Jumaat, 30 November 2012

Ikan Cencaru Sumbat Sambal Bunga Kantan & Tomato

Assalamualaikum.
Moga Jumaat nan redup dan damai ini memberi seribu ketenangan dan keberkatan buat semua. Tengahari tadi Amie sediakan menu ringkas, Ikan Cencaru Sumbat Sambal Bunga Kantan & Tomato, dengan sayur bening bayam merah. Kiranya menu yang dihidangkan ini tergolong dalam menu ringkas, sihat dan berkhasiat.... almaklumlah, dua tiga hari lepas rasa panas badan semacam gara-gara melantak durian, manggis, rambutan, mangga dan entah apa-apa lagi. Kelmarin pagi, semasa dalam bilik air untuk mandi sebelum berangkat ke sekolah, tak semena-mena meleleh tak henti-henti darah merah dari hidung.... alamak! Lubang hidungku sudah bocor... kata Encik Suami itu akibat panas dalam! Kita pun fahamlah... kalau dah panas kat dalam tu tentu disalahkannya durian.... durian sekarang ni dah mula berlonggok di tempat kami. Amie pun lepaskan rindu dendam makan durian tak henti-henti! Memang kena berpada-padalah kalau nak makan buah bermusim. Semuanya manis-manis belaka termasuk manggis dan rambutan. Amie pun tak tahu berapa biji menelan manggis, dan kelmarin petang sewaktu Encik Suami membawa pulang rambutan, Amie tak berani makan walau sebiji!


Mula-mula Amie cadang nak buat ikan cencaru sumbat kelapa tapi memandangkan kelapa parut dalam keadaan beku dalam peti sejuk, akhirnya Amie putuskan untuk gunakan bahan-bahan yang sedia ada dan mudah untuk diolah.

Resepi : Ikan Cencaru Sumbat Sambal Bunga Kantan & Tomato
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan cencaru (500 gram) - bersihkan dan belah belakang
1 biji tomato - hiris kasar
garam / perasa pilihan
sedikit pati asam jawa
daun pisang / aluminium foil  untuk memanggang

Bahan kisar kasar:
3 biji cili merah
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 sudu makan udang kering - rendam
1 kuntum bunga kantan - hiris kasar
1 biji tomato - belah 4

Cara:
1. Lumurkan ikan cencaru dengan sedikit garam.
2. Tumis kesemua bahan kisar sehingga pecah minyak. Perasakan dengan asam jawa, garam & perasa pilihan.
3. Masukkan bahan tumis ke dalam belakang ikan, dan sumbatkan hirisan buah tomato.
4. Panggang sehingga masak - Amie bungkus dalam aluminium foil dan panggang dalam oven, dan apabila separuh masak Amie buka pembungkusnya dan terus memanggang hingga masak.



Yang bulat-bulat warna coklat tu tempe goreng!
Cukuplah hidangan buat hari ini, ada ikan bakar, ada tempe goreng dan ada sayur bening!


Khamis, 29 November 2012

Singgang Telur & Ikan Tenggiri Dengan Nanas

Assalamualaikum. 
Petang tadi masak lauk ringkas saja. Ada kepingan ikan tenggiri dan potongan telurnya sekali. Masak rebus-rebus ala singgang tapi Amie bubuh kepingan nanas. Oleh kerana nanas sudah masak, jadi kuranglah rasa masamnya sebaliknya timbul rasa manis tapi sedap saja bila masuk tekak apalagi kuahnya! Hirup kuah yang masih hangat, baru puas hati! Oleh kerana sudah bubuh nanas, Amie tak bubuh asam keping. Yang membungkal bulat macam kubis bunga kena lumur kunyit di tepi tu...itulah telur ikan tenggiri yang terkejut menggelupur masuk periuk yang tengah mendidih airnya!


Resepi : Singgang Telur & Ikan Tenggiri Dengan Nanas
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 keping ikan tenggiri
3 ulas bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - belah 2
1/2 labu bawang besar - potong kasar
8 kepingan nanas
3 cawan air
1/2 sudu teh serbuk kunyit
beberapa hirisan lengkuas
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Letakkan periuk berisi air dalam periuk.
2. Masukkan bawang putih, bawang merah, nenas dan lengkuas ke dalam periuk.
2. Setelah air mendidih dan nanas layu, masukkan ikan tenggiri bersama telurnya, serbuk kunyit serta bawang besar.
3. Masak di antara 4- 5 minit.
4. Perasakan dengan garam atau perasa pilihan.
5. Jikan suka, bubuh potongan tomato dan lada merah.
6. Tutup api dapur.
7. Sedia untuk dihidang  semasa panas.

Selasa, 27 November 2012

Ikan Sembilang Goreng Berlada, Peria Goreng Hati Ayam & Sup Kaki Ayam

Assalamualaikum dan selamat petang. Tanpa banyak bicara dan mukadimah yang panjang lebar, jom basuh tangan, kita baca doa dan santap hidangan di bawah ini. Ada Ikan Sembilang Goreng Berlada, sayur Peria Goreng Hati Ayam dan juga Sup Kaki Ayam.


Resepi : Ikan Sembilang Goreng Berlada
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 keping ikan sembilang - lumur dengan sedikit garam dan kunyit, kemudian goreng hingga masak dan ketepikan
10 biji petai
1 batang serai - diititik
1 sudu teh pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar (jangan terlalu halus):
7 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 sudu makan udang kering - boleh gantikan dengan belacan

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya untuk menumis bahan kisar.
2. Tumis semua bahan kisar dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
3. Masukkan  serai, pati asam jawa, garam dan gula.
4. Setelah bahan tumisan kelihatan pekat seperti yang dikehendaki, masukkan petai.
5. Gaul seketika sehingga petai berubah warna.
6. Tuangkan kuah sambal ke atas ikan sembilang yang telah digoreng tadi.



Resepi : Peria Goreng Hati Ayam
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji peria - bersihkan, buang biji dan hiris nipis (jika ingin kurangkan rasa pahit peria, taburkan sedikit garam dan kemudian ramas hingga layu, kemudian cuci dengan air, toskan hingga kering)
3 ketul hati ayam - potong ikut saiz yang dikehendaki
2 biji cili merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
4 ulas bawang merah - hiris
1 sudu makan serbuk Maggi Cukup Rasa
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak yang secukupnya untuk menumis.
2. Tumis bawang putih, bawang merah hingga wangi dan layu.
3. Masukkan hati ayam, dan gaul sebati dengan bawang tumis. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
4. Setelah hati ayam masak, masukkan cili merah.
5. Masukkan peria dan gaul rata.
6. Setelah peria berubah warna dan masak, perasakan dengan serbuk Maggi Cukup Rasa.
7. Gaul sebati dan tutup api dapur.


Biasanya kalau hidangan sup tentu ada bawang goreng dan hirisan daun bawang atau daun sup. Hidangan sup yang Amie paparkan ini ialah masakan ala Cina. Bahan-bahan yang digunakan juga ringkas, tidak perlu lada putih atau lada hitam serta rempah-rempahan lain termasuk halia. Buah kurma merah dan cendawan shiitake yang Amie gunakan sudah cukup membangkitkan aroma yang wangi semasa direnih. Cara masakan sup ini Amie pelajari daripada kakak ipar Amie. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, sesiapa yang suka makan kaki ayam, kulit akan licin dan mendapat tenaga lebih kerana khasiat yang terletak pada kaki ayam. Mungkin sebelum ini, ramai yang terbaca tentang khasiat kaki ayam dan tidak kurang pula yang tidak menyenanginya. Amie terbaca dalam majalah SAJI keluaran November 2012 yang mengatakan kaki ayam mempynyai khasiat yang tinggi dan gelatin yang terkandung dalam kulit kaki ayam boleh memulihkan mereka yang mengalami penyakit tulang yang haus. Gel yang akan mengeras secara automatik bila sup kaki ayam sejuk itu kelihatan seperti agar-agar, tetapi bila dipanaskan ia akan cair. 

Resepi : Sup Kaki Ayam
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 pasang kaki ayam (5X2=10) - bersihkan dan potong 2
10 biji kurma merah (red dates) - buang sedikit kedua-dua bahagian hujungnya
4 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang, dan belah 2
1 kuntum cendawan putih (white fungus) - rendam hingga kembang
2 biji kentang - belah 2
1 batang lobak merah - belah 2 dan potong 4
1 labu bawang besar - belah 4
1 sudu makan serbuk Maggi Cukup Rasa
1 liter air

Cara:
1. Masak air di dalam periuk. Masukkan kurma merah dan biarkan mendidih selama 10 minit.
2. Masukkan bawang besar, cendawan shiitake, lobak merah, dan kaki ayam. Biarkan mendidih lagi selama 10 minit.
3. Masukkan kentang dan perlahankan api. Renih antara 1-1 jam setengah.
4. Masukkan cendawan putih (white fungus) dan renih lagi antara 10-15 minit.
5. Perasakan denga serbuk Maggi Cukup Rasa.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Isnin, 26 November 2012

Bubur Jagung & Durian

Assalamualaikum. Jom sama-sama nikmati Bubur Jagung & Durian. Enak disantap ketika masih panas dan bertambah kelazatannya sesudah disejukkan.


Menu  begini juga sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang bertandang ke rumah di waktu petang. Amie telah beberapa kali menyediakan bubur jagung untuk tetamu kami. Tapi sebaiknya pastikan dahulu, jangka masa kehadiran tetamu tersebut. Kalau saudara mara yang berkunjung, tentulah ingin berbual mesra dan bersembang panjang. Jadi, keluarkan dahulu minuman dengan biskut atau kudap-kudapan ringan yang ada dan kemudian bolehlah kita sediakan bubur jagung di dapur. Masa yang diambil untuk menyediakannya tidaklah lama sangat tetapi yang paling penting pastikan di dalam kabinet anda sentiasa ada stok jagung dalam tin, sagu biji, gula melaka serta susu cair atau santan dalam kotak! Jika suka, anda boleh tambahkan jagung krim dalam bubur! Oleh kerana sekarang musim durian, jadi sekiranya ada durian dalam simpanan, tambahkan sahaja dalam bubur jagung anda! Ia dikira sebagai 'bonus' untuk melengkap dan menambah kelazatan hidangan bubur jagung kita!


Resepi : Bubur Jagung & Durian
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 tin jagung manis
1 tin jagung krim
1 cawan sagu biji - rendam dan setelah kembang, toskan
10 ulas isi durian
1.5 cawan santan pekat
120 gram gula melaka - lebih kurang seketul - jika suka cairkan dahulu dengan memasaknya bersama sedikit air
2 tin air (ikut sukatan tin jagung)
1cm halia - hiris nipis
secubit garam
daun pandan - jika suka

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk.
2. Masukkan hirisan halia, jagung tin bersama jagung krim serta gula melaka.
3. Setelah mendidih, masukkan sagu biji serta durian dan secubit garam.
4. Pastikan tahap kepekatan yang anda inginkan. Biasanya setelah dicampur sagu biji, ia akan mengembang dan kuah menjadi pekat. Jika tidak suka terlalu pekat, boleh tambah lebih sedikit santan cair.
5. Masukkan santan pekat dan kacau selalu supaya sagu biji tidak berketul.
6. Tutup api dan biarkan dalam periuk seketika supaya sagu biji mengembang dengan cantik.
7. Sedia untuk dihidangkan.
Amie hanya masukkan 120 gram gula melaka sahaja kerana jagung krim sudah mempunyai rasa lemak manis, begitu juga dengan durian.
Selamat mencuba! 


Ahad, 25 November 2012

Nasi Lemak Tumis Cik Manggis (Mama Kitchen)

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen pada hari Ahad yang redup, mendung tapi menyamankan ini. Terima kasih buat pengikut baru yang bertambah dari hari ke hari. Hari minggu yang dingin ini Amie sediakan menu Nasi Lemak Tumis kerana tertarik dengan resepi yang dipaparkan hasil kunjungan Amie ke rumah Mama Kitchen - Cik Manggis malam tadi. Sebelum memasak nasi lemak, Cik Manggis tumis terlebih dahulu bahan-bahan termasuk serai dan halba dan istimewanya Nasi Lemak Tumis Cik Manggis ini dicamur dengan sedikit serbuk kunyit, jadi warnanya nampak berseri berbanding warna nasi lemak biasa. Terima kasih Cik Manggis kerana berkongsi idea hidangan yang sedap ini. Kebetulan pula, malam tadi kami balik dari kampung, 3 anak buah ikut pulang sama dan inilah masanya anak-anak kami dapat bergaul mesra dengan sepupu-sepupunya. Jadi, pagi ini Amie hidangkan untuk mereka Nasi Lemak Tumis. 


Amie minta izin untuk memaparkan resepi Nasi Lemak Tumis ye Cik Manggis supaya rakan-rakan pengunjung yang lain dapat berkongsi dan menikmati hidangan yang lazat dan istimewa ini.

Resepi : Nasi Lemak Tumis

Bahan-bahan:
3 cawan beras basmathi - Amie gunakan beras wangi

3  3/4 cawan air.
1/3 cawan santan pekat.(Jika sukakan nasi lebih lemak boleh tambahkan santan )
garam secukup rasa.
sedikit serbuk kunyit-jika inginkan nasi berwarna kuning.
2 ulas bawang putih.
4 ulas bawang merah.
1 inci halia.
2 tsp biji halba.
2 helai daun pandan.
1 batang serai-diketuk.
Minyak jagung untuk menumis - Amie gunakan minyak canola

Cara:
1.  Bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus.
2.  Beras dicuci bersih dan direndam selama 20 minit. Kemudian ditoskan.
3. Panaskan minyak jagung dan tumiskan bahan-bahan yang dimayang hingga wangi. Kemudian masukkan halba.
4. Masukkan beras dan gaul hingga rata baru masukkan air, santan, garam, daun pandan, serbuk kunyit dan serai. Tanak nasi sehingga masak.

Amie gunakan 8 cawan beras wangi, jadi kena sesuaikan kesemua bahan yang lain untuk menghasilkan Nasi Lemak Tumis mengikut kuantiti yang dikehendaki.

Untuk lauk-pauknya pula, seperti biasa sudah semestinya ada sambal tumis, hirisan timun dan telur tapi Amie tidak sediakan ikan bilis goreng sebaliknya masak kesemua ikan bilis bersama sambal tumis.




Inilah rupa sebenar Nasi Lemak Tumis yang Amie hasilkan mengikut resepi Cik Manggis. Amie jangkakan, dalam kuantiti yang agak banyak, bolehlah anak-anak makan untuk kali kedua.... tapi lain pula jadinya! Nasi Lemak Tumis tidak berbaki.... yang tinggal hanyalah sambal tumis ikan bilis dengan petai yang memang Amie buat lebih! Bila Amie tanya bujang tengah, katanya belum kenyang walaupun nasi sudah habis. Amie tanya sepupunya yang sebaya dengannya yang baru balik belajar dari Sarawak... entahlah.... macam tak kenyang, katanya! Amie tanya kenapa tak kenyang? Sebab sedap sangat!!!!... itu jawapannya serta jawapan anak-anak yang lain.


Resepi : Sambal Tumis Ikan Bilis Dengan Petai
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
250 gram ikan bilis - bilas dan toskan
30 biji petai - belah 2
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 batang serai - dititik
1 sudu teh pati asam jawa
garam / gula
minyak

Bahan kisar:
30 biji cili kering
10 biji bawang putih
12 biji bawang merah
sedikit belacan
1cm halia

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis kesemua bahan kisar dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Masukkan pati asam jawa, garam, dan gula secukupnya.
3. Masukkan ikan bilis, dan jika kuah terlalu pekat boleh tambah sedikit air. Biarkan sehingga ikan bilis lembut.
4. Masukkan bawang besar dan hirisan petai. Gaul sebati
5. Setelah petai berubah warna, tutup api dapur.
6. Sambal Tumis Ikan Bilis Dengan Petai sedia untuk dihidangkan bersama Nasi Lemak Tumis.


Pelengkap Nasi Lemak Tumis.



Jemput makan..... sepinggan Nasi Lemak Tumis di atas ni Amie nak bawa ke rumah Cik Manggis. Jom... siapa nak ikut!

Sabtu, 24 November 2012

Udang Kam Heong

Assalamualaikum.
Apa khabar rakan-rakan pengunjung yang disayangi? Selamat berhujung minggu bersama keluarga tercinta. nampaknya cuaca agak mendung petang ini. Elok benarlah ambil sebiji bantal dan rebahkan kepala....... he he he sesekali layan mata apa salahnya! Sekali lagi Amie paparkan resepi Udang Kam Heong yang Amie adaptasi dari resepi Ketam Kam Heong hasil air tangan Chef Wan. Namun untuk hari ini, sebenarnya Amie menyediakan sebanyak 5 kg Udang Kam Heong atas permintaan Kak Siti, sebagai salah satu menu sempena  majlis pernikahan anak perempuannya yang diadakan secara kecil-kecilan tepat pukul 10.30 pagi tadi. Semasa majlis doa selamat tempohari, Kak Siti berkenan dengan hidangan Udang Kam Heong di rumah kami. Apa istimewanya Udang Kam Heong? Sesiapa yang belum cuba... silakan, pasti anda ingin menikmatinya buat kali kedua.....


Gambar di atas merupakan resepi Udang Kam Heong Amie yang lepas dari SINI, tetapi gambar di bawah, lain pula rupa parasnya apabila masak dalam kuantiti yang banyak! Pada masa inilah peranan campak-mencampak berlaku! Tak payah sukat garam gula lagi, ambil saja  serbuk pati ayam Maggie Secukup Rasa dan  terus tabur ikut suara hati! Alhamdulillah, rasanya pun okey dan diterima ramai.



Untuk sukatan 5 kg udang, Amie gunakan 1/2 kg bawang putih cincang, 1/2 kg udang kering tumbuk, 1 botol kecil sos tiram serta tiga tangkai rimbun daun kari. Amie tidak gunakan cili padi sebab rasanya yang pedas dan memikirkan mungkin ada tetamu yang akan tergigit cili atau yang tidak tahan dengan cili padi, jadi Amie gantikan dengan 30 tangkai cili kering yang digunting sepanjang 1cm. Memandangkan kepala udang ada yang mula tanggal sewaktu membersihkannya, jadi Amie tanggalkan kesemua sekali kepala udang tersebut!

Resepi Asal : Ketam Kam Heong
Sumber : Selera Malaysia Chef Wan

Bahan-bahan:
3 ekor ketam - Amie gantikan dengan 5kg udang kertas - bersihkan (tidak perlu buang kulit) dan belah belakang 
5 ulas bawang putih cincang - Amie gunakan 1/2 kg bawang putih cincang
2 sudu besar udang kering  - Amie gunakan 1/2 kg udang kering, rendam dan tumbuk kasar
2 sudu besar serbuk kari - Amie gunakan 8 sudu besar
3 tangkai daun kari - Amie gunakan 3 tangkai rimbun daun kari
6 biji cili padi  dihiris- Amie gunakan 30 biji lada kering, gunting sepanjang 1cm
2 sudu besar sos tiram - Amie gunakan 1 botol kecil sos tiram
1 sudu teh lada hitam - kisar - Amie gunakan 2 sudu makan lada hitam tumbuk
garam & gula - Amie gantikan dengan 3 sudu besar serbuk pati ayam Maggie Secukup Rasa
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terendam ketam / udang selama 5 minit atau sehingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan 1.5 cawan minyak dan tumiskan bawang putih sehingga wangi.
3. Masukkan udang kering dan goreng sehingga udang masak.
4. Masukkan serbuk kari, daun kari serta cili padi dan goreng kacau selama beberapa minit. 
5. Tambah sos tiram dan lada hitam dan gaul sebati.
6. Masukkan udang dan balik-balikkan supaya disaluti dengan sos.
7. Taburkan serbuk pati ayam Maggie Secukup Rasa. Gaul beberapa kali.
8.Angkat dan hidangkan - Amie masukkan dalam bekas yang Kak Siti sediakan dan siap untuk dibawa ke rumah beliau!

Untuk mempercepatkan proses menggoreng udang, Amie gunakan dua buah kuali, dan ketika menumisnya pula Amie bahagikan kepada dua bahagian, bermakna 2 kali tumisan  dalam kuali besar supaya semuanya tergaul sama rata!



Jumaat, 23 November 2012

Ikan Tenggiri Masak Cuka

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untk bersama rakan pengunjung yang tetap setia bertandang ke dapur Amie. Petang ini Amie kongsi satu lagi resepi berasaskan ikan yang mudah dan ringkas tapi menyelerakan. Amie kata 'menyelerakan' sebab setiap kali hidangan ini dijadikan menu antara lauk-pauk di atas meja, memang habis licin ikan dan kuahnya kecuali hirisan lada dan bawang sebab anak-anak tak pandai makan kedua-dua bahan ini. Amie tidak tambah bancuhan tepung jagung ke dalam kuah sebab Amie bubuh sedikit air sahaja, kalau pekat nanti anak-anak tercari-cari kuah! Dan satu lagi, Amie tambah satu sudu biji sawi semasa menumis bahan untuk kuah cuka ini.


Resepi : Ikan Tenggiri Masak Cuka
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 keping ikan tenggiri saiz besar
1 sudu teh serbuk kunyit
3 ulas bawang putih - hiris
5 ulas bawang merah - hiris
3 biji cili merah
3 biji cili hijau
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 cm halia - hiris halus
1sudu teh biji sawi
4 sudu cuka masak
1 sudu makan gula
75ml air
garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Lumurkan ikan tenggiri dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. Goreng hingga masak.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang merah, bawang besar, biji sawi,  cili merah, cili hijau serta halia hingga layu.
3. Tambahkan air dan biarkan mendidih seketika.
4. Masukkan sedikit garam, gula dan cuka.
5. Tutup api dapur dan tuangkan kuah cuka ke atas ikan tenggiri goreng.
6. Sedia untuk dihidangkan.


Selamat malam & jumpa lagi!

Sambal Petai

Assalamualaikum.
Mudah-mudahan hari Jumaat yang penuh keberkatan ini dapat kita penuhi dengan sebaik-baik amalan sejak kita bangun pagi tadi. Alhamdulillah, kita dapat bertemu lagi di dapur Amie. Sementara menunggu Encik Suami dan anak-anak pulang dari menunaikan solat Jumaat, Amie kongsikan salah satu menu hidangan tengahari kami yang serba ringkas ini. Amie sediakan Sambal Petai tetapi Amie tidak gunakan cili kisar sebaliknya Amie hanya hiris-hiris dan potong-potong saja kesemua bahan yang diperlukan. Dah selalu sangat masak petai dengan cili kisar, jadi kali ini teringin mencuba masakan bonda di kampung. Memang bonda suka masak cara hiris-hiris begini. Lagi pun penyediaannya lebih mudah dan cepat, maklumlah tidak perlu menunggu cili kisar ditumis sehingga pecah minyak. Dan satu lagi, enak sungguh lauk ringkas ini dimakan bersama nasi panas! Hai... tak sabar menunggu semua isi rumah pulang!


Resepi : Sambal Petai
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
20 biji petai - belah 2
1 cawan ikan bilis - rendam seketika, bilas dan toskan
1 cawan tempe siap dihiris
3 biji cili hijau - hiris kasar
10 biji cili padi - hiris kasar
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - mayang kasar
1/2 sudu teh pati asam jawa
50ml air
garam /gula /perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar serta tempe dengan api sederhana panas.
2. Masukkan cili hijau, cili padi dan ikan bilis.
3. Masukkan air dan pati asam jawa. Biarkan mendidih dan kuah memekat.
4. Masukkan petai dan gaul sebati.
5. Apabila petai telah berubah warna, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Gaul lagi.
6. Tutup api dapur.

Ikan Bayan Masak Asam Pedas

Assalamualaikum.
Dah sarapan pagi? Apa agaknya hidangan untuk alas perut rakan-rakan ye. Pagi ini Amie paparkan Ikan Bayan Masak Asam Pedas, dan ini bukannya menu sarapan pagi kami. Sebenarnya resepi ini Amie tangguhkan paparannya disebabkan masalah album picasa yang telah penuh 2 hari lepas. Maknanya menu ini merupakan menu hidangan tengahari kami 2 hari lepaslah... Resepi masak asam pedas yang Amie gunakan kali ini memang resepi paling ringkas dan mudah. Tidak ada sebarang rempah-rempahan atau bahan lain kecuali bahan asas sahaja. Jadi, kepada sesiapa yang mula berjinak-jinak dengan dunia masakan khususnya untuk menyediakan hidangan keluarga, bolehlah kongsi dengan paparan ini.



Resepi : Ikan Bayan Masak Asam Pedas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 kepingan ikan bayan
10 biji kacang bendi
1 kuntum bunga kantan - belah 2
3 tangkai daun kesum
1 batang serai - dititik
1 sudu teh pati asam jawa - boleh gunakan asam keping / gelugur
garam / gula / perasa pilihan
minyak
2 cawan air

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
sedikit belacan
5  biji buah keras - tidak bubuh pun tidak apa ( Amie bubuh untuk pekatkan kuah)

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, daun kesum dan bunga kantan. Gaul seketika.
3. Tambahkan air dan biarkan mendidih - Amie didihkan kuah sehingga nampak pekat sedikit sebab ikan bayan tidak boleh dimasak lama kerana isinya sangat lembut.
4. Masukkan ikan bayan dan masak dalam tempoh 4-5 minit sahaja. Jika dimasak agak lama, isi ikan bayan akan hancur. 
5. Pada masa yang sama bolehlah masukkan kacang bendi.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Tutup api dapur.

Amie banyak kali memaparkan pelbagai resepi ikan bayan dalam blog. Namun begitu kepada sesiapa yang masih belum mengenali ikan bayan, bolehlah lihat gambar ikan bayan di bawah ini.


Saiz ikan bayan tidak terhad, ada yang kecil, sederhana dan besar. Amie pernah beli satu bahagian kepala ikan bayan seberat 3 kilogram! Bahagian kepala sangat sedap terutama pipi ikan bayan, rasa lembut dan kenyal!


Khamis, 22 November 2012

Peparu Goreng Berempah

Assalamualaikum. 
Petang tadi terjumpa peparu lembu dalam peti sejuk. Peparu ini Encik Suami bawa pulang masa Hari Raya Aidil Adha tempohari. Lamanya.... sampai terlupa nak masak! Akhirnya Amie putuskan untuk rebus kesemuanya dan goreng saja. Tak sempat nak cari resepi peparu goreng, buat sajalah mana yang patut dengan apa sahaja bahan yang ada asalkan boleh diterima tekak.


Peparu Goreng Berempah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram peparu lembu (anggaran Amie) - rebus hingga lembut 
1 tangkai daun kari
 1 sudu makan serbuk rempah kari daging
1 sudu makan kicap manis ABC
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh pati asam jawa
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar / tumbuk (jangan terlalu halus):
1 sudu teh biji jintan putih
1 sudu teh biji jintan manis
1 sudu makan biji ketumbar
2 cm halia
4 ulas bawang putih
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Hiris nipis peparu yang telah direbus.
2. Perap dengan kesemua bahan di atas kecuali minyak selama 20 minit.
3. Goreng hingga garing.

Sarapan Pagi Dengan Mee Goreng Seafood

Assalamualaikum rakan-rakan pengunjung yang dihargai. Lama benar rasanya Amie tidak memaparkan hidangan sarapan pagi. Tapi sebelum itu Amie ingin berkongsi satu pengalaman yang sangat berguna buat diri Amie dan juga rakan-rakan blogger yang lain. Kelmarin, semasa Amie hendak memaparkan hidangan tengahari (belum dipaparkan lagi sehingga kini), tiba-tiba Amie menghadapi masalah tidak boleh memuatkan gambar di sebabkan ruangan dalam Album Picasa sudah penuh 1GB. Terpaksalah Amie mencari mana-mana sumber dalam internet untuk mengatasi masalah tersebut. Tiba-tiba Amie teringat pernah terbaca masalah yang sama dihadapi oleh Qasey Honey. Jadi Amie pun terus ke blog beliau dan Alhamdulillah terjumpa TUTOTIAL BILA ALBUM PICASA PENUH. Amie terus link tutorial tersebut ke dalam blog Amie, untuk kegunaan pada masa hadapan dan juga untuk rujukan teman-teman yang lain. Minta izin ya Qasey Honey! 
Oleh kerana Amie agak sibuk, jadi Amie meminta jasa baik bujang sulung Amie untuk mengemaskini semula segala keperluan seperti dalam tutorial. Sayangnya bujang Amie agak letih setelah seharian menduduki kertas Fizik, dan sebelah malamnya pula guru Fiziknya mengajak bujang sulung dan rakannya makan  malam kerana ada sambutan hari jadi rakan kelasnya. Hampir pukul 11 malam baru bujang pulang ke rumah, dan pagi ini Alhamdulillah bujang sulung Amie berjaya membantu menyelesaikan masalah Amie. Dapatlah Amie berkongsi paparan gambar-gambar masakan bersama teman-teman pengunjung. Buat Qasey Honey, Kak Amie ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana Tutorial yang diberi dapat menyelamatkan keadaan huru-hara yang Kak Amie alami kelmarin. Kalau ada di depan mata rasanya nak peluk ketak-ketat Qasey Honey...mmmuahhhh...mmmuaaahhhh.. terimakasih yang tak terhingga buat Qasy Honey sayang! Dan di bawah ini merupakan paparan gambar Amie yang pertama menggunakan alamat emel baru. Khas buat blogger masakan yang aktif memaparkan gambar-gambar masakan, sudah pasti suatu hari nanti akan mengalami masalah Album Picasa Penuh. Jadi, bersedialah dari sekarang untuk menghadapi kemungkinan itu.... jangan panik dan jangan risau, setiap masalah ada penyelesaiannya! Kunjungi sahaja  TUTORIAL BILA ALBUM PICASA PENUH!


Resepi : Mee Goreng Seafood
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg mee kuning - bilas dan tos
20 ekor udang kertas - bersihkan
2 keping kek ikan - potong memanjang
4 keping tauhu basah - belah 4 dan goreng
10 biji bebola ikan - belah 2
4 rumpun daun bawang - potong 4cm
2 biji cili merah - hiris serong
3 biji cili hijau - hiris serong
3 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tiram
2 sudu makan kicap manis ABC
4 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan serbuk pati ayam Maggie
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya ke dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi dan layu.
2. Masukkan cili merah dan cili hijau serta udang.
3. Apabila udang telah berubah warna, masukkan kek ikan dan bebola ikan, sos cili, sos tiram, kicap manis ABC dan kicap pekat. Gaul sebati.
4. Masukkan mee kuning dan jika terlalu kering, tambah secawan air panas.
5. Gaul sehingga kuah mengering, dan masukkan daun bawang serta tauhu goreng.
6. Tambahkan serbuk pati ayam Maggie. Kacau seketika dan tutup api.


Bila musim cuti sekolah, anak-anak suka sangat mencari makanan di dapur. Harap Mee Goreng Seafood ini boleh mengenyangkan perut anak-anak....


Selasa, 20 November 2012

Ikan Gerut-Gerut Masak Sambal Berempah

Assalamualaikum.
Tak ada seorang pun ahli keluarga yang bertanya resepi apa yang Amie masak....... yang sedang mereka nikmati. Masing-masing sibuk menjamu selera hingga selesai. Encik Suami meratah kepala Ikan Gerut-Gerut Masak Sambal Berempah, si bujang tengah mencari di kuali kalau ada lebihan kuah sambal, manakala si bongsu menambah beberapa kali isi ikan ke dalam pinggan nasinya. Dan sehinggalah Amie memaparkan resepi ke dalam blog, nampaknya hanya Amie dan pengunjung Amie's Little Kitchen sahajalah yang tahu resepi Amie petang ini. Sebenarnya Amie telah mengolah beberapa bahan dalam resepi ini. Oleh kerana tiada sebarang komen dan rungutan daripada mana-mana isi rumah, bermakna resepi ini boleh diterimalah.


Amie campurkan 7 biji Kurma Tangkai Umar kisar, 2 sudu makan udang kering dan 1 sudu makan serbuk rempah kari ikan dalam resepi ini. Hasilnya, kuah kelihatan pekat dan tidak perlu ditambah gula kerana buah kurma kisar sudah cukup memberi rasa yang sempurna.


Resepi : Ikan Gerut-Gerut Masak Sambal Berempah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan gerut-gerut saiz besar - bersihkan dan potong 2
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 sudu makan serbuk rempah kari ikan
garam / perasa pilihan
minyak
100ml air

Bahan kisar halus:
10 biji cili kering
5 biji cili merah
7 biji kurma - buang biji
2 sudu makan udang kering - rendam
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1cm halia

Cara:
1. Lumurkan ikan gerut-gerut dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga garing dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis kesemua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Perlahankan api dan masukkan rempah kari.
4. Jika sambal terlalu kering, tambahkan air dan biarkan mendidih.
5. Masukkan ikan gerut-gerut goreng dan gaul rata.
6. Tambah sedikit garam /perasa pilihan.
7. Ikan Gerut-Gerut Masal Sambal Berempah sedia untuk dihidangkan.