Ahad, 9 Disember 2012

Ikan Tuna Masak Lemak Cili Padi

Assalamualaikum.
Hari ini Ahad, cuaca masih redup, dingin, mendung dan hujan rintik-rintik baru beberapa saat turun membasahi bumi. Nampaknya hujung minggu ini Amie sekeluarga tidak ke mana-mana selain menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada rakan sekerja Encik Suami kelmarin. Selebihnya, anak-anak ke kampung memetik buah rambutan yang sudah masak di pokok. Untuk hidangan tengahari ini Amie sempat sediakan lauk Ikan Tuna Masak Lemak Cili Padi. oleh kerana kami beli isi ikan tuna, jadi tidak perlulah dibersihkan lagi, cukuplah setakat bilas kepingan ikan tuna tadi. Amie masak kesemua ikan tuna yang berjumlah sebanyak 8 keping seberat 1kg. Bukan apa, memandangkan ada urusan lain yang perlu dilaksanakan segera, eloklah masak lauk sekali harung hingga ke petang.


Sebenarnya ada banyak jenis ikan tuna termasuk tuna sirip biru, tuna sirip kuning, tuna mata besar, tuna gigi anjing, tuna sirip panjang, tuna sirip hitam, dan juga tuna jenis tongkol samada tongkol jenis besar atau tongkol jenis kecil. Biasanya kalau Encik Suami beli ikan tuna sirip kuning, Amie akan masak sambal untuk lauk nasi kuning. Bagaimanapun, kami tidak pasti pula tuna jenis apa yang kami beli kerana hanya hirisan isi berwarna merah muda yang Encik Suami berkenan sewaktu memilih ikan di pasar. 


Resepi : Ikan Tuna Masak Lemak Cili Padi
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
8 kepingan isi ikan tuna
2 cawan santan pekat
2 cawan air
6 kepingan nanas masak
2 batang serai - dititik
2 biji tomato hijau - belah 2
1 biji tomato merah - belah 2
1-2 keping asam gelugur - jika perlu (Amie tidak gunakan kerana air nanas telah memberikan rasa masam manis yang cukup rasa)
1 sudu teh serbuk kunyit
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
20 biji cili padi (anggaran segenggam)
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan air dalam periuk. Masukkan kesemua bahan tumbuk, serai (jika suka masukkan asam gelugur) bersama nanas. Biarkan mendidih sehingga nanas layu.
2. Masukkan serbuk kunyit, serta santan pekat.
3. Masukkan ikan tuna dan kacau selalu supaya tidak pecah santan.
4. Setelah santan mula mendidih dan ikan tuna masak, masukkan tomato hijau serta tomato merah.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur dan sedia untuk dihidangkan.


6 ulasan:

Rohah berkata...

salam kak, kita tak pernah beli ikan tuna yg packing segar...
bagus ni utk kesihatan..

Rohah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Pen Biru berkata...

1 yg sy suka pasal k.amie..setiap gambar yg k.amie upload cantik..sama level cm dlm majalah.ada class

adda syuhada berkata...

sedapnya K.Amie..dh lama x masak lemak cili padi..tertelan air liur dh nengok nih..

Amie berkata...

Rohah,
betul tu Rohah... tuna antara ikan yang baik untuk kesihatan.

Pen Biru,
terima kasih banyak-banyak... itu satu motivasi buat kak Amie tau!

Adda,
masuk cili padi segenggam ni Adda...

Puan Ros @ Sinaranmenu.blogspot berkata...

Sedap la makan nasi..kena buat sambal belacan ni...