ADSENSE

Ahad, 30 Jun 2013

Trio Layer Kek & Tempahan Kek Lapis Cheese Masam Manis

Encik Suami order kek lapis daripada Amie. Ulang ayat... Encik Suami order kek lapis daripada Amie! Tak salah lagi ayat tu... memang benar... ternyata benar dan tidak bersalahan lagi! Apa dah jadi hah? Duduk serumah, tidur sebilik, makan pinggan masing-masing tapi bila ada kes di dapur main order-order pulak!


Alkisahnya Encik Suami ingin sponsor kek lapis sempena majlis kenduri yang akan diadakan di rumah adik ipar Amie (adik Encik Suamilah tu), pada hari Selasa yang akan tiba 2 hari lagi dari hari ini. Bila dia nampak kita sibuk melapis, dia pun minta Amie buatkan sebiji. Amie pun dengan penuh semangat ingin mencuba dan mencungkil bakat serta kemahiran diri menerima pesanan Encik Suami yang dibuat ketika kami sembang-sembang sambil makan kuih apam balik @ terang bulan.


Bagaimana pun gambar kek lapis yang Amie paparkan ini bukanlah kek lapis yang akan dihantar ke kampung untuk majlis tersebut. Ini ialah versi percubaan! Haaa... baru ko tau ye.... Amie ini orangnya punya semangat ingin tahu yang tinggi untuk melihat hasil kejadian kek lapis yang Encik Suami pesan itu. Sebelum kek lapis yang sebenar dihantar kepada tuannya, terlebih dahulu Amie bereksperimen untuk melihat kemenjadiannya! Bukan kemenjadian modal insan saja seperti yang mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kata, tapi kemenjadian kek lapis pun mesti dijaga. Ini untuk memastikan mutu dan maruah kek lapis itu sendiri. Wah! Serius betul nampaknya Amie.... oh! Sudah semestinya... walaupun resepi dari Sarawak, kita yang di Sabah duduk berjiran ini mesti jaga nama baik Kek Lapis Sarawak ha ha ahhh.... betul tak? Ada gaya orang cerewet tak? Ada kan? Kan? Kan? Terasa pulak diri ini terlebih cerewet dari pelanggan yang setengah cerewet!


Sebab apa Amie jadi secerewet ini, dan lebih cerewet dari menyiapkan setiap lapisan kek lapis yang setengah orang kata rumit itu! Sebab... sebelum ini Amie tak pernah buat kek lapis jenis begini. Caranya sama saja, hanya melapis dan terus melapis sampai adunan habis dengan sekurang-kurangnya meluangkan masa selama 4 jam  atau lebih untuk menyiapkannya. Cuma... bezanya... ada bezanya kek lapis ini dengan yang Amie buat sebelum ini tau! Dengar baik-baik... betulkan tempat duduk anda, letak kaca mata anda dan yang terpenting pasang telinga anda. Kali ini Amie gunakan putih telur saja. Ha... itulah kelainan dan bezanya kek lapis ini. Ulang suara... Kali ini Amie gunakan putih telur saja. Nampak jakun bunyinya... tapi ada aku kisah? Hei... sebenarnya Amie tak berapa suka ayat ini : ada aku kisah? Inilah kali pertama Amie gunakan ayat begini dalam blog, dan harap untuk kali yang terakhir juga. Entah mengapa... memang tak berapa gemarkannya! Apalagi mengucapkannya dengan kata-kata. He he ehhh... itu Amie ye, bukan orang lain ye termasuk rakan-rakan yang sedang baca entri ini... dan itu pun kalau baca sepenuhnya!


Terdetik juga di hati kecil ini (ayat jiwang karat nih)... bahawa apa yang Amie lakukan ini bukankah membuang masa? Tapi... ada tapinya tau! Kalau tak buang masa tak dapatlah Amie ilmu baru. Ha... yang agak gelap sikit warna di bahagian lapisan bawah tu... lain kali untuk bakar kali terakhir, gunakan saja masa antara 7-10 minit api di bahagian bawah.... ini memang Amie kena ambil perhatianlah sebab kepanasan oven kita tak sama, masing-masing ada tingkahlakunya yang tersendiri. Sebenarnya bukan salah oven pun... salah Amie sendiri sebab tak berhati-hati baca arahan. Arahan kata guna suhu 100'C tapi amie guna 170'C! Alhamdulillah setakat ini oven Amie masih setia berkhidmat untuk tuannya, belum lagi timbul ragam-ragam yang tak diingini! Cuna tuannya saja yang selalu lalai dan leka berinternet semasa melapis.... haaa kan dah pecah tembelang! Iyelah... bosan menunggu 4 jam lebih depan oven, baiklah buat benda lain sementara menanti siap semuanya. Dah cuci pinggan mangkuk, sapu lantai, lap segala habuk, duduklah pula atas meja ngadap Mr Lappy!
Oh! Terlupa nak tulis kesimpulan untuk isi pokok 'buang masa'  di atas tu. Kesimpulannya, kalau tak buang masa dengan mencuba dulu resepinya, bermakna tak tahulah sedap tidaknya kek lapis ini. Kebetulannya kelmarin singgahlah 2 orang kakak ipar ke rumah kami. Nak tahu apa respon mereka? Walaaaaa... enak banget! Memang enaknya hanya yang  pernah makan saja yang tahu. Jadi... 'buang masa' Amie itu hasilnya berbaloi-baloi! Kalah harga sebiji Kek Lapis Cheese Masam Manis yang mewah dan kaya raya dengan keju dan krim keju itu!



Resepi? Boleh saja Amie kongsikan di sini. Tapi Amie tulis ikut versi asal dalam bahasa Inggeris. Bukan apa.... pssssssstttt! Hak cipta terpelihara! 

Resepi :Trio Layer Cake
Sumber : Sarawak Layer Cakes by Nor Asiah Tajul Urus

Ingredients A:
Hong Kong flour  - 200 g, sifted
castor sugar - 250 g - Amie hanya gunakan 50 g sahaja
horlicks powder - 100g
ovallete  1 1/2 tbsp /20g - gantikan dengan baking powder (pilihan)
egg whites 20 - grade A
kaya - 170g

Ingredients B:
butter - 350g
sweeteneg condensed milk - 4 tbsp - Amie gunakan 350g

Flavouring and Colouring:
green food colouring as desired
purple food colouring as desired - Amie gunakan pewarna merah
orange food colouring as desired

Amie kurangkan gula kastor, dan lebihkan susu pekat memandangkan ada tambahan kaya di dalam adunan ini.  Tapi terpulanglah citarasa masing-masing, sebab ada yang suka manis-manis manja ala-ala manis buah, dan ada yang suka maniiiiiiiisssss!



Method:
1. Combined ingredients A and B in a mixing bowl and mix well - nanti Amie terangkan di bawah.
2. Devide the remaining one - third of the batter into three equal portions. Mix each colouring into each portion.
3.Preheat oven to 200'C (400'F) for 15 minutes.
4. Grease a 20 x 20 x 10 cm (8" x 8" x 4") square baking tray. Line with greaseproof paper.
5. Scoop 5 tbsp uncoloured batter into baking tray. Bake until done and press with a cake presser. Repeat to make five layers.
6. Scoop 5 tbsp green batter over uncoloured layer. Bake until done and press with a zigzag mould - Amie tak ada zigzag mould, jadi gunakan saja penekan kek biasa... tak nampaklah zigzagnya.
7. Scoop 5 tbsp purple batter over uncoloured layer. Bake until done and press with a zigzag mould - Amie guna adunan warna merah.
8. Scoop 5 tbsp orange batter over uncoloured layer. Bake until done and press with a zigzag mould.
9. Repeat steps 6 to 8 two more times.
10. Repeat step 5. 
11. Bake entire cake at 100'C (212'F) for 10 minutes or until the edges of the cake are dry.
12. Remove from oven. Leave to cool before slicing and serving.

Nota kaki:
Menurut buku resepi yang Amie guna pakai, bahan A hendaklah disediakan berasingan dengan bahan B dan kemudian barulah dicampurkan dalam satu adunan. Adun dahulu bahan A dalam mangkuk dan pukul hingga sebati. Manakala bahan B pula hendaklah dipukul menggunakan high speed selama 10 minit atau sehingga berkrim. 

Wokey... cerita seterusnya tentang tempahan Kek Lapis Cheese Masam Manis lagi. Kali ini  tempahan untuk versi kukus pula


Ohooo... jangan kau pandang tepi-tepinya yang kurang lawa tu (nyanyi ikut lagu Ramli Sharif,  walaupun hodoh dipotong dimakan juga! Pandanglah isinya yang sungguh enak & mengancam jiwa raga seperti di bawah ini!


Ini versi bakar tapi versi kukus pun lebih kurang sama saja kejadiannya! Jangan pandang lama-lama ye nanti meleleh liur atas keyboard, Amie tak mahu bertanggungjawab! Semua tempahan ni orang punya, jadi Amie tak boleh nak potong-potong bagi kat korang pulak ye... he he ehh. Resepi pun Amie dah papar berkali-kali dalam setiap entri Kek Lapis Cheese Masam Manis. Cuba buat ye kalau ada kerajinan...
Ada pun Kek Lapis Cheese Masam Manis ini empunya miliknya ialah Cikgu Kamsiah Idris.


Terima kasih Kam, moga gembira bila melihat & membuka kotak kek ini di atas mejamu nanti! Dan happy belated birthday yang jatuh pada 29 Jun 2013. Moga bahagia selalu dan tambah ceria bila makan Kek Lapis Cheese Masam Manis yang ditunggu-tunggu ini.


Sabtu, 29 Jun 2013

Pindang Ikan Bolu

Sejak tibanya bulan Syaaban, banyak benar Encik Suami dapat jemputan kenduri arwah. Puaslah makan nasi berkat berpinggan-pinggan dengan pelbagai lauk pauk. Tengahari tadi Encik Suami dengan Fairuz menghadiri majlis kenduri lagi.  Amie pula kenduri di dapur dengan masak Pindang Ikan Bolu!


Sedap je hirup kuah pindang. Makannya pula dengan nasi panas. Nak lebih pedas, picit saja cili padi yang sudah lembik kena rebus bersama ikan bolu tadi.


Antara pindang dan singgang kadang kala daku keliru. Dua-duanya masak berkuah. Untuk tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak yag prihatin sangat terhadap bahan yang digunakan dalam satu-satu menu (dan dikaitkan dengan namanya), Amie pun bersembunyilah di sebalik buku masakan Kompilasi Masakan Ikan Laut. Bukan apa weh.... pernah beberapa kali dipertikaikan resepi kita sebab katanya tak betul... walaupun kita tulis besar-besar dari mana sumber resepi yang kita dapat! Ada pun masih juga  ada salahnya walaupun empunya buku resepi tadi merupakan  salah seorang chef tersohor tanahair! Kalau dah masakan chef pun dipertikai... apatah lagi masakan dariku...aku ini anak orang kampung saja!


Resepi Asal - Singgang Ikan Lobak Putih (Amie punya Singgang Ikan Lobak Merah)
Sumber : Kompilasi Masakan Ikan Laut oleh Patonah Chai Choh

Bahan-bahan:
225 gram ikan tenggiri di potong kecil - Amie gunakan seekor ikan bolu dipotong 5
100 gram lobak putih dihiris - Amie gunakan sebiji lobak merah
750ml air
2 biji tomato - dipotong 6
3 biji bawang putih - dimayang
1 biji bawang besar - dimayang
3 keping asam gelugur
1 sudu besar daun ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
garam & gula pasir secukupnya - Amie gunakan perencah MAGGI Cukup Rasa

minyak masak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan serbuk kunyit hingga naik bau.
2. Masukkan air, ikan tomato, daun ketumbar dan asam gelugur. Bubuh gula dan garam. Kacau dan biarkan mendidih.
3. Masukkan lobak dan biarkan mendidih hingga ikan masak dan lobak empuk.


Jumaat, 28 Jun 2013

Layan Tempahan Pertama Kek Lapis Cheese Masam Manis!

Oh! Hari ini rupanya hari Jumaat. Amie sangka hari Sabtu, sebab sekolah Amie cuti. Nampaknya entri pagi ini lebih kepada cerita orang mamai...  separuh jaga dan separuh tidur. Apa pun... jom layan Kek Lapis Cheese Masam Manis di bawah ini.


Nampak okey tak? Sempurna tak? Memang pertanyaan orang kurang keyakinan diri kan? Wokey... terus kepada isi cerita yang hendak disampaikan... he he ehhh sebenarnya inilah kali pertama Amie sudi terima tempahan kek lapis! Bukannya 'sanggup' tapi 'sudi'..... gaya orang jual mahalkan? Macamlah cantik sangat keknya atau pun macamlah sedap sangat rasanya. Dah lebih-lebih perasan dah ni.


Rakan sekerja Amie meminta Amie buatkan sebiji kek lapis untuknya. Katanya tebal-tebal pun tak apa. Sebab dia pun faham situasi Amie yang ada bujang kenit Firdaus. Kesianlah pulak bila dia kata buat tebal-tebal pun tak apa.... ini yang buat kita naik semangat sebab orang sangat mengharap dan beri sepenuh kepercayaan dan serah bulat-bulat pada kita. Walaupun dia kata tebal-tebal pun tak apa, Amie tetap buatkan secantik dan sesempurna mungkin sebagaimana moleknya bentuk kek lapis. Amie pun mulakan kerja-kerja melapis seawal pukul 4 petang. Menjelang 8 malam, siaplah sebiji Kek Lapis Cheese Masam Manis 16 lapis menunggu sejuk untuk dibungkus. Dengan penuh yakinnya, Amie pun hantar sms kepada rakan Amie supaya mengambilnya pada keesokkan hari, pukul 10 pagi.



Nak dijadikan cerita, ketika Amie baring menyusukan Firdaus tiba-tiba terasa ada sesuatu yang tak kena  pada kejadian kek lapis tadi! Rupanya Amie hanya memasukkan 250 gram mentega dan bukannya 450 gram seperti yang ditetapkan dalam resepi! Padahal setiap kali Amie buat kek lapis Amie mesti gunakan 450 gram mentega! Tapi kenapa pula bila membuat kek tempahan Amie boleh terlupa? Sudahlah Amie masih buta tentang dunia kek, Amie tidak tahu apa akan jadi kepada kek yang kurang kandungan menteganya! Sudahlah kena gunaan mentega berkualiti tinggi... takut tinggi pula risikonya kalau tidak ikut sukatan. 


Dengan penuh rasa tanggungjawab untuk memberi kepuasan kepada pelanggan Amie pun bergegas kembali ke dapur. Syukurlah semua bahan untuk membuat kek lapis masih banyak sebab memang Amie beli lebih memandangkan ada lagi rakan sekerja yang menempah untuk hari Isnin dan minggu seterusnya. Ketika Amie sibuk membasuh telur, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi! Bermakna Amie perlu berada di dapur sehingga pukul 4 pagi....  sehingga menjelangnya waktu Subuh. Akhirnya tepat pukul 4 pagi siaplah sekeping Kek Lapis Cheese Masam Manis berukuran 8"x8"x3" seperti di atas.


Kalau tidak kerana kesilapan kurang bubuh mentega, tak adalah pose kek lapis hari ini.  Tak dapatlah rakan-rakan pengunjung menjamu mata ye... he he ehhhh. Oleh kerana kurang pengetahuan tentang kek lapis, jadi Amie jadikan pengalaman malam tadi sebagai satu pengajaran dan juga guru yang paling mahal pernah Amie perolehi setakat ini.




Walaupun Amie tidak bertujuan untuk mencari keuntungan yang semaksimumnya, atau pun berhasrat untuk memulakan perniagaan , namun Amie tetap menitikberatkan kualiti kek yang dihasilkan. Maklum sajalah kalau tempahan jenis kek lapis yang mewah seperti ini  pelanggan sanggup bayar dengan jumlah yang tinggi! Sebenarnya Amie sendiri takut menghadapi risiko apabila berhadapan dengan pelanggan tetapi pengalaman yang dikongsi bersama oleh rakan-rakan blogger seperti MADIHA cukup membuatkan Amie insaf bahawa tidak ada jalan yang mudah untuk kita mencapai kejayaan. Wallaaa...waalaaa... gaya bercakapnya ni macamlah sudah sehebat UCUBAKERYRAHEL, EVELYN GEMINA (sekadar menyebut beberapa nama ye... sebenarnya banyak yang nak disebut) yang memiliki tangan-tangan ajaib itu.... ngeeeeee....(sengih-sengih sendiri sebab tak ada kawan). Oh ya... hari ini Amie cuti, nak betulkan ayat... sekolah Amie cuti peristiwa sebab 3 hari berturut-turut kami bertungkus-lumus sampai separuh rentung bertugas di padang untuk menjayakan sukan tahunan. 
Wokey... sambung  cerita. Amie juga turut jadikan SHEILA sebagai idola di atas kesungguhannya mencuba sesuatu resepi dengan prinsipnya 'try n error'. Cerita tentang Sheila... malam tadi sempat Amie sembang melalui FB. Untuk menghilangkan rasa mengantuk menunggu lapisan demi lapisan masak, Amie pun bawa laptop ke dapur. Kebetulan Sheila pun sedang online dan sibuk menyiapkan sesuatu. Bila Amie tahu Sheila pun masih di dapur, Amie pun terasa seakan-akan ada kawan yang menemani! Jangan salah tafsir ye... malam tadi Amie tak terasa meremang bulu roma atau bulu tengkuk tau! 




Banyak pulak songelnya Amie pagi ini... di pagi Jumaat nan mulia ini. Keknya sebiji je tapi riuhnya seantero maya ha ha haaaa.... Oh ya! Tuan punya kek pun sudah datang tadi tepat pukul 11 pagi untuk mengambilnya.


Amie suka terima pemberian yang cantik, jadi Amie pun mahu berikan yang cantik juga untuk penerima Kek Lapis Cheese Masam Manisnya ini. Sila abaikan tepi-tepi kek itu ya....  walaupun kelihatannya begitu tapi kalau dipotong dibuang ke mulut juga. Abaikan juga cara pembungkusannya yang tak berapa kemas... ini baru pertama kali buat ye... esok lusa makin kemaslah kot.... kot ajelah.


Hari ini dalam sejarah.... inilah hasil paling cantik pernah Amie berikan kepada pelanggan! Biarlah dengan kejakun-jakunanku, namun selain kek pisang, kek labu yang lepas-lepas tu ada juga kek lapis yang menuntut tahap kesabaran dan kerajinan yang tinggi selain tuntutan tidur yang tak terlayan oleh mata! Terima kasih daun keladi buat Cikgu Rosnah Othman yang sudi menempah kek lapis ini. Sebelum ini Cikgu Rosnah memang pernah makan kek lapis yang Amie bawa ke sekolah, tapi itu percuma... yang ini berbayar. Harap-harap yang berbayar ini rasanya lebih enak dari yang percuma ye Cikgu Rosnah.


Habislah cerita untuk hari ini. Firdaus sedang tidur. Amie juga yang belum tidur dari pagi, dari malam tadi, dari kelmarin lagi..... walalalllaaa... masak tengahari belum lagi! Tak apa, kejap lagi keluarkan ikan untuk direndam. Sementara Firdaus masih lena, Amie pun nak ngorok kejap!

Khamis, 27 Jun 2013

Sup Ayam Hadnyai

Lamanya tak hirup Sup Ayam Hadnyai yang penuh dengan pelbagai  aroma yang sungguh menggoda selera! Orang sakit pun agaknya terus berselera bila dihidangkan masakan sup dari selatan Thai ini. Apa tidaknya... pelbagai jenis herba seperti serai dan lengkuas serta rempah-rempahan bertemu menjadi satu dalam periuk sup!


Terima kasih buat penyumbang resepi ini, Pyonda. Amie minta izin panjangkan resepi ini di sini pula ye...Sebenarnya Amie pernah mencuba masakan ini DI SINI di bulan puasa tahun lepas sebagai hidangan untuk bersahur.

Resepi : Sup Ayam Hadnyai
Sumber : pyhonda


Bahan-bahan ( 3 orang makan )
  • 1) Sebelah ayam dipotong-potong
  • 2) 3 ulas Bawang putih dan 5 ulas bawang merah, 3 biji cabai, 4 cm halia ditumbuk lumat
  • 3) 7 cm lengkuas dihiris sederhana nipis dan tumbuk untuk pecahkannya
  • 4) 5 batang serai ditumbuk untuk pecahkan
  • 5) 2 sudu besar ketumbar , 1 sudu kecil jintan manis dan jintan putih ditumbuk sehingga lumat
  • 6) 2 biji bunga lawang, 5 biji buah pelaga, 3 ketul kayu manis dan 3 kuntum bunga cengkih
  • 7) daun sup, daun bawang, daun sadri dan batang sadri


Cara-cara

  1. Tumiskan bawang putih, merah, cabai, halia, ketumbar, jintan manis dan putih, bunga lawang buah pelaga, kayu manis, bunga cengkih, lengkuas dan serai sehingga menaikkan bau yang semerbak harum dan mewangi
  2. Masukkan ayam yang sudah dipotong-potong mengikut citarasa kedalam tumisan tadi dan gaulkan sehingga rata tutup dan biarkan 5 minit. Masukkan batang sadri
  3. Masukkan 5 cawan air dan biarkan sehingga menggelegak.
  4. Tambahkan garam secukup rasa n sedikit saja gula untuk menyedapkan rasa kuahnya.
  5. Hiriskan daun bawang, sup dan sadri taburkan pada hidangan. Perahkan sedikit limau nipis. Sedia untuk dimakan dan dihirup.....aahh..sodapnya!


Nak tahu sedap tidaknya Sup Ayam Hadnyai ni kenalah masak sendiri  ye... resepi dah ada di atas tu. Cubalah masakan yang sungguh lazat dari kampung Patani dan Hadnyai ini.

Rabu, 26 Jun 2013

Ayam Gerang Asam

Bertemu kembali setelah beberapa hari menyepikan diri.... dan bukan juga melarikan diri tapi mula menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti sekolah. Sesibuk mana pun di sekolah, masak tetap diutamakan apabila berada di rumah. Cukuplah mukadimahnya untuk kali ini ye... dan Amie terus paparkan menu Ayam Gerang Asam, menu makan malam kami sebentar tadi.


Resepi : Ayam Gerang Asam ( Resepi Asal : Ikan Gerang Asam)
Sumber : Chef Florence
    Bahan-bahan: (Amie ubahsuai mengikut keperluan masakan)
    175ml minyak
    0.5 liter air
    35 gram asam jawa - bancuh dengan sedikit air
    1kg daging ayam - 10 keping
    3 tangkai daun kesum
    1 kuntum bunga kantan
    2 sudu teh gula
    1.5 sudu makan serbuk ikan bilis

    Bahan kisar halus:
    25 tangkai cili kering
    300 gram bawang merah
    3 ulas bawang putih
    7 biji buah keras
    2 cm kunyit hidup
    2.5cm lengkuas
    4 batang serai
    1.5 sudu teh serbuk belacan
    Hiasan: daun limau purut, daun bawang & hirisan cili

    Cara:
    1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar halus sehingga wangi.
    2. Masukkan air asam dan biarkan bahan-bahan tersebut mendidih.
    3. Selepas itu masukkan daun kesum dan bunga kantan dan renihkan selama 8 minit.
    4. Besarkan api dan masukkan perasa serta ayam. Biarkannya sehingga daging ayam empuk atau masak.
    5. Tutup api dapur setelah kepekatan kuah memenuhi citarasa masing-masing.



Sebelum ini  Amie pernah masak resepi ini DI SINI. Sebab apa Amie masak lagi? Sebab sedaplah... kan!


Resepi nyonya ini memang sedap! Cukup lengkap dengan pelbagai perencah dan tumbuhan herba. Siap masuk belacannya lagi! Ingin tahu sedap tidaknya, kenalah cuba sendiri... ahaksss... nak hulur jauh sangatlah! Ajak-ajak ayam bolehlah... jemput teman-teman he he hehh.

Ahad, 23 Jun 2013

Agar-Agar Jelly Cinta Bersemi


Selamat berhujung minggu buat rakan-rakan pengunjung yang dihargai. Kelmarin Amie sudah kembali ke sekolah! Sudah cukup tempoh 3 bulan bercuti. Kelmarin juga merupakan hari penyampaian rekod kemajuan pelajar dan ceramah keibubapaan. Rupanya..... ada program Hari Bersama Komuniti Pendidikan PPD Lahad Datu diadakan selama 2 hari berturut-turut mulai 22 - 23 Jun (kelmarin dan hari ini). Patutlah ketika Amie sampai di sekolah, terdengar keluhan.... kerja 7 hari seminggu! Benar... hari ini seawal pukul 7 pagi Amie sudah berada di Dewan Sri Perdana untuk mengikuti Program Hari Bersama Komuniti Pendidikan PPD Lahad Datu. Setelah acara selesai, Amie terus memandu pulang tanpa mengisi perut walaupun makanan sudah disediakan. Apa ceritanya anak-anak dan Encik Suami yang belum makan tengahari? 



Agar-Agar Jelly Cinta Bersemi ini Amie cipta sendiri nama dan bentuknya malam tadi. Di bahagian dalamnya Amie bubuh jelly perisa kiwi, manakala bahagian luarnya Amie salur dengan agar-agar santan.

Resepi : Agar-Agar Jelly Cinta Bersemi
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 gram agar-agar
550ml air
80ml santan pekat
1 biji telur
6 sudu makan gula pasir
secubit garam
setitik pewarna hijau

Jelly kiwi  bentuk hati secukupnya.

Cara:
1. Didihkan agar-agar bersama 550ml air sehingga larut.
2. Masukkan gula pasir serta setitik pewarna hijau dan kacau sehingga larut.
3. Pukul telur dan masukkan ke dalam santan. Tapis. Kemudian masukkan ke dalam adunan agar-agar di dalam periuk. Kacau perlahan-lahan. Tutup api.
4. Masukkan seketul jelly kiwi ke dalam acuan bentuk hati.
5. Tuangkan adunan agar-agar ke dalam acuan tadi dan biarkan sejuk.

Untuk membuat Kiwi Jelly bolehlah klik di SINI.  Walaupun resepi asalnya Mango Konnyaku Jelly tapi tukarkan saja bahan dengan menggunakan kiwi.



Selepas mengisi perut seadanya, Amie duduk berbual-bual dengan Encik Suami sambil menikmati seketul dua Agar-Agar Jelly Cinta Bersemi. Tapi rasa tak berapa berselera sebab... teringat rakan-rakan lain yang terpaksa mengikuti program di dewan sehingga pukul 4.30 nanti. Esok... awal pagi, datang ke sekolah. Hari Selasa dan seterusnya... berjemur di padang kerana ada sukan. Sabtu hadapan...  wajib menghadiri sambutan hari guru peringkat daerah pula!
Teringat ceramah pagi tadi yang bertajuk : Saya Akur Pekeliling.... hmmm... apa nak buat, siapa suruh pilih profession yang sedang disandang ini kalau sudah tahu bahawa.... saya yang menurut perintah!

Tidak ingin membayangkan apa akan berlaku esok dan seterusnya... fikirkan saja tentang hari ini, dan lebih baik segera bersiap-siap untuk mengambil Firdaus di kampung! Anak kecil memang jadi terapi minda!

Jumpa lagi.

Jumaat, 21 Jun 2013

Jom Pilih Hidangan Berbuka Puasa Dari Dapur Kecilku : Sally Rashid

Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Sudah tentu ada yang telah membayangkan untuk membeli juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan. Tidak kurang juga yang ringan tulang untuk menyediakannya sendiri di dapur. Bagaimana pula dengan karenah anak-anak anda yang baru mula belajar untuk berpuasa? Sudah tentu perkara yang turut anda fikirkan ialah untuk menyediakan juadah yang dapat memenuhi selera si kecil. Selain enak dan lazat, air tangan anda untuk anak-anak sudah pasti dijamin kebersihan dan halalnya. 
Untuk Segmen Meriahnya Dunia Masakan kali ini apa kata kita jenguk-jenguk di Sally Rashid Dari Dapur Kecilku. Terdapat pelbagai resepi yang lazat dan mampu memikat selera untuk dijadikan juadah berbuka puasa.Terima kasih daun keladi ye Sally kerana sudi menyertai kumpulan Meriahnya Dunia Masakan dan mengirim pelbagai resepi untuk dikongsi bersama.
Cuba lihat hasil air tangan Sally di bawah ini. Bukankah Puding Buah yang berwarna-warni ini mampu menggoda selera anak-anak kecil dan juga orang dewasa untuk berbuka puasa?

Puding Buah

Puding Nenas

Sira Labu

Barangkali selama ini anda hanya membeli sahaja kuih-muih untuk juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan. Apa kata cuba resepi-resepi yang terpapar di bawah ini. Semuanya enak-enak belaka!

Kuih Tako

Karipap Rangup

Kuih Lapis Seri Wangi


Kuih Cara Manis


Abuk-Abuk


Roti Jala


Seri Muka Pandan

Ada sesiapa yang ingin mencuba resepi Tempe Goreng Rangup? Nampak sangat sedap bukan?

Tempe Goreng Rangup

Nampaknya anda mempunyai pelbagai pilihan untuk hidangan lauk-pauk menjelang bulan puasa nanti kerana  Sally banyak menyediakan menu yang mudah dan lazat untuk dinikmati!

Bilis Sambal Tempoyak

Kerabu Jantung Kasturi

Butter Prawn

Udang Celup Tepung


Asam Pedas Daging

Ayam Goreng Serai

Ayam Percik

Ayam Masak Kicap Mak Bi

Sticky Caramel Chicken Wings

Siakap Gulai Kuning Brsama Nenas

Fillet Dory Masam Manis

Kuey Teow  Haufan

My Mom Nasi Dagang

Nasi Ayam Simple

Semoga paparan ini dapat membantu anda mencari idea untuk menyediakan menu hidangan berbuka puasa nanti. Terima kasih sekali lagi buat Sally Rashid di atas semua perkongsian resepinya dan juga terima kasih kepada anda yang sudi membelek-belek resepi di sini.