ADSENSE

Rabu, 29 Mei 2013

Kek Lapis Keju Masam Manis ( Haw Flakes Cheese Layer Cake)

Assalamualaikum.
Rakan-rakan pengunjung yang disayangi..... Kek Lapis Keju Masam Manis ini merupakan paparan terakhir daripada Amie's Little Kitchen untuk bulan Mei 2013. Esok pagi, selepas solat Subuh, Amie akan berangkat ke Airport Tawau untuk penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur. Hari Ahad lepas, Bonda meminta Amie pulang untuk menyelesaikan satu urusan keluarga. Doakan agar dipermudahkan segala urusan Amie nanti, in shaa Allah.




Amie sempat menyiapkan Kek Lapis Keju Masam Manis pada malam semalam. Kek ini mempunyai 20 lapisan versi bakar. Sebelum ini Amie pernah membuat kek yang sama tetapi versi kukus DI SINI.  Amie berani mengatakan Kek Lapis Keju Masam Manis ini memang dijamin sedap! Kek ini merupakan kek lapis pertama yang Amie pelajari di kelas masakan. Mungkin resepinya sedikit berbeza dengan kek lapis masam manis yang lain, tetapi penggunaan keju krim dan juga keju parmesan membuatkan kek ini  terasa berganda kelazatannya!


Semenjak dua menjak ini Amie memang agak gopoh sedikit ketika menyediakan bahan untuk paparan bersama. Ini disebabkan Amie perlu memberi tumpuan yang lebih kepada si kecil Firdaus, jadi ambil gambar pun main tangkap muat saja! Bukan itu sahaja.... lihatlah cara Amie potong kek di atas! Pisau pun tumpul semacam sehingga menyebabkan nampak gerigi di tepi-tepi kek. Bukan apa... semuanya nak segera... nak cepat siap sebab nak main-main dengan si kenit! Oh...! Firdaus terpaksa ditinggalkan dengan kakak ipar untuk beberapa hari sementara Amie berurusan di Selangor sehingga Amie kembali ke Sabah.



Inilah rupa Kek Lapis Keju Masam Manis sebanyak 20 lapisan!



Bahan-bahan:
250 gram Philadelphia Cream Cheese
100 gram parutan Parmesan Cheese
450 gram mentega berkualiti tinggi - Amie gunakan jenama Anchor
100 gram gula halus
1 tin susu pekat manis - (berat 505 gram)
10 biji telur gred AA
30 gram ovallette 
250 gram tepung Hong Kong
150 gram Horlicks
haw flakes secukupnya 
pewarna hijau pandan

Loyang berukuran 8 X 8 X 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.

Cara:
1. Pukul mentega hingga putih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete. 
2. Setelah kelihatan sebati, masukkan Philadelphia Cream Cheese serta parutan Parmesan Cheese. Pukul lagi sehingga licin dan berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga  kembang dan pekat.
4. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
5. Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung Hong Kong diikuti dengan Horlicks.
6. Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 2 bahagian.  Amie gunakan timbangan untuk menyukat adunan.
7. Amie warnakan satu bahagian adunan dengan pewarna hijau pandan, dan satu adunan lagi tanpa warna.
8. Ambil 1 senduk adunan berwarna hijau pandan dan ratakan di atas loyang kek. Bakar menggunakan api atas selama 10 minit menggunakan suhu 160''C (ikut kepanasan oven masing-masing).
9. Keluarkan loyang kek dan untuk mengelakkan daripada kek menggelembung, cucuk-cucuk permukaan kek dengan garpu, atau tekan dengan penekan kek - lakukan begini pada setiap lapisan kek.
10. Susun haw flake di atas permukaan kek - Amie gunakan sebanyak 25 keping untuk  setiap lapisan yang ketiga.
11. Ambil 1 senduk adunan tanpa warna dan ratakan. Bakar lagi selama 10 minit.
12. Ulangi Langkah 8, 9 dan 10 dan seterusnya sehingga selesai.
13. Setelah selesai membakar lapisan terakhir, ubah api di bahagian bawah dan bakar lagi di antara 12-15 minit supaya masak keseluruhan kek. Gunakan suhu antara 120-140'C (ikut kepanasan oven masing-masing).



Amacam? Okey tak? Jom... kalau ada sesiapa yang ingin mencuba resepi ini, dipersilakan dengan segala senang hati. Untuk menyediakan bahannya memang memerlukan modal yang agak lebih sedikit dan untuk menyiapkannya juga memang menuntut kesabaran dan tahap kerajinan yang tinggi! Namun... hasilnya memang berbaloi-baloi!!!!

Selasa, 28 Mei 2013

Tenggiri Masak Asam Pedas, Telur Dadar Mayonis & Crab Stick Sayur Campur

Assalamualaikum.
Jemput nikmati hidangan tengahari (paparan sebelah malam!) kami dengan lauk Tenggiri Masak Asam Pedas, Telur Dadar Mayonis & Crab Stick Sayur Campur.


Nampaknya anak-anak lebih suka makan Crab Stick Sayur Campur dengan Telur dadar mayonis, manakala Tenggiri Masak Asam pedas tidak di usik. Bolehlah dipanaskan lagi untuk lauk hidangan malam pula!



Resepi : Ikan Pari Masak Asam Pedas
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 keping ikan tenggiri
3 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 2
garam dan gula secukup rasa
2 keping asam gelugur
2 cawan air
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5 cm belacan
1cm halia
1cm kunyit hidup
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak. Jika terlalu kering tambah, sedikit air.
2. Tambah 2 cawan air, dan masukkan asam gelugur, daun kesum dan bunga kantan. Biarkan kuah mendidih.
3. Masukkan ikan tenggiri dan biarkan sehingga masak.
4. Perasakan dengan garam serta gula.



Resepi : Telur Dadar Mayonis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 biji telur gred AA
4 sudu makan mayonis
1 labu bawang besar - dicincang
1/2 biji capsicum merah - didadu
1 batang daun bawang (spring onion) - di hiris
10 biji cili padi - dihiris
1 sudu teh serbuk pati ayam Maggi
mentega

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas kecuali mentega. Gaul sebati.
2. Panaskan mentega di dalam kuali dan dadar telur dengan api perlahan sehingga masak.



Resepi : Crab Stick Sayur Campur 
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
6 batang crab stick saiz XL - potong 3
1 cawan potongan kobis bunga
1/2 cawan potongan kobis panjang
1/2 batang lobak merah - potong bulat
10 biji kacang manis - potong 2
1/2 biji capsicum hijau
3 batang spring onion - potong 3cm
3 ulas bawang putih - pecahkan
1/2 labu bawang besar - cincang
4 biji cili hijau - hiris
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan serbuk  Maggi Cukup Rasa
minyak

Cara:
1.  Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang besar serta cili hijau hingga naik bau.
2. Masukkan lobak merah dan crab stick. Tambahkan sedikit air jika gorengan terlalu kering.
3. Masukkan kobis bunga, kobis panjang dan kacang manis. Gaul sebati.
4. Setelah tumisan hampir masak, masukkan capsicum dan juga spring onion. Kacau lagi.
5. Masukkan sos tiram, dan serbuk Maggi Cukup Rasa.
6. Gaul  rata dan tutup api dapur.

Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (SABAH MONTH)

Assalamualaikum.
Selamat pagi semua.  Sarapan apa agaknya pagi ini ye... Jika anda pernah berkunjung ke Sabah, kemungkinan besar jika ada kesempatan anda dapat menikmati sarapan pagi dengan hidangan nasi kuning. Anda akan temuinya di gerai makan atau di restoran. Pelbagai jenis lauk boleh anda pilih tetapi kebiasaannya nasi kuning dimakan bersama sambal ikan. Sebelum ini Amie telah beberapa kali memaparkan menu NASI KUNING SAMBAL IKAN KAYU,  NASI KUNING SAMBAL IKAN TONGKOL  dan  lagi NASI KUNING SAMBAL IKAN TONGKOL  serta NASI KUNING SAMBAL IKAN ALU-ALU dan juga NASI KUNING SAMBAL IKAN TONGKOL & SERUNDING KELAPA. Kali ini Amie kongsikan lagi menu sarapan pagi Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna. Ada yang keliru dengan mengatakan ikan tongkol dan ikan tuna itu sama. Walaupun ia dari spesies yang sama tetapi ada perbezaannya. Ikan tuna lebih besar dan dagingnya lebih lembut serta lebih enak. Bagaimanapun terpulang kepada cita rasa masing-masing untuk memilih lauk sambal ikan yang digemari.


Hidangan sarapan pagi yang Amie paparkan ini Amie ambil gambarnya di waktu pagi seawal jam 7 di tepi tingkap dapur. Nasi kuning ini Amie masak pada malam Amie menyiapkan KEK LAPIS INDIA / CADBURY.  Oleh kerana terpaksa berjaga sampai pukul 3 pagi kerana membakar kek lapis, Amie ambil kesempatan untuk menyediakan sarapan untuk keesokan harinya, dan bolehlah Amie qada' tidur pada sebelah paginya!


Resepi : Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna

Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan untuk nasi kuning:
4 cawan beras
1 batang serai - dititik
3cm halia - hiris halus
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam / kiub / perasa pilihan
500ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama serai, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Ada yang merendam beras semalaman bersama kunyit, dan dikukus pada keesokan harinya. Namun begitu, terpulanglah kepada kehendak dan citarasa masing-masing untuk menghasilkan nasi kuning ini. Sesetengahnya pula mencampurkan segenggam beras pulut untuk ditanak bersama.


Bahan-bahan untuk Sambal Ikan Tuna:

6 keping ikan tuna
garam secukupnya
gula secukupnya
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan
1 batang serai

Cara:
1. Lumurkan ikan tunal dengan garam dan kunyit. Goreng separuh masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan pati asam jawa.
4. Masukkan ikan tuna yang telah digoreng. Biar masak sehingga kuah memekat.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya. Padamkan api dapur.
6. Hidangkan bersama nasi kuning.

Selain sambal ikan, boleh hidangkan nasi kuning bersama telur rebus dan juga serunding kelapa.


"I am submitting this post to MFF Sabah Month







Isnin, 27 Mei 2013

Kek Lapis India / Cadbury

Assalamualaikum.
Terima kasih kepada Melly Octaviana dari  blog Masakan Melly kerana berjaya menggoda daku dengan kisahnya yang panjuang lebar tentang pengalaman pertama membuat kek lapis. Kalau Melly kali pertama membuat kek lapis, Amie pula kali pertama membuat kek lapis versi bakar. Melly menggunakan resepi dari DAPURKU SAYANG - DAYANG JACK.


Beberapa hari lepas Encik Suami meminta Amie membuat kek lapis untuk dikirim buat anak bujang sulung kami, Farid. Katanya, bolehlah dititipkan melalui Cikgu Yusrina yang sedang pulang bercuti di Lahad Datu. Cikgu Yusrina mengajar di Labuan, dan sebenarnya beliaulah yang banyak membantu kami terutama mencari tempat penginapan sewaktu berada di Labuan semasa kami hantar Farid untuk program matrikulasinya minggu lepas. Cikgu Yusrina juga yang tolong belikan Farid kasut kerana kasut yang Farid gunakan tercabut tapak kakinya sewaktu program orientasi dijalankan, Terima kasih banyak-banyak buat Cikgu Yusrina. 
Amie fikirkan 2 perkara untuk membuat kek lapis ini. Pertama, kena fikirkan kek lapis jenis apa yang hendak di buat, dan keduanya, selama ini Amie hanya buat kek lapis versi kukus. Tentu jangka hayatnya tak panjang.... tapi kalau versi bakar, tempoh hayatnya lama sedikit! Farid  hanya suka makan kek coklat! Syukurlah akhirnya dapat juga resepi Kek Lapis India / Cadbury yang menggunakan kepingan coklat. Untuk membakarnya pula, Amie ada masalah sikit... takut hangus! Sebab biasanya Amie tidak boleh tumpukan sepenuh masa berada di dapur.... maklumlah banyak benda hendak dibuat, sekejap lari ke ruang-ruang tertentu! Apa pun, Amie beritahu Encik suami, memandangkan Cikgu Yusrina akan pulang ke Labuan pada minggu hadapan, masih ada masa lebih kurang 10 hari lagi, lebih baik Amie cuba buat dulu Kek Lapis India / Cadbury ini. Mana tahu tak jadi.... maklum pertama kali buat cara bakar.




Malam tadi, bermula pukul 10, setelah Firdaus tidur, Amie dengan ditemani Fairus memulakan operasi di dapur. Akhirnya Amie berjaya menghasilkan 15 lapisan kek. Dan waktu yang Amie ambil untuk menyiapkan kek ini lebih kurang 5 jam!  Encik Suami terkejut kerana ketika dia terbangun pada pukul 2 pagi untuk membuat susu Firdaus, Amie masih lagi di dapur.  Oleh kerana terpaksa menunggu dalam tempoh yang agak lama, Amie sempat menyiapkan nasi kuning dan sambal ikan tuna serta serunding kelapa untuk sarapan pagi.  Setelah kek masak sepenuhnya, Amie dapat melelapkan mata sekitar pukul 3 pagi.

Dalam resepi yang dinyatakan, kepingan coklat hendaklah diletakkan pada lapisan ketiga. Namun begitu memandangkan resepi asal menggunakan warna / bahan adunan yang sama, Amie takut terlupa jumlah lapisan. Jadi Amie gunakan 3 warna iaitu hijau, merah dan kuning supaya tidak tersalah lapisan sewaktu menyusun kepingan coklat.

Kredit sepenuhnya buat sifu Dayang Jack yang memang pakar dalam hal ehwal melapis kek! Minta izin panjangkan resepinya di sini ye Dayang... terima kasih banyak-banyak!
Kek Lapis India / Kek Lapis Cadbury
Resepi : dayangjack@dapurku sayang

bahan-bahan: loyang 9" x 9"
  • 450g mentega berkualiti tinggi 
  • 120g tepung hong kong / tepung gandum (diayak)
  • 220g gula halus
  • 10 biji telur 
  • 100g tepung biskut marie
  • 65g serbuk horlicks
  • 50g serbuk santan (1 peket)
  • 300g susu pekat manis
  • 2 bungkus kepingan coklat Cadbury - Amie gunakan 3 bungkus kerana setiap 3 lapisan, Amie susun 20 keping
  • pewarna kuning - optional - Amie gunakan pewarna hijau, merah & kuning
Cara-cara:
  1. Sediakan loyang kek dan griskan dengan mentega.
  2. Putar mentega dan gula hingga kembang dan berkrim.
  3. Masukkan telur satu persatu sambil diputar perlahan.
  4. Masukkan tepung biskut marie, horlicks dan tepung, santan dan susu pekat sedikit demi sedikit. Putar lagi hingga sebati. Masukkan pewarna kuning jika suka. Kacau lagi sebati.
  5. Ambil 7 sudu besar adunan dan ratakan ke dalam loyang dan bakar hingga keperangan.
  6. Ulangi lapisan dan susunkan kepingan coklat pada setiap lapisan yang ketiga. 
  7. Sejukkan kek sebelum dipotong.
Nota:
  • Biskut marie dikisar halus dan diayak baru ditimbang.
  • Serbuk Horlicks boleh digantikan dengan serbuk nestum bayi jika suka.
  • Susu dan gula boleh dikurangkan atau dilebihkan mengikut citarasa sendiri.
  • Gunakan mentega yang berkualiti tinggi untuk dapatkan hasil yang baik. Contoh jenama Anchor dan SCS. 
  • Acuan saiz 9" x 9" digunakan untuk kek yang tidak terlalu tinggi. Boleh juga menggunakan loyang 8" x 8".
  • cara menyusun coklat : Bakar adunan terlebih dahulu. Kemudian susunkan coklat secara rawak. Tutupkan coklat dengan adunan seterusnya dan bakar hingga keperangan. ATAU masukkan adunan dan susunkan coklat secara rawak dan bakar. Terpulang pada keselesaan masing-masing.
  • Setiap layer dibakar/digril lebih kurang 7-10 minit mengikut kepanasan oven masing-masing.


Hasilnya nampak kurang kemas, tapi ini adalah percubaan pertama dan permulaan yang baik kerana  Encik suami kata kek ini sangat sedap.... rasanya seperti kek lapis yang dijual! Apa tak sedapnya..... kita 5 jam di dapur, dia ngorok dengan Firdaus! Hi hihiii.... lepas ni kena buat lagi sebab kek pertama ini kami makan, dan kek untuk Farid akan dibuat minggu depan, in shaa Allah.


HONG KONG MIXED GINGER LAMB

Assalamualaikum.
Sudah makan tengahari? Kalau belum mari datang ke dapur Amie bawa nasi kosong sepinggan. Kita makan sama-sama dengan lauk Hong Kong Mixed Ginger  Lamb di bawah ini.


Amie selalu nampak keluarga sebelah Encik Suami suka masak ayam dengan mencampurka Hong Kong Mixed Ginger. Salah satu di antara lauk-pauk  ayam yang kakak ipar Amie masak semasa kenduri aqiqah Firdaus tempohari juga menggunakan bahan ini. Amie cuba masak menggunakan lamb. Amie tidak pasti apa benda yang biasa dicampurkan, tetapi Amie tambahkan lada putih, kentang, capsicum merah dan juga daun bawang. Untuk memakatkan kuahnya, Amie bubuh sedikit bancuhan air tepung jagung, dan untuk menggelapkan warnanya sedikit, Amie bubuh satu sudu kicap manis ABC. Rasanya memang sedap! Cukup rasa masam daripada pelbagai bahan jeruk, manis kicap dan juga gurih lada putih!


Resepi : Hong Kong Mixed Ginger Lamb
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg lamb - potong ikut suka
1 botol Hong Kong Mixed Ginger
3 biji kentang - kupas dan belah 2
1 biji capsicum merah - potong dadu
4 batang daun bawang (spring oniom) - potong sepanjang 3m
3 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - hiris kasar
3cm halia - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
1 sudu kicap manis ABC
1/2 sudu makan tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
garam / perasa pilihan
minyak
2 cawan air

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah halia, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan lamb dan balik-balikkan hingga layu.
3. Masukkan ubi kentang, dan air serta Hong Kong Mixed Ginger bersama kuahnya sekali.
4. Tutup masakan sehingga daging dan ubi kentang empuk.
5. Tambahkan kicap manis ABC, lada putih, garam / perasa pilihan dan bancuhan air tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
6. Masukkan capsicum merah dan daun bawang. Gaul rata.
7. Tutup api dapur.

Carrot & Red Apple Smoothies

Assalamualaikum.
Jom buat kejutan ke atas perut kita di pagi Isnin yang cerah dan panas ini dengan segelas Carrot & Red Apple Smoothies. Aduh nyamannya.... lega rasa perut selepas dicuci oleh smoothies!


Resepi : Carrot & Red Apple Smoothies
Olahan : Amie's Little Kitchen 

Bahan-bahan:
3 biji epal merah - potong kecil
1 batang lobak merah - potong bulat-bulat
200ml susu segar
200ml yogurt asli
3 sudu makan gula pasir

Cara:
1. Sejukbekukan epal merah & lobak merah selama 2 jam
2. Masukkan epal merah, lobak merah bersama susu segar, yogurt asli dan gula pasir ke dalam pengisar.
3. Kisar hingga hancur dan lembut.
4. Tuang ke dalam gelas. 
Sedia untuk dinikmati.




Barobbo @ Bubur Jagung : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (SABAH MONTH)

Assalamualaikum.
Jemput nikmati Barobbo @ Bubur jagung dari dapur Amie. Sebelum ini  Amie pernah paparkan hidangan ini  DI SINI.  Bubur ini sangat enak dan tidak puas makan sekali! Pasti ingin menambah lagi! Ingin tahu cerita keenakannya boleh klik sekali lagi DI SINI.


Jom kita lihat resepi Barobbo yang terkenal dihidangkan dalam kalangan masyarakat Bugis Sabah di bawah ini.


Resepi : Bubur Jagung @ Barobbo
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cawan beras 
700 gram daging ayam - potong kecil-kecil
5 biji jagung - hiris 
3 batang kacang panjang - potong 4cm
1 mangkuk sayur cekur manis
3/4 cawan udang kering
800ml santan sederhana pekat
5cm halia - tumbuk
1 sudu makan lada putih - tumbuk
7 ulas bawang putih - tumbuk
7 biji bawang merah - tumbuk
garam & perasa pilihan
air secukupnya
bawang goreng
daun sup

Cara:
1. Didihkan air secukupnya di dalam periuk. 
2. Masukkan beras, bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering. 
3. Masukkan daging ayam dan biarkan mendidih sehingga menjadi bubur.
4. Masukkan santan, jagung, lada putih, garam dan perasa pilihan.
5. Apabila kuah mula memekat, masukkan sayur kacang panjang dan cekur manis. Gaul sebati.
6. Tutup api.
7. Hidangkan ketika masih panas.



Resepi : Pegedil Jagung
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 cawan hirisan jagung - sebaik-baiknya jagung segar
1 biji telur
2 sudu tepung gandum
2 sudu tepung jagung
3 ulas bawang putih - tumbuk
3 ulas bawang merah - tumbuk
1/2 sudu teh lada putih - tumbuk
3 tangkai hirisan daun sup
garam secukup rasa
minyak

Cara:
1. Masukkan jagung ke dalam mangkuk. 
2. Campurkan kesemua bahan di atas kecuali minyak.
3. Goreng sehingga warna keemasan.
4. Angkat dan toskan
5. Potong kecil-kecil sebelum dihidangkan bersama Barobbo.


Amie sediakan dua jenis sambal untuk dinikmati bersama Barobbo, iaitu sambal kicap dan juga sambal belacan campur tomato. 



"I am submitting this post to MFF Sabah Month


Ahad, 26 Mei 2013

Puding Roti Versi Tembikai

Assalamualaikum.
Jom sejuk-sejukkan tekak di pagi minggu yang terang benderang disinari cahaya matahari yang semakin terik ini dengan menjamah Puding Roti Versi Tembikai di dapur Amie. Terima kasih buat Naimah Md Ludin yang sudi berkongsi resepi yang enak dan cantik ini di BUKU RESEPI.

\

Resepi : Puding Roti Versi Tembikai

Oleh: Naimah Md Ludin


Bahan-bahan:

-1 tin susu cair
-1 cawan gula
-1/2 cawan susu pekat
-1 sudu kecik asen vanila
-4 keping roti gardenia
-1 biji telur
-1 sudu besar butter
-5 cawan air
-1 paket agar2 tali (20g)
-pewarna (merah/hijau)
-1/2 sudu kecil biji selasih

Cara masak:
- masak agar-agar dengan 5 cawan air dan 1 cawan gula sampai mendidih dan agar-agar hancur
- blend roti gardenia, telur, susu cair, susu pekat, esen vanila & butter
- campurkan bahan yg dibland dalam agar2 yg dah mendidih..kacau sebentar dalam 3 minit, tutup api.
- bahagikan kepada 3 bekas dan 2 bekas dimasukkan pewarna merah dan hijau, 1 bekas biarkan tanpa pewarna
- masukkan adunan merah dalam acuan (bentuk 3 segi) dan taburkan biji selasih
- sejukkan adunan merah dan kemudian tuang perlahan aduanan tanpa warna
- akhir sekali tuang adunan warna hijau perlahan2 bila lapisan putih dah keras
- sejukkan dalam peti.
- dah sejuk, keluarkan dari acuan dan potong ikut kreativiti sendiri



Seronoknya kalau resepi yang kita cuba menjadi!



Kredit sepenuhnya untuk tuan punya resepi Naimah Md Ludin!



Panduan Penting (Asas) Untuk Membuat Kek

Assalamualaikum.
Paparan Amie kali ini patut sekali dikongsi bersama anda yang baru berjinak-jinak belajar membuat kek. Amie perolehinya daripada buku resepi Kek & Puding oleh Hasma Noor Basir. Semoga apa yang Amie paparkan ini memberi manfaat kepada peminat resepi  masakan terutamanya kek. 

Langkah pertama yang mesti diambil apabila anda ingin membuat kek ialah  membaca resepi dengan teliti. Kemudian sediakan semua bahan dan peralatan di tempat anda bekerja. Sediakan bahan-bahan yang berkualiti untuk menghasilkan kek yang sedap dan cantik.



Lemak
Gunakan lemak yang segar. Biasanya kek menggunakan mentega sebagai komposisi lemak. Untuk itu gunakanlah mentega tulen agar anda puas hati dengan hasil air tangan sendiri. Walaupun harganya lebih sedikit, rasanya terjamin. Mentega yang dibalut dengan kerajang aluminium dan disimpan di dalam peti dingin beku tahan selama beberapa bulan.
Pilihan lain untuk lemak ialah lepa susu, marjerin, lemak sayuran, dan minyak. Sama sekali jangan gunakan bahan yang telah berbau tengik.
Lemak sayuran atau lelemak (shortening) ialah lemak yang diperbuat daripada sumber sayuran. Pada asalnya, bahan ini dihasilkan bagi memenuhi keperluan kelompok yang tidak memakan lemak haiwan, sama ada kerana alahan mahupun mengikut kepercayaan tertentu. Selain digunakan sebagai bahan dalam resepi, lemak sayuran sesuai digunakan untuk melenser loyang kerana ia tidak mudah hangus serta tidak berminyak.

Telur
Telur digredkan mengikut beratnya, misalnya gred A=60 gram, manakala gred B=50 gram. Gunakan gred yang sama sebagaimana yang dinyatakan dalam resepi berkenaan. Telur memainkan peranan penting dalam membuat kek, berfungsi untuk mengembangkan dan menggebukan. Sentiasalah gunakan telur yang segar untuk membuat kek.


Tepung
Gunakanlah tepung serba guna melainkan jika dinyatakan selain daripadanya. Tepung serna guna ialah tepung gandum yang dijual di dalam paket atau secara timbang di mana-mana kedai runcit atau pasar raya. Tepung ini digunakan secara harian, misalnya untuk membuat cucur atau lempeng. Rujuk DI SINI untuk lebih lanjut.
Tepung naik sendiri yang biasa juga disebut tepung kek ialah tepung yang siap mengandungi bahan penaik.
Tepung protein tinggi ialah tepung khusus untuk membuat roti dan pastri kerana kandungan glutennya yang tinggi.  Dalam penyediaan kuih warisan Melayu, gluten di dalam tepung gandum biasa disebut sebagai 'getah'. Tepung ini digunakan dalam industri kek komersial bagi menghasilkan kek yang kembang dan gebu. Tetapi jika anda tiada pengetahuan berhubung penggunaan bahan kimis dalam pembuatan kek, jangan gunakan tepung ini kerana kek anda akan keras dan merekah di tengah.
Tepung protein rendah pula digunakan untuk membuat juadah yang bertekstur 'ringan', seperti kek span, kek sifon, kek mentega, dan pau. Tepung kek span boleh dibeli dalam kotak di pasar raya dan kedai barangan membuat kek. Antara jenama yang popular di negara ini ialah Optima dan Sponge Mix.



Tepung jagung atau tepung ubi berfungsi untuk menambahkan kelembutan pada kek. Dengan kehadiran penstabil, tepung ini akan menjadikan kek span lembut dengan sempurna. 
Tepung hong kong ialah tepung protein rendah yang berkualiti tinggi. Harganya lebih mahal, tetapi menghasilkan kek dan pau yang lembut, gebu dan ringan.
Tidak kira apa jenisnya, sentiasa ayak tepung sebelum digunakan kerana mengayak tepung penting untuk membuang sebarang benda asing di dalamnya, di samping dapat memerangkap udara dan menjadikannya ringan. Hasilnya kek menjadi gebu dan cantik.

Gula
Gula ialah bahan utama dalam pembuatan kek. Selain menimbulkan rasa manis, ia berfungsi sebagai pengawet. Terdapat pelbagai jenis gula yang digunakan dalam membuat kek. Antara yang paling lazim ialah gula pasir, gula kastor, gula kastor halus, gula aising dan gula perang. Gula pasir mempunyai saiz butir yang paling kasar, diikuti dengan gula kastor, gula kastor halus dan gula perang. Gula kastor mempunyai tekstur berdebu, biasanya digunakan untuk tujuan hiasan. Gula perang pula digunakan untuk membuat kek kerana sirap kencana (golden syrup), sirap pekat hitam (black treacle), karamel atau gula hangus. Glukosa cecair pula adalah dalam bentuk pekatan jernih, fungsinya untuk mengeraskan, digunakan terutamanya dalam pembuatan aising.

Penstabil Kek
Sejenis pekatan berwarna oren atau putih yang berfungsi sebagai agen untuk menstabilkan adunan kek terutamanya bagi jenis ringan seperti kek span dan sifon. Di pasaran, ia lebih dikenali sebagai Ovallete dan Jilk.

Coklat
Bahan coklat yang biasa digunakan dalam resepi kek ialah serbuk koko, dijual mengikut timbangan ataupun tersedia dalam tin. Selain itu terdapat dalam bentuk pekatan atau pun pes, biasa disebut sebagai chocolate emulco.



Bahan lain ialah serbuk minuman coklat seperti Ovaltine, Milo atau pun Vico. Coklat masakan juga boleh digunakan, sama ada sebagai bahan dalam resepi atau pun sebagai hiasan. Coklat ini dijual dalam bentuk buku atau blok, mengikut berat tertentu. Di kedai menjual barangan membuat kek dan biskut, coklat masakan didatangkan dalam beberapa saiz dan ketebalan, biasanya dijual mengikut timbangan kilogram.

Perkara Penting Untuk Membuat Kek

Menyukat
Gunakan alat penyukat seperti sudu dan cawan yang sama (standard). Untuk sukatan penuh, bubuh bahan seperti tepung atau gula sehingga membumbung dan paraskan dengan pisau atau pembaris.
Jangan sekali-kali mencedok tepung terus dengan cawan kerana tepung akan menjadi padat dan lari dari sukatan yang sebenar. Sebaliknya gunakanlah senduk untuk mencedok dan masukkan ke dalam cawan penyukat.
Sekiraya anda menyukat dengan penimbang, pastikan anda menggunakan alat yang sama bagi keseluruhan resepi. Lain penimbang mungkin memberikan timbangan yang berbeza.

Mengayak
Sekiranya terdapat lebih daripada sartu jenis tepung atau bahan serbuk yang digunakan, anda boleh mengayaknya serentak (kecuali jika dinyatakan dalam resepi). Ini termasuklah serbuk penaik, soda bikarbonat, gula aising dan serbuk koko.
Mengayak ialah proses yang penting bagi mengelakkan kehadiran benda asing atau tepung yang berat dan bergentel.

Proses Mengadun
Sentiasa putar lemak dengan gula hingga gebu dan halus, jika tidak kek anda akan keras dan bantat. Begitu juga, putar telur hingga sebati dan masukkannya satu persatu. Sekiranya resepi menggunakan bahan kering dan cecair, masukkannya sedikit demi sedikit secara berselang-seli. Mulakan dengan tepung dan akhiri juga dengan tepung. Ini adalah untuk memastikan adunan sebati dengan sempurna.
Bagi resepi yang menggunakan mentega cair seperti adunan untuk membuat kek span, anda disarakan mengadun dengan tangan. Proses yang paling penting ialah mengaup, iaitu untuk menentukan udara dapat diperangkap dengan cukup bagi menghasilkan kek yang ringan dan gebu. Selain itu dengan menggunakan tangan, anda dapat memastikan dengan cara merasa bahawa mentega cair sudah betul-betul diadun dengan sebati.
Sekiranya anda mengaup dengan spatula, pastikannya rapat ke dinding mangkuk pengadun, dibawa turun terus ke dasar dan diangkat keluar dalam gerakan gelung ke arah dinding mangkuk. Lakukan ini berulang kali dengan cermat hingga adunan sebati.
Ingatlah perkara yang paling penting dalam proses mengadun - sentiasa lakukannya dalam satu arah sahaja. Jika tidak, anda akan merosakkan gelembung udara dan kek anda akan berat atau bantat.

Loyang Pembakar
Gunakan loyang yang bersesuaian mengikut bentuk yang anda kehendaki. Sentiasa lenserkan lemak sayuran dan lapik loyang dengan kertas minyak atau kertas kalis minyak (parchment paper) sebelum menuang adunan ke dalamnya.
Isi adunan 2/3 atau 3/4 penuh. Setelah diisi, hentak loyang bagi membebaskan udara yang terperangkap di dalamnya. Memadai dengan menghentak perlahan sahaja sebanyak 2 kali.

Persediaan Membakar
Pastikan ketuhar dipanaskan terlebih dahulu, sekurang-kurang 12-20 minit sebelum membakar. Buka pintu ketuhar 2 minit sebelum kek dibakar. Pastikan anda membiasakan diri dengan ketuhar yabg terdapat di dapur anda. Patuhi peraturan penggunaan seperti yang disyorkan oleh pengilang. Pandai-pandailah bermain api, kerana lain ketuhar lain ragamnya.
Posisi yang paling elok untuk diletakkan loyang pembakar ialah di rak yang kedua (tengah), tetapi jika anda mahu menggunakan dua lapisan rak, sesuaikan kedudukannya agar tidak bertindanan. Bubuh loyang di rak tengah terkedepan sedikit, manakala yang di rak bawah, biar terkebelakang sedikit. Jangan sekali-kali letak loyang terlalu hampir dengan dinding ketuhar.

Mengukus
Sekiranya anda memilih untuk memasak dengan kaedah ini, sentiasa didihkan air di dalam kukusan terlebih dahulu sebelum mengukus. Untuk mengukus kek buah, anda harus mengambil masa berjam-jam.



Bagi mengelakkan anda terlalai sehingga air kukusan kering, bubuh batu kerikil atau guli di dalamnya. Apabila air surut, batu itu akan menari dan berlaga dengan bunyi keretup keretap, mengingatkan anda agar air mesti segera ditambah.

Memastikan Kek Sudah Masak
Ujii kek dalam tempoh membakar yang paling minimum, iaitu dengan menggunakan lidi atau alat penguji kek. Cucuk lidi di tengah kek dan cabut keluar. Sekiranya lidi bersih, tanda kek sudah masak, tetapi jika lidi diselaputi sisa kek, maknanya kek perlu dibakar lagi.
Sejukkan kek mentega 10 minit di atas redai sebelum dikeluarkan dari loyang. Bagaimana pun kek span harus dikeluarkan terus dari loyang sebaik-baik sahaja masak. Jika tidak, ia akan menyusut atau mengecut.





Untuk menyejukkan kek sifon, selepas dikeluarkan dari ketuhar, terbalikkan acuan dan 'sangkut'kan di atas leher botol. Biarkan ia tergantung sehingga kek cukup sejuk sebelum dikeluarkan, iaitu dengan melekangkannya dari dinding loyang dengan menggunakan pisau.

Petua Membuat Kek Lapis
- Untuk mendapatkan lapisan yang cantik, sukat adunan dengan menggunakan senduk (anggaran 1/2 cawan). Gunakan sukatan yang sama untuk setiap lapisan.
- Gunakan hanya api di bahagian atas ketuhar, iaitu api grill atau pemanggang untuk membakar kek lapis demi lapis.
- Apabila sesuatu lapisan masak, tekan lapisan itu dengan menggunakan penekan khas supaya semua lapisan rata dan sekata. Jika tiada penekan, gunakan buntut gelas.
- Semasa prose membakar, jika terdapat gelembung udara timbul di permukaan kek, cucukkannya dengan lidi.





- Setelah selesai melapis, matikan api atas, laraskan suhu kepada 170'C, dan bakar lagi selama 20 minit menggunakan api bawah. Dengan cara ini, semua bahagian dan lapisan kek dapat dipastikan masak dengan rata.
- Keluarkan kek dari loyang ketika masih panas dan sejukkan di atas redai

Sumber: Buku Resepi Kek & Puding - Hasma Noor Basir