Selasa, 31 Julai 2012

Iftar Hari Ke 11 : Mee Rebus Chef Wan

Assalamualaikum.



Kami berbuka puasa dengan Mee Rebus Chef Wan. Bagaimanapun Amie ubahsuai sedikit bahan yang digunakan memandangkan anak-anak kurang menggemari daging, jadi Amie tambah bebola daging di dalam kuahnya. Resepi asalnya Chef Wan namakan Mee Rebus Cik Aini tapi Amie ubah kepada Mee Rebus Chef Wan! Minta maaf ye Chef.... bukan apa, suka kat nama tu... he he he heh! Amie juga sediakan sambal kicap untuk menambah kepedasan hidangan ini. Rasanya... ketika 2 atau 3 suapan terakhir, baru Encik Suami bertanya: Masukkan apa dalam kuah ni? Amie tak terus jawab sebaliknya bertanya kembali: Sedap ke? Apa jawabnya? Sedap katanya. Sebelum ini bukan tak pernah buat mee rebus, tapi tak pernah pula bertanya apa bahan yang digunakan dalam kuahnya.


Selalunya kalau makan mee rebus Amie suka bubuh kuah banyak-banyak! Kalau untuk paparan dalam blog Amie bubuh kuah sampai menutup semua bahan, tak nampaklah rupa mee rebusnya, nampak kuah sajalah ye.  Jumlah bahan yang Chef Wan gunakan adalah dalam kuantiti yang banyak, jadi kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba resepi ini, pandai-pandailah gunakan sukatan sendiri.

Resepi :  Mee Rebus Cik Aini
Sumber : Buku Masakan Selera Malaysia Chef Wan

Bahan-bahan: 
2kg mee kuning segar
200 gram taugeh - dicelur sejurus sebelum menghidang
4 keping tauhu keras - digoreng terendam dan dipotong 6 setiap satu
3 tangkai cili hijau - huang biji dan hiris
2 tangkai cili merah - buang biji dan hiris
4 tangkai daun sup - hiris
4 batang daun bawang - hiris
3 biji telur rebus keras - dikupas dan dipotong baji
6 biji limau kasturi - dibelah 2
Amie tambah 20 biji bebola daging

Bahan kuah:
4 sudu besar minyak masak
3 sudu besar serbuk kari
110gram taucu
1kg daging lembu - dipotong kecil
air secukupnya
1kg ubi keledek - direbus, dikupas dan dilecek
2cm lengkuas - dikupas dan dititik
5 biji tomato - dipotong 4
85gram kacang tanah - dipanggang dan ditumbuk
garam dan gula secukupnya

Bahan pes rempah:
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1cm halis dikupas

Cara:
1. Masukkan bahan-bahan pes rempah ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan pes rempah sehingga wangi.
3. Tambah serbuk kari daging serta taucu dan tumiskan sehingga wangi.
4. Masukkan daging, air, ubi keledek serta lengkuas dan didihkan selama 20 minit.
5. Masukkan tomato serta kacang tanah kemudian kecilkan api dan renehkan sehingga tomato lembut - Amie masukkan bebola daging ketika ini.
6. Perasakan dengan garam dan gula.
7. Letakkan mee ke dalam mangkuk kemudian letakkan taugeh di atasnya. sendukkan kuah ke atasnya dan hidangkan dengan tauhu goreng, cili, daun bawang, daun sup, bawang goreng, telur serta limau.
8. Hidangkan segera.


Adakah kerana rasa kuahnya yang sedap, atau kerana lapar berpuasa.... habis seperiuk kuah Mee Rebus Chef Wan! Anak-anak berkali-kali menambah ke dalam mangkuk masing-masing! Alhamdulillah... selamat berbuka puasa.

Kiriman Daripada Nuwairani Ismail : Nani - Life Is Beautiful

Assalamualaikum.


Pagi tadi seawal pukul 7, seorang kerani sekolah menghulurkan satu bungkusan pos laju untuk Amie! Oh...! Siapakah gerangan pengirimnya dan apakah isi kandungannya? Rasa teruja untuk mengetahuinya, Amie terus  meneliti nama pengirimnya. Daripada dik Nani rupanya! Siapa lagi dik Nani yang Amie ada kalau bukan Nuwairani Ismail - Life Is Beautiful di Kinabatangan itu! Terharunya rasa hati menerima kada ucapan hari raya yang pertama pada tahun ini! Dan sebenarnya... entah berapa tahun  tak pernah menerima kad ucapan sebegini! Maklumlah asyik terima dan kirim melalui sms saja! Dan bukan hanya kad ucapan yang Nani kirimkan, ada lagi oleh-oleh yang dibekalkan.....


Nani sertakan sebungkus Serunding Kampung Laut, katanya dari Kota Bharu! Tak cukup itu, ada lagi di bawah ini....


Bamboo Mat dari Jepun.... dengan sudipnya sekali oh! Nani.... sampai Jepun pun namaku tetap kau kenang ye dik! Uwaaa.... nak nangisssss...terharu sangat!



Ada lagi ole-ole dari Negara Matahari Terbit.... fridge magnet yang cantik! nanti balik rumah Kak Amie lekat di peti sejuk ye Nani.... jadi setiap kali buka peti sejuk, nampak FM ini, teringat Nani yang duduk jauh di Kinabatangan! Eh....! Ada lagilah... jom tengok di bawah...


Ole-ole dari Phuket pula.... fridge magnet dan keychain.... oleh sebab Amie scan, jadi gambar tak berapa terang, keychain tu cantik banget! Ketip kuku berukir Angkor Watt. Ada lagi satu.... di bawah ini, fridge magnet yang sangat comel dari Bandung!


Terima kasih banyak-banyak dik Nani atas semua kirimannya itu! Kak Amie terima dengan rasa ikhlas dan sangat gembira! Selamat berpuasa dan semoga gembira selalu. Moga persahabatan kita di alam maya akan terus berkekalan! Semua kiriman dik Nani akan Kak Amie simpan baik-baik sebagai kenang-kenangan. Indahnya dunia persahabatan alam maya ini!!!!!

Isnin, 30 Julai 2012

Iftar Hari Ke 10 : Sup Ayam Special

Assalamualaikum.



Biasanya kalau selera makan tertutup Amie suka mencari sup. Apa-apa sahajalah jenis sup yang boleh dihirup. Bila sudah semangkuk hirup kuah panas, merasalah pula lada hitam atau lada putihnya, peluh pun keluar, kepala pun jadi ringan dan tubuh kembali segar. Inilah amalan yang Amie sering lakukan kalau rasa tidak sedap badan, letih lesu dan kurang selera makan. Paling berselera tentulah bila hidangan ada di hadapan mata, tapi nampak gayanya memang Amie kena sediakan sendiri untuk diri! Apa pun terima kasih banyak kepada Tulip77@myresepi.com yang sudi berkongsi resepi Sup Ayam Special yang sedap dan wangi ini. Memang terasa kelainannya berbanding sup yang pernah Amie buat sebelum ini kerana harumnya sungguh semerbak dan rempah-rempahannya meresap enak ke dalam daging serta kuah supnya. Yang membezakan sup ini dengan sup yang biasa ialah rempah-rempahnya direndam hingga kembang di dalam air panas menggelegak terlebih dahulu sehinggalah air tersebut suam. Setelah mengikut langkah demi langkah seperti yang diperturunkan oleh Tulip, akhir sekali apabila api telah ditutup, masukkan daun sup, daun bawang serta bawang goreng ke dalam sup dan tutup selama 20 minit. Oh! Bila dibuka semula 20 minit kemudian, terhidulah aromanya yang sungguh menyelerakan! Terima kasih sekali lagi buat Tulip yang berjaya menambat selera dengan resepi Sup Ayam Special yang sedap dan wangi ini! 
Antara menu berbuka  yang Amie sediakan buat kami sekeluarga petang tadi. 



Sirap Nata de Coco.



Sayur Campur. Sedap diratah begitu saja.



Gambar di atas ialah gambar ikan basung @ ikan selayang goreng garing bersama sambal kicap. Sebenarnya ikan inilah yang Amie ingin makan sejak dua tiga hari lalu. Goreng garing-garing dan celup dengan sambal kicap siap perah air limau nipis! Memang selera Amie datang kembali hanya dengan sepinggan nasi putih, ikan basung goreng bersama sambal kicap serta semangkuk kecil kuah Sup Ayam Special. Amie hanya ambil kuah, kentang dan lobak merah sahaja.


Buat rakan-rakan yang kurang berselera makan, atau terasa hendak demam serta letih lesu, cubalah Sup Ayam Special. Keenakan dan aromanya yang menyegarkan pasti menambat selera anda! Amie panjangkan resepinya di sini buat rujukan teman-teman ye Tulip.
  • Resepi: Sup Ayam Special
  • Sumber: Tulip77@myresepi.com
  • Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam potong 16
  • 1 labu bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • sebatang kulit kayu manis
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 iji buah pelaga
  • 2 biji kentang
  • 1 batang lobak
  • 1 mangkuk air panas baru masak
  • lada sulah, garam, ajinomoto dan stok ayam
  • daun sup, daun bawang & bawang goreng

Cara-cara:

  1. Rempah-rempah  direndam dalam air panas menggelegak,biarkan hingga air tersebut suam & toskan rempah-rempah tersebut. Air rendaman turut disimpan.
  2. Bawang merah dan bawang putih dikisar halus. Halia ditumbuk sedikit jangan sampai lumat. Lobak dipotong bulat-bulat anggaran 1.5cm dan kentang dipotong 6.
  3. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga naik bau. Kemudian masukkan halia dan rempah-rempah yang telah direndam. Tumis sebentar.
  4. Masukkan ayam dan gaulkan supaya bercampur dengan rempah yang ditumis. Biarkan selama 10 minit
  5. Masukkan air rendaman rempah tadi beserta 1 mangkuk air lagi. Jika mahukan kuah sup lebih boleh tambah lagi semangkuk air.
  6. Biar sup menggelegak,masukkan kentang dan lobak. Bila ayam dah empuk masukkan stok ayam, garam, aji dan lada sulah. Adjust mengikut selera anda
  7. Dah siap tutup api. Masukkan daun bawang,daun sup dan bawang goreng, tutup rapat periuk selama 20 minit supaya baunya meresap ke dalam sup. Sedia untuk dihidang


Tidak ketinggalan, tembikai merah.... wajib ada setiap kali berbuka puasa. Selamat berbuka puasa untuk hari ke sepuluh di bulan Ramadhan 1433H.

Ikan Alu-Alu Goreng Taucu & Kangkung Goreng Belacan

Assalamualaikum. 


Ini hidangan bersahur malam tadi. Ikan Alu-Alu Goreng Taucu. Sebelum terlupa dan tersimpan dalam folder dan Amie tidak lagi teringat resepinya, eloklah Amie kongsikan bersama petang ini.


Resepi : Ikan Alu-Alu Goreng Taucu
Suber : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
4 keping ikan alu-alu - lumur dengan sedikit garam dan kunyit, goreng hingga masak dan ketepikan.
3 sudu makan taucu manis
2 biji cili hijau - belah 4
 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - hiris 
3cm halia - hiris
1 sudu makan gula
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 75ml air
minyak


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Goreng bawang putih, halia dan bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan taucu dan tambah air asam jawa. Biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan alu-alu goreng. Balik-balikkan.
4. Masukkan gula dan gaul rata. Setelah kuah kelihatan pekat, tutup api.
5. Sedia untuk dihidangkan.



Resepi : Kangkung Goreng Belacan
Sumber : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
1 cekak kangkung - bersihkan dan potong ikut citarasa
15 ekor udang kertas sederhana kecil - bersihkan dan buang kulit
3 biji cili merah - tumbuk
3 biji cili padi - tumbuk
1.5 cm belacan - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
3 ulas bawang merah - tumbuk
sedikit garam / perasa pilihan.
minyak


Cara: 
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk dengan api sederhana hingga pecah minyak. 
2. Masukkan udang dan kacau sekali-sekala sehingga udang masak. Besarkan api.
3. Masukkan kangkung dan tutup selama 1 minit.
4. Buka penutup dan kacau kangkung seketika. Tambahkan serbuk pati ikan bilis.
5. Tutup api dapur.


Jika dibandingkan kedua-dua di atas, nampaknya Ikan Alu-Alu Goreng Taucu lebih menyelerakan! Rupa-rupanya Amie terlupa bubuh garam dalam Kangkung Goreng Belacan!

Ahad, 29 Julai 2012

Iftar Hari Ke 9 : Yong Tau Foo Sos Hitam

Assalamualaikum.


Dulu Amie sediakan Yong Tau Foo bersama kuahnya dengan cara DI SINI. Mudah dan sedap! Untuk juadah berbuka kali ini Amie gunakan resepi daripada YB Drs Khalil Idham Lim walaupun tidak sepenuhnya. Amie hanya mencuba resepi kuah Sos Hitam YB. Bahan yang lain Amie gunakan kreativiti sendiri seperti yang sebelumnya.



Amie kongsikan bersama resepi sepenuhnya yang diperturunkan oleh YB di bawah ini. Terima kasih YB, kerana dalam kesibukan tugas, sempat juga YB berkongsi resepi istimewa ini. Semoga apa yang diperturunkan ini akan dimanfaatkan bersama oleh rakan-rakan pengunjung.

Resepi : Yong Tau Foo

Sos Hitam
Bahan-bahan:
200 g taucu hitam (dikisar)
1 cawan air
1/2 cawan kicap pekat
1 sudu makan minyak masak
1/2 sudu makan tepung jagung (dicampur bersama sedikit air)
gula secukup rasa

Cara menyediakan:
1. Panaskan minyak, masukkan taucu kisar & tumis sekejap.
2. Masukkan air, kacau seketika & biarkan mendidih
3. Masukkan kicap dan kacau
4. Masukkan gula & pekatkan sos dgn campuran tepung jagung tadi.


Sos Pedas
Bahan-bahan:
20 biji cili merah (dibuang biji & dikisar)
1 cawan air
2 sudu makan bijan
2 sudu makan kacang tanah (digoreng tanpa minyak & ditumbuk)
1 sudu makan tepung jagung (dicampur bersama sedikit air)
garam, gula & cuka secukup rasa
2 sudu makan sos plum

Cara menyediakan:
1. Masak air hingga mendidih.
2. Masukkan cili, kacau sekejap & biar hingga cili masak.
3. Masukkan cuka, sos plum, garam & gula secukup rasa.
4. Masukkan campuran tepung jagung.
5. Akhir sekali, tabur bijan & kacang tanah ke dalam sos.

Sup Yong Tau Foo
Bahan-bahan:
2 cawan air
1 kiub ayam
Bebola/fishcake (bahan-bahan yong tau foo)
Garam & gula secukup rasa

Cara menyediakan:
1. Didihkan air.
2. Masukkan kiub ayam maggi & kacau hingga larut.
3. Masukkan bebola/fishcake & masak hingga timbul.
4. Keluarkan bebola/fishcake.
5. Masukkan garam & gula secukup rasa.



Setelah menyiapkan Sos Hitam, Amie tumbuk kacang tanah serta menyangan bijan. Selain itu Amie juga sediakan sambal daripada cili merah dan cili padi, siap dengan garam gula dan perahan jus limau kasturi. Bukan apa, anak-anak kurang berminat untuk menjamah hidangan pedas, jadi Amie sediakan dalam bentuk begini.


Bahan Yong Tau Foo yang Amie gunakan adalah seperyi berikut:
10 biji white fish ball
10 biji lobster flavoured ball
10 biji crab meat squid ball
10 biji scallop shape seafood tofu
10 ketul golden seafood nugget
10 biji wantan ikan
10 tangkai kangkung
2 keping tauhu lembut
5 batang sosej

Kesemua bahan di atas Amie celur.


Apa pun, Yong Tau Foo Sos Hitam selamat dinikmati hingga ke titisan kuahnya yang terakhir! Selamat berbuka puasa!

RALAT : PERHATIAN KEPADA SEMUA PESERTA KUIZ 'LEBIH RAMAI, LEBIH MERIAH DUNIA BLOGGING KITA SEMUA, YA, GITEW' AYUH KE SINI!

Semua peserta kuiz yang telah menghantar jawapan kuiz terkumpul 1-25:




Setelah diperiksa oleh penganjur pertandingan kuiz - Shahriah Masterchef, di dapati jawapan yang telah dihantar tidak keluar sepenuhnya. Dengan itu diminta jasa baik para peserta untuk menghantar jawapan sekali lagi tetapi dengan mengirimkan jawapan tersebut ke Kotak Massages di Face Book Shahriah  seperti di bawah:


Jangan lupa tulis sekali lagi nama anda, alamat penuh, nombor telefon dan alamat blog anda sebelum menghantar jawapan kuiz.

Sila klik ke SINI untuk info lebih lanjut.


Sekian. Terima kasih atas perhatian dan kerjasama anda! Selamat meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Sabtu, 28 Julai 2012

Jawapan Soalan Terkumpul Yang Ke-26 - 30 : Kuiz 'Lebih Ramai, Lebih Meriah Dunia Blogging Kita Semua, Ya, Gitew.'


http://shashasuka.blogspot.com/ Hobi & Koleksiku Hanya Sekadar Hobi..... Itu Sahaja.......

Secara tidak langsung Blog Hobi & Koleksiku Hanya Sekadar Hobi ..... Itu Sahaja..... sebenarnya bukan setakat itu sahaja! Melalui blog ini pembaca dengan mudah dapat mengenali peribadi pemiliknya secara lebih dekat kerana kecenderungan Shahriah mengendalikan blog miliknya ini dengan pendekatan yang mudah, mesra dan telus.
Shahriah banyak menyentuh tentang apa yang disukai, setiap apa yang dilakukannya dalam kehidupan sehari-hari dan tidak lokek berkongsi segala macam petua yang ada padanya. Shahriah sebenarnya seorang yang tidak boleh duduk diam, dan suka mencuba pelbagai perkara samada apa yang dicuba itu menjadi atau sebaliknya kerana beliau memegang motto 'Tak Cuba Tak Ler Tahu'. Apa yang menariknya, Shahriah bukan mempunyai 1 atau 10 hobi tetapi lebih daripada bilangan jari tangan dan kakinya!

Salah satu paparan dalam blog http://shashasuka.blogspot.com/ ini ialah tentang dirinya yang suka bercakap tanpa henti walau di mana dan dengan siapa beliau bercakap termasuklah Wak Jual Rojak dan penjual sate Indon. Nah! Betapa ramahnya dia! Tapi..... tapi... sebenarnya di sebalik keriuhan itu, Shahriah sukakan kesepian, kesunyian dan keseorangan. Barangkali sesuai dengan sifat seorang penulis sepertinya!

Ada lagi yang menarik yang ingin dikongsi bersama melalui blog ini. Shahriah gemar menonton wayang sambil makan pop corn sehingga tidak sedar boleh habis 'sebaldi'  pop corn yang dikunyahnya! Shahriah paling meminati wayang cartoons dan filem kegemarannya ialah Cinderella. 

Banyak lagi yang anda boleh kenali diri wanita hebat ini melalui http://shashasuka.blogspot.com/. Selain meminati dunia masakan, Shahriah juga suka shopping tetapi hanya 2 kali setahun mengikut budget dan kemampuannya. Selebihnya Shahriah lebih suka window shopping. Ketika melancong Shahriah tidak akan melepaskan peluang untuk membeli-belah. Shahriah juga menjadikan shopping sebagai terapi stress dan hadiah penghargaan buat diri sendiri. Motto menarik yang dipegang oleh Shahriah ialah 'Sendiri Kerja Keras,' ' Sendiri Penat Cari Rezeki,' dan 'Sendiri Keluar Duit Untuk Hadiahkan Diri Sendiri.' Walaupun mottonya berbelit-belit tetapi menarik bukan?

Oh.... ada lagi yang ditulis oleh Shahriah dalam blognya ini. Antara lainnya termasuklah kegemarannya berkelah bersama keluarga, kisah jatuh cintanya kepada buku-buku resepi atau buku masakan sejak dari usia remaja, minatnya kepada aksesori rantai yang simple tetapi eksklusif. Dan tidak ketinggalan Shahriah berkongsi tentang penjagaan kulit. Katanya walau sesibuk manapun, penjagaan kulit adalah rutin nombor satu manakala harganya pula jatuh nombor dua! Shahriah juga tidak lokek berkongsi langkah demi langkah penjagaan kecantikan. Dengan kata lain, untuk menambah info dan perkongsian pelbagai ilmu klik sahaja ke http://shashasuka.blogspot.com/. Anda bukan sahaja dapat info seperti yang Amie tuliskan di atas tetapi juga info lain termasuk segala koleksi hadiah yang Shahriah terima, petua awet muda dan hobi 'terhangitnya' bukan terhangat ye..... sewaktu Shahriah kecil dulu.


http://shahriahnovelis.blogspot.com/ Novel Hit Karya Novelis Shahriah Abdullah

Blog ini merupakan perkongsian pengalaman dan usaha gigih Shahriah dalam dunia penulisan yang diceburinya sehingga berjaya mendapat gelaran sebagai novelis. Shahriah juga  berkongsi proses penulisan dalam menghasilkan karyanya, dari mula sehinggalah sesebuah karyanya diterbitkan. Tidak ketinggalan, juga turut merakamkan penghargaan buat semua individu yang terlibat dalam menjayakan proses penerbitan novel-novelnya dari awal sehingga akhir bersama BUKU PRIMA @ GROUP BUKU KARANGKRAF . Shahriah sentiasa mengemaskini blog kesayangannya ini dengan merakam pelbagai program dan bengkel penulisan yang pernah dihadirinya, selain pelbagai aktiviti bersama rakan penulisnya yang lain.

Selain itu, Shahriah turut memaparkan sebahagian kecil sinopsis novel di samping menceritakan sedikit sebanyak pengalaman yang dilaluinya sebelum, semasa dan sesudah menulis sesebuah hasil karya. Pada masa yang sama pengunjung blog ini akan mendapat info terkini di samping tertarik untuk mendapatkan naskah  novel beliau. 

Bermula dengan novel sulungnya yang bertajuk Kau Mawarku, Shahriah terus memaparkan karya keduanya: Cinta Najla, ketiga: Setitis Kasih,  karya keempat: Secalit Sayang, karya kelima : Kau Tercipta Untukku,  Seribu Rindu Untukmu karya keenam, dan ketujuh iaitu Untukmu Yuna manakala yang terkini ialah Kerana Sebiji Epal. Selain itu, Shahriah juga mengupas isi kandungan novel-novelnya. Apa yang menariknya ialah, ada cenderahati kepada yang memiliki karyanya, dan juga cenderahati pertandingan menghias kulit novel beliau. Beliau juga banyak berkongsi mengenai kerja-kerja pengeditan dan penerbitan, promosi, jualan dan sebagainya.

Kepada sesiapa yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia penulisan Shahriah, tulisan dalam blog ini mampu memberikan semangat, mencetuskan idea dan meningkatkan motivasi diri kerana dalam setiap tulisan beliau memang menunjukkan beliau seorang yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah walaupun tidak cukup tidur atau berehat!



Blog ini merupakan blog yang paling popular di antara kelima-lima blog milik Shahriah berdasarkan jumlah entri dan pengikutnya serta komen yang diberi. Istimewanya di dalam blog ini dipaparkan bersama Buku Resepi Sajian Istimewa Shahriah Abdullah. Sesuai dengan tajuk blog beliau 'The Writer's Cooking,' sekali-sekala Shahriah akan memasukkan info terkini berkaitan dengan aktivitinya sebagai penulis dan hasil karya yang dihasilkannya.

Sebagaimana blog masakan yang lain, blog ini juga memaparkan banyak resepi pilihan yang enak dan lazat. Pelbagai resepi timur dan barat, tradisional dan moden boleh ditemui di sini. Sempena bulan Ramadhan al-Mubarak ini Shahriah turut berkongsi tips berbuka dan bersahur. 

Shahriah tidak lokek berkongsi ilmu masak-memasak dan sentiasa memaksimumkan penggunaan ruangan blognya setiap kali memasukkan entri terkini. Beliau rajin memaparkan langkah demi langkah penyediaan masakan berserta dengan gambarnya sekali. Ini menjadikan pengunjung akan mudah memahami resepi yang dipaparkan terutama kepada pengunjung yang baru berjinak-jinak dengan dunia masakan.

Hidangan yang disajikan juga mempunyai variasi, iaitu kepelbagaian dari segi bahan, rasa dan hiasan. Sesuai dengan sifatnya yang tidak boleh berhenti bercakap, Shahriah memang tidak kering idea menulis tentang resepi yang dipaparkan. Ada sahaja kisah atau cerita di sebaliknya resepinya, dan dikaitkan dengan dunia kanak-kanaknya, bondanya serta anak-anaknya. Alangkah seronoknya jika tinggal berhampiran dengan Shahriah, kerana beliau rajin menghulur hasil air tangannya untuk jiran tetangga!

Biarpun Shahriah sudah bergelar Masterchef Malaysia, namun beliau tetap merupakan seorang wanita yang peramah, merendah diri dan sentiasa menjaga tatasusila perbualannya iaitu dalam tulisan-tulisan dan cara menjawab komen rakan-rakan pengunjungnya. Dalam masa yang singkat sahaja, Shahriah sudah mempunyai sejumlah pengikut yang ramai untuk sentiasa mengikuti perkembangannya dalam The Writer's Cooking.



Blog ini lebih kepada blog tentang kekeluargaan dan peribadi Shahriah namun menarik untuk dikongsi bersama. Ia lebih berkisar perkara yang ringan dan santai seperti sambutan hari ulang tahun bondanya, ulang tahun dirinya sendiri, ulang tahun perkahwinannya, kisah Pak Habibinya yang TembamBom itu, tentang anak-anaknya juga kisah-kisah masa lalu. Terselit juga kisah Nabi Muhammad S.A.W.

Walaupun dikatakan blog tempat mencurah rasa, namun banyak pengalaman yang dikongsi Shahriah dapat dijadikan iktibar serta panduan untuk pengunjung atau pembaca memotivasikan diri misalnya tentang kenangan Shahriah di Gelanggang Masterchef, kerana tidak semua orang bertuah dan mempunyai keyakinan diri yang kental sebagaimana yang dimiliki oleh beliau. 

Shahriah amat mengambil berat hal ehwal anak-anak dan keluarga kerana setiap apa yang ditulis memang penuh dengan jiwa dan perasaannya lebih-lebih lagi tentang Amin yang pernah menghadiri kursus PLKN. Tulisannya menyentuh hati, kerana terpancar di jiwanya sebagai seorang ibu yang begitu penyayang dan amat mengambil berat tentang keselamatan, kesihatan dan serba serbi keperluan seorang anak di tempat yang agak jauh darinya.

Itulah diri Shahriah yang boleh dikenali melalui curahan hatinya, hasil tulisannya dan sesungguhnya dengan cara begini Shahriah lebih yakin pada diri melalui setiap pandangan yang diutarakannya. Dengan cara begini Shahriah bukan sahaja mampu menjanakan pemikiran secara lebih terbuka dan kritis, tetapi juga blog ini menjadi terapi yang sihat kepada mindanya dan minda para pengunjung.



http://cuticutishahriahnovelis.blogspot.com/Travel And AdventureFun Vacations And Best Makan Sakan!

Kata Shahriah:  'Percutian Budget Tetapi Cukup Menarik! Jimat Belanja Janji Puas Hati'. Banyak terdapat paparan menarik termasuk gambar dan pemandangan tempat-tempat yang pernah Shahriah lawati bersama keluarga. Tidak ketinggalan, Shahriah akan mengabadikan sekali hidangan yang disajikan di samping berkongsi info tentang budaya masyarakat setempat.

Shahriah amat mencintai keindahan alam ciptaan Allah, termasuk tumbuh-tumbuhan, sungai yang mengalir, dan burung yang berkicauan. Juga kekagumannya melihat pelbagai bangunan pencakar langit di samping memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai. Semuanya menjadikannya insaf tentang keagungan Ilahi dan berpendapat bahawa masa yang berlalu tidak bisa diulang kembali, hanya kenangan yang mampu diabadikan dalam hidup ini.

Antara tempat-tempat menarik yang Shahriah kongsi bersama pengunjung blog ini ialah percutiannya ke Singapura, Batam di Indonesia, Tanjung Langsat Pasir Gudang, Johor, Pulau Manukan di Sabah, Kundasang Memorial War di Sabah, Melaka, Cameron Highlands, Fraser Hill dan tempat-tempat lain. Sinonim dengan kegemaran masak-memasaknya, Shahriah banyak memaparkan makanan atau menu yang dinikmati semasa dalam percutiannya. Kalau kita mengunjungi blog beliau ini, terasa ingin sama menikmati hidangan yang dipaparkannya itu!

Sekian. Terima Kasih.


Dapatkan Soalan Kuiz Terkumpul 1-30 Di Sini.... Anda Masih Ada Masa Hingga Jam 12 Malam Ini Untuk Menyertai Pertandingan Kuiz Terkumpul : 'Lebih Ramai, Lebih Meriah Dunia Blogging Kita Semua, Ya, Gitew.'

Anda belum terlambat! 
Masih ada masa untuk menyertai pertandingan ini. 
Sila daftar untuk penyertaan.


SILA DAPATKAN SOALAN KUIZ TERKUMPUL 1-30 
DI SINI!!!!!


Iftar Hari Ke 8 : Ayam Cencalok

Assalamualaikum.


Hari ini anak-anak bersama Encik Suami ke bazaar Ramadhan dan pulang membawa bahagian masing-masing. Jadi, Amie pun tidaklah Perlu sibuk menyiapkan hidangan berbuka kerana Encik Suami juga membawa pulang sebungkus air tebu dan 5 biji kelapa muda. Cuma, sehari dua ini rasa kurang enak badan. Mulut pun terasa pahit. Selera untuk memilih makanan apalagi untuk memasak pun berkurangan, jauh jatuhnya, ke laut dalam! Orang kata ubat pahit mulut atau mati liur, kena pilih yang masam-masam. Benarkah begitu? Apa kata kita cuba resepi Ayam Cencalok? Ada masin, ada manis & masam! Sayangnya Ayam Cencalok Amie nampak pucat sebab terlupa bubuh kunyit! Resepi Ayam Cencalok ini Amie ambil dari SINI. Terima kasih Danial17 kerana berkongsi resepi yang diambil daripada sumber Chef Rina.


Resepi : Ayam Cencalok

Bahan A :

180ml minyak masak 

15 ulas bawang merah, dikupas dan dipotong halus - Amie gantikan dengan 1 labu bawang besar (tak sanggup menahan airmata yang mengalir di bulan puasa kerana mengupas bawang merah)
7 ulas bawang putih, dikupas dan dipotong halus 
1kg dada ayam, dipotong kecil 
140g cencaluk, dibuang airnya 
3 helai daun limau purut 
400ml air asam jawa, diambil dari 100g asam jawa, dan 400ml air 
3 ¾ sudu makan gula 
3 biji cili merah, dipotong menegak, biji dibuang, dan dipotong 3 
3 biji cili hijau, dipotong menegak, biji dibuang, dan dipotong 3


Bahan B (dikisar halus) :

17 ulas bawang merah, dikupas 

5cm kunyit, dikupas - Amie lupa bubuh
5 batang serai, dipotong halus


Cara:
1.Panaskan minyak masak, dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga rangup. Kering dan ketepikan.
2.Dalam minyak yang sama, tumis Bahan B sehingga wangi. Tambah ayam, cencaluk dan daun limau.
3.Tambah air asam jawa. Tambah gula secukup rasa. Masak sehingga kuah pekat.
4.Masukkan cili dan separuh daripada bawang merah dan bawang putih goreng tadi.
5.Hiaskan bersama baki bawang merah dan bawang putih goreng sebelum dihidangkan.


Lassi Mangga

Assalamualaikum. Amie sudah sediakan Lassi Mangga buat pembasah tekak untuk berbuka puasa petang ini. Sementara Lassi Mangga tersimpan dalam peti sejuk untuk didinginkan sehingga waktu berbuka, Amie ingin berkongsi info tentang minuman yang menyegarkan ini bersama rakan-rakan. Selain dapat menghilangkan dahaga, minuman ini juga sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa memandangkan kandungan bakteria baik dalam yogurt mampu mengurangi gas yang terbentuk ketika perut salam keadaan kosong. Berdasarkan Wikipedia Ensiklopedia Bebas, lassi bermaksud minuman yogurt dingin dari kawasan Punjab di Pakistan dan India. Yogurt dikisar bersama garam, air, lada hitam, ais, dan rempah-rempah khas dari Pakistan atau India. Lassi yang diperbuat daripada resepi tradisional adakalanya ditambah serbuk jintan. Manakala lassi manis pula dikisar bersama gula dan tidak dicampur dengan rempah-rempah. Terdapat beberapa jenis lassi termasuk Lassi Tradisional, Lassi Manis, Lassi Mangga dan Lassi Bhang.

Lassi Tradidional:
Lassi tradisional memiliki rasa sedikit masin, dan merupakan minuman yang terkenal di desa-desa kawasan Punjab. Yogurt dilumatkan bersama air dan diberi tambahan garam, lada hitam, dan rempah-rempah lain.

Lassi Manis

Lassi buah-buahan dibuat dari gula, air mawarjeruk limaumanggastrawberi, atau sari buah lainnya. Lassi dengan safron adalah minuman khas Sindh (Pakistan), Jodhpur dan Rajasthan di India. Lassi yang diberi tambahan mentega disebut makkhaniya lassi dan kental seperti susu kocok (makkhan bermaksud mentega dalam bahasa Punjabibahasa Urdubahasa Hindi, atau bahasa Gujarat word for butter).

Lassi Mangga

Di India dan Pakistan, lassi mangga adalah minuman yang terkenal. Isi mangga dikisar bersama yoghurt, susu krim, atau ais krim. Gelas yang dipakai adalah gelas tinggi dan dilengkapi dengan penyedut. Minuman ini juga dikenali di Malaysia dan Singapura.

Lassi Bhang

Lassi istimewa dibuat campuran bhang (cairan cannabis), dan memiliki efek yang serupa dengan marijuana. Minuman ini tidak melanggar hukum di daerah tertentu di India, dan terutama diminum sewaktu perayaan Holi bersama makanan ringan yang disebut pakora.


Resepi : Lassi Mangga
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 biji mangga (600gram) - kupas dan potong kecil
150ml susu segar
150ml yogurt asli
2 sudu besar gula pasir

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan ke dalam pengisar.
2. Kisar sehingga lembut dan halus.
3. Tuangkan ke dalam gelas.
Oleh kerana Amie tidak kisar bersama ketulan ais, jadi sementara menunggu waktu berbuka puasa, Amie masukkan Lassi Mangga ke dalam peti sejuk supaya menjadi dingin.


Jika ada yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Lassi Mangga, bolehlah teruskan bacaan di bawah ini yang Amie petik dari http://whatscookingamerica.net/Beverage/MangoLassi.htm
Mango Lassi is a traditional South Asian non-alcoholic beverage. In fact it is one of the most popular beverages in Northern India. Mango Lassi is also a favorite at Indian restaurants.
The mango lassi drink is a cross between a smoothie and a milk shake and is smooth, creamy, and absolutely heavenly! This drink is such a refreshing drink to have on a hot summer day. Choose low-fat or fat-free yogurt to cut the calories.


Jumaat, 27 Julai 2012

Iftar Hari Ke 7 : Nasi Lemak Pandan

Assalamualaikum.

Lama tak makan nasi lemak!



Hari ketujuh berbuka puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini Amie sediakan hidangan Nasi Lemak Pandan. Mudah-mudahan dapat menepati selera ahli keluarga kecil Amie. Amie kisar daun pandan bersama kelapa parut dan gunakan santan bewarna kehijauan itu untuk masak nasi lemak cara kukus.


Resepi : Nasi Lemak Pandan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 cawan beras - cuci dan toskan
6 helai daun pandan - potong pendek
1 biji kelapa parut
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3cm halia - pecahkan
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 sudu kecil garam

Cara:
1. Panaskan air dalam periuk pengukus.
2. Kisar kelapa parut bersama daun pandan bersama 500ml air. Tapis bahan kisar untuk mendapatkan santan.
3. Masukkan santan ke dalam kuali. Masukkan beras, bawang putih, kulit kayu manis, bunga lawang dan halia serta garam. Biarkan mendidih dan kacau sekali sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Resepi : Sambal Udang

Bahan-bahan:
600 gram udang kertas - bersihkan dan buang kulit
1/2 cawan santan pekat
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu makan asam jawa - bancuh dengan sedikit air
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa. Biarkan seketika.
3. Masukkan udang.
4. Tambah santan pekat. Masak hingga kuah pekat.
5. Perasakan dengan garam dan gula.
6. Masukkan bawang besar dan biarkan seketika sehingga bawang layu.
7. Tutup api.


Hidangkan Nasi Lemak Pandan bersama Sambal Udang, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, hirisan timun dan telur rebus. Selamat berbuka puasa!