Sabtu, 31 Disember 2011

Sayap Ayam Goreng & Jagung Susu

Salam petang Sabtu, hari ini hari terakhir tahun 2011. Sewaktu pulang dari mesyuarat petang tadi, hujan turun renyai-renyai dan kemudian bertambah lebat. Terlelap seketika melepas lelah di  ruang tamu. Bila terjaga rupanya keseorangan di rumah. Yang lain ke kampung, mengait rambutan lagi! Biasanya malam terakhir penghujung tahun, semua akan berkumpul di kampung, di rumah FIL. Masing-masing akan membawa hasil masakan dari rumah dan memang ada acara BBQ termasuk lamb, sayap ayam, ikan dan segala macam seafood termasuk sosej dan sebagainya sehingga tengah malam. Bukan sekadar untuk meraikan tahun baru dengan doa daripada FIL dan kami mengaminkannya, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Berbeza pula tahun ini..... masing-masing dengan urusan tersendiri. Ada yang masih di timur, ada yang ke barat dan sayap ayam yang pada mulanya Amie diperap untuk dibawa ke kampung untuk dipanggang bertukar cara masakan pula! Malas untuk bersoal jawab tentang acara tahunan  keluarga yang tidak menjadi ini sebab badan memang rasa letih. Jagung yang pada mulanya akan dipanggang, Amie rebus sahaja tapi kali ini rebus dengan susu segar.




Apa yang boleh Amie tuliskan tentang resepi akhir tahun 2011? Rasanya memanglah sedap ikut selera kami  tapi sebab rancangan tidak menjadi, terpaksalah berubah cara memasak dari panggang atas bara kepada goreng dalam kuali. Tak kisahlah asalkan boleh dimakan! 

Resepi   : Sayap Ayam Goreng
Sumber  : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan: 
20 keping sayap ayam
3cm halia - tumbuk
5 biji bawang putih - tumbuk
2 batang serai - ketuk
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1/2 sudu serbuk kunyit
2 sudu kicap pekat
3 sudu sos tiram
2 sudu minyak bijan
sedikit garam
madu / gula - pilihan

Cara:
1. Perap sayap ayam bersama kesemua bahan di atas selama 2 jam.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga kuning keemasan.
3. Taburkan biji bijan di atasnya - sangan terlebih dahulu.
4. Hidangkan bersama sos kicap.

Jagung susu itu pula Amie rebus dengan susu segar, sedikit serbuk kulit kayu manis dan secubit garam. Resepi ini Amie terbaca sepintas lalu dalam Majalah RASA edisi Januari 2012.Kalau nak rasa yang lebih sedap, boleh tambah susu cair.

Selamat Tahun Baru 2012 untuk semua teman-teman blogger yang budiman. Terus pandang ke hadapan untuk lebih berjaya, tapi jangan lupa lihat ke bawah untuk mengingatkan diri tentang erti syukur. Senyum-senyum selalu! Kenangkan yang indah, simpan yang duka. Harap segala perancangan akan terlaksana dengan lancar.


Jumaat, 30 Disember 2011

Ikan Putih Masak Tom Yam

Biarpun waktu amat terbatas, namun Amie tetap berusaha menyediakan hidangan untuk tengahari ini. Kalau diikutkan rasa letih, memanglah semua orang letih. Kalau asyik difikirkan tentang kesibukan, orang lain pun sibuk. Baiklah kita fikirkan hari ini, dan selesaikan tugasan untuk hari ini sebelum memikirkan hari esok yang bakal menjelma dengan tugas baru. Tengahari tadi puaslah menghirup kuah tom yam yang kurang pedas tapi akan lebih pedas kalau Amie pecahkan cili padi merah hijau ke dalam kuahnya! Oleh sebab anak-anak tidak tahan pedas cili padi, jadi Amie biarkan cili padi bulat-bulat begitu saja.


Resepi: Ikan Putih Masak Tom Yam
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 keping ikan putih seberat 600 gram
1 kuntum bunga kantan - belah 4
1 mangkuk kecil kubis bunga - potong ikut suka
1/2 batang lobak merah - potong bulat
10 batang anak jagung - belah 2
1 labu bawang besar - mayang
5 helai daun limau purut
4 batang serai - ketuk
3 keping asam keping
2 biji limau nipis - ambil jusnya
4 sudu pes tom yam - Amie buat pes sendiri
garam / perasa / gula
minyak
air secukupnya
7 biji cili padi - pilihan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis pes tomyam bersama bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan serai, bunga kantan dan air secukupnya. Biarkan mendidih.
3. Masukkan asam keping dan lobak merah. Masak lagi selama 3 minit.
4. Masukkan ikan. Biarkan terus mendidih anggaran 4-5 minit.
5. Masukkan daun limau purut, anak jagung, kubis bunga, garam / perasa / gula.
6. Tutup periuk dengan penudungnya selama 1 minit.
7. Matikan api dapur.
8. Ikan Putih Masak Tom Yam sedia untuk dihidangkan.

Sebenarnya sewaktu mesyuarat di Tawau, Amie bersama rakan-rakan sempat makan malam di Restoran Titingan, sebuah restoran makanan laut yang terkenal dengan kesegaran segala hasil lautnya. Salah satu menu yang kami pesan ialah Ikan Putih Masak Asam Pedas. oleh kerana perut sudah terlalu penuh dengan segala macam lauk-pauk yang lain, tak dapatlah Amie menghabiskan semangkuk Ikan Putih Asam Pedas tetapi sempat menghirup kuahnya beberapa sudu. Amie rasa seperti kuah tom yam walaupun namanya asam pedas. Jadinya, untuk melepaskan kempunan malam tersebut, Amie buat sendiri hari ini berpandukan deria rasa Amie pada asam pedas itu. Hmmmm.... hasilnya bagaimana? Tentulah lebih sedap kalau kita masak sendiri! Perasan ke? Tidak..... sesungguhnya memang sedap terutama kuahnya!

Buah Salak

Salam Jumaat. Amie baru selesai mesyuarat di Tawau. Nampaknya Amie's Little Kitchen sunyi dan sepi.... tak berasap! Sementara menyiapkan hidangan untuk tengahari ini, apa kata kita makan buah salak dulu.


 Kalau tak pandai makan buah salak, bolehlah cari buah lain di bawah ini.



Wokey... layan diri dulu ah...., Amie nak ke dapur!

Isnin, 26 Disember 2011

Asian Cuisines & Curry House

Oh.... macam lama sangat tak masuk dapur. Sebaik sahaja memulakan perjalanan ke Sandakan untuk mengikuti Seminar Mengenali Potensi Diri, kaki ini terus melangkah tanpa henti. Oleh kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan, suasana siang dan malam terasa sama sahaja. Letih! Tapi syukur Alhamdulillah,  semuanya berjalan lancar. Rindu sangat nak masak tapi keadaan tidak mengizinkan. Marilah kita masuk dapur di sebelah Hotel Heritage, tempat Amie menginap sekeluarga. Kami menikmati makan malam di Asian Cuisine Curry House. 


Bukara Lamb Briyani, pilihan Amie. Boleh tahan juga rasanya. Oleh kerana masih keletihan, dan esok pagi mesyuarat akan bermula, jadi mohon diri untuk beristirehat. Jom tidur!


Tiga minggu lepas kami menginap di Monaco Hotel, dan kali ini cuba pula suasana di Heritage Hotel.  Jangan risau kalau datang ke Tawau. Banyak tempat penginapan berbintang-bintang ada di sini termasuk Shervinton Hotel, Marco Polo Hotel, King Park Hotel, Istana Hotel, Prince Hotel dan entah apa-apa lagi. Yang Amie sebutkan tadi letaknya memang berhampiran dengan Heritage Hotel. Okey... selamat malam!


Jumaat, 23 Disember 2011

Singgang Ikan Tenggiri, Sayur Campur & Sambal Tempoyak

Salam Jumaat. Sebentar lagi Amie dan Encik Suami akan berangkat ke Sandakan untuk menyertai Seminar Potensi Diri yang akan di adakan pada pukul 7.30 malam ini di Kompleks Sukan Sandakan. Oleh kerana Encik Suami belum pulang dari menunaikan solat Jumaat, Amie ambil kesempatan untuk kemas kini Amie's Little Kitchen. Hari ini Amie sediakan hidangan tengahari lebih awal memandangkan anak-anak semua dihantar ke kampung sementara kami berdua mengikuti seminar di Sandakan nanti. Kebetulan pula malam tadi datang anak saudara sebelah suami tidur di rumah kami. Anak saudara kami ini akan pulang ke Sarawak minggu hadapan kerana menyambung pelajaran, dan jarang berjumpa, jadi Amie masaklah seadanya supaya dia boleh makan bersama sepupunya (anak-anak kami). 


Resepi: Singgang Ikan Tenggiri
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 keping ikan tenggiri
1 labu bawang besar - potong bulat
3 biji bawang putih - hiris
2 biji tomato - belah 4
2 batang serai - dititik
1 biji cili merah - belah 2
2 keping asam gelugur
1.5cm halia- hiris
1.5cm kunyit hidup - hiris
1 sudu serbuk pati ikan bilis
500ml air

Cara:
1. Panaskan air dalam periuk. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia, kunyit dan serai serta asam gelugur.
2. Apabila air mendidih, masukkan ikan tenggiri dan tomato serta cili merah. Masak selama 5 minit.
3. Masukkan serbuk pati ikan bilis.
4. Tutup api.
5. Sedia untuk dihidangkan.


Amie lengkapkan hidangan tengahari dengan Sayur Campur. 

Resepi: Sayur Campur
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1/2 batang lobak merah - hiris nipis
8cm tempe - hiris kecil-kecil
1 cawan taugeh
10 biji kacang buncis - hiris serong
15 biji bebola ikan - belah 2
10 ekor udang - buang kulit dan belah belakang
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih - pecahkan
1 biji cili merah - hiris
1 sudu serbuk pati ayam
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis  cili merah, bawang besar serta bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan tempe. Goreng seketika.
3. Masukkan bebola ikan dan udang. Gaul rata.
4. Masukkan kacang buncis dan taugeh.
5. Taburkan serbuk pati ayam.
6. Sayur Campur siap untuk dihidangkan.


Tidak ketingggalan ..... Sambal Tempoyak and the gang termasuk telur masin, ulam timun, tomato dan daun salad. Nampaknya hari ini Amie's Little Kitchen jadi kebun sayur pula.... ha hahahh.... Jom makan. Amie dah sediakan sepinggang nasi dengan lauknya sekali di bawah ini. Pandai-pandailah layan diri di dapur.... lepas makan, letak saja pinggan kosong di sinki. Carilah apa-apa air yang sesuai untuk diminum. Tuan dapur jalan dulu ye. Jumpa lagi.


Selamat menjamu hidangan tengahari dengan menu kampung yang ringkas!

Khamis, 22 Disember 2011

Mee Sup Seafood

Petang ini cuaca mendung. Suasana redup. Hati Amie rasa pilu sangat..... pedih, terasa bagai disiat sembilu... tapi sebenarnya lebih daripada itu. Kenapa Amie? He he heh... anak-anak minta Amie buatkan mereka Mee Goreng Seafood. Amie buatkan untuk mereka. Nampak macam sedap tapi rasa tak berselera pula. Ikutkan rasa badan binasa. Kalau ikutkan hati nanti mati. Baiklah Amie buat Mee Sup Seafood. Mana tahu ada selera untuk menjamahnya. Bahaya kalau terus melayan perasaan. Kalau gastrik datang menyerang, siapa susah? Amie juga yang sakitkan? Baiklah tinggalkan dulu bab melayan jiwa, kita layan dulu selera. Buat gempaq aje Amie petang ni ye....ngada-ngada pula!


Resepi: Mee Sup Seafood
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan:
400 gram mee kuning - celur dan toskan
hirisan daun sup
hirisan daun bawang
hirisan cili merah
air secukupnya
minyak

Bahan A:
10 ekor udang harimau - buang kulit dan belah belakang
20 biji bebola ikan
2 keping kek ikan
1 ekor sotong - bersihkan dan potong kecil
1 rumpun sawi - potong-potong
1/2 batang lobak merah - potong bulat
1 sudu serbuk pati ayam
1/2 sudu lada putih - tumbuk

Bahan B:
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih - cincang
1.5cm halia - hiris halus
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis Bahan B hingga wangi.
2. Masukkan air dan biarkan mendidih. 
3. Masukkan Bahan A dan masak selama 5 minit.
4. Letakkan mee kuning di dalam mangkuk.
5. Tuangkan bahan kuah.
6. Hias dengan hirisan daun sup, daun bawang dan cili merah.
7. Hidangkan bersama Sambal Kicap dan juga limau kasturi.


Sambal Kicap dari n3 Mee Hoon Sup. 



Sebenarnya..... Amie terpaksa memperlahankan aktiviti masak-memasak kerana tugas lain sedang menanti. Esok Amie akan ke Sandakan untuk mengikuti satu program berkaitan dengan potensi diri. Kemudian ada beberapa jemputan kahwin saudara sebelah Encik Suami mulai hari Jumaat sehinggalah hari Isnin. Hari Selasa minggu depan pula, Amie menghadiri mesyuarat rasmi di Tawau selama 3 hari. Kemudian datang ke sekolah untuk menghadiri mesyuarat guru pada 31 Disember 2011. Dan seterusnya....   mmmm, sebenarnya rasa sangat gembira dapat merempit masak. Walaupun musim cuti sekolah, tapi sebenarnya Amie ada tugasan yang perlu diselesaikan sepanjang cuti ini, tapi semua tugasan itu Amie laksanakan di rumah sambil mengunjungi rumah teman-teman blogger yang lain.  Itu yang buat Amie rasa sangat sedih tu...sebab masa untuk bersama rakan-rakan blogger kembali terhad! 

Air Rambutan

Terima kasih Ibundo kerana telah memberikan Amie idea untuk membuat Air Rambutan. Petang kelmarin Encik Suami membawa pulang lagi sebakul  penuh rambutan. Amie teringat komen Ibundo dalam n3 Amie tentang Pisang Nangka & Rambutan. Menurut Ibundo, kupas rambutan dan hiris, masak dengan air gula dan simpan dalam peti sejuk. Kalau hendak makan, masukan rambutan bersama airnya ke dalam cawan dan tambah ketulan ais. Sekali lagi terima kasih buat Ibundo, dan Amie ada buat tokok tambah sedikit ye Ibundo.


Resepi : Air Rambutan
Idea : Ibundo & Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram rambutan - kupas dan buang biji
1/2 liter air
5 sudu gula pasir
secubit garam
1 helai daun pandan

Cara:
1. Masak rambutan bersama kesemua bahan di atas hingga mendidih.
2. Sejukkan seketika dan simpan dalam peti sejuk.
3. Tambahkan ketulan ais sekiranya ingin menikmatinya.
~Amie tambah Sunquick Buah-buahan Tropika ke dalam gelas ketika menghidang~

Ini sahajalah yang dapat Amie hidangkan sebab Amie baru pulang dari sekolah. Sekolah kami mencapai keputusan dan peningkatan yang cemerlang dalam PMR. Murid dan ibu bapa sangat gembira...., berpeluk-pelukan sambil menitiskan airmata, manakala kami guru-guru cabuk .... hanya mampu menyaksikan sahaja kegembiraan mereka. Tahniahlah buat ibu bapa di atas kecemerlangan anak-anak. Selesailah sudah tugas kami untuk tempoh 2011 dan ditutup dengan peningkatan prestasi PMR yang memberangsangkan.

Rabu, 21 Disember 2011

Bubur Nasi Berlauk

Ada sesiapa yang sakit atau demam hari ini? Kalau kurang berselera untuk makan, apa kata Amie hidangkan Bubur Nasi Berlauk.


Mak oiiiii! Anak-anak Amie yang sihat pun habis makan bermangkuk-mangkuk! Kena simpan sikit untuk Encik Suami yang belum pulang dari tempat kerja. Kalau tidak.... habis licin bubur seperiuk!


Resepi: Bubur Nasi Berlauk
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan A- untuk bubur nasi:
2 cawan beras 
1 sudu serbuk pati ayam
1.5cm halia muda - hiris halus
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih -cincang
1 bonggol batang daun sup - hiris halus
1/2 sudu lada putih - tumbuk
air secukupnya

Bahan B - untuk lauk:
1 mangkuk ayam goreng yang dicarik
1 mangkuk ikan bilis goreng
3 biji telur masin - rebus - belah 2
1 cawan  pickled lettuce - potong dadu
hirisan daun sup
hirisan daun bawang
bawang goreng
hirisan cili merah / hijau
sambal kicap
limau kasturi - pilihan

Cara:
1. Satukan Bahan A dan masak hingga sempurna.
2. Setelah masak bubur nasi, hidangkan bersama Bahan B.



Amie hanya hiris cili padi dan cili hijau serta merah untuk sambal kicap. Tuangkan sedikit Kicap Cap Kipas Udang atau Kicap Habhals. Cukup rasanya, dan perahkan jus limau kasturi jika suka. Jom makan sama. Amie dan hidangkan dalam mangkuk kecil di bawah ni....


Bismillah....Allahumma bariklana fima rozaktana wa qina azabannar....

Smoothie Jambu Air Madu

Agak lama juga Amie tidak buat smoothie sebab kehabisan yogurt asli. beberapa kali ke pasaraya tapi nampaknya tiada bekalan yang dicari. Akhirnya Amie beli yogurt perisa strawberry. Tengahari ini, sebelum menikmati juadah yang sedang disediakan, apa kata kita makan dulu Smoothie Jambu Air Madu.


Resepi: Smoothie Jambu Air Madu
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram jambu air madu - potong kecil-kecil
200ml susu segar
100ml yogurt perisa strawbery
3 sudu gula

Cara:
1. Sejukbekukan jambu air madu selama 4-5 jam.
2. Masukkan jambu air madu bersama yogurt perisa strawberry, susu segar dan gula ke dalam pengisar.
3. Kisar hingga halus.
4. Tuangkan Smoothie Jambu Air Madu ke dalam gelas.
5. Letakkan aiskrim Berry Strwberry di atasnya.
6. Sedia untuk dinikmati.

Selasa, 20 Disember 2011

Pengat Pisang & Keladi

Jom cuci mulut dengan Pengat Pisang & Keladi. Nampaknya pisang nangka yang Encik Suami bawa dari kampung sudah masak ranum tapi belum terusik. Jadi petang tadi Amie rasmikan dengan membuat pengat daripada 3 biji buah pisang nangka dan campur dengan keladi serta jagung. Hasilnya jadi satu periuk! Encik Suami hantar separuh ke kampung untuk FIL. Alhamdulillah!


Resepi : Pengat Pisang & Keladi
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 biji pisang nangka - buang kulit dan potong serong setebal 1cm
1 biji keladi - buang kulit dan potong dadu
1 tin jagung
1/2 cawan biji sagu - rendam hingga kembang
250gram gula melaka - larutkan dalam 200ml air panas
200ml santan
sehelai daun pandan - disimpul
secubit garam

Cara:
1. Rebus keladi menggunakan 300ml air hingga empuk bresama daun pandan.
2. Masukkan jagung, dan pisang.
3. Masukkan air gula melaka dan secubit garam.
4. Masukkan santan diikuti dengan biji sagu.
5. Kacau sehingga biji sagu kembang dan keluar buih kecil.
6. Matikan api.
7. Pengat Pisang & Keladi sedia untuk dihidangkan.



Ada sesiapa berminat? Apalagi...ambil seorang semangkuk. Jom makan.

Spirals Hailam

Hari ini Amie tak masak nasi untuk hidangan tengahari. Amie sediakan Spirals Hailam untuk anak-anak. Jemput makan sama di Amie's Little Kitchen sementara stok masih ada... he he hehehhhh.


Lama tak makan mee hailam, rasa teringin tapi tak ada simpanan mee kuning. Baiklah Amie cuba gunakan pasta kering yang pelbagai macam dalam kabinet tapi jarang disentuh. Amie gunakan spiral untuk bahan masakan Amie kali ini. Amie rebus terlebih dahulu daging ayam dan udang untuk gunakan air rebusannya sebagai kuah Spirals Hailam.


Resepi: Spirals Hailam
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
250 gram spiral - rebus dengan beberapa titik minyak - toskan
300 gram daging ayam tanpa tulang - rebus & tos - hiris-hiris
15 ekor udang harimau & kertas - rebus & tos
1/2 batang lobak merah - hiris bulat
2 biji tomato - cincang
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 sudu sos tiram
2 sudu sos tomato
2 sudu kicap pekat
1 susu serbuk pati ayam
300ml air rebusan ayam & udang
1 sudu tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
3 biji telur
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah serta bawang putih hingga garing.
2. Masukkan tomato cincang dan tumis hingga hancur.
3. Masukkan daging ayam dan udang. Gaul sebati.
4. Masukkan sos tiram, sos tomato dan kicap. Tuangkan air rebusan ayam dan udang. Biarkan mendidih.
5. Masukkan spiral dan kacau rata.
6. Taburkan serbuk pati ayam.
7. Tuangkan air bancuhan tepung jagung.
8. Jika suka, sediakan satu ruangan berkuah dan pecahkan telur di dalamnya. Biarkan telur setengah masak.
9. Spirals Hailam siap untuk dihidangkan.
10. Jika suka hidangkan bersama cili jeruk.


Selamat menjamu selera dengan menikmati Spirals Hailam.

Isnin, 19 Disember 2011

Nasi Asoka

Setelah sepagi suntuk meninjau-ninjau buah epal bidara yang berbuah di luar pagar rumah Amie di SINI, jadi sebelah petang pula Amie sibuk di dapur. Kali ini  resepi dari Amie's Little Kitchen ialah Nasi Asoka, dan bukannya filem Asoka yang dibintangi oleh Shah Rukh Khan dengan Kareena Kapoor tu! Nampak macam klasik saja nama hidangan Amie kali ini. Apa tunggu lagi! Jom kita makan.


Lauk Nasi Asoka seperti di dalam resepinya, dihidangkan bersama ayam goreng yang dikukus terlebih dahulu. Jom kita semak sama-sama resepi Nasi Asoka yang sememangnya lazat ini.



Resepi: Nasi Asoka
Sumber: Sajian Tradisi Popular - Majalah Perempuan

Bahan-bahan:
1kg Beras Jati Super Siam Istimewa - Amie gunakan beras Basmathi
1 liter air
70ml susu sejat
garam secukup rasa

Bahan-bahan rempah kisar:
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji tomato
1 inci halia tua
1 sudu besar rempah masala

Bahan dedaun:
2 tangkai daun kari
3 tangkai daun pudina - Amie tak guna

Bahan kekacang:
1/2 cawan kacang gajus - digoreng
1/2 cawan badam - digoreng

Minyak untuk menumis:
3 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar minyak jagung

Cara:
1. Panaskan minyak sapi dan minyak jagung dalam rice cooker. Tumis bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan daun kari dan daun pudina dan tumis hingga layu.
3. Masukkan air, susu dan garam. Biarkan mendidih.
4. Masukkan beras dan tutup, kacau sekali-sekala.
5. Apabila wap nasi naik, gaulkan bahan kekacang dan kacau perlahan-lahan dan tutup periuk.
6. Apabila nasi telah kering, bolehlah dihidangkan bersama ayam goreng.

Sebenarnya tidak dituliskan resepi ayam goreng untuk nasi ini tetapi ada disebut tentang ayam tersebut hendaklah diperap bersama lada sulah dan garam masalah serta dikukus terlebih dahulu sebelum digoreng. Di bawah ini Amie sertakan resepi yang Amie sendiri buat untuk menghasilkan Ayam Goreng Asoka. Jadi, nama Ayam Goreng Asoka ini sememangnya pandai-pandai Amie sendiri untuk memberikan namanya.


Resepi: Ayam Goreng Asoka

Bahan-bahan:
4 keping daging ayam
minyak

Bahan perapan:
1 sudu besar rempah masala
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu lada putih - kisar
3 biji bawang putih - kisar
1.5cm halia - kisar
1 sudu besar serbuk pati ayam

Cara:
1. Perap daging ayam bersama bahan perapan selama 1/2 jam.
2. Kukus daging ayam sehingga masak. Keluarkan dari pengukus dan toskan.
3. Panaskan minyak dan goreng ayam tadi hingga garing.
4.Sedia untuk dihidangkan bersama Nasi Asoka.


Nasi Asoka memang sedap walaupun hanya berlaukkan Ayam Goreng Asoka! Tak rugi mencuba resepi ini sebab rasanya setanding dengan pelbagai nasi beraroma yang lain. Lepas makan Nasi Asoka, kita makan rambutan pula. Encik Suami bersama si bongsu mengait lagi buah rambutan di kampung. Sampai rumah waktu senja dengan sebakul rambutan yang lebih merah dari kelmarin!



Kalau makan banyak-banyak, nanti sakit tekak, batuk.... tanggung sendiri ye!



Ahad, 18 Disember 2011

Pisang Nangka & Rambutan

Jom makan rambutan kampung. Nak beli tempohari dua kali fikir sebab harganya RM8 sekilogram. Kenapalah mahal sangat harga buah-buahan tempatan sekarang ini. Baiklah tunggu rambutan masak atas pokok. Petang tadi Encik Suami bersama si bongsu sempat mengait rambutan di kampung walaupun belum masak ranum sepenuhnya. Dibawanya juga pulang sesikat pisang nangka yang hampir masak. Kata si bongsu, durian dengan langsat belum masak lagi. Oh...durian! 


Biasanya kalau bawa pisang, ubi, mangga dan sebagainya dari kampung, memang telinga Amie kena tahan panas sebab selalu Encik Suami bagi ceramah tentang pembaziran. Apa tidaknya, kadang-kadang apa yang dibawanya Amie biarkan saja.... sebenarnya adakalanya terlupa (letak di sudut dapur) tapi sebahagian besar penyebabnya ialah Amie tak tahu nak masak apa.... malaslah tu. Selain dibuat pisang goreng, apa lagi yang boleh dibuat dengan sesikat pisang nangka ini. Memang tidak banyak, tapi kalau tak diusik langsung...... 

Ikan Merah Masak Sambal Cocos

Ada sesiapa yang belum makan tengahari? Marilah datang ke dapur Amie. Amie hidangkan resepi Ikan Merah Masak Sambal Cocos. Ingatkan hari ini gantung periuk saja sebab Encik Suami ada sedikit kerja di luar yang hendak diselesaikan dan katanya tidak makan di rumah. Memang dia makan di luar tetapi 2 anak bujang Amie teringinlah pula makan ikan masakan tradisi sebelah bapanya. (Bujang yang seorang lagi berada di Sandakan, ikut pertandingan tarian singa.) Memang bujang sulung suka sangat masakan ini sebab sudah biasa dihidangkan menu begini di kampung. Biasanya MIL gunakan ikan bayan tapi oleh kerana Amie hanya ada ikan merah, ia juga boleh digunakan untuk masakan ini.



Resepi: Ikan Merah Masak Sambal Cocos 
(Istilah Cocos merujuk kepada suku kaum Melayu Cocos)
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 keping ikan merah
500ml santan sederhana pekat
2 biji limau nipis - perah jusnya
garam / perasa pilihan
serbuk kunyit
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1.5cm belacan - resepi tradisi asal tidak bubuh tapi Amie saja bubuh
1 genggam ketumbar biji

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng setengah masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan santan .
4. Masukkan ikan dan biarkan mendidih hingga ikan masak.
5. Masukkan garam dan perasa.
6. Masukkan jus limau nipis.
7. Ikan Merah Masak Sambal Cocos sedia untuk dihidangkan.

Marilah cuba resepi masakan tradisi Melayu Cocos yang memang terkenal dalam masyarakat ini. Menu ini selalunya dihidangkan dalam majlis kenduri dan bacaan doa selamat di kampung. 

Santai di Hari Minggu

Salam pagi minggu buat semua. Hari ini Amie hanya ingin duduk santai-santai di dapur setelah Amie menyedari bahawa selama ini Amie telah mengabaikan 2 buah blog yang Amie bangunkan sebelum Amie's Little Kitchen. Walaupun ketiga-tiga buah blog lahir dari 'rahim' yang sama, nampaknya Amie's Little Kitchen yang 'bongsu' ini yang mendapat lebih perhatian Amie. Nampak benar ketidakadilan dalam pembahagian 'kasih sayang'  dan perhatian Amie terhadap 'anak-anak' Amie ini. Inilah lumrahnya manusia, mudah melupakan dan tidak nampak apa yang ada di depan mata. Tanpa kewujudan The Story of Amie's Little Cottage dan Welcome To Amie's Home Library, sudah tentu tiada kehadiran Amie's Little Kitchen ini. Tanpa adanya yang lama, tentulah tidak akan muncul yang baru. Mungkin faktor pengurusan masa yang membuatkan Amie terpaksa melupakan seketika blog tersebut. Malam tadi Amie sempat melawat kotej Amie dan rasa sayu membaca kembali n3 terakhir Amie pada bulan Ogos bertajuk Teratak Yang Ditinggalkan. Bila masuk ke perpustakaan pula, baru teringat banyak yang masih terbengkalai, dan hanya sempat kemas kini tentang Gunung Merapi, iaitu lawatan Amie ke Pulau Jawa pada Mac 2011.

Amie ingin catatkan semula sebuah puisi bertajuk Kala Sarapan yang mempunyai ceritanya yang tersendiri. Amie pernah catatkannya di dapur ini pada 7 Oktober 2011 di SINI.


Kala Sarapan

akan kubancuh rindu dalam cangkir sunyi
menyapu cinta pada permukaan roti
mengunyah mimpi-mimpi bersama
dan merasai bayang-bayangmu
ada di setiap penjuru dapurku

sayang:
jamahan ini
buat mengisi lapar kasih sepanjang pagi
setelah kau tiada lagi di sisi


~~~~~~~~~~~~~~~~~

Apa agaknya yang akan kita lakukan sekiranya tidak dapat membendung rasa rindu yang membara terhadap segala kenangan lalu? Justeru itu, hargailah masa kini, sayangilah apa yang ada di sekeliling kita, orang yang paling hampir dengan kita pada ketika ini, dan di saat ini agar tiada rasa terkilan pada suatu ketika nanti ketika mereka tiada di sisi kerana kita telah mengabaikannya walaupun dia ada di depan mata.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Wah! Amie dah pandai bagi kuliah subuh gajah pula ye... he he hehh sekadar satu peringatan kerana pagi ini terasa sangatlah sayunya hati..... hari ini tiada menu untuk dihidangkan kerana Amie ingin bermesra dengan The Story of Amie's Little Cottage dan Welcome To Amie's Home Library. Kalau bukan hari ini, hari apakah lagi akan Amie pilih untuk kemaskini 2 buah blog itu. Jom ke sana!


Sabtu, 17 Disember 2011

Kuih Lenggang @ Ketayap

Pernah dengar nama Kuih Lenggang? Biasanya kita dengar nama Kuih Ketayap tapi di tempat Amie di sini, kuih ini mendapat gelaran Kuih Lenggang. Apa pun kedua-duanya membawa maksud yang sama. Bahan yang digunakan serta cara penyediaannya juga sama. Petang ini Amie gunakan sedikit masa (sebab banyak masa digunakan untuk menonton filem Hindustan) untuk membuat Kuih Lenggang. Oleh kerana si bongsu asyik menunggu dari mula menyediakan inti, jadi bila Amie buat lempeng, dia pun terus makan cicah inti kelapanya yang memang manis gurih rasanya. Akhirnya Amie pun terfikir, buat apa buang masa gulung benda yang boleh dimakan dengan cara yang lebih mudah. Di pertengahan waktu makan, terfikirlah pula betapa derhakanya Amie kerana telah mengubahsuai begitu rupa kuih tradisional nenek moyang kita. Jadi, supaya penderhakaan tidak terus berpanjangan sehingga habis lempeng dan inti kelapanya, Amie pun gulunglah mana lempeng yang tinggal baki seperti di bawah ini.


Resepi ini resepi turun temurun, tidak tahu dari mana asal-usulnya.Yang pasti, ia merupakan salah satu daripada kuih-muih tradisional masyarakat Melayu yang sememangnya pelbagai itu. Bagaimana pun Amie tuliskan juga resepinya sebagai rujukan generasi akan datang dan juga buat tatapan teman-teman pengunjung.

Resepi : Kuih Lenggang@Ketayap
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan A : Inti
2 cawan kelapa parut - buang kulit ari
150gram gula melaka - larutkan bersama 60ml air
2 sudu gula pasir - pilihan
secubit garam
sehelai daun pandan - disimpul

Bahan A: Kulit Lenggang@Ketayap
2 cawan tepung gandum
400ml susu segar
1 biji telur
secubit garam
3 sudu minyak
beberapa titik pewarna hijau 

Cara:
1. Masukkan  semua Bahan A termasuk kelapa parut, gula pasir, secubit garam dan daun pandan ke dalam larutan air gula melaka.
2. Panaskan di atas api sederhana.
3. Kacau sehingga semua bahan sebati dan menjadi melekit. 
4. Tutup api dan ketepikan.
5. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Tuangkan susu segar bersama secubit garam dan kacau rata.
6.Masukkan telur dan minyak,dan terus gaul sehingga adunan menjadi sebati. Sekiranya adunan agak kental,masukkan sedikit air.
7. Titiskan beberapa titis pewarna hijau  dan kacau rata - sebaiknya gunakan pati daun pandan.
8. Panaskan kuali (kuali non-stick adalah pilihan terbaik - jika ada), letak sedikit minyak dan tuang 1 senduk adunan ke dalam kuali dan layang-layangkan supaya menjadi bulat.
9. Biarkan masak diantara 1-2 minit dengan api perlahan. Jangan masak terlalu lama kerana akan mempengaruhi warna kulit ketayap.
10. Angkat kulit ketayap dan terus bubuh inti. Lipat kedua-dua belah tepi kulit dan gulung.

Kuih Lenggang@Ketayap yang Amie buat tidak cantik kerana pada mulanya memang tidak berhasrat untuk menggulung setelah melihat sibongsu makan dengan cara mencicahkan pada inti kelapa. Insya-Allah lain kali akan cuba menghasilkan kuih ini dengan lebih baik. Jom minum petang sama-sama.