Khamis, 31 Januari 2013

Sambal Udang Dengan Petai

Assalamualaikum.
Sekalung penghargaan buat semua pengunjung budiman yang setia bertandang ke Amie's Little Kitchen. Jom  jamu mata dengan resepi Sambal Udang Dengan Petai.Amie gunakan resepi yang agak berbeza dengan sambal udang yang biasa kita buat. Kelmarin Amie cuba resepi Sambal Ayam Penyet  DI SINI dan diterima baik oleh seisi keluarga kerana rasanya yang enak dan mungkin disebabkan kesemua bahan digoreng terlebih dahulu menyebabkan aromanya sungguh menggoda selera! Memang sudah jadi lumrah selera manusia, yang sedap kalau boleh hendak diulang-ulang masak dan dinikmatinya sehingga puas! Jadi, Amie gunakan resepi tersebut untuk mengolah udang pula.


Resepi : Sambal  Udang Dengan Petai (Resepi Asal : Sambal Ayam Penyet)
Sumber : Mamak Haji

BAHAN-BAHAN:
  • 25 ekor udang kertas sederhana besar
  • 1 cawan isi petai
  • 15 biji cili masak dibuang bijinya (300gm).
  • 10 bji cili padi - kalau nak pedas tambah saja.
  • 10 biji bawang merah atau 3 biji bawang besar - dihiris.
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 biji tomoto bersais besar dibelah enam
  • 1 inci belacan.
  • 1 gengam ikan bilis - Amie gantikan dengan segenggam udang kering
  • 3 sudu besar gula merah atau gula melaka.
  • Garam secukup rasa.
  • Minyak 
Cara:
1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis (udang kering) sehingga garing dan asingkan. Dalam minyak yang sama goreng belacan dan asingkan - Pada masa ini Amie goreng udang kertas hingga berubah warna dan toskan minyaknya. 
2. Masukkan cili merah dan cili padi sehingga layu. Bila cili mula layu, masukkan hirisan bawang, hirisan bawang putih. Goreng sehingga layu.
3. Masukkan tomato dan goreng sehingga layu.
4. Angkat semua bahan-bahan goreng tadi, biarkan  sejuk dan kisar semua bahan-bahan tadi kecuali udang kertas separuh halus.
5. Keluarkan kisaran tadi dan masukan dalam kuali dan panaskan. Masukkan udang serta petai, gula dan garam secukup rasa. Jangan terlalu masak. Sekali mendidih sudah memadai. Sambal anda sudah siap.



Tidak terlalu pedas, sedang-sedang saja!

Rabu, 30 Januari 2013

Nasi Goreng Ayam Penyet (Versi Panggang)

Assalamualaikum.
Amie kongsikan sekali lagi resepi yang Amie timba daripada MAMAK HAJI. Kali ini Amie cuba masak berdasarkan Resepi Indonesia iaitu Ayam Penyet. Menurut Mamak Haji, sebenarnya ayam ini lebih sesuai dibakar (grill) dalam ketuhar (oven) bersuhu tinggi 250 darjah celsius. Untuk lebih mudah, boleh juga digoreng menggunakan kuali leper tidak lekat (non-stickable pan) dengan mengurangkan minyak atau lagi mudah boleh digoreng saja seperti ayam goreng biasa dengan menggunakan tepung beras. Masakan Ayam Penyet juga boleh digunakan dalam menu Nasi Ayam sekiranya ingin diperagakan bersama resepi Nasi Ayam. Nasi dan sup seperti biasa tetapi sos cili kita ubah menjadi sambal ayam penyet yang sangat lazat. Apa yang sebahagian daripada kita fahami ialah sebelum dimakan, ayam tersebut hendaklah dipenyek terlebih dahulu, tetapi sesetengahnya pula mengatakan 'penyet' itu hanya pada namanya sahaja dan ayam tersebut tidak perlu dilenyek!


Untuk hidangan kami sekeluarga pada hari ini Amie sediakan Nasi Goreng bersama Ayam Penyet versi panggang serta Sambal Ayam Penyet yang lazat! Sebelum ini memang Amie pernah beberapa kali masak Nasi Ayam Penyet DI SINI.


Minta izin ye Mamak Haji.... sekali lagi Amie paparkan resepi dari Mamak Haji untuk dikongsi bersama rakan-rakan pengunjung. Semoga usaha murni Mamak Haji menyebarluaskan resepi yang lazat sebegini akan mendapat keberkatan daripada-Nya.

Resepi : Ayam Penyet
Sumber : Mamak Haji

 BAHAN-BAHAN:
  • 6 ketul daging ayam. Gunakan sebelah atas peha ayam atau isi yang tebal.  
  • 3 sudu besar santan pekat.
  • 2 batang serai diketuk memanjang supaya masa gorengan ia akan terurai dan cantik dalam hidangan.
  • 2 helai daun salam atau bay leaf tempatan.  Daun Salam akan mewangikan lauk dengan memberi rasa manis dalam masakan.
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar. 
  • 1 sudu kecil jintan putih. 
  • 1 sudu besar gula merah. Gula pasir jangan digunakan dalam gorengan kerana akan jadi karbon bila digoreng, dan menjadi hitam disebabkan bahan kimia (ketika proses menjadikan gula pasir).
BAHAN UNTUK PERENCAH (KISAR ATAU TUMBUK).
  • 5 ulas bawang putih  telah dikopek kulit.
  • 2 cili merah.
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas saiz ibu jari dihiris.
  • 1 inci halia dihiris.
  • 3 biji buah keras dihancurkan.
Nota: bahan-bahan yang biasa kita gunakan untuk membakar ayam dalam oven ialah minyak masak dicampur bersama perencah tetapi resepi Indonesia menggunakan buah keras atau buah kemiri. Buah kemiri mempunyai kandungan minyak yang sangat harum. 
CARA-CARA MEMASAK:
1. Masukkan semua bahan-bahan di atas  iaitu jintan putih, serbuk ketumbar yang telah disediakan, garam, santan, serai, gula merah bersama ketulan ayam peramkan sekurang-kurangnya 30 minit atau sebaiknya semalaman.
2. Sekiranya ingin menggoreng atau seperti grill di kuali pan, masukkan minyak masak 1/4 dari paras ketulan ayam dengan api perlahan. Koyak-Koyakan daun salam dan taburkan di atas ketulan ayam. Hasil grill yang baik ialah masa meletakan ketulan ayam itu hadapkan permukaan tulang ayam ke bawah dan bahagian isi serta kulitmya ke atas. Kuali perlu ditutup untuk wap memasak ketulan ayam. Bila agak masak, terbalikan ketulan ayam. Permukaan ayam yang  isinya berkulit itu perlu hangus kehitaman sedikit.  Permukaan ini hanya perlu masak sekali saja supaya kulit tidak melekat pada permukaan kuali dan tertanggal. Sekiranya anda rasa cara ini lambat , apabila kulit dan isi ayam mula bertukar keperangan, keluarkan ketulan ayam dari kuali dan masukkan dalam ketuhar (oven) yang telah dipanaskan 250 darjah celsius selama 10 – 15 minit.
3. Ayam penyet anda telah siap untuk dihidangkan bersama sambalnya.


Akhirnya Amie berjaya menemui Sambal Ayam Penyet yang biasa Amie makan di Tawau dan juga semasa Amie berkunjung ke Pulau Jawa suatu ketika dulu. Di kedua-dua tempat ini Amie rasa sambalnya terlalu pedas, mungkin lebih banyak cili padi berbanding cili merah. Berdasarkan resepi Mamak Haji ini, Amie dapat menghasilkan Sambal Ayam Penyet yang sedap dan memenuhi citarasa kami sekeluarga! Memang Sambal Ayam Penyet ini patut dicuba oleh rakan-rakan yang berminat untuk menikmati kelazatannya! Apa yang membezakannya dengan cara masakan yang biasa ialah semua bahan digoreng terlebih dahulu dan ditambah dengan segenggam ikan bilis goreng. Jom kita semak resepinya di bawah ini.

Resepi : Sambal Ayam Penyet
Sumber : Mamak Haji


BAHAN-BAHAN:
  • 15 biji cili masak dibuang bijinya (300gm).
  • 10 bji cili padi - kalau nak pedas tambah saja.
  • 10 biji bawang merah atau 3 biji bawang besar - dihiris.
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 biji tomoto bersais besar dibelah enam
  • 1 inci belacan.
  • 1 gengam ikan bilis.
  • 3 sudu besar gula merah atau gula melaka.
  • Garam secukup rasa.
  • Minyak 
CARA-CARA MEMBUAT:
1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis sehingga garing dan asingkan. Dalam minyak yang sama goreng belacan dan asingkan.
2. Masukkan cili merah dan cili padi sehingga layu. Bila cili mula layu, masukkan hirisan bawang, hirisan bawang putih. Goreng sehingga layu.
3. Masukkan tomato dan goreng sehingga layu.
4. Angkat semua bahan-bahan goreng tadi, biarkan  sejuk dan kisar semua bahan-bahan tadi dengan separuh halus.
5. Keluarkan kisaran tadi dan masukan dalam kuali dan panaskan. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Jangan terlalu masak. Sekali mendidih sudah memadai. Sambal anda sudah siap.


Seperti biasa, ada Ayam Penyet dan Sambal Ayam Penyet tentulah perlu dilengkapi dengan ulam-ulaman. Jadi Amie tambah kacang botol celur, terung goreng, tauhu serta tempe. Nampaknya banyaklah jenis sayuran dalam hidangan kami hari ini.... termasuklah sayur kobis, kacang panjang dan lobak merah dalam Nasi Goreng di bawah ini!


Resepi : Nasi Goreng
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
4 batang kacang panjang - hiris-hiris
1/2 batang lobak merah - potong dadu
1 cawan hirisan kobis
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan serbuk pati ayam MAGGI
minyak

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 genggam udang kering - rendam dan toskan airnya

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk kasar hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan kacau hingga layu.
3. Masukkan kacang panjang serta kobis dan terus masukkan nasi putih.
4. Kacau sebati dan tuangkan kicap pekat. Kacau nasi sehingga warna kicap rata.
5. Tambahkan serbuk pati ayam dan gaul sekali lagi.
6. Tutup api dapur.
7. Nasi Goreng sedia untuk dihidangkan bersama Ayam Penyet.


Tidak rugi sekiranya anda mencuba resepi dari Mamak Haji ini, sebab terasa kelazatan dan keenakan dalam hidangan tersebut! Semasa memerap daging ayam untuk dipanggang, memang sudah terhidu semerbak baunya yang harum dengan bahan pemerap yang disarankan seperti buah keras, daun salam dan gabungan dengan lengkuas, kunyit serta serai!

Ayam Panggang Sos Yogurt

Assalamualaikum.
Amie kongsikan resepi Ayam Panggang Sos Yogurt yang Amie ubahsuai dari resepi asalnya iaitu Ayam Masak Yogurt dari Majalah SEDAP. 



Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (ambil bahagian peha) - potong 10
1 sudu makan jus lemon
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
2cm halia - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
1 sudu makan sos tiram

Bahan Sos Yogurt:
3 sudu makan yogurt asli
3 biji bawang besar - cincang
3 biji cili merah - buang biji dan cincang
200ml susu cair
garam / gula perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Perap daging ayam bersama jus lemon, lada putih, halia, bawang putih dan sos tiram selama 15 minit.
2. Panggang ayam perapan dalam oven hingga masak.
3. Untuk sosnya, panaskan sedikit minyak. Tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
4. Masukkan cili merah dan tumis lagi sehingga cili merah layu.
5. Masukkan susu cair dan biarkan mendidih hingga kuah pekat.
6. Masukkan yogurt dan kacau sebati.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.


Selasa, 29 Januari 2013

Belacan

Assalamualaikum.
Amie kongsikan menu ringkas yang Amie warisi daripada MIL. Keluarga sebelah Encik Suami memanggilnya BELACAN. Kalau kesuntukan masa atau kurang selera makan biasanya MIL akan mengolah hidangan ini. Dan sebenarnya BELACAN ini bukan hanya dihidangkan untuk keluarga, malahan di tempat kenduri juga adakalanya disediakan. Mungkin ada sesuatu yang istimewa disebalik nama BELACAN itu yang memang terkenal dalam masyarakat Melayu Cocos Lahad Datu.


Resepi : Belacan
Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
1 tin kecil sardin - toskan sosnya, dan hancurkan isi sardin
1 biji telur 
15 biji cili padi 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2cm belacan
secubit garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan hingga lumat di dalam lesung.
2. Masukkan isi sardin bersama secubit garam dan perasa pilihan.
3. Pecahkan telur dan gaul sebati bersama bahan di dalam lesung.
4. Panaskan minyak dan bentuk mengikut acuan sudu atau ikut citarasa untuk menggoreng adunan tadi.
5. Goreng hingga masak.
6. Ketika menghidang, bolehlah perahkan jus limau kasturi di atas BELACAN tadi.


Amie hidangkan BELACAN bersama ulam-ulaman seperti lobak merah dan kacang manis celur. Tidak ketinggalan, Amie gorengkan tauhu, tempe dan juga terung.


Sebagai pelengkap, Amie panggang ikan cencaru. Amie ratah-ratah sahaja lauk-pauk di atas ni... terima kasih MIL, kerana sempat meninggalkan BELACAN yang istimewa ini. Teringat kalau ke kampung, biasanya MIL sediakan BELACAN bersama ikan patin masak asam pedas cara Cocos!

Asam Laksa

Assalamualaikum.
Jom nikmati Asam Laksa. Sebenarnya ini menu hari Ahad, dan disebabkan 'kematian' talian internet terpaksalah ditunda satu demi satu resepi untuk dikongsi bersama.


Bila disebut Asam Laksa, memang ramai yang suka menikmatinya dan cara penyediaan serta bahan-bahannya pun mudah diperolehi. Cuma, kali ini Amie tidak menemui walau sehelai daun pudina untuk hiasannya. Apa pun, tanpa daun pudina, tidaklah mencacatkan keenakan Asam Laksa ini.


Resepi : Asam Laksa
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan: 
1 kg ikan kembung & 1/2 kg ikan selayang - rebus dan ambil isinya / kisar
2 bungkus laksa kering - rendam hingga lembut - celur
7 keping asam gelugur
10 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan (belah 2)
garam & perasa pilihan

Bahan untuk hiasan laksa:
1 biji timun - potong nipis
1 rumpun daun salad - hiris nipis
4 labu bawang besar - mayang
10 biji telur - rebus, kupas dan belah
1 biji nanas - buang kulit dan ricih-ricih
5 biji lada merah - hiris nipis
limau kasturi - belah dua

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
1.5cm belacan
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih

Cara:
1. Satukan isi ikan dengan air rebusan, bahan kisar dan tambah air mengikut kepekatan yang diingini.
2. Masukkan daun kesum, asam gelugur, bunga kantan dan garam serta perasa.
3. Kuah hendaklah sentiasa dikacau agar isi ikan tidak berketul.
4. Masak sehingga asam gelugur kembang dan rasanya sebati.
5. Jangan biarkan kuah mendidih terlalu lama di atas api.
6. Hidangkan bersama laksa yang telah direbus dengan bahan hiasan yang lain.



.... dan kami pun makan laksa berkali-kali sampai ke petang!

Mango & Pineapple Smoothies

Assalamualaikum.
Agak lama juga Amie tidak kongsi smoothies bersama teman-teman pengunjung. Bagi sesiapa yang singgah di tengahari nan panas ini, bolehlah teguk barang segelas buat penghilang dahaga sekaligus menyegarkan tekak dan mengisi perut sebab hidangan sebegini boleh mengenyangkan!


Resepi : Mango & Pineapple Smoothies
Olahan : Amie's Little Kitchen

500 gram isi mangga - potong-potong kecil dan sejukbekukan selama 2 jam
500 gram isi nanas - potong-potong kecil dan disejukbekukan selama 2 jam
400ml susu segar
300ml yogurt asli
4 sudu makan madu

Cara:
1. Masukkan mangga, nanas, susu segar yogurt asli dan madu ke dalam pengisar.
2. Kisar hingga halus dan lembut.
3. Tuangkan ke dalam gelas.
4. Sedia untuk dinikmati.

Oleh kerana campuran mangga dan nanas sudah cukup manis, Amie tambahkan beberapa biji strawberry yang dikisarserta hirisan mangga.




Mmmmmm.... lazatnya!

Award Persahabatan Daripada Dede Thea (Tentang Makanan)

Assalamualaikum.
Selamat pagi buat teman-teman pengunjung yang dihargai. Pagi ini dingin, hujan turun dan sudah semestinya matahari terlindung oleh awan kelabu. Namun suasana suram bertukar menjadi terang kerana rasa gembira mendapat titipan Award Persahabatan daripada seorang rakan yang turut memeriahkan dunia masakan dengan pelbagai hasil resepi yang enak-enak belaka. Untuk teman-teman pengunjung, Amie perkenalkan PAK DEDE THEA, empunya blog TENTANG MAKANAN. Pak Dede Thea sentiasa mengemaskini dapurnya dengan aneka resepi masakan Indonesia yang bisa membuatkan kita ngiler....@ terliur!


Terima kasih Pak Dede Thea atas ingatan tulus ikhlas itu. Moga persahabatan kita di alam maya dapat dimanfaatkan bersama demi memeriahkan dunia masakan tanahair yang luas tak bersempadan ini.

Isnin, 28 Januari 2013

Resepi Amie Menang MAGGI Good to Great Campaign!

Assalamualaikum.
Selamat petang semua. Sejak minggu lepas (Khamis) talian internet terus mogok! Mati! Tak bergerak langsung! Tak dapatlah Amie nak masukkan hasil air tangan Amie sepanjang 5 hari! Hari ini talian berfungsi semula. Hasrat di hati memanglah ingin kongsi menu yang berderet-deret menunggu giliran tapi tiba-tiba terbaca pula satu post daripada MIEZA di FB  bahawa Amie menang pertandingan memasak anjuran MAGGI yang diadakan sepanjang 26 November - 25 Disember 2012. Amie hanya sempat mengirim dua jenis resepi termasuk LAMB CHOP CUKUP RASA dan pihak MAGGI memilih resepi di bawah ini iaitu resepi NASI TOMATO BERSERAI & AYAM MASAK MERAH:


Resepi : Nasi Tomato Berserai & Ayam Masak Merah


Pemenang pertandingan ini akan mendapat :
1. Full Range of MAGGI Culinary Solution dan
2. Pakej Percutian Keluarga ke Legoland Malaysia, Nusajaya, Johor bernilai RM1500.

Memang terkejut badak dibuatnya bila mendapat tahu keputusan ini, tapi barangkali sudah rezeki berpihak kepada Amie untuk kali ini. Kepada yang kurang berjaya, in shaa Allah boleh cuba lagi pada pertandingan yang berikutnya. Terima kasih kepada MIEZA dan pihak MAGGI kerana menganjurkan pertandingan sebegini dan memilih resepi Amie untuk menang pertandingan. Harap pertandingan dapat diteruskan untuk penyertaan lebih ramai daripada blogger masakan yang lain. Tidak ketinggalan, Amie turut ucapkan ribuan terima kasih buat rakan-rakan tersayang yang sering memberi dorongan dan semangat untuk Amie terus bergiat secara aktif dalam dunia masakan. Sayang...sayang dan sayanggggg buat semua!

Khamis, 24 Januari 2013

Roti Paratha / Pratha & Kari Parpu / Dal

Assalamualaikum.
Selamat menyambut Maulidur Rasul buat semua pengunjung budiman. Bagi sesiapa yang menyambut ulang tahun pada hari ini, sudah tentulah tarikh ini begitu istimewa sekali kerana bersamaan dengan tarikh 12 Rabiulawal yang membawa cahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini.


Hari ini Amie kongsikan hidangan sarapan pagi yang mengenyangkan buat kami sekeluarga hingga ke tengahari. Amie sediakan Roti Paratha (Pratha) dengan 3 jenis penciciah iaitu Kari Parpu atau Kari Dal, Sambal Tumis Ikan Bilis dan juga Tumisan Sardin. Roti Paratha tu roti beli, hanya perlu dipanaskan di atas kuali non stick saja. Amie hanya buat pencicahnya sahaja. Amie berkesempatan menyelidik sedikit tentang roti paratha ini dan menurut Wikipedia, nama roti paratha ini sebenarnya terkenal di Singapura dan bentuk serta rupa roti paratha sama dengan roti canai.  Ada juga menyatakan perkataan canai dibelakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar ChennaiIndia disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkannya berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia. Okey... sekadar untuk menambah pengetahuan saja ye...


Amie gunakan resepi Mamak Haji untuk menyediakan Kari Parpu atau Kari Dal sebagai pencicah roti parataha ini. Menurut Mamak Haji, keizinan diberi untuk mengubahsuai resepi yang dikongsi oleh beliau mengikut selera masing-masing. Jadi, ada beberapa bahan yang Amie tambah di dalam resepi ini.

Resepi : Kari Parpu / Kari Dal
Sumber : Mamak Haji

  • 250gm kacang parupu/dal.
  • 1 cawan santan - Amie gantikan dengan susu cair
  • 3 cili hijau dibelah dua.
  • 1 sudu kecil halia dicincang.
  • 3 biji cili kering - Amie tidak bubuh 
  • 1 sudu kecil (tsp) serbuk cili.
  • 1 sudu kecil (tsp) serbuk kunyit.
  • 1  sudu kecil (tsp) biji jintan putih.
  • 1/2 sudu  kecil (tsp) biji jintan manis.
  • 1/2 sudu kecil (tsp) Garam Masala (sekiranya ada).
  • 1 sudu kecil (tsp) gula.
  • secubit Astafeida – sekiranya ada - Amie tidak bubuh
  • Garam secukup rasa.
  • Minyak untuk menumis.
  • Amie tambah sebiji bawang besar cincang.
CARA-CARA MENYEDIAKAN:
1. Masak kacang parpu dengan 2 cawan air, masukkan serbuk kunyit, dan serbuk cili. Sekiranya tak cukup air semasa memasak boleh tambah air sedikit tetapi jangan terlalu banyak. Setelah masak sempurna, ketepikan.
2. Panaskan periuk atau kuali dengan api sederhana besar dan masukkan minyak untuk menumis. Bila minyak panas masukkan cili kering,   biji jintan putih dan manis,  dan sekiranya suka boleh masukkan daun kari sedikit serta halia cincang. Bila biji rempah mula meletup, masukkan cili hijau.
3. Masukkan “serbuk astofeida” sekirana suka pada baunya tapi Mamak Haji tak galakan orang Melayu gunakan astofeida kerana ia berbau sampai ke peluh badan.  Astofeida ini berbentuk serbuk yang diperbuat daripada bawang putih. Awas jangan sampai hangus tumisan anda nanti pahit pula kari anda. Masukkan serta-merta parpu yang telah masak tadi ke dalam tumisan. Tumis campuran parupu dalam 2-3 minit lagi dengan adunan rempah-rempah tadi.
4. Masukkan air mengikut kepekatan yang anda kehendaki. Pada masa ini juga, sekiranya anda suka bolehlah masukkan sayur-sayuran (labu air), kentang, tomato, dan karot. Biarkan kentang masak sempurna. Masukkan garam secukup rasa. Perhatikan Mamak Haji suruh masukkan garam diakhir ubi kentang masak kerana garam akan melambatkan ubi kentang masak. Sekiranya garam dimasukkan diawal masakan, kita tidak boleh tentukan jumlah garam yang diperlukan ia semasa cair dan selepas bertukar menjadi pekat. Dengan sebab itu masukkan garam di akhir setiap masakan.
5. Masukkan santan dan tentukan kepekatan kari yang anda kehendaki. Biarkan ia dimasak 5 minit lagi sehinga mendidih untuk tidak cepat basi. Keluarkan dari dapur dan hidangkan. Kari parpu ini amat sesuai menjadi kuah pencicah untuk roti canai, capati, tosai atau roti potong. Khasiat parupu yang tinggi protein itu sangat sesuai untuk kanak-kanak dan juga kepada ingin menjaga diet dalam makanan. 



Untuk menambah kelazatan hidangan Amie tambah Sambal Tumis Ikan Bilis.



Encik Suami pula teringin pencicah Tumisan Sardin. Wokey... Tumisan Sardin juga siap!




Sedap! Memang sedap! Siapa kata Roti Paratha dimakan bersama pelbagai bahan pencicah tidak sedap? Setakat ini belum pernah dengar lagi... he he he heh... Terima kasih buat Mamak Haji yang baik hati berkongsi resepi Kari Parpu / Kari Dal yang istimewa ini.

Rabu, 23 Januari 2013

Resepi Soft Doughnut (Savoury Dough) - Cheesy Cheese Doughnut

Assalamualaikum.
Terima kasih atas kunjungan anda semua ke Amie's Little Kitchen. Memandangkan ramai rakan facebook dan juga ahli kumpulan masakan yang ternanti-nanti resepi donut lembut selembut donut Big Apple, jadi Amie putuskan untuk memaparkan resepi tersebut. Sebenarnya Amie ingin mencuba untuk kali kedua di dapur sendiri tetapi Amie fikir Amie tidak mampu melakukannya disebabkan kekangan masa dan jika Amie simpan lebih lama resepi ini, takut akan terlupa pula beberapa perkara yang disampaikan oleh Chef Khoo tempohari.


Bahan A:
350 gram tepung protein tinggi
200 gram tepung gandum
50 gram susu tepung
75 gram gula kastor
1 sudu teh garam
3 sudu teh (10 gram)  yis segera 

Bahan B:
1 biji telur gred A
170 gram air sejuk
80 gram krim putar
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh perisa mentega

Bahan C:
40 gram mentega
30 gram butterol
1 sudu makan liquid bread improver

Info tambahan:
Bahan A - Lebihkan penggunaan tepung protein tinggi berbanding tepung gandum. Jika gunakan tepung protein tinggi sahaja lagi baik, tetapi jangan gunakan tepung gandum sepenuhnya. Untuk susu tepung pula, boleh gunakan apa-apa sahaja jenis susu tepung.

Bahan B - Hendaklah menggunakan air sejuk sepenuhnya, dan bukannya air suam supaya adunan naik dengan sempurna (Chef Khoo terangkan sebab-sebab pertemuan di antara yis dengan air sejuk atau air suam, tapi Amie terlupa... tak buat catatan). Gunakan krim putar yang mempunyai rasa manis seperti Value Pride, dan bukannya jenis UHT seperti jenama Anchor yang tawar itu. Jika tidak mempunyai perisa mentega, boleh gunakan perisa vanilla sahaja.

Bahan C - Jika tidak ada butterol, gunakan sahaja marjerin. Dan jika tidak ada liquid bread improver, gantikan dengan serbuk penaik lain.

Jika suka, tambahkan sedikit pewarna kuning supaya doh mempunyai warna yang cantik.

Cara:
1. Campurkan semua Bahan A di dalam mangkuk pemukul. 
2. Masukkan Bahan B ke dalam campuran Bahan A dan pukul menggunakan kelajuan perlahan selama 1-2 minit.
3. Tukar kepada kelajuan sederhana, dan kemudian masukkan Bahan C. Pukul lagi selama 5-6 minit sehingga adunan menjadi licin.
4. Keluarkan adunan donut, dan biarkan ditutup untuk rehat selama 30 minit.
5. Ratakan adunan donut setebal 2cm menggunakan kayu penggelek, dan taburkan sedikit tepung gandum di bawah dan permukaan adunan.
6. Tutup dengan plastik dan rehatkan seketika.
7. Buka plastik penutup dan angkat adunan tadi dan kembalikan semula ke tempat asal. Adunan akan menjadi mengecil sedikit. 
8. Gunakan acuan donut untuk menerap bentuk yang dikehendaki.
9. Susun di atas dulang yang telah ditabur dengan sedikit tepung.
10. Biarkan donut kembang sehingga menjadi 2 kali ganda. 
11. Goreng sehingga kuning keemasan menggunakan api sederhana panas.

Peringatan: Sekiranya mesin pemukul anda bersaiz kecil, buat separuh adunan sahaja kerana doh tidak akan menjadi dengan sempurna sekiranya adunan terlalu banyak.

Di bawah ini Amie kongsikan resepi salah satu daripada 14 jenis yang Amie pelajari dengan mengambilkira bahan dan cara penyediaannya yang agak mudah. 


Cheesy Cheese Doughnut

Bahan untuk topping:
250 gram coklat putih 
250 gram keju cheddar (jika tidak ada tidak mengapa)
100 gram keju parmesan
150 gram UHT cream

Cara:
1. Coklat putih dicairkan secara double boil bersama UHT cream.
2. Parut keju parmesan - (boleh gunakan serbuk keju parmesan)

Bahan untuk filling:
250 gram krim keju
80 gram gula icing
40 gram UHT whipping cream

Cara:
1. Putar krim keju dengan gula icing sehingga lembut.
2. Masukkan krim putar (UHT whipping cream) dan gaul rata.



Minta maaflah ye sebab susah sikit Amie nak terangkan bahagian fillingnya. Cuba lihat bulatan warna putih di tepi donut di atas tu. Gunakan penebuk (ada penebuk khas, Amie belum ada penebuk tersebut), untuk menebuk donut dari tepi hingga ke tengah. Setiap donut hendak dibuat 2 atau lebih tebukan. Kemudian masukkan bahan filling ke dalam platik 3 segi, dan gunting sedikit dihujungnya. Selepas itu masukkan hujung plastik yang berisi filling tadi ke dalam lubang tepi donut dan tekan plastik supaya filling boleh masuk ke dalam lubang tadi. Buat di setiap bahagian yang telah ditebuk.

Untuk toppingnya pula, celupkan bahagian atas donut ke dalam coklat putih cair dan angkat segera. Kemudian sentuhkan bahagian permukaan yang diselaputi coklat putih tadi ke atas serbuk atau parutan keju parmesan.

Donut ini boleh disimpan selama 2 minggu di dalam peti sejuk.


Selasa, 22 Januari 2013

Ayam Masak Kari Pakistan

Assalamualaikum.
Selamat petang semua. Di kesempatan keemasan  ini Amie kongsi satu menu istimewa yang dicadangkan oleh Kak Maria Hakem, yang nun jauh mengembara di Cardiff! Terima kasih Kak Maria kerana sudi telefon dari jauh dan sembang panjang dengan Amie. Kak Maria sempat kongsikan resepi Ayam Masak Kari Pakistan untuk Amie cuba. Alhamdulillah, petang ini tidak ada sebarang agenda tambahan di sekolah, jadi Amie berkesempatan untuk mencuba resepi tersebut.


Inilah rupa hasil air tangan Amie. Sebagaimana ramai yang sedia maklum, kari orang kita memang kena bubuh santan serta rempah-rempah lain tetapi Ayam Masak Kari Pakistan hanya menggunakan beberapa bahan yang ringkas dan mudah diperolehi. Apa yang membuatkan resepi ini begitu istimewa pada selera dan pandangan Amie sudah tentulah pada rasanya yang enak dan lazat serta tidak muak. Menurut Kak Maria, untuk mengolah seekor ayam, kita memerlukan 4 biji bawang besar cincang dan digoreng sehingga kekuningan. Okey, Amie pun tak sabar ingin kongsi resepinya di sini. Sekali lagi terima kasih banyak-banyak buat Kak Maria Hakem yang hadir umpama bidadari menjelma di siang hari mengirim resepi dari jauh!



Minta izin ye Kak Maria, Amie panjangkan resepinya di sini untuk perkongsian maya bersama rakan-rakan pengunjung yang lain. Kak Maria kata terpulanglah kepada Amie untuk gunakan sukatan terutama serbuk cili yang boleh dikurang atau ditambah mengikut kepedasan masing-masing. Sukatan yang Amie tuliskan di bawah merupakan sukatan yang Amie gunakan.

Resepi : Ayam Masak Kari Pakistan
Sumber : Kak Maria Hakem
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong 16 bahagian 
4 biji bawang besar - cincang
4 biji tomato merah - cincang
1 sudu makan halia kisar
1 sudu makan bawang putih kisar
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh serbuk ketumbar
2 cawan air
garam
1/2 cawan minyak
garam masala - jika suka (tak bubuh pun tidak apa - Amie tidak bubuh)
hirisan cili padi dan daun ketumbar untuk hiasan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan tomato cincang dan teruskan tumisan hingga sebati.
3. Tambahkan halia dan bawang putih kisar, serbuk cili serta serbuk kunyit.
4. Kacau hingga sebati dan masukkan air. Biarkan bahan tumisan masak sehingga bawang dan tomato hancur. (Menurut Kak Maria, menumis bahan ini boleh memakan masa selama 1 jam!)
5. Masukkan ayam dan gaul rata. 
6. Tidak perlu tambah air kerana daging ayam akan mengeluarkan air. Perasakan dengan garam (Amie tambah sedikit serbuk pati ayam).
7. Kacau sebati dan masak sehingga kuah kering. (sebaiknya jangan sampai kering).
8. Hidangkan bersama taburan cili padi hiris dan daun ketumbar.


Amie tidak terlalu keringkan kuah sebab anak-anak akan mencari kuah ketika makan nasi. Lagi pun perut sudah berkeroncong minta diisi segera! Amie rasa Ayam Masak Kari Pakistan juga sedap jika dimakan bersama apa juga jenis roti! Wokey.... petang ini Amie ingin berehat seketika, dan buat teman-teman pengunjung yang dihargai, nikmatilah hidangan Ayam Masak Kari Pakistan yang sedap ini.

P/S: Selain ayam, menurut Kak Maria, daging lembu atau kambing juga sesuai digunakan untuk masakan begini.