Isnin, 30 April 2012

Fillet Dori Goreng Rangup & Butter Cereal Seasoning Powder

Bertemu kembali untuk seketika. Macam nak cepat-cepat cabut lari saja bunyinya.... he he hehh! Bukan apa, sebenarnya agak letih kerana tidak selesa sejak dinihari pukul 2.40 pagi, bekalan elektrik terputus! Bayangkan menjelang pukul 6 petang baru bersambung semula. Punyalah kalut pagi tadi, mana nak mandinya, mana nak cari segala pakaiannya untuk anak beranak termasuk bapanya sekali. Semuanya dibuat sambil meraba-raba! Sudahlah sebatang lilin pun tak simpan! Ada lampu sulu bateri pula lemah! Sepanjang hari Amie menjadi salah seorang pengadil pesta pantun peringkat Tenggara. Memang berpeluh-peluh macam duduk dalam bilik sauna! Pertandingan terpaksa diteruskan walaupun tanpa menggunakan pembesar suara memandangkan para peserta yang mewakili daerah masing-masing sudah bersedia di tapak pesta. Bayangkan! Amie pun tak mahu nak ulas panjang-panjang. Yang penting tugas telah selesai dan dijalankan penuh amanah, dan Amie selamat sampai ke rumah. Apalagi... sampai rumah, memanglah terus berkejar ke dapur dan masak apa yang patut seperti di bawah ini.



Sebaik sampai ke pintu dapur, tiba-tiba teringat fillet ikan dori yang tentunya sudah cair dalam peti sejuk memandangkan lebih 14 jam bekalan elektrik terputus. Tidak dapat dipastikan pula, bila masanya bekalan elektrik akan disambung semula. Masak nasi pun terpaksa gunakan dapur gas. Alhamdulillah, akhirnya nasi tanak juga. Cerita balik tentang ikan dori tadi, oleh kerana fillet ini hampir 1 kg, jadi Amie putuskan untuk goreng sahaja sebab anak-anak suka ratah masakan begini. Di pertengahan masa menggoreng terfikirlah pula alangkah baiknya kalau sebahagian ikan goreng ini Amie tambah sedikit bahan pedas sebagai pembuka selera. Akhirnya terhasillah dua hidangan. Yang pertama Ikan Dori Goreng Rangup seperti dalam gambar di atas dan yang kedua, Ikan Dori Butter Cereal Seasoning Powder seperti di bawah ini.


Nampaknya kedua-dua resepi dari bahan yang sama telah selamat masuk ke perut kami sekeluarga. Alhamdulillah! Selepas makan, bekalan elektrik pun bersambung kembali!


Resepi : Fillet Dori Goreng Rangup
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
800 gram fillet ikan dori - hiris nipis 
3 sudu tepung jagung
2 sudu tepung gandung
1 biji telur
1/2 sudu lada putih - tumbuk
2cm halia - tumbuk
3 biji bawang putih - tumbuk
sedikit garam / perasa pilihan
3 cawan serbuk roti
minyak

Cara:
1. Campurkan tepung jagung, tepung gandum, lada putih, halia dan bawang putih serta sedikit garam.
2. Pecahkan telur dan gaul rata.
3. Masukkan fillet dori. Jika adunan terlalu keras / kental, tambah sedikit air.
4. Golek-golekkan fillet dori  di atas serbuk roti.
5. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga masak / garing.
6. Angkat dan toskan minyak.

Untuk resepi Fillet Dori Butter Cereal Seasoning Powder pula, Amie tuliskan di bawah ini.

Bahan-bahan:
10 keping Fillet Dori Goreng Rangup
2 sudu besar mentega
5 tangkai daun kari
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
7 biji cili padi - hiris
50 gram Butter Cereal Seasoning Powder

Cara:
1. Panaskan mentega dengan api perlahan.
2. Masukkan  daun kari dan semua hirisan cili. Tumis sehingga harum.
3. Masukkan kepingan dori goreng rangup. Gaul sebati. Tutupkan api.
4. Masukkan Butter Cereal Seasoning Powder dan gaul rata.
5. Sedia untuk dihidang.

Ahad, 29 April 2012

Otak-Otak Wantan & 3rd Blog Anniversary Kerdipan Rohani

Hujung minggu sudah berakhir. Sekejap panas, sekejap hujan dan akhirnya malam menjelma. Esok pagi perlu bangun awal kerana dijemput menjadi pengadil Pertandingan Pesta Pantun Peringkat Tenggara yang akan diadakan seawal 8.30 pagi sehingga 4.30 petang nun di sebuah sekolah sejauh lebih 25km dari sekolah Amie.   Apa pun sebelum menyaksikan acara jual beli pantun esok pagi, Amie jual dulu Otak-Otak Wantan. Ada sesiapa yang nak beli? Idea mengolah Otak-Otak Wantan ini timbul setelah mengambilkira betapa sedapnya kalau Amie makan wantan di kantin sekolah. Makan 10 ketul pun macam tak cukup! Hei... teruk betul Amie  dalam bab membantai makanan begini! Balik-balik cerita otak-otak saja, maklumlah tengah suka makan otak-otak. Nanti kalau mula rasa jemu, tiadalah lagi resepi otak-otak ye... he he hehhh.


Resepi: Otak-Otak Wantan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
250 gram isi ikan kembung
250 gram isi udang
2 batang serai - mayang
2cm halia
2 cm lengkuas
3 biji bawang putih
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
1 biji telur
1 cawan pati santan
garam / gula / perasa pilihan
kulit wantan secukupnya
minyak 

Cara:
1. Kisar kesemua bahan di atas kecuali kulit wantan dan minyak.
2. Bubuh 1 sudu bahan otak-otak di atas kulit wantan dan lekatkan mengikut bentuk yang dikehendaki.
3. Panaskan minyak dan goreng tenggelam otak-otak watak menggunakan api sederhana panas sehingga masak.
4. Angkat dan toskan minyak.
5. Sedia untuk dihidang  panas bersama sos pilihan tetapi tetap enak jika dimakan begitu sahaja.

Kalau kita gunakan kulit wantan, tak perlulah kita mencari daun pisang untuk membungkus otak-otak. Maklumlah, zaman sekarang ini bukannya daun pisang boleh terus cantas dari pokok... he he hehh tapi yang ada rumpun pisang bolehlah pilih daunnya yang muda. Kalau kita beli daun pisang, biasanya kita dapat daun tua, atau lebih malang lagi di bahagian dalamnya sudah robek! Cerita balik tentang Otak-Otak Wantan tadi, memang tidak dapat dinafikan kelazatannya! Walaupun baru balik dari makan di tempat orang kahwin, tapi bila dihidangkan Otak-Otak Wantan, sekelip mata pinggan jadi licin! Wah! Bahaya juga pengaruh Otak-Otak Wantan!


Apa pun, tradisi lama tidak dilupa. Biar pun otak-otak sudah dapat kulit baru, Amie tetap panggang sebahagian bahan otak-otak menggunakan daun pisang. Tidak ada yang lama, tidak adalah idea baru, betul tak?


Agaknya kalau Amie jual Otak-Otak Wantan, berapa harga yang rakan-rakan inginkan? Ha ha hahhh... isinya memang istimewa, isi ikan campur isi udang!

Sebelum undur diri malam ini, Amie ingin ucapkan tahniah buat Kunang-Kunang dari blog Kerdipan Rohani di atas 3rd Blog Anniversary beliau. Banyak info menarik kita boleh kongsi melalui blog tersebut terutamanya tentang kerohanian dan kemanusiaan. Jom kita lawati blog yang sungguh istimewa ini di Kunang-Kunang - Kerdipan Rohani.


Semoga KunangKunang terus aktif menulis dan sentiasa mengemaskini  blognya untuk tatapan bersama. Tahniah sekali lagi daripada Amie buat KunangKunang dan semoga ceria selalu!

Sabtu, 28 April 2012

Sate Ayam & Mutiara di Bawah Bayu

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Petang ini Amie banyak ingin kongsi cerita tapi Amie cuba pendekkan menjadi seringkas-ringkasnya. Pertama, dari pagi tadi mengejar masa kerana selepas acara merentas desa di sekolah, kami tergesa-gesa pulang memandangkan pukul 11.00 pagi jalan arah ke Tawau terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada Kejohanan Lumba Basikal Tour of Borneo 2012 merangkumi 5 peringkat sejauh 758.4km bermula pagi tadi dari Semporna, melalui Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Sepilok, Kundasang, dan berakhir di Kota Kinabalu pada 1 Mei 2012. Perlumbaan berstatus 2.2 ini diiktiraf Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) dan tersenarai dalam Kalendar Jelajah Asia (UCI) dan disertai oleh 19 buah negara. Syukurlah, sebelum pukul 11 pagi, Amie dan anak-anak selamat sampai ke rumah walaupun jalan raya mulai sesak. Kebetulan, rumah Amie terletak berhadapan tidak sampai 100 meter dari jalan raya, jadi menjelang tengahari penuhlah tepi jalan raya dengan orang ramai yang datang memberi sokongan moral kepada semua pelumba basikal. Susunan kenderaan yang tidak boleh bergerak usah dikira lagilah! Panjangnya entah dari mana sampai ke mana! Amie kurang berminat dengan acara lumba basikal, jadi sementara Encik Suami dan anak-anak menyertai kumpulan penyokong, Amie pun buatlah apa yang patut untuk hidangan petang merangkap makan malam. Kali ini Amie buat Sate  Ayam. Oleh kerana bahan untuk sate sudah terlebih dahulu disediakan pada sebelah malam, Amie hanya sediakan nasi himpit dengan sambal kacang serta aksesori yang lain. Setelah semua peserta lumba basikal berlepas dari kawasan kami, Encik Suami pun membakar arang untuk dijadikan bara api. Jadi, kami pun memangganglah sate dengan seronoknya sebab baunya sungguh harum semerbak ditambah pula dengan cuaca mendung, dingin selepas hujan sebentar tadi.



Lihatlah rupa Sate Ayam yang sudah siap dipanggang itu! Potongannya pun tak sekata sebab semalam semasa memotongnya, mata dah mengantuk, jadi potonglah besar-besar biar cepat siap! Tak kisahlah, sebab bila diperap semalaman, bahan ramuan meresap ke dalam daging ayam, dan dengan bahan-bahan tersebut juga akan membantu daging ayam cepat masak bila dipanggang. Belum lagi habis memanggang, si bongsu sudah mula mencopet beberapa cucuk.  Memang sedap kalau makan sate panas-panas! Amie pun sama juga, mengalahkan si bongsu! Tak sabar-sabar nak makan. Menjelang pukul 4.30 petang, Sate Ayam pun sudah sedia bersama-sama aksesorinya yang lain terhidang di meja. Hanya menunggu untuki dijamah! Tangan pun mula angkat satu cucuk sate.....


Baru nak angkat sate.... tiba-tiba si bongsu yang sudah kekenyangan makan sate berteriak memanggil dari ruang tamu. "Cepat tengok sini... ada atuk keluar tv!" Encik Suami pun tinggalkan meja bersama anak-anak untuk ke ruang menonton. Rupanya, ada siaran Selekta Sabtu: Mutiara di Bawah Bayu di TV2. Rancangan yang disiarkan pada pukul 4.30 petang ini memaparkan tentang budaya hidup masyarakat Melayu Cocos di Sabah. Sebenarnya, rakaman tersebut dibuat pada tahun lepas oleh pihak RTM. Lokasi utamanya di rumah FIL dan FIL Amie menjadi fokus utama dalam temuramah yang diadakan. Masih Amie ingat lagi, rakaman tersebut dibuat pada malam Jumaat, bukan lagi malam tapi sudah larut malam menjelang ke pagi sebab waktu itu Encik Suami turut menyertai majlis bacaan Yasin di rumah ayahandanya. Kami pun menonton siaran yang sebenarnya pernah kami nantikan tahun lepas tetapi akhirnya dilupakan begitu sahaja kerana sudah sekian lama tidak disiarkan. Rancangan selama 1/2 jam ini memaparkan tentang cara hidup atau budaya hidup masyarakat Melayu Cocos. Penggambaran dibuat di dalam dan di luar rumah FIL. Apa yang melucukan kami ialah, walaupun menjelang dinihari tetapi anak-anak buah, adik, abang ipar, biras serta pakcik (adik-adik FIL) memberi kerjasama untuk menjayakan rancangan tersebut termasuklah menarikan tarian dansa dan melenggok. Banyak informasi yang diperolehi RTM daripada FIL tentang kesenian dan kebudayaan masyarakat yang sangat kecil jumlahnya di negeri Sabah ini.




Kami rasa sangat terharu kerana berpeluang menyaksikan siaran TV2 dan seolah-olahnya FIL masih ada, tetapi sebenarnya FIL telah kembali ke pangkuan-Nya pada 2 Februari 2012. Amie pernah merakamkan detik pemergian Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Rilay Abip DI SINI. Allahyarham sebenarnya sering menjadi pakar rujuk pelbagai pihak untuk mendapatkan sumber sebenar tentang sejarah asal-usul dan penghijrahan masyarakat Melayu Cocos dari Pulau Cocos-Keeling ke Borneo. Hilanglah sudah sebutir permata (penerima anugerah Bintang Kinabalu) yang banyak merakamkan sejarah masyarakat ini kerana FIL memang lahir di pulau tersebut. Bagaimanapun, Amie bersyukur kerana semasa hayatnya, Amie sempat merakamkan sebahagian kehidupan mereka dalam novel Teritip (pernah Amie tuliskan sebelum ini dalam blog), yang berlatarbelakangkan sejarah kehidupan di bawah pentadbiran British, keluarga Clunnies Ross sehinggalah Pulau Cocos-Keeling akhirnya menjadi sebahagian wilayah Australia.



Masih terbayang lagi wajah terkejut FIL ketika Amie serahkan senaskhah novel Teritip untuk beliau .....di dalamnya saya tulis sebahagian kisah yang emak dan bapa selalu ceritakan kepada saya tentang sejarah hidup orang Melayu Cocos ...., beritahu Amie untuk mengurangkan rasa hairan Allahyarham.  (Sayangnya MIL telah pergi terlebih dahulu pada 4 November 2006, manakala Teritip terbit tahun berikutnya). Al-Fatihah buat kedua MIL & FIL Amie yang kami kasihi. Apa pun, yang pergi biarlah pergi kerana masanya sudah sampai, namun yang masih hidup teruskanlah berbakti kepada agama, negara dan bangsa.

Setelah tamat siaran Mutiara di Bawah Bayu, semua menyerbu semula ke dapur untuk menikmati sate. Kali ini memang sekali angkat sate terus masuk mulut! Bismillah.....


Masya-Allah! Rupanya Amie terlupa untuk tuliskan resepi Sate Ayam kali ini. Sebelum tutup tirai petang ini, Amie tuliskan di bawah ini untuk rujukan Amie sendiri, anak-anak dan rakan-rakan yang sudi. Resepi Sate Ayam  dan kuahnya ini Amie gunakan dari resepi turun-temurun dalam keluarga. Jika ada yang terlebih atau terkurang,  atau tidak memenuhi citarasa anda, harap dimaafkan.

Resepi : Sate Ayam
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan :  - untuk 5 orang
1.5kg daging ayam bahagian dada - potong saiz sate ayam biasa
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu teh garam
3 sudu besar gula
lidi secukupnya - rendam 4-5 jam terlebih dahulu supaya tidak mudah terbakar ketika memanggang sate
2 batang serai - dititik
1/2 cawan minyak
arang secukupnya & tempat pemanggang

Bahan A - untuk kuah:
10 biji cili kering - kisar
5 biji bawang putih - kisar
2 labu bawang besar - kisar
1 sudu teh jintan putih - kisar
1 sudu teh jintan manis - kisar
1 sudu teh ketumbar - kisar
6cm halia - kisar
5 batang serai - kisar
2 cawan kacang tanah - goreng dan tumbuk tetapi jangan terlalu halus
1 cawan pati santan
2 cawan air
1 sudu teh pati asam jawa
3/4 cawan minyak
garam & gula secukupnya

Bahan lain:
2 kampit nasi himpit - potong dadu
1 biji timun - kupas dan potong dadu
2 labu bawang besar - kupas dan potong dadu
2 biji tomato - belah 8

Cara:
1. Bahan kisar dibahagi 2. Satu bahagian untuk memerap daging ayam dan sebahagian lagi untuk ramuan kuah kacang.
2. Masukkan daging ayam ke dalam sebuah bekas. Campurkan sebahagian bahan kisar kecuali cili kering. Tambahkan sedikit pati asam jawa, garam, gula serta serbuk kunyit dan sedikit minyak. Gaul rata dan perap selama 8 jam atau semalaman di dalam peti sejuk.
3. Untuk satu cucuk sate, gunakan tiga keping potongan daging ayam dan dua keping lemak atau kulit ayam - jika tidak mahu kulit atau lemak, tidak perlu bubuh.
4. Sediakan bara api dan panggang sate sehingga masak dengan melumurkan sedikit minyak di permukaan sate menggunakan serai yang dititik.
5. Untuk kuahnya pula, panaskan 3/4 cawan minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak dengan api sederhana panas sehingga pecah minyak.
6. Masukkan air dan biarkan mendidih.
7. Masukkan kacang tanah tumbuk dan kacau selalu supaya tidak berkerak. Masukkan pati santan, pati asam jawa, garam dan gula secukupnya serta kecilkan api. Biarkan kuah mendidih dan pecah minyak.
8. Sebaik-baiknya, biarkan lebih kurang 2 jam sebelum dihidangkan supaya semua bahan ramuan dan rempah-rempahan meresap dalam kuah.
9. Hidangkan sate ayam bersama kuah kacang, hirisan timun, tomato, nasi himpit dan bawang besar.


Wokeh! Sate Ayam King Size sudah siap! Jom...jommmm makan... panas-panas lagi ni! Abaikan bahagian yang hangus-hangus tu... ini pembakar sate amatur beb! Dijamin makan 5 cucuk bersama nasi himpit dan aksesori yang lain akan mengenyangkan perut anda sampai ke malam!



Jumaat, 27 April 2012

Yong Tau Foo

Salam petang Jumaat. Aduh! Dinginnya petang ini, terasa menyucuk sampai ke tulang sum-sum! Hari hampir menjelang senja, tapi hujan masih turun dengan lebatnya. Kami berkurung di dapur menikmati Yong Tau Foo. Minta maaflah wahai teman-teman tersayang kerana resepi Yong Tau Foo yang Amie sediakan terutama kuahnya tidak seperti yang anda sangkakan! Sebenarnya, kuah Yong Tau Foo ini ada kisahnya yang tersendiri. Mengikut sejarah masa lalu Amie ketika sampai ke Lahad Datu, memang tidak ada hidangan Yong Tau Foo disediakan di mana-mana. Pada tahun 1995, sempena ulang tahun anak sulung Amie yang pertama, kami mengadakan majlis doa selamat untuk meraikannya. Salah satu hidangan yang Amie sediakan ialah Yong  Tau Foo. Oleh kerana waktu itu kudrat masih kuat, dan nilai kerajinan masih tinggi, selain bahan-bahan sedia ada seperti bebola ikan dan sebagainya, Amie sediakan pelbagai bahan segar lain termasuk udang,  daging ayam, sotong dan segala macam keranga-kerangan laut! Dengan penuh keberanian Amie pun mereka cipta kuah Yong Tau Foo kerana sangkaan Amie keluarga sebelah suami bukannya biasa makan Yong Tau Foo, jadi tentulah kalau suka mereka akan makan dan kalau tak suka makan, boleh makan makanan yang lain. Tak terfikir pula Amie bahawa rakan-rakan sekerja yang Amie panggil merupakan rakan-rakan dari semenanjung dan sudah biasa makan Yong Tau Foo!  Mereka minta pula resepi kuah Yong Tau Foo! Masya-Allah... baru Amie tersedar Amie buat kuah ikut kepala sendiri, dan bukannya ada resepi sebenar. Oleh kerana rakan-rakan mendesak sangat sebab mereka pun teringin buat sendiri di rumah, jadi Amie pun dengan rasa takut-takut (takut salah resepi!) beri jugalah resepi tersebut! Kalau kawan-kawan baca resepi kuah Yong Tau Foo di bawah nanti, janganlah rasa pelik dengan bahan-bahan yang Amie gunakan ye... maklumlah, kalau teringin sangat nak makan tapi benda tak ada, keluarlah segala kreativiti untuk memasaknya! Sekarang ini, tak perlulah tunggu balik kampung untuk beli Yong Tau Foo di pasar malam.  Kalau teringin makan, bolehlah Amie buat sendiri dengan kuahnya yang ringkas itu. Sekarang memang ada Yong Tau Foo dijual di Lahad Datu, tetapi Amie jarang membelinya kerana sudah rasa sedap dengan Yong Tau Foo  hasil air tangan sendiri dengan kuahnya yang direkacipta 17  tahun lalu!


Resepi : Yong Tau Foo
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan A - untuk 5 orang:
10 biji white fish ball
10 biji lobster flavoured ball
10 biji crab meat squid ball
10 biji scallop shape seafood tofu
10 ketul golden seafood nugget
10 biji wantan ikan
10 tangkai kangkung

Bahan B - untuk kuah:
1 cawan kicap cair lemak manis - Cap Kipas Udang / Habhals
1 cawan sos tomato - Cap Kipas Udang / Habhals 
1.5cm belacan - tumbuk
7 biji cili padi - tumbuk
1/2 cawan air bancuhan tepung jagung - jika suka

Bahan sampingan:
1 cawan kacang tanah - digoreng dan tumbuk
bawang goreng
daun bawang
sambal : kisar 3 biji cili merah + 3 biji bawang putih + 1 labu bawang besar + gula + garam + jus limau kasturi

Cara:
1. Celur kesemua Bahan A. Potong ikut saiz yang dikehendaki.
2. Panaskan kesemua Bahan B di atas api sederhana sehingga pekat.
3. Susun Bahan A ke dalam sebuah bekas. Tuangkan kuah dari Bahan B di atasnya.
4. Taburkan kacang tanah tumbuk, bawang goreng,  dan daun bawang.
5. Tambahkan sambal di dalam hidangan.
6. Sedia untuk dinikmati.


Mudah bukan? Sesungguhnya jika anda gunakan sos kicap dan sos tomato Cap Kipas Udang, anda tidak perlu menambah sebarang bahan perasa lain! Semuanya sudah cukup rasa! Kalau tidak suka belacan, boleh gantikan dengan petis atau otak udang! Jika tidak suka pedas, tak perlu bubuh cili padi!


Jika sukakan bijan, sangankan bijan seketika tetapi jika tidak suka, tidak perlu bubuh. Oleh kerana banyak pilihan bahan untuk Yong Tau Foo, carilah  jenis yang disukai! Anda berani mencubanya? Cubalah.... tapi dengan syarat, gunakan sos jenama Cap Kipas Udang!

Pegedil Daging Kisar

Salam pagi Jumaat. Ringkas sahaja celoteh Amie pagi ini. Amie hidangkan Pegedil Daging Kisar. Pegedil ini sebenarnya Amie buat kelmarin petang tetapi tidak sempat dimasukkan dalam blog kerana masalah talian internet yang terputus. Jadi, pagi ini baru sempat Amie kongsikan bersama.



Resepi : Pegedil Daging Kisar
Sumber : Amie's Little Kitchen (Resepi Bonda Amie)

Bahan-bahan:
4 biji kentang sederhana besar - kupas dan potong kecil
200 gram daging lembu kisar
1/2 cawan bawang goreng
2 tangkai daun sup - hiris halus
1/2 sudu teh jintan manis - tumbuk
1/2 sudu teh jintan putih - tumbuk
1/2 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu serbuk pati ayam
1 biji telur - pukul hingga kembang
1 cawan serbuk roti
minyak
sos cili 

Cara:
1. Goreng kentang sehingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tumbuk / lenyek kentang goreng sehingga halus.
3. Masukkan kentang lenyek dalam sebuah mangkuk besar. Masukkan daging lembu kisar, bawang goreng, daun sup, lada putih, jintan putih, jintan manis dan serbuk pati ayam. Gaul sebati.
4. Bulat-bulatkan adunan dan kemudian leperkan sedikit mengikut saiz  pegedil yang disukai. 
5. Celup pegedil ke dalam  telur dan kemudian golek-golekkan ke atas serbuk roti.
6. Goreng di dalam minyak menggunakan api sederhana panas.
7. Apabila pegedil masak, angkat dan toskan.
8. Hidangkan bersama sos pilihan.

Pesan bonda: Untuk mendapatkan pedegil yang elok, dan tidak pecah sewaktu digoreng, kentang hendaklah digoreng dan bukannya direbus. Sekiranya kentang goreng yang dilenyek masih kelihatan basah, bolehlah tambah sedikit tepung jagung. Bagaimanapun, untuk mendapatkan hasil seperti yang dikehendaki, kentang yang digunakan untuk dibuat pegedil hendaklah dari jenis kentang yang keras.

Rabu, 25 April 2012

Kari Ros Ayam

Amie hidangkan  resepi Kari Ros Ayam untuk menu malam ini. Oleh kerana sepanjang hari cuaca mendung dan hujan lebat diawal pagi, jadi eloklah masak hidangan yang boleh memanaskan badan. Encik Suami pula, sekiranya lauk kari yang dihidangkan, sudah semestinya minta digandingkan bersama dengan acar timun. Katanya, aroma kari dan acar timun akan menjadi mesra dan semerbak menggoda selera. Memang benar katanya itu, dan Amie tambah dengan sambal belacan. Melelehlah peluh di dahinya ketika menikmati kombinasi hidangan malam kami. Teringat pesanan bonda hampir 18 tahun lalu sebelum majlis akad nikah kami dijalankan. Kata bonda, ada dua perkara yang perlu dijaga untuk kerukunan rumahtangga. Yang pertama, hidangan makanan yang kita sajikan, dan yang kedua....  he he hehhh he....  malu pula nak cakap di bawah lampu terang benderang ni! Minta maaflah ye kawan-kawan kalau ada yang tertanya-tanya, bolehlah tinggalkan pesanan di FB Amie.


Resepi : Kari Ros Ayam
Sumber : Sajian Tradisi Popular - Majalah Perempuan

Bahan-bahan:
700 gram daging ayam - potong-potong
1 1/4 tin sup tomato
200 ml pati santan
200 ml air
1/4 camca teh lada sulah
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
1 labu bawang besar - dihiris
1 sudu serbuk pati ayam Maggie
minyak
garam / gula / perasa pilihan
3 biji kentang - Amie tambah

Bahan kisar:
12 biji cili kering
5 biji bawang putih
3cm halia
1 1/2 camca teh serbuk buah pala
2 sudu serbuk kari - Amie tambah (sebenarnya tidak ada serbuk kari dalam resepi ini)

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bunga lawang, kulit kayu manis dan daun kari hingga layu.
2. Masukkan bahan kisar  dan goreng hingga wangi.
3. Masukkan ayam dan masak hingga bertukar warna.
4. Masukkan sup tomato dan air.
5. Masukkan kentang. Masukkan pati santan dan masak hingga mendidih dan kemudian renih selama 15 minit.
5. Masukkan serbuk pati ayam Maggie, lada sulah dan garam secukup rasa.
6. Masak hingga kuah hampir pekat dan ayam serta kentang empuk.
7. Tutup api dan hidangkan dengan nasi atau roti.


P/S: Ada sedikit kesilapan yang tidak disengajakan. Sebenarnya agak lama juga Amie ingin masak resepi ini dan rasanya sudah hafal di kepala segala bahan-bahannya. Rupa-rupanya apabila Amie rujuk kembali majalah tersebut, Amie sudah tersilap baca. Sepatutnya Amie masukkan serbuk buah pala, tapi Amie kisar buah keras! Apa pun, hidangan Kari Ros Ayam ini sudah habis licin.

Isnin, 23 April 2012

Sayur Cangkuk Manis Ikan Kurau Kering

Selamat petang rakan-rakan yang sentiasa sudi bertandang ke dapur Amie. Petang ini Amie hidangkan menu ringkas sebagai hidangan makan malam. Amie masak Sayur Cangkuk Manis Ikan Kurau Kering. Sesetengah tempat memanggil sayur cangkuk manis sebagai cekur manis. Ada juga yang menamakannya cekup manis atau taruk manis, dan seingat Amie dari kecil lagi bonda sebut sebagai sayur cokok manis! Ha.... cokok manis pulak! Jadinya baik cekur, cekup, cokok semuanya membawa maksud yang sama manakala nama cangkuk manis pula Amie gunakan mengikut sebutan tempatan. Sayuran kampung ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat, tetapi ayahanda kurang menggemarinya. Kalau bonda masak sayur ini, bonda tidak akan sajikan untuk ayahanda kerana menurut ayahanda sayur cangkuk manis boleh menyebabkan darah tinggi. Sejauhmana kebenaranannya, Amie pun kurang pasti. Sebenarnya daun cangkuk manis yang segar dan baru dipetik mempunyai kandungan provitamin A karetinoid. Selain itu, sayur ini juga mengandungi vitamin B, C, protein dan mineral. Dari segi perubatan tradisional, cangkuk manis juga boleh digunakan untuk memperbanyakkan susu ibu, menghitamkan rambut bayi dan jusnya boleh digunakan sebagai ubat sakit mata serta demam. Bagaimanapun pengambilan cangkuk manis yang berlebihan dikatakan boleh membawa kepada masalah paru-paru. Sila klik DI SINI untuk keterangan lanjut mengenai khasiat cangkuk manis.


Sayur cangkuk manis yang Amie temui di sini tidak sama dengan yang Amie biasa makan di kampung. Biasanya, banyak daun cangkuk manis yang terdapat dalam satu hidangan tetapi di sini, hanya pucuknya yang muda sahaja yang dijual. Ketika hayat MIL & FIL masih ada, mereka tanaman pokok cangkuk manis di belakang rumah, dan Amie dengan seronoknya akan memetik pucuknya yang muda dan lembut setiap tiga hari sekali. Sayur cangkuk manis yang Amie masak petang tadi sebenarnya dipetik juga.... he he hehh Encik Suami petik di pasar!
Oleh kerana Amie masak Asam Pedas Ikan Pari (asam pedas lagi!), jadi Amie tidak gunakan cili untuk menumis cangkuk manis. Amie hanya tumbuk sedikit belacan dengan bawang, gunakan sesudu sos tiram dan taburkan ikan kurau kering yang ditumbuk di atas sayur. Resepi yang ringkas dan mudah ini Amie tuliskan di bawah ini.

Resepi : Sayur Cangkuk Manis Ikan Kurau Kering
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
200 gram sayur cangkuk manis
1 sudu sos tiram
1/2 sudu tepung kanji - bancuh dengan sedikit air
sekeping ikan kurau kering - goreng dan tumbuk hancur
minyak

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
1 cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk hingga naik bau.
2. Masukkan sayur cangkuk manis dan gaul rata.
3. Masukkan sos tiram.
4. Masukkan bancuhan air tepung jagung. Kacau rata sehingga kuah pekat.
5. Tutup api.
6. Masukkan sayur ke dalam mangkuk. Taburkan ikan kurau kering yang telah ditumbuk hancur.
7. Sedia untuk dihidangkan.

Kelmarin sudah masak Asam Pedas Ikan Kembung. Petang tadi masak resepi yang sama cuma masukkan ikan yang berbeza. Apa pun, bagi Amie, makan asam pedas hari-hari pun tak apa sebab kami suka!


Kali ini Amie masak Asam Pedas Ikan Pari dengan terung pula. Minta maaflah kawan-kawanku sayang.... tak dapat nak jemput makan sama sebab semua sudah licin! Yang tinggal hanyalah mangkuk kosong, itu pun sudah dicuci dan sudah disusun di atas rak! Lain kalilah ye......

Ahad, 22 April 2012

Apam Pisang Mentega

Salam petang Ahad. Jom makan Apam Pisang Mentega. Sebenarnya, asas daripada Apam Mentega Gula Hangus tetapi ditambah sedikit pisang lenyek disebabkan rasa sayang melihat 3 sikat pisang terbiar lebam tak terusik.  


Resepi asal boleh lihat DI SINI dan  juga DI SINI. Amie bubuh 1 cawan pisang lenyek. Tak tahu apa nama pisangnya tapi bila dilenyek terus hancur lunyai tak ada urat. Lepas itu, Amie masukkan sekali dalam mixer bersama adunan gula dan telur. Itulah sebabnya rupa Apam Pisang Mentega kelihatan licin semacam! Rasanya pun kira boleh diterima oleh kami sekeluarga dan dinikmati bersama minuman panas di petang yang dingin ini kerana hujan sepanjang hari.


Selamat malam rakan-rakan pengunjung tersayang. Jumpa lagi!

Hidangan Tengahari : Menu Kampung

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Hari ini tidak ada resepi, hanya menu tengahari sahaja yang Amie paparkan kerana semuanya merupakan menu ulangan walaupun hasil masakan pada hari ini. Encik Suami membawa pulang ikan kembung yang masih segar dari pasar. Tentulah rasanya jauh lebih sedap dan manis dari ikan yang terperam dalam peti sejuk. Amie sediakan Asam Pedas Ikan Kembung, Sayur Pucuk Paku Tumis dan sekali lagi Amie buat otak-otak tetapi hari ini Amie gunakan ikan kembung jadi namanya pun berubah kepada Otak-Otak Ikan Kembung.


Untuk resepi Asam Pedas Ikan (tidak kiralah ikan apa) bolehlah klik  Ikan Parang Asam Pedas DI SINI Bolu@Milkfish Asam Pedas Di SINI,  Ikan Pari Asam PedasDI SINI, dan DI SINI, juga DI SINI dan banyak lagi.


Sayur Pucuk Paku Tumis tentu semua orang pandai masak. Masukkan sajalah apa benda pun sebagai bahan campuran, tidak kiralah ikan bilis ke, udang kering ke, udang basah ke, daging ke, ikut cita rasa masing-masinglah.



Otak-Otak Ikan Kembung ini Amie sediakan setelah rasa tidak puas makan Otak-Otak Ikan Tenggiri yang dibuat beberapa hari lepas. Kali ini Amie buat lebih sedikit, dan memanglah puas makan sebab Amie ratah-ratah sahaja. Pada Amie, secara jujurnya Otak-Otak Ikan Kembung lebih sedap berbanding rasa ikan tenggiri. Mungkin disebabkan daging ikan tenggiri yang agak tawar berbanding isi ikan kembung. Apa pun semua otak-otak memang sedap, cuma terpulang kepada kehendak masing-masing untuk membuat pilihan. Disebabkan suka makan otak-otak, Amie pun tidaklah terasa sukar untuk menyediakannya! Boleh klik resepi Otak-Otak Ikan DI SINI.

Selamat berhujung minggu. Jumpa lagi!

Sabtu, 21 April 2012

Ubi Rebus Sambal Tumis Ikan Bilis Daun Pandan

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang budiman. Buat teman-teman yang berasal dari kampung dan biasa makan hidangan berasaskan ubi, dipersilakan mencicipi minuman petang bersama Amie. Hari ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa kerana menggantikan hari cuti ganti untuk perayaan Hari Raya Aidil Adha. Amie perlu turun padang pada malam ini untuk meninjau pelaksanaan Program Pemantapan Aqidah dan Sahsiah Pelajar yang diadakan di sebuah kawasan  nun jauh 40 km dari sekolah kami. Jadi, dapur Amie terpadamlah asapnya buat seketika kerana program ini dijalankan selama 3 hari mulai kelmarin, hari ini sehingga esok. Encik Suami pula mengiringi rombongan perkahwinan bersama anak bongsu dan sudah kekenyangan menjamu selera di rumah pengantin.  Jom minum sekali, ubi rebus dan air minuman pun hampir sejuk di bawah ini. Amie sertakan sekali resepi Sambal Tumis Ikan Bilis Daun Pandan, walaupun sangat mudah tapi mungkin boleh jadi rujukan buat adik-adik yang baru mula belajar masak.


Resepi : Ubi Rebus Sambal Tumis Ikan Bilis Daun Pandan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 biji ubi kayu - kupas kulit dan belah 4
1 cawan ikan bilis
1 labu bawang besar - mayang
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 helai daun pandan - siat-siat
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm belacan

Cara:
1. Rebus ubi hingga empuk dengan sedikit garam. Toskan hingga kering.
2. Panaskan sedikit minyak. Masukkan daun pandan dan tumis semua bahan kisar hingga wangi.
3. Masukkan air bancuhan pati asam jawa dan biarkan mendidih seketika.
4. Masukkan ikan bilis dan gaul rata. Perlahankan api dan biarkan sambal sehingga pecah minyak.
5. Masukkan garam, gula dan perasa pilihan secukupnya.
6. Keluarkan daun pandan.
7. Tutup api dan boleh dihidangkan.


Sila layan diri ye... tuan dapur dah nak keluar ni. Amie hanya sediakan nescafe panas sahaja. Kalau tak boleh minum nescafe, carilah sendiri minuman lain di dapur Amie. Air panas ada, air sejuk pun ada. Pandai-pandailah bawa diri. Yang tak pandai makan ubi rebus, mungkin ada hidangan lain yang boleh dimakan .... buka sajalah tudung saji di sebelah tu. Yang sedang menjamu selera dengan ubi rebus, ingat-ingat ye... kalau perut kembung Amie tak bertanggungjawab! Ha ha hahhhaaa......

Jumaat, 20 April 2012

Otak-Otak Ikan

Bertemu kembali malam ini dengan menu Otak-Otak Ikan. Resepi Otak-Otak Ikan ini Amie oleh sendiri dengan sedikit pengetahuan asas bahawa bahan yang perlu ada sudah semestinya isi ikan, pati santan, telur, sedikit tepung dan juga ramuan sampingan yang lain termasuk bawang dan sebagainya. Tapi untuk Otak-Otak Ikan Amie kali ini, Amie tidak bubuh telur. Selain dipanggang, otak-otak juga boleh dikukus. Lain padang lain belalangnya, lain orang lain cita rasanya. Bagi Amie, Otak-Otak Ikan yang Amie sediakan hari ini dapat memenuhi selera Amie dan juga Encik Suami. Anak-anak tentulah memilih lauk kegemaran mereka tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat pendedahan adanya pelbagai menu dan hidangan dalam masakan. Jadi, untuk memenuhi selera kami berdua, Amie tidak menyediakan bahan resepi Otak-Otak Ikan dengan kuantiti yang banyak. Cukuplah sekadar memenuhi keinginan sahaja. Simpan lama-lama pun tentu rasanya kurang segar. Lagipun cara penyediaannya tidaklah sesukar mana. Otak-Otak Ikan ini sedap dimakan begitu saja!


Resepi : Otak-Otak Ikan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cawan isi ikan tenggiri kisar - apa-apa ikan pun boleh
1/2 cawan pati santan
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 sudu tepung jagung
garam / gula / perasa
daun pisang - layurkan
  lidi penyemat secukupnya

Bahan kisar:
2 biji cili kering
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 batang serai - ambil isinya yang putih sahaja
1 cm lengkuas

Cara:
1. Satukan kesemua bahan di atas kecuali daun pisang dan lidi penyemat di dalam mangkuk.
2. Gaul hingga sebati dan bungkus di dalam daun pisang - ketebalan isi ikut cita rasa masing-masing - Amie bubuh nipis-nipis supaya cepat masak ketika dipanggang.
3. Sematkan lidi di bahagian atas dan bawah bungkusan daun pisang.
4. Panggang hingga masak - Amie panggang dalam oven.
5. Enak dimakan ketika masih panas.



Seronoknya kalau dapat bersama keluarga di kampung, buat otak-otak ramai-ramai sambil sembang-sembang, lepas tu panggang atas bara. Sambil memanggang sambil makan otak-otak. Selesai memanggang, otak-otak pun habis masuk perut!

Khamis, 19 April 2012

Ayam Begana

Petang tadi Amie sempat masak Ayam Begana untuk keluarga sebagai hidangan makan malam. Walaupun hasil kejadiannya tidak sepertinya (masakan orang Melayu Cocos), tetapi sekurang-kurangnya anak-anak dan Encik Suami dapat juga merasa hasil air tangan Amie. Ayam Begana merupakan salah satu  resepi masakan masyarakat Melayu Cocos, dan resepi ini Amie perolehi daripada rakan sekerja pada tahun lepas walaupun sebenarnya sudah banyak kali melihat ibu-ibu memasak resepi ini di kampung sewaktu kenduri-kendara. Terima kasih buat Surayati Kadia yang sudi memberikan Amie resepi turun temurun yang dibawa dari Pulau Cocos-Keeling ini. Biasanya Ayam Begana dijadikan lauk istimewa bersama nasi semasa kenduri dan bacaan doa selamat dalam kalangan masyarakat Cocos.  Hasilnya, ia dinamakan Nasi Begana yang akan Amie tunjukkan di bawah. Sepinggan Nasi Begana akan dibawa pulang oleh tetamu lelaki yang menghadiri majlis tersebut. Tradisi ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. 



Resepi: Ayam Begana
Sumber : Surayaati Kadia (Kampung Cocos, Lahad Datu, Sabah.)

Bahan-bahan:
500 gram daging ayam - potong ikut suka
3 biji bawang putih - tumbuk / kisar
5 biji bawang merah - tumbuk / kisar
1 labu bawang besar - tumbuk / kisar
1/2 cawan serbuk kari
1 sudu serbuk ketumbar
1/2 cawan cili kisar
2 batang serai
2 cawan kelapa parut
jus limau nipis / air asam jawa
minyak
1 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Gaul ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Perap seketika kemudian goreng setengah masak.
2. Sementara itu satukan serai bersama kelapa parut untuk disangai dan kemudian kisar / tumbuk menjadi kerisik.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, bawang besar, serbuk ketumbar, dan cili kisar serta serbuk kari hingga naik bau.
4. Masukkan daging ayam yang telah digoreng tadi.
5. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga daging ayam menjadi empuk.
6. Masukkan bahan-bahan perasa bersama dengan jus limau nipis / air asam jawa.
7. Masukkan kerisik dan biarkan seketika sehingga agak kering.
8. Tutup api dan hidangkan.


Inilah contoh Nasi Begana yang Amie sebutkan di atas. Di atas sepinggan nasi kukus, diletak daun pisang sebagai alas dan dibubuh seketul Ayam Begana bersaiz besar. Nampaknya Amie belum begitu mahir untuk menghasilkan Ayam Begana, tetapi sekurang-kurangnya Amie sudah mencuba resepi yang selalu dimasak oleh MIL. Semoga resepi ini akan menjadi tatapan anak-anak kami pada masa akan datang agar mereka mengetahui adanya resepi-resepi yang unik dari sebelah ayah mereka yang diturunkan secara warisan oleh nenek moyang dari Pulau Cocos.