ADSENSE

Selasa, 30 April 2013

Nasi Dagang Kelantan : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KELANTAN MONTH)

Assalamualaikum.
Nasi Dagang? Amie telah beberapa kali memasaknya dan kongsi DI SINI, dan DI SINI. Namun sehingga paparan Nasi Dagang Kelantan kali ini, Amie masih keliru tentang resepi sebenar Nasi Dagang Kelantan. Bagaimana pun Amie sedikit-sebanyak telah memahami perbezaan di antara nasi dagang versi Terengganu dengan versi Kelantan. Setelah merujuk beberapa buah resepi, majalah dan Encik Google, pastilah sudah bahawa nasi dagang versi Terengganu menggunakan beras pulut dan beras biasa, dan ada yang menggunakan berasa wangi sahaja tanpa campuran beras pulut. Manakala nasi dagang versi Kelantan pula menggunakan beras perang dan di sinilah mula timbul kekeliruan yang Amie maksudkan iaitu ada sesetengah resepi menyatakan penggunaan beras perang sepenuhnya, ada pula yang mencampurkan 1 bahagian peras perang dengan 4 bahagian beras biasa atau beras wangi. Wallahua'lam... hanya jauhari yang mengenal manikam! Amie rasa mungkin boleh dapat jawapan daripada rakan-rakan dari negeri Kelantan atau yang memang pakar mewarisi respei nasi dagang secara turun-temurun.


Alhamdulillah... siaplah satu set Nasi Dagang Kelantan untuk Malaysian Food Festival (Kelantan Month) sebagai kiriman terakhir pada kali ini. Amie sangat mengalu-alukan sebarang komen mengenai resepi ini kerana Amie gabungkan beberapa resepi yang Amie bandingkan di antara satu sama lain. Selain keliru tentang penggunaan beras perang, sekali lagi Amie kurang pasti mengenai 'telur' yang adakalanya dihidangkan bersama nasi ini. Melalui pembacaan sebuah buku masakan Kelantan, Amie dapati telur direbus terlebih dahulu dan dimasak bersama gulai ikan.  Namun begitu ketika Amie membelek majalah SAJI keluaran November 2011, Dapur Istana -  Memartabatkan Warisan dan Seni Budaya Kelantan : Tengku Datin Noorahaniah, hidangan nasi dagang Kelantan yang tersaji di kafe Chomey beliau ada sepotong telur rebus di celah lauk-pauk yang lain. Mungkin telur dijadikan sebagai hiasan atau bahan sampingan dalam hidangan ini. Wallahua'lam...



Amie sangat berterima kasih kepada MADIHA A.K.A RATNA kerana sudi berkongsi panjang lebar tentang beberapa perkara mengenai resepi Nasi Dagang Kelantan. Madiha mendapat sumber daripada KAK JIE JIE. Madiha membantu Amie menyelesaikan sedikit masalah tentang resepi gulai nasi dagang. Amie sudah memahami bahawa gulai nasi dagang Kelantan memang berbeza dengan gulai untuk nasi dagang Terengganu kerana versi Terengganu menggunakan rempah-rempahan manakala versi Kelantan hanya menggunakan herba termasuk lengkuas dan kelapa parut seperti dalam paparan Madiha dan Kak Jie Jie. Amie temui versi yang berbeza di dalam beberapa resepi gulai nasi dagang versi Kelantan ini. Ada yang menggunakan kurma dan kari ikan, ada juga yang hanya menggunakan bahan asas seperti santan, serbuk kunyit, bawang putih, bawang merah, santan dan asam keping sahaja. 


Olahan nasi dagang di bawah ini Amie gunakan cara DI SINI

Bahan-bahan untuk nasi dagang:
3 cawan beras merah
2 cawan beras wangi
500ml santan pekat
5 biji bawang merah - hiris nipis
5cm halia - hiris halus
1 sudu makan halba
1/2 sudu makan garam

Cara:
1. Rendam beras wangi dan beras perang selama 8 jam.
2. Toskan kedua-dua beras dan campurkan.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Masukkan halba, bawang merah dan halia. Gaul rata. Tutup kembali periuk pengukus.
5. Campurkan gula melaka dan garam ke dalam santan.
6. Buka kembali tutup pengukus dan renjiskan santan pekat ke atas nasi. Gaul hingga sebati.
7. Kukus semula selama 10 minit.


Terima kasih buat Madiha dan Kak Jie Jie. Minta halal dan minta  izin Amie panjangkan resepinya di bawah ini untuk tatapan bersama. 

GULAI IKAN NASI DAGANG (versi Kelantan)Resepi : Kak Jie Jie
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan-bahan:
9 ekor ikan kembung/tongkol yang telah direbus semalaman (MaDiHaA guna ikan tongkol anggaran 1.3 kg seekor.. rebus dengan 2 sudu kecil garam & 6 keping asam gelugur & 1 cawan air) 
santan pekat RM 1 + 3 cawan air (anggaran aje) (MaDiHaA guna anggaran 5 cawan santan)
2 biji cili merah dibelah dua (MaDiHaA ganti dengan 10 biji cili padi hijau)
2 biji tomato dipotong 4 
2 biji timun dipotong ikut suka 
1 keping asam keping 
garam secukup rasa ( sesuaikan dengan ikan rebus~dah sedia masin) 
MaDiHAa tambah 1 cawan air rebus ikan rebus (jadi garam perlu dikurangkan)
MaDiHAa tambah 1 sudu besar gula merah
 
Bahan kisar:
2 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 sudu teh lada hitam
1 1/2 inci lengkuas
15 biji cili kering
2 sudu serbuk kunyit
segenggam kelapa parut dikisar berasingan dengan sedikit air - Amie hanya letak satu sudu makan (sebab tersilap baca perkataan segenggam.... dalam kepala terbayang satu sudu makan!)

Cara: 
1. Masukkan santan bersama bahan kisar, asam keping dan garam ke dalam periuk. Panaskan dan dikacau selalu
2. Bila kuah sudah cukup mendidih, masukkan ikan rebus dan biarkan reneh seketika.
3. Masukkan hirisan timun, cili merah dan kelapa parut. Kecilkan api.
Renehkan selama 20 minit/ sehingga kuah pekat dan naik minyak
4. Masukkan tomato, usik2 kejap kuah dan angkat.



Untuk acarnya pula, seperti biasa Amie campurkan hirisan timun, lobak merah, nenas, hirisan bawang besar, lada merah, garam, gula dan cuka. Siap.


Dan, tidak ketinggalan Sambal Kelapa yang Amie ambil dari buku resepi Aneka Masakan Kelantan.

Resepi : Sambal Kelapa
Sumber : Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Malawati Nik Othman

Bahan-bahan:
300 gm kelapa parut - digoreng dan ditumbuk sedikit
3 ekor ikan kembung - dibakar dan diambil isinya
1/2 inci halia
4 biji bawang merah
3 batang serai
sedikit garam dan gula pasir
1/2 sudu makan lada hitam

Cara:
1. Tumbuk bawang merah, halia, serai, lada hitam, gula pasir dan garam hingga lumat.
2. Masukkan ikan dan ditumbuk kasar.
3. Masukkan kelapa dan digaul rata.


Buat Kak Nor @ Secubit Garam dan penganjur MFF (Kelantan Month) Gertrude Wan Patane, Amie ucapkan jutaan terima kasih sekali lagi di atas kesudian menjemput Amie menyertai MFF walaupun hanya sempat menghantar beberap hidangan. Apa yang Amie ingin kongsikan di sini ialah, Amie mendapat banyak info tentang resepi-resepi tertentu. Misalnya melalui paparan hidangan Kelantan, Amie turut menelurusi sejarah dan asal-usul serta berminat untuk mencari resepinya yang benar-benar asli walaupun sebenarnya agak mustahil untuk Amie perolehi. Amie rasa sangat seronok dan merasakan setiap paparan resepi yang Amie kongsikan lebih bermakna dengan penemuan dan pelbagai ilmu baru dalam dunia masakan yang tiada sempadannya ini.

"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by


Isnin, 29 April 2013

Lemak Tempoyak Telur Alu-Alu

Assalamualaikum.
Paparan sebelum beradu..... Lemak Tempoyak Telur Alu-Alu. Bagi sesiapa yang masih belum melihat atau menikmati ikan alu-alu, Amie perkenalkan ikan ini dengan kata lain ikan barracuda.



Resepi : Lemak Tempoyak Telur Alu-Alu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram telur ikan alu-alu - bersihkan dan potong ikut saiz yang disukai
3 cawan santan
2 sudu makan tempoyak
1 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
10 biji cili padi
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
sedikit kunyit hidup
sedikit belacan

Cara:
1. Satukan santan, tempoyak, asam gelugur, serai dan semua bahan tumbuk di dalam periuk.
2. Masukkan telur ikan alu-alu dan didihkan dengan api perlahan.
3. Kacau selalu supaya tidak pecah santan sehingga telur ikan masak.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Tutup api.


Jumpa lagi... 

Sambal Pauh Ikan Masin : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KELANTAN MONTH)

Assalamualaikum.
Sudah makan tengahari? Apa agaknya lauk yang dihidangkan buat seisi keluarga? Alangkah enaknya sekiranya di antara lauk-pauk yang disajikan ada semangkuk kecil Sambal Pauh Ikan Masin! Paparan ringkas Amie hari ini sudah tentu untuk menyemarakkan lagi suasana Malaysia Food Festival (Kelantan Month) yang akan berakhir esok!


Resepi : Sambal Pauh Ikan Masin
Sumber : Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Asmawati Nik Othman

Bahan-bahan:
4 biji mangga muda - Amie gunakan 1 biji sahaja
1 keping ikan kurau masin
8-10 biji cili padi
1/2 biji limau nipis
sedikit garam

Cara:
1. Mangga muda dikupas dan diricik halus.
2. Ikan masin digoreng dan dikisar kasar - Amie tumbuk
3. Cili padi ditumbuk dan digaul bersama ikan masin dan mangga muda.
4. Perah jus limau nipis dan perasakan dengan garam. Hidang dengan nasi dan lauk-pauk.



"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by 



Ahad, 28 April 2013

Kenali Pelbagai Jenis Tepung

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu dan selamat bersantai bersama keluarga tersayang! Di kesempatan keemasan ini Amie ingin kongsi info tentang jenis-jenis tepung  dan kesesuaian penggunaan tepung tersebut. Amie harap perkongsian yang Amie panjangkan dari Majalah SEDAP Bil.29 Vol 3 / 2010 ini memberi manfaat kepada kita semua terutama kepada anda yang ingin mencuba pelbagai resepi yang menggunakan antara jenis-jenis tepung seperti berikut:


 Ehsan : Google

Tepung Gandum (Wheat Flour)
Tepung ini diperbuat daripada biji gandum - wheat yang telah dikupas dan dikisar halus. Ia dibezakan atas kandungan proteinnya (gluten). Gluten ini mempengaruhi hasil olahan dan perlulah bijak memilih jenis tepung gandum yang sesuai mengolah makanan tertentu.
Contoh tepung gandum : Cap Sauh, Blue Key, Cempaka dan lain-lain.

Tepung Gandum Tinggi Protein
Tepung ini mempunyai lebih 12.5% kandungan protein. Tepung jenis ini banyak digunakan untuk membuat makanan yang dalam proses pembuatannya menggunakan yis. Adunan yang dibuat akan membentuk rangka untuk menyimpan gas. Oleh kerana daya penyerapan yang tinggi tahap cairan, glutennya akan mengembang dan membentuk adunan yang liat dan elastik. Contohnya: roti dan donat.
Tepung jenis ini juga digunakan dalam pembuatan mi ( basah / kering, juga sesuai untuk membuat daging sintesis / tiruan buat orang-orang vegetarian.
Contoh : Blue Key, MFM dan lain-lain.

Tepung Gandum Tulen (Wholemeal Flour atau Whole-Wheat Flour)
Diperbuat dengan cara menggiling keseluruh bahagian biji gandum (termasuk kulit arinya). Teksturnya lebih kasar daripada tepung gandum dan warnanya tidak putih tetapi agak kusam kecoklatan. Sangat menyerap cecair. Sering digunakan untuk membuat biskut atau roti tawar dengan rasa yang istimewa.

Tepung Gandum Sederhana Protein (All Purpose)
Sejenis tepung gandum yang dikatakan serbaguna. Kandungan proreinnya antara 10-11% sehinggakan boleh digunakan untuk segala keperluan. Biasanya digunakan untuk membuat aneka makanan seperti pisang goreng, apam balik, cucur, apam kukus, kek dan lain-lain.

Tepung Gandum Rendah Protein
Kandungan proteinnya sangat rendah, sekitar 8-9%. Ini disebabkan tepung jenis ini menyerap sedikit air dan gula, bermakna hidangan yang dibuat akan menjadi lebih padat. Biasanya digunakan untuk membuat biskut (cookies), pai dan kek.

Tepung Polenta
Tepung jenis ini juga dipanggil tepung jagung. Cuma bezanya, tepung ini berwarna agak kuning terang dan juga diperbuat daripada biji-biji jagung yang telah dikisar halus. Teksturnya agak kasar sedikit. Biasanya tepung ini digunakan sebagai bahan utama untuk membuat tortilla / roti istimewa Mexico.

Tepung Sagu
Tepung ini diperbuat daripada sari pati batang pokok sagu. Bentuknya seakan tepung aci, tetapi lebih kering. Selain digunakan sebagai pemekat (kerana bersigat agak melekit), tepung ini juga sering digunakan sebagai bahan utama untuk biskut atau makanan istimewa tradisi seperti bubur sagu. Kualiti sagu terbaik boleh ditemui di pasaran dengan nama Sagu Tani. Ada juga yang menjual Tepung Sagu Ubi, dan tepung ini khas digunakan untuk membuat kuih bingka ambon. Teksturnya agak halus berwarna putih.

Tepung Pulut
Tepung pulut diperbuat daripada beras pulut hitam atau putih dengan cara menggiling, ditumbuk atau dikisar halus. Tepung pulut putih teksturnya seakan-akan tepung beras, tetapi apabila disentuh, ia terasa lebih berat dan melekat. Untuk membezakannya dengan tepung beras, larutkan dengan sedikit air. Larutan tepung beras akan lebih cair, manakala larutan tepung pulut pula akan lebih pekat. Ini disebabkan tepung pulut mengandungi lebih banyak pati yang berkanji dan melekit.

Tepung Kastad
Tepung ini merupakan sejenis tepung yang diperbuat daripada campuran jagung, gula, susu dan kuning telur serta bahan pemekat. Berbentuk halus dan agak kekuningan. Dijual dalam bungkusan kotak, plastik atau pun tin.

Tepung Kentang
Warnanya putih. Diperbuat daripada kentang yang telah dimasak dan kemudiannya dikeringkan untuk dijadikan tepung. Biasanya digunakan untuk pemekat sos, kek, biskut dan sebagainya. 

Tepung Badam / Serbuk Badam
Diperbuat daripada kacang badam yang telah dikupas kulitnya dan dikisar halus. Teksturnyabkasar dan warnanya agak kekuningan dengan harga yang agak mahal. Digunakan untuk membuat biskut.

Tepung Semolina
Tepung ini diperbuat khas daripada kulit ari gandum yang keras, warnanya pula kuning mudabdan berbutir-butir. Kadar kandungan proteinnya lebih tinggi di antara jenis tepung lainnya. Biasanya digunakan dalam pembuatan makaroni, spaghetti (aneka pasta), juga puding, biskut, kek dan sup. Tepung ini merupakan hasil sampingan daripada pembuatan tepung gandum di kilang

Tepung Naik Sendiri
Tepung ini telah sedia dicampurkan dengan bahan penaik. Kek yang diperbuat dengan menggunakan tepung ini, jika dibiarkan agak lama sebelum dibakar, tidak akan bantat serta naik dengan lebih baik. Harga tepung ini lebih mahal daripada tepung jenis lain.
Sebagai bahan pengganti untuk membuat kek, anda boleh sediakan 225 gram tepung naik sendiri bersamaa 225 gram tepung gandum yang dicampur 1/2 sudu teh serbuk penaik dan 1 sudu teh soda bikarbonat. Sebagai bahan pengganti dalam pembuatan biskut, 1 cawan (115 gram) tepung naik sendiri bersamaan dengan 1 cawan tepung gandum yang dicampurkan 1 sudu teh serbuk penaik. Tepung ini hanya berkesan untuk dalam jangka masa 3 bulan, setelah tempoh tersebut, kandungan aktif serbuk penaik tidak akan berfungsi lagi.


Tepung Beras
Tepung yang diperbuat daripada beras ini, digiling atau dikisar halus. Warnanya putih, apabila disentuh dengan jari, tepung beras akan terasa lebih lembut dan halus jika dibandingkan dengan tepung pulut. Biasanya digunakan untuk hidangan ringan tradisional.


Tepung Ubi
Biasanya dipanggil tepung aci atau tepung kanji. Diperbuat daripada sari pati ubi kayu. Biasanya digunakan untuk membuat makanan ringan tradisional seperti kuih bingka. Selain itu, tepung ini juga sering digunakan untuk memekatkan makanan. Warnanya jernih, pekat dan bersifat akan melekit apabila dipanaskan.

Tepung Garut
Kadang kala dipanggil Tepung Larut atau Tepung Ararut. Diperbuat daripada ubi garut. Tekstur dan warnanya sama seperti tepung sagu. Banyak digunakan untuk membuat kuih kering.

Tepung Jagung
Tepung ini berwarna putih dan diperbuat daripada sari pati biji jagung. Biasanya digunakan untuk memekatkan sup atau membuat biskut.

Tepung Tang Mien
Tepung ini merupakan mendapan (sari pati) daripada tepung gandum, kemudian diambil glutennya. Teksturnya agak halus dan berwarna putih. Biasanya digunakan untuk membuat kulit dim sum yang hasilnya akan membuatkan tepung ini kelihatan agak jernih sedikit. 

Tepung Hunkwe, Tepung Kacang Hijau
Warnanya putih, dan diperbuat daripada sari pati kacang hijau. Biasanya digunakan untuk membuat kuih nagasari, cantik manis atau cendol.

Sumber : Majalah SEDAP Bil 29 Vol 3 / 2010


Sabtu, 27 April 2013

Ketupat Sotong Kelantan : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KELANTAN MONTH)

Assalamualaikum.
Molek tak kejadian Ketupat Sotong Kelantan di bawah ni? 


Terima kasih di atas perkongsian Ketupat Sotong Kelantan daripada blog Resepi Citarasawan. Alhamdulillah... setelah study di dapur Kak Wan, Amie memahami tutorial yang Kak Wan berikan, dan akhirnya terhidanglah Ketupat Sotong Kelantan yang Encik Suami kata comel & montel kejadiannya! Ini juga merupakan kali pertama Amie mencuba resepi istimewa ini dari Negeri Cik Siti Wan Kembang. Anak-anak pun suka... tetapi pada mulanya mereka keliru disebabkan hidangan ini Amie sajikan sekali di antara lauk-pauk untuk santapan tengahari, si bujang tengah menuang kuahnya ke atas nasi! Maklumlah... anak-anak balik sekolah dengan perut lapar (hari ini sekolah ganti sebab cuti beberapa hari pada bulan Mac kerana masalah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu). 



Minta izin untuk panjangkan resepinya di sini ye Kak Wan. Mudah-mudahan akan memberi manfaat kepada teman-teman pengunjung yang lain untuk mencuba resepi istimewa ini! Untuk Kak Wan yang sangat kreatif.... moga-moga rezeki terus bertambah, dan Allah sentiasa permudahkan urusan bisnes Kak Wan! Amin....

Resepi : Ketupat Sotong Kelantan
Sumber : Kak Wan

Bahan A:
10 ekor sotong saiz sederhana - buang kulit hitam dan tulang, cuci bersih dan asingkan kepala
lidi untuk menyucuk

Bahan B:
1/2 cawan pulut - cuci bersih dan toskan
1/2 cawan santan pekat
1/4 sudu teh garam
Rendam pulut selama 30 minit bersama santan dan garam

Bahan C:
100 gram gula Melaka diracik
2 cawan santan - tidak terlalu pekat
1/2 sudu teh garam
1 hiris halia - dimayang halus
1 helai daun pandan

Cara:
1. Bahan B : Masukkan 3/4 (2 sudu kecil)  pulut ke dalam perut sotong.
2. Masukkan kembali kepala sotong dan cucuk dengan lidi supaya pulut tidak keluar.
3. Atur sotong di dalam periuk. Masukkan Bahan C dan renehkan dengan api sederhana hingga hampir kering.
4. Siap dihidang.


Orang kata, kali pertama buat tentulah ada cacat celanya... maafkan hamba andainya terdapat sebarang kekurangan di atas paparan resepi Ketupat Sotong Kelantan ini. Apa pun biarlah Ketupat Sotong Kelantan ini turut mewarnai kemeriahan Malaysian Food Festival (Kelantan Month) yang akan tamat 3 hari sahaja lagi!





"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by 



Kek Coklat Kukus Lembap!

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua. Jom kita cerita tentang Kek Coklat Kukus Lembap! Memang tak pernah rasa jemu kalau makan kek coklat. Anak-anak pula asyik bertanya bila boleh makan kek coklat yang Mummy buat? Untuk memenuhi permintaan anak-anak kali ini Amie cuba resepi Kek Coklat Kukus Lembap dari dapur Lina_pg di TERATAK MUTIARA KASIH. Sebenarnya pada malam ketika proses mengadun bahan, sesuatu telah berlaku di dapur.... he he ehh apa lagi kalau bukan terputus bekalan letrik. Pada masa yang sama, Amie sedang memasukkan tepung ke dalam adunan. Hmmm... tak payah cerita panjang lagilah ye, sebab semua yang akan terjadi  telahpun terjadi.....


Amie masak versi kukus. Hasilnya memang tak disangka-sangka sebab Amie sudah terbayang memang tak jadi apa kek itu nanti! Cuma ada sedikit kecacatan, mungkin mengadun dalam gelap, jadi tak berapa sebati. Bagaimanapun.... ini cerita betul ye, tak tipu punya.... kek ini memang sangat lembut & lembap!!!! Jadi sila abaikan sedikit warna putih bintik-bintik kecil dalam gambar di atas yang tidak mempengaruhi langsung kelazatan kek ini.


Sekali hadap... 1/2 loyang habis!

Terima kasih banyak Lina kerana sudi kongsi resepi yang memang tidak dapat dinafikan kesedapannya ini! Minta izin memanjangkan algi resepinya di sini ye Lina sayangggg....

RESEPI KEK COKLAT KUKUS LEMBAB CHEF ZUBAIDAH
Sumber : Hasue & Ayunalisa
Sharing : Lina_pg

Bahan-bahan:
  • 100g Serbuk Koko*
  • 200g Gula pasir*
  • 1 tin Susu sejat*
  • 200g Minyak Masak Sayuran*
  • 250g Susu Pekat*
  • 4 biji Telur gred A - pukul sehingga berbuih
  • 150g Tepung Gandum 
  • 1 st Soda Bikarbonat
  • 1st Baking Powder


Cara:
  1. Campurkan kesemua bhn bertanda* dan masak dengan api perlahan sehingga licin dan gula cair sepenuhnya.Tak payah sampai menggelegak/mendidih.
  2. Satukan dengan telur yang dipukul tadi dengan hand whisk. Gaulkan bahan2 kering & campurkan sedikit demi sedikit sehingga sebati sambil terus dikacau dengan hand whisk.
  3. Masukkan ke dalam loyang.Bakar hingga masak.Suhu bergantung pada jenis oven. Kek ini juga boleh dikukus
  4. Sejukkan dahulu sebelum dihiaskan dengan icing atau ganache.
Wokey... jangan takut mencuba resepi ini... ia pasti menjadi, dan rasanya dijamin lazat!



Jangan pandang pada rupaku... tapi rasalah dulu kelembapan dan kelembuatnku!



Jumaat, 26 April 2013

Ayam Percik Kelantan: MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KELANTAN MONTH)

Assalamualaikum.
Bertemu kembali di petang Jumaat nan mendung tapi nyaman di Amie's Little Kitchen. Untuk paparan petang ini Amie kongsikan menu Ayam Percik Kelantan. Setelah mempelajari serba sedikit tentang resepi Ayam Percik Kelantan, Amie dapati terdapat 2 jenis iaitu ayam percik kuah putih yang tidak menggunakan cili dan satu lagi kuah pedas yang menggunakan cili dan warnanya merah lada. Untuk kiriman hidangan ketiga ke  Malaysian Food Festival (Kelantan Month) Amie cuba versi kuah putih seperti di bawah ini. Dan satu lagi, Amie juga dapati ada 2 versi cara masakannya iaitu direbus dahulu kemudian dibakar, dan satu lagi terus dibakar tanpa direbus terlebih dahulu. Amie pilih cara kedua, iaitu terus dibakar.


Amie gunakan resepi dari buku masakan Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Malawati Nik Othman. Ketika kakak ipar mula masak untuk hidangan tengahari di dapur, Amie turut  menyelit-nyelitkan diri menyediakan Ayam Percik Kelantan. Selepas solat Zohor, Encik Suami pulang sebentar dan bersama anak-anak turut menikmati hidangan ini. Walaupun kali pertama mereka mencubanya, semua bersetuju mengatakan sangat sedap... termasuk kakak ipar Amie yang sukakan rasa kuahnya! Apa tidaknya... kuahnya yang lemak manis, rasa sedikit asam gelugur memang menyelerakan ditambah pula dengan aroma serai bercampur halia serta rempah ketumbar dan jintan!



Resepi : Ayam Percik Kelantan
Sumber : Aneka Masakan Kelantan oleh Nik Malawati Nik Othman

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam - dipotong 4
4 cawan santan pekat
1 sudu makan gula pasir
1-2 keping asam gelugur
garam

Bahan A - ditumbuk
1 inci halia
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil garam

Bahan B - kisar halus
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
4 batang serai

Bahan C - disangai dan dikisar halus
1/2 sudu makan jintan manis
1/2 sudu makan jintan putih
1 sudu makan ketumbar

Cara:
1. Perap ayam dengan Bahan A - Amie perap 30 minit.
2. Bakar hingga separuh masak.
3. Satukan Bahan B, Bahan C, asam gelugur dan santan serta perasakan dengan garam dan gulanya.
4. Masak sambil dikacau selalu hingga pekat dan berminyak.
5. Bahagikan kuah ini kepada 2 bahagian.
6. Celup ayam dan kuah pertama dan bakar semula. Ulangi proses tadi sekali lagi.
7. Kuah yang sebahagian lagi dicurahkan ke atas ayam semasa menghidang.



Nampaknya tocang Amie dah bertambah lagi satu  ni Kak Nor @ Secubit Garam ha ha hah... dah pandai dah memilih-milih ni... Nak bakar ayam saja tak mahu rebus dulu... lepas tu nak yang berkuah putih pulak tu! Seronok rasanya masih berkesempatan menyumbang resepi untuk memeriahkan lagi suasana Malaysian Food Festival (Kelantan Month) yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk sampai ke penghujungnya! Buat rakan-rakan yang berminat untuk menyertai MFF (Kelantan Month) ini bolehlah berkunjung ke My Kitchen Snippets  untuk maklumat lanjut. Terima kasih sekali lagi buat penganjur MFF ini iaitu Gertrude Wan Patane dan sifu masakan yang Amie kagumi iaitu Kak Nor @ Secubit Garam. Tak boleh ingat Kak Nor selalu tau... sebab tangan ni gatal asyik nak masak saja bila terbayangkan Kak Nor... takut nanti MFF penuh dengan masakan kita pulak...hi hi hiiii! Apa pun Amie hanyalah mak budak yang cuba belajar masak-masak...

"I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by


Khamis, 25 April 2013

Hidangan Sihat & Berkhasiat Dari Dapur Tun Telani - LIFE IS A CONSTANT BATTLE

Assalamualaikum.
Anda tercari-cari resepi sihat dan berkhasiat? Terdapat banyak pilihan hidangan sebegini di dapur rakan-rakan blogger masakan. Kali ini Segmen Meriahnya Dunia Masakan meninjau ke dapur TUN TELANI di Bintulu, Sarawak. Alahai.... kesiannya dia! Keseorangan ditinggalkan lalingnya yang pergi kursus. Jangan terus bersedih ye Tun... ini Kak Amie datang temankan Tun supaya tak sunyi lagi he he ehhh.... Untuk hilangkan kebosanan Tun kerana bersendirian, jom sama-sama Kak Amie selongkar apa yang ada di LIFE IS A CONSTANT BATTLE!
Terima kasih Tun kerana sudi turut serta menyerikan kumpulan MERIAHNYA DUNIA MASAKAN dengan kiriman pelbagai hidangan dari Sarawak. Bila Kak Amie selongkar dapur Tun, banyak Kak Amie jumpa pelbagai resepi yang sihat dan berkhasiat yang Tun sediakan. Apa tidaknya, sebab cara penyediaan dalam masakan itulah yang menjadikan hidangan tersebut termasuk dalam kategori pilihan hidangan sihat. Namun begitu, setiap individu mempunyai pilihan untuk menikmati pelbagai menu mengikut citarasa dan tafsiran 'sihat' dan 'berkhasiat' masing-masing.

Cuba lihat menu di bawah ini:

Sup Chee Cheong Fun
Masakan ala Cina ini memang menggugat selera! Sedap hirup kuahnya yang masih panas.... slurrrrppppp!!!!!



Kerabu Taugeh & Bendi
Tidak dinafikan, menu kerabu juga merupakan salah satu hidangan sihat dan berkhasiat. 



Ikan Pari Bakar
Selain menu Ikan Pari Bakar di atas, Tun juga ada menyediakan Ikan Pari Kukus di bawah ini.



Ikan Pari Kukus



Cencaru Bakar Noorsha Dan Sambal Belacan
Sungguh menyelerakan! Siap dengan kacang bendi dan sambal belacannya!



Tilapia Bakar & Air Asam Kak Ika
Ada yang terliur?



Siakap Kukus
Ikan siakap memang sedap.... lagilah kalau dikukus! Habis sirip-siripnya sekali kena hisap-hisap!



Ikan Bakar Berempah Woku
Tun juga mempelbagaikan cara membakar ikan. Macam-macam paparan resepi ikan kukus dan ikan bakar di dapur Tun.



Steamed Chicken With Brocolli
Hidangan di atas ini memang sesuai sangat untuk menu diet!



Terung Bakar Air Asam
Mmmmm.... kecur!!!!



Ayam Panggang ala Kenny Rogers
Selain ikan dan sayuran, Tun juga mempelbagaikan cara masakan ayam. Tun banyak mempunyai paparan ayam panggang....



Sup Ayam Berempah
Memang puas menjamu mata di dapur Tun! Banyak hidangan sup ayam.... selain Sup Ayam Berempah seperti di atas, Tun juga menghidangkan Sup Ayam Berempah seperti di bawah ini.



Sup Ayam Berempah



Sup Ayam Hadnyai
Sup ini memang tidak dapat dinafikan keenakannya! Amie pernah beberapa kali mencuba resepi ini di bulan puasa! Ternyata sungguh membuka selera terutama sewaktu bersayur!



Tun ada Sup Ayam Mama.....



dan harumnya Sup Ayam Lengkuas....


Alhamdulillah.... terima kasih Tun kerana terus-menerus sudi berkongsi pelbagai menu di dapur Tun yang comel itu. Buat pengunjung budiman yang betminat untuk mencari menu bakar, panggang, rebus dan kukus, silalah berkunjung ke dapur TUN TELANI. Anda tidak rugi apabila sampai ke sana kerana puas dijamu dengan pelbagai hidangan yang enak-enak belaka!
Tun,
usah sedih lagi ye Tun sayangggg.... pejam celik-pejam celik tibalah juga harinya untuk bertemu dengan lalingnya... he he hehh! Terima kasih sekali lagi kerana Tun sudi menyertai MERIAHNYA DUNIA MASAKAN dan teruskan masak-masak menu yang sedap-sedap ye Tun! Mudah-mudahan paparan hasil masakan Tun akan dimanfaatkan oleh semua pengunjung, dan atas keikhlasan untuk berkongsi, in shaa Allah akan mendapat ganjaran di sisi-Nya.


Popia Oh! Popia!

Assalamualaikum.
Awalnya paparan pagi ini...... Apa agaknya yang ingin Amie kongsikan kali ini?


Popia?



Beri titik tumpuan anda pada jam... pukul 5.45 minit pagi! Bukan petang ye. Awalnya sarapan.....  Sebenarnya hari ini giliran kelas anak bujang kedua mengadakan jualan sempena Projek Khidmat Masyarakat  bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan untuk kelas tingkatan 3 di sekolahnya. Lama sudah dia berhasrat untuk jual nasi lemak seperti bujang sulung jual 3 tahun lalu (semasa tingkatan 3 juga), sayangnya Amie tidak sanggup menyediakannya. Akhirnya setelah berbincang dengan rakan sekumpulannya, bujang tengah memutuskan untuk membawa popia sebagai bahan jualan dalam kumpulannya. Popia? Kuih ini nampak moden, sedangkan antara syarat dalam projeknya kena jual kuih tradisional! Kuranglah markah dalam folionya nanti.... Lagi satu, siap lagi dia menyenaraikan intinya supaya dimasukkan udang, ayam cincang bla bla blaaa..... Berapa harga jualannya? 2 batang RM1 atau 3 batang RM1? Sebenarnya bila ditolak campur... tak balik modal pun sebab modal intinya tu! He he ehhh... semangat anak nak berniaga! Untung rugi tolak tepi dulu, yang penting ada pengalaman, dan dia gembira bersama rakan kumpulannya. Biarlah dia lihat sendiri berapa modal dan berapa untung rugi dalam kira-kira semasa membuat laporan projeknya nanti...


Apa pun, ini sahajalah yang dapat Amie bantu bujang tengah. Malam tadi sibuk dia membantu Amie menyiapkan popianya. Dan pagi tadi, seawal pukul 4 pagi Amie mula menggoreng dan siap semuanya sebelum pukul 5.45 pagi. Mata masih mengantuk ni... nak sambung tidur kejap ye... Resepinya seperti di bawah:


Resepi : Popia
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
50 keping kulit popia saiz sederhana
sebiji telur
minyak
sos cili pilihan

Bahan inti:
1 cawan isi udang - cincang
1 cawan isi ayam - cincang
1 tin jagung - toskan airnya
2 biji lobak merah - hiris halus
2 biji sengkuang - hiris halus
3 biji bawang putih - hiris halus
1/2 labu bawang besar - cincang
1 sudu makan serbuk pati ikan bilis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan ayam dan udang. Gaul sebati.
3. Masukkan lobak merah, sengkuang dan jagung.
4. Masukkan serbuk pati ikan bilis. Gaul hingga mesra.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga kekuningan / garing.
9. Angkat dan toskan minyaknya.
10. Hidangkan bersama sos cili pilihan.

Resepi di atas Amie copy paste dari SINI dan untuk anggaran 50 batang saja. Malam tadi gulung 150 batang popia!