Jumaat, 8 Mac 2013

Kari Ayam, Acar Mentah & Sambal Belacan

Assalamualaikum.
Alhamdulillah.... ketenangan dan keamanan masih di rasai di Lahad Datu  walaupun di hati kecil penduduk di sini rata-ratanya masih mengambil sikap berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga di atas segala kemungkinan yang tidak diingini. Sekalung penghargaan buat semua anggota keselamatan yang bertarung nyawa, siang dan malam memburu pengganas yang dipercayai masih bersembunyi dan berada di persekitaran daerah kami. Mudah-mudahan mereka terus diberi kekuatan, dan anak isteri yang ditinggalkan akan terus tabah mengharungi cabaran getir ini. Sesungguhnya pengorbanan mereka tiada galang gantinya walau dengan segunung intan diberikan!
Suasana di Lahad Datu masih lengang, jalan raya juga sepi. Ketika Amie pulang dari sekolah keadaan lalu lintas tidak seperti selalu, dan Amie dapat memandu dengan lancar untuk segera sampai ke rumah. Sejak sekolah dibuka mulai kelmarin, tidak ramai murid yang hadir. Nampaknya ibu bapa masih khuatir akan keselamatan anak masing-masing. Sebahagian kecil guru dari daerah ini juga mengambil keputusan untuk 'menyelamatkan diri' dengan pulang ke kampung halaman masing-masing termasuk balik ke Kota Kinabalu, semenanjung, dan Sarawak. Banyak perancangan terbengkalai, termasuk kem motivasi, kolokium PMR dan SPM serta ujian dan juga pengajaran dan pembelajaran.
Tengahari tadi, Amie sempat sediakan Kari Ayam, Acar Mentah dan juga Sambal Belacan sebelum anak-anak dan Encik Suami pulang dari solat Jumaat. Nampaknya mereka agak lewat sampai ke rumah, dan Encik Suami beritahu Amie bahawa mereka turut serta menunaikan solat hajat di masjid, memohon kepada Allah agar dipermudahkan dan diberi keselamatan serta kekuatan iman dan fizikal buat semua anggota keselamatan yang sedang berjuang di daerah kami. Mudah-mudahan semuanya mendapat restu Ilahi. Amin ya Rabbal Alamin....


Ketika kami menjamu selera di dapur, Encik Suami meminta anak-anak tidak bercakap kerana menerusi radio yang terletak di sudut dapur, khutbah Jumaat dari Masjid Negara Kuala Lumpur sedang dibacakan bertajuk Tanggungjawab Mempertahankan Negara. Walaupun untuk kali kedua mereka mengikutinya selepas solat Jumaat tadi, namun mereka sangat khusyuk mendengarnya. Buat anak-anakku... jadikanlah peristiwa yang berlaku ini sebagai satu ikhtibar. Belajarlah dari sejarah. Jangan jadikan mata pelajaran Sejarah sekadar untuk lulus PMR dan SPM sahaja, tetapi yang lebih penting daripada itu hayatilah sejarah negara kita.... negara kita yang terbentuk atas perjuangan, darah dan keringat nenek moyang kita yang terdahulu!



Untuk resepi Kari Ayam kali ini Amie tidak bubuh cili kisar kerana Amie ingin gandingkan hidangan ini bersama Sambal Belacan. Selain itu Amie sediakan Acar Mentah, menu kegemaran Encik Suami. Untuk Kari Ayam ini, Amie gunakan perahan jus limau nipis, sebagaimana kebiasaan keluarga sebelah Encik Suami buat.

Resepi : Kari Ayam
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong 10 keping
400 ml santan cair
600 ml santan pekat
50 gram serbuk kari daging / ayam
3 pelepah daun kari - lurutkan
3 biji kentang - belah 2
1 biji limau nipis - perahkan jusnya
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan penumis:
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
2 inci halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis semua bahan penumis sehingga wangi.
2. Perlahankan minyak, dan masukkan serbuk kari. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
3. Masukkan daun kari dan biarkan seketika.
4. Masukkan daging ayam dan gaul sebati. Apabila daging ayam telah layu, masukkan santan cair dan biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan kentang dan santan pekat. Masak sehingga daging ayam dan kentang empuk serta kuah memekat.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Akhir sekali masukkan perahan jus limau nipis. Tutup api dapur.


Untuk Acar Mentah pula, Amie tambahkan segenggam udang kering ke dalamnya. Amie juga gunakan perahan jus limau nipis untuk menggantikan cuka.

Resepi : Acar Mentah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji timun 
1/2 batang lobak merah
1/2 biji nenas
3 biji bawang merah
1 biji cili merah
1 genggam udang kering - bilas
2 sudu makan gula
1/2 sudu teh garam
3 sudu makan perahan jus limau nipis

Cara:
1. Potong timun, lobak merah, nenas dan cili merah serta bawang ikut ikut citarasa.
2. Campurkan dalam satu bekas dan tambahkan udang kering, gula, garam serta perahan jus limau nipis.
3. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.


Untuk Sambal Belacan pula, resepinya seperti biasa.... ada cili merah dan cili padi, bawang putih dan bawang merah serta belacan yang digoreng (belacan elok dibakar), kemudian Amie tambahkan dengan hirisan dadu sebiji tomato merah yang dibuang kulit. Tambahkan gula dan secubit garam serta perahan air limau nipis atau air limau kasturi. Hidangkan.... mmmmmm bila Kari Ayam bertemu dengan Acar Mentah dan Sambal Belacan, aromanya cukup membangkitkan selera!



11 ulasan:

Nooriah Abdullah berkata...

Salam Amie, semoga Amie sihat sejahtera hendaknya ya,mudah2an keadaan di Lahad Datu akan kembali aman seperti biasa, amin ya robbal alaminnn

makan tetap kena makan kan Amie walau apa pun keadaan nya mantop semua nya sajian Amie hari ni..sambal belacan the best hee

laskar pelangi berkata...

mulut dah rasa terliur dah tengok kari ayam dan acar tu haaaa..-__-

Asyifa Mustaffa berkata...

harapnya kembali aman ye kak...sekolah da buka ye...? tentu mak ayah ada skit risau nak anta....klau sy pun rasa mcm cuak lgi....

kombinasi lauk yg sedap...! mcm teringin plak mkn kari ayam ni....mcm nak buat je bsok....hehe...

ummiross berkata...

Lama tak singgah dapur Amie, balik Ganu kita...
Singgah je terus nampak kari ayam dengan sambal belacan, menggoda selera betul.

Amie, moga semuanya akan kembali aman.

Shiela berkata...

Issh isshh isshhh.. Sungguh ku amat laparrrr..

lina_pg berkata...

Kalau singgah dapur kak amie ni mesti rasa lapar walaupun baru sudah makan..
Hebatlah kak amie...tiap2 ari menu spesel punya

mama sara nur berkata...

alhamdulillah kan k.amie
lega dgr situasi ok skrg
memang kalu msk sini mesti menu2nya sedap2

faa.rosli berkata...

minta-minta semuanya kembali seperti sediakala..amin..

btw, sedapnya gandingan kari ayam ngan sambal belacan..

adda syuhada berkata...

Sedapnya..dah terasa kt anak tekak ni la...

Sury Abil berkata...

Pehh kak amie..sambal belacan i like...sure makan bertambah tu..:-D

aziejaya berkata...

As salam Amie,

Lama tak menjenguk blg sahabat saya ini. Aduh enak bangat hidangannya. Kalau lah dpt dihantar sepinggan ke KD, pasti sangat membahagiakan.