Rabu, 30 November 2011

Nasi Beringin@Nasi Serai Dengan Jantung & Limpa Jintan Daun Limau Purut

Petang ini cuaca redup, nyaman, serta aman dan tenteram bagi sesiapa yang sedang enak tidur. Memang kalau keadaan sejuk begini mata pun ikut layu, mahu saja rebahkan kepala sebentar di atas bantal. Hmmm... kalau dilayan kehendak mata memang tak masaklah jawabnya. Bagi keluarga kecil Amie yang biasanya makan malam sebelum menjelang Mahgrib atau sebelum pukul 6 petang, memanglah sekurang-kurangnya kena berada di dapur selewat-lewatnya pukul 5 petang. Kononnya petang ini nak cuba resepi Limpa Jintan Limau Purut olahan Mieza@WAWMC. Bila buka bungkusan limpa, rupanya ada jantung lembu bersama. Amie rendam sekali dan masak sekali harung kedua-duanya. Oleh kerana terlupa untuk membeli daun bay (kelmarin keluar ke pasaraya), tak jadilah nak buat Nasi Jintan Daun Bay yang Mieza buat tu. Terpaksalah cari alternatif lain menggunakan bahan yang ada untuk ditemankan bersama Limpa Jintan Limau Purut.


Akhirnya dapur Amie dipenuhi harum semerbak Nasi Beringin@Nasi Serai dengan Jantung dan Limpa Jintan Daun Limau Purut. Bayangkanlah........di luar sedang hujan dengan lebatnya, kedinginan terasa sampai meremang bulu roma (sebab pakai baju lengan pendek), dan di atas kuali sedang merenih Jantung dan Limpa Jintan Daun Limau Purut, manakala di periuk pula sedang mendidih Nasi Beringin@Nasi Serai. Beberapa kali si bongsu menerpa ke dapur membuka tutup kuali........mencicipi kuah Jantung dan Limpa Jintan Daun Limau Purut. Sedap! Itu katanya.... memang sedap! Terima kasih ye Mieza di atas perkongsian resepi yang sangat enak ini. Bagi sesiapa yang ingin mencuba resepi ini bolehlah klik ke resepi Limpa Jintan Limau Purut di SINI. Untuk resepi nasinya pula bolehlah klik ke resepi Nasi Beringin@Nasi Serai di SINI.


LIMPA JINTAN LIMAU PURUT


Bahan-bahan:

300 gm limpa - cuci dan potong kecil - Amie tambah jantung 

1 sk garam - atau secukup rasa

1 biji bawang besar - potong bulat
3 biji cili merah - hiris panjang 1 inci
5-6 helai daun limau purut
3-4 sb tomato sup - mieza pakai brand kimball
Minyak untuk menumis

Bahan A: Kisar halus
1 inci halia
4-5 biji bawang putih
5-6 biji bawang merah

Bahan B: Bahan Kisar halus, kisar kering
1 sk jintan manis
1 sk jintan putih
1 sk ketumbar
1 sk lada hitam - atau mengikut kesukaan masing, kalau suka pedas panas lada hitam boleh la letak lebih



Cara-cara:

1. Gaulkan limpa dengan garam kunyit dan diperap lebih kuorang 15 minit.

3. Masukkan limpa yang sudah digaul garam kunyit. Tambahkan sedikit air dan masak hingga limpa masak. Masak limpa ialah seperti memasak hati lembu. Untuk mempercepatkan limpa masak, tutup kuali dan biarkan ia mereneh hingga kuah agak pekat. Mieza suka masakan kering jadi mieza reneh hingga kering. 

5. Masukkan tomato sup dan kacau rata. Renehkan 1 minit.
6. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, daun limau purut dan cili merah dan gaul rata. Tak perlu lagi letak garam sebab limpa sudah pun diperap dengan garam.
7. Angkat dan hidangkan.

Untuk resepi Nasi Beringin@Nasi Serai yang tidak kurang sedapnya dan semerbak harum baunya, Amie copy paste dari MYResepi.Com milik asal SyidaMustafa. Terima kasih banyak-banyak ye Syidah, walaupun belum kenal tapi minta halalkan perkongsian resepi yang enak ini. Di sini Amie panjangkan resepi Syidah untuk teman-teman yang lain walaupun sebenarnya sudah ramai yang mencuba resepi ini.

Resepi Asal: Nasi Beringin@Nasi Serai
Sumber: SyidahMustafa@MYResepi.Com

Bahan-bahan ( 4 orang )

  • 2 cawan beras biasa
  • 1 sudu kecil jintan kasar
  • ½ biji bawang besar (yang kuning)
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 5~6 Batang Serai
  • 1 sudu Besar marjerin
  • Air untuk menanak nasi
  • sedikit garam

Cara-cara

  1. Tumbuk bawang putih, bawang besar, halia
  2. Titikkan serai
  3. Panaskan periuk dan cairkan marjerin
  4. Tumis dahulu jintan kasar
  5. Kemudian tumis bahan2 yang ditumbuk bersama-sama serai yang dititik
  6. Masukkan air dan garam dan masak nasi seperti biasa
  7. Tunggu lah nasi ni.. dan tahanlah perut bila hidu bau wangi nasi ni...ok...selamat mencuba!



Wokey.... inilah kombinasi saling lengkap melengkapi dengan pelbagai aroma herba dan rempah ratus yang sudah semestinya sangat lazat. Amie lengkapkan dengan acar mentah. Anak-anak kata Nasi Beringin@Nasi serai sangat sedap, dengan gandingan kuah Jantung & Limpa Jintan Daun Limau Purut! Alhamdulillah..... sesungguhnya resepi Amie petang ini agak mudah dan sudah tentu serba ringkas!


Pear Smoothie

Bayangkan waktu tengahari begini, ketika matahari sedang memancarkan sinarnya yang terik....kita duduk santai-santai di Amie's Little Kitchen sambil menikmati segelas Pear Smoothie. Rasanya yang enak, sedikit masam yogurt, lemak manis campuran susu segar dan sedikit gula serta kelembutan buah pear beku yang dikisar halus..... dingin dan menyegarkan! Ah..... bagi pengunjung yang sedang kedinginan di musim tengkujuh, ampun beribu-ribu ampun! Mungkin tersilap hidangan untuk kali ini.... keh keh keh... Lupakan dulu hidangan berat untuk tengahari ini, kita nikmati dulu Pear Smoothie yang sangat lazat di bawah ini....


Resepinya sama saja dengan smoothie yang lain tapi Amie tuliskan juga di sini untuk tatapan bersama.

Resepi: Pear Smoothie
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 biji buah pear@pir - buang biji tapi jangan buang kulit,  kerana banyak khasiat pada kulitnya yang hijau itu, potong kecil-kecil
100 ml yogurt asli / yogurt tanpa perisa
200ml susu segar
2 sudu gula - pilihan

Cara:
1. Sejukbekukan hirisan buah pear@pir selama 4-5 jam 
2. Masukkan buah pear ke dalam pengisar bersama yogurt asli, susu segar dan gula.
3. Kisar hingga halus.
4. Tuangkan ke dalam gelas.
5. Sedia untuk dinikmati.

Pear Smoothie Amie kali ini habis dilicinkan oleh si bongsu dan si sulung. Amie dapat sikit je....si tengah sedang tidur di ruang tamu kerana kepenatan baru pulang dari Jambori Pengakap Asia Pasifik semalam. Kalau dia tahu, meraung dibuatnya.... he he hehhh....boleh buat lagi nanti sebab yang penting susu segar berjaya 'dimasukkan' ke dalam perut anak-anak secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

Selasa, 29 November 2011

Itik Panggang

Bila sebut tentang itik, ada yang suka dan tidak kurang pula yang tidak suka. Amie belajar makan hidangan itik daripada keluarga sebelah suami. Apa istimewanya hidangan itik? Sedap atau sebaliknya, itu ikut citarasa masing-masing. Ada dua resepi memasak itik yang Amie pelajari. Pertama, itik masak sambal daripada ibu mentua, dan yang kedua Amie tak tahu apa nama resepinya.... rebus itik hingga empuk, kemudian lumurkan dengan pelbagai bahan perisa dan kemudian goreng hingga kuning keemasan. Resepi kedua Amie belajar melalui kakak ipar. Namun kadang-kadang Amie ubahsuai resepi tersebut. Setelah merebus hingga empuk, Amie lumurkan dengan pelbagai bahan perisa dan kemudian panggang pula dalam ketuhar. Jadilah Itik Panggang dalam ertikata masakan Amie yang tersendiri. Kami ada seekor itik daging yang sudah dibersihkan seberat 2.6kg. Suami kata masaklah seperti biasa, rebus hingga empuk dan kemudian goreng. Amie cadangkan supaya panggang sahaja tanpa direbus terlebih dahulu tapi suami kata.... eh! Macamana nak makan kalau itik keras macam batu? Memanglah daging itik keras tapi nanti dulu.... Amie cuba jumpa Encik Google untuk selesaikan masalah ini.


Agak-agak Itik Panggang di atas ini benar-benar dipanggang atau direbus dulu kemudian baru dipanggang? Amie telah bertemu dengan Encik Google yang telah memberi Amie pelbagai cadangan untuk masak Itik Panggang. Antaranya termasuklah Resepi Duck Roast di SINI, atau Cantonese Roast Duck Recipe di SINI. Ada lagi resepi Peking Duck di SINI dan juga Resepi Itik Panggang di SINI. Kalau masih tak cukup, bolehlah klik Resepi Bebek Panggang Ngo Hiang di SINI


Berdasarkan beberapa panduan resepi dan pengalaman sendiri Amie akhirnya putuskan untuk memanggang dengan cara Amie sendiri. Amie gunakan beberapa bahan perapan termasuk madu dan sos hoisin serta five spices seperti yang dicadangkan dalam beberapa resepi yang Amie baca walaupun Amie tak jumpa jintan hitam, tapi Amie gantikan dengan jintan putih. Kemudian Amie perap semalam di dalam peti sejuk. banyak langkah yang terpaksa diikuti untuk menghasilkan Itik Panggang Amie kali ini. Misalnya, setelah itik dibersihkan dengan memerap selama 40 minit bersama air limau nipis dan garam, Amie toskan itik tersebut selama 1 jam supaya itik benar-benar kering sebelum dilumur bersama bahan perapan. Setelah diperap semalaman, Amie tonggengkan itik tersebut supaya air perapan tidak terkumpul dalam daging tersebut. Sebaik-baiknya itik hendaklah dipanggang secara menegak tapi manalah kita ada ketuhar seperti yang digunakan oleh restoran-restoran Cina. Amie hanya panggang di dalam oven dengan api yang paling sederhana selama 3 jam. Setiap 30 minit Amie akan buka oven dan keluarkan minyak dari lemak itik yang tidak henti-henti menitis ke bawah. Pada masa yang sama, Amie sapu seluruh badan itik dengan campuran sos hoisin, madu dan kicap cair. Panjangnyalah cerita pasal itik.....  Di bawah ini bahagian peha itik, dan bahagian yang sebelahnya kenalah tutup sebab kena 'sopan'lah sikit.... he he heheh


Inilah hasilnya Itik Panggang olahan resepi Amie. Walaupun kulitnya tak segurih dan segaring seperti yang tergantung di restoran tetapi sekurang-kurangnya Amie boleh buktikan kepada suami bahawa Itik Panggang tanpa direbus terlebih dahulu bukanlah keras seperti batu sebagaimana sangkaannya.



Ini ialah bahagian peha itik yang sudah dipotong-potong. Pada mulanya Amie memikirkan itik seberat 2.6kg ini besar sangat dan banyak hasilnya tetapi rupanya sekali hidang, licin dalam sekelip mata.


Ini bahagian dada itik. Nampak merekah... itu menunjukkan Amie belum mahir dalam hal memanggang itik. Sebelum ini Amie kurang berminat untuk makan bahagian dada ayam, tapi lain pula dengan dada itik. Pada Amie dada itik merupakan bahagian yang paling sedap berbanding bahagian lain!


Insya-Allah, lain kali kalau berkesempatan untuk memanggang itik, Amie akan cuba yang lebih baik terutama pada bahagian kulitnya yang sebenarnya rangup setelah habis minyaknya mengalir keluar! Ada sesiapa yang berminat untuk mengetahui resepi Itik Panggang Amie? Mungkin ramai yang kurang berminat dengan resepi itik tapi  Amie kongsikan bersama seperti di bawah ini:

Resepi: Itik Panggang
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor itik - bersihkan, buang kepala dan kaki
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1 sudu besar garam

Bahan perapan:
1 labu bawang besar - kisar
3 biji bawang putih - kisar
3cm halia - kisar
1 sudu madu
1 sudu sos tiram
1 sudu kicap cair
1 sudu kicap pekat
2 sudu sos hoisin
1 sudu lada putih - kisar
2 sudu five spices - bunga lawang, cengkih, kulit kayu manis, lada sulah dan jintan hitam - kisar 
garam - secukup rasa / jika perlu
sediakan sedikit campuran sos hoisin, madu dan kicap untuk melumuri badan itik ketika dipanggang

Cara:
1. Lumurkan seluruh badan itik dengan jus limau nipis dan garam. Biarkan selama 40 minit.
2. Cuci itik sehingga bersih dan toskan selama 1 jam.
3. Lumurkan seluruh badan itik luar dan dalam bersama bahan perapan.
4. Perap semalaman di dalam peti sejuk
5. Keluarkan itik yang diperap dan toskan supaya keluar air dari badan itik selama 2 jam.
6. Panggang itik di dalam ketuhar dengan api perlahan selama 3 jam.
7. Setiap 30 minit, keluarkan itik dan buang minyak dari lelemak itik. 
8. Sapu seluruh itik dengan campuran sos hoisin, madu dan kicap.
9. Setelah itik masak, biarkan seketika anggaran 15 minit sebelum dipotong untuk dihidangkan.

Amie tidak menyediakan Sos Vietnam untuk pencicah Itik Panggang sebaliknya Amie buat sejenis pencicah yang selalu kakak ipar Amie hidangkan semasa BBQ di kampung. Tapi.... tak tahu apa namanya...



Bahan-bahan:
15 biji cili kering
10 biji bawang merah - hiris nipis
7 biji bawang putih - hiris nipis
1 cawan bancuhan air asam jawa 
jus limau kasturi- pilihan
kicap secukupnya - Amie gunakan Kicap Cap Kipas Udang yang sudah cukup lengkap segala rasanya

Cara:
1. Goreng bawang putih, bawang merah dan cili kering hingga garing.
2. Masukkan cili kering, bawang merah dan bawang putih goreng, air bancuhan asam jawa dan kicap ke dalam pengisar.
3. Kisar hingga halus.
4. Tuang ke dalam mangkuk.
5. Boleh tambah jus limau kasturi jika suka - takperlu bubuh garam kerana kicap sudah cukup perasanya.


Potato Wedges & Cream of Mushroom Soup

Selamat pagi semua. Eh.... masih pagi ke ni....di luar sinaran matahari terik memancar, pakaian di jemuran pun sudah mula mengering. Ibu-ibu di dapur mungkin sudah ada yang bersiap-siap untuk menyediakan hidangan tengahari. Amie.... he he hehhh baru ada kesempatan untuk menghidangkan menu sarapan pagi ini buat rakan pengunjung setia ke Amie's Little Kitchen. Amie belum berkira-kira untuk menyediakan menu tengahari memandangkan perut kami anak beranak masih lagi kenyang dengan pelbagai jenis sarapan pagi tadi.


Amie sediakan Kentang Wedges@Potato Wedges. Kali ini Amie goreng gunakan Tepung Goreng Pisang Adabi dan bukannya bancuhan tepung gandum, tepung jagung, serbuk lada hitam dan serbuk ENO seperti yang Amie selalu buat..... tapi lada hitam dan serbuk ENO masih digunakan dalam resepi ini. Bukan apa.... Tepung Goreng Pisang Adabi yang ada sebungkus dalam almari dapur tak pernah disentuh... nanti sampai tarikh luput, masuk tong sampah.... membazir pula. Baik gunakanlah untuk cuba-cuba goreng kentang ......


Permintaan anak-anak juga dapat dipenuhi dengan hidangan Cream of Mushroom Soup dan juga roti panggang. Anak-anak pun rajin cuci perut awal pagi dengan jus mangga hasil air tangan Amie. Di bawah ini Amie kongsikan resepi Potato Wedges yang menggunakan Tepung Goreng Pisang Adabi.


Resepi: Kentang Wedges
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
7 biji kentang - buang kulit dan potong wedges
1  1/2 cawan Tepung Goreng Pisang Adabi
1 sudu teh lada hitam - tumbuk
1 sudu teh serbuk ENO
1 sudu teh serbuk pati ayam
air secukupnya
minyak

Cara:
1. Rebus kentang dengan secubit garam sehingga lembut. Angkat dan toskan.
2. Campurkan kesemua bahan seperti tepung, serbuk lada hitam, serbuk pati ayam, serbuk ENO dan bancuh bersama air. Kacau sebati mengikut kepekatan pilihan masing-masing.
3. Celup kentang rebus tadi ke dalam adunan tepung dan goreng dalam minyak panas dan tenggelam.
4. Apabila kentang goreng berubah kuning keemasan, angkat dan toskan minyak.
5. Sedia dihidangkan bersama sos pilihan.

Isnin, 28 November 2011

Ubi Rebus Sambal Ikan Bilis

Selamat petang semua. Ingatkan petang ini Amie nak masukkan gambar buah tarap seperti yang diminta oleh Ucu Faridah suatu ketika dahulu tetapi menurut suami buah tarap masih muda dan belum boleh dipetik. Amie tak ikut pergi kampung jadi tak dapatlah nak ambil gambar buah tarap yang sedang bergantungan di pokoknya. Si bongsu sibuk mengangkut buah kelapa muda dari kereta dibawa ke dapur. Katanya, esok boleh buat smoothie. Oh....anakku sudah mula mengerti apa itu smoothie sampai buah kelapa muda pun dia sudah tahu boleh dijadikan smoothie. Sibuklah dia bercerita, katanya masuk kebun petik ubi.....aikkkk? Petik ubi pulak dah...... kesian anakku....kenapalah ubi dipetik sayang oiiiii..... kemudian dia betulkan perkataan 'petik' kepada 'cabut'  setelah Amie tanya: Oh! Ubi kena petik ye sayang?  Ketika bapanya sedang mencabut rumput di belakang dapur, sibongsu buka tingkap dapur dan duduk berhampiran sinki tempat Amie kupas ubi. Macam-macamlah pertanyaannya tentang kulit ubi.... he he hehh...syukurlah kalau ada anak-anak yang rajin bertanya itu dan ini. Sekurang-kurangnya mereka menunjukkan minat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut dan itulah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Lagipun kehidupan mereka bukanlah sama dengan kehidupan kita....kehidupan Amie masa kecil dahulu yang bergelut dengan lumpur dan selut, berlarian di bawah pokok getah, berkubang dalam anak sungai menjaring anak ikan, masuk kebun orang mencuri jambu batu..... alamak! Terbongkar rahsia masa silam jadi pencuri.... hi hi hiiii...


Sambil mulut sibuk melayan pelbagai pertanyaan si bongsu, tangan pun sibuk menyiapkan hidangan petang. Dah siap pun..... jom kita minum secawan teh sambil menikmati ubi rebus bersama sambal ikan bilis. Nak letak resepi juga ke.... tak payahlah kalau setakat ubi rebus. Semua orang tahu merebus tu gunakan air, dan bukannya minyak.... he heheh. Resepi Sambal Ikan Bilis pun ringkas saja tapi Amie tuliskan jugalah di bawah ini.

Resepi: Sambal Ikan Bilis
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cawan ikan bilis
1/2 cawan bancuhan air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar - mayang
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1.5cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan air asam, dan ikan bilis. Biarkan kuah pekat.
3. Masukan garam, dan gula secukup rasa
4. Masukkan bawang besar. Kacau rata hingga bawang layu.
5.Angkat dan hidangkan bersama ubi rebus.


Sesiapa yang belum minum petang dan berminat untuk makan Ubi Rebus Sambal Ikan Bilis, jemput ye.... yang tak pandai makan ubi rebus....silalah cari menu lain ye... he he hehh.... sebab anak-anak tak pandai makan ubi rebus, dicicahnya sambal ikan bilis dengan roti. Hmmmm.... tekak mereka berbeza dengan zaman tekak kita ........Jom,  sambil makan sambil mengenang nostalgia lampau semasa di kampung!


Smoothie Durian Belanda

Sudah makan tengahari? Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan rezeki dan limpah kurnianya, kita sebagai rakyat Malaysia patut sentiasa rasa bersyukur kerana bumi kita subur,aman dan makmur. Orang kata, campak benih tumbuhlah dia, bungalah dia, berbuahlah dia... he he hehhh... ini mukadimah nak hidangkan Smoothie Durian Belandalah ni.... Masa kecik-kecik dulu suka kekah buah durian belanda di kebun nenek. Selalunya tupai dahululah yang makan, kemudian diikuti oleh kami adik-beradik yang rajin mengunjungi dusun nenek yang penuh dengan segala pokok buah-buahan. Anak-anak kami pun mengenali buah durian belanda dari kebun neneknya di sini pula dan bukan kebun nenek di Bukit Hijau. Smoothie Durian Belanda di bawah ini bukanlah hasil durian belanda yang dipetik dari pokok tetapi hasil memetik di pasar Lahad Datu ketika kami meronda awal pagi tadi.


Oleh kerana  stok susu segar hampir kehabisan jadi Smoothie Durian Belanda agak kental hasil kejadiannya. Amie hanya tambah 50ml susu segar sahaja.

Resepi: Smoothie Durian Belanda
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji  isi durian belanda masak ranum  seberat 500gram - buang kulit dan biji
100ml yogurt asli
200ml susu segar - Amie gunakan 50ml sahaja
3 sudu besar gula

Cara:
1. Sejukbekukan isi durian belanda.
2. Masukkan isi durian belanda bersama yogurt asli, susu segar dan gula ke dalam pengisar.
3. Kisar kesemua bahan hingga halus.
4. Tuang ke dalam gelas.
5. Sedia untuk dinikmati.

Bila suami nampak Amie beli durian belanda, dia pun mengingatkan tentang buah durian belanda di kebun di belakang rumah ayahbondanya. Hmmm.... entah berapa lama dia tidak menjenguk kebun di kampung. Tiba-tiba selepas sembahyang Zohor, dia ajak anak-anak pergi kampung... katanya hendak memetik buah terap. Ha.... pasal buah terap@tarap ni...teringat pada Ucu Faridah yang teringin nak tengok buahnya. Nanti ye Ucu... harap-harap adalah sebiji dua buah terap@tarap yang akan dibawa pulang!

Set Sarapan Western

Salam pagi Isnin dan selamat bercuti. Tentu ramai yang sudah merancang untuk beraktiviti bersama keluarga pada hari ini. Seawal pukul 6 pagi tadi, setelah sekian lama tidak menjenguk pasar, Amie bersama suami mengambil masa selama 1 jam lebih meronda pasar Lahad Datu...... melihat peraih menurunkan sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya di pasar borong. Nampaknya hanya beberapa lori ikan sahaja yang menurunkan ikan tuna di pasar tapi kami tidak singgah membeli kerana pada sebelah pagi tidak banyak jenis ikan yang boleh dipilih. Kami pulang ke rumah ketika matahari sedang elok memancarkan cahayanya dari arah Laut Sulu. Pagi ini, Amie seperti biasa menghidang mana yang patut untuk alas perut kami sekerluarga.


Menu pagi ini ialah Set Sarapan Western. Inilah menu yang paling mudah dan ringkas. Keluarkan beberapa keping roti, panaskan kacang  panggang, goreng telur mata kerbau dan ada tambahan jagung manis rebus. Jagung manis ini baru dibeli dipasar dan memang segar!

Menu: Set Sarapan Western
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan: 
3 keping roti Gardenia
3 sudu makan kacang panggang
1 biji telur
3 batang sosej
2 batang jagung manis 
butter, strawberry jam, apricot jam, marmalade dan lain-lain pilihan jem

Cara:
1. Rebus jagung manis dengan sedikit garam hingga masak.
2. Celur sosej.
3. Goreng telur mata kerbau.
4. Panaskan kacang panggang.
5. Sedia untuk dihidangkan bersama roti panggang.



Dan juga secawan teh 'o' lemon panas.


Biarpun ada Set Sarapan Western, nasi lemak tetap menjadi pilihan!


Ahad, 27 November 2011

Stik Daging Rusa

Petang ini Amie's Little Kitchen menghidangkan menu Stik Daging Rusa buat pengunjung yang budiman. Resepi asal yang Amie gunakan ialah Stik Daging Lembu berdasarkan buku resepi Makanan Barat olahan Chef  Hanieliza. 



Resepi Asal: Stik Daging Lembu
Sumber : Masakan Barat oleh Chef Hanielieza

Bahan A:
500 gram daging batang pinang - stik - Amie gunakan daging rusa
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu teh madu ataupun gula
1 sudu makan sos plum

Bahan B:
1 sudu teh serbuk lada hitam
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan C:
(Untuk Sos Lada Hitam)
1 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu makan tepung jagung
1 cawan air
1 sudu makan sos tomato
1 sudu makan kicap pekat

Cara Membuat Stik:
1. Daging dipotong lebar setebal 1 cm.
2. Gaul semua Bahan A dan Bahan B dan perap selama 4-5 jam.
3. Masukkan semua bahan ke dalam kuali non-stick dan tutupkan dengan tudung.
4. Masak di atas api sederhana hingga air kering dan daging lembut.
5. Angkat daging dan sediakan sos.

Cara Membuat Sos Lada Hitam:
1. Panaskan semua bahan C termasuk lebihan bahan daging di dalam kuali non-stick.
2. Kacau sehingga sos menjadi pekat.
3. Susun stik daging ke dalam pinggan bersama bahan hiasan pilihan.
4. Tuangkan sos lada hitam.


Jemput makan Stik Daging Rusa bersama Amie.... dengan segelas jus belimbing.....


Jangan risau.... kalau nak tambah ada lagi Stik Daging Rusa di bawah ini.....

Jus Belimbing Dengan Lemon

Selamat tengahari semua. Tentu sedang enak menikmati hidangan tengahari Ahad ini bersama yang tersayang. Amie tambahkan hidangan anda dengan Jus Belimbing Dengan Lemon. Amie belum bubuh ais kiub. Jadi sesiapa yang berminat untuk minum bersama Amie, kena bubuhlah sendiri berapa banyak ketulan ais yang diperlukan ye....



Bahan-bahan:
2 biji belimbing - bersihkan dan potong kecil-kecil
1/2 biji lemon - ambil jusnya
300ml air
3 sudu besar gula

Cara:
1. Masukkan belimbing, jus lemon, air dan gula ke dalam pengisar. 
2. Kisar kesemua bahan hingga halus.
3. Tapis bahan kisar.
4. Tuang ke dalam gelas.
5. Letakkan ketulan ais - pilihan.
6. Sedia untuk dinikmati.

Untuk mengetahui khasiat buah belimbing dengan lebih lanjut sila klik di SINI. Manakala khasiat lemon pula sila dapatkan maklumat di SINI, dan di SINI.

Sabtu, 26 November 2011

Ikan Bunak Panggang

Alhamdulillah...... tirai tahun baru hijrah telah bermula. Mudah-mudahan segala semangat dan azam baru terus terpahat kukuh untuk dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Insya-Allah dengan usaha dan segala ikhtiar,  akan tercapailah segala azam dan harapan itu. Amie.... juga punya azam, harapan dan cita-cita untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Harapan Amie semoga hubungan Amie sesama manusia akan bertambah baik.... terutama bab umpat-mengumpat... inilah yang kita tidak sedar bahawa kita selalu 'makan daging saudara kita'  samada secara sedar mahupun sebaliknya. Kalau dosa kepada Allah, kita masih berkesempatan memohon ampun dengan bertaubat tapi kalau dosa mengumpat..... nauzubillah! Ya....Allah, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa menggunakan lidah dengan sebaik-baiknya......amin!


Amie panggang ikan bunak. Resepi asalnya ialah Siakap Panggang dari Kompilasi Masakan Sarawak. Selalunya kalau panggang ikan Amie buat ringkas saja tapi memandangkan Amie mempunyai lebih masa di dapur, jadi Amie cubalah pelbagai resepi dari buku-buku masakan yang Amie beli dan kumpul selama ini. Di bawah ini Amie tuliskan resepi asalnya iaitu Resepi Siakap Panggang.

Resepi Asal: Siakap Panggang
Sumber: Kompilasi Masakan Sarawak - Chef Sarji Ramli

Bahan-bahan:
500 gram ikan siakap - buang sisik dan perut, dibelah 2
80 gram asam jawa - bancuh dengan 1 sudu makan air
1 helai daun kunyit - dihiris
1 sudu biji lada hitam - dipecahkan (ditumbuk)
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh belacan - dibakar dan dijadikan serbuk
1/2 sudu makan garam

Bahan kisar:
10 biji cili padi
5 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
4cm kunyit hidup
3cm halia

Bahan sos:
3 biji jus limau kasturi
2 biji cili merah -hiris nipis
1/2 cawan kicap manis
1 sudu makan taucu
1 sudu teh belacan - dibakar dan jadikan serbuk

Cara:
1. Gaulkan ikan dengan bahan kisr, asam jawa, serbuk cili, lada hitam dan garam. Perap selama 3 jam.
2. Bakar ikan di atas bara api sehingga setengah masak. Taburkan serbuk belacan sedikit-sedikit - Amie bakar dalam ketuhar.
3. Apabila ikan hampir masak, taburkan daun kunyit.
4. Satukan semua bahan sos di dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati.
5. Hidangkan ikan panggang dengan sos.




Amie tambah hirisan bawang besar dalam sos.


Inilah rupa paras ikan bunak panggang Amie.

Smoothie Mangga Wani@Kuinin

Menu yang sukar untuk ditinggalkan dalam diet harian keluarga Amie tentulah smoothie. Sebelum ini Amie hanya beli dari seorang kawan kerana anak-anak sangat menggemarinya. Kadang-kadang kalau terlambat buat pesanan, kami hanya dapat Smoothie Betik@Papaya, dan anak-anak kurang meminati buah tersebut. Akhirnya Amie putuskan lebih baiklah Amie sediakan sendiri di rumah. Bahan asasnya pun tidaklah susah sangat untuk dicari. Kita boleh ubahsuai sendiri mengikut citarasa. Misalnya kalau buah pilihan kita itu sudah sedia manis, bolehlah kurangkan gula atau tak perlu bubuh langsung. Satu lagi, tentulah untuk menikmati yogurt dengan campuran buah-buahan dan susu segar dalam keadaan yang memenuhi kehendak serta selera keluarga. Khasiat yogurt memang tidak boleh disangkal lagi dan Amie sebenarnya telah mempelajari cara membuat yogurt daripada seorang rakan keturunan India tetapi sehingga kini masih belum berani mencuba. Amie gunakan yogurt asli yang banyak didapati di pasaraya. Hari ini Amie buat Smoothie Mangga Wani (nama yang diberikan oleh masyarakat tempatan, dan buah ini kebanyakannya didatangkan dari Filipina). Amie gunakan sebiji buah mangga wani@kuinin untuk mendapatkan 2 gelas smoothie seperti di bawah ini.


Resepi: Smoothie Mangga Wani@Kuinin
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 biji mangga wani@kuinin - kupas kulit dan potong dadu
60ml yogurt asli
50ml susu segar
1 sudu gula - Amie kurangkan gula kerana mangga ini manis

Cara:
1. Sejukbekukan mangga wani@kuinin selama 4-5 jam.
2. Campurkan mangga wani@kuinin bersama yogurt asli, susu segar dan gula ke dalam pengisar.
3. Kisar hingga halus.
4. Tuang ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.

Oleh kerana cuaca hari ini sekejap panas dan sekejap mendung.... ia tidak memberi kesan bagi membuat keputusan untuk menyediakan smoothie atau pun tidak. Apabila smoothie sudah terhidang, tidak sampai 5 minit..... habis.....

Pancit Guisado (Mee Daging dan Sayur)

Salam Maal Hijrah buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Tentu semua sudah memasang azam baru sempena tahun baru hijrah pada kali ini. Jangan lupa doa penutup akhir tahun dan doa pembuka awal tahun hijrah untuk petang ini. Mudah-mudahan kita dapat manfaatkan hari ini dengan muhasabah diri, membina azam melakukan yang lebih baik daripada yang kurang baik. Apa pun yang kita lakukan pada hari ini jangan lupa alas perut dulu....keperluan asas mesti dipenuhi untuk meneruskan aktiviti kita seterusnya. Pagi ini Amie kongsi resepi dari Filipina... terlebih rajin pula pagi ini untuk buat sarapan. Resepi ini Amie ambil dari  himpunan Sarapan Pilihan Ramai  Buku Masak Chef Terkemuka Zaidah Mohd Noor. Ada beberapa bahan yang Amie tidak bubuh dalam menu seperti paprika dan juga udang.


Resepi: Pancit Guisado (Mi Daging dan Sayur)
Sumber: Buku Masak Chef  Terkemuka Zaidah Mohd Noor - Hidangan Filipina

Bahan-bahan: (untuk 6 orang)
250 gram mi beras leper kering - Amie guna Mee Kering Cap Udang
60ml (1/4 cawan) minyak sayuran
1 ulas bawang putih -dikupas dan ditumbuk
250gram daging lembu - dihiris tipis-tipis
250gram dada ayam - dihiris tipis-tipis
250 gram udang - dibuang kulit dan urat dan didadu - Amie tak bubuh
1 biji bawang besar yang sederhana - belah 2 dan hiris tipis-tipis
80 gram kubis - dihiris-hiris - Amie tambah sayur sawi dan hirisan lobak merah
175ml (3/4 cawan) air rebusan ayam
secubit paprika - Amie tak bubuh
1 sudu teh garam
1 sudu teh lada hitam - kisar
3 sudu besar sos ikan 
2 keping tauhu - digoreng terendam dan didadu

Bahan hias:
2 biji telur rebus - belah 2
2 tangkai daun bawang - hiris halus
6 biji limau kasturi - belah 2

Cara:
1. Masak mee dengan air mendidih selama 2 minit. Tapis, bilas dengan air sejuk dan toskan. Bubuh di dalam mangkuk besar dan gaul rata-rata dengan minyak sayuran.
2. Panaskan 1 sudu minyak sayuran di dalam kuali dan goreng mee sehingga keperang-perangan. Angkat dan ketepikan.
3. Bersihkan kuali dan panaskan 1 sudu besar minyak sayuran. Tumis bawang putih sehingga keperang-perangan. Tambah daging lembu dan kacau selama 5 minit. Masukkan ayam dan udang dan goreng kacau dengan api besar selama 2 minit. Angkat dan bubuh di dalam pinggan. Ketepikan.
4. Bersihkan kuali dan panaskan di atas api besar. Tambahkan baki minyak dan goreng bawang besar serta kubis selama 4 minit sehingga bawang layu dan kubis masak.
5. Tambahkan air rebusan ayam dan perasakan dengan paprika, garam dan lada hitam.Kacau rata-rata. Tambah ayam dan udang yang sudah dimasak dengan sos ikan. Masak selama 2minit sehingga kuah pekat dengan mengacau selalu.
6. Masukkan mee dan tauhu goreng. Kacau rata hingga masak.
7. Hiaskan dengan telur rebus, daun bawang dan limau kasturi. Hidang panas-panas. - Amie tambah hirisan timun dan tomato serta daun ketumbar.



Hasilnya.... mee macam berkuah sikit..... tapi cara penyediaannya agak lama (asyik kena bersihkan kuali sampai 2 kali) dan perlu sabar serta memakan masa sebab kena ikut satu demi satu langkah yang disusunatur oleh Chef Zaidah Mohd Nor. 

Jumaat, 25 November 2011

Nasi Ketumbar Daging Asam Pedas

Amie sediakan menu Nasi Ketumbar bersama lauk Daging Asam Pedas. Walaupun Amie sudah beberapa kali masak Nasi Ketumbar tapi kami sekeluarga tidak jemu dengan menu begini. Terima kasih kepada Kak Nor@Secubit Garam, kerana kali pertama Amie masak Nasi Ketumbar, Amie gunakan resepi dari dapur Kak Nor,  yang sumbernya dari dapur Q'ein@Myresepi dan Ayu Singapore. Bagaimanapun, setelah beberapa kali masak, Amie cuba pelbagaikan dengan lauk yang berbeza.



Resepi Asal: Resepi Q'ein@Myresepi
Sumber   : Ayu Singapore & Kak Nor Secubit Garam

Bahan untuk Nasi Ketumbar:
500 gram beras
3 s/b mentega (Ayu guna minyak sapi - Amie pun guna minyak sapi)
sedikit minyak - Amie tak guna minyak
1 biji bawang merah - dimayang halus
3 batang daun ketumbar - kisar halus - Ayu tapis - Amie tak tapis (Amie lebihkan daun ketumbar)
sedikit garam
pewarna hijau
1 kiub ayam

Cara:
1. Cairkan minyak sapi dan goreng bawang hingga wangi.
2. Masukkan beras dan ketumbar kisar serta kiub ayam.
3. Masukkan air dan masak seperti biasa.
4. Apabila nasi telah kering, titiskan sedikit pewarna hijau.
5. Tunggu sehingga nasi betul-betul masak, kemudian gemburkan sebelum dihidang.

Untuk lauknya pula, Amie mencuba resepi Masakan Tradisi Melayu Melaka olahan Norbi Husin. Amie pilih resepi Daging Lembu Masak Asam Pedas. 




Resepi: Daging Lembu Masak Asam Pedas
Sumber: Masakan Tradisi Melayu Melaka oleh Norbi Husin

Bahan-bahan:
1/2 kg daging lembu (tetel)
sekepal asam jawa - ambil airnya 2 mangkuk
10 helai daun limau purut - Amie gunakan 5 helai 
2 batang serai - dititik
1 inci lengkuas - dititik
garam secukup rasa  - Amie tambah 1 sudu serbuk pati ayam

Bahan kisar:
20 tangkai lada kering
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 camca besar jintan manis
1/2 camca besar jintan hitam - tak ada jintan hitam, Amie guna jintan putih
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

Bahan untuk menumis:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 camca besar halba
1/2 cawan minyak

Cara:
1. Bersihkan daging. Toskan.
2. Panaskan minyak. Masukkan halba dan biarkan beberapa saat.
3. Tumis bawang yang dihiris dan kacau hingga wangi.
4. Masukkan bahan yang digiling. Masak hingga garing.
5.Masukkan daging, lengkuas dan serai.Masak sehingga daging empuk. Jika perlu tambah sedikit air. Tutup periuk.
6. Setelah daging empuk, masukkan air asam jawa, garam (serbuk pati ayam)dan daun limau purut.
7.Biarkan hingga kuah pekat.

Memandangkan Daging Asam Pedas memang sedia terasa asamnya, Amie tidak sediakan acar seperti kebiasaannya. Amie hanya hiriskan timun dan tomato sahaja sebagai ulam-ulaman. Terima kasih buat suami dan anak-anak yang tidak banyak karenah dengan apa jua hidangan yang Amie sediakan, baik menu biasa, menu baru dan apa jua menu yang Amie cuba. Untuk hidangan kali ini memang habis berpeluh suami dan si bongsu sebab Daging Asam Pedas yang Amie masak memang betul-betul pedas!



Buat yang sudi ....jemputlah mencicipi menu kami sekeluarga hari ini.