Khamis, 27 September 2012

Pucuk Ubi Masak Lemak Putih, Sambal Belacan Mangga & Ikan Belanak Goreng

Assalamualaikum.
Bertemu lagi kali ini dengan hidangan kampung dari dapur Amie. Alhamdulillah, dapat juga Amie sediakan Pucuk Ubi Masak Lemak Putih dengan gandingan Sambal Belacan Mangga dan dilengkapi dengan Ikan Belanak Goreng. Sebenarnya Amie rindu sangat dengan Ikan Belanak Goreng..... tapi ikan belanak saiz kecil yang bonda selalu hidangkan zaman kanak-kanak dulu! Sayangnya, saiz yang Amie maksudkan tidak dijual di sini.


Memang nostalgia zaman kanak-kanak kembali terimbau bila mengadap hidangan sebegini. Selalunya Ayahanda akan membeli beberapa kati (timbang sukat dulu-dulu) anak ikan belanak. Jenuhlah Bonda menyiang (teringat segala keturunan kucing berebut-rebut menerkam kepala anak belanak yang bonda potong dan lemparkan). Bonda akan goreng kesemua anak ikan belanak sehingga garing dan setelah mengasingkan bahagian yang akan dimakan ke dalam almari gerobok, bonda menyimpan sebahagian besar lagi ke dalam periuk besar bertutup rapat siap ditindih dengan lesung batu! Al-maklumlah ketika itu tidak ada peti sejuk dan adik-beradik pula ramai. Jadi, pandai-pandailah Bonda mencari tempat yang selamat untuk menyimpannya agar dapat dinikmati bersama pada waktu makan seterusnya. Rupanya, rasa ikan belanak yang disimpan lebih sebih sedap berbanding ikan belanak yang baru digoreng! Itu yang Amie tidak dapat lupakan hingga ke hari ini.


Ikan belanak di atas ini bersaiz agak besar, dan rasanya lebih tawar berbanding rasa anak belanak yang Bonda goreng dulu. Seringkali juga Amie pulang lewat ke rumah selepas sesi persekolahan (sekolah menengah rendah), kerana menunggu air pasang di Pantai Jeram. Pada ketika itu sebahagian air pasang terus mengalir hingga ke muara sungai dan pada masa yang sama terdapat anak-anak ikan belanak melompat tercungap-cungap mengikut arus air pasang ke pantai! Bayangkan... betapa seronoknya menangkap anak-anak ikan belanak dan kami kendung di dalam kain.....kain sekolah warna biru tu.... hmmmm seronoknya zaman itu! Kami bawa pulang anak ikan belanak yang masih segar dan bila digoreng, terasalah lemak manisnya anak-anak belanak tadi.


Tak apalah, tak dapat anak belanak yang lemak manis, dapat belanak yang tawar pun ... syukurlah! Tunggulah ada rezeki nanti, dapat balik kampung, bolehlah makan anak belanak puas-puas!


Ini Pucuk Ubi Masak Lemak Putih. Amie sukakan aroma santannya yang segar tanpa campuran serbuk kunyit untuk memberikannya warna kuning. Inilah hidangan turun-temurun kami sekeluarga yang Bonda selalu masak.

Resepi : Pucuk Ubi Masak Lemak Putih
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cekak pucuk ubi - celur hingga lembut dan hiris ikut citarasa
500ml santan pekat
1 genggam ikan bilis - tumbuk kasar
2 biji bawang putih - tumbuk kasar
3 biji bawang merah - tumbuk kasar
1 biji cili merah - hiris kasar
garam dan perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Masukkan santan pekat ke dalam periuk bersama kesemua bahan yang lain.
2. Panaskan periuk di atas api sederhana panas.
3. Kacau sekali-sekala sehingga kuah mendidih agar tidak pecah santan.
4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Untuk menjimatkan masa, Amie kisar kesemua bahan Sambal Belacan Mangga! Rasanya? Sedap.... memang sedap! Apalagi kalau sudah bertemu dengan Pucuk Ubi Masak Lemak Putih dengan Ikan Belanak Goreng!

Ahad, 23 September 2012

Nasi Kuning Sambal Ikan Kayu

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Akhir-akhir ini rasanya Amie timbul tenggelam  saja. Bukan apa, mungkin kesuntukan masa dengan pelbagai persiapan untuk sambutan Jubli Emas, sempena 50 tahun penubuhan sekolah kami yang akan diadakan pada 20 Oktober 2012. Syukur Alhamdulillah, segala persiapan yang dirancang nampaknya semakin membuahkan hasil. Minggu lepas pengetua, bersama Pengerusi PIBG dan Pengerusi Alumni telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Tan Sri Abdul Ghani Patail, Peguam Negara di Putrajaya untuk menjemput beliau secara rasmi sebagai tetamu kehormat majlis sambutan Jubli Emas itu nanti. Tan Sri merupakan bekas pelajar dari sekolah kami. Kelmarin, hari ganti persekolan, Amie turut menghadiri mesyuarat PIBG dan pada masa yang sama 4 buah akhbar tempatan datang untuk membuat publisiti sambutan Jubli Emas yang akan diadakan. Itu ini dan begitu begini, akhirnya menjelang petang barulah sampai ke rumah. Itu pun setelah ringan sedikit kepala apabila sempat berbincang dengan pengetua tentang hidangan makan malam yang akan diuruskan pada malam tersebut. Tetamu jemputan dianggarkan berjumlah 800 orang dan sebanyak 80 buah meja hidangan perlu disediakan. Dan... Amie diberi kepercayaan sebagai pengurus bahagian jamuan.... masya-Allah! Tak dapat bayangkan macamana keadaannya nanti!
Wokey.... kita cerita tentang resepi hari ini pula. Kepada sesiapa yang sudah biasa berkunjung ke Sabah mungkin pernah menjamu selera dengan hidangan Nasi Kuning. Mula-mula Amie sampai dulu pun, Nasi Kuning bungkus daun pisang yang Amie jumpa. Kalau kita biasa dengan nasi lemak, masyarakat di sini sinonim dengan Nasi Kuning. Amie pernah masak Nasi Kuning sebelum ini, tapi sebagai menambah koleksi resepi Amie paparkan masakan yang Amie hidangkan buat keluarga pada hari ini. Boleh klik resepi Nasi Kuning Amie yang lepas: Nasi Kuning Sambal Ikan Tongkol dan juga Nasi Kuning Sambal Alu-Alu.


Biasanya Nasi Kuning dihidangkan sebagai sarapan pagi bersama sambal ikan atau sambal telur. Ikannya pula tidak terhad kepada jenis tertentu. Ada sambal ikan kembung, ikan tuna, tenggiri, basung dan sebagainya. Namun begitu, biasanya Nasi Kuning dimakan bersama Sambal Ikan Kayu atau Ikan Tongkol. Petang kelmarin Encik Suami membawa 5 ekor ikan kayu segar saiz sederhana kecil. Amie rasa memang sesuai benar kalau dijadikan lauk Nasi Kuning.


Resepi : Nasi Kuning Sambal Ikan Kayu
Sumber : Amie's Little Kitchen

Nasi Kuning
Bahan-bahan:
5 pot rice cooker Prince of Rice
1 batang serai - dititik
3cm halia - hiris halus
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
500ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama serai, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali. Buka api dapur dan biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.



Sambal Ikan Kayu

Bahan-bahan:
5 ekor ikan kayu - potong 3 bahagian setiap seekor
garam secukupnya
gula secukupnya
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan
1 batang serai

Cara:
1. Lumurkan ikan tongkol dengan garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan pati asam jawa.
4. Masukkan ikan tongkol yang telah digoreng. Biar masak sehingga kuah memekat.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.




Kalau anda makan di restoran atau kedai makan di Sabah, setiap apa jua hidangan pasti disusuli dengan semangkuk kecil sup! Biarpun yang kita pesan itu mee goreng! Biasanya hanya kuah sup daripada tulang atau daging atau kuah sup ayam dengan dihiasi bawang goreng dan hirisan daun sup.


Sesekali cuba hidangan Nasi Kuning dari Sabah yea... Jangan lupa sambal ikan serta telur rebus dan hirisan timun. Kalau rajin, sediakan supnya sekali. Selamat menjamu selera!

Khamis, 20 September 2012

Walaupun Hanya Sekotak KFC... Snack Plate

Assalamualaikum.
Ketika Amie berada di Kota Kinabalu, si bongsu menelefon sebelum tidur pada malam semalam. Katanya, oleh kerana kelmarin kami tidak sempat meraikan hari ulang tahunnya, biarlah hari ini dia dibawa makan ke KFC. Amie menyetujuinya dengan berjanji, kami akan membawanya makan bersama di KFC pada sebelah malam memandangkan penerbangan Amie dijangka sampai sebelum senja. Oleh kerana Amie dapat terbang pulang lebih awal, pada pukul 12. 10 minit tengahari tadi, jadi si bongsu sudah menanti Amie di lapangan terbang dengan pakaian lengkap seragam sekolah. Memandangkan si bujang sulung juga ada bersama, kami pun memenuhi hasrat si bongsu untuk makan tengahari di KFC. Kami membeli sekotak lagi untuk si bujang tengah yang bersekolah di sebelah petang. Walaupun sekadar KFC, Amie tidak sanggup makan tanpa kesemua anak-anak di sisi, dan memang begitulah kebiasaannya... mesti yang tiada bersama kami belikan untuk dibawa pulang.


Ketika petang menjelma, hanya setengah jam sebelum si bujang tengah pulang dari sekolah.... tiba-tiba Encik Suami   bersuara dari dapur, mengatakan seketul ayam si bujang tengah sudah dimakan seseorang! Katanya, kotak tersebut sudah dibuka. Encik Suami bertanya kepada si bongsu, tetapi si bongsu menafikan. Si bujang sulung yang tidur di dalam bilik juga mendapat tuduhan sama tetapi dia menafikannya. Sekali lagi Encik Suami memujuk si bongsu supaya mengaku, dan Encik Suami berjanji tidak akan memarahinya sekiranya si bongsu bercakap benar. Hati kecil Amie mengatakan anak-anak tidak akan berbuat demikian kerana masing-masing sudah kekenyangan makan di KFC dan ditambah lagi dengan pelbagai oleh-oleh yang Amie bawa. Akhirnya, Amie putuskan mungkin pekerja KFC hanya memasukkan seketul ayam goreng sahaja setelah Amie memeriksa kembali resit pembayaran. Dalam resit memang menunjukkan memang kami beli set 2 ketul ayam goreng untuk dibawa pulang. Tiba-tiba Encik Suami berteriak.... rupanya kucing kami nan seekor sedang menikmati seketul KFC di balik pintu dapur! Oh! Bijak benar kucing zaman sekarang ini. Pandai buka kotak tanpa sebarang kesan cakaran. Memang nak tergelak pun ada!
Encik Suami bergegas ke KFC  yang berdekatan, dan membawa pulang sekotak kecil yang baru untuk si bujang tengah!


Oleh-Oleh Kota Kinabalu (KKIA)

Assalamualaikum.
Tak ada ribut, tak ada angin kencang, tanpa sebarang amaran  tiba-tiba kelmarin dapat surat panggilan untuk menghadiri majlis penyerahan surat penempatan pemangkuan PPPS Gred DG...... Majlis tersebut diadakan bermula pukul 7 pagi di SM Tinggi Kota Kinabalu pada 20 September 2012 (hari ini... Khamis). Maklumat diterima pada tengahari kelmarin 19 September 2012. Kelam-kabut dibuatnya... mana masanya untuk berkemas, mana kesempatannya untuk membeli tiket kapal terbang (itu pun kalau masih ada kosong)! Dan yang mengecutkan perut,  pihak airport hanya beri masa 10 minit untuk menjelaskan bayaran tunai sebanyak RM436.00. Dalam keadaan hujan yang tidak berhenti serta kesesakan lalu lintas,  dapat juga lepas ke bandar mengorek duit. Kenapa tidak gunakan kad kredit? Bukankah lebih mudah? Benar... dalam keadaan terdesak sedemikian banyak gunanya jika memiliki kad kredit.... tapi petugas kaunter memberitahu kami, mesin untuk memproses bayaran melalui kad kredit rosak!!!!! Ikut jalan darat? Boleh.... tapi... ada tapinya! Sanggup sampai ke Kota Kinabalu dalam keadaan letih lesu melalui perjalanan sejauh 400 kilometer? Akhirnya terbang juga walaupun agak terlewat sampai ke KKIA, dan syukur Alhamdulillah teman Amie telah menempah bilik di Tang Dynasty Hotel. Dan... majlis pun dapat disertai hingga ke akhir. Oleh kerana tiket pulang kami tempah pada pukul 5 petang, sedangkan majlis berakhir pukul 10 pagi, bergegaslah kami ke lapangan terbang kalau-kalau ada tempat kosong untuk penerbangan tengahari. Alhamdulillah... penat-lelah tercungap-cungap terbayar juga bila dapat tempat untuk penerbangan pukul 12.10 tengahari. Sebelum berlepas, sempat juga membeli sedikit oleh-oleh untuk anak-anak.



Antara oleh-oleh yang sempat dibeli di bangunan lapangan terbang. Sedih rasa hati kerana kelmarin hari ulangtahun si bongsu yang tak sempat diraikan. Harap si bongsu gembira dengan oleh-oleh kegemarannya ini.



Amie berminat untuk mencuba Japonais - meringue biscuits and hazelnut filling,



.... dan Reve de Vanilla - almond biscuits with vanilla cream filling,



serta Amandelle - biscuits with almonds and swiss milk chocolate.



Jom makan Daim - kegemaran Amie sejak dulu dan memang tak pernah ketinggalan membelinya kalau berada di airport.

Isnin, 17 September 2012

Nasi Hujan Panas, Ayam Panggang Madu & Acar Mangga

Assalamualaikum.
Hai senangnya dalam hati.... Siapa tak rasa senang hati kalau hari cuti begini anak-anak meneruskan rutin mingguan membersihkan rumah bersama - sama. Kita pun dengan gembiranya dan penuh kasih sayang menyediakan hidangan untuk dinikmati bersama. Hari ini Amie masak Nasi Hujan Panas, bukannya nasi minyak tau! Nasi Hujan Panas sahaja. Amie panggang ayam bahagian peha dan buat acar mangga semangkuk penuh! 


Sila ambil sepinggan seorang set Nasi Hujan Panas yea... makan sampai kenyang, lepas tu baru kita sembang tentang resepi untuk hari ini. Bismillah.....



Untuk resepi Nasi Hujan Panas, Amie gunakan Sup Ayam Campbells. Seperti biasa, Amie masak cara kukus. Nak masak guna rice cooker pun boleh, tapi kena lebihkan air.

Resepi : Nasi Hujan Panas
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500gram beras basmathi - cuci dan toskan
1 tin Sup Ayam Campbells 
450ml air
1 batang serai - diketuk
2 helai daun pandan - siat dan simpul
3 biji bawang putih - hiris halus
1 labu bawang besar - hiris nipis
3cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1/2 cawan minyak zaitun
pewarna merah, hijau & kuning telur
kacang gajus goreng
bawang goreng

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Panaskan minyak zaitun dalam kuali. Goreng bawang putih, bawang besar, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, serai dan daun pandan hingga wangi.
3. Masukkan Sup Ayam Cambpells serta air. Kacau sehingga mendidih.
4. Masukkan beras dan kacau sekali-sekali sehingga beras kembang dan air mengering.
5. Pindahkan beras yang telah kembang tadi ke dalam periuk pengukus.
6. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.
7. Bubuh sedikit pewarna hijau, kuning dan merah. Tutup periuk pengukus.
8. Apabila hendak dihidangkan, gemburkan nasi di dalam periuk pengukus supaya warnanya bertabur cantik.
9. Hidangkan bersama kacang gajus dan bawang goreng.

Di bawah ini Acar Mangga yang Amie buat bercampur dengan lobak merah dan buah epal bidara.


Acar begini memang sudah ada peminatnya di rumah kami. Siapa lagi kalau bukan Encik Suami. Amie gunakan mangga udang yang dipetik di belakang rumah. Oleh kerana mangga udang tersangatlah besarnya, jadi Amie gunakan separuh sahaja. Amie buat ringkas sahaja menggunakan bahan asas seperti gula, garam, hirisan bawang, hirisan cili serta perahan limau kasturi.

Resepi : Acar Mangga
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan:
500 gram isi mangga - ricih / cincang
1/2 batang lobak merah - hiris halus / nipis
3 biji epal bidara - ricih / cincang
1 labu bawang besar - hiris nipis
10 biji cili padi - hiris nipis
3 sudu gula pasir
1 sudu teh garam
2 sudu besar perahan limau kasturi

Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas.
2. Perap 15 minit.
3. Sedia untuk dihidangkan.

Yang di bawah ini Ayam Panggang Madu. Amie memang suka panggang cara begini sebab memang sudah jadi kebiasaan Amie, terjamin sedap dan masaknya sekata. Boleh rujuk DI SINI untuk melihat hasil air tangan Amie yang lalu.


Amie copy paste dari entri Amie yang  lalu resepi Ayam Panggang Madu seperti di bawah ini. Oleh kerana hari ini Amie gunakan bahagian peha, jadi tidaklah Amie perap selama 4 jam seperti memerap ayam seekor bulat. Amie hanya perap selama 1 jam sahaja, dan memanggangnya di dalam oveh dalam tempoh 40 minit.

Resepi : Ayam Panggang Madu
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam segar seberat 1.7kg - bersihkan dan tos

Bahan A:
5cm halia - kisar
5 biji bawang putih - kisar
1 sudu makan Sos Ayam Pekat Maggie
3 sudu makan sos tiram
1 sudu makan lada putih - tumbuk
2 sudu makan minyak bijan

Bahan B:
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan sos ayam pekat Maggie
3 sudu makan madu 

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan Bahan A dan perap selama 4 jam / sebaiknya perap semalaman di dalam peti sejuk.
2. Panggang di dalam oven dengan menggunakan api sederhana panas - Amie panggang selama 90 minit.
3. Keluarkan ayam panggang, dan sapu dengan Bahan B. 
4. Masukkan kembali ke dalam oven dan panggang dengan api kecil selama 15 minit.
5. Tutup api oven, dan keluarkan.
6. Sedia untuk dihidang.




Okey tak hasil kejadian Ayam Panggang Madu Amie? Okey kan...kan... ini yang anak-anak berebut makan ni! Oh ya... Amie tambah keropok papadom dalam hidangan sebab anak-anak suka makan.


Amie pun suka makan Acar Mangga bercampur lobak merah dengan epal bidara. Nampaknya hidangan kegemaran Encik Suami sudah ada pesaingnya! Di bawah inilah rupa buah epal bidara yang sudah menjadi acar untuk hari ini!



Dan di bawah ini, buah mangga udang yang sangat besar itu..... yang beratnya melebihi 1.5kg!



Sesekali makan hasil tanaman sendiri memang sedap!



Amacam? Dah kenyang ke...  Terima kasih sudi dengar Amie berceloteh untuk hari ini. Lain kali datang lagi. Jumpa lagi!


Ahad, 16 September 2012

Nasi Lemak Buah Bidara

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen yang disayangi. Hari ini Amie ingin jamu rakan-rakan pengunjung dengan hidangan Nasi Lemak Buah Bidara. Sebelum itu kita nyanyi dulu lagu dendangan Datin Rafeah Buang seperti di bawah ini...... (tak ingat tajuknya laaa)

Nasilah lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggallah emak tinggal saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.....

Pernikahanku tak direstu ayah dan ibu
Teguhkanlah janjimu
Dari hidup sampai ke mati.......  waduh waduh Tijah!!!!! Apa pulak kaitan lagu ini dengan nasi lemak yang Amie hidangkan kali ini?  Ha... yang penting hari ini hidangan Amie cukup lengkap nasi lemak dengan buah epal bidaranya sekali. Epal bidara ni baru dipetik dari pokok pagi tadi... masih segar bugar!



Sebenarnya Nasi Lemak Buah Bidara merupakan tajuk cerpen yang Amie hasilkan pada Oktober 2003 dan diterbitkan di Majalah Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka pada Januari 2004. Itulah cerpen terakhir, dan selepas itu Amie tidak menulis sehinggalah ke hari ini. Kebetulan pula, majalah tersebut memang tidak dipasarkan di Lahad Datu. Ketika menerima cek sebanyak RM200 dari DBP, barulah Amie kelam kabut menelefon rakan di Kota Kinabalu dan adik di Kuala Lumpur untuk mencari majalah tersebut kalau masih ada di pasaran memandangkan ketika itu sudah pertengahan bulan Mac. Akhirnya sewaktu berkursus di Grand Blue Wave Hotel di Shah Alam, Amie dapat juga menatap cerpen tersebut yang dibawa terbang bersama dari Kota Kinabalu oleh seorang pegawai pelajaran yang merupakan rakan satu kursus dari Jabatan Pelajaran Sabah. Terima kasih  yang tidak terhingga buat Encik Daniel Jebon Janaun kerana sanggup mencari majalah tersebut!


Jom makan Nasi Lemak Buah Bidara!



Jom baca perenggan pertama cerpen Nasi Lemak Buah Bidara: 
.......Semenjak Restoran Bidara dibuka, ramai pelanggan yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta di sekitar kawasan itu datang untuk menjamu selera. Hidangan pagi yang menyelerakan dengan nasi lemak beraroma daun pandan, berlauk sambal tumis ikan bilis, telur rebus dan hirisan timun muda cukup menambat selera. Tambah melazatkan dengan pelbagai pilihan lauk seperti ayam goreng rempah kampung atau rendang daging dan sotong goreng rangup bersalut tepung jagung......

Oh... sesungguhnya Amie sudah terlalu lama menjauhkan diri dari dunia penulisan! Semuanya hanya tinggal kenangan, dan entah bila akan mendekatkan diri kembali ke dunia ini kerana sesungguhnya ia menuntut disiplin diri yang amat tinggi!

Wokey... ada cerita lagi untuk hari Ahad yang ceria ini. Di bawah ini bujang tengah dengan kek kecilnya yang dibelikan oleh Encik Suami. Sebenarnya bujang tengah menyambut ulang tahun ke 14 pada 14 September, dua hari lepas tetapi kami tidak sempat menyambutnya. Hari ini Amie penuhi permintaannya untuk masak nasi lemak. 


Besar panjang sudah bujang tengah kami. Amie alahan teruk sewaktu mengandungkannya dulu. Apa sahaja makanan yang ditelan pasti termuntah semula sehinggalah terpaksa mendapat rawatan di hospital untuk menghentikan muntah tersebut sebab muntah Amie sudah bercampur darah akibat luka muntah yang keterlaluan. Syukurlah, akhirnya Amie temui juga makanan yang boleh masuk melintasi tekak hingga ke perut. Buah tembikai! Setiap hari Encik Suami akan membeli setengah biji buah tembikai merah. Buah itulah yang Amie makan sehingga usia kandungan masuk bulan keempat. Bujang tengah lahir bersama air, bonda kata kembar air. Amie tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk melahirkannya. Setelah dipotong tali pusat, jururawat terus meletakkan bujang tengah kami di atas dada Amie. Tubuhnya bersih, rambutnya tebal hitam! Di hati Amie sempat berbisik... inilah anak tembikai! Kami namakan bujang tengah kami Mohd. Fuad. Sesekali kami memanggilnya anak tembikai!


Sebenarnya resepi Nasi Lemak Buah Bidara ni resepi biasa-biasa saja. Bahan yang digunakan pun semuanya bahan asas. Tapi, Amie nak abadikan di sini untuk kenang-kenangan dan tatapan anak cucu serta generasi akan datang... he he he  macam berwasiatlah pulak ye!

Resepi : Nasi Lemak Buah Bidara
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan untuk nasi lemak:
4 cawan beras basmathi - cuci dan toskan
600ml santan (terpulang pekat atau cair - kalau pekat hasilnya sangat lemak)
3 cm halia (dihiris atau diketuk pun boleh)
3 biji bawang putih (dihiris atau diketuk pun boleh juga)
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
sedikit garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.

2. Didihkan santan bersama halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis dan daun pandan.
3. Masukkan beras dan sedikit garam. K
acau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan kering.
4. Masukkan dalam periuk pengukus.
5. Kukus 20-25 minit atau sehingga nasi benar-benar masak.

Bahan untuk sambal:
300 gram ikan bilis - bersihkan, cuci dan tos

1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam  dan gula secukup rasa

minyak

Bahan kisar:

20 biji cili kering
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5 cm belacan

Cara:
1. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak. 
2. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. 
3. Masukkan ikan bilis  serta bawang besar dan masak dengan api perlahan sehingga kuahnya pekat.

Bahan-bahan lain:

telur dadar - potong ikut suka
7 biji telur rebus - belah 2
1 biji timun - hiris 

kacang gajus 

Nampaknya hari ini meleret-leret cerita Amie. Satu tajuk, tapi banyak cerita pula. Wokey... jumpa lagi dan selamat menyambut Hari Malaysia!

Sabtu, 15 September 2012

Puding Coklat Berlaici Yummeh

Assalamualaikum.
Hari ini sempat sediakan Puding Coklat Berlaici Yummeh walaupun hasilnya tak seberapa menjadi dan cantik seperti yang dihasilkan oleh tuan punya resepi asal, siapa lagi kalau bukan Shahriah Abdullah. Agaknya sebab kelam-kabut nak pergi ke sekolah, lepas tu sambung aktiviti Jejak Kasih pada sebelah petangnya pula. Sepanjang bulan September ini memang terpaksa berada 6 hari seminggu di sekolah. Petang nanti tak tahu sampai pukul berapa kami menjejaki rumah-rumah anak murid yang rajin ponteng sekolah untuk berbincang bersama ibu bapa mereka. Kami sentiasa menurut perintah (biarpun hati terluka dan tercalar) kerana akhir-akhir ini profession kami semakin dipandang hina oleh segelintir insan yang tak akan faham sampai bila-bila pun tentang bidang tugas kami ini kerana mereka hanya tahu memandang dan mengutuk sahaja! Macam melepas gerammmm.... he he he ehhh... apa boleh buat, kami pun ada hati dan perasaan macam orang lain juga.  Iyelah.... 99% yang elok tak dipandang, tapi 1% yang dipandang buruk itulah yang diperbesar-besarkan seolah-olahnya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga! 


Bolehlah klik di dapur Shahriah  DI SINI untuk mengetahui resepinya dengan lebih lanjut.



Apa pun, hasilnya memang sedap, manis laici, masam manis hiasan buah strawberry & lemak puding coklatnya tu buat kita tak cukup makan segelas!


Jumpa lagi!

Jumaat, 14 September 2012

Kek Lapis Kukus Cream Cheese

Assalamualaikum.
Ini kali kedua Amie buat Kek Lapis Kukus Cream Cheese versi Yatie Memories - Sinar Kehidupanku. Anak-anak dan Encik Suami cukup suka makan kek kukus yang ringkas tetapi lazat rasanya seperti ini! Terima kasih Yatie kerana berkongsi resepi yang akhirnya menjadi kegemaran kami sekeluarga. Boleh klik DI SINI untuk melihat Kek Lapis Kukus Cream Cheese Amie yang pertama.


Kek begini memang tak panjang umurnya di dapur kami. Sebaik sahaja Amie potong, hidang... memang terus licin! Alhamdulillah. Kepada sesiapa yang belum mencubanya, dipersilakan teliti resepinya di bawah ini. 

Resepi : Kek Lapis Kukus Cream Cheese
             ( Yatie gunakan loyang 8X8X3 inci)
Sumber : Yatie Memories

BAHAN A
  • 250 gm cream cheese
  • 60 gm gula halus
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar air
  • 1 sudu besar tepung gandum
Cara-cara
  1. Pukul cream cheese bersama dengan gula hingga sebati.
  2. Masukkan telur diikuti dengan air dan tepung gandum. Pukul lagi dan gaul sebati.
  3. Biarkan sebentar.
BAHAN B (KEK)
  • 2 biji telur
  • 1 cwn gula halus
  • 1 sudu kecil vanilla
  • sedikit garam
  • 1/2 cawan air panas didih
  • 1/2 cawan cwn susu segar/cair
  • 1/2 cawan minyak jagung/masak
  • 1 cawan tpng gandum*
  • 3 sudu besar serbuk koko*
  • 1 sudu kecil baking soda*
  • 1/2 sudu kecil baking powder*(* bahan-bahan perlu diayak dulu)
Cara-cara
  1. Pukal telur di dalam bekas lain bersama gula sehingga kembang.
  2. Setelah kembang masukkan vanilla dan garam.
  3. Masukkan air panas,susu dan minyak.
  4. Setelah itu masukkan tepung gandum, baking soda, baking powder dan serbuk koko yg telah diayak dan gaul sebati.
  5. Biarkan sebentar dan bahagi kepada 2 bahagian. 
CARA MEMASAK.
  1. Panaskan kukusan dan balut dengan kain penutupnya. Guna api sederhana.
  2. Sapukan sedikit minyak/mentega di sekeliling loyang dan alas dengan kertas minyak.
  3. Tuang adunan coklat, tutup loyang dngn aluminium foil dan kukus selama 15-20 minit.
  4. Buka aluminium foil dan tuang adunan cream cheese diatasnya, tutup semula guna aluminium foil dan kukus selama 15 minit.
  5. Setelah itu tuang lagi adunan coklat selebihnya, tutup lagi guna aluminium foil dan kukus lagi selama 20 minit.
  6. Setelah benar-benar sejuk, boleh potong dan hidangkan.



Jom cicipi hasil air tangan Amie!


Lemak berkrim. Disukai ramai!

Rabu, 12 September 2012

Hadiah Tempat Pertama : Teka Jumlah Duit Tabung Nens Collection

Assalamualaikum.
Jom kita sama-sama lihat apa hadiah kiriman daripada Nens Collection untuk Amie. Amie dapat tempat pertama meneka jumlah duit dalam tabung. Walaupun jawapan Amie tidak tepat, tetapi kata Nens, ia hampir-hampir tepat. Alhamdulillah, sudah rezeki Amie untuk jadi pemenang pertama. Terima kasih banyak Nens kerana susah payah hantar hadiah jauh ke Sabah! Seronok sungguh rasanya dapat terima kiriman dari rakan maya!



Ada gambar Nens sekeluarga untuk Amie simpan sebagai kenangan & tanda mata rakan maya. Kemudian Nens sertakan keychain yang comel siap Nens ukir nama Amie dengan menjahitnya seperti di bawah.... waduh Nens! Terharu Kak Amie di atas kerajinan dan kreativiti Nens! Nampak benar kesungguhan dan keikhlasan hati Nens menyediakan hadiah yang sungguh istimewa ini!


Sebenarnya pada hari Sabtu lepas (8 September), Amie menghadiri sekolah ganti sempena cuti Aidil Fitri baru-baru ini. Pada sebelah tengaharinya, Amie menghadiri mesyuarat PIBG. Pada waktu itulah pihak pejabat pos menelefon memberitahu ada kiriman untuk Amie. Amie memang sudah menyangka kiriman tersebut dari Nens. Memandangkan masih mesyuarat dan pejabat tutup setengah hari, terpaksa Amie sabarkan diri untuk mengambilnya pada hari Isnin. Nak dijadikan cerita, apabila hadiah kiriman dibuka.... Amie sangat teruja terima sebuah jam dinding seperti di bawah ini!


Jam sudah siap digantung.

Amie berangan untuk menggantung jam tersebut di ruang tamu pertama, memandangkan ruangan tersebut ada sentuhan ala-ala Inggeris sedikit. Memang sangat sesuai untuk diletakkan jam cantik berhias bunga ros itu! Jadi Amie letakkan jam yang masih di dalam kotaknya itu di atas meja di ruang tamu pertama sambil mencari idea di mana kedudukannya  serta masa yang sesuai untuk menggantungnya. Sesuatu telah berlaku! Amie dapati jam tersebut tiada lagi di atas meja. Amie fikir Amie salah letak. Petang tadi Amie dapati kotak jam tersebut berada di atas meja di ruang makan. Kosong! Hati Amie berdebar-debar! Ini mesti kerja anak-anak nih! Apa mereka buat dengan jam itu? Amie tanya si bongsu.... Baba sudah gantung jam! Itu jawabnya. Amie tanya... di mana? Tu... di sana tu.... jawab si bongsu sambil menunjuk ke ruang tamu kedua! Oh.... Encik suami rupanya yang gantung di situ. Amie tanya Encik Suami, bila masanya dia gantung jam? Lama dah... ada dua tiga hari... katanya.
Ohhh... gitu kisahnya. 
Terima kasih sekali lagi buat Nens. Itulah kisahnya kenapa agak lewat sedikit Amie buat entri tentang hadiah tersebut. He he hehh... oleh kerana tempat gantung jam agak tinggi, Amie kena panjat kerusi untuk mengambil gambarnya!

Ikan & Hati Pari Masak Asam Pedas

Assalamualikum.


Selamat tengahari buat semua rakan pengunjung. Amie baru berkesempatan untuk mengemaskini dapur kecil kami. Hidangan di atas merupakan hidangan makan malam kami. Amie sediakan Ikan & Hati Pari Masak Asam Pedas. Lauk asam pedas memang lauk kegemaran ramai, kalau dihidang selalu pun memang tidak akan menjemukan.


Kali ini Amie tambah dengan hati pari. Oleh kerana hati pari mudah hancur, Amie masukkan semasa ikan pari dalam keadaan setengah masak. Jadi, hasilnya kedua-duanya akan masak serentak.

Resepi : Ikan & Hati Pari Masak Asam Pedas
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500gram ikan pari & 300 gram hati pari - bersihkan dan potong ikut suka
3 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan - belah 2
12 biji kacang bendi
garam dan gula secukup rasa
3 keping asam gelugur
2 cawan air
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm belacan
1cm halia
1cm kunyit hidup
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak. Jika terlalu kering tambah, sedikit air.
2. Tambah 2 cawan air, dan masukkan asam gelugur, daun kesum dan bunga kantan. Biarkan kuah mendidih.
3. Masukkan ikan pari dan biarkan sehingga separuh masak. Kemudian masukkan hati pari dan biarkan sehingga ikan dan hati pari masak.
4. Masukkan kacang bendi, dan perasakan dengan garam serta gula.
5. Apabila kacang bendi telah bertubah warna, tutup api dapur.
6. Angkat dan hidangkan.

Walaupun Amie sudah tambah kacang bendi dalam asam pedas, tapi rasa sayang pula melihat lebihan sayur-sayuran yang hampir layu dalam peti sejuk. Amie tambah hidangan dengan tumisan sayur campur bersama udang.


Sedap rasanya meratah sayur campur begini, terutama lobak merah kegemaran Amie!