ADSENSE

Isnin, 10 Disember 2012

Ikan Bawal Hitam Masak Brengkes

Assalamualaikum.
Tengahari ini Amie kongsikan resepi Ikan Bawal Hitam Masak Brengkes. Barangkali ada di antara rakan-rakan pengunjung baru pertama kali mendengar resepi brengkes. Resepi tinggalan Allahyarhamah MIL Amie ini merupakan hidangan popular dalam masayarakat Melayu Cocos sempena kenduri-kendara seperti kenduri selamat dan juga kenduri arwah. Semasa hayatnya masih ada, Amie hanya memerhatikan cara beliau masak, tetapi Amie tidak pernah mencubanya sendiri memandangkan hidangan ini bagaikan menu istimewa untuk disajikan kepada tetamu, jadi tangan yang lebih berpengalaman sudah tentu menghasilkan air tangan yang lebih lazat! Apa yang menariknya dalam resepi ini ialah penggunaan rempah biji ketumbar. Biasanya MIL hanya gunakan sukatan dalam bentuk segenggam atau dua genggam biji ketumbar! Dan penggunaan santan juga sangat dititikberatkan oleh MIL kerana hanya kepala santan sahaja yang digunakan untuk menghasilkan kuah yang cantik berminyak di samping perahan jus limau nipis. MIL tidak mahu menggunakan air asam jawa kerana aroma jus limau nipis lebih menambah aroma dan kelazatan brengkes yang dihasilkan. Memang MIL sangat teliti memilih jenis ikan yang digunakan untuk dibuat brengkes kerana tidak semua jenis ikan sesuai untuk diolah menjadi masakan brengkes. Seboleh-bolehnya MIL akan menggunakan ikan belawis, walaupun ada kalanya Amie lihat ada yang menggunakan ikan temparing dan juga ikan sulig atau ikan-ikan lain. Amie cuba gunakan seekor ikan bawal hitam seberat 800gram. Hasilnya, seperti di bawah ini... nampak agak berbeza sedikit dengan brengkes ikan yang biasa MIL hasilkan kerana Amie terlebih gunakan cili kering!


Resepi : Ikan Bawal Hitam Masak Brengkes
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan bawal hitam - bersihkan dan belah 2
3/4 cawan santan pekat (MIL hanya ambil kepala santan - bahagian atas yang pekat)
1 sudu makan serbuk kunyit (MIL suka lebihkan)
1 biji limau nipis - perah jusnya (biasanya MIL gunakan lebih 1 biji)
garam / perasa pilihan
minyak secukupnya (MIL lebihkan)

Bahan kisar:
10 biji cili kering - (sepatutnya Amie kurangkan kepada 5 biji kerana selalu lihat MIL gunakan beberapa biji sahaja dan hasil brengkes ikan lebih kepada warna kuning kunyit)
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 genggam rempah biji ketumbar (boleh gunakan lebih 1 genggam)

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan (jika takut ikan melekat semasa menggoreng, lumurkan sedikit garam dan serbuk kunyit sebelum menggoreng)
2. Panaskan minyak yang secukupnya dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.


Sejak pemergian MIL 6 tahun lalu, jarang sangat kami menikmati masakan brengkes ikan kalau menziarah ke kampung! Sebenarnya menurut MIL... bahagian paling sedap untuk masakan brengkes ialah kuahnya. Memang benar, tak dapat isi ikan pun tidak mengapa, kuahnya sahaja boleh gaul dengan nasi kerana cukup rasa lemak, masin & masam!

12 ulasan:

Norzie hany berkata...

1st time dengar nama masakan ni,nampak sungguh menyelerakan.Bahan2nya pun tak berapa banyak ye Amie.

Tihara berkata...

as salam

nice sharing, nampak sedapp :)

mama aini berkata...

assalam amy..nampak sedap..Thanks atas perkongsian..

QASEEH HATIKU QASEEH berkata...

1st tym dgr resepi tu...
baru ni nebor bg kuih kukus dlm daun pisang...ole kerna d rmh x ramai org...x sepa yg akn mkn kuih2 tu...byk plk nebor bg..kbtln g rmh kwn...bw la skli kuih tu...utk d bg dgn kwn yg mmg anak2 nya pndai mkn mcm2...kuih tu d bngkus mcm bngkus nasi kuning guna daun pisang...smpi rmh kwn..org johor tp asben nya bugis sndkn...trus kwn tu ckp...itu kuih borongkoh(x sure ejaan btl or x)....1st tym jg dgr nm kuih tu...akak besa dgr kuih tu...

Puan Ros @ Sinaranmenu.blogspot berkata...

Sedap...sedap...

Amie berkata...

Norzie,
memang tak banyak bahan diguna, sekarang ni jarang rasa masakan ni sebab jarang buat!

Tihara,
waalaikumussalam....terima kasih.

Mama Aini,
waalaikumussalam... sama-sama kasih.

Amie berkata...

Qaseeh,
betul tu.... kuih barongko, memang salah satu kuih tradisional masyarakat Bugis, tak pernah buat, kalau nak makan beli saja, dan simpan dulu dalam peti sejuk supaya lebih sedap.

Kak Ros,
terima kasih.

Nens Collection berkata...

mcm masak merah jugak kan..sungguh menyelerakan hidangan ni..makan ngn n.putih mmg masukk...

rahel berkata...

Salam Kak Amie...
skejap lagi gue sampai sana...jangan pi mana2 ya..mau ambik itu ikan yg sedap2...

whitecappuccino berkata...

mkn lauk ni sure bertambah nasi kan? semua sedap ajer amie

Lesung Batu berkata...

salam kak amie...whoaa..terliur tgk ikan brengkes tu..kena cuba nih.. :)

MumMe berkata...

google resepi masak ikan bawal hitam,then jumpa blog ni...brengkes---unik.