ringkas bukan? Cubalah....  biasanya yang mudah dan ringkas itulah yang terasa sekali kelazatannya!




I am submitting this post to  Malaysian Food Festival  Perak Month hosted by Wendyinkk of Table for 2....or More



Rabu, 21 Ogos 2013

Ayam Panggang Rosemary Sedap!

Fuad asyik tanya bila Amie nak buat Ayam Panggang Rosemary lagi! Hai anakku sayang  .... sesungguhnya jika kita makan sekali-sekala hidangan ini akan terasa lebih kelazatannya! Bukan apa, sehari sebelum raya tempohari Amie sempat sediakan untuk hidangan berbuka kami sekeluarga. 


Pada masa yang sama Amie turut sediakan 2 ekor Ayam Panggang Rosemary yang ditempah oleh Cik Mardyanna Buang. Syukurlah, sebelum tiba waktu berbuka puasa, Ayam Panggang Rosemary sudah sedia untuk dinikmati Cik Mardyanna sekeluarga dalam keadaan masih panas berasap!


Terima kasih Cik Mardyanna kerana berpuas hati dengan hasil air tangan Amie.



Dan sebenarnya, apa yang membuatkan hidangan Ayam Panggang Rosemary ini lebih lazat sudah tentulah dengan adanya sos pencicahnya, Sos Lada Hitam. Amie tidak sempat ambil gambar sebab waktu itu sudah tiba masa untuk berbuka puasa. Gambar Sos Lada Hitam di atas itu merupakan sos pencicah untuk Ayam Panggang Rosemary Cik Mardyanna.

Banyak kali juga Amie buat Ayam Panggang Rosemary ini. Boleh klik DI SINI untuk melihat entri yang lepas-lepas.

Resepi : Rosemary Grilled Chicken
Sumber : DAPUR IBUNDO & Wana - POTRET KASIH
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - guna peha ayam pun boleh
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar (Amie gunakan jintan putih & manis)
2-3 sudu besar gula perang 
2 sudu kecil garam
sedikit perasa / kiub / serbuk pati ayam
2 sudu besar jus lemon - Amie  tambah 1 sudu lagi
3 sudu besar minyak zaitun
5 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby carot
sedikit mentega - untuk sapu atas ayam


Cara:
1. Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
2. Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.
3. Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.
4. Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.
5. Masukkan lebihan minyak zaitun ( masa menggoreng bawang putih ) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6. Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam peti sejuk beberapa jam. 
7. Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak . Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
8. Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.


Untuk Sos Lada Hitamnya yang sedap itu, Amie goreng bawang besar dengan mentega, tambahkan tepung gandum, susu segar, sos lada hitam secukupnya, dan juga lada putih campur lada hitam tumbuk. Amie tambahkan sedikit kicap. Walllaaaa... inilah yang Fuad tak dapat lupakan!


WW : Firdaus Mencecah 5 Bulan





















Selasa, 20 Ogos 2013

Gulai Nanas Ikan Masin : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (PERAK MONTH)


Sedapnya makan nasi panas dengan Gulai Nanas Ikan Masin! Terlupa lauk-lauk yang lain!


Resepi : Gulai Nanas Ikan Masin
Sumber : Majalah RASA Edisi Mei 2012 : Lauk Tradisi Kenduri Perak

Bahan-bahan:
300 gram ikan talang masin (ikan masin lain pun boleh) - dipotong nipis
200 gram nanas - potong dadu
1/2 kg santan - Amie gunakan 600ml (400ml santan cair & 200ml santan pekat)
1 batang serai - dititik
serbuk kunyit secukupnya
garam / gula secukup rasa

Bahan tumbuk / kisar:
10 biji cili padi
1 labu bawang besar

Cara:
1. Masukkan santan cair ke dalam periuk Campurkan sebati serai, serbuk kunyit serta semua bahan tumbuk.
2. Masukkan ikan masin dan kepingan nanas. Didihkan sehingga nanas layu.
3. Tuangkan santan pekat, garam dan gula.
4. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Kuah hendahlah sentiasa dikacau supaya tidak pecah santan.




I am submitting this post to  Malaysian Food Festival  Perak Month hosted by Wendyinkk of Table for 2....or More




Salam Lebaran 2013 & Himpunan Kad Ucapan Aidil Fitri 2013

Di kesempatan keemasan ini Amie ingin ucapkan Selamat Menyambut Lebaran 2013 buat semua rakan pengunjung Amie's Little Kitchen. Maaf pada segalanya.



Di bawah ini.... himpunan kad raya yang sempat Amie kutip dari rumah teman-teman blogger yang sempat Amie kunjungi.

















Asyifa Mustaffa : Life Is Sweet