Isnin, 31 Disember 2012

Buah Melaka Keledek Dwiwarna

Assalamualaikum.
Selamat petang semua. Hari ini hari terakhir kita berada di tahun 2012. Tentu banyak kenangan pahit manis yang telah kita kumpul dalam tempoh 365 hari yang telah berlalu. Moga dengan kedatangan tahun baru 2013 akan memberikan sinar dan harapan baru buat kita semua. Nampaknya hari ini tiada paparan menu dari dapur Amie kerana dapur tidak berasap untuk beberapa hari ini memandangkan Amie sibuk dengan tugas di sekolah. Tengahari tadi sebaik sahaja keluar dari pintu pagar sekolah selepas selesai program orientasi tingkatan satu, Amie terus telefon anak-anak supaya bersiap sedia di pintu pagar rumah. Kami terpaksa makan di luar kerana perut sudah berkeroncong! Wokey.... walaupun dapur tidak berasap tetapi Amie mempunyai beberapa resepi yang belum dipaparkan untuk perkongsian maya. Eloklah Amie hidangkan sebagai sajian petang buat para pengunjung budiman.


Gambar di atas ialah Buah Melaka Keledek Dwiwarna. Pihak majalah meminta Amie mengirim resepi ringkas dan berkhasiat. Jadi, salah satunya ialah Buah Melaka Keledek Dwiwarna yang menggunakan warna semulajadi daripada dua jenis keledek iaitu keledek ungu dan keledek jingga atau oren. Alhamdulillah, pada ketika itu (awal November 2012) memang Amie sibuk dengan tugas mengurus pendaftaran  pelajar tingkatan satu di sekolah, namun dalam kesibukan itu otak tetap dapat memikirkan beberapa resepi yang perlu disiapkan untuk memenuhi permintaan wartawan majalah AROMA setelah selesai kerja-kerja pentadbiran di sekolah. Yang di bawah ini ....kenapa buah keledek sampai tumbuh pulak?



Kalau ada sesiapa yang pernah melihat menu BADAK KELEDEK UNGU BERENDAM dalam paparan Amie yang lepas, tentu anda tahu ceritanya! Sebenarnya selepas Amie mengolah Buah Melaka Keledek Dwiwarna, keledek lebihan terbiar begitu sahaja sehingga tumbuh tunas dan daunnya seperti di atas! Syukurlah akhirnya timbul idea, sebelum pucuk keledek menjalar ke luar tingkap dapur, Amie dapat menghasilkan Badak Keledek Ungu Berendam seperti di bawah ini.


Ohhh... melalut pula tentang kisah lalu. Berbalik semula kepada kisah masa kini. Amie kongsikan bersama resepi Buah Melaka Keledek Dwiwarna yang Amie hasilkan seperti di bawah ini.

Resepi : Buah Melaka Keledek Dwiwarna
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan A:
1 cawan tepung pulut
1 cawan keledek ungu  rebus yang telah dilenyek halus
50ml air
secubit garam

Bahan B:
1 cawan tepung pulut
1 cawan keledek oren rebus yang telah dilenyek halus
50ml air
secubit garam

Bahan lain:
1 cawan gula melaka yang dipotong dadu
2 cawan kelapa parut  kukus – tambah secubit garam

Cara:
1. Bahan A : Gaul kesemua bahan hingga sebati .  Tambahkan sedikit tepung pulut jika adunan melekat di tangan. Jadikan 7 doh saiz besar dan 7 doh saiz kecil. Ketepikan.
2. Bahan B : Gaul kesemua bahan hingga sebati. Tambahkan sedikit tepung pulut jika adunan melekat di tangan. Jadikan 7 doh saiz besar dan 7 doh saiz kecil. Ketepikan.
3. Untuk 7 doh saiz besar dari Bahan A dan Bahan B: Leperkan dan isi seketul dadu gula melaka dan tutup kembali, gentel semula menjadi bulatan buah melaka.
4. Untuk doh saiz kecil dari Bahan A dan Bahan B : Leperkan  doh Bahan A dan isi seketul dadu gula melaka dan tutupkan doh bahan B. Gentel dan jadikan bulatan buah melaka dwiwarna ungu dan oren.
5. Didihkan air dalam periuk.
6. Masukkah terlebih dahulu 7 biji buah melaka warna oren. Setelah buah melaka timbul, angkat guna penapis dan golek-golekkan di atas kelapa parut.
7. Masukkan pula buah melaka dwiwarna dan ulangi prose 6.
8. Akhir sekali masukkan buah melaka warna ungu dan ulangi proses 6.
~ Keledek warna ungu mengeluarkan warna gelap yang akan mempengaruhi warna oren, menjadikannya berubah kepada warna hijau. Jika buah melaka warna ungu dimasak terlebih dahulu, buah melaka warna oren hendaklah dimasak dalam periuk yang berlainan untuk mengelakkan timbul warna yang tidak diingini.



Ada sedikit info tambahan tentang keledek ungu:
Keledek ungu mempunyai pelbagai khasiat seperti Vitamin B, C dan E, zat mineral, beta kerotin, protein serta kanji. Kandungan anthoeyanin di dalamnya membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan.


Selamat tinggal tahun 2012. Selamat datang tahun 2013.


Ahad, 30 Disember 2012

Nasi Ayam Panggang Madu

Assalamualaikum.
Selamat petang dan selamat bersantai-santai di hujung minggu. Hari ini tidak ada menu hidangan tengahari yang Amie paparkan sebab gantung periuk. Ada majlis kenduri di kampung. Bagaimana pun Amie kongsikan bersama resepi Ayam Panggang Madu, salah satu resepi yang baru disiarkan dalam Majalah AROMA Edisi Januari 2013. 


Sebelum ini Amie pernah kongsikan resepi  tetapi Amie ubahsuai resepi tersebut untuk siaran Majalah AROMA.


Resepi : Nasi Ayam Panggang Madu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi - rendam selama 10 minit dan kemudian basuh bersih
2 sudu makan stok ayam pekat
3cm halia - hiris nipis
3 ulas bawang putih - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 sudu makan minyak zaitun
1 sudu teh garam
1 helai daun pandan - siat dan simpulkan
air secukupnya - anggaran 1:1.5 (1 cawan beras = 1.5 cawan air)

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas ke dalam rice cooker.
2. Tekan suiz memasak dan jangan dibuka sehingga nasi masak dan kering.

Bahan-bahan untuk ayam panggang madu:
3 bahagian peha ayam

Bahan A:
5cm halia - kisar
5 biji bawang putih - kisar
3 sudu makan sos tiram
1 sudu makan lada putih - tumbuk
2 sudu makan minyak bijan
3 sudu makan perahan jus lemon

Bahan B:
1 sudu makan sos tiram
3 sudu makan madu 

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan Bahan A dan perap selama 30 minit. (Lebih lama perap lebih baik)
2. Panggang di dalam oven dengan menggunakan api sederhana panas sehingga masak.
3. Keluarkan ayam panggang, dan sapu dengan Bahan B. 
4. Masukkan kembali ke dalam oven dan panggang dengan api kecil selama 15 minit.
5. Tutup api oven, dan keluarkan.
6. Sedia untuk dihidang.


Bahan untuk sos:
3 biji cili merah
1 biji tomato
3 ulas bawang putih
3cm halia
2 sudu makan perahan jus lemon
garam dan gula

Cara:
1. Kisar kesemua bahan di atas.
2. Biarkan seketika supaya meresap kesemua bahan sebelum dihidangkan.




 Selamat mencuba!

Mee Hoon Goreng Sardin

Assalamualaikum.
Selamat pagi dan selamat berhujung minggu. Pagi ini Amie hidangkan Mee Hoon Goreng Sardin atas permintaan Encik Suami. Katanya, beberapa hari lepas semasa bertandang ke rumah salah seorang rakannya, dia dihidangkan dengan mee goreng bersama sardin dan rasanya sungguh sedap. Amie diam-diam saja tak menyahut kata-katanya. Bila sudah dua tiga kali dia mengulang keenakan menu tersebut, akhirnya malam tadi sebelum tidurAmie kata, belilah sardin nanti Mummy buatkan. Apalagi, pagi tadi sebaik sahaja bangun tidur terus saja ke kedai beli sardin cap ayam dan mee hoon.


Amie pun cubalah sediakan Mee Hoon Goreng Sardin ikut kemampuan Amie. Belum siap bancuhkan minuman, Encik Suami sudah masuk dapur padahal dalam hati Amie bila semua sudah siap terhidang di atas meja, Amie akan panggil  dia dan anak-anak memandangkan ada sesuatu yang sedang dilakukannya di halaman rumah. Katanya, tak tahan hati duduk di luar kerana bau masakan yang sungguh menggoda seleranya!

Resepi : Mee Hoon Goreng Sardin
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 paket mee hoon - rendam hingga lembut dan kembang (Amie rendam dengan air sejuk saja)
1 tin kecil sardin - pecahkan isinya tapi jangan sampai hancur
1 cawan hirisan kubis
2 tangkai sawi - potong dan asingkan batang dengan daun
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
1/2 labu bawang besar - cincang
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan sos tomato
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga layu.
2. Masukkan hirisan cili hijau dan cili merah dan kacau sebentar.
3. Masukkan sos tiram, sos tomato, kubis, batang sawi dan dan sardin bersama sosnya. Gaul sebati.
4. Masukkan daun sawi bersama mee hoon.
5. Gaul rata sehingga masak sekata.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.



Rasa Mee Hoon Goreng Sardin tidak mengecewakan! Amie pun suka! Okey... nampaknya setakat ini dahulu pertemuan kita pada pagi ini kerana sebentar lagi kami sekeluarga akan berangkat memenuhi jemputan majlis kenduri di kampung. Jumpa lagi!

Sabtu, 29 Disember 2012

Spaghetti Bolognaise & Maggi Good to Great Campaign Masih Dibuka!

Assalamualaikum.
Sebelum kita makan Spaghetti Bolognaise di bawah ini, Amie ingin war-warkan kepada rakan-rakan blogger supaya turut menyertai contest Maggi Good to Great Campaign dan untuk keterangan lanjut bolehlah klik blog Mieza DI SINI.  Malam ini kami sekeluarga makan Spaghetti Bolognaise yang sungguh ringkas penyediaannya dan salah satu bahan yang Amie gunakan ialah Perencah Sos Spaghetti Bolognaise keluaran Maggi. Paparan resepi Amie kali ini bukanlah untuk dijadikan sebagai menu penyertaan tetapi sebagai galakan kepada rakan-rakan untuk membantu Mieza mencari lebih ramai peserta untuk pertandingan ini. Harap ada rakan yang sudi membantu Mieza untuk menambah bilangan penyertaan.


Petang tadi selepas balik dari mengeluarkan peluh bersama Encik Suami dan anak-anak, kami singgah sebentar di kedai runcit. Amie terpandang Perencah Sos Spaghetti Bolognaise jenama Maggi dan terus ambil sebungkus. Jadi, malam ini kami menikmati Spaghetti Bolognaise yang sungguh ringkas cara penyediaannya seperti di bawah.

Resepi : Spaghetti Bolognaise
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram spaghetti 
1 paket Perencah Sos Spaghetti Bolognaise Maggi
350 gram Sos Spaghetti Selasih & Bawang Putih
4 cawan air
2 cawan daging kisar
20 biji bebola daging
 minyak zaitun
3 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar - cincang
1 sudu makan Maggi Cukup Rasa

Cara:
1. Rebus spaghetti di dalam periuk bersama 2 sudu makan minyak zaitun hingga masak.
2. Panaskan sedikit minyak zaitun dalam kuali dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga harum dan layu.
3. Masukkan daging kisar dan tumis hingga daging layu dan berubah warna.
4. Tambahkan air dan biarkan mendidih.
5. Masukkan Perencah Sos Spaghetti Bolognaise Maggi dan Sos Spaghetti Selasih & Bawang Putih.
6. Apabila kuah mendidih sekali lagi, masukkan bebola daging dan tutup kuali / periuk. Renih sehingga kuah pekat.
7. Tambahkan Maggi Cukup Rasa dan bolehlah hidangkan bersama spaghetti.



Tak perlu bubuh bahan lain lagi. Spaghetti Bolognaise yang sungguh ringkas ini sudah cukup cara dan menepati selera kerana  sudah ada rasa masam dan manis daging!

Kek Coklat Pisang Bergajus

Assalamualaikum.
Jom minum petang dengan sepotong Kek Coklat Pisang Bergajus. Tengahari tadi Encik Suami bawa banyak pisang lemak manis yang ranum. Kalau nak buat kek kenalah guna pisang berangan supaya nampak uratnya yang cantik, tapi Amie hanya ada pisang lemak manis. Memang tak nampak uratnya pun!


Kek ini sebenarnya baru keluar dari oven dan masih panas  dan basah tapi anak-anak tak sabar nak makan termasuklah Amie sendiri sebab Amie pun memang suka makan kek yang hangat! Nanti kalau dah sejuk, terbiar tak siapa nak jamah. Eloklah makan waktu selera tengah ada!


Resepinya nanti Amie kongsi kemudian, sebab sekarang ni Encik Suami sudah menunggu untuk keluar ke taman jalan-jalan keluarkan peluh. Katanya kalau keluar lewat, nanti sampai rumah sudah masuk waktu Maghrib. Okey, kawan-kawan yang datang, nikmatilah dulu Kek Coklat Pisang Bergajus yang masih hangat di atas tu dengan segelas minuman dari kisaran buah mentega @ buah lemak manis. Jumpa lagi.

Resepi: Kek Coklat Pisang Bergajus
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:

240 gram tepung naik sendiri
1 cawan pisang yang telah dilenyek hancur
2 sudu makan serbuk koko
1 cawan kacang gajus yang telah dipecah / ditumbuk kasar
250 gram mentega
180 gram gula halus
4 biji telur gred AA
60 ml susu segar

1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen pisang

Cara:
1. Pukul mentega bersama gula halus hingga sebati di dalam mixer.
2. Masukkan telur satu persatu.
3. Masukkan  esen pisang, dan serbuk koko. 
4. Masukkan tepung naik sendiri bersama soda bikarbonat diselang seli dengan susu segar.

5. Masukkan adunan dalam loyang yang sesuai dan taburkan kacang gajus di atasnya.
6. Bakar adunan pada suhu 170C selama 45-50 minit (ikut kepanasan oven masing-masing) atau sehingga masak.

Ikan Siakap Kukus Asam Boi

Assalamualaikum.
Jom sesekali sediakan menu Ikan Siakap Kukus Asam Boi untuk keluarga kita. Menu ini sesuai untuk dihidangkan sebagai santapan di tengahari.



Terima kasih buat Hana Memories kerana sudi kongsi resepi yang sungguh enak ini. Amie gunakan 2 jenis asam boi, merah dan putih dan jumlahnya 10 biji. Benarlah kata Hana, taklah masam manapun bila banyak asam boi yang digunakan.

RESEPI IKAN KUKUS ASAM BOI
Sumber: hanamemories.blogspot.com


Bahan-bahan

  • Ikan yang sesuai untuk kukus (siakap, kerapu etc )
  • 1/2 biji bawang besar - hiris
  • 2 ulas bawang putih - ketuk
  • 1-2 batang serai - hiris
  • 1 inci halia - hiris memanjang halus
  • 5 biji asam boi putih atau lebih
  • 1/4 batang carrot - hiris memanjang halus
  • Tomato cherry @ biasa - belah 4
  • Daun ketumbar
  • 1 sudu sos ikan
  • 1 sudu kicap cair
  • 1 sudu sos tiram - (optional)
  • Hirisan limau atau jusnya
  • Cili padi dan cili merah - ikut kepedasan masing2 - hiris@ketuk
  • Garam - jika perlu - hana tak letak sbb sos ikan dah masin.
  • Tepung jagung+air sedikit (jika ingin kuah pekat) - hana tak letak - Amie pun tak letak


Cara-cara
  • Rendam asam boi dgn air panas (air paras asam boi,jangan banyak sangat) sehingga kembang. Kemudian kikiskan sedikit.
  • Basuh ikan dengan limau kemudian cuci bersih. Letak ke dalam pinggan@mangkuk tahan panas yang sesuai.
  • Susun@taburkan bahan2 lain ke atas ikan.Satukan dalam mangkuk kecil sos ikan, kicap cair, sos tiram, garam jika perlu. Kemudian curahkan ke atas ikan.
  • Akhir sekali masukkan asam boi dengan air rendaman asam boi sekali.
  • Kukus ikan selama 15min atau hingga masak.
  • Angkat dan hidangkan dengan menaburkan daun ketumbar lagi sekali.

Tak rugi mencuba resepi ini. Sedap! Kuahnya tu warna merah oren sebab Amie lebihkan penggunaan asam boi merah. Walaupun resepi ini sudah agak lama diperkenalkan, tapi apa salahnya bagi yang baru tahu terus mencubanya! Memang sedap!

Popia

Assalamualaikum. 
Selamat berhujung minggu buat semua. Pagi ini kita alas perut dengan Popia dan secawan minuman panas. Gara-gara menyiapkan popia inilah yang menyebabkan Kek Mentega Pandan Amie jadi hitam manis menawan DI SINI. Ada pun kisahnya pada malam membakar kek mentega tu, Amie siapkan sekali popia untuk sarapan anak-anak keesokan paginya sebab Amie kena awal keluar untuk menghadiri mesyuarat di sekolah. Leka menggulung popia, terlupa pula ada benda yang sedang dibakar dalam oven! Nasib baik Encik Suami yang baru masuk ke dapur menegur, katanya bau kek sampai ke luar rumah! Barulah kelam-kabut......


Popia yang Amie sediakan untuk keluarga kecil Amie ini jenis biasa saja. Walaupun popia biasa tetapi selera anak-anak termasuk Amie dan Encik Suami memang sungguh luar biasa. Kalau boleh tak mahu berhenti mengunyah popia!

Resepi : Popia
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
50 keping kulit popia saiz sederhana
sebiji telur
minyak
sos cili pilihan

Bahan inti:
1 cawan isi udang - cincang
1 cawan isi ayam - cincang
1 tin jagung - toskan airnya
2 biji lobak merah - hiris halus
2 biji sengkuang - hiris halus
3 biji bawang putih - hiris halus
1/2 labu bawang besar - cincang
1 sudu makan serbuk pati ikan bilis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan ayam dan udang. Gaul sebati.
3. Masukkan lobak merah, sengkuang dan jagung.
4. Masukkan serbuk pati ikan bilis. Gaul hingga mesra.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga kekuningan / garing.
9. Angkat dan toskan minyaknya.
10. Hidangkan bersama sos cili pilihan.



Menyediakan popia memakan masa, tetapi makan dan menghabiskan popia tak perlukan masa yang lama!

Jumaat, 28 Disember 2012

Cencaluk & Bambangan, Ikan Belais Goreng & Ulam-Ulaman

Assalamualaikum.
Menu ringkas yang dapat Amie paparkan sebagai hidangan makan malam kami.... mukadimahnya begini: nak buat sambal bambangan tapi belacan pula habis.  Nak pergi kedai, hari sudah menjelang senja, sebentar lagi masuk waktu Maghrib. Ini gara-gara Amie tertidurlah ni.... Tanya pada Encik Suami, boleh tak kalau Amie bubuh cencaluk sebagai ganti belacan? Apa salahnya, katanya. Bermakna, walaupun resepi baru tapi sudah ada yang ingin mencubanya. Alhamdulillah. Senang layan kalau begini, tolak batu & kayu saja ye... he he he ehhh.


Sementara menunggu Maghrib tiba, Encik Suami bantu kupas dan  hiris buah bambangan. Buah bambangan ini ada 4 biji semuanya, pemberian rakan di tempat kerja Encik Suami. Elok benarlah kita eratkan hubungan yang terpisah antara Laut China Selatan. Cencaluk dari Melaka bertemu jodoh dengan bambangan dari Sabah, dalam mangkuk bertemu jua! Sedaplah pula cencaluk yang Amie gunakan kali ini.

Resepi : Cencaluk & Bambangan
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji buah bambangan - kupas dan hiris isinya
4 sudu makan cencaluk - Amie gunakan Cencaluk Melaka
10 biji cili padi - hiris
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
1/2 biji bawang besar - hiris
3 biji bawang merah - hiris
2 biji limau kasturi - perah jusnya
1 sudu makan gula

Cara:
1. Gaulkan kesemua bahan di atas dalam mangkuk.
2. Biarkan seketika sebelum dihidangkan bersama nasi panas.


Lawan Cencaluk & Bambangan ialah Ikan Belais Goreng. Sebagai pelengkap sudah tentulah ulam-ulaman seperti lobak merah celur, kacang bendi celur, hirisan timun dan juga tomato ceri. Sekian, hidangan serba ringkas darai Amie's Little Kitchen

Resepi Amie's Little Kitchen Dalam Majalah AROMA Januari 2013

Assalamualaikum.
Jumpa lagi di petang Jumaat nan redup dan nyaman! Khas buat rakan-rakan blogger dan pengunjung yang setia bertandang ke Amie's Little Kitchen, Amie hulurkan sekalung penghargaan dengan paparan resepi Amie yang dimuatkan dalam Majalah AROMA Edisi Januari 2013.


Biasanya majalah ini akan sampai ke Lahad Datu pada minggu pertama setiap awal bulan dalam jumlah yang sangat terhad. Jadi, Amie kenalah sabar menunggu dan sempat berpesan dengan anak buah yang bercuti di KL supaya membeli beberapa naskhah. Anak buah Amie dijangka terbang dari KL esok. Mungkin rezeki Amie di pagi Jumaat, sebelum mesyuarat bermula seorang rakan sekerja menghulurkan 2 naskhah majalah AROMA. Terima kasih Ustaz Hasnan, kerana walaupun di Terengganu banjir dan jalan terputus dari tempat kediamannya, tetapi sempat juga dia singgah di Kuantan dan dapat membawa pulang ke Sabah majalah ini.


Alhamdulillah, terima kasih kepada wartawan Majalah AROMA, Cik Suria kerana sudi menghubungi Amie untuk mendapat beberapa resepi dari Amie's Little Kitchen. Resepi Lempeng Pisang Jagung Berkrim di atas merupakan resepi yang pernah Amie paparkan di dalam blog tetapi Amie perbaiki penampilannya untuk kali ini. Resepi asalnya DI SINI - LEMPENG PISANG PALING SEDAP! Resepi di bawahnya pula Buah Melaka Keledek Dwiwarna, merupakan resepi baru yang Amie hasilkan dan belum pernah dipaparkan dalam blog.


Antara resepi lain termasuklah resepi Ikan Kerapu Kukus Cendawan, juga belum pernah Amie kongsikan dalam blog. Begitu juga dengan resepi Bubur Nasi Laut China Selatan dan Nasi (sebenarnya Nasi Goreng) Hujan Panas akan Amie kongsikan kemudian. Manakala resepi Ikan Putih Panggang Sambal Tomato & Ulam-Ulaman merupakan menu yang biasa Amie paparkan tetapi sebelum ini Amie belum pernah gunakan ikan putih.


Menu seterusnya ialah resepi Sup Ayam Mak Nan, yang juga belum dipaparkan dalam blog. Resepi Nasi Kuning Sambal Ikan Tongkol merupakan resepi yang biasa Amie paparkan tetapi kali ini Amie tambahkan serunding, dan ini merupakan menu yang terkenal di Negeri di Bawah Bayu sebagai hidangan sarapan pagi. Resepi terakhir yang dipaparkan ialah resepi Nasi Ayam Panggang Madu yang merupakan hasil olahan dan ubahsuai dengan menggunakan bahan-bahan seperti minyak zaitun dan juga jus lemon.


Mungkin sedikit berlaku kesilapan teknik kerana di bahagian hadapan majalah ada tertera gambar (di atas gambar Lempeng Pisang Jagung Berkrim) ialah resepi terakhir Amie, yang ke 10 iaitu Salad Aneka Ria, tetapi di bahagian dalam majalah tidak ada keterangan resepi dan gambarnya. Apa pun Amie cukup bersyukur dan berterima kasih kerana Majalah AROMA sudi memaparkan resepi Amie dalam bentuk cetakan. Terima kasih sekali lagi untuk Cik Suria. 9 resepi yang tertera sudah cukup menggembirakan buat Amie, Encik Suami dan anak-anak serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan buat Amie!

Buat rakan-rakan pengunjung yang budiman.... Paparan ini Amie tujukan khas untuk anda!!!!! 


Khamis, 27 Disember 2012

Kek Mentega Pandan

Selamat malam semua.
Puas Amie tergelak menyaksikan hasil Kek Mentega Pandan Amie di bawah ini. Memang sekali pandang  maca okey saja tapi bila dua kali pandang..... Allah! Kek hangus! Apa pun kata UCU BAKERY - FARIDAH, janganlah suka merendah diri nanti susah orang nak nampak.... lega rasanya bila Ucu kata lagi, pada mata kasar akak mungkin keras kejung, comot le, selekeh le, tapi pada mata halus Ucu ni... nilah yang dinamakan keindahan n kesenian dalam mendeko...dan kelazatan yang tak terhingga tau! Inilah komen yang menyejukkan hati Amie yang diberikan oleh Ucu dalam entri KIWI MOUSSE CHEESE CAKE Amie minggu lepas. Wokey.... biar pun Kek Mentega Pandan ini hitam di luar tapi manis di dalam! Buktinya, Encik Suami tidak sabar-sabar untuk menikmatinya sambil mengupas bahagian luarnya... tidaklah hangus tapi.... boleh tengok gambar di bawah tu.... saja letak di bawah nuuu...






Wokey.... terima kasih buat Ita dari MASAM MANIS - AZLITA AZIZ kerana sudi kongsi resepi Kek Mentega Pandan yang sungguh lazat ini (kalau kena caranya he he he ehhh). Amie terlebih titik pewarna hijau epal, jadi lebih hijaulah jadinya berbanding Kek Mentega Pandan yang dihasilkan oleh Ita. Maklumlah kita baru nak berjinak-jinak dengan dunia ini, tentu masih banyak salah silapnya. Minta izin ye Ita, Amie salin resepinya di bawah ini untuk tatapan rakan-rakan yang lain. 

KEK MENTEGA PANDAN
By : Chef Zubaidah
Rujukan : Buku Resepi Jamuan Kek 

Bahan-bahan:
270 gm mentega
230 gm gula kastor
5 biji telur
60 gm santan
1 sudu besar pes pandan
1 sudu teh pewarna hijau epal 
240 gm tepung naik sendiri
30 gm kelapa parut kering
1/2 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh esen vanilla

Sediakan loyang 9 inci
Sapukan sedikit mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek
Panaskan oven pada suhu 170C

Cara:
Pukul mentega dan gula kastor hingga sebati dan berkrim.
Masukkan telur satu persatu dan teruskan memukul.
Kemudian masukkan  esen vanilla, kelapa parut , pes pandan dan pewarna hijau. 
Masukkan tepung naik sendiri berselang seli dengan santan.
Tuangkan adunan ke dalam loyang 9 inc dan bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek dimasak sempurna.




Nampak tak di belakang tu... rupa paras sebenar Kek Mentega Pandan Amie. Apa pun masih boleh dimaafkan kerana ini kali pertama Amie menghasilkannya. Kali kedua mungkin warna hitam manis itu bertukar kepada coklat pula, dan seterusnya akan terhasillah Kek Mentega Pandan yang sempurna. Apa pun, sebenarnya.... kek sudah habis dimakan anak beranak, tinggal kulit-kulit nan hitam manis tu aje....

Udang Goreng Cencaluk

Assalamualaikum dan selamat  petang kawan-kawan.
Hari ini lewat makan tengahari sebab baru pulang dari sekolah. Di rumah sudah menunggu 3 mulut dan perut anak-anak untuk diisi. Amie sempat masak 2 jenis lauk iaitu Udang Goreng Cencaluk dan Ikan Siakap Kukus Asam Boi. Itu pun sehabis 'lipas kudung' Amie mengejar masa di dapur! Masak saja apa bahan yang terpandang dek mata dan tercapai dek tangan! Nampaknya hari ini anak-anak makan tengahari pada pukul 4 petang! 


Resepi : Udang Goreng Cencaluk
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
20 ekor udang kertas - bersihkan (Amie cabut terus kepalanya dan belah belakang) - gaul dengan sedikit garam dan goreng hingga masak - ketepikan
3 sudu makan cencaluk
1 cawan isi petai
2 cawan hirisan tempe
2 biji cili merah - hiris
3 biji cili hijau - hiris
10 biji cili padi - tanpa hiris
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 ulas bawang putih - hiris 
1 sudu gula / perasa pilihan jika perlu
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan tempe dan balik-balikkan. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air supaya tempe masak.
3. Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cili padi  serta udang kertas yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
4. Masukkan petai, gula / perasa pilihan.
5. Akhir sekali masukkan cencaluk dan gaul rata. Amie suka hidangan ini kering, jadi Amie tidak tambah air lagi.
6. Hidangkan Udang Goreng Cencaluk bersama perahan jus limau kasturi jika suka.


Amie tinggalkan dulu dapur buat seketika untuk berjalan-jalan keluarkan peluh di taman.

Rabu, 26 Disember 2012

Ikan Ayam Masak Asam Pedas

Assalamualaikum.
Melihat nama ikan sebagai tajuk resepi Amie kali ini tentu ada yang tertanya-tanya, benarkah ini yang dikatakan ikan ayam? Amie sendiri keliru kerana ada ikan lain yang dinamakan ikan ayam-ayam dan ikan ayam laut. Antara ikan ayam yang dimaksudkan termasuklah ikan jebong. Pertama kali Amie diperkenalkan dengan ikan ayam ini, memang Amie tidak berani untuk mengolahnya. Ikan ini menjadi pilihan masyarakat Cina jika ada di pasaran. Mereka menggelarnya ikan ayam. Dari situlah terus melekat di ingatan Amie bahawa inilah ikan ayam! Kemudian, Amie terjumpa pula dengan ikan jebong! Dan ada yang menggelarnya sebagai ikan ayam-ayam kerana rupa parasnya seakan-akan ayam dan hatinya juga mirip hati ayam! Sumber lain pula mengatakan ikan yang Amie masak ini merupakan spesies jenahak tetapi berwarna hitam. Sisik dan kulitnya memang berwarna kehitam-hitaman, manakala isinya lebih keras berbanding isi ikan jenahak atau ikan merah yang sangat lembut itu. Apa yang Amie perhatikan sewaktu memasak ikan ini dari awal hingga akhir ialah kulitnya terutama bahagian sirip mengeluarkan lemak!


Oleh kerana ketika dibeli di pasar ikan ini sudah siap dipotong jadi Amie tidak dapat memaparkan bentuk asal ikan ini sebagai perkongsian bersama. Bila kami tanya kepada peniaga ikan di pasar tempat kami beli ikan ini, katanya ini ikan ayam! Apa pun memang rasa ikan ini sangat sedap berbanding isi ikan jenahak yang agak tawar. Kalau tidak silap Amie, MIL pernah membeli ikan ini di pasar dan menggelarnya ikan batu pula! MIL suka masak kukus dan sekali lagi memang Amie terbayang keluar minyak atau lemak dari badan ikan yang dikukus tadi!


Sekembalinya Amie dari urusan di sekolah petang tadi, Amie terus membuat persediaan untuk memasak asam pedas. Sebelum pulang ke rumah memang Amie sudah telefon anak-anak bujang supaya masak nasi terlebih dahulu dan Amie hanya masak lauk sahaja. Ketika menumis bahan untuk asam pedas, bujang tengah menjenguk ke dapur dan beberapa kali mengingatkan Amie supaya masak ikan ini seperti masakan dua hari lepas iaitu masak sambal seperti DI SINI. Aduhai anak.... memang kuah akan tumpah ke nasi dan bagaimana acuan begitulah kuihnya, itulah perumpamaan yang Amie boleh ketengahkan untuk menjelaskan betapa selera anak-anak kami sebenarnya lebih banyak mengikut selera yang diwarisi daripada MIL & FIL atau nenda mereka. Mungkinkah perahan dan aroma limau nipis yang membuatkan anak-anak menggemari menu tersebut?


Sebelum nasi menjadi bubur, dan sebelum kuah asam pedas menjadi pekat, Amie tunaikan juga hasrat selera si bujang tengah. Amie tidak bubuh asam jawa atau asam keping tetapi Amie perahkan jus limau nipis sebagai sentuhan terakhir masakan asam pedas Amie. Sebelum itu, Amie tambahkan 3 biji tomato dikisar bersama bahan tumisan yang lain untuk memekatkan kuah. Sesekali ikut selera sendiri apa salahnya.... dan biarlah resepi begini menjadi kenangan serta rujukan untuk anak cucu pada masa akan datang.

Resepi : Ikan Ayam Masak Asam Pedas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 keping ikan ayam
7 biji kacang bendi - cuci, toskan dan potong ekor serta batang
2 biji tomato - belah 2
1 kuntum bunga kantan - belah 4
4 tangkai daun kesum - buang batang
1 biji limau nipis - perah jusnya
2 cawan air
minyak
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
10 biji cili kering
3 biji tomato - belah 4
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1/2 labu bawang besar
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
1/2 sudu makan lada putih
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan daun kesum dan bunga kantan serta kepingan ikan.
4. Masak dengan api serderhana sehingga kuah menjadi pekat dan ikan masak.
5. Tambahkan kacang bendi dan tomato.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
7. Akhir sekali tuangkan secara merata jus limau nipis.
8. Tutup api dapur.