ADSENSE

Ahad, 22 Julai 2012

Ayam Masak Lada Putih

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu. Hari ini masuk hari kedua kita berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak 1433H. Dari pagi tadi Encik Suami dan anak-anak bergotong-royong membersihkan segala ceruk penjuru rumah. Sesungguhnya hanya pada hari kelepasan begini sahajalah kami dapat mengemas mana yang tidak terkemas, membersihkan mana yang kurang bersih. Pakaian pun sudah kering di ampaian, dan ada 3 helai karpet turut tersidai di atas pagar. Walaupun Amie ketika ini sedang duduk di dalam rumah tetapi telinga masih dapat mendengar bunyi mesin pencuci karpet dari arah luar. Rupanya Encik Suami masih lagi menembak karpet (entah karpet yang mana lagi di keluarkan dari bilik stor) bersama bujang-bujang kami.


Pernah dengar resepi Ayam Masak Lada Putih? Resepi ini Amie namakan demikian kerana tidak tahu apakah namanya yang sebenar. Amie sempat belajar masak resepi ini melalui bonda mertua (telah kembali ke rahmatullah pada 4 November 2006). Pada mulanya Amie rasa hairan kerana bonda menggunakan banyak lada putih, air asam jawa dan halia tumbuk. Amie terfikir juga, mungkin sebab bonda mudah mendapat bekalan lada putih, sebab memang ada beberapa rumpun pokok lada putih yang ditanam di kampung. Biasanya bonda akan masak begini sekiranya ayahanda mertua (juga telah kembali ke rahmatullah pada 7 Februari 2012), membeli ayam pencen. Apa pun setelah beberapa kali mencuba resepi ini, ternyata ia dapat diterima oleh anak-anak. Malah, anak-anak akan menunjukkan rasa teruja bila mendapati Amie sedang masak resepi ini di dapur. Penggunaan cendawan shiitake dan ubi kentang adalah atas pilihan Amie sendiri walaupun bonda mertua tidak memasukkan bahan-bahan tersebut dalam resepi asal.


Resepi : Ayam Masak Lada Putih
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 ketul daging ayam - anggaram 600 gram
4 kuntum cendawan shiitake - cuci dan rendam dengan 2 cawan air - setelah kembang, belah 2 dan simpan air rendamannya
3 biji ubi kentang - kupas dan belah 4
4cm halia - tumbuk
5 ulas bawang putih - tumbuk
7 biji bawang merah - tumbuk
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu makan lada putih (boleh tambah lagi jika suka) - tumbuk
garam / perasa pilihan
1 sudu makan pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang merah, bawang besar dan halia hingga kekuningan.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan sehingga nampak layu.
3. Masukkan bancuhan air asam jawa, lada putih, cendawan shiitake dan ubi kentang. Gaul sebati.
4. Masukkan air rendaman cendawan shiitake dan biarkan masak sehingga daging ayam dan ubi kentang empuk.
5. Tambahkan garam dan perasa pilihan.
6. Bolehlah tutup api setelah kuah pekat dan terbit minyak.

Cara penyediaan resepi Ayam Masak Lada Putih memang sangat mudah tetapi rasanya pun tidak kurang enaknya!

3 ulasan:

Bicara Kak Noor berkata...

salam Mie dah dua hari ni kita posa dok fikir apa nak masak utk petang ni,boleh jugak try yg ni yg ala2 masak cina sikit ni kan sedap jugak kot rasa nya Me

Delima Zamrud berkata...

Kak amie sedap nyer nampak ayam tu haaiisshhhh comey2 tomato tu geramm, nnt nk cube masak lah musti best..

Liza @ Adzriel AB berkata...

terliur le pulak