ADSENSE

Khamis, 28 Februari 2013

Telur Teh Herba

Assalamualaikum.
Hari ini tuan dapur balik lewat petang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, anak-anak  terpaksalah makan tengahari dan petang di luar. Bagaimana pun kepada pengunjung yang bertandang ke dapur Amie malam ini, Amie tidak biarkan pulang begitu saja sebab Amie ingin kongsikan resepi Telur Teh Herba. 


Bahan-bahan:
5-10 biji telur
1 kantung Rempahan Telur Teh Herba DeliChef
1.5 sudu besar kicap cair
1/2 sudu besar kicap pekat
1.1 liter air

Cara:
1. Rebus telur sehingga masak. Kemudian kupas kulit telur dengan cermat.
2. Didihkan air dalam periuk.
3. Masukkan kantung Rempahan Telur Teh Herba DeliChef, kicap cair, kicap pekat dan telur yang telah dikupas kulitnya.
4. Reneh sup herba kira-kira 2 jam dengan api sederhana. Boleh tambah air mengikut kesesuaian bagi mengelakkan kekeringan.
5. Hidang sementara panas. Namun begitu sup telur herba tidak sesuai diminum kerana rasanya agak pahit setelah lama direneh.

Cara lain:
Amie gunakan slow cooker.  Biarkan masak lebih kurang 3 jam sehingga haruman rempah meresap ke dalam telur.

Rabu, 27 Februari 2013

Nasi Mackerel

Assalamualaikum.
Jom nikmati Nasi Mackerel, hidangan penyelamat menggunakan ikan tin! Ramai yang keliru antara mackerel dan sardin, sebab asal saja ikan tin kita terus kata itu ikan sardin! He he hehh.... apa pun ikan sardin dalam tin memang salah satu hidangan yang Amie gemari sejak kecil. Mungkin sesetengah orang tidak menggemari sardin dan lebih suka memilih mackerel disebabkan baunya yang dikatakan agak hanyir, tapi apa boleh buat... sebenarnya Amie lebih suka ikan sardin sebab memang itulah ikan tin pilihan keluarga kami sejak dahulu lagi. Dan, mungkin juga cara masakannya yang menyebabkan tidak terasa bau hanyir seperti yang diperkatakan itu. Encik Suami pula kalau membeli ikan dalam tin tidak pula memilih jenama. Apa yang terpandang itulah yang dirembatnya! 


Amie agak lewat sedikit sampai ke rumah kerana selepas waktu persekolahan, menemani anak bujang tengah ke Sabah Book Store untuk membeli buku rujukan. Sampai di rumah, terus capai mana yang ada untuk dimasak dan akhirnya siaplah hidangan Nasi Mackerel sebelum bujang bongsu pulang dari sekolah pada pukul 4 petang. Sebelum ini Amie pernah masak begini tetapi menggunakan ikan sardin dan kepada sesiapa yang berminat bolehlah klik NASI SARDIN. Bagaimana pun untuk Nasi Mackerel ini Amie telah ubahsuai resepi mengikut kesesuaian dan bahan yang ada di dapur. Jom kita semak resepi di bawah ini.

Bahan-bahan untuk Nasi Mackerel:
4 rice pot beras basmathi - boleh gunakan beras wangi atau beras biasa
1/2 labu bawang besar - cincang
2 inci halia - hiris halus
1/2 cawan kismis
1 cawan kacang gajus
1 biji tomato - cincang
1 sudu makan pati ikan bilis KNORR
3 sudu makan tomato puri
1/2 tin sos mackerel - Amie gunakan tin besar jenama ADABI
4 sudu makan marjerin
6 cawan air - ikut sukatan rice pot

Cara:
1. Panaskan marjerin di dalam rice cooker. Tumis bawang besar dan halia hingga wangi. 
2. Masukkan kismis dan kacang gajus. Kacau seketika sehingga kacang gajus agak kekuningan.
3. Masukkan tomato cincang dan kacau lagi dan seterusnya masukkan tomato puri serta sos mackerel. Gaul sebati.
4. Tambahkan air dan tunggu sehingga mendidih.
5. Masukkan pati ikan bilis dan kemudian masukkan beras. Kacau beberapa kali sehingga bahan sebati dan kemudian tutup periuk sehingga nasi masak.


Untuk lauknya pula, masak ikan mackerel seperti biasa anda masak. Oleh kerana separuh daripada sos mackerel telah Amie gunakan untuk memasak Nasi Mackerel,  Amie tambahkan tomato puri, sos cili dan juga sos tiram ke dalam lauk ini. 

Selasa, 26 Februari 2013

Kek Kukus Asam Manis

Assalamualaikum.
Tak sabar nak sambung makan Kek Kukus Asam Manis yang sangat sedap ni! Tengahari tadi sempat jalan-jalan ke dapur Yatie Memories - Sinar Kehidupanku dan menjamu mata pula dengan Kek Kukus Asam Manis yang dipanjangkan dari dapur Ita Masam Manis. Seingat Amie, semua bahan yang tersenarai dalam resepi tersebut ada di dapur kecuali telur! Jadi selepas tamat mesyuarat kewangan petang tadi, Amie terus pecut pulang dan singgah membeli telur di kedai. Seperti biasa, sambil masak nasi, sambil masak lauk, sambil-sambil menggodek tepung!



Oleh kerana masa mengukus diambil selama 1 jam, jadi sempatlah Amie mandi dan menunaikan solat Asar dan kemudian turun semula ke dapur. Oh! Alangkah seronoknya bila Amie buka kepingan aluminium foil dan mendapati Kek Kukus Asam Manis kelihatan sempurna!


Petang yang sudah remang-remang menuju ke senja...., sinaran matahari yang sudah hampir menghilangkan diri sempat menjadi penyuluh Kek Kukus Asam Manis dari celah jendela dapur.  Biasalah kalau nak ambil gambar terpaksa mencari cahaya semula jadi. Apa pun, nampaklah juga kek kukus yang gebu dan lembut!


Kek ini memang sesuai dimakan bila-bila masa. Rasanya yang sudah tentunya sedap, bertambahlah lazatnya dengan kegebuan, dan kelembutannya serta rasa haw flakes yang masam manis itu! Tak rugi mencuba sebab bahan yang digunakan tidak sukar untuk disediakan, serta proses mengukusnya juga hanya memakan masa selama 1 jam sahaja. Minta izin ye Yatie supaya Amie boleh panjangkan resepinya di sini untuk teman-teman lain mencubanya. Resepi asalnya Ita Masam Manis ambil dari buku masakan Chef Zubaidah.

Bahan-Bahan
  • 325 gm mentega
  • 250 gm gula kastor
  • 300 gm tepung naik sendiri
  • 6 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 100 gram kepingan asam manis ~ dipotong halus

Cara- Caranya
  1. Sediakan loyang berukuran 8x8x3 inci. Sapukan mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek. Panaskan kukusan dengan api yang besar.
  2. Pukul mentega dan gula hingga sebati. Masukkan telur satu persatu dan terus memukul hingga rata.
  3. Tambahkan esen vanilla dan teruskan pukul. Akhir sekali masukkan tepung dan kepingan asam manis.
  4. Tuangkan adunan yang telah siap ke dalam loyang. Tutup loyang dengan kepingan aluminium foil.
  5. Kukus kek selama 1 jam dengan api yang besar atau sehingga kek masak dengan sempurna.
  6. Sejukkan kek sepenuhnya di atas redai setelah masak sebelum dipotong dan dihidangkan. 
**Aluminium foil hendaklah disapukan mentega di permukaan yang hendak ditutup adunan. Maksudnya di sebelah bawah supaya kek tak melekat bila dah masak nanti. Selamat Mencuba. 


Encik Suami sudah makan beberapa keping Kek Kukus Masam Manis di atas.... katanya: sedap! Kalau dah semua orang kata sedap... memang sedaplah kan.... he he ehheh

Isnin, 25 Februari 2013

Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus, Sayur Manis Goreng Daging & Sambal Mangga

Assalamualaikum.
Hidangan hari Isnin... menu tengahari merangkap ke malam kerana ketika menghadap hidangan ini jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Maklumlah, sebelum sampai ke rumah Amie ambil dahulu anak-anak pulang dari sekolah dan sempat singgah di pasar berhampiran untuk mencari ikan segar. Dapatlah seekor ikan bolu @ milkfish seberat 1200 gram. Tak sabar ingin menikmatinya!


Bismillah.... Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus, ada Sambal Mangga dan pelengkap hidangan kali ini Amie masak Sayur Manis Goreng Daging.


Resepi : Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan bolu - bersihkan dan potong menjadi 7 bahagian
1 labu bawang besar - belah 4
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 batang serai - dititik
2 biji cili hijau - belah 2
1 biji cili merah - belah 2
2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 4
7 biji kacang bendi
5 helai daun limau purut
1 sudu teh serbuk kunyit
air secukupnya
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk. 
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, asam gelugur,  dan serbuk kunyit.
3. Setelah mendidih, masukkan ikan bersama kacang bendi, cili hijau, cili merah, daun limau purut dan tomato.
4.  Masak selama 5-7 minit. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.


Resepi : Sayur Manis Goreng Daging
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cekak sayur manis - patah-patahkan pucuknya yang lembut
1 cawan hirisan daging lembu
1 biji cili merah - hiris
1/2 labu bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - cincang
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang besar serta cili merah hingga naik bau.
2. Masukkan hirisan daging lembu dan tumis hingga empuk.
3. Masukkan sayur manis, sos tiram dan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa.
4. Kacau sebentar. Tutup api.


Resepi : Sambal Mangga
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
15 biji cili padi
1 biji cili merah
5 biji bawang putih - belah 2 dan goreng
5 biji bawang merah - belah 2 dan goreng
3cm belacan - goreng (bakar lagi sedap)
1 labu bawang besar - mayang
1 cawan hirisan mangga
2 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa

Cara:
1. Tumbuk cili padi, cili merah, bawang putih, bawang merah goreng serta belacan. 
2. Masukkan 1/2 cawan mangga dan dan jika suka gilis dengan anak lesung hingga hancur.
3. Masukkan garam / gula / perasa secukupnya.
4. Gaulkan dengan bawang besar dan 1/2 cawan lebihan hirisan mangga.
5. Tambahkan dengan jus limau kasturi supaya sambal mangga menerbitkan aroma yang menyelerakan.
6. Sedia untuk dihidangkan.


Dah lama tak makan Ikan Bolu @ Milkfish Masak Rebus. Mmmmm... sedap hirup kuahnya yang masih panas.

Ahad, 24 Februari 2013

Kuih Talam Lapis Ubi Kayu

Assalamualaikum.
Nampaknya hujung minggu sudah berakhir. Esok hari Isnin, dan sudah tentunya bagi penjawat awam telah bersiap sedia untuk memulakan tugasan seterusnya. Sebelum beradu, Amie paparkan menu hidangan petang kami iaitu Kuih Talam Lapis Ubi Kayu. Agak lama juga Amie teringin makan kuih talam ubi kayu tapi setiap kali ubi kayu sudah ada di dapur, terbiar begitu saja sampai lebam-lebam biru dan akhirnya menjadi mangsa cik tong. Kali ini Amie tekad untuk tidak membazirkan ubi kayu lagi seperti sebelum ini.


Amie cuba ceriakan rupa paras talam ubi kayu seperti di atas. Akhirnya siaplah satu loyang  Kuih Talam Lapis Ubi Kayu. Sewaktu Amie menyediakan hidangan tengahari, Amie sambil-sambilan mengukus kuih talam ini. Sayangnya, menjelang petang dan belum sempat sejuk sepenuhnya, Encik Suami sudah beberapa kali bertanya: Bila boleh dimakan kuih tu? Ha... rasa kasihan pula, Amie pun potonglah kuih talam ubi seperti di atas, tapi bahagian atasnya masih lembut dan lembik sedikit. Setelah hampir separuh kami makan, baru Amie teringat untuk ambil gambar Kuih Talam Lapis Ubi Kayu ini.


Untuk sukatan bahannya, Amie gunakan timbangan, misalnya setelah ubi diparut (Amie kisar dan tapis airnya), Amie timbang dan memperoleh seberat 1400 gram. 

Bahan-bahan:
1400 ubi kayu parut 
400ml santan cair
300 gram gula pasir
100 gram gula merah
1 sudu makan serbuk koko
sedikit pewarna hijau epal, kuning telur dan merah ros

Bahan untuk kepala / atas:
400ml santan sederhana pekat
3 sudu makan tepung gandum
5 sudu makan tepung beras
1/2 sudu teh garam atau secukup rasa

Cara:
1. Ambil 350 gram ubi ubi kayu parut. Campurkan dengan 100ml santan cair, 100 gram gula merah dan 1 sudu makan serbuk koko. Ketepikan.
2. Campurkan 1050 gram ubi kayu parut bersama 300ml santan cair dan 300 gram gula pasir. Kemudian bahagikan kepada 3 bahagian. Tambahkan setiap bahagian dengan pewarna hijau epal, kuning telur dan merah ros.
3. Sapukan marjerin pada dasar loyang, dan tuang adunan hijau epal serta ratakan. Kukus selama 20 minit. Keluarkan dan sekiranya permukaannya kurang rata, padatkan serta cakar sedikit menggunakan garfu. Seterusnya tuang adunan kuning telur dan ulangi proses mengukus adunan berwarna merah ros dan coklat gula merah.
4. Untuk lapisan kepala atau lapisan paling atas, satukan semua bahan untuk kepala dan masak menggunakan api perlahan. Kacau sehingga agak pekat tetapi jangan sampai kental.
5. Tuangkan lapisan terakhir ini di atas lapisan ubi kayu. Kukus selama 25 minit. Untuk hasil yang kemas dan cantik, pastikan wap tidak menitik di atasnya dengan membalut penutup kukusan menngunakan kain putih atau tuala yang bersih.
6. Tunggu sehingga benar-benar sejuk sebelum dipotong.



 Nampaknya Kuih Talam Lapis Ubi Kayu ini laris betul......


Acar Jantung Pisang & Ikan Sulit @ Sulig Goreng

Assalamualaikum.
Selamat petang  semua. Tentu sudah kenyang menikmati hidangan tengahari dan pastinya sedang bersantai-santai bersama keluarga tersayang. Hari minggu yang redup dan mendung ini Amie kongsikan hidangan tengahari yang ringkas dan merupakan lauk yang Amie ingin sangat makan sejak kebelakangan ini. Lauk yang Amie maksudkan ialah Acar Jantung Pisang dan Ikan Sulit @ Sulig Goreng. Resepi Acar Jantung Pisang Amie perolehi dari Majalah RASA  Edisi Mei 2012. Ikan sulit @ sulig yang Amie idam-idamkan semenjak dua menjak ini baru saja Amie dapat beli kelmarin di pasar. 


Ikan sulit @ sulig ini mempunyai isi yang lembut dan penuh. Amie beli  dua ekor saiz sederhana besar seberat 1kg. Memang puas hati dengan isinya yang lembut dan segar. MIL suka menggunakan isi ikan ini untuk dibuat serunding. Nanti, kalau ada masa Amie akan cuba buat serunding yang biasa MIL buat. Jom kita lihat resepi Acar Jantung Pisang di bawah ini. 


Resepi : Acar Jantung Pisang
Sumber : Majalah RASA Edisi Mei 2012

Bahan-bahan:
1 biji jantung pisang
200 ml santan pekat
1 labu bawang besar - belah 4
2 sudu besar cuka
garam & gula secukup rasa
minyak masak secukupnya

Bahan kisar
10 biji cili kering
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
50 gram udang kering

Cara:
1. Jantung pisang dibelah empat dan kemudian dicelur hingga lembut.
2. Panaskan minyak masak di dalam kuali dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi.
3. Masukkan santan dan biarkan mendidih dan kemudian masukkan garam, gula dan cuka.
4. Masukkan jantung pisang dan bawang besar.
5. Masak sehingga pekat dan angkat.


Cukuplah lauk makan tengahari kami. Ada Acar Jantung Pisang dengan Ikan Sulit @ Sulig Goreng. Habis licin!

Sabtu, 23 Februari 2013

Nasi Ayam

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Petang ini cuaca agak mendung, nyaman sekali! Enaknya kalau dapat lelapkan mata buat seketika. Anak-anak sedang sibuk membantu Encik Suami meneruskan kerja mengemaskini perpustakaan kecil kami yang telah diubahsuai. Walaupun pada sebelah pagi hingga tengahari terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah, tetapi setelah dihidangkan dengan Nasi Ayam, nampaknya ringan tulang pula anak-anak dengan tugasan masing-masing termasuk mengecat dinding dan juga menyusun buku-buku serta majalah.


Amie sempat sediakan hidangan Nasi Ayam, menu kegemaran seisi keluarga kami! Kepada adik-adik dan sesiapa yang berminat untuk mencuba resepi ini, Amie persilakan dengan senang hati. Resepi ini Amie perolehi sejak zaman remaja lagi dan kali ini Amie tidak merujuk kepada mana-mana resepi nasi ayam yang lain, cuma yakinkan diri menu yang kita hasilkan juga tidak kurang lazatnya!


Hidangan lengkap Nasi Ayam bersama ayam goreng, sup, sambal, kicap serta hirisan timun dan tomato. Syukur Alhamdulillah, Encik Suami dan anak-anak tidak pernah bersungut setiap kali hidangan disajikan di atas meja. Ini memudahkan tugas Amie di dapur untuk memasak apa yang ada. Sewaktu Amie sibuk di dapur, anak-anak datang mengingatkan supaya Amie jangan lupa merenjis minyak bijan di atas ayam goreng dan ayam rebus! Anak-anak memang sudah terbiasa dengan bau minyak bijan dan mereka rasakan satu kekurangan kalau Amie tidak menggunakannya untuk hidangan Nasi Ayam. Rasa seronok sangat bila si bongsu yang duduk di kerusi sebelah Amie membisikkan kata-kata: Masakan Mummy sedap! Nasi Ayam memang sedapkan!


Untuk lauknya pula, Amie buat 2 versi. Versi di atas kononnya versi kukus (tapi sebenarnya rebus), sebab Amie suka makan nasi ayam dengan ayam kukus. Dan versi di bawah pula ialah versi goreng, sebab Amie tahu anak-anak suka ayam goreng. Bagaimana pun, versi kukus pun habis licin oleh anak-anak! Mungkin ramai yang kurang menggemari ayam rebus atau ayam kukus sebagai lauk nasi ayam, tapi Amie kongsikan juga resepinya di sini. Untuk rasa yang lebih manis, sebaik-baiknya daging ayam dikukus bersama halia dan bawang putih serta stok ayam pekat MAGGI. Air daging ayam yang keluar sewaktu proses mengukus terasa manisnya. Tapi oleh kerana Amie ingin gunakan air rebusan ayam untuk masak Nasi Ayam, jadi Amie rebus sahaja daging ayam tersebut. Sebelum itu, sebagai peringatan, eloklah gunakan ayam segar untuk menghasilkan Nasi Ayam yang lazat, dan harum!

Bahan-bahan:
1 keping daging ayam bahagian peha
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - belah 6
3cm halia - pecahkan
1 sudu makan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa
1 liter air
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu makan kicap cair
1 tangkai daun ketumbar - hiris

Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan daging ayam, bawang putih, bawang besar dan halia.
3. Renih daging ayam dengan api sederhana.
4. Setelah daging ayam empuk, masukkan serbuk pati ayam MAGGI Cukup Rasa.
5. Keluarkan daging ayam dari periuk dan cincang / potong ikut suka.
6. Taburkan hirisan daun ketumbar dan renjiskan minyak bijan dan kicap cair ke atasnya.
7. Sedia untuk dihidangkan bersama Nasi Ayam.



Versi ayam goreng pula merupakan menu biasa yang Amie rasa semua orang sudah tahu, tapi Amie paparkan juga di sini untuk sesiapa yang masih tercari-cari resepi untuk ayam goreng sebagai pelengkap hidangan Nasi Ayam.

Bahan-bahan:
2 keping daging ayam bahagian peha
3 ulas bawang putih - tumbuk
4 cm halia - tumbuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu makan sos tiram
1 sudu teh kicap pekat
2 sudu makan minyak bijan - jika tidak suka, tak perlu bubuh
minyak

Cara:
1. Cuci dan toskan daging ayam sehingga kering.
2. Perap ayam bersama bawang putih, halia, lada putih, serbuk kunyit, sos tiram, kicap pekat dan minyak bijan selama 1 jam.
3. Goreng di dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana panas.
4. Angkat setelah daging ayam masak atau berwarna emas keperangan.


Biasanya Amie masak Nasi Ayam cara kukus tetapi kali ini Amie masak cara biasa dengan menggunakan rice cooker.

Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi  (rendam selama 20 minit) - boleh gunakan beras wangi atau beras biasa
5 cawan air rebusan ayam
1 sudu makan stok ayam pekat MAGGI
4 sudu makan marjerin
3 ulas bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 helai daun pandan - siat-siat

Cara:
1. Panaskan marjerin di dalam periuk sehingga cair.
2. Masukkan bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga cengkih dan daun pandan. Tumis sehingga harum dan layu.
3. Masukkan air rebusan ayam dan stok ayam pekat. 
4. Setelah air mendidih, masukkan beras dan tutup periuk.
5. Biarkan sehingga nasi masak.


Setiap kali Amie menyediakan sos sambal untuk Nasi Ayam, Amie teringat FIL yang sukakan rasa serta bau harum jus limau kasturi sebab Amie gunakan perahan limau kasturi. Kadang-kadang Amie masukkan sedikit hirisan kulit limau kasturi ke dalam sos sambal ini. Amie kongsikan juga resepinya untuk rujukan Amie sendiri sekiranya terlupa dan juga rujukan rakan-rakan pengunjung.

Bahan-bahan:
2 biji cili merah - buang biji
9 biji cili padi minyak 
2 biji tomato merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
5 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan kisar halus.
Untuk mendapatkan rasa yang lebih mesra, sos sambal ini boleh disediakan lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan bersama Nasi Ayam.


Ini pula sos kicap untuk Nasi Ayam. Amie gunakan lebihan bahan perapan daging ayam dan dicampur dengan kicap manis serta sedikit air bancuhan tepung jagung serta 2 sudu makan minyak bijan. Caranya mudah sahaja, iaitu masukkan kesemua bahan di dalam periuk dan masak dengan api perlahan hingga mendidih dan kuah menjadi pekat. 



Oh! Sudah siap rupanya hidangan Nasi Ayam. Untuk supnya pula, didihkan kembali air rebusan ayam, tambahkan sedikit lada putih tumbuk. Hidangkan bersama hirisan daun bawang, daun sup dan juga bawang goreng.

Jumaat, 22 Februari 2013

Haw Flake Cheese Layer Cake ( Kek Lapis Keju Masam Manis)

Assalamualaikum.
Nampaknya tangan ini masih gatal sangat nak menggodek tepung & the gang! Tambahan pula, rakan-rakan sekerja menyuarakan keinginan untuk mencicipi hasil air tangan kita. Selama ini kalau Amie buat kek, anak-anak jarang makan kecuali kek yang digemari, dan Encik Suami rajin membawa kek ke tempat kerja untuk dinikmati bersama rakan-rakannya. Pernah sekali, Amie bawa KEK KELASI MABUK  dan ternyata rakan-rakan sangat menggemarinya! Sebenarnya sebelum ini Amie  pernah membuat KEK LAPIS MASAM MANIS, tetapi Amie gunakan campuran serbuk biskut Marie. Kali ini Amie cuba hasilkan Kek Lapis Keju Masam Manis pula. Versi asalnya ialah Haw Flake Cheese Layer Cake yang Amie pelajari di kelas masakan untuk kali pertama Amie menghadirinya pada tahun lepas versi bakar. Namun begitu, Amie buat pengubahsuaian untuk hasil tersendiri termasuk menambah serbuk Horlicks dan membahagikan adunan kepada 3 warna serta mengubahnya kepada versi kukus.


Untuk menghasilkan Haw Flake Cheese Layer Cake ini Amie gunakan 250 gram  Philadelphia Cream Cheese, dan 100 gram  parutan Parmesan Cheese. Oleh kerana apabila digabungkan dengan haw flake akan menjadikan rasa kek ini bertambah manis walaupun terasa sedikit masamnya, jadi Amie kurangkan penggunaan gula halus.


Amie siapkan kek lapis ini malam tadi, tetapi tidak terus membawanya ke tempat kerja kerana tidak sempat memotong dan Amie rasa kek ini perlu 'menginap' 1 atau 2 hari untuk rasa yang lebih mesra. Memandangkan esok ada aktiviti kokurikulum di sekolah, bolehlah bawa untuk rakan-rakan. Namun begitu, Amie katakan pada mereka: kalau kek rasa sedap, Amie bawalah esok, tapi kalau tak sedap Amie tak jadi bawa.... ha ha ahhh... apa kata mereka? Biarlah..sedap atau tak sedap, kami nak juga makan kek tu! 



Alhamdulillah! Syukur kepada Allah! Kek Lapis Keju Masam Manis sangatlah sedapnya sehingga Amie tak berhenti makan ketika memotongnya! Oleh kerana rasanya sedap, jadi esok Amie bawalah ke sekolah! Rezeki kawan-kawanlah ni...


Amie kongsikan resepinya di sini. Kalau ada yang tak betul, terlebih atau terkurang sukatan, harap tegur-tegurlah untuk penambahbaikan. Amie tidak gunakan sebarang campuran serbuk biskut di dalam resepi ini.

Bahan-bahan:
250 gram Philadelphia Cream Cheese
100 gram parutan Parmesan Cheese
450 gram mentega berkualiti tinggi - Amie gunakan jenama Anchor
100 gram gula halus
1 tin susu pekat manis - (berat 505 gram)
10 biji telur gred AA
30 gram ovellete
250 gram tepung Hong Kong
150 gram Horlicks
haw flake secukupnya - Amie gunakan saiz 50 sen sebanyak 200 keping
pewarna hijau pandan, kuning telur dan merah jambu

Loyang berukuran 8 X 8 X 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.
Periuk pengukus - didihkan air dalam periuk pengukus dengan api perlahan sementara menunggu proses adunan selesai. Untuk mengelakkan daripada titisan air wap terjatuh ke atas adunan, balut penutup kukusan dengan kain putih atau tuala yang bersih.

Cara:
1. Pukul mentega hingga putih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete. 
2. Setelah kelihatan sebati, masukkan Philadelphia Cream Cheese serta parutan Parmesan Cheese. Pukul lagi sehingga licin dan berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga  kembang dan pekat.
4. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
5. Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung Hong Kong diikuti dengan Horlicks dan.
6. Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 3 bahagian - Amie gunakan timbangan untuk menyukat adunan.
7. Setiap bahagian adunan Amie warnakan dengan pewarna hijau pandan, kuning telur dan merah jambu.
8. Ambil 2 senduk adunan berwarna hijau pandan dan ratakan di atas loyang kek. Kukus selama 10 minit.
9. Keluarkan loyang kek dan untuk mengelakkan daripada kek menggelembung, cucuk-cucuk permukaan kek dengan garpu - lakukan begini pada setiap lapisan kek.
10. Susun haw flake di atas permukaan kek - Amie gunakan sebanyak 25 keping untuk setiap permukaan kek.
11. Ambil 2 senduk adunan berwarna kuning telur dan ratakan. Kukus lagi selama 10 minit.
12. Ulangi Langkah 8, 9 dan 10 untuk lapisan adunan berwarna merah jambu dan seterusnya sehingga selesai.
13. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 20-25 minit.


Jom... kita nikmati Kek Lapis Keju Masam Manis serta secawan teh 'O' panas kurang manis sebagai hidangan petang!

Rabu, 20 Februari 2013

Nasi Kerabu

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk kita bertemu kembali di alam maya. Kali ini Amie hidangkan Nasi Kerabu untuk perkongsian resepi bersama rakan-rakan pengunjung. Beberapa hari lepas Encik Suami menyatakan keinginannya untuk makan solok lada. Jadi, Amie fikir alangkah enaknya kalau solok lada dinikmati bersama nasi kerabu. Amie cadangkan kepada Encik Suami supaya mencari bunga telang, dan akhirnya petang tadi dibawanya pulang semangkuk bunga telang!


Inilah hasilnya Nasi Kerabu yang sempat Amie siapkan untuk hidangan malam kami. 



Seperti kebiasaannya, nasi kerabu memang kelihatan meriah dengan pelbagai aksesori. Boleh rujuk DI SINI untuk melihat resepi Nasi Kerabu yang pernah Amie buat sedikit masa dahulu.

Bahan untuk nasi:
4 cawan beras wangi
10 kuntum bunga telang - masak bersama 4 cawan air dan tapis
3 helai daun limau purut - siat-siat

Cara:
1. Campurkan beras, daun limau purut dan air bunga telang ke dalam rice cooker.
2. Tekan suiz dan biarkan masak seperti nasi biasa.

Budu Tumis
Bahan-bahan:
10 biji cili kering
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1cm halia
200ml santan pekat
2 batang serai
2 keping asam gelugur
1 cawan budu 
garam dan gula melaka
minyak

Cara: 
1. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia.
2. Tumis kesemua bahan di atas sehingga pecah minyak.

Sambal Kelapa
Bahan-bahan:
1 ekor ikan kembung- saiz besar
1 cawan kelapa parut
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 batang serai
1cm halia
1/2 sudu teh lada putih - tumbuk

Cara:
1. Bersihkan ikan dan bakar. 
2. Goreng kelapa tanpa minyak dengan api kecil sehingga jadi perang. 
3. Tumbuk kelapa supaya kelihatan lebih halus. 
4. Asingkan isi ikan dengan tulang. Tumbuk isi ikan sehingga halus halus. 
5. Tumbuk pula bawang dan serai, sehingga lumat. 
6. Campur sekali ikan dan bawang, dan goreng tanpa minyak sehingga agak garing. 
7. Campurkan ikan dengan kelapa goreng tadi. Masukkan lada putih, garam dan gula. Gaul hingga sebati. 

Solok Lada
Bahan-bahan:
10 biji lada hijau (kalau tak ada hijau, merah pun boleh) - belah dan buang biji 
1 cawan kelapa parut putih
4 biji bawang merah
1.5 cm halia
sedikit lada hitam
2 ekor ikan kembung saiz besar - ambil isi sahaja
sedikit garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Tumbuk bawang, lada itam dan halia hingga lumat dan masukkan garam,gula dan isi ikan.
2. Campurkan dengan kelapa parut dan sebatikan.

3. Sumbatkan ke dalam lada. 

4. Kukus hingga masak.


Lauk-pauk dan bahan sampingan untuk Nasi Kerabu:
ikan goreng salut tepung
keropok ikan
telur masin
pelbagai hirisan sayur-sayuran seperti kacang panjang, kubis, taugeh, serai, bunga kantan dan sebagainya.



Selasa, 19 Februari 2013

Ayam Panggang Rosemary

Assalamualaikum.
Sukar sekali untuk Amie mulakan mukadimah pada malam ini. Hidangan yang disediakan juga kelihatan pucat dan suram. Mungkinkah apa yang kita lakukan, misalnya hasil masakan Amie berkaitan dengan situasi yang sedang dialami? Ketika ini suasana amat sunyi dan sepi. Oleh kerana kediaman kami berdekatan dengan jalan raya utama, kami dapat melihat perubahan mendadak .... tiada lagi kenderaan yang lalu lalang seperti malam-malam sebelumnya walaupun seawal pukul 7 malam. Hanya sesekali kedengaran bunyi motosikal, dan sebuah dua kereta. Di waktu siangnya pula, banyak lori yang dipenuhi tentera melintasi jalanraya, dan pagi tadi terdapat tiga buah helikopter mendarat di lapangan terbang yang kebetulan sempadan landasannya bermula tepat berhadapan dengan tempat Amie bertugas. Kelmarin, sewaktu Amie berjanji dengan Encik Suami untuk makan tengahari di sebuah restoran, kelihatan truck tentera dengan anggotanya yang bersenjata membuat rondaan, dan sewaktu Amie menuju ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk menghadiri mesyuarat pada sebelah petangnya, nampaknya beberapa buah truck tentera mengelilingi kawasan tersebut. Di bandar, beberapa kali terpaksa berpatah balik atas arahan anggota keselamatan. Sewaktu membuat pemeriksaan kesihatan di hospital, terdengar beberapa kali siren keselamatan dari arah bandar.
Apakah yang dapat ditafsirkan jika keadaan sebegini berlaku di hadapan mata kita. Rakan sekerja menceritakan tentang kampungnya yang dikawal rapi oleh tentera, siap dengan dipagari dawai berduri, serta teman dari sekolah lain memberitahu sekolahnya terpaksa ditutup atas perintah keselamatan. Ibu bapa merayu kepada pihak sekolah agar membenarkan anak-anak mereka yang tinggal di asrama kembali ke rumah masing-masing. Dari masa ke semasa anggota tentera terus bertambah, membuat rondaan dan sekatan jalan raya siang dan malam, 24 jam! Ruang udara sekali-sekala bising dengan bunyi helikopter tentera, dan kawalan marin diperketatkan di sepanjang perairan. Isteri-isteri anggota tentera berkongsi berita bahawa meriam & beg-beg mayat sudah dibawa ke tempat yang dikenalpasti akan berlaku pertumpahan darah! Dan juga, pihak hospital telah diarahkan untuk membuat persediaan termasuk bekalan darah yang mencukupi untuk menghadapi situasi berdarah.....! Namun... berita yang disiarkan menyatakan keadaan aman dan terkawal! Tiada apa-apa yang berlaku & jangan membuat spekulasi melulu...!!!!!!! Kita tunggu apa berita selanjutnya yang akan disiarkan oleh pihak media, yang telah ditapis, diolah dan dirumus untuk sedap didengar! Untuk lebih lanjut boleh baca isu & komen DI SINI,  DI SINI, dan  DI SINI.


Agak lama juga Amie ingin menyediakan Ayam Panggang Rosemary untuk anak-anak tapi asyik tertangguh saja. Petang ini Amie berkesempatan memanggangnya, tetapi Amie gunakan api yang sederhana panas, selama 1 jam 20 minit kerana Amie tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk sepanjang waktu berada di dapur. Alhamdulillah, ayam tidak rentung, dan masak keseluruhan dagingnya. Kita lihat resepinya di bawah ini, dan sekali lagi Amie ucapkan terima kasih kepada Wana dari Potret Kasih serta Ibundo dari Dapur Bundo atas perkongsian resepi yang sememangnya lazat ini.

Resepi : Rosemary Grilled Chicken
Sumber : DAPUR IBUNDO & Wana - POTRET KASIH
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - guna peha ayam pun boleh
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar (bundo ganti dengan rempah allspice)
2-3 sudu besar gula perang 
2 sudu kecil garam
sedikit perasa - guna kiub ayam dihancurkan (bundo guna serbuk pati ayam knorr)
2 sudu besar jus limau- guna limau nipis (bundo guna lemon)
3 sudu besar olive oil ( minyak zaitun)
5 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby carot-guna karot biasa dibelah pun boleh
sedikit mentega - untuk sapu atas ayam


Cara:
1. Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
2. Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.

3. Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.

4. Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.

5. Masukkan lebihan minyak zaitun ( masa menggoreng bawang putih ) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6. Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam petisejuk beberapa jam. (Bundo masukkan dalam besen dan tutup dengan foil)
7. Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak . Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
8. Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.

Pesan Ibundo:

Bila ayam itu dipanggang, ia akan mengeluarkan banyak air.  Jangan dibuang.  Bundo gunakan air ayam yang penuh dengan rempah ratus itu sebagai sosnya. Masukkan air ayam di dalam periuk dan tambah dengan satu atau dua sudu besar tepung jagung.  Masak sehingga kuah pekat.



Ini Ayam Panggang Rosemary yang Amie buat sebelum ini dan boleh klik DI SINI.



Dan ini pula, Nasi Ayam Panggang Rosemary yang sangat lazat yang Amie hasilkan DI SINI.



Pada mulanya memang kurang berselera untuk menjamah hidangan ini, tetapi bila Encik Suami dan anak-anak tercium bau dari dapur dan tidak sabar untuk menjamah, barulah timbul semangat untuk menikmatinya bersama-sama keluarga! Apa pun memang habis seekor ayam ini diratah bersama!

Mudah-mudahan Lahad Datu kembali aman dan peristiwa berdarah 1985 tidak berulang kembali! Kita hanya orang awam... punya mata untuk melihat, punya telinga untuk mendengar tapi alangkah sukarnya untuk memperkatakan sesuatu yang benar... dan benarlah bahawa selalunya yang benar itu pahit untuk diperkatakan!