Selamat berhujung minggu buat semua yang sudi berkunjung ke Amie's Little Kitchen. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga Amie bersantai-santai di sini walaupun sebenarnya rasa sangat mengantuk! Entah kenapa, malam tadi tidur Amie asyik terganggu. Rasa badan sekejap panas, dan tiba-tiba-tiba rasa sejuk. Tengahmalam terjaga lagi kerana hujan begitu lebat, dan Encik Suami beberapa kali menjengok keluar bimbang berlaku banjir! Pagi kelmarin, sebaik sampai ke sekolah pada pukul 6 15 pagi, tiba-tiba hujan lebat disertai kilat petir pancar-memancar! Tengaharinya pula panas terik. Pagi tadi, Amie ke sekolah kerana pada hari ini merupakan hari penyampaian rekod kemajuan murid kepada ibu bapa. Sinaran matahari sangat cerah dan rasa kembali bertenaga tetapi kepala pula rasa berdengung dan berpusing semacam. Amie sempat telefon bujang sulung dari sekolah supaya keluarkan ikan dari peti sejuk dan masak nasi. Sampai rumah pukul 12.30 tengahari nanti, bolehlah Amie terus masak lauk. Bujang sulung Amie keluarkan ikan nyok-nyok. Sebenarnya ikan nyok-nyok ini hanya sepotong tapi saiznya besar sangat! Lebih 1 kilogram! Memandangkan kepala masih lagi rasa berpusing berdengung-dengung, Amie terfikir pula untuk mengurangkannya dengan cara menghirup sup panas!

Inilah hasilnya Ikan Nyok-Nyok Masak Sup! Ikan nyok-nyok nan sekeping itu Amie potong menjadi 8. Bila sudah siap dimasak sup, penuh satu mangkuk! Anak-anak pula begitu berselera menghirup kuahnya! Syukurlah, anak-anak kami tidak cerewet ketika menghadap hidangan. Apa yang Amie masak itulah yang mereka makan tanpa banyak bicara. Oleh kerana Encik Suami pulang pada sebelah petang, kami makan empat beranak sahaja. Untuk anak-anak memang cukup hidangan Ikan Nyok-Nyok Masak Sup kerana mereka kurang gemar sayur, tapi Amie rasa kurang lengkap kalau tidak ada hidangan sayur. Jadi Amie sediakan sedikit ulam-ulam seperti bendi celur, hirisan tomato dan juga daun pegaga cicah bersama cencalok.

Resepi ikan masak sup ini Amie ikut cara bonda Amie masak. Pesan bonda, jangan lupakan 2 bahan terpenting untuk menghidupkan masakan sup. Bahan tersebut sudah tentulah daun saderi dan bawang goreng! Satu lagi, bonda tidak meletakkan serai dalam masakan ini kerana katanya bau serai akan mematikan bau segar daun sup! Oh ya... ada satu lagi! Biasanya masakan sup bonda, baik daging, ayam atau pun ikan, mesti ditumis terlebih dahulu sebelum ditambah air. Mengikut bahasa bonda 'goreng malem-malem' atau yang Amie faham maksudnya goreng setengah masak. Eh... betul ke tu? Tapi Amie tafsirkan di sini kita goreng atau tumis sehingga ikan kelihatan berubah warna atau layu, dan tak perlu sampai setengah masak untuk ditambah air. Apa pun, resepi ini sebenarnya resepi yang biasa diolah oleh orang kampung kami.... orang Bukit Hijau!
Resepi : Ikan Nyok-Nyok Masak Sup
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
8 kepingan ikan nyok-nyok
3 biji bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - hiris
2cm halia - hiris
2 keping asam gelugur
1 sudu serbuk pati ikan bilis
2 biji tomato - belah 4
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
700ml air
minyak
daun sup / saderi - hiris
bawang goreng
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang besar, dan halia hingga wangi.
2. Masukkan kepingan ikan nyok-nyok dan balik-balikkan sehingga layu.
3. Masukkan asam gelugur dan air. Biarkan mendidih sehingga ikan masak.
4. Masukkan lada putih, serbuk pati ikan bilis dan tomato. Biarkan sebentar.
5. Tutup api dan angkat.
6. Hidangkan bersama taburan daun sup dan juga bawang goreng.
Di bawah ini sudah tentulah cencalok yang sudah ditambah dengan beberapa bahan untuk dicicah bersama ulam-ulaman.
Resepi : Cencalok & Ulam
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
3 sudu makan cencalok - Amie buangkan airnya
1/2 cawan hirisan bawang merah besar
hirisan cili padi & cili merah
2 biji limau kasturi - perah airnya
kacang bendi - dicelur
tomato - hiris
pegaga
Cara:
1. Campurkan cencalok, bawang merah, cili padi dan air limau kasturi.
2. Gaul sebati.
3. Hidangkan bersama ulam-ulaman.
Wokey.... petang ini cuaca panas tapi agak nyaman bila berada di dalam rumah. Jangan lupa minum air kosong banyak-banyak. Ingatkan tadi Amie ingin tidur sebentar kerana kepala berpusing-pusing, tapi sekarang tak berpusing berdengung pulak dah..... Alhamdulillah.