Khamis, 30 Ogos 2012

Sotong Goreng Rangup, Sayur Lemak Putih & Ikan Susu Kukus Halia

Assalamualaikum.



Nampaknya akhir-akhir ini tekak kita sudah pandai cerewet. Sudahlah malas masak, tapi selera makan tetap ada! Bujang tengah tegur, kenapa Mummy jarang masak akhir-akhir ini. Bukan tidak masak langsung, tapi bila menjelang petang, capai saja apa yang ada untuk dimasak. Kalau ada telur di peti sejuk, goreng telur sajalah. Kalau ada ikan sardin, alamatnya memang masak sardin sajalah! Kasihan si bujang tengah! Biasanya kalau pulang dari sekolah memang dia terus meluru ke dapur kerana terhidu bau masakan, tapi selepas seminggu menyambut raya, dapur jarang berasap, kelam dan suram! Namun, demi kasih sayangku buat keluarga tercinta, petang tadi kugagahi juga turun ke dapur untuk menyediakan hidangan malam kami. Harapan Amie, sebelum bujang tengah dan Encik Suami tiba di rumah, hidangan sudah siap tetapi jangkaan Amie meleset..... kita bermalas-malas dulu di depan televisyen sampai mata terlelap, dan terlupa segala sotong serta ikan yang direndam sejak pukul 3 petang! Apa pun, akhirnya siap juga hidangan malam kami. Ada Sotong Goreng Rangup, ada Sayur Lemak Putih  dan Ikan Susu Kukus Halia. Amie gunakan seekor sotong saiz besar untuk digoreng salut tepung. Memang hidangan ini paling digemari anak-anak!

Resepi : Sotong Goreng Rangup
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor sotong saiz besar - anggaran 600gram - bersihkan dan potong ikut cita rasa
1 paket tepung Crispy Fry Nona
3 sudu minyak
120ml air
minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam

Cara:
1. Tuangkan sepaket tepung Crispy Fry Nona ke dalam sebuah bekas.
2. Tambahkan 3 sudu besar minyak dan 120ml air. Kacau sebati menjadi satu adunan.
3. Masukkan sotong dan gaul rata.
4. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng.
5. Goreng sotong hingga kuning keemasan.
6. Angkat, toskan minyak dan sedia untuk dihidang.



Oleh kerana teringin makan sayur lemak putih, Amie campurkan segala bahan yang ada termasuk tauhu, anak jagung, kacang buncis, lobak dan suhun. Amie tambah ikan bilis sebagai perencah selain bawang putih dan bawang merah. Aroma masak lemak putih  daripada santan kelapa segar memang membangkitkan selera! Lebih berselera kalau ada sambal belacan, tapi Amie sengaja tidak sediakan sebab kalau boleh selepas raya, nak kurangkan makan pedas! Bukan apa, nak sejukkan badan saja!


Ini Ikan Susu Kukus Halia. Amie sendiri tidak menjamah masakan ini. Bujang tengah dengan Encik Suami yang meratah! Oh... harap-harap esok lusa semangat untuk memasak kembali sepenuhnya.... tapi, esok dan lusa memang sudah penuh dengan  undangan rumah terbuka!

Rabu, 29 Ogos 2012

Crispy Crabstick with Curry Leaves

Assalamualaikum.



Entah angin mana yang bertiup, lantas membawa bersama mood masak-memasak terus terbenam masuk ke dasar Laut China Selatan! Oh! Amie... kenapa mula malas nak masuk ke dapur, dan terus membiarkan ikan-ikan serta bahan masakan lain membeku di dalam peti sejuk. Selera untuk makan memang ada, tetapi untuk memasaknya .... kalau boleh semuanya siap terhidang di depan mata macam menunggu makanan di kantin atau di restoran! Banyak lemak Amie sekarang ni ye.... he he he ehhh sesekali nak juga layan angin malasssssss yang sedang melanda! Walaupun pada zahirnya malas, namun batinnya tetap juga rajin he he heh...buktinya, tekun menyiat crabstick sampai dua paket besar berjumlah 64 batang dan menggorengnya sebanyak 7 kali dalam kuali! Belum pun selesai menggoreng kesemuanya, seorang demi seorang ahli rumah masuk ke dapur dan terus duduk di meja mengunyah...... krup krap krup krap! Encik Suami kata, esok pagi dia nak bawa sedikit ke sekolah. Si bongsu pun nak bawa juga. Datang si bujang tengah, bertanya pula dia kenapa Mummy pandai buat chips yang sangat sedap nih? Dia nak bawa juga ke sekolah. Tidak ketinggalan si bujang sulung, juga mahu bawa ke sekolah. Kenapa semua nak bawa ke sekolah? Nak kongsi makan dengan kawan-kawan ke? Jadi, kalau semuanya nak bawa ke sekolah, Amie pun nak bawa juga!


Ha.... yang dalam tupperware biru di belakang tu Amie punya ye... Amie pun nak bawa ke sekolah juga! He he hehhh... sebenarnya Amie sudah jauh tertinggal keretapi. Kawan-kawan yang lain sudah lama buat kudap-kudapan ini, cuma Amie yang baru terkial-kial menyiat crabstick petang tadi! Oh... ya, Amie pernah ternampak resepi ini dalam blog masakan tapi terlupalah pula dapur siapa. Akhirnya Amie jumpa resepi ini di dapur Rostina - Wind of Change. Kata Rostina, mula-mula dia tengok di FB ada orang jual kerepek ketam ini secara online. Kemudian Rostina mengamati penuh teliti dan cuba mencari resepinya dan akhirnya cuba buat untuk hari raya pada tahun lepas. Katanya kerepek ini terkenal di Brunei, sama macam keropok ikan di tempat kita. Ha... nampak sungguhlah Amie dah ketinggalan bas... benda dah setahun berlalu, baru nak dicuba tahun ini! Itu pun lepas raya.....
Wokey... banyak membebel pula ye, untuk resepinya memang tersangatlah mudah. Ambillah seberapa banyak paket crabstick, siat-siatlah (Amie siat depan televisyen, sambil tangan menyiat, mata menonton drama! Kemudian goreng menggunakan minyak yang banyak hingga garing. Katanya Rostina, percubaan pertamanya, dia goreng begitu sahaja, tetapi kemudian Rostina goreng bersama daun curry, rasa lebih sedap dengan aromanya yang menyelerakan! Cubalah! Goreng banyak-banyak ye... sebab bila dah jadi kerepek, memang lupa dunia asyik kerup krap krup krap tak henti-henti! Terima kasih banyak-banyak Rostina sebab sudi kongsi kerepek yang sangat sedap ini. Lain kali memang nak buat lagi, dan oleh sebab anak-anak suka makan, biar mereka pula jadi tuang siat!

Selasa, 28 Ogos 2012

Kiriman Daripada Che Ct : 3 Buah Buku Masakan

Assalamualaikum.


Sekarang Amie sudah ada koleksi buku masakan dari teman blogger. Terima kasih yang tidak terhingga di atas kiriman 3 buah buku masakan daripada Che CT. Delima di http://www,sitidelima.com/. Che Ct kirimkan buku-buku tersebut ke kampung Amie, jadi setibanya Amie beraya di Selangor pada petang hari raya pertama, Amie sudah boleh membelek-belek resepi yang lazat-lazat belaka terutama Istimewa Pemanis Mulut di atas!


Seronok rasanya dapat membelek resepi biskut raya yang comel-comel belaka!



Dan, sudah tentunya tidak ketinggalan hidangan agar-agar dan puding yang pastinya mengancam selera untuk mencubanya! Tahniah buat semua blogger yang terlibat sebagai penyumbang resepi dalam buku masakan tersebut. Amie tumpang bangga dan akan sentiasa memberikan sokongan moral untuk anda semua! Selamat memeriahkan dunia masakan tanahair.



Isnin, 27 Ogos 2012

Ayam Lemak Cili Padi

Assalamualaikum.


Terima kasih buat rakan-rakan yang masih setia berkunjung ke Amie's Little Kitchen. Amie turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pengikut yang baru, dan menambah bilangan dari hari ke hari. Semoga dapur kecil yang hanya seadanya ini dapat memberi manfaat buat semua pengunjung yang sangat Amie hargai. Tengahari ini Amie kongsikan menu Ayam Lemak Cili Padi. Sebenarnya ini menu hidangan tengahari kelmarin, tetapi baru hari ini Amie sempat paparkan. Memasak resepi begini tidaklah sesukar mana, dan hanya memerlukan sedikit bahan yang biasanya ada dalam simpanan di dapur kita.

Resepi : Ayam Lemak Cili Padi
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram daging ayam - potong menjadi 10 bahagian
400 ml santan cair
100 ml santan pekat
15 biji cili padi - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
5 ulas bawang merah - tumbuk
1cm halia - tumbuk
1 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
1 sudu teh serbuk kunyit
7 biki kacang bendi - buang ekor dan tangkai
2 biji tomato - belah 2
garam & perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang merah, halia, dan cili padi hingga naik bau.
3. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan hingga daging layu.
4. Tambahkan asam keping, serbuk kunyit, dan santan cair. Biarkan mendidih hingga daging ayam empuk.
5. Masukkan santan pekat dan biarkan mendidih semula, dan masukkan kacang bendi serta tomato.
6. Perasakan dengan garam atau perasa pilihan.
7. Apabila kuah hampir pekat, padamkan api.
8. Sedia untuk dihidang.



Selamat menjamu selera.

Ahad, 26 Ogos 2012

Udang Marmite

Assalamualaikum.


Bertemu kembali bersama hidangan buat kali pertama yang Amie hasilkan selepas juadah sepanjang Ramadhan. Kepala masih lagi berpusing pening, mungkin letih seharian seawal pagi bertolak dari kampung halaman menuju ke KLIA, terbang ke KKIA dan menunggu beberapa jam kemudian untuki meneruskan penerbangan ke LD. Malam tadi sempat menghadiri undangan rumah terbuka di rumah ibu saudara belah Encik Suami. Hari ini, untuk hidangan tengahari, Amie sediakan Udang Marmite untuk keluarga. 


Resepi : Udang Marmite
Sumber : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
10 ekor udang saiz besar
5 ulas bawang putih - kisar
3cm halia - kisar
1 sudu makan lada hitam - tumbuk
1 sudu tepung jagung
1 sudu makan Marmite
4 sudu makan mentega
1 sudu makan kicap cair Cap Kipas Udang
1 sudu makan sos plum
1 sudu makan madu
1 sudu makan bijan - goreng tanpa minyak (sangan)

Cara:
1. Gaul udang bersama bawang putih, halia, lada hitam, sos plum, tepung jagung, kicap cair serta Marmite.
2. Perap seketika lebih kurang 15 minit.
3. Cairkan mentega di dalam kuali. Susun udang di atasnya.
4. Gunakan api perlahan, dan biarkan air keluar dari udang menjadi kuah.
5. Balik-balikkan sehingga udang masak dan kuah mengering.
6. Masukkan madu, dan gaul sebati.
7. Angkat dan taburkan bijan ketika menghidang.




Selamat hari raya buat semua pengunjung yang budiman. Jom ratah Udang Marmite....

Rabu, 22 Ogos 2012

Nostalgia Beraya di Kampung 2012


Dulu pokok getah, sekarang kelapa sawit! Amie bersama adik bongsu.



Seronoknya beraya ..... santai di tepi parit  setelah seharian beraya di Rantau Panjang Kelang, keluarga sebelah bonda.


Penerbangan dari KKIA ke KLIA ditunda beberapa minit. 



Kami tiba pada pukul 6. 00 petang dari KLIA.



  Bersama keluarga bonda dari Hutan Melintang, Perak.


Jumaat, 17 Ogos 2012

Iftar Hari Ke 28 : Sate Ayam Goreng & Jus Nanas

Assalamualaikum.


Ramadhan hampir tiba ke penghujungnya. Alhamdulillah, hari yang ke 28 dapat dilalui dengan sempurna. Tentu ramai yang telah meninggalkan kediaman masing-masing untuk pulang ke kampung berhari raya bersama ayah bonda dan sanak saudara. Apa pun, sentiasalah berhati-hati di jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang. Petang ini Amie sediakan Sate Ayam Goreng untuk juadah berbuka puasa sementara Encik Suami membantu menyediakan Jus Nanas.


Jus Nanas hasil air tangan Encik Suami.



Resepi : Sate Ayam Goreng
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg isi ayam - potong ikut saiz sate biasa ( Amie potong besar sedikit)

Bahan pemerap :
3 ulas bawang putih 
1 labu bawang besar 
2 batang serai - hiris hipis 
3cm halia - hiris
1cm kunyit hidup -hiris
1cm lengkuas - hiris
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis kasar
1 sudu teh jintan putih kasar
Kisar kesemua bahan di atas

2 sudu makan gula
1 sudu teh garam
4 sudu besar minyak

Cara:
1. Gaul daging ayam bersama bahan pemerap serta gula, garam dam minyak hingga sebati. Perap selama 1 jam.
2. Panaskan kuali dan masukkan kesemua bahan perap. Kacau sekali-sekala sehingga masak.
3. Hidangkan bersama nasi himpit, sambal kacang, hirisan bawang besar, timun dan tomato.

Selamat berbuka puasa!

Khamis, 16 Ogos 2012

Selamat Menyambut Aidil Fitri - Syawal 1433H Kad Ucapan Daripada Amie & Rakan-Rakan Blogger

Selamat Menyambut Lebaran 1433H buat semua rakan pengunjung Amie' Little Kitchen yang disayangi. Maaf jua dipinta andai selama persahabatan maya ini Amie pernah menyinggung perasaan, terkasar bahasa dan tersilap bicara tanpa Amie sedari. Kepada yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, dan sentiasalah ingat orang yang tersayang! Moga lebaran kali ini membawa seribu rahmat dan kemenangan dalan perjuangan hidup kita semua. Amin.


 Daripada : Amie's Little Kitchen





Daripada : Zila Norazila

\

Daripada : Puteri Kasih



Daripada : Cheq Sue


Daripada : Azatie Sayang


Daripada : Dapur Mamasya


Daripada : My Kuali


Daripada : Damai Qalbu





Daripada : Nuwairani Haji Ismail - Life Is Beautiful



Daripada : Masterchef Malaysia Shahriah Abdullah











Daripada : Citarasawan


Daripada : Qasehququinnie


Daripada : Dari Dapur Kecilku



Daripada : Ummiakid Lily



Daripada : Nens Collection






Daripada : Salam Borneo



Daripada : Eryn Mohamad



Daripada : Salmah Haron



Daripada : Qasey Honey



Daripada : Cikgu Fatty



Daripada : Nona Kartina Francis



Daripada : Sri Idayu Gulam Rasol


Daripada : Kongsi Menu



Daripada : Glorice Jeremy Amin






Daripada : Ucu Bakery



Daripada : Siratan Hidup