Ahad, 22 Januari 2012

Sambal Bambangan

Salam tengahari Ahad. Pernah makan Sambal Bambangan? Biasanya di tempat Amie, bambangan dibuat jeruk  yang memang menjadi makanan kegemaran masyarakat Kadazan-Dusun. Bagaimanapun  Amie lebih suka mengolahnya menjadi sambal. Isi buah bambangan bersabut apabila sudah cukup tua. Jom kita lihat resepi Sambal Bambangan di bawah ini.


Resepi: Sambal Bambangan
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cawan buah hirisan buah bambangan
7 biji cili padi
1.5cm belacan
1/2 cawan hirisan bawang besar
garam / gula / perasa
1 sudu jus limau kasturi

Cara:
1. Tumbuk kasar cili padi bersama belacan.
2. Masukkan hurusan bambangan dan hirisan bawang besar. Lenyek dengan alu sehingga sebati.
3. Masukkan sedikit garam, gula, serbuk perasa dan jus limau kasturi. Gaul rata.
4. Sambal Bambangan sedia untuk dinikmati.


Amie gandingkan Sambal Bambangan bersama durian merah dan ikan talapia goreng. Durian merah yang rasanya berlemak biasanya dimakan dengan cara menggaulnya bersama nasi panas! Bagi yang suka rasanya, tentulah mereka akan mengatakan sedap dan lazat! Bagi yang tidak pernah mencubanya tentulah akan rasa pelik. Amie tak bolehlah nak kata sedap atau sebaliknya sebab kalau kata sedap, ada yang kata tak sedap, kalau kata tak sedap nanti ada yang kata durian merah ini sedap. Ha.... jadi, kita ikut sunah Nabi Muhamad s.a.w. Diam-diam saja, sebab semuanya ini baik sedap atau sebaliknya, kita suka atau tidak adalah tumbuh-tumbuhan ciptaan Allah s.w.t. Syukur Alhamdulillah, setakat ini lidah dan tekak Amie tidaklah cerewet sangat bab makan sebab yang paling penting ialah halal. Dan satu lagi, Amie ingin simpan resepi ini untuk rujukan keturunan akan datang dan juga kongsi dengan rakan-rakan yang suka menambah informasi.

Sabtu, 21 Januari 2012

Sup Cendawan & The Gang

Salam tengahari Sabtu.  Baru sempat upload gambar sarapan pagi. Bukan apa, talian terlalu lambat, bukan lagi seperti siput mengesot! Tak tahu apa istilah yang sesuai untuk digunakan. Sementara menunggu hidangan tengahari, kita jamu mata dulu dengan menu ringkas, cepat dan mudah yang Amie sediakan di bawah. Bagi yang terlewat bangun, bolehlah ambil sepinggan hidangan ini.


Tidak ada resepi istimewa yang perlu dikongsi di sini. Yang terhidang di atas itu hanyalah Sup Cendawan bersama kepingan roti Gardenia dengan hirisan tomato ceri dan hirisan buah kiwi. Amie kukus sosej dan juga jagung. Jagung yang dikukus itu Amie bubuh mentega. Amie goreng telur burung puyuh untuk melengkapkan hidangan.

Jumaat, 20 Januari 2012

Akar Teratai Goreng

Selamat malam semua. Tentu rakan-rakan sedang santai-santai di depan televisyen sambil melipat kain baju.... ha ha hahahh sensitif benar kalau sebut lipat melipat kain baju! Bukan apa, lipat baju memang rutin yang tak akan berpenghujung. Malas nak cerita! Kita cerita tentang Akar Teratai Goreng yang Amie hidangkan semasa minum petang. Selalunya akar teratai kita gunakan sebagai bahan tambahan dalam masakan sup, tapi Amie cuba goreng pula. Entah tahun bila Amie terpandang sebuah rancangan masakan di kaca televisyen tentang akar teratai yang digoreng. Seingat Amie sebelum digoreng, akar teratai perlu direbus terlebih dahulu. Selebihnya Amie tidak ingat entah tepung apa atau ramuan apa yang digunakan. Amie gunakan Tepung Serba Guna Adabi. Akar teratai kalau dihiris lebih nipis, rasanya makin sedap dan terasa garingnya. Jom makan sama.


Resepi: Akar Teratai Goreng
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 batang akar teratai sepanjang 20cm
1 cawan Tepung Serba Guna Adabi
1 biji telur
minyak

Cara:
1. Kupas akar teratai dan hiris nipis. Rebus sehingga empuk. Toskan.
2. Celup hirisan akar teratai ke dalam telur dan salut dengan Tepung Serba Guna Adabi.
3. Goreng dalam minyak yang panas sehingga bewarna kuning keemasan.
4. Angkat dan toskan.
5. Sedia untuk dihidangkan.


Oleh kerana akar teratai yang Amie beli sudah siap dihiris jadi tidaklah dapat menghasilkan bentuk yang lebih nipis. Bagi Amie lebih nipis hirisannya, rasanya lebih sedap sebab lebih rangup.

Durian Merah, Plum & Kiwi Smoothie

Salam petang Jumaat. Pernah makan durian merah? Pernah nampak durian merah? Pernah dengar nama durian merah? Kalau belum pernah makan durian merah, Amie beritahu rasanya sangat lemak tapi tidak lembik dan semanis seperti durian yang biasa kita makan. Baunya lebih enak dan tidak sekuat  bau durian  biasa! Kalau belum pernah nampak, Amie sertakan sekali gambarnya di bawah, termasuk gambar isi, dan kulitnya sekali. Kalau belum pernah dengar, memang ada durian isinya berwarna merah yang dipanggil durian merah. Harganya? Kalau di Lahad Datu harganya jauh lebih mahal dari harga durian kawin atau durian biasa!Biasanya durian merah dimakan bersama nasi, dan insya-Allah ada kesempatan nanti Amie cuba kongsikan bersama. Petang ini Amie sempat campurkan sedikit durian merah bersama buah plum dan kiwi untuk dijadikan smoothie. Jangan fikirkan apa rasanya sebab kalau sudah dicampur menjadi smoothie, hasil kombinasi buah-buahan bersama susu segar dan yogurt asli serta sedikit gula memang sedap!


Inilah rupa isi durian merah. Cantikkan warnanya! Ada yang suka dan ada yang tidak suka durian merah, dan samalah juga dengan durian yang biasa kita makan tu sampai ada yang hantu durian! 

Resepi: Durian Merah, Plum & Kiwi Smoothie
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 biji buah plum - buang biji dan potong-potong
2 biji buah kiwi - kupas, buang biji dan potong-potong
1/2 cawan isi durian merah
1 sudu jus limau nipis
150ml susu segar
100ml yogurt asli
2 sudu besar gula

Cara:
1. Sejukbekukan buah plum, kiwi dan durian merah selama 4-5 jam.
2. Masukkan buah plum,kiwi, durian merah, jus limau nipis, susu segar, yogurt dan gula ke dalam pengisar.
3. Kisar kesemua bahan sehingga halus.
4. Tuang ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.


Seperti yang Amie janjikan dalam n3  yang lepas, Amie akan kongsikan gambar buah bambangan. Buah warna coklat di atas yang bertenggek atas rambutan kuning itulah buah bambangan. Buah bambangan mempunyai bau yang agak kuat dan rasanya sedikit masam serta bersabut seperti buah bacang. Kulitnya agak keras dan tebal. Biasanya buah bambangan dijadikan jeruk dan dimakan bersama nasi. Amie selalu buat sambal belacan bambangan!


Jom cuba smoothie gandingan buah angeleno plum dari US, buah kiwi dari New Zealand dan buah durian merah dari Negeri di Bawah Bayu.



Khamis, 19 Januari 2012

Pineapple & Green Apple Smoothie

Selamat petang semua. Sesiapa yang tersesat ke dapur Amie, sudi-sudikanlah  nikmati segelas Pineapple & Green Apple Smoothie. Malam ini Amie akan menghadiri jamuan perpisahan dengan salah seorang rakan sekerja yang dapat berpindah tugas ke Linggi, Negeri Sembilan. Sedihlah rasa hati sebab rakan yang berpindah ini merupakan setiausaha Amie yang sangat dedikasi dalam tugas. Apa pun selamat jalan Cik Murniza Othman! Semoga gembira di tempat baru. Nampaknya tak sempatlah nak masukkan menu makan malam ini. Encik Suami pula siap bawa pulang makanan bungkus! Dan ada lagi satu benda dia bawa pulang..... buah bambangan! Pernah dengar buah bambangan atau makan buah bambangan? 


Resepi: Pineapple & Green Apple Smoothie
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 cawan kepingan nenas masak ranum
3 biji epal hijau - buang biji dan potong kecil
150ml susu segar
100ml yogurt asli
1 sudu jus limau nipis
3 sudu besar gula

Cara:
1. Sejukbekukan kepingan nenas bersama epal hijau selama 4-5 jam.
2. Masukkan nenas dan epal hijau, susu segar, yogurt asli, jus limau nipis dan gula ke dalam pengisar.
3. Kisar kesemua bahan sehingga halus.
4. Tuang ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.

~ Kali ini Amie tambahkan jus limau nipis ke dalam smoothie~

Sup Ayam Daun Selasih

Salam hari Khamis. Sudah makan tengahari? Ini pertanyaan yang sudah terlewat untuk dijawab sebab sekarang sudah pukul 3 petang. Amie tujukan soalan ini untuk anda yang kurang berselera atau hilang selera makan. Biasanya kurang selera makan dikaitkan dengan orang sakit tapi sebenarnya kalau badan terlalu letih pun boleh menyebabkan hilang selera makan! Untuk mengembalikan selera, apa kata hirup Sup Ayam Daun Selasih yang Amie hidangkan di bawah ini. Kadang-kadang timbul persoalan apa itu daun selasih sebab Amie selalu tuliskan sebagai daun kemangi. Amiepun kurang arif tentang herba ini tapi bagi Amie selasih dan kemangi itu merupakan dua istilah yang membawa maksud yang sama iaitu daun selasih. Di tempat Amie biasanya disebut sebagai daun kemangi atau cemangi. Kali ini cara penyediaan sup ayam, Amie ikut cara bonda. Tumis semua bahan rempah terlebih dahulu hingga layu dan kemudian barulah didihkan. Amie juga memasukkan pelbagai jenis bahan lain sebagai aksesori tambahan.


Resepi: Sup Ayam Daun Selasih
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram daging ayam - potong ikut suka
4 biji kentang - kupas dan belah 2
1 batang lobak merah - kupas dan belah potong bulat
4 kuntum cebdawan shiitake - cuci dan rendam dengan 600ml air
10 biji kurma merah
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1 sudu serbuk pati ayam
3 tangkai daun selasih

Bahan tumis:
5 biji bawang merah - tumbuk
4 biji bawang putih - tumbuk
3cm halia - tumbuk
1/2 sudu teh ketumbar biji - tumbuk
1/2 sudu teh jintan putih - tumbuk
1/2 sudu teh jintan manis - tumbuk
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan masukkan semua bahan tumis. Masak sehingga naik bau.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan sehingga layu.
3. Masukkan kentang, cendawan shiitake, kurma merah dan lobak merah. Gaul rata.
4. Masukkan air  rendaman cendawan shiitake dan biarkan masakan mendidih sehingga daging ayam empuk.
5. Masukkan lada putih, serbuk pati ayam dan daun selasih. Biarkan seketika.
6. Angkat dan hidangkan.

Rabu, 18 Januari 2012

Mango Casablanca

Salam petang Rabu. Jom minum petang dengan hidangan Mango Casablanca hasil air tangan Amie yang pertama! Potongannya nampak hodoh sikit tapi Amie berpuas hati kerana dapat merealisasikan impian membuat Mango Casablanca sejak tahun lepas. Oleh kerana  hanya boleh membuat pesanan sekiranya ingin menikmati pencuci mulut yang lemak berkrim ini, akhirnya Amie bertekad ingin membuatnya sendiri. Setelah beberapa kali menjalankan bedah siasat untuk mengetahui rahsia bahan yang digunakan akhirnya Amie dengan bantuan rakan sekerja, Fauziah Biran menyenaraikan bahan dan cara penyediaan Mango Casablanca. Setelah mengikuti cerita resepi Amie di bawah ini,mungkin ada di antara rakan blogger yang pernah membuatnya, jadi besar sangatlah harapan Amie agar dapat memberikan pandangan untuk membetulkan mana yang patut, menambah yang terkurang dan mengurangkan mana yang terlebih!


Resepi: Mango Casablanca
Sumber : Fauziah Biran & Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
27 keping Biskut Cream Crakers
1 kg mangga masak ranum - kupas kulit dan hiris nipis
250 gram Philadelphia Cream Cheese
2 tin (300gram setiap 1 tin) Nestle Cream
300ml Sweeted Cream - boleh gunakan sukatan sendiri untuk rasa manis yang dikehendaki
susu cair - pilihan (Amie tidak gunakan)
bekas persegi ukuran 12' X12"

Cara:
1. Pukul Philadelphia Cream Cheese, Nestle Cream dan Sweeted Cream menggunakan mixer sehingga kembang.
2. Ambil satu senduk besar campuran krim di atas dan tuang  merata di bahagian dasar bekas persegi.
3. Susun 3X3  biskut berjumlah 9 keping.
4. Tuangkan satu senduk campuran krim dan sapu merata di atas susunan biskut.
5. Susun kepingan hirisan mangga di atasnya.
6. Tuangkan satu senduk lagi campuran krim dan sapu merata di atas susunan biskut.
7. Susun lagi 3X3  biskut sebanyak 9 keping.
8. Ulangi langkah 4, 5 dan 6 sehinggalah habis 27 keping biskut.
9. Tuangkan lebih sedikit campuran krim ke atas kepingan biskut yang terakhir.
9. Tutup bekas persegi tadi dan masukkan ke dalam peti sejuk. Sekiranya ingin dinikmati segera, bolehlah simpan di bahagian beku selama 1 jam tetapi sekiranya tidak untuk segera dimakan, bolehlah simpan di bahagian bawah sahaja sehingga sejuk.
10. Keluarkan bekas dari peti sejuk, dan potong untuk dinikmati.

~ Sekiranya anda mencampurkan susu cair, hasil Mango Casablanca akan lebih lembut, lembik dan tidak boleh dipotong, dan hanya boleh disenduk untuk dihidangkan. Selamat mencuba bagi yang berminat. Yang sudah biasa buat, minta tolong tegur mana yang salah ye~




Isnin, 16 Januari 2012

Ikan Pari Masak Sambal

Salam malam Isnin. Hari ini agak lewat mengemas dapur. Petang tadi pulang agak lewat dan sempat pula pergi ke belakang dapur melawat pokok anggur. Sempatlah ambil beberapa keping gambar untuk tatapan kawan-kawan di sekolah sebab masih ada yang ragu-ragu benar tidaknya pokok anggur boleh hidup di negara kita yang beriklim khatulistiwa. Dan benarkah ada pokok anggur yang sedang berbuah di belakang rumah kami. Kebetulan petang tadi Amie terlihat ada bunga anggur yang sedang mengeluarkan putiknya yang sangat halus, dan ada pula putik-putik anggur muncul segugus! Bolehlah klik di SINI. Insya-Allah, ada kesempatan nanti Amie akan kongsikan cara-cara penanaman anggur pula. Sesiapa yang berminat untuk menanam anggur memang Amie sedia menghulurkan benih yang siap disemai, tapi sayangnya apabila bertukar tangan, lama-kelamaan mati pula pokok anggurnya. Okey, di bawah ini Amie hidangkan Ikan Pari Masak Sambal. Selalunya kita suka masak asam pedas, tetapi petang tadi Amie ubah selera pula.


Resepi: Ikan Pari Masak Sambal
Sumber: Amie's Little Kitchen 

Bahan-bahan:
600gram ikan pari - potong ikut suka
1 labu bawang besar - potong bulat
serbuk kunyit
garam / perasa pilihan
2 biji limau nipis- perah jusnya
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
3cm belacan

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak.Tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak. Jika terlalu kering, masukkan sedikit air.
3. Masukkan ikan pari goreng dan gaul rata.
4. Taburkan sedikit garam dan perasa pilihan.
5. Perahkan air limau nipis ke atasnya.
6. Ikan Pari Masak Sambal siap untuk dihidangkan.

Resepi ini merupakan resepi kegemaran keluarga sebelah Encik Suami tetapi MIL selalu gunakan ikan kerapu atau ikan sulig. Uniknya ialah kerana rasa asam limau nipisnya. Biasanya MIL masak menggunakan minyak yang agak banyak dan sedikit berair tetapi Amie kurangkan minyak dan pekatkan kuahnya.

Ahad, 15 Januari 2012

Roasted Sailfish With Orange Butter Sauce

Salam petang Ahad. Nampaknya hari ini panas sampai ke petang. Pakaian di ampaian kering sepenuhnya, tapi badan rasa melengas. Ketika masak di dapur, peluh membasahi dahi dan rasa macam berada di bilik sauna! Akhir-akhir ini memang cuaca tidak menentu dan sukar untuk diramalkan. Apa pun syukur Alhamdulillah kerana kita hidup dalam zon khatulistiwa yang panas sepanjang tahun dan hujan pun sepanjang tahun! Jom kita cerita tentang resepi hari ini. Amie masak ikan layar. Ada yang sebut ikan layaran. Kalau tak pernah dengar kedua-dua nama ikan ini, mungkin anda pernah dengar sailfish. Sesiapa yang pernah sampai ke Kota Kinabalu, tentu pernah ternampak reflika ikan layaran ini di tengah-tengah bandaraya! Cerita tentang ikan layar (MIL & FIL sebut ikan layar), memang Amie belajar makan dari sebelah keluarga Encik Suami. Bagaimanapun sekarang ini memang agak susah untuk mendapat bekalan ikan layar di Lahad Datu. Bila sesekali terjumpa di pasar, memang kami borong banyak-banyak! Kali ini Amie cuba resepi masakan ala barat pula. Jom kita tengok hasil resepi Amie petang ini.


Resepi Asal: Roasted Seabass With Orange Butter Sauce
Sumber: Masakan Barat di Rumah
Chef: Haris Amir Jais

Bahan-bahan untuk ikan:
1 keping isi ikan siakap dibuang tulang - Amie gunakan isi ikan layar @ sailfish
1/2 biji kulit oren dicincang
2 sudu minyak zaitun
garam secukup rasa
lada hitam secukup rasa

Cara :
1. Perapkan ikan bersama semua bahan di atas.
2. Bakar selama 10 minit dengan suhu 150'C - Amie panggang dalam kertas aluminum

Bahan-bahan untuk Orange Butter Sauce:
1 cawan jus oren
1 sudu kecil serbuk kulit kayu manis
2 sudu besar mentega
gula perang secukup rasa
garam secukup rasa

Cara:
1. Masukkan jus oren. gula perang, serbuk kulit kayu manis ke dalam periuk dan didihkan.
2. Kacau sehingga sedikit pekat dan kemudian masukkan mentega dan kacau.
3. Siap untuk dihidangkan.

Amie tidak ada gambar ikan layar sebab yang kami beli di pasar hanyalah kepingan ikan layar yang sudah dipotong. Jadi, di bawah ini Amie kongsikan bersama rupa bentuk ikan layar yang Amie dapatkan dari Encik Google. Ikan layar juga dikatakan mengandungi Omega 3.


Ehsan: Google

Besar sungguh ikan layar! Satu lagi Amie ingin kongsikan bersama tentang sisik ikan layar. Ikan layar mempunyai sisik yang berbeza sama sekali dengan ikan-ikan lain. Sisik ikan layar sangat tajam seperti jarum, dan bukannya kembang seperti bulu landak! Sisiknya tersembunyi bersama kulitnya yang tebal! Bahagian ikan layar yang paling Amie suka sudah tentulah bahagian tepinya sebab banyak lemak di situ! 





Ehsan: Google

Ini pula gambar keseluruhan ikan layar. Ikan layar boleh mencapai berat lebih 90kg dan panjangnya boleh  melebihi 3 meter. FIL & MIL  Amie (berasal dari Kepulauan Cocos-Keeling), selalu bercerita tentang ikan layar yang mereka temui di tengah lautan. Kata mereka, ada 2 jenis ikan layar iaitu ikan layar daging warna putih dan satu lagi warna kekuningan. Yang berwarna kekuningan mempunyai rasa yang lebih sedap! Tapi, kalau jumpa di pasar Amie tak peduli warna kuning atau putih, beli saja. Terima kasih MIL & FIL kerana memperkenalkan ikan layar kepada Amie walaupun dalam setahun hanya terjumpa sekali atau dua kali sahaja di pasar!

Macaroni Goreng Sea Food

Salam pagi Ahad buat semua pengunjung budiman Amie's Little Kitchen. Kita mulakan pagi ini dengan senyuman manis terukir di bibir. Kain baju sudah selesai tersidai di jemuran manakala matahari pagi terang memancar. Harap panasnya akan sampai ke petang atau sekurang-kurangnya keringlah pakaian di ampaian. Cuaca yang cerah pagi ini sungguh menyenangkan dan rasa nyaman sekali. Apa kata kita nikmati Macaroni Goreng Sea Food sebagai alas perut pagi Ahad yang indah ini. Amie 'timurkan' pasta kering ini sebagai hidangan untuk memenuhi selera seisi keluarga. Kenapa 'ditimurkan' dan bukan tetap 'dibaratkan'? He he hehh.... Amie bubuh belacan dalam resepi ini.


Resepi: Macaroni Goreng Sea Food
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
250 gram macaroni 
15 ekor udang kertas - buang kulit
3 ekor sotong - bersihkan dan potong ikut suka
2 keping kek ikan - potong ikut suka
3 tangkai sayur sawi - potong ikut suka
1 cawan hirisan kubis
10 biji tomato ceri - belah 2
1 labu bawang besar - cincang
3 sudu sos tomato
1 sudu sos tiram
1 sudu serbuk pati ayam
3 titik minyak zaitun
minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm belacan

Cara:
1. Rebus macaroni bersama 3 titik minyak zaitun hingga lembut. Angkat dan toskan.
2. Panaskan sedikit minyak. Goreng bawang besar cincang sehingga garing.
3. Masukkan bahan kisar dan tumis dengan api perlahan sehingga pecah minyak.
4. Masukkan udang, sotong dan kek ikan. Gaul sebati.
5. Masukkan  kubis dan sawi serta sos tiram, dan sos tomato. Kacau rata.
6. Masukkan macaroni. Gaul seketika dan masukkan tomati ceri serta taburkan serbuk pati ayam.
7. Macaroni Goreng Sea Food siap untuk dihidangkan.



Jom sarapan Macaroni Goreng Sea Food sepinggan seorang dengan secawan teh 'o' lemon 
panas!

Sabtu, 14 Januari 2012

Ayam Goreng Masam Manis

Salam petang Sabtu. Entah kenapa hari ini seperti rasa agak lesu saja. Selepas menghadiri aktiviti kokurikulum di sekolah, Amie hantar anak-anak ke perpustakaan daerah untuk meminjam buku. Dalam perjalanan pulang  sempat pula menelefon Encik Suami yang kebetulan memandu selang 3 buah kereta di belakang kami supaya membeli ayam segar untuk dimasak sebagai hidangan tengahari. Sampai di rumah, rasa malas pula untuk ke dapur. Terpaksalah Encik Suami keluar sekali lagi membeli makanan. Lepas itu, Amie melingkar depan televisyen macam ular sawa! Tertidur seketika tapi tak lena. Amie bangun, mandi dan solat dan terus menjenguk ke dapur. Sekali lagi rasa berat hati dan berat tangan untuk membuat kerja-kerja dapur. Hari semakin senja, dan sebentar lagi Encik Suami dan anak-anak akan sampai ke rumah (semasa Amie tidur, mereka pergi ke kampung). Hmmm... makin dilayan, makin menjadi-jadilah kelesuan ini. Baiklah gagahkan diri buat apa yang patut. Niat di hati Amie ingin goreng ayam sahaja dan Amie pun potong-potong ayam agak kecil supaya cepat masak apabila digoreng. Amie bubuh sedikit tepung beras, tepung gandum dan garam. Entah macamana semasa menggoreng, terlintas pula di hati  untuk make-up sikit ayam goreng itu! Jadilah Ayam Goreng Masam Manis. Bahan yang digunakan pun bahan main tuang-tuang saja.


Resepi: Ayam Goreng Masam Manis
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600gram daging ayam - potong kecil (sebaiknya dibuang tulang)
3 sudu tepung beras
1 sudu tepung gandum
sebiji putih telur
sedikit garam
minyak

Bahan untuk sos:
5 sudu cili kisar
2 sudu sos tomato
1 sudu sos plum
1 sudu sos tiram
4 sudu sos cili Thai
1 sudu gula
1 sudu teh serbuk pati ayam
2 labu bawang besar - cincang
3cm halia - cincang

Bahan hiasan: 
1 cawan kacang gajus goreng
2 biji cili merah - potong-potong

Cara:
1. Gaul daging ayam denganputih telur, tepung beras dan tepung gandum serta garam. Goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis halia dan bawang besar hingga wangi.
3. Masukkan cili kisar dan biarkan masak dengan api perlahan hingga pecah minyak.
4. Masukkan sos tomato, sos plum, sos cili dan sos tiram.
5. Masukkan ayam dan gaul rata.
6. Masukkan cili merah dan taburkan serbuk pati ayam.
7. Taburkan kacang gajus goreng dan gaul sebati.
8. Ayam Goreng Masam Manis sedia untuk dihidangkan.


Amacam? Jadi tak resepi ekspress Amie? Harap dapatlah memenuhi selera seisi keluarga. Hmmmm.... sampai sekarang masih tak dapat jawapan kenapa rasa malas sangat hari ini!

Jumaat, 13 Januari 2012

Gulai Tempoyak Ikan Baung

Pernah makan ikan baung? Sebelum menjadi anggota keluarga sebelah suami, memang Amie tidak pernah makan atau melihat ikan baung tetapi pernah dengar nama ikan baung. Kata MIL & FIL, baung banyak diperoleh ketika musim tengkujuh. Mereka suka masak asam pedas. Bila Amie masak sendiri asam pedas baung, memang tidak sesedap masakan MIL atau FIL! Encik suami bawa pulang beberapa ekor ikan baung dari kampung. Memang ramai yang suka memancing di Sungai Segama ketika musim ikan baung menjelmakan dirinya. Amie cuba resepi Gulai Tempoyak Ikan Baung untuk hidangan makan malam kami. Maklumlah, dengan campuran tempoyak, kunyit hidup, serai dan juga daun kunyit sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bau ikan sungai di samping menambahkan lagi kelazatan gulai tersebut.


Resepi: Gulai Tempoyak Ikan Baung
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 ekor ikan baung anggaran 600 gram - bersihkan dan potong 2
10 biji kacang bendi
2 biji cili merah - potong 4
400ml santan
2 batang serai - diketuk
1 helai daun kunyit - disiat
1 keping asam gelugur
garam / gula
1 cawan air
minyak

Bahan tumbuk:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
3cm kunyit hidup
20 biji cili padi
4 sudu besar tempoyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk bersama serai hingga naik bau.
2. Masukkan 1 cawan air dan asam keping. Biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan baung. Balik-balikkan sehingga ikan layu.
4. Masukkan santan dan masak selama 8-10 minit.
5. Masukkan kacang bendi serta daun kunyit dan perasakan dengan garam serta  gula / perasa pilihan.
6. Gulai Tempoyak Ikan Baung siap untuk dihidangkan.


Sesetengah orang sangat menggemari ikan baung tetapi segelintir yang lain tidak. Bagi Amie yang suka makan apa saja, semua boleh masuk tekak. Sebenarnya ikan baung pun mempunyai rasanya yang tersendiri dan terpulang bagaimana cara masakannya untuk menjadikannya hidangan yang lazat atau sebaliknya. Yang pernah makan ikan baung, jemput makan sama. Yang tak pernah makan atau memang tak boleh makan ikan sungai, cari menu lain ye.... ha ahhahhhhhaa...

Nasi Goreng Tom Yam

Salam tengahari Jumaat. Hari ini Amie pulang lebih awal dari hari Jumaat seperti sebelum ini kerana mengambil alih tugas memantau keadaan sekolah sementara rakan sejawat datang selepas menunaikan solat Jumaat. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Oleh kerana perut perlu diisi untuk mendapatkan tenaga baru hingga ke petang, jadi Amie terus ke dapur melihat apa bahan yang ada untuk dimasak dengan cepat. Oh! Ada lebihan nasi putih yang banyak kerana semalam suami dan anak-anak menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yaasin di kampung, dan mereka makan di sana. Sebenarnya Amie yang terlupa rutin mingguan mereka, itu sebabnya Amie masak dalam jumlah yang sama seperti hari-hari biasa. Wokey... kita terus kepada Nasi Goreng Tom Yam yang Amie sediakan untuk tengahari ini sementara menunggu tamatnya solat Jumaat untuk makan bersama. Pertama kali Amie makan Nasi Goreng Tom Yam ialah lebih kurang 7 tahun yang lalu ketika singgah di Pekan Ranau untuk meneruskan perjalanan ke Pensiangan melalui Keningau. Amie pun sudah lupa apa bahan yang dicampurkan dalam nasi tersebut tetapi memang ada rasa pes tom yam. Jadi Amie putuskan untuk meletakkan sedikit pes tom yam di dalam nasi goreng Amie kali ini. Amie bubuh sedikit sahaja kerana kalau bubuh banyak-banyak, lain pula rasanya. Kesimpulannya, sekadar ada bau atau rasa ala-ala tom yam. 


Oleh kerana hendak jimatkan masa di dapur, memanglah tidak sempat untuk mencari resepi Nasi Goreng Tom Yam, jadi Amie gunakan bahan yang berkaitan tomyam untuk menghasilkan aroma tom yam. Misalnya, Amie petik 5 helai daun limau purut yang memang sengaja ditanam di tepi pintu dapur. Amie juga gunakan serai yang diketuk dan cili padi tetapi dalam jumlah yang sedikit supaya seisi keluarga termasuk anak-anak boleh menikmatinya! Bahan lain yang digunakan termasuklah udang dan sotong kerana makanan laut ini tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dinyahbekukan.

Resepi: Nasi Goreng Tom Yam
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 cawan nasi putih
10 ekor udang kertas - bersihkan
1 ekor sotong sederhana besar - bersihkan dan potong ikut suka
5 helai daun limau purut
2 batang serai
1 cawan jagung biji
1/2 batang lobak merah - cincang halus
1 cawan sayur kubis cincang
2 sudu  besar pes tom yam
1 sudu sos tomato
1 susu sos tiram
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan tumbuk:
4 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm belacan
5 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk sehingga naik bau.
2. Masukkan sotong dan udang dan serai. Gaul rata.
3. Masukkan lobak merah dan jagung dan kubis.
4. Masukkan sos tiram, sos tomato dan pes tom yam. Kacau sebati sehingga udang dan sotong masak.
5. Masukkan nasi putih bersama daun limau purut.
6.Taburkan serbuk pati ikan bilis. Gaul rata sehingga nasi goreng kelihatan gurih dan terbau aroma daun limau purut.
7. Tutup api.
8. Nasi Goreng Tom Yam sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 12 Januari 2012

Ikan Sulig Goreng Berlada

Agak lama juga Amie tidak masak ikan sulig. Amie tidak tahu apa nama ikan ini kalau di semenanjung. Kurang pasti pula adakah ikan ini dijual di sana. Apa pun kepada sesiapa yang berminat untuk melihat rupa ikan sulig yang sebenar bolehlah klik di SINI. Nanti bolehlah beritahu Amie apa nama lain bagi ikan sulig ini. Ekor ikan ini berwarna kuning dan kecil tapi badan ikan sulig penuh isi, putih dan lembut! Goreng saja pun sedap. Memang Amie goreng ikan sulig di bawah ini tapi Amie tuangkan sambal lada hijau ke atasnya. jadilah Ikan Sulig Goreng Berlada.


Resepi: Ikan Sulig Goreng Berlada
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan sulig seberat 500 gram
4 helai daun limau purut
1 keping asam gelugur
1 batang serai
1 sudu budu
serbuk kunyit
garam / gula / serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan kisar kasar:
15 biji cili hijau
3 biji bawang putih
1.5cm belacan
1/2 labu bawang besar

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan yang dikisar kasar hingga naik bau.
3. Masukkan asam keping, serai dan daun limau purut serta budu. Jika agak kering, tambah sedikit air.
4. Masak sehingga pecah minyak.
5. Perasakan dengan garam / gula / serbuk pati ikan bilis.
6. Tuangkan ke atas ikan sulig yang digoreng tadi.
7. Sedia untuk dihidangkan.

Pecal

Salam petang Khamis. Jom ratah pecal. Oleh kerana sambal pecal memang telah tersedia dalam bungkusan dan hanya dibancuh dengan air panas saja, jadi Amie cuma sediakan sayur-sayuran sahaja. Sayurnya pula tidaklah terikat dengan sayur nangka, pucuk ubi dan sayuran yang biasa kita gunakan untuk pecal tradisional. Amie celur saja apa-apa sayur yang ada di dapur.


Resepi: Pecal
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
7 batang kacang panjang - patah-patahkan dan celur
1 mangkuk taugeh  - celur
1 batang lobak merah - sagat dan celur
1 biji timun - sagat
4 keping tauhu - celur
10 batang kangkung - celur
1 paket sambal pecal -250gram
2 biji limau kasturi - ambil jusnya

Cara:
1. Bancuh sambal pecal dengan air panas mengikut kepekatan yang dikehendaki.
2. Campurkan sedikit demi sedikit bahan sayur-sayuran ke dalam pinggan.
3. Tuangkan kuah pecal ke atasnya.
4. Jika suka, perahkan jus limau kasturi.
5. Sedia untuk dinikmati.

Rabu, 11 Januari 2012

Pla Muerk Tod Kratiem - Sotong Goreng Bawang Putih

Jom cuba menu masakan ala Thai yang Amie hidangkan di bawah. Amie masak Sotong Goreng Bawang Putih atau Pla Muerk Tod Kratiem. Ini merupakan kali kedua Amie memasak resepi ini. Memang banyak penggunaan bawang putihnya! Kena gunakan 3 labu! Bukan labu bawang yang kecil-kecil tapi yang besar. Amie cincang bawang putih untuk mendapatkan satu mangkuk kecil. Tapi memang sedaplah, tak rugi mencuba. Cara memasaknya pun mudah, dan tidak memerlukan banyak bahan. Cuma bawang putih sahaja yang mesti banyak.


Resepi : Pla Muerk Tod Kratiem - Sotong Goreng Bawang Putih
Sumber: Chef - Koleksi Istimewa Majalah Perempuan

Bahan-bahan:
500 gram sotong - potong ikut suka
3 labu bawang putih  - cincang
1 sudu besar serbuk lada
1 sudu kecil serbuk perasa
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil gula
minyak

Cara:
1. Goreng sotong hingga garing. Angkat dan toskan.
2. Panaskan semula minyak dan goreng bawang putih sehingga naik bau. Angkat dan toskan.
3. Panaskan sedikit minyak dengan api besar. Masukkan sotong goreng dan bawang putih tadi dengan serentak.
4. Masukkan sekali serbuk lada, serbuk perasa, sos tiram dan gula. Kacau sebati. Pastikan tidak terlalu lama.
5. Angkat dan hidangkan.


Mudah bukan cara penyediaannya. Rasanya pun lazat! Tak percaya? Boleh cuba.... dan jangan takut dengan jumlah bawang putihnya yang banyak. Bila sudah siap masak, tak nampak pun rupa bawang putih yang begitu banyak!