ADSENSE

Sabtu, 30 Mac 2013

Tidurlah Anakku Tidurlah... Esok Kau Akan Dewasa....

Assalamualaikum.
Putera kesayangan kami ini hadir dalam hidup kami bersamaan dengan tarikh kelahiran Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac 2013, dan sudah berusia 8 hari. Encik Suami memilih nama Mohamad Firdaus untuknya. Alhamdulillah, petang tadi kami telah menyempurnakan majlis 'guntingan' - merujuk  kepada istilah Melayu Cocos di sebelah Encik Suami, dan juga kenduri aqiqah. Tidak lupa... juga majlis kesyukuran sempena keputusan SPM  putera sulung kami, Mohd. Faridzuan yang diumumkan sehari sebelum kelahiran Mohd Firdaus.


Tidak banyak gambar yang sempat dirakam kerana sibuk dengan urusan majlis. Bagaimana pun Amie sangat bersyukur kerana kenduri aqiqah ini dilakukan dengan begitu sempurna sekali atas bantuan sepenuhnya dari awal hingga akhir majlis oleh semua ahli keluarga Encik Suami. Mohamad Firdaus pun tidak cerewet, tapi sayangnya sepanjang majlis matanya tertutup rapat kerana tidur. Ketika upacara belah mulut dan juga potong jambul, Mohamad Firdaus nampak begitu lena di lengan Encik Suami.



Syoknya Mohamad Firdaus tidur! Mungkin kenyang menyusu, kerana beberapa hari sebelum ini Mohamad Firdaus kurang selesa disebabkan susu badan baru saja berfungsi dengan lancar. Dan Alhamdulillah, putera kecil kami bebas dari penyakit kuning.


Siapa sanggup mengejutkan lena tidur si kecil ini?



Biarpun bunyi kompang dan gendang dipalu semasa majlis berlangsung, namun sedikit pun tidak mengganggu tidurnya! Sewaktu rambutnya digunting dari satu tangan ke satu tangan yang lain, pun tidak dihiraukannya!


Inilah antara saudara mara yang hadir memeriahkan majlis petang tadi.



Amie hanya paparkan sedikit gambar sahaja memandangkan masa amat terbatas, dan perlu banyak dihabiskan bersama Mohamad Firdaus terutama di sebelah malam kerana si kecil kami ini kuat menyusu di malam hari dan tidurnya pula di siang hari!


Melihat wajahnya yang tenang ketika tidur, Amie teringat lagu Madah Ibu alunan  Habibah Yaakob yang pernah membuatkan air mata ini mengalir tidak berhenti selama 3 hari berturut-turut pada Mac 2012. Ketika itu lagu ini membawa makna yang berbeza disebabkan INIINIINI dan INI. Di kesempatan ini Amie ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan moral rakan-rakan sekalian, dan alhamdulillah sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang, diberinya kami kesempatan untuk menerima anugerah-Nya yang tidak ternilai ini di ketika ini!



Tidurlah anakku tidurlah..

esok kau akan dewasa
alam ini untuk mu merangkumnya
Bahagia untukmu menghirupnya

Penuhkan dadamu dengan ilham

Untuk mengharung hidup berliku
bajai hatimu dengan kasih
biar hidupmu senyaman syurga

Tapi sebelumnya tidurlah
pejamkan mata hai sayang
biar ku hantar kau ke alam mimpi
di alam peri bermain kecapi




Sabtu, 23 Mac 2013

Selamat Datang Putera Bongsu .....

Assalamualaikum.
Selamat datang ke dunia sayang......


Putera Bongsu ini belum diberi nama. Lahir lebih awal dari jangkaan, kerana sepatutnya pada 4 April 2013 tetapi disebabkan pecah air ketuban lebih awal, jadi sudah tersurat dia datang ke dunia pada pukul 10.30 pagi bersamaan hari Jumaat, 22 Mac 2013 seberat 2.54 kg. Sihat walafiat.


Terima kasih Allah! Syukur yang tidak terhingga di atas anugerah ini setelah peristiwa setahun lalu pada 17 Mac 2012..., Amie keguguran! Amanah yang tidak ternilai ini hadir setahun kemudian pada hari kelmarin. Kelahirannya dipermudahkan, dan disambut penuh kegembiran oleh ketiga-tiga abang serta ayahandanya!  Untuk rakan-rakan blogger dan pengunjung sekalian... nampaknya buat beberapa ketika Amie tidak aktif memasak kerana berpantang. Jumpa lagi!

Rabu, 20 Mac 2013

Resepi Opor Ayam Paling Ringkas- Ayam Masak Opor

Assalamualaikum.
Pertama kali Amie makan Opor Ayam resepi paling ringkas ini, rasanya memang sangat sedap! Waktu itu makcik Amie di Kampung Melayu Ampang membuat rumah terbuka Aidil Fitri pada tahun 1988, dah lama tu! Dan salah satu hidangan yang disajikan selain nasi tomato ialah Opor Ayam bersama lemang! Amie terus terpikat terutama dengan aroma dan rasa kuahnya yang tidak muak dan menjemukan. Memang ketika makcik masak Opor Ayam, Amie perhatikan cara beliau memasak dan akhirnya dengan senang hati makcik berikan resepinya kepada Amie. Semua putih.... jintan putih, bawang putih... santan putih, tapi gunakan cili merah, itu kata makcik. Sampai sekarang Amie masih mengingati bahan yang digunakan, sebab bila Amie pulang ke kampung, Amie masak Opor Ayam dengan bahan dan cara yang sama seperti yang makcik berikan.


Kalau kita lihat resepi Opor Ayam yang lain, banyak bahan yang digunakan, tetapi Amie hanya gunakan sedikit bahan sahaja seperti makcik. Amie tidak gunakan bawang merah, buah keras dan sebagainya. Cuba lihat resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
10 ketul ayam - bersihkan dan tos
1 biji kelapa- ambil 4 cawan santan
10 biji lada merah - kisar
7 biji bawang putih - kisar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil cuka makan
garam / kiub ayam

Cara:
1. Masukkan 4 cawan santan ke dalam periuk atau kuali.
2. Campurkan lada merah dan bawang putih kisar serta serbuk jintan putih.
3. Masak di atas api dan tunggu mendidih barulah masukkan ayam.
4. Masak dengan api perlahan sehingga masak dan kuah menjadi pekat.
5. Masukkan garam / kiub ayam.
6. Masukkan 1 sudu kecil cuka makan.
7. Siap dan angkat.



Kali ini Amie masak dengan menambah kentang ke dalamnya sebab anak-anak suka kentang. Masya Allah.... kalau ada lemang atau nasi himpit memang licin piring tak tinggal kuah!



Opor Ayam ini berbau harum aroma jintan putih, ada masam manis sebab dicampur sedikit cuka, santan yang berlemak dan kepedasan yang sungguh menyelerakan! Enaknya kalau dicicah dengan lemang atau nasi himpit.
Ada sesiapa berani untuk mencubanya? Resepi ini sangat sesuai untuk yang suka masak ringkas tapi sedap!

Ahad, 17 Mac 2013

Nasi Lemak, Ayam Goreng Kampung & Sambal Goreng Jawa

Assalamualaikum.
Selamat mengakhiri hujung minggu. Oleh kerana sepanjang hari ini seisi keluarga berada di rumah dan seperti biasa membuat kerja gotong-royong membersihkan rumah, jadi Amie sediakan menu kegemaran anak-anak iaitu Nasi Lemak. Kali ini Amie gandingkan dengan lauk Ayam Goreng Kampung.... bukan ayam kampung ye, sebab kalau Amie paparkan resepi Ayam Goreng Kampung ramai sangka Amie goreng ayam kampung! Ikut tatabahasanya, dimulakan dengan kata nama iaitu ayam, dan diikuti dengan kata kerja iaitu goreng dan bermaksud ayam yang digoreng. Kalau resepi Ayam Kampung Goreng barulah membawa maksud ayam kampung yang digoreng. He he heh... sekadar kongsi info ye... Resepi Amie ini bermaksud lebih kurang beginilah... ayam yang digoreng cara kampung!


Selain Ayam Goreng Kampung, Amie sediakan Sambal Goreng Jawa. Sambal ini mungkin berbeza sedikit dengan Sambal Goreng Jawa yang kawan-kawan buat, tapi yang penting bahan yang digunakan ada tempe dan kentang, suhun dan sebagainya. Kalau ikutkan tradisi kami memang apa-apa bahan pun boleh masuk, terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Ada yang menambah hirisan petai, hirisan pedal dan hati ayam, ikan bilis, udang dan seumpamanya. Ada yang suka goreng basah, dan tidak kurang juga yang suka goreng kering. Amie lihat sambal ini sudah dipelbagaikan, termasuklah menggantikan penggunaan kentang kepada keledek, dan ada yang tidak bubuh kacang tanah...macam Amie jugalah, gantikan kacang tanah dengan kacang gajus.


Oleh kerana ada lebihan 8 biji kuning telur (lapisan putih kedua) selepas Amie buat Kek Kelasi Mabuk malam tadi, jadi Amie dadar kuning telur tersebut sebagai salah satu aneka lauk Nasi Lemak untuk hari ini.


Resepi Nasi Lemak ini Amie ambil daripada Buku Sajian Istimewa Shahriah Abdullah. Terima kasih Sha, hadiah buku resepi yang Sha kirim tahun lepas masih Kak Amie simpan dengan baik dan sentiasa jadi bahan rujukan di dapur.

Resepi : Nasi Lemak
Sumber : Sajian Istimewa Shahriah Abdullah

Bahan-bahan:
300 gram beras basmathi - direndam dan dibersihkan
1 sudu kecil halba
1 biji bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 batang serai - dititik
2 cm halia - dihiris
1 helai daun pandan - disimpul
700ml santan pekat
garam & gula secukup rasa
 sedikit air

Cara:
1. Campurkan beras dengan kesemua bahan. Kacau sebentar.
2. Tanak beras hingga masak - kali ini Amie tidak kukus seperti selalu, sebaliknya masak gunakan rice cooker.


Resepi : Ayam Goreng Kampung
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 ketul daging ayam - bersihkan dan toskan hingga kering
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
2 batang serai - hiris kasar
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Perap daging ayam dengan bahan kisar serta garam / gula / perasa pilihan selama 1/2 jam.
2. Goreng ayam hingga masak.


Resepi : Sambal Tumis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 batang serai - dititik

1 labu bawang besar - hiris kasar

1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)

garam  dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
30 biji cili kering
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1.5 cm belacan

Cara:
1.  Panaskan minyak secukupnya. 
2. Masukkan semua bahan kisar dan tumis dengan api sederhana panas hingga pecah minyak. 
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. Biarkan mendidih sebentar.
4. Masukkan bawang besar dan masak dengan api perlahan sehingga kuahnya pekat.



Resepi : Sambal Goreng Jawa
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 biji kentang - belah 4 dan hiris nipis - goreng garing
2 cawan hirisan tempe - goreng garing
2 cawan suhun - goreng
1 cawan ikan bilis - goreng
1 cawan kacang tanah / gajus - goreng
1 cawan sambal tumis - Amie gunakan sambal tumis di atas

Cara:
1. Masukkan sambal tumis ke dalam kuali dan biarkan panas sebentar.
2. Masukkan kesemua bahan gorengan.
3. Gaul rata dan tutup api dapur.



Seperti biasa, Nasi Lemak tidak lengkap tanpa telur rebus dan hirisan timun serta kacang tanah goreng.Amie gantikan dengan telur dadar serta kacang gajus goreng.



Jom makan Nasi Lemak di hari minggu!

Kek Kelasi Mabuk - Antara Kek Kukus Kegemaranku!

Assalamualaikum.
Bertemu lagi di pagi Ahad yang nyaman dan redup ini. Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menghidup udara segar di bumi Allah. Amie paparkan satu lagi resepi Kek Kelasi Mabuk, antara kek kukus yang menjadi kegemaran Amie dan keluarga. Tahun lepas Amie pernah paparkan Kek Kelasi Mabuk yang sangat sedap ini. Amie perolehi resepi ini dari dapur MADIHA, manakala Madiha mendapat sumber resepi ini daripada dapur Sue HASUE. Terima kasih buat Madiha dan Hasue yang telah memanjangkan resepi ini, dan tidak lupa berbanyak terima kasih buat penyumbang asalnya iaitu Puan Lynda Hj. Taiban.


Ada penderhakaan yang telah Amie lakukan ke atas resepi ini, kerana resepi asalnya hanya menggunakan 3 lapisan iaitu lapisan hijau di bahagian bawah, lapisan putih di bahagian tengah dan lapisan hijau kembali di atasnya. Amie pula menjadikannya kepada 5 lapisan dengan menambah satu lagi lapisan putih dan lapisan hijau! Minta halal ye Hasue & Madiha. Memang penuh loyang 9x9x3!


Gambar di atas merupakan gambar Kek Kelasi Mabuk yang pernah Amie hasilkan sebelum ini. Boleh klik DI SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Kek Kelasi Mabuk ini terdiri daripada 3 lapisan.



Amie minta izin sekali lagi untuk panjangkan resepinya ini ye Madiha & Hasue. Dan buat penyumbang asal resepi Kek Kelasi Mabuk ini didoakan semoga sentiasa kreatif dan dimurahkan rezeki.

KEK KELASI MABUK
Sumber Resepi: Pn. Lynda Hj Taiban

Sumber : Madiha aka Ratna

Bahan-bahan:
450g mentega berkualiti tinggi
200 gm horlick
14 biji telur gred A (8 biji putih diasingkan) 
1 gelas gula (150g)
1-1/2 gelas tepung gandum (150g)
2 sudu teh esen vanilla
1 botol pandan paste (MaDiHaA guna 100 ml air daun pandan dari 10 helai daun pandan + pewarna hijau gelap + hijau epal untuk dapatkan warna yang lebih gelap) 
Cara
Adunan Hijau:
1. Pukul telur dan gula hingga kembang.
2. Masuk butter, pukul hingga putih.
3. Masuk esen vanilla, tepung, horlick dan pandan paste.
4. Kalau mahukan warnanya lagi hijau tambahkan pewarna hijau.
5. Bahagikan kepada dua bahagian - Amie bahagikan kepada 3 adunan.

Adunan Putih:
8 biji putih telur
10 sudu besar gula halus
4 sudu teh tepung gandum
6 biji limau kasturi

1. Pukul putih telur hingga kembang. Masukkan gula & pukul lagi sehingga menjadi meringue / kental (mangkuk diterbalikkan dan adunan tidak tumpah).
2. Masukkan tepung.
3. Akhirnya masukkan jus limau, pukul lagi hingga pekat dan sebati supaya jus bergaul rata.


Cara Mengukusnya:

1. Kukus 1 bahagian hijau dalam ½ jam.
2. Bila sudah masak, baru tuang adunan putih telur. Kukus lagi selama ½ jam.
3. Bila adunan putih sudah masak baru lapiskan dengan 1 lagi bahagian hijau yg kedua. Kukus lagi selama 40 minit.
4. Guna acuan 9x9inci.

Note:
Bancuhkan adunan putih telur selepas 20 minit mengukus lapisan hijau pertama, supaya tidak terlalu lama adunan berteduh dan boleh menjadi cair. Akibatnya nanti lapisannya tidak teratur dan tidak cantik - Amie buat 2 kali adunan putih dengan tambahan sebanyak 8 biji putih telur.



Dengan kata lain, sebaik sahaja 3 lapisan dikukus, Amie bersedia dengan adunan  putih pada 20 minit seterusnya. Ini bermakna Amie mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan Kek Kelasi Kukus setinggi 5 lapis ini, dan alhamdulillah cukup muat loyang yang digunakan!


Nak cerita tentang rasanya, memang tidak dapat disangkal keenakannya! Penggunaan jus limau kasturi pada bahagian adunan putih membuatkan rasa Kek Kelasi Mabuk ini seimbang. Tidak terlalu manis dan sekata!


Kepada yang belum pernah mencuba, dipersilakan dengan penuh keyakinan bahawa kek anda akan menjadi dengan sempurna! Selamat berhujung minggu buat semua!

Sabtu, 16 Mac 2013

Cheesy Tapioca Kuih (Bingka Ubi Kayu Cheese)

Assalamualaikum.
Selamat pagi, dan salam sayang buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen dan tidak ketinggalan selamat datang buat follower baru Amie yang bertambah dar semasa ke semasa. Pagi ini Amie kongsikan bingka ubi kayu yang diolah bersama krim cheese, hasil kreativiti dari dapur Roz Home Kreation. Amie siapkan Cheesy Tapioca Kuih ini petang kelmarin, dan sepanjang proses pembakarannya, setelah setengah jam di dalam oven, baunya enak menusuk hidung hingga Encik Suami menegur.... harumnya bau! Kita lihat hasil gandingan bahan tradisional timur dan barat d bawah ini.... 


Cheesy Tapioca Kuih atau Bingka Ubi Kayu Cheese ini sangatlah enak rasanya! Lembut, lemak manis dan entah berapa potong masuk ke mulut Amie! Rugi kalau tak cuba buat, sebab keenakannya sukar untuk diterangkan dengan perkataan yang khusus!


Terima kasih sekali lagi buat Roz Home Kreation, dan izinkan Amie kongsikan resepinya di sini untuk tatapan rakan pengunjung yang lain.

BINGKA UBIKAYU CHEESE
Sumber: Sahabat Norj

Saiz 8" persegi

Bahan-bahan:
250g cream cheese
250g gula
2 biji telur
800g ubi kayu pagat - tapis airnya
400ml santan
pewarna kuning

Cara:
1. Pukul cream cheese & gula sehingga rata.
2. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul rata.
3. Masukkan ubi kayu & santan.
4. Bakar pada suhu 170C selama 1 jam 30 minit sehingga masak.
5. Sejukkan sebelum di potong.



Selamat mencuba! 


Khamis, 14 Mac 2013

Sayap @ Kepak Goreng, Kerabu Pucuk Paku Dengan Taugeh & Sup Bebola Sayuran

Assalamualaikum.
Jemput makan malam bersama kami. Tiba-tiba Encik Suami teringin makan sayap @ kepak ayam dan memang dibawanya pulang 10 ketul sayap ayam untuk dimasak! Dulu memang Amie selalu goreng sayap @ kepak ayam, tapi lama-kelamaan Amie hentikan kebiasaan ini. Untuk memenuhi permintaannya Amie gorengkan juga beberapa ketul, di samping lauk lain termasuk Kerabu Pucuk Paku Dengan Taugeh dan tidak ketinggalan untuk anak-anak, Amie sediakan hidangan berkuah iaitu Sup Bebola Sayuran.


Amie ratah-ratah saja Kerabu Pucuk Paku Dengan Taugeh, dan hirup semangkuk Sup Bebola Sayuran!


Resepi : Kerabu Pucuk Paku Dengan Taugeh
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cekak pucuk paku tanjung - potong ikut suka dan celur
1 mangkuk taugeh - celur
1 biji cili merah - hiris
3 biji bawang merah - hiris
1 batang serai - hiris halus
2 biji limau kasturi - perah jusnya
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
2 cawan kelapa parut - tumbuk separuh lumat
3 ulas bawang putih - goreng
5 biji bawang merah - goreng
sedikit belacan - goreng
2 sudu makan udang kering - rendam hingga kembang
3 biji cili merah
5 biji cili padi

Cara:
1. Campur kesemua bahan tumbuk bersama hirisan bawang merah, serai dan cili merah.
2. Masukkan pucuk paku tanjung dan taugeh. 
3. Gaul bersama garam / gula / perasa pilihan.
4. Tambahkan renjisan jus limau kasturi.
5. Sedia untuk dihidangkan.



Resepi : Sup Bebola Sayuran
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
15 biji bebola sayuran
1 batang lobak merah - potong bulat
2 keping tauhu - potong dadu
2cm halia - hiris halus
2 ulas bawang putih - pecahkan
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu makan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa
600ml air

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan bawang putih, halia dan lobak merah selama 3 minit.
2. Masukkan bebola sayuran dan masak lagi selama 5 minit.
3. Masukkan tauhu, lada putih dan serbuk pati ayam MAGGi Cukup Rasa.
4. Biarkan masak seketika dan tutup api.


Resepi : Sayap @ Kepak Ayam Goreng
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
7 ketul sayap ayam
minyak

Bahan pemerap:
1 sudu makan bawang putih kisar
1 sudu makan halia kisar
1/2 sudu teh lada putih tumbuk
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh kicap pekat
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 sudu makan minyak bijan
secubit garam & gula

Cara:
1. Gaul sayap ayam bersama bahan pemerap dan biarkan selama 20 minit.
2. Goreng dengan api perlahan sehingga masak.
3. Angkat dan hidangkan.

Rabu, 13 Mac 2013

Ikan Unga Masak Taucu, Terung Taiwan Goreng Berlada & Sup Ayam ala Cina

Assalamualaikum.
Hidangan tengahari merangkap makan malam kami sekeluarga.... maklumlah makan tengahari pun hampir pukul 3 petang! Amie sempat sediakan Ikan Unga Masak Taucu, Terung Goreng Berlada dan hidangan berkuah, iaitu Sup Ayam ala Cina.


Resepi : Ikan Unga Masak Taucu
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 keping ikan unga - lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - goreng hingga masak - ketepikan
6 sudu makan taucu manis
2 ulas bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 inci halia - hiris halus
1 biji cili merah - hiris
2 biji cili hijau - hiris
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 sudu makan gula pasir
secubit garam / perasa pilihan
1 cawan air
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah serta halia sehingga naik bau.
2. Masukkan taucu, pati asam jawa dan hirisan cili hijau serta merah.
3. Tambahkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan unga goreng, dan balik-balikkan sebentar.
5. Jika kuah agak cair, tambahkan bancuhan tepung jagung.
6. Perasakan dengan secubit garam / perasa pilihan.
7. Tutup api.


Resepi : Terung  Taiwan Goreng Berlada
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 biji terung Taiwan - belah dua dan potong dua - goreng hingga masak dan ketepikan
sedikit minyak
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1 biji tomato - cincang
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar kasar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 biji cili merah
5 biji cili padi
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar kasar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan  tomato cincang, bancuhan air asam jawa dan udang kering.
3. Kacau sebati sehingga tumisan kelihatan kering.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Tutup api dapur.
6. Tuangkan bahan tumisan ke atas terung goreng.



Kalau semua lauk kering bergoreng, eloklah lengkapkan dengan kuah! Seperti biasa Amie sediakan sup ayam dengan mencampurkan bahan-bahan seperti cendawan shiitake, kurma merah dan juga lobak merah. Sup Ayam ala Cina ini sesuai untuk yang ingin mengurangkan panas dalam badan. 


Resepi : Sup Ayam ala Cina
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 keping ayam - bahagian peha - potong kecil-kecil
11 biji buah kurma merah - pilih yang sudah dibuang biji
5 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1/2 batang lobah merah - potong 2 dan belah 4
1 labu bawang besar - belah 4
1 liter air
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan kurma merah dan masak selama 10 minit.
2. Masukkan bawang besar, daging ayam, lobak merah dan cendawan shiitake. Biarkan mendidih seketika.
3. Perlahankan api dan reneh sehingga daging ayam empuk.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Tutup api dan hidangkan panas.


Selasa, 12 Mac 2013

Ikan Keli Goreng Berlada & Sayur Campur Lemak Putih

Assalamualaikum.
Lama sangat tak makan ikan keli! Kalau nak makan ikan keli memang kena tunggu balik Selangor, barulah dapat ratah puas-puas! Kebetulan pula kelmarin terjumpalah ikan keli segar dijual di pasar. Apalagi, Amie terus beli 5 ekor dn minta peniaga tersebut bersihkan sekali. Sampai ke dapur, ikan masih lagi bergerak-gerak. Amie tak jadi nak masak, sebaliknya Amie terus masukkan dalam peti sejuk. Banyak kali fikir juga nak masak apa ikan keli ini. Akhirnya Amie putuskan untuk goreng berlada.



Resepi : Ikan Keli Goreng Berlada
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 ekor ikan keli - bersihkan, kelar-kelar, lumur dengan sedikit garam dan kunyit dan kemudian goreng hingga masak - ketepikan
1 kuntum bunga kantan - belah 4
1/2 sudu teh pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar kasar:
10 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
sedikit belacan
sedikit halia

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis semua bahan kisar kasar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bunga kantan, dan pati asam jawa.
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
4. Biarkan sehingga kering sedikit.
5. Tutup api dapur. Tuangkan ke atas ikan keli goreng tadi.


Amie gandingkan Ikan Keli Goreng Berlada dengan Sayur Campur Lemak Putih.

Resepi : Sayur Campur Lemak Putih
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 batang kacang buncis - hiris serong
1/2 batang lobak merah - potong memanjang
2 keping tauhu basah - potong dadu
1 cawan potongan tempe
1 cawan suhun - rendam hingga kembang
500ml santan pekat
1 biji cili merah - hiris
1 batang serai - ketuk
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 genggam ikan bilis

Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama serai dan bahan tumbuh kasar, lobak merah serta tempe.
2. Didihkan di atas api sederhana panas.
3. Apabila mula mendidih, masukkan tauhu, kacang buncis dan suhun.
4. Kacau sekali-sekala supaya santan tidak pecah.
5. Apabila kacang buncis berubah warna, tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur.