Sabtu, 31 Mac 2012

Ayam Goreng Salut, Kacang Panjang Lemak Cili Padi Dengan Keledek & Kerabu Mangga

Selamat berhujung minggu kepada semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Oleh kerana hari ini Amie di rumah, jadi sempatlah Amie sediakan hidangan tengahari untuk keluarga walaupun agak lewat menikmatinya kerana hampir pukul 2.30 petang Encik Suami dan anak-anak sampai ke rumah. Seronok rasanya dapat menyediakan menu kegemaran anak-anak terutamanya Ayam Goreng Salut dan juga Kerabu Mangga kegemaran Encik Suami. Amie gunakan mangga udang yang dipetik di belakang rumah. Sayurnya pula Amie masak Kacang Panjang Lemak Cili Padi Dengan Keledek. Keledek yang Amie gunakan sebenarnya keledek yang bonda bekalkan semasa kami balik Selangor 2 minggu lepas. Jadi, hari ini Amie pun menghabiskan sedikit masa dengan masak sesuka hati dan sesedap rasa di dapur ikut resepi sendiri..... cooking with my heart and soul!


Resepi: Ayam Goreng Salut
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
8 keping sayap ayam - potong 2
3 cawan cebisan roti   - breadcrumbs original - Amie gunakan Breadcrumbs Tastie
3 biji bawang putih - tumbuk
2cm halia - tumbuk
2 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu teh serbuk ENO
1/2 cawan susu segar
1 biji telur
garam & gula secukup rasa / serbuk perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Gaul sayap ayam bersama halia, bawang putih, serbuk kari, serbuk ENO, garam, gula hingga mesra.
2. Masukkan susu segar telur, tepung jagung dan tepung gandum. Gaul lagi hingga sebati. Perap seketika.
3. Salut sayap ayam perap tadi dengan Breadcrumbs Tastie.
4. Goreng dengan minyak yang banyak supaya tenggelam.
5. Apabila sudah kuning keemasan, angkat dan toskan.



Resepi: Kacang Panjang Lemak Cili Padi Dengan Keledek
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 batang kacang panjang - potong serong
2 biji keledek - potong dadu
10 ekor udang kertas
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
2 biji bawang putih - tumbuk kasar
3 biji bawang merah - tumbuk kasar
7 biji cili padi - tumbuk kasar
sedikit belacan - tumbuk
1 batang serai - dititik
1 sudu teh serbuk kunyit
garam / perasa pilihan secukup rasa

Cara:
1. Masukkan 2 cawan santan cair ke dalam periuk. Masukkan kesemua bahan tumbuk, serai dan serbuk kunyit dan keledek dan didihkan.
2. Masukkan udang dan apabila udang bertukar warna, masukkan kacang panjang.
3. Masukkan santan pekat dan kacau supaya tidak pecah santan.
4. Apabila kacang panjang bertukar warna, masukkan garam dan perasa pilihan
5. Kacau sehingga timbul buih-buih kecil di permukaan dan tutup api.



Resepi: Kerabu Mangga
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 mangkuk mangga dicincang panjang
1/2 cawan lobak merah dihiris panjang
1 kuntum bunga kantan - hiris halus
1 labu bawang besar - mayang halus
7 biji cili padi - hiris halus
2 biji cili hijau - hiris
5 sudu besar kerisik
1/2 cawan udang kering - tumbuk halus
1 sudu sos ikan
2 sudu minyak zaitun
2 biji limau kasturi - ambil jusnya

Cara:
1. Campur kesemua bahan hirisan dan bahan tumbuk ke dalam mangkuk besar.
2. Tuangkan sos ikan, minyak zaitun, dan jus limau kasturi. Gaul rata.
3. Masukkan udang kering dan kerisik. Gaul hingga sebati.
4. Sedia untuk dihidangkan.

Wokey.... selamat menjamu mata!


Kuey Teow Sup

Salam pagi Sabtu. Di Lahad Datu cuaca cerah, walaupun sekarang baru bukul 7.40 pagi tapi matahari sudah memancar terang. Pagi ini Amie bangun awal, tapi duduk di rumah bersama si bongsu. Encik Suami bersama si abang sulung dan abang tengah sudah berangkat ke sekolah seawal pukul 6 pagi kerana ada aktiviti kokurikulum. Tinggallah Amie melayan si bongsu yang katanya lapar di pagi buta. Oleh kerana hanya ada dua mulut sahaja yang hendak diisi pada pagi ini, Amie sediakan sahaja hidangan yang mudah dan ringkas. 






Resepi: Kuey Teow Sup
Sumber: Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
2 cawan kuey teow - bilas dan toskan
6 ekor udang kertas - buang kulit dan belah belakang
10 biji bebola daging 
1 rumpun sayur sawi - potong - potong
3 batang anak jagung - belah 2 dan potong 2
1/4 batang lobak merah - hiris nipis
2cm halia - hiris nipis
2 ulas bawang putih - pecahkan
1/2 labu bawang besar - mayang
1/2 sudu teh ada putih - tumbuk
1 sudu serbuk pati ayam maggie
3 cawan air


Cara:
1. Didihkan air dan masukkan haia, bawang putih, bawang besar, bebola daging, udang dan lobak merah. Biarkan seketika.
2. Masukkan sayur sawi, anak jagung, kuey teow, lada putih dan serbuk pati ayam maggie. Jangan biarkan terlalu lama. Setelah mendidih kembali dan sayur sawi berubah warna, tutup api.
3. Hidangkan bersama taburan daun sup.
4. Jika suka bolehlah makan bersama lada kicap.


Senang bukan? Pagi ini terasa macam hidup orang bujang aje...






Jumaat, 30 Mac 2012

French Loaf & Lamb Curry

Salam petang Jumaat. Amie sudah hidangkan roti perancis dengan kambing bebiri masak kari di dapur. Nampaknya hidangan petang ini hanya Amie seorang yang makan. Sewaktu Amie ambil si bongsu dari sekolah kerana selepas mengikuti aktiviti kokurikulum, katanya perutnya lapar. Amie cepat-cepat buatkan kambing bebir masak kari sebagai pencicah roti perancis. Sewaktu Amie sedang masak, sempat pula Amie terlihat si bongsu memotong sekeping roti perancis dan dimakan begitu saja. Kemudian Amie nampak dia mengayuh basikal di luar pagar. Oleh kerana Amie buka pintu dapur, sempat juga Amie jeling-jeling ke luar melihat gelagatnya. Risau juga di hati mendengar pelbagai kes tentang kehilangan kanak-kanak kebelakangan ini. Amie pun panggil si bongsu masuk ke rumah. Setelah siap masak, Amie pun hidangkan atas meja. Macam sunyi sepi saja keadaan rumah. Yang sulung memang keletihan dan sedang tidur dalam biliknya. Amie panggil si bongsu.... Manja ooo Manja! Tidak ada jawapan. Bila Amie ke ruang tamu, kelihatanlah si bongsu terbongkang  tidur depan televisyen. Bukan dia menonton televisyen tapi televisyen yang menonton dia. Ada sesiapa nak temankan Amie minum petang? Encik Suami pula pulang lewat senja. Marilah kita menjamu selera. Nanti kalau kari jadi sejuk, tak sedap pula.


Jemput minum petang. 



Lamb Curry yang Amie buat kuahnya pekat. Memang kami suka kuah kari yang pekat, sedap cicah dengan roti yang liat-liat sikit macam roti perancis. Kalau rajin, pangganglah dulu roti. 

Resepi: French Loaf & Lamb Curry
Sumber : Amie's Little Kitchen

French Loaf - beli di kedai

Lamb Curry
Bahan-bahan:
600 gram kepingan kambing biri-biri muda (potong ikut suka)
5 biji kentang (buang kulit dan belah 2)
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat.
3 biji bawang putih (cincang)
1 labu bawang besar (cincang)
3cm halia muda (cincang)
4 biji tomato (potong dadu)
4 sudu besar lada kisar
3 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
1 sudu biji sawi
50 gram serbuk kari daging
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan sedikit santan cair)
beberapa helai daun kari
garam & gula @ perasa
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis halia, bawang putih dan bawang merah serta kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan lada kisar serta tomato. Tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan daun kari dan serbuk kari diikuti dengan bancuhan air asam jawa..
4. Masukkan kambing dan tumis sehingga daging menjadi layu.
4. Masukkan kentang dan santan cair. Masak sehingga kentang hampir empuk.
5. Masukkan santan pekat diikuti dengan garam dan perasa.
6. Biarkan kari kambing masak dengan sempurna dan tutup api setelah kentang & kambing empuk. (Biasanya kambing biri-biri tidak perlu mengambil masa yang lama untuk lembut)
7. Sedia untuk dihidangkan bersama roti perancis.


Khamis, 29 Mac 2012

Kuey Teow Goreng Seafood

Salam petang Khamis. Jemput minum petang merangkap makan malam bersama. Amie masak Kuey Teow Goreng Seafood untuk keluarga. Oleh kerana kuantitinya agak banyak jadi Amie tidak masak nasi tapi tak tahulah kalau malam nanti ada bunyi perut berkeroncong! Di luar hujan, terasa sejuknya. Beberapa hari kebelakangan ini awan mendung warna kelabu gelap tapi hujannya renyai-renyai tak berhenti. Dalam keadaan begini bertambah sedaplah makan Kuey Teow Goreng Seafood dengan air teh bujang panas.



Resepi: Kuey Teow Goreng
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg kuey teow - bilas dan toskan
15 ekor udang kertas 
2 keping kek ikan - belah 2 dan potong nipis
15 biji bebola ketam - belah 2
20 batang pokok kucai - potong 4cm panjang
1/2 batang lobak merah - hiris kecil
1/3 kobis - hiris kecil
8 batang anak jagung - belah 2 & potong 2
1 cawan taugeh
3 biji cili merah - hiris nipis
1 sudu sos tiram
1 sudu sos tomato
3 sudu kicap pekat manis
1 sudu besar serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan kisar:
5 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak. Masukkan bahan kisar dah tumis hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang, bebola ketam dan kek ikan. Gaul rata.
3. Masukkan lobak merah dan biarkan seketika.
4. Masukkan kobis dan gaul lagi.
5. Masukkan sos tiram, sos tomato dan kicap manis. Kacau sebati.
6. Masukkan anak jagung dan cili merah.
7. Masukkan kuey teow. Kacau lagi.
8. Masukkan taugeh dan daun kucai serta serbuk pati ikan bilis. Kacau rata.
9.Kuey Teow Seafood sedia untuk dihidangkan.

Ada yang kurang.... cili jeruk! Makan sajalah labuuuu....

Rabu, 28 Mac 2012

Nasi Kerabu

Selamat petang semua. Beberapa hari lepas Amie berkunjung ke Bangkok, Thailand dan sempat singgah ke dapur Ika. Rasa tak mahu pulang sebab tertegun duduk mengadap Nasi Kerabu di dapurnya. Sayangnya berapa lama pun kita menunggu duduk bertapa di situ sampai meleleh air liur semangkuk pun,  kita tak dapat rasa walau sebiji nasi kerabunya yang sangat sedap itu! Amie jemput kepada peminat Nasi Kerabu untuk sama-sama cicipi sepinggan seorang di bawah ini. Sebelum itu, Amie nak seru nama Ika supaya datang sama menjamu selera di sini. Agak-agak dengar tak dia......Oooo....  Ika sayangggg.... Ika.... Apa pun kita tak boleh tunggu lama-lama sebab tempat Ika bukannya dekat. Nak datang ke Lahad Datu kena banyak kali naik turun kapal terbang tapi kalau ikut laut tak pasti pula Ika boleh berenang menyeberangi Laut China Selatan macam Ucu Faridah dengan Wattie Penang.  Lagi pun Ika sudah puas makan Nasi Kerabu di sana ha ha ha haa.... sorry ye Dik Ika, Kak Amie bergurau. Minta izin dan minta halal resepi Nasi Kerabu Ikan  yang Kak Amie bawa angkut ke Amie's Little Kitchen dan kepada sesiapa yang berminat sila  KLIK DI SINI untuk mengetahui resepi tersebut.


Amie memang sudah beberapa kali pesan kepada Encik Suami supaya ambil bunga telang di rumah kawannya untuk warna nasi kerabu, tapi nampaknya si dia asyik terlupa. Akhirnya jadilah nasi warna kuning saja. Solok lada yang Amie teringin sangat makan itu pun jadinya warna merah, sebab sudah berkeliling gerai di pasar semua ladanya warna merah, tak jumpa warna hijau. Amie telefon Encik Suami supaya dalam perjalanan pulang dari kerja untuk singgah di pasar dan carikan lada hijau. Sampai rumah, yang dibelinya cili merah! Katanya cili hijau tidak ada walaupun merata gerai sudah dikunjunginya. Agaknya memang hari ini pasar di Lahad Datu kehabisan cili hijau! Bukan apa, buat solok lada guna lada hijau lebih sedap, lebih rangup! Tak apalah, memandangkan inti solok lada sudah disediakan, sumbat sahajalah ke dalam cili merah!



Resepi: Nasi Kerabu
Sumber: Ika, Kak Yani MYR & Kak Sofea

Nasi 
Bahan-bahan:
4 cawan beras
1 sudu kecil garam
4 1/2 cawan air - macam masak nasi biasa.. nak lembik/keras kena tambah/kurangkan air
2-3 titik pewarna kuning >>yg ni guna 10 kuntum bunga talang, tumbuk, campur dgn air n tapis - Amie gunakan pewarna kuning
2-3 helai daun limau purut(optional)
1 btg serai-diketuk(optional)- saya tak letak sebab tak suka. >>yg ni kita letak - Amie tak letak

Sambal Tumis
Bahan-bahan:
5-10 biji lada kering
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1cm halia
1cm kunyit / 1 sk serbuk kunyit
200ml / 1/2 tin santan pekat
2 btg serai
2 keping asam gelugur
2 sudu besar budu / 3 sudu besar sos ikan
garam dan gula melaka

Sambal Ikan
Bahan-bahan:
1 ekor ikan kembung- saiz besar
1 cawan kelapa kering/ kelapa parut
2 ulas bawang putih
1/3 biji bawang besar (4-5 biji bawang merah)
1 batang serai
1cm halia

Solok Lada
Bahan-bahan:
10 biji lada hijau - potong jgn putus n buang biji - Amie tiada lada hijau, guna lada merah
1/2 biji kelapa parut putih
4 ulas bawang merah
1.5 cm halia
sedikit lada hitam
2-3 ekor ikan kembung - ambil isi sahaja
sedikit garam,gula dan perasa
Sedikit putih telor>>yg ni kita tambah


Kerabu
Bahan-bahan:
kubis 
timun 
taugeh
daun kesum
bunga Kantan

Bahan-bahan pilihan
solok lada
telur asin
bawang jeruk
ayam goreng kunyit
sambal belacan
Daging Panggang
Ikan Goreng Tepung




Cara-cara :

## Sediakan sambal tumis ## 

Blend lada kering, bawang, kunyit dan halia sehingga lumat. 
Panaskan minyak(kena banyak siket), tumis semua bahan blend dan bhn2 lain tadi sehingga pecah minyak.

## Masak nasi ## 

Cucikan beras dan masukkan semua bahan utk masak nasi yang lain. Masaklah seperti masak nasi biasa. Air bergantung dengan beras yg digunakan.

## Cara sedia sambal kelapa ikan ## 

Bersih ikan dan bakar. Sementara tu bolehlah goreng kelapa 
Goreng kelapa tanpa minyak dengan api kecil sehingga jadi perang. Kalau kelapa parut ni kasar, bolehlah ditumbuk sekejap ketika kelapa masih panas-panas. 
Asingkan isi ikan dengan tulang. Tumbuk isi ikan untuk kelihatan halus. 
Tumbuk pula bawang dan serai, sehingga lumat. Kalau guna food processor masukkan bawang dan isi ikan sekali gus ke dalam food processor . 
Campur sekali ikan dan bawang, goreng tanpa minyak sehingga agak garing. 
Campurkan ikan dengan kelapa goreng tadi. Masukkan garam dan gula. Gaul hingga sebati. 

##Cara sediakan solok lada##

Tumbuk bawang,lada itam dan halia hingga lumat dan masukkan garam,gula dan isi ikan.
> tumbuk lagik hingga lumat.
> campurkan ngan kelapa parut dan sebatikan.
> sumbatkan ke dalam lada hijau. susun ke dalam periuk kukus.
> kukus hingga masak. * Akak rebus dgn santan.>>kita pun rebus dgn santan :-) -Amie kukus

@@ Kerabu @@ 
Hiris semua sayur dan gaul ratakan. 
Bila nak makan tu, ambik sikit semua bahan dan letak ke dalam nasi. Boleh juga dimakan dengan bahan lain tu.. lagi sedap 

Terima kasih Ika..... jom kawan-kawan tersayang yang sedang menunggu ,  kita makan dulu ye! Bismillah....



Selasa, 27 Mac 2012

Ikan Patin Goreng Berempah

Biasanya kalau ikan patin orang suka masak lemak cili padi dengan tempoyak atau masak asam pedas. Jarang pula terdengar ikan patin goreng. Selama ini Amie pun tidak pernah buat tapi hari ini Amie goreng ikan patin. Dua hari lepas Encik Suami bawa pulang ikan patin yang siap dipotong dan dibersihkan. Siapa lagi kalau bukan kakak ipar kesayangan kami yang beri. Amie teringat seorang rakan baik Amie yang sekarang mengusahakan restoran masakan kampung di Pelabuhan Kelang. Tahun lepas, kami sempat berbual-bual tentang pelbagai resepi dan bila Amie sebut tentang ikan patin, dia mencadangkan Amie goreng dengan memerap terlebih dahulu dengan beberapa jenis bahan. Amie sebenarnya sudah terlupa bahan yang disebutkannya kecuali halia dengan serai. Petang tadi Amie cuba idea untuk menggoreng ikan patin mengikut resepi tersendiri dan ternyata hasilnya disukai oleh Encik Suami dan anak-anak. Buat rakan baik Amie, Raja Halizah Raja Ali, terima kasih memberi cadangan untuk goreng ikan patin walaupun Amie sudah terlupa apa bahan yang sepatutnya digunakan sebagai pemerap. Semoga perniagaan restorannya bertambah maju dan bolehlah kongsi resepinya yang lain pula.



Resepi: Ikan Patin Goreng Berempah
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan patin - bersihkan, belah 2 dan potong ikut citarasa
1 sudu teh pati asam jawa
1 sudu teh serbuk kunyit
garam & perasa pilihan
minyak

Bahan kisar untuk memerap:
2 biji cili merah
5 batang serai
3cm halia
3 biji bawang putih
1 labu bawang besar
1 sudu teh lada hitam
1 sudu bteh ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Perap ikan patin bersama bahan pemerap, pati asam jawa, garam dan kunyit selama 15 minit.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.
3. Angkat dan toskan minyaknya.
4. Sedia untuk dihidangkan.



Amacam? Ada berani? Boleh cuba..... jangan takut!


Isnin, 26 Mac 2012

Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang

Salam petang Isnin. Sesiapa yang datang ke Amie's Little Kitchen malam ini Amie hidangkan Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang. Sekiranya rakan-rakan pengunjung ingin menambah kosa kata atau perbendaharaan kata mengenai nama-nama ikan, Amie perkenalkan sejenis ikan yang memang ada dijual setiap hari di mana-mana pasar di tempat Amie atau pun di tempat rakan-rakan. Ada setengah tempat menamakannya sebagai ikang belaling. Ayahanda Amie memanggilnya ikan termenung. Tapi kebanyakan orang memanggilnya sebagai ikan kembung! Masyarakat di sini memanggilnya dengan nama ikan lumahan. Idea untuk membuat Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang muncul selepas berkunjung ke dapur sifu Che Mat Gebu kita. Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah klik terus ke  Ikan Kembong Sumbat Kelapa - Dapur Tanpa Sempadan untuk melihat hasil air tangan beliau. Kelmarin Amie sengaja menyimpan sedikit Serunding Udang untuk disumbatkan ke dalam perut ikan lumahan. Pelik ke bunyinya..... sumbat perut ikan dengan serunding udang? Apa pun, kita lihat sahaja hasilnya seperti di bawah ini.


Amie hanya sediakan 2 ekor ikan lumahan sahaja untuk resepi kali ini.  Selepas di bersihkan, Amie pun sumbat penuh-penuh perut ikan lumahan sampai kembung. Kemudian Amie panggang di dalam kuali non-stick dengan daun pisang sebagai alas. Untuk inti ikan sumbat ini bolehlah lihat entri  Amie yang lepas di SINI. Bagaimanapun Amie salin di bawah ini untuk tatapan bersama.

Resepi: Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 ekor ikan lumahan  seberat 550 gram - bersihkan dan belah bahagian belakang
garam dan kunyit secukupnya untuk melumur bahagian luar ikan lumahan
sehelai daun pisang - Amie suka jadikan alas ikan panggang untuk mendapatkan aroma daunnya

Bahan untuk Serunding Udang:
1 cawan udang basah - cincang
1 sudu serbuk kunyit
1 sudu teh pati asam jawa
garam & gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar :
1 biji kelapa parut
10 biji cili kering
1 cawan udang basah
1 cawan udang kering
5 biji bawang putih
2 labu bawang besar
7 batang serai
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
3cm halia

P/S: Sukatan yang digunakan untuk Serunding Udang di atas Amie gunakan untuk hidangan bersama pulut. Amie hanya gunakan 1 mangkuk kecil untuk menyumbat perut ikan lumahan.

Cara:
1. Masukkan Serunding Udang ke dalam perut ikan lumahan.
2. Panggang Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang di dalam kuali non stick dengan alas daun pisang.
3. Jangan panggang terlalu lama kerana ikan akan menjadi keras dan hilang rasa manisnya.

P/S: Biasanya kalau Amie panggang ikan, Amie lihat kalau mata ikan sudah putih tersembul, isi ikan pun masak.




Ikan Lumahan Sumbat Serunding Udang dihidangkan bersama Sayur Pucuk Paku Masak Lemak. Apalagi... jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama ..... tak dapat bahagian! Ha ha hahh....

Ahad, 25 Mac 2012

Pulut Serunding Udang

Jom makan Pulut Serunding Udang. Biasanya kalau orang rajin boleh dijadikan pulut panggang tapi ini hasil kerja tangan orang nak cepat siap dan terus masuk mulut. Cara menyediakannya pun cepat dan mudah. Amie tidak rendam semalaman beras pulut seperti kebiasaannya. Oleh kerana hendak dimakan segera, jadi Amie masak dengan santan sehingga beras pulut kembang dan kukus sehingga masak. Serundingnya pula tidak juga Amie masak sehingga kering, sebab kami lebih suka yang basah lembap. Lagipun, belum sempat untuk mengeringkannya di kuali, bujang-bujang sudah beratur dengan piring sebab tak tahan menanggung aroma serunding yang sangat sedap!


Resepi: Pulut Serunding Udang
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg beras pulut - cuci dan toskan
1 liter santan daripada 1 biji kelapa
1 sudu garam

Bahan untuk Serunding Udang:
1 cawan udang basah - cincang
1 sudu serbuk kunyit
1 sudu teh pati asam jawa
garam & gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar :
1 biji kelapa parut
10 biji cili kering
1 cawan udang basah
1 cawan udang kering
5 biji bawang putih
2 labu bawang besar
7 batang serai
1 sudu teh ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
3cm halia

Cara:
1. Didihkan beras pulut bersama santan dan garam sehingga kering dan kembang. Kemudian pindahkan ke dalam periuk pengukus. Kukus sehingga masa.
 2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar kecuali kelapa sehingga naik bau.
3. Masukkan serbuk kunyit,  kelapa kisar, asam jawa dan gaul sebati. Kacau selalu supaya tidak melekat di lantai kuali.
4. Apabila serunding hampir kering, masukkan udang cincang dan gaul sebati.
5. Kacau lagi untuk beberapa ketika dan tutup api.
6. Sedia untuk dihidangkan bersama pulut kukus.



Kenyang.... alhamdulillah!

Nasi Goreng Boeing 737 MH2605

Salam pagi Ahad dan selamat berhujung minggu. Anda sedang bersantai-santai? Rasanya walaupun namanya hujung minggu, hari untuk beristirehat tetapi biasanya hari begini merupakan hari yang paling sibuk dengan pelbagai perkara dan urusan rumah tangga yang ingin dibereskan. Apa pun, jangan lupa alas perut sebelum memulakan operasi pembersihan segala ceruk dapur, setiap penjuru ruang tamu, bilik air, bilik tidur, perpustakaan kecil,  tempat letak kereta, taman, kolam ikan, longkang dan sebagainya. Pagi ini Amie hidangkan nasi goreng untuk sekeluarga. Idea menyediakan nasi goreng ini bermula apabila mendengar rungutan anak-anak sewaktu menaiki pesawat dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur tempohari. Hidangan yang mereka pilih ialah Nasi Goreng dengan Ayam Masak Halia. Memanglah kuantitinya sedikit, sekadar alas perut, tapi faham-faham sahajalah mulut anak-anak. Sedap tapi sikitlah, bolehkah saya minta lagi? Adeehhh.... itu bisikan anak bongsu kami waktu itu. Maka, ibu yang pengasih dan penyayang ini pun berjanji dalam hati, akan masakkan menu yang sama apabila sampai ke kampung. Malangnya, sampai di kampung, tak sempat pula untuk menyiapkan menu yang serupa. Alhamdulillah, setelah sihat walafiat, pagi ini Amie hidangkan sarapan pagi idaman anak-anak.



Menunya sebenarnya ringkas sahaja walaupun waktu itu Amie pilih hidangan roti jala dengan kari ayam, tapi sempat jeling-jeling hidangan si bongsu yang duduk di sebelah kanan dan Encik Suami di sebelah kiri. Nasi gorengnya hanya dicampur dengan jagung, beberapa ketul ayam masak halia  tanpa tulang dan yang menariknya disertakan sayur kacang buncis dan hirisan lobak celur. Malam tadi sempat selak-selak resepi dan terjumpalah resepi Ayam Masak Halia dalam Majalah RASA keluaran Februari 2011. Jom kita lihat resepinya di bawah.

Resepi: Ayam Masak Halia
Sumber: Majalah RASA Februari 2011

Bahan-bahan:
500 gram ayam - dipotong kecil - Amie asingkan tulang
3 batang daun bawang - hiris -  Amie lupa bubuh
3 ulas bawang putih - hiris
3 inci halia tua - hiris
2 sudu makan kicap manis - Amie tambah sedikit sos tiram
250ml air
garam secukup rasa 
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih bersama halia sehingga kekuningan.
2. Masukkan ayam, kicap manis / sos tiram,  air dan garam.
3. Kacau rata dan didihkan sehingga kuahnya menjadi kering.
4. Masukkan daun bawang dan sebatikan.
5. Sedia untuk dihidang.

Tulang ayam yang Amie asingkan tadi Amie jadikan sup. Amie tambah sedikit lobak merah, kentang dan juga white fungus. Kalau rakan-rakan ingin tahu, di Sabah biasanya setiap hidangan akan disertai dengan sup. Tidak kiralah kita makan nasi campur, nasi goreng, nasi kuning atau mee goreng. Itulah salah satu keistimewaannya di sini! Mesti disediakan sup! Bukan sup seperti yang Amie hidangkan di bawah ini, tetapi sup kosong (tulang, ayam, ikan dsb) yang ditaburi dengan daun sup dan bawang goreng.



Sup di atas ini merupakan sup kegemaran anak-anak.



Inilah rupa Nasi Goreng Boeing 737 MH2605 versi Amie yang merupakan kombinasi Nasi Goreng Dengan Ayam Masak Halia. Apa tunggu lagi.... jomlah makan sama. Kenyangnya sampai ke tengahari.....

Sabtu, 24 Mac 2012

Pegedil Keladi

Salam petang Sabtu. Tentu ramai yang tersandar kekenyangan setelah menikmati hidangan tengahari. Alhamdulillah, hari ini Amie dapat kongsikan bersama resepi tradisional yang diwarisi daripada bonda. Biasanya kita dengar kentang dijadikan bahan asas untuk pegedil, tetapi tidak pelik dan ganjil kalau ada Pegedil Keladi. Kalau balik kampung, memang bonda suka buat Pegedil Keladi sebagai menu sarapan pagi atau boleh juga dijadikan sebagai lauk. Semasa balik kampung minggu lepas, dalam keadaan Amie yang tidak diduga itu, memang kami tidak sempat untuk memikirkan ole-ole yang akan dibawa pulang. Rupanya bonda sudah menyediakan pelbagai ole-ole, termasuk keladi, pisang helang, keledek, keropok dan entah apa lagi. Sayangnya, dalam keadaan Amie sekarang, semua ole-ole itu tidak terusik. Memandangkan keladi bukanlah sejenis bahan makanan yang tahan lama, jadi Amie fikir baiklah dijadikan pegedil yang dicampur dengan pelbagai bahan untuk menarik selera anak-anak seperti yang selalu bonda buat.


Resepi: Pegedil Keladi
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 biji keladi - Amie timbang seberat 700 gram selepas dikupas - potong kecil memanjang
1/2 cawan bawang goreng - merah dan putih
1/2 cawan daun bawang dan daun sup
1/2 cawan udang kering - rendam dan tumbuk kasar
1/2 cawan jagung
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1/2 sudu teh jintan manis - tumbuk kasar
1/2 sudu teh ketumbar biji - tumbuk kasar
1/2 sudu teh jintan putih - tumbuk kasar
1/2 sudu serbuk pati ikan bilis - Amie bubuh sikit saja sebab udang kering memang sudah ada rasa masin.
1 biji telur 
minyak

Cara:
1. Taburkan sedikit garam ke atas keladi dan goreng sehingga masak. Toskan minyaknya.
2. Tumbuk keladi goreng sehingga lumat.
3. Gaul keladi goreng lumat bersama udang kering, bawang goreng, daun bawang, daun sup, jagung dan segala rempah serta serbuk pati ikan bilis sehingga sebati.
4. Buat kepalan bulat dan leperkan menjadi pegedil yang padat sehingga habis.
5. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng sehingga tenggelam.
6. Sementara itu pukul sebiji telur hingga kembang.
7. Celupkan satu persatu pegedil dan goreng sehingga kuning keemasan.
8. Angkat dan toskan minyaknya.



Inilah hasilnya. Menyediakannya pun tidaklah sesukar mana kerana menggunakan bahan-bahan yang memang ada di dapur. Jika suka bolehlah tambah udang basah tapi Amie tidak ada stoknya hari ini. Boleh juga gantikan dengan daging ayam atau daging lembu. Terpulang mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Bezanya, Pegedil Keladi lebih padat berbanding pegedil kentang.


Amacam? Jom kita cicipi sama-sama... seorang ambil 3 ketul saja ye. Tapi kalau nak tambah, boleh saja ambil di bawah ini, asalkan tidak rasa malu.... he he hehhh


Jangan rebut-rebut ye, kena berbaris ikut giliran he he hehh.....

Jumaat, 23 Mac 2012

Bubur Bujang

Salam petang Jumaat. Bubur ini bukan untuk orang bujang tapi Bubur Bujang yang membawa maksud bubur yang ringkas cara penyediaannya. Bolehlah dihidangkan untuk mereka yang kurang selera untuk makan atau yang sedang demam-deman dan rasa seperti akan jatuh sakit.... he he he hehh, dan sesuai juga untuk yang sedang sakit gigi tapi kena keluarkan ikan bilis dengan ayam cariknya dulu!


Resepi: Bubur Bujang 
Sumber: Amie's Little Kitchen


Bahan A (untuk 2-3 kali makan atau 2-3 orang sekali makan)
3/4 cawan beras - cuci dan toskan airnya
3cm halia muda - hiris halus
2 biji bawang putih - hiris halus
1 helai daun pandan - siat-siat
1 ketul pati ayam Maggie
1 bonggol pokok sup - hiris halus
1 sudu teh lada putih - tumbuk
air secukupnya

Bahan B:
1 mangkuk kecil ayam carik - ayam goreng atau ayam rebus
1 mangkuk kecil ikan bilis goreng
hirisan daun sup dan daun bawang
bawang goreng

Cara:
1. Campuran kesemua  Bahan A dan didihkan di atas api kuat sehingga mendidih. Kemudian perlahankan api sehingga bubur masak.
2. Untuk menghidangkannya, bubuh di dalam mangkuk.
3. Taburkan Bahan B.
4. sedia untuk dinikmati.

Memang nampak 'bujang' saja kan? Bujang pun bujanglah, yang penting menu ini menyihatkan dan boleh mengenyangkan!



Mulai esok, habislah masa 'berpantang' makan, tapi memang kena pastikan makan hidangan yang boleh panaskan badan untuk beberapa waktu lagi.