ADSENSE

Rabu, 11 Julai 2012

Smoothie Buah-Buahan Tropika

Assalamualaikum dan sekalung penghargaan Amie berikan buat semua pengunjung yang terus setia bertandang ke Amie's Little Kitchen. Kali ini Amie hidangkan Smoothie Buah-Buahan Tropika di samping berkongsi info tentang kebaikan yogurt. Sebut sahaja perkataan yogurt, tentu sudah terbayang rasanya yang masam! Perkataan yogurt sebenarnya berasal daripada bahasa Turki yang bermaksud susu masam. Sila klik http://keajaibanpenjimatan.com/blog/cerita-tentang-susu-masam jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang yogurt atau susu masam ini. 

Hari ini terdapat pelbagai jenis perisa dan jenama susu masam (yogurt) boleh didapati di semua jenis pasaraya dan supermarket. Rasanya yang agak masam-masam manis dan sedikit kental sebenarnya memberi pelbagai jenis khasiat dan manfaat terutama untuk kesihatan usus kita. Tetapi bagaimana susu masam ini terhasil dan apakah khasiatnya? 


Hidangan berasaskan yogurt Amie hari ini. Amie hasilkan Smoothie Buah-Buahan Tropika.

Menurut catatan dalam laman web http://keajaibanpenjimatan.com/blog/cerita-tentang-susu-masam, yogurt adalah salah satu produk daripada susu yang diperolehi daripada fermentasi asam laktat melalui aktiviti bakteria Lactobacillus delbrueckii var bulgaricus dan Streptococcus salivarus var thermophillus, dimana proses fermentasi laktosa oleh bakteria ini menghasilkan asid laktik yang bertindak balas dengan protein susu dan memberi tekstur dan rasa kepada susu masam tersebut.
Mengikut sejarahnya, susu masam terhasil secara tidak sengaja oleh pengembara zaman dahulu ketika melintasi padang pasir di Asia Barat Daya.  Mereka membawa sejumlah susu yang diisi di dalam kantung dan tanpa disedari, susu itu berubah menjadi kental dan bergumpal seperti dadih akibat perubahan cuaca.
Rasanya yang sedikit masam rupanya lebih digemari daripada rasa susu segar itu sendiri.  Malah, masyarakat Timur Tengah telah memanfaatkan susu masam sebagai minuman kesihatan sejak 4000 tahun dahulu.

Sumber Asal: Cerita Tentang Susu Masam - Julmazli Dot Com 




Resepi : Smoothie Buah-Buahan Tropika
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji pisang masak ranum 
1 cawan potongan buah tembikai susu
1 cawan potongan buah betik
1 cawan potongan buah jambu air madu
150ml yogurt asli
150ml susu segar
jus limau kasturi - jika suka

Cara:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam mesin pengisar.
2. Kisar sehingga hancur dan lembut.
3. Tuang ke dalam gelas.
4. Sedia untuk dinikmati.

Sebelum ini, Amie suka mencampurkan madu atau gula ke dalam smoothie tetapi sejak akhir-akhir ini Amie jarang gunakan bahan tersebut. Dan, Amie juga jarang menyejukbekukan buah-buahan yang akan dikisar. Kesemuanya Amie lakukan hanya kerana, kini Amie ingin menjadikan smoothie sebagai hidangan harian, jika boleh. Memang banyak khasiat yang terdapat dalam segelas smoothie, apalagi setelah dicampur dengan yogurt asli. Rasanya? Antara rasa yang enak dan rasa untuk kesihatan, tentulah Amie memilih untuk minum kerana khasiat kesihatannya! Jadi itu sebabnya, Amie kurangkan manis tanpa menambah gula. Cukuplah sekadar manis-manis buah, dan rasa masam-masam yogurt sedikit! Walau bagaimanapun tidak ada salahnya untuk menyejukbekukan, menambah gula atau madu untuk rasa yang lebih lazat!

Jom tambah lagi sedikit info tentang kebaikan yogurt!

Berikut adalah manfaat dan khasiat yogurt dari segi kesihatan.

1. Beberapa strain probiotik meningkatkan kadar imun tubuh
Probiotik bacteria yang terkandung di dalam yogurt dikatakan dapat membantu mencegah penyakit radang usus melalui mengubah mikrofora pencernaan.  Menurut kajian di Taiwan, probiotik dapat meningkatkan pemulihan serta ketahanan tubuh terhadap jangkitan (infeksi) di mana yogurt yang mengandung dua jenis probiotik, iaitu lactobacillus dan bifidobacterium, terbukti memberi kesan positif terhadap pesakit yang mengidap H. pylori infeksi.

2. Bagus untuk wanita lepas bersalin
Bagi wanita dalam pantang yang ingin kembali ke bentuk asal yakni betuk badan sebelum hamil (bertujuan menambat hati suami), khasiat yogurt adalah yang terbaik kerana ia makanan berserat tinggi selain mengandungi pelbagai khasiat diperlukan untuk membekalkan susu kepada bayi.


3. Membantu sistem penghadaman

Bakteria yang terkandung di dalam yogurt berfungsi membantu menghadamkan laktosa (gula semulajadi dalam susu). Bakteria itu bertindak dengan merangsang sebahagian daripada sistem pelalian di dalam salur usus dan menghasilkan keadaan sekitaran yang lebih sihat di dalam usus, menjadikan keadaan itu tidak sesuai untuk organisma tidak baik hidup, di samping memastikan sistem penghadaman dalam tubuh badan berjalan dengan lancar.

4. Mencegah jangkitan pada vagina
Infeksi atau jangkitan Candida pada vagina merupakan masalah yang banyak dialami wanita pengidap diabetes. Menurut kajian, wanita diabetes yang mengambil  yogurt dalam menu seharian mereka didapati mengalami penurunan (pH) serta pegurangan infeksi candida.

5. Meningkatkan kekuatan tulang dan mencegah osteoporosis
Antara khasiat yogurt yang amat tinggi nilainya ialah yogurt mengandungi lebih banyak kalsium, vitamin A, tiamina, niasin dan riboflavin daripada susu.  Di samping itu, yogurt juga kaya dengan zat besi, fosforus dan kalium. 

6. Menurunkan kadar kolesterol
Yogurt, susu asidophilus (dari bakteria L. acidophilus) dan susu bifidus (dari bakteri a Bifidobakterium bifidum) mampu menurunkan kolesterol darah. Ini adalah kerana zat faktor antikolesterol yang mencegah kerja enzim pembentuk kolesterol. Pengurangan kolesterol juga terjadi kerana pertumbuhan bakteria akan menyerap sejumlah zat kolesterol ke dalam selnya. Penyerapan ini berlaku di usus kecil dan membantu mengurangi kolesterol dalam darah.

7. Membantu mengurangkan berat badan
Menurut kajian terbaru yang telah diterbitkan di dalam International Journal of Obesity, 2005, hasil kajian mendapati responden yang mengambil yogurt rendah lemak di dalam hidangan mereka didapati dapat mengurangkan berat badan kerana kandungan kalsium di dalam yogurt.


Sumber Asal: Yogurt: Khasiat Dan Manfaat Untuk Kesihatan - Julmazli Dot Com 

http://keajaibanpenjimatan.com/blog/yogurt-khasiat-dan-manfaat-untuk-kesihatan/

Sebaik-baiknya pengambilan yogurt dihadkan kepada jumlah sebanyak 240ml sehari, kerana jika pengambilan berlebihan boleh mengakibatkan kembung perut! Amie ingin kongsi info ke 7 tentang kebaikan yogurt. Oleh kerana Amie tidak timbang berat badan, jadi Amie tidak tahu samada berat badan Amie turun atau sebaliknya. Namun, apa yang Amie rasakan dengan pengambilan yogurt yang kerap dalam hidangan smoothie, lemak-lemak di bahagian perut Amie tampak berkurangan!



11 ulasan:

ummiross berkata...

Amie..ummi ni memang sukakan yoghurt, jadi secara tak langsung sukakan smoothie, terima kasih selalu berkongsi info dan resepi.

Mas Sani berkata...

salam kak...
Mas dtg bwk gelas kosong nk mintak 1 jug smoothie akk tu boleh? Errr...dtg bwk gls tp nk mintak 1 jug hehehehehe....

cikmanggis berkata...

salam Amie..hari hari minum smoothie pun tak apa..sihat dan berkhasiat.

Zaitun berkata...

Salam Amie...lama kak Zai tak berkunjung.

Kalau hari panas sedapnya dapat minum smoothie,sejuk aje kat tekak.

mama aini berkata...

thanks amie atas resepi yg hebat2 kat entry amie ni.. :)

Nuwairani Ismail berkata...

wah! walaupun panjang, nani baca sampai habis jugak! khasiat yang terakhir tu memang mengujakan! rasa macam sekarang jugak nak gi beli yogurt. huhuh

Mama Hawa/Mama Nani berkata...

Salam Amie!!!
Rindu nyer...
Sedap nyer.. sejuk kat tekak nie dpt minum smoothie terasa sampai kat umbun2 hehehe

Rohah berkata...

rajinnya kak amie mmproses smoothie, nyaman je kan kak..bisa slim kalau gini..

Amie berkata...

Ummiross,
alhamdulillah... diet yang sihat ni Ummi.

Mas Sani,
ha ha hahh jug saiz kecik tu Mas.

Cik Manggis,
betul tu CM, cuma di sini selalu habis stok yogurt kalau nak beli.

Amie berkata...

Kak Zai,
terima kasih sudi berkunjung, iye kak... kenyang juga hirup smoothie ni.

Mam Aini,
sama-sama kongsi resepi Mam Aini.

Nani,
memang elok pengambilan yogurt ni Nani, banyak khasiatnya.

Amie berkata...

Mama Hawa,
rindunya sudah Amie sambut.... he he hhh memang betul, kalau smoothie sejuk, nyaman seluruh tubuh!

Rohah,
kalau hati dah suka... proses smoothie sambil pejam mata... he he hehhh