Khamis, 31 Mei 2012

Ikan Bolu Rebus Berserai, Peria Goreng Hati Ayam & Sambal Belacan

Huh! Awal pagi lagi Encik Suami bawa kami bujang tengah dengan si bongsu ke Dewan Masyarakat Lahad Datu. Rupanya ada aktiviti bersama YB di situ. Sempat jugalah kami menyaksikan penyampaian laptop 1Malaysia kepada orang ramai. Sebelum pulang, kami sempat menjejak kaki ke pasar ikan dan pasar sayur. Sampai ke rumah, menjelang pukul 12. 15 tengahari dan sudah masuk waktu Zuhur. Oleh kerana Encik Suami ada urusan kerja  selepas pukul 1 tengahari, kelam-kabutlah Amie masak supaya kami boleh makan tengahari bersama. Itu pun, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, Amie telefon si bujang sulung supaya masak nasi! Wokeh... dalam tempoh tidak sampai satu jam, siaplah hidangan tengahari kami yang ringkas tapi melelehkan peluh di dahi dan hidung bila menikmatinya!


Amie rebus saja ikan bolu @ milkfish dengan serai dan daun limau purut. Untuk sayurnya pula Amie tumis peria dengan hati ayam dan tidak ketinggalan sebagai pelengkap hidangan, Amie tumbuk sambal belacan! Pertemuan Sambal Belacan dengan Ikan Bolu Rebus Berserai itu yang buat meleleh peluh dari dahi dan hidung tu! 


Resepi : Ikan Bolu Rebus Berserai
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan bolu seberat 700 gram - bersihkan dan potong 6 bahagian
2 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
2 biji tomato - belah 4
3 biji bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh serbuk kunyit
garam & perasa pilihan secukupnya
7 biji cili padi
500ml air

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk. 
2. Masukkan serai, bawang putih, bawang besar, serbuk kunyit, asam gelugur dan cili padi. Biarkan sehingga air mendidih.
3. Masukkan ikan bolu dan biarkan selama 7 minit atau sehingga masak.
4. Masukkan garam dan perasa pilihan serta  tomato.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Sayur peria ini Amie tidak ramas dengan garam untuk kurangkan rasa pahitnya sebab peria jenis begini tidaklah pahit sangat rasanya. Pahit-pahit peria sebenarnya elok sangat untuk kesihatan. 


Resepi : Peria Goreng Hati Ayam
Sumber : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
1 biji peria seberat 300 gram - bersihkan dan hiris nipis (jika ingin kurangkan pahit, ramas dengan sedikit garam dan bilas bersih)
4 keping hati ayam - potong ikut cita rasa
1 biji telur
1 biji cili merah - hiris
2 biji bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - hiris
1 sudu serbuk pati ayam Maggie
minyak


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah, bawang putih serta cili merah hingga naik bau.
2. Masukkan hati ayam dan gaul rata. Gunakan api sederhana perlahan dan tutup kuali. Kacau hati sekali-sekala sehingga masak.
3. Masukkan peria dan gaul sebati bersama serbuk pati ayam Maggie sehingga peria bertukar warna.
4. Pecahkan telur dan biarkan seketika sebelum digaul rata.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Resepi : Sambal Belacan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 biji cili padi
1 biji cili merah
1 labu bawang besar
3cm belacan
1 biji tomato - cincang
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam & gula secukup rasa

Cara:
1. Tumbuk cili padi, bersama cili merah, belacan dan bawang tetapi jangan terlalu lumat.
2. Lenyekkan tomato cincang di dalam lesung.
3. Masukkan garam, gula dan jus limau kasturi. Gaul hingga sebati.
4. Sedia untuk dihidangkan.

Amacam? Ringkas bukan? Tapi memang menyelerakan... jom makan sama!

Rabu, 30 Mei 2012

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah & Acar Timun Berempah

Buku Resepi Masakan Tradisi Melayu Johor oleh Noraini Margono memang tidak pernah mengecewakan! Amie telah mencuba pelbagai resepi antaranya Nasi Beriani dan Daging Beriani. Dan hari ini biarlah orang kata Amie masuk bakul angkat sendiri kerana sesungguhnya resepi Nasi Minyak serta lauk-pauk pilihan yang Amie cuba masak sungguh lazat! 


Semasa Amie masak di dapur, entah berapa kali anak-anak silih berganti menjengok, menghidu aroma masakan dan bertanya bilakah akan siap? Bilalah kami boleh makan? Hai... tiba-tiba saja perut anak-anak jadi lapar! Amie hidangkan Nasi Minyak dengan lauk Ayam Masak Merah dan juga Acar Timun Berempah.


Resepi: Nasi Minyak
Sumber : Masakan Tradisi Melayu Johor - Noraini Margono

Bahan A:
3 mangkuk beras 

Bahan B:
1 batang serai - diketuk
2 helai daun pandan
3 1/2 mangkuk air

Bahan C:
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar marjerin
rempah penumis: kayu manis, cengkih, bunga lawang
4cm halia - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
2 ulas bawang merah - dikisar
2 sudu besar rempah beriani

Bahan D:
2 sudu besar air mawar
3 sudu besar susu cair
1 sudu besar susu pekat
garam secukup rasa
1 biji limau nipis

Cara:
1. Rebus Bahan B di dalam periuk nsi
2. Panaskan minyak sapi dan marjerin. kemudian tumis kesemua Bahan C hingga kekuningan.
3. Masukkn rempah beriani dan beras. Gaul beras sehingga berkilat dan kemudian matikan api.
4. Masukkan kesemua Bahan D ke dalam air rebusan Bahan B tadi.
5. Setelah air mendidih semula, masukkan beras dan kacau rata.
6. Akhir sekali masukkan ir limau nipis, kacau lagi dan tutup periuk.
6. Tutup periuk rapat-rapat, jangan dikacau sehingga air di dalam periuk kering. Apabila air beras kering, kacau perlahan-lahan. Tutup periuk dan perlahankan api. Jika menggunakan periuk elektrik, biarkan nasi betul-betul masak dan bolehlah dihidang.
7. Untuk hiasan, taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreg di atasnya.

Seperti kebiasaannya, Amie masak Nasi Minyak cara kukus. Dan untuk resepi Nasi Minyak ini, Amie tambah herba saffron.



Resepi : Ayam Masak Merah
Sumber : Masakan Tradisi Melayu Johor - Noraini Margono

Bahan A:
1 ekor ayam - potong 12
2 mangkuk minyak
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar garam
2 helai daun limau purut

Bahan B : kisar
1 batang serai
4cm lengkuas
15 tangkai cili kering
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
4cm halia
2 cm kunyit

Bahan C:
3 sudu besar madu atau gula merah
2 sudu besar gula
1 mangkuk sos tomato
1 sudu besar garam
1/2 mangkuk air

Cara:
1. Gaulkan daging ayam dengan garam dan kunyit. Goreng hingga masak.
2. Tinggalkan sedikit minyak bekas gorengan ayam tadi dan tumis kesemua Bahan B sehingga terbit minyak atau sehingga masak.
3. Masukkan kesemua Bahan C. Kacau rata sehingga kuat pekat.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul sebati.
5. Akhir sekali masukkan daun limau purut.



Resepi : Acar Timun Berempah
Sumber : Masakan Tradisi Melayu Johor - Noraini Margono

Bahan A:
2 biji timun - buang biji, potong kecil memanjang 2 inci
1 batang lobak merah - buang kulit, potong kecil memanjang 2 inci
2 sudu besar rempah kari
2 sudu besar minyak

Bahan B: kisar
5 tangkai lada kering
1 sudu besar udang kering
1 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah

Bahan C:
2 sudu besar puri tomato
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar garam
3 sudu besar gula
1 sudu besar biji sawi
rempah penumis: bunga lawang, cengkih & kulit kayu manis

Cara:
1. Rendam timun dan lobak merah bersama air kapur dan garam. Kemudian cuci hingga bersih.
2. Perap timun dan lobak merah tadi dengan garam dan gula. Kemudian toskan.
3. Tumis kesemua Bahan B hingga terbit minyak.
4. Masukkan rempah kari dan gaul rata.
5. Masukkan kesemua Bahan C, dan kacau hingga pekat.
6. Masukkan timun dan lobak merah. Gaul hingga timun dan lobak merah mesra dengan rempah.

Jus Avocado

Selamat tengahari rakan-rakan nan budiman. Jom nikmati Jus Avocado untuk hilangkan dahaga di kala panas terik begini. Segelas sahaja.... segelas sahaja sudah mencukupi! Alhamdulillah. Anda akan berasa kenyang!


Resepi : Jus Avocado
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji buah avocado - anggaran 400 gram
200ml susu segar
4 sudu gula pasir
1 sudu jus limau nipis
200ml air - pilihan ( Amie masukkan air sebab jus avocado terlalu pekat)

Cara:
1. Kisar buah avocado bersama susu segar, gula pasir dan air.
2. Campurkan jus limau nipis.
3. Tuang ke dalam gelas.
4. Masukkan ketulan ais jika suka.
5. Sedia untuk dinikmati.

Nasi Lemak Kukus Sambal Sotong

Salam pagi Rabu. Hari ini seluruh kakitangan awam di negeri Sabah menikmati cuti selama 2 hari sehingga esok sempena Pesta Kaamatan.... Tadao Tagazo do Kaamatan! Walaupun cuti, masak-memasak tetap diutamakan. Hari minggu yang lalu Amie masak nasi lemak tapi bujang sulung dan bujang tengah menghadiri aktiviti kokurikulum di sekolah selama 3 hari. Jadi, tak dapatlah nak makan sama sebab masing-masing makan di sekolah. Rupa-rupanya bila balik ke rumah, si bongsu bercerita tentang nasi lemak, apalagi... bisinglah anak-anak bertanya kenapa mummy tidak masak lagi! Ibu manalah yang boleh lupakan anak terutama sekali waktu makan. Lagilah kalau hidangan yang dijamah merupakan hidangan kegemaran anak-anak. Jadi, untuk tidak menghampakan mereka, dan sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi, Amie sediakan hidangan nasi lemak, dengan lauk sambal sotong tetapi memasak nasi lemak cara kukus biasa saja. Sambal sotongnya pula Amie sediakan waktu malam sebelum tidur, jadi hanya perlu panaskan waktu pagi untuk lauk nasi lemak. Memang terasa sedap sangat sebab segala ramuan Sambal Sotong telah mesra!


Untuk resepi nasi lemak kukus, bolehlah selongkar resepi Amie yang lepas DI SINI,  dan DI SINI, juga DI SINIDI SINI pun ada dan banyak lagi.

Resepi: Nasi Lemak Kukus
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
500ml pati santan kelapa
3 biji bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu pati ayam Maggie

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur, dan masukkan santan kelapa bersama bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis dan bunga lawang serta serbuk pati ayam Maggie. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras di dalam kuali tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.


Untuk Sambal Sotongnya pula bolehlah klik DI SINI, dan Amie juga paparkan di bawah ini untuk rujukan teman-teman yang berminat untuk mencubanya.

Resepi : Sambal Sotong

Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram sotong - bersihkan - panaskan sotong di dalam periuk / kuali sehingga kecut dan buangkan airnya 
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
1 cawan pati santan
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1 cm halia
1.5cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar dengan api sederhana panas hingga pecah minyak.
2. Masukkan asam jawa dan sotong.
3. Masukkan pati santan, garam dan gula. Biarkan masak dengan api perlahan sehingga kuah pekat.
4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Selasa, 29 Mei 2012

Ikan Belawis @ Belais Goreng, Labu Manis Masak Lemak & Sambal Belacan

Selamat petang pengunjung dapur kecil Amie yang dihargai. Hari ini Amie hidangkan lauk-pauk kampung yang ringkas dan mudah tetapi menyelerakan! Hidangan ini merangkap hidangan tengahari dan malam sebab Amie masak sebelah petang, dan sementara menunggu Encik Suami pulang dari kerja untuk makan bersama, Amie ambil kesempatan ini untuk merakamkannya dalam dapur maya ini. Amie goreng 2 ekor ikan belais @ belawis, masak lemak labu manis campur dengan sayur remayung dan udang kering dan melengkapkannya dengan sambal belacan! Kepada sesiapa yang tidak biasa mendengar sayur remayung bolehlah klik DI SINI.


Ketika ini kami baru sahaja selesai makan malam dan jam telah menunjukkan angka 6 petang. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib. Setelah selesai makan, Encik Suami bersuara.... rupanya banyak lagi sayur labu dalam periuk! Ingatkan dah habis! Kenapa? Sedap sangat! Kalau tahu tadi, minta tambah..... oooohooo cik abang sayang! Amie pun sangka sayur labu manis tadi terlalu banyak, dan anak-anak tidak makan sayur seperti kebiasaannya, tetapi semuanya  menyenduk hingga ke titisan kuah yang terakhir. Lupalah pula ada lebihan sayur dalam periuk!


Ikan belais digoreng seperti biasa, lumurkan dengan garam dan kunyit dan goreng hingga masak. Mungkin ramai yang tidak pernah makan ikan ini sebab sebelum ini pun sewaktu Amie paparkan dalam blog, ramai yang tertanya-tanya apakah nama lain ikan ini di semenanjung. Memang ikan ini Amie tidak jumpa kalau balik ke Selangor. Siripnya keras dan tajam! Itu sebab nampak hodoh saja apabila siap digoreng kerana Amie sekadar patahkan siripnya dengan gunting sahaja. @ ekor ikan belais yang Amie goreng ini seberat 900 gram. Sambal belacan pula, sama seperti sambal belacan yang lain, hanya tumbuk cili padi bersama belacan, bawang putih dan bawang merah goreng. Bubuh sedikit garam dan gula serta perahkan air limau kasturi. Amie kongsikan resepi Labu Manis Masak Lemak. Oleh kerana Amie sediakan Sambal Belacan, jadi Amie hanya bubuh hirisan cili merah sahaja dalam sayur labu manis ini.


Resepi: Labu Manis Masak Lemak
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
300 gram labu manis - buang kulit dan potong ikut suka
1 mangkuk kecil daun remayung
1/2 biji kelapa parut - ambil 400ml pati santan
1/2 cawan udang kering - rendam dan tumbuk kasar
2 biji bawang putih - tumbuk kasar
3 biji bawang merah - tumbuk kasar
1 batang serai - dititik
1 biji cili merah - hiris
1 sudu teh serbuk kunyit
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama hirisan cili merah, bawang putih, bawang merah dan udang kering tumbuk, serbuk kunyit serta serai.
2. Letakkan periuk di atas api sederhana panas dan masukkan labu manis.
3. Kacau sekali-sekala supaya tidak pecah santan sehingga labu manis lembut.
4. Masukkan sayur remyung, garam dan perasa pilihan.
5. Apabila sayur remayung berubah warna, matikan api dapur.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Mee Goreng Meriah

Jom makan Mee Goreng Meriah. Apanya yang meriah? Saja suka-suka untuk meriahkan sarapan pagi Amie bersama anak-anak. Biasanya sebelum keluar ke tempat kerja, Encik Suami beli saja sarapan pagi utuk kami, tapi Amie tidak mahu perkara sebegini berterusan. Walaupun menyenangkan Amie di rumah, tetapi lama kelamaan rasa malas menyediakan sarapan pagi akan berterusan. He he heh... tunjuk rajinlah hari ini! Tak tahulah pula esok....



Resepi : Mee Goreng Meriah
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 paket mee udang - celur hingga lembut, bilas dan toskan
3 biji bawang putih - tumbuk
4 biji bawang merah - tumbuk
2 biji cili merah - hiris
3 tangkai sayur sawi - potong ikut citarasa - asingkan batang dengan daun
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan tumbuk kasar
3 sudu kicap pekat manis
2 sudu sos cili
2 sudu sos tomato
kepingan ayam rebus
kepingan cendawan shiitake rebus / celur
telur goreng mata kerbau
limau kasturi
daun bawang
garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Goreng bawang putih dan bawang merah hingga wangi.
2. Masukkan udang kering dan gaul sebati.
3. Masukkan batang sawi dan hirisan cili merah biarkan seketika.
4. Masukkan mee udang,  daun sawi, sos kicap, sos cili dan sos tomato. Gaul rata dan jika terlalu kering, masukkan sedikit air rebusan ayam.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan bersama hirisan daging ayam rebus, hirisan cendawan shiitake celur, telur mata kerbau, sup ayam dan juga sambal serta hirisan limau kasturi.



Bagi Amie, yang menghidupkan Mee Goreng Meriah ini sudah tentulah sambalnya! Mudah sahaja cara penyediaannya seperti di bawah ini:

Sambal Mee Goreng Meriah
Bahan-bahan:
10 biji cili padi
3 biji bawang putih
1/2 sudu teh garam
1 sudu  gula - ikut citarasa
5 biji limau kasturi - ambil jusnya

Cara:
1. Satukan cili padi, bawang putih dan garam ke dalam lesung. Tumbuk hingga lumat.
2. Masukkan gula dan tumbuk hingga sebati.
3. Tuangkan jus limau kasturi.
4. Sedia untuk dihidangkan.




Hidangan sarapan kami ini merangkap makan tengahari sebab dengan adanya lauk-pauknya itu sudah masuk kategori makanan berat! Alhamdulillah... rezeki Allah.

Dragon Fruit Panna Cotta

Selamat pagi semua. Walapun baru pukul 8.45 minit pagi, tapi panas matahari pagi mula terasa teriknya! Maklumlah Daerah Lahad Datu menerima sinaran matahari pagi terus menerus dari arah Laut Sulu! Pagi ini Amie bangun lebih awal, dengan semangat baru (kononnya... untuk bersihkan rumah dan buat mana yang patut), dan memang rasa seronok sebab dapat menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak. Di bawah ini bukan sarapan pagi kami ye... he he hehh.... ini Dragon Fruit Panna Cotta, percubaan ketiga Amie setelah dua kali membuat Mango Panna Cotta. Sekali lagi diucapkan terima kasih kepada pemilik asal resepi ini iaitu Kak Nor @ Secubit Garam dan juga Nieza: Our Journey Begins.


Untuk resepi asal, bolehlah klik di sini DI SINI. Dan Amie juga copy paste di bawah ini untuk rujukan teman-teman.

Resepi Asal : Mango Panna Cotta ( Amie gantikan mangga dengan buah naga)

Bahan-bahan
9gm gelatin (lebih kurang 1 sudu besar dan di lebih sikit)
4 sudu besar air
2 ½ cawan susu segar/fresh milk
1/4 cawan gula
1 sudu teh vanila
Buah Mangga (Amie ganti buah naga) ~ kisar untuk dijadikan puri bersama 3 sudu besar gula

Cara-cara:
1. Masukkan gelatin ke dalam air dan biarkan mengembang.
2. Masukkan susu dan gula ke dalam periuk dan masak dgn api sederhana hingga susu di bahagian tepi periuk mengeluarkan buih2 kecil.
3. Padamkan api dan masukkan adunan gelatin dan kacau sehingga gelatin larut sepenuhnya.
4. Tuangkan ke dalam ramakin atau gelas yg sesuai. Boleh juga jika nak masukkan sedikit potong buah mangga / buah naga ke dalamnya.
5. Sejukkan dalam peti ais lebih kurang 5 - 6 jam.
6. Tuangkan puri mangga / buah naga keatasnya dan bolehlah dihidangkan.




Jom, ambil segelas seorang sebelum kehabisan!



Alhamdulillah...... kena buat lagi nih! Terima kasih banyak ye Kak Nor & Nieza cayanggggg!

P/S: Menurut Kak Nor @ Secubit Garam, untuk menyediakan menu begini, perlu perahkan air limau atau lemon supaya ada rasa masam-masam sedikit pada puree buah itu. Ini disebabkan gandingan dengan susu di bahagian bawahnya yang lemak  dan mungkin terasa akan menjadikan hidangan ini  lebih sedap dengan asam manis berlemak! Insya-Allah akan diprtaktikkan. Terima kasih sekali lagi ye Kak Nor!

Isnin, 28 Mei 2012

Apam Labu Manis - Salmah Haron Singapore

Selamat petang rakan-rakan pengunjung Amie's Little Kitchen yang budiman. Petang ini Amie ingin kongsi resepi yang sungguh mudah, lazat dan berkhasiat! Resepi ini Amie perolehi daripada rakan kumpulan Meriahnya Dunia Masakan iaitu Salmah Haron dari Singapore.


Resepi : Apam Labu Manis
Sumber : Salmah Haron Singapore

Bahan-bahan:
1 cawan labu rebus - lenyek halus
3/4 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
200ml air
250ml santan kelapa
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh yis

Cara:
1. Satukan kesemua bahan dan (Amie masukkan dalam mixer) gaul hingga sebati.
2. Perap adunan selama 1 jam
3. Sapukan acuan dengan minyak.
4. Kukus selama 15-20 minit menggunakan api yang kuat.


Lembut saja kejadiannya. Rasanya enak, manis-manis manja!


Jom, ada sesiapa yang mahu ikut Amie ke Singapopre? Hantar sepiring Apam Labu Manis untuk Salmah Haron!

Ahad, 27 Mei 2012

Nasi Lemak Resepi Nenek Kusss

Selamat berhujung minggu buat semua rakan pengunjung Amie's Little Kitchen. Pagi Ahad yang redup ini, Amie kongsikan bersama Nasi Lemak Resepi Nenek Kusss dari dapur Resepi Sumbangan Ilah Jy. Apa yang menarik ingin Amie kongsikan bersama resepi warisan daripada nenek Kak Ilah Jy ini ialah tambahan bahan seperti jintan manis, halba dan juga perahan air limau sunkist. Selain harum halba bersama aroma santan dan juga halia, nasi lemak istimewa ini juga terasa kelainannya yang tersendiri hasil campuran air limau sunkist. Ingin tahu rasanya? Amie tidak boleh kata sedap kalau ada yang bertanya sedap ke? Sebab masing-masing punya citarasa dan kehendak selera. Cuba sendiri baru tahu sedap atau sebaliknya! Amie gandingkan Nasi Lemak Resepi Nenek Kusss ini dengan pilihan lauk-pauk sendiri seperti Sambal Sotong, Telur Mata Kerbau Sebelah (sebab mata kerbau ada dua biji he he heh...), kali ini malas rebus telur, goreng sajalah senang (minta maaf kepada pencipta resepi asal nasi lemak asli yang tidak diketahui siapa orangnya sebab mengubahsuai kepada goreng Telur Mata Kerbau Sebelah)!


Kepada yang berminat untuk turut mewariskan resepi daripada Nenek Kak Ilah Jy, bolehlah datang ke dapur Kak Ilah Jy DI SINI. Terima kasih banyak-banyak Kak Ilah Jy kerana mengizinkan Amie meminjam resepi Nenek Kak Ilah. Amie turunkan resepinya di bawah sini untuk tatapan rakan-rakan yang ingin menikmati kelainan dalam hidangan nasi lemak. Jumlah sukatan dan cara olahannya mengikut gaya Amie ye Kak Ilah sebab Amie masak cara kukus.




Resepi: Nasi Lemak Resepi Nenek Kuss
Sumber : Resepi Sumbangan Ilah Jy


Nasi Lemak
Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - cuci dan toskan
1 biji kelapa parut - ambil 600ml santan
3cm halia - mayang halus
3 ulas bawang merah - mayang halus
1/2 sudu halba
1/2 sudu jintan manis
2 helai daun pandan - disiat-siat
garam secukup rasa
1 biji limau sunkist - perah jusnya


Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama halia, bawang merah, halba, jintan manis, daun pandan, garam dan jus limau sunkist ke dalam kuali. Didihkan.
3. Masukkan beras dan biarkan kembang. Kacau sekali-sekala supaya tidak berkerak.
4. Seteah beras kembang dan kering, pindahkan ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15 - 20 minit atau sehingga nasi telah benar-benar masak.
6. Mengikut petua Nenek Kak Ilah Jy, setelah nasi masak / kering hendaklah dikacau supaya nasi berderai.






Resepi : Sambal Sotong
Sumber : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
600 gram sotong - bersihkan - panaskan sotong di dalam periuk / kuali sehingga kecut dan buangkan airnya 
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
1 cawan pati santan
garam dan gula secukup rasa
minyak


Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1 cm halia
1.5cm belacan


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar dengan api sederhana panas hingga pecah minyak.
2. Masukkan asam jawa dan sotong.
3. Masukkan pati santan, garam dan gula. Biarkan masak dengan api perlahan sehingga kuah pekat.
4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Walaupun sotong agak keras (tidak liat) sedikit tetapi rasanya tetap enak seakan-akan sotong kering kerana tempoh memasaknya yang agak lama. Inilah cara Amie masak Sambal Sotong untuk lauk nasi lemak, kerana suatu waktu dahulu Amie pernah jual nasi lemak atas permintaan rakan sekerja, dan sangkaan mereka Amie gunakan sotong kering! Aduhai... tak mampu nak beli sotong kering oiiiii... mahal!!!!

Memang sedap hidangan kami pagi ini dengan Nasi Lemak Resepi Nenek Kusss Kak Ilah Jy, tapi rasa kekurangan sebab bujang sulung dengan bujang tengah tidak dapat bersama bersarapan seperti selalu! Bujang sulung keluar rumah awal pagi untuk mengikuti aktiviti Persatuan St. John Ambulance yang dijangka tamat pada pukul 5 petang nanti manakala bujang tengah dari kelmarin mengikuti Perkhemahan Pengakap sehingga esok. Makanlah kami bertiga dengan Encik Suami dan si bongsu. Lepas makan Encik Suami dan si bongsu berangkat pula ke kampung. Tinggallah Amie seorang diri.... hu hu huuu siapa nak temankan Amie? Kita pulun nasi lemak yokkkk.......

Sabtu, 26 Mei 2012

Ikan Kembung Kukus Asam Cencalok

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung. Nampaknya tidak bolehlah Amie berlama-lamaan di hadapan skrin, sebab dari kelmarin rasa kurang sedap badan. Selera makan pun hilang tapi selepas gagahkan diri masak Ikan Kembung Kukus Asam Cencalok, tiba-tiba teringin pula menikmatinya dengan sepenuh jiwa dan raga! Terima kasih Sri Idayu atas perkongsian resepi yang berjaya membuka selera orang yang hendak separuh demam seperti Amie sekarang ini he he hehh... Kata Sri Idayu, resepi ini daripada ibunya, dan alhamdulillah memang Amie buat pun menjadi!


Kepada sesiapa yang berminat bolehlah datang ke dapur Sri Idayu di ROSRI KITCHEN. Kak Amie salin semula resepi Ikan Kukus asam Cencalok untuk tatapan teman-teman kita ye Sri Idayu sayang!

Resepi : Ikan Kukus Asam Cencalok
Sumber: Rosri Kitchen


Bahan-bahan:
10 ekor ikan temenung / kembung / siakap - Amie gunakan 3 ekor ikan kembung
1 1/2 biji limau nipis - ambil jusnya
2 sdb cencaluk - nak letak lebih pun boleh
garam
serbuk perasa secukupnya

Bahan Kisar:
1 biji cili hidup - Amie gunakan 2 biji
3 biji cili padi - Amie gunakan 7 biji
3 ulas bawang merah

Bahan Hias:
daun bawang
cili hidup

Cara:
1.Panaskan kukusan.
2.Bersihkan ikan dan toskan. 
2.Satukan jus limau, bahan kisar, garam dan serbuk perasa secukupnya. Gaul sebati dan perap bersama ikan selama 10 - 15 minit.
4.Susun ikan dalam bekas. Tuang bahan perap tadi atas ikan, dan letakkan cencaluk di atasnya. Kukus hingga masak.
5.Taburkan daun bawang dan cili hidup yang dihiris nipis sebelum menghidang.


Sesekali makan lauk begini memang sedap! Sungguh membuka selera... dan harap kepala tak berat lagi! Di bawah ini pula sayur yang Amie sempat sajikan. Sebenarnya hanya Amie berdua dengan si bongsu di rumah. Encik Suami masih dengan urusan kerjanya, manakala si sulung mengikuti aktiviti Persatuan St. John Ambulance di sekolah. Bujang tengah pula Amie hantar ke sekolah tengahari tadi untuk perkhemahan pengakap di sekolahnya selama 3 hari. Jadi, hidangan yang disediakan merangkap hidangan tengahari dan malam!


Sayur campur yang menjadi pilihan Amie untuk keluarga. Amie tambahkan sotong dan bebeola daging sebagai perencahnya, manakala sayuran lain termasuklah kacang manis, anak jagung, cendawan shiitake dan juga egg taufu.