Isnin, 31 Oktober 2011

Karipap Inti Sedap & Kulit Rangup

Amie tertinggal keretapi lagi... maklumlah naik kelas kambing, kelas ketiga....... orang lain dah naik muak makan karipap, Amie baru terkedek-kedek buat. Entah berapa tahun tak buat kuih ini padahal inilah satu-satunya kuih yang paling digemari masa kanak-kanak dulu. Waktu rehat semasa di sekolah rendah, memang kuih inilah juga yang Amie kejar di kantin. Anak Amie tanya..... kenapa kena lipat tepi-tepinya tu? Maklumlah pertama kali melihat ibunya yang 'sangat rajin' ini mengelim tepi karipap. 


Nampak hodoh sikit kelimannya ....apa pun kulitnya memang rangup sebab Amie uli dengan minyak panas, dan intinya Amie bubuh kentang campur daging ayam. Bentuk karipap yang dihasilkan pun kurang sekata, ada yang gemuk, ada yang pipih sikit dan ada yang benjol. Ini menunjukkan yang empunya tangan kurang cekap membuatnya. Resepinya sama sajalah dengan resepi kawan-kawan yang lain, kalau Amie rajin nanti kemudian Amie tuliskan. Sekarang ini masa untuk minum petang.... jom minum sama.


Yang tak sempat makan di dapur Amie, boleh tapau tapi pilih yang masih elok.... takut terburai isinya di tengah jalan....

Ahad, 30 Oktober 2011

Udang Goreng Madu

Assalamualaikum ..... Jom cuba resepi yang Amie kongsi daripada Mieza@WAWMC - Resepi Udang Goreng Madu. Percubaan kali pertama yang membuahkan hasil.....sedap! Lain kali kena masak lagi dan agaknya lebih enak makan dengan nasi lemak atau nasi kuning Sabah! Terima kasih banyak-banyaklah Mieza kerana idea resepi yang ringkas dan  mudah tapi cukup istimewa ini.


Mohon izin Mieza ye sayangggg..... Kak Amie copy paste resepinya di bawah ini. Satu lagi, derhaka sikit dalam olahan resepi. Amie kisar terus udang kering bersama cili kering sedangkan dalam resepi udang kering kena cincang. Tak apalah Mieza kan.... ini sebab nak cepat, nakbuat sekali harung je...


UDANG GORENG MADU
Recipe: Chef Sabri @ Wanita Hari Ini TV3
Source: Mieza @ WAWMC


Bahan-bahan:
400 gm udang - buang kulit
2 biji bawang besar - cincang
3-4 biji bawang putih - cincang
2 sb cili kering kisar
2-3 sb madu
1/2 cawan udang kering - cincang
2-3 sb sos plum - Mieza tambah - tapi Amie tak bubuh
3 tangkai daun kari
3 sb mentega

Cara-cara:

1. Panaskan mentega dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang besar dan daun kari hingga perang.

2. Masukkan udang kering dan cili kisar dan tumis lagi hingga udang kering masak.

3. Masukkan udang, madu, dan sos plum. Kacau hingga udang masak. Rasakan garam gula.




Menu makan tengahari tadi. Udang Goreng Madu, Ikan Bayan Masak Asam Rebus dan Sayur Campur.

Smoothie Nenas

Salam pagi Ahad buat semua. Nampaknya cuaca hari ini agak panas. Jemput masuk dapur.... Amie ada sediakan Smoothie Nenas yang lazat dan menyegarkan! Mari sama-sama minum......


Bahan:
500 gram nenas masak ranum - tapi nenas Amie tak berapa ranum
200ml susu segar
100ml yogurt asli / tanpa perisa
3 sudu besar gula

Cara:
1. Potong dadu buah nenas dan bekukan di dalam peti sejuk selama 4-5 jam.
2. Masukkan nenas yang sudah dibekukan ke dalam pengisar. Masukkan susu segar, yogurt dan juga gula.
3. Tuangkan ke dalam gelas - Amie hiaskan dengan buah laici dan ceri merah.
4. Sedia untuk diminum.


Mmmmm.... nyamannya rasa ....

Sabtu, 29 Oktober 2011

Ayam Masak Kalio

Hmmmmm..... pertama kali mencuba menu Ayam Masak Kalio. Bahan yang digunakan  pun mudah didapati dan rasanya pun memang dijamin lazat. Cuma.... agak pedas sedikit sebab Amie terlebih bubuh cili. Lain kali memang nak masak lagi supaya hasilnya lebih cantik dan menarik.  


Resepi : Ayam Masak Kalio
Sumber : Buku Masakan Lauk Pauk Koleksi Saji.

Bahan:
400 gram ayam - potong sederhana
200 gram cili merah - buang biji
2 sudu besar cili kering kisar
250ml santan
1 helai daun kunyit - mayang halus
minyak
garam & gula

Bahan kisar:
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2cm halia
3cm lengkuas
1 batang serai
20 gram kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar. Tumis hingga naik bau.
2. Masukkan cili merah dan cli kering kisar. Tumis sehingga garing.
3. Masukkan ayam dan gaul hingga sebati - Amie tambah 4 biji kentang
4. Masukkan santan, garam dan gula secukup rasa.
5. Masukkan sedikit air dan masak sehingga kuah menjadi pekat - biarkan mendidih dengan api perlahan lebih kurang 1/2 jam.
6. Angkat dan hidangkan dengan taburan hirisan daun kunyit.


Sekali pandang tak ubah rupa kari ayam....siap dengan kentangnya sekali, tak apalah.....lain kali boleh cuba masak kalio dengan lebih baik....(ayat memujuk ni......)



Kuey Teow Goreng Buat Ucu Faridah @Ucu Bakery

Koey Teow Goreng ini sebenarnya menu yang dihidangkan untuk keluarga petang kelmarin. Hari ini baru sempat masukkan dalam blog. Petang kelmarin balik lewat petang sebab ada mesyuarat, jadi sampai rumah perut sangat lapar...... Maklumlah, makan tengahari di kantin hanya meratah ayam masak kicap dengan kerabu pucuk ubi serta sebiji donut!    Manalah nak kenyang kalau mesyuarat pun habis pukul 4.30 petang!  Bila bongkar peti sejuk, terjumpa sebungkus kuey teow yang belum dimasak. Kemudian selongkar bahagian atas, terpandanglah pula udang.... senang kalau dah jumpa udang, sebab tak perlu masa yang lama untuk merendamnya. Kemudian tengok lagi di bahagian bawah, ada beberapa jenis sayur yang boleh duduk bersama dengan kuey teow dalam kuali termasuk kobis dan daun kucai. Satu lagi.... lobak merah! Amie memang pernah makan kuey teow goreng campur dengan lobak merah di restoran. Bukannya banyak... sikit saja! Wah! Ada cili jeruklah....wokey! Nampaknya Kuey Teow Goreng ringkas akan siap sebentar lagi!


Bahan:
600 gram kuey teow 
15 ekor udang kertas
1 cekak daun kucai - potong anggaran 3cm
4 keping tauhu basah - potong ikut suka dan goreng sebentar - toskan
1/4 biji kubis - hiris nipis
1/2 biji lobak merah - potong ikut suka
4 biji bawang merah - cincang
4 biji bawang putih - cincang
3 sudu sos  tomato
3 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
3 sudu kicap pekat
1 sudu serbuk pati ayam
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan udang kertas.
3. Masukkan sos tiram, sos tomato dan cili sos. Gaul rata.
4. Masukkan kubis dan kuey teow.
5. Masukkan kicap pekat dan gaul sebati. Jika terlalu kering, masukkan sedikit air.
6. Taburkan serbuk pati ayam.
7. Masukkan daun kucai dan kacau seketika.
8. Kuey Teow Goreng siap untuk dihidangkan.
9. Jika suka hidangkan bersama perahan jus limau kasturi dan cili jeruk.


Kuey Teow Goreng nan sepiring ini Amie hantar ke rumah Ucu Faridah di Meru, kiranya bertukar menulah kita ye Ucu.... Kak Amie nak kerang, Ucu nak udang..... mana ni Ucu.... ada tak Ucu di rumahnya, senyap aje......ooooo Ucu! Agaknya Ucu pergi tempat orang kenduri kot. Kak Amie letak sepiring Kuey Teow Goreng siap dengan cli jeruk sekalini.... letak depan pintu rumah Ucu ye... Ha... yang lain, apalagi...jom makan  di dapur Amie. Bismillah....


Jumaat, 28 Oktober 2011

Latok @ Rumpai Laut

Dengan tangan terbuka, dan pintu dapur yang memang sentiasa terbuka, Amie jemput kepada sesiapa yang sudi untuk mencicipi hidangan Rumpai Laut, yang merupakan menu tradisi masyarakat Bajau. Biasanya Rumpai Laut atau  juga dipanggil latok (bahasa Bajau) dihidangkan bersama dengan ikan bakar. Antara bahan yang boleh digandingkan untuk menghasilkan hidangan ini ialah mangga muda dan cili padi. Amie ubahsuai resepinya dengan menukar mangga muda kepada mangga masak sebab Amie  kurang berselera  dengan rasa  mangga muda..... masammmmmm! Bonda dan ayahanda mentua suka celup latok dalam air limau yang sudah bercampur dengan segala bahan termasuk asam limau dan lada. Amie pula, lain caranya... seperti di bawah ini.


Bagi yang belum pernah memakannya, Amie terangkanlah ye.... latok kadang-kadang masyarakat di sini memanggilnya sebagai anggur laut sebab rupanya pun macam anggur yang bergugus-gugus cuma butirannya halus-halus. Kalau kita makan, berderup-derap bunyi semasa mengunyahnya. Resepi yang Amie sediakan ini bukanlah resepi asal masyarakat Bajau, cuma Amie olah ikut selera Amie.

Bahan:
1 mangkuk rumpai laut -  siram dengan air dan toskan segera, buangkan tangkai- rumpai laut tidak boleh direndam atau masuk dalam peti sejuk, sebab akan menjadi cair, jadi sebaik sahaja dibeli dari pasar, jangan tunggu lama untuk memakannya
1 biji mangga - sebaiknya mangga muda - cincang
10 biji cili padi - hiris
1 labu bawang besar - mayang
1cm belacan - hancurkan
2 biji limau kasturi - perah jusnya
garam /gula /perasa - pilihan jika suka

Cara:
1. Gaulkan kesemua bahan di dalam sebuah bekas
2. Perahkan jus limau kasturi
3. Hidangkan segera dan enak dimakan bersama ikan bakar.

Orang kata rumpai laut banyak khasiatnya. Oleh kerana terlalu banyak khasiat... Amie pun tak larat nak tulis di sini. Lain kali Amie tuliskan ye... ni nak hantar sepinggan kat jiran terdekat Amie di Bukit Garam tu, dik Nani di Life is Beautiful. pernah ke tidak  Nani makan latok. Kalau tak pernah, cubalah cicipinya ye....dik Nani! Mana tahu boleh buat tambah satu lagi menu diet Nani.... he he hehhhh.... Ikannya kena bakar sendirilah ye Nani!




Rabu, 26 Oktober 2011

Ikan Kering Kukus & Kerabu Pucuk Paku

Sekolah Amie cuti satu hari saja untuk sambutan Deepavali, hari ini... Rabu. Esok kembali ke sekolah. Kalau begini gaya cutinya, alamatlah esok sekolah jadi sunyi sebab ramai murid akan sambung cuti. Orang lain sibuk pergi ke rumah terbuka Deepavali, Amie pula masuk dapur masak ikan kering! 


Ikan Kering Kukus ini Amie tuangkan sedikit bahan tumisan termasuk petai dan tomato hijau serta daun kari. Boleh tak bayangkan apa rasanya? Ikut selera Amie tentulah sedap sebab masak ikut apa saja bahan yang ada di dapur. Amie tuliskan di bawah ini resepi Ikan Kering Kukus, hasil air tangan sendiri.

Bahan:
sepotong ikan kering merah 

Bahan tumisan:
3 biji bawang putih - hiris 
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 biji cili merah - hiris
1.5cm halia muda - hiris halus
1/2 cawan petai - belah 2
1 biji tomato hijau - belah 8
1 pelepah daun kari
1/2 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Kukus ikan kering hingga masak- Amie letakkan di dalam periuk nasi sebaik sahaja nasi yang ditanak mula mengering.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang besar, halia dan lada merah.
3. Masukkan air bancuhan asam jawa, petai dan daun kari.
4. Masukkan tomato.
5. Masukkan serbuk pati ikan bilis. Kacau rata.
6. Tuangkan di atas ikan kering kukus.
7. Hidangkan dengan nasi panas.




Amie terlewat bangun pagi tadi. Masuk ke dapur terpandang bungkusan sayur atas meja. Oooo... rupanya pagi-pagi lagi si dia sudah ke pasar. Amie pilih sayur pucuk paku untuk dibuat kerabu, dan campur dengan lobak merah. Memang Amie hantu lobak merah.... suka sangat makan lobak merah celur dengan sambal belacan. Memandangkan anak-anak tidak akan menjamah ikan kering, Amie buatkan mereka ikan cencaru panggang sumbat sambal kelapa. Sebenarnya ini menu ulangan tapi oleh sebab anak-anak suka, tak kisahlah kalau Amie buat lagikan. Jadinya, sambal kelapa yang Amie sediakan untuk buat kerabu pucuk paku itu Amie bahagi 2. Separuh untuk pucuk paku dan separuh lagi untuk sumbat perut ikan cencaru. Amie tak bubuh belacan dalam sambal kelapa kali ini sebaliknya Amie gantikan dengan udang kering. tempohari Amie buat sambal kelapa bubuh daun kunyit, tapi kali ini malas nak cari daun kunyit di belakang dapur.... sebab selalu suami yang tolong ambilkan. Pemalas punya orang ye.... Sesiapa berminat bolehlah tengok resepinya di bawah ini.

Bahan:
2 cawan kelapa parut
1/2 cawan udang kering - rendam
7 biji cili padi
1 batang serai - mayang halus
3 biji bawang merah
1/2 sudu teh pati asam jawa
garam & gula

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama bawang merah, serai dan udang kering hingga lumat.
2. Masukkan kelapa parut dan tumbuk sekali lagi tetapi jangan sampai lumat.
3. Gaul sambal kelapa bersama pati asam jawa, garam dan gula.
4. Sebahagian sambal kelapa sumbat ke dalam perut ikan. Panggang ikan dalam oven hingga masak.
5.Sebahagian sambal kelapa lagi gaul bersama pucukpaku dan lobak merah celur. Tambahkan hirisan bawang besar dan cili merah. Perahkan air limau kasturi.


Berbalik cerita ikan kering tadi, sebenarnya masa nak balik raya tempohari Amie beli 8 jenis ikan kering termasuklah ikan kering di bawah ini.


Ini salah satu jenis ikan kering yang istimewa di sini. Ikan kering ini diperbuat dari ikan merah atau ikan jenahak. Amie beli yang kecil sedikit anggaran 1/2 kilogram seekor. Harganya RM30.00 sekilogram. Perut ikan kering ini nampak kembung sebab diisi dengan garam. Kepalanya dibungkus dengan kertas mungkin supaya garam tak terburai jatuh sebab biasanya ikan ini digantung ke bawah (yang Amie lihat di pasar). Semalam, Amie telefon bonda... katanya semua ikan kering yang Amie bawa waktu raya dulu sudah habis dimakan. Alhamdulillah..... tiba-tiba Amie teringat semua ikan kering yang Amie simpan dalam peti sejuk yang  dibeli sama waktunya Amie belikan bonda 2 bulan yang lalu! Oh.... masih elok lagi..... Amie pun kukuslah sepotong...... masak sikit saja sebab isinya tebal dan padat! Suami kata.... sedap sangat tapi kehadiran ikan cencaru sumbat sambal kelapa mengganggu kelazatan ikan kering kukus yang sedang dinikmatinya! Nak buat macamana.... masak ikan kering saja nanti anak-anak tak makan pula! 


Sewaktu Amie sibuk menggaul kerabu pucuk paku, tiba-tiba muncul anak bongsu menghulur buah anggur.... ya Allah! Ini rupanya yang kami sangka selama ini tupai..... cepat-cepat Amie pergi ke belakang dapur. Beberapa gugus anggur hanya tinggal tangkai....


Inilah gugus anggur yang tinggal.....  sebahagian anggur sudah dipetik si bongsu.Dan ini merupakan kali ke 3 anggur kami berbuah, dan dapat tangkap tupai berkaki 2 yang selalu makan anggur kami.... he hehehhhh, rupanya kalau anggur masak... manis rasanya! Okey.... nampaknya hari ini lebih kepada cerita karut saja.... dari ikan kering pergi ke anggur dan tupai kaki 2 pulak!

Selasa, 25 Oktober 2011

Casablanca & Maruku Deepavali

Beberapa hari belakangan ini kawan-kawan Amie sibuk cerita tentang Casablanca. Apa bendanya Casablanca itu? Kelmarin seorang rakan tunjukkan Amie Casablanca yang dipesan melalui seorang teman sekerja, merangkap tuan punya sebuah restoran di Lahad Datu. Amie pun merasalah sedikit.... sedaplah! Bila Amie tanya teman yang bertanggungjawab menjual Casablanca tersebut, katanya dia sendiri tidak tahu apa namanya... pudingkah....apakah? Katanya, kakaknya yang membuat Casablanca tersebut. Amie pun pesan satu dengan harga RM28, ukurannya pun tidaklah sebesar mana, lebih kurang 8X8 inci.


Tengahari tadi sampailah Casablanca yang Amie pesan. Oleh kerana ada jemputan ke majlis jamuan perpisahan akhir tahun salah sebuah kelas pelajar PMR di sebuah restoran di bandar, Amie pun tinggalkan Casablanca dalam bilik. Casablanca Amie kelihatan mula mencair. Menurut seorang rakan, bila sampai rumah masukkan Casblanca ini dalam peti sejuk bahagian beku selama 1/2 jam, kemudian barulah dipotong dan dimakan. Amie yang memang buta tentang dessert  memang tak tahulah nak terangkan Casblanca ini apa sebenarnya. Bila kami sembang dengan rakan-rakan lain, masing-masing sepakat mengatakan dalam Casbalanca itu ada keju, biskut, hirisan mangga dan susu pekat manis.

Itu cerita tentang Casablanca.  Belum habis lagi ni.... Tengahari tadi juga sebelum ke restoran, seorang rakan sejawat menghulurkan sesuatu untuk Amie. Ha.... cuba tengok di bawah..... kuih maruku laa.... Mantan Pengetua kami kelmarin datang dari Kota Kinabalu. Agaknya dapat cuti lebih sebab nak sambut Deepavali. Dari pejabat am sampailah ke bilik guru, semua dijamu dengan maruku. Kelmarin Amie hanya sempat makan sedikit maruku yang sangat sedap itu sebab sibuk terkejar-kejar ke hospital, ke ICU... ada pelajar kami kena tikam di bahagian dada tembus ke paru-paru.......(kejadian berlaku di tempat tinggal pelajar tersebut, bukan di sekolah). Alhamdulillah.... walaupun mantan Pengetua kami sudah terbang balik ke Kota Kinabalu tapi dia tidak lupa tinggalkan sebungkus maruku untuk Amie, dan baru tengahari tadi disampaikan kepada Amie.


Hari ini memang Amie tidak masak. Amie hidangkan Casablanca & maruku untuk rakan-rakan yang sudi datang bertandang.


Happy Deepavali untuk pengunjung yang meraikan perayaan ini. Waneckam.

Isnin, 24 Oktober 2011

Ikan Cencaru Panggang Sumbat Sambal Kelapa

Ada sesiapa tak yang terfikir kalau masuk dapur Amie seperti masuk kebun sayur atau masuk pasar sayur. Maklumlah, asyik dihidangkan dengan ulam-ulaman saja. Dalam seminggu rasanya memang menu wajib Amie  tak lain tak bukan mesti ada ulam. Sebenarnya tidak banyak jenis ulam yang dijual di pasar Lahad Datu sebab  selera masyarakat di sini tidak sama dengan selera kita. Daun selom, ulam raja, segala pucuk gajus, pucuk kaduk dan sebagainya memanglah tak dijual.... pernah seorang kawan (tahun 90-an) kalau nak masak laksa, terpaksa masuk kawasan hutan untuk mencari daun kesum dan bunga kantan. Oleh kerana banyak jenis masakan yang diperkenalkan oleh orang semenanjung yang bekerja di sini, terutama yang rajin berjualan di Pasar Tani... maka masyarakat tempatan pun mula menjual daun kesum dan bunga kantan. Petai dan jering... memang mereka tak makan. Tapi kami pun tak berapa pandai makan buah bambangan, durian merah, buah tarap dan macam-macam lagi buah-buahan di sini. 

Ulam pegaga yang ada di atas itu suami Amie yang tanam.Janganlah cari pegaga di pasar ye.... pusing depan belakang pasar pun tak akan jumpa. Teringinlah pula nak makan ikan cencaru sumbat kelapa cecah dengan ulam-ulaman segar. Amie kongsi bersama resepi Ikan Cencaru Panggang Sumbat Kelapa, antara menu yang memang menjadi kegemaran Amie.

Bahan:
1 ekor ikan cencaru - bersihkan dan belah bahagian belakang

Bahan untuk Sambal Kelapa:
1 cawan kelapa parut
2 biji cili merah
2 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1cm belacan
1/2 sudu teh lada putih 
1 batang serai - mayang halus
1 helai daun kunyit muda - mayang halus
sedikit pati asam jawa
garam & gula

Cara:
1. Tumbuk hingga lumat lada merah, bawang merah, bawang putih, serai, belacan dan lada putih.
2. Masukkan kelapa parut, pati asam jawa, garam dan gula. Tumbuk lagi tetapi jangan sampai kelapa parut lumat.
3. Gaulkan dengan daun kunyit muda.
4. Sumbatkan sambal kelapa ke bahagian belakang ikan.
5. Panggang ikan di dalam oven sehingga masak.
6. Hidangkan semasa panas bersama ulam-ulaman pilihan.

Kalau ikutkan hati memang suka ratah saja ikan sumbat sambal kelapa dengan ulam-ulaman! Sedaplah rasanya bagi yang suka makan begini.... bagi yang kurang gemar, selongkarlah gerobok Amie... carilah apa yang ada yang boleh memenuhi selera....... ngeeeee.....

Ahad, 23 Oktober 2011

Nasi Lemak Utara

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Oleh kerana kami sekeluarga berkumpul bersama pada hari ini, jadi Amie sediakan menu merangkap sarapan pagi dan makan tengahari untuk anak-anak dan suami. Kali ini Amie cuba resepi Nasi Lemak Utara pula dan pertama kali gunakan halba tetapi tidak memasukkan lada hitam biji sebagaimana yang tercatat dalam buku resepi. Amie tambah sayur kangkung celur di samping lauk-pauk yang lain termasuk telur rebus, sambal ikan bilis dengan petai, kacang tanah, hirisan tomato dan timun. 



Amie berdua dengan suami makan dengan sayur kangkung celur tapi anak-anak sedikit pun tak mahu usik sayur itu.


Amie kongsi bersama resepi Nasi Lemak Utara yang Amie ambil dari buku masakan Kuisin Warisan Melayu.

Resepi: Nasi Lemak Utara
Sumber : Kuisin Warisan Melayu
Chef: Ismail Ahmad


Bahan:
1 kg beras - cuci dan tos
200ml pati santan
1.3liter air
4cm halia - hiris
2 batang serai- diketuk
1 helai daun pandan - disimpul
3 ulas bawang putih - hiris
5 ulas bawang merah - hiris
1 sudu besar halba
1 sudu besar lada hitam - Amie tak guna
1/2 sudu garam

Cara:
1. Bubuh beras, pati santan, air, halia, serai, daun pandan,bawang putih,bawang merah, halba, lada hitam dan garam ke dalam periuk nasi elektrik. Kacau biar rata.
2. Hidupkan periuk nasi dan masak nasi hingga tanak.
3. Karih nasi sebelum dihidangkan.

P/S: Amie tidak masak guna periuk elektrik sebaliknya masak cara kukus. Memandangkan anak-anak suka makan nasi lemak, jadi Amie masak lebih sebab mereka boleh makan sampai ke petang. Dengan cara mengukus nasi lemak lambat basi, tidak keras dan tidak lembik. Jika ingin makan lagi, panaskan saja periuk pengukus untuk didihkan airnya dan nasi akan kembali panas, serta lembut oleh wap. 



Lauknya pula Amie masak Sambal Ikan Bilis Dengan Petai. Biasanya Amie goreng dahulu ikan bilis tapi kali ini Amie mahu rasa sambal ikan bilis yang lembut, jadi Amie masukkan sahaja ikan bilis ke dalam sambal yang sedang pecah minyak bersama petainya sekali.

Bahan:
1 mangkuk ikan bilis 
1 mangkuk petai
3 keping asam gelugur / 1/2 sudu pati asam jawa
minyak
1 labu bawang besar - hiris bulat
garam / gula

Bahan kisar:
20 biji cili kering
1.5cm belacan
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan kisar hingga pecah minyak. Jika terlalu kering masukkan sedikit air.
2. Masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa.
3. Masukkan ikan bilis dan petai.
4. Angkat dan hidangkan bersama nasi lemak.


Jemput makan.... tak kisahlah kan, nasi lemak memang boleh dimakan bila-bila masa saja... Tak disediakan airlah pulak, kena cari sendirilah ye...atau selongkar dapur Amie & buatlah apa yang patut... hehehhhheee

Sabtu, 22 Oktober 2011

Pau Mini Lotus & Pandan Lotus

Salam petang Sabtu. Jemput minum petang bersama Amie sambil menikmati Pau Mini Lotus & Pandan Lotus.


Usah ditanya apa resepinya dan bagaimana cara membuatnya kerana dalam hal tepung-tepung ini Amie hanya mahir buat lempeng dengan cekodok saja. Adapun cerita dari dapur Amie petang ini ialah mengeluarkan pau mini dari bekasnya lalu mengukusnya sehingga masak dan kemudian dihidangkan bersama teh 'O' panas. 


Kiranya hasil air tangan Amie jugalah sebab yang mengukus hingga masak diusahakan oleh Amie. 

Jumaat, 21 Oktober 2011

Nasi Ayam

Petang tadi rasa teruja sangat sebab bujang Amie yang kedua dijangka sampai malam ini dari Kota Kinabalu. Kem Robotik Peringkat Negeri Sabah dapat diikutinya dengan lancar bersama dua orang lagi temannya sebagai mewakili daerah Lahad Datu. Oleh kerana esok sekolah kami akan mengadakan Program Motovasi SPM, jadi petang tadi memang agak lewat pulang ke rumah kerana membantu guru kaunseling, Cik Salmi pergi mengambil 10 kotak air mineral dari kedai ( kami dapat sponsor ). Walaupun sampai rumah agak lewat, tapi hati rasa gembira sebab dapat ayam segar ( dari pasar), jadi bolehlah buat Nasi Ayam. Bujang Amie dijangka sampai pukul 9 malam sebab mula bertolak dari Kota Kinabalu pada pukul 2 petang, dan biasanya mengambil masa 7 jam perjalanan. Rasa sebak dada bila Amie telefon atau bapanya telefon.,  mesti dia tanya.... mummy masak apa hari ini? 


Menu Nasi Ayam yang Amie masak ini sama saja dengan menu nasi ayam yang lain. Cuma supnya saja Amie bubuh lobak merah. Bagi sesiapa yang ingin mencuba resepi ini atau yang tersesat ke dapur Amie kerana tercari resepi Nasi Ayam, dengan penuh rendah hati Amie persilakanlah untuk semak resepinya di bawah ini. Amie tidak rujuk mana-mana buku masakan kerana memang sejak sekian lama Amie gunakan resepi turun-temurun dari seorang kawan Amie semasa kamibelajar di UM dulu.


Nasi Ayam

Bahan:
3 mangkuk beras basmathi - cuci dan toskan
3 mangkuk air rebusan ayam
4 sudu besar marjerin
3 ulas bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
1 helai daun pandan - siat 2 dan simpulkan
2 sudu pati ayam Maggie

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Panaskan marjerin dalam kuali. Tumis semua bahan hirisan bersama kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan daun pandan hingga wangi.
3. Masukkan air rebusan ayam dan pati ayam Maggie. Biarkan mendidih.
4. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
5. Pindahkan beras tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15- 20 minit atau sehingga nasi masak.
6. Hidangkan bersama ayam goreng, sup ayam, sos hitam dan cili.



Biasanya kalau masak Nasi Ayam, ayam direbus terlebih dahulu tetapi Amie tidak begitu. Untuk sup ayam dan juga air rebusan ayam, Amie masak bahagian lain seperti leher, kaki dan tulang.  Sebenarnya ayam goreng yang Amie buat tak bertulang sebab tulang-tulangnya Amie cabut. 

Ayam Goreng

Bahan:
3 bahagian peha ayam - keluarkan tulang
1 sudu gula
1 sudu sos tiram
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1 sudu kicap pekat
1 sudu pati ayam Maggie
minyak bijan
minyak

Cara:
1. Perap ayam dengan kesemua bahan di atas sekurang-kurangnya 15 minit.
2. Goreng hingga masak.
3. Angkat dan toskan.
4. Potong dan hidangkan.


Sup Ayam

Bahan:
Tulang, leher dan kaki ayam
3 mangkuk air
1/2 labu bawang besar - cincang
2 biji bawang putih - ketuk
1 biji lobak merah - potong ikut suka
1/2 sudu lada putih - tumbuk
kulit kayu manis, bunga lawang / bunga cengkih dan buah pelaga
garam / perasa / serbuk pati ayam
daun bawang / daun sup / bawang goreng

Cara:
1. Didihkan air.
2. Masukkan kesemua bahan dan masak dengan api perlahan sehingga ayam empuk.
3. Angkat dan hidangkan bersama taburan daun bawang, daun sup dan bawang goreng.



Masih ada lagikah resepi yang tertinggal? Oooo... ada lagi tu... Sos Hitam dan Cili. Untuk menyediakan Sos Hitam, Amie gunakan bawang putih cincang, sedikit lada putih tumbuk, sedikit sos tiram dan kicap manis. Tambah sedikit air dan didihkan bahan tersebut sehingga pekat. Oleh kerana anak-anak suka minyak bijan, jadi Amie tambah sedikit minyak bijan dalam Sos Hitam itu. Manakala cilinya pula, Amie gunakan 2 batang cili merah, 5 biji cili minyak (cili padi), sebiji tomato, halia, garam, gula dan air limau kasturi. Kisar semua bahan dan gaul rata bersama perasanya. Dah siap lengkap sajian Amie malam ini. Tepat pukul 9 malam, bujang Amie pun sampai. Terima kasih kepada Cikgu Veronica Viotin yang telah menjaga anak kami selama 5 hari dan menghantar pulang sampai depan pintu pagar.


Apalagi.... jomlah makan.... Bismillah. Kalau tak cukup, di bawah ni ada lauk tambahan.... jangan segan-segan ye....buatlah macam dapur sendiri.



Khamis, 20 Oktober 2011

Ikan Belais@Belawis Kukus Ala Thai

Banyaknya cerita hari ini..... apa pun sebelum celoteh panjang lebar, kita ke dapur dulu, cerita tentang menu petang tadi.... menu Ikan Belais@Belawis Kukus Ala Thai bersama teman-temannya, ulam-ulaman dan sambal tempoyak. Kalau masuk dapur Amie mesti tak boleh lepas ulam-ulaman, terutama sekali kacang botol dengan lobak merah celur. Si dia pula teringin nak makan sayur cendawan. Jadi Amie tumiskanlah untuknya sayur cendawan campur udang geragau. Sebenarnya sebelum ini Amie tidak pernah gunakan ikan belais untuk masak kukus melainkan digoreng atau dipanggang dan juga masak gulai. Ini percubaan pertama Amie gunakan ikan jenis ini untuk resepi kali ini.


Seperti biasa kalau masak ikan kukus, Amie sediakan terlebih dahulu pesnya. Sama saja seperti menu ikan kukus Amie yang terdahulu. Tapi Amie tuliskan juga di sini untuk rujukan kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba.



Bahan:
1 ekor ikan belais@belawis - seberat 600 gram
1 sudu sos ikan
3cm halia- hiris halus
minyak


Bahan  untuk pes:
10 biji cili kering - kisar
1 batang serai - kisar
3 biji bawang merah - kisar
3 biji bawang putih - kisar
1/2 cawan udang kering - kisar
1/2 cawan air bancuhan pati asam jawa
3 helai daun limau purut
garam / gula / perasa

Cara:
1. Bersihkan ikan. Masukkan ikan dalam dulang pengukus.
2. Renjiskan sos ikan dan letakkan hirisan halia di atasnya. Kukus selama 10 minit.
3. Sementara itu panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
4.Masukkan bancuhan air asam jawa, garam dan gula. Biarkan masak dengan api perlahan.
5. Akhir sekali masukkan daun limau purut.
6. Buka tudung pengukus dan bubuh separuh pes tadi ke atas ikan. Tutup tudung pengukus. kukus lagi selama 5 minit.
7. Tutup api pengukus dan keluarkan ikan. Letakkan di atas pinggan.
8. Tuang lebihan pes tadi ke atas ikan.
9. Hidangkan semasa masih panas.


Inilah rupa ulam-ulaman yang biasa sangat Amie masukkan dalam blog masakan ini.


Sayur cendawan untuk si dia. Hah.... di bawah inilah Amie mula nak membebel.....


Ini muka hari kedua jadi driver tak rasmi untuk menghantar guru Unit 3K menyertai program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Lahad Datu. Hantar pukul 7 pagi dan ambil  pukul 5 petang seorang guru pengiring dengan 4 orang peserta program tersebut.... sebab dah tak ada pilihan nak hantar, kerana masing-masing guru yang sepatutnya 'menghantar' ada komitmen di sekolah. Sebab apa muka nampak kelat ..... sebab kelmarin dalam program tersebut (semasa slot ceramah) diumumkan kantin sekolah kami kotor disebabkan ada burung merpati dan seekor kucing berkeliaran di situ. Minggu lepas datang 3 orang penilai ke sekolah kami... melawat tandas dan kantin secara mengejut.  Bukan sedikit jumlah sekolah di tempat kami..... campur menengah dan rendah, lebih 52 buah.... hu hu huuu... memang malu! Teramatlah malunya...  bila Pengetua dengar semasa guru Unit Kesihatan beritahu pagi tadi, kami pandang memandang saja dengan pengetua...... maklum, Unit Kantin itu di bawah Amie. Dengan hati sedikit mendongkol, Amie hantar juga guru pengiring dengan 4 peserta lagi daripada kalangan murid untuk meneruskan program tersebut yang dijangka selesai menjelang tengahari.... tapi Amie kagum dengan guru Unit Kesihatan yang jadi guru pengiring... orangnya sangat tabah...perlahan-lahan hati Amie jadi sejuk.... ikutkan hati baik tak payah datang terus ikuti program sebab sudah diconteng arang terang-terangan..... he he he...sempat lagi ambil gambar di atas tu pagi tadi. Lepas tu, Amie baliklah semula ke sekolah.


Sampai sekolah, tukar kulit daripada driver kepada pemantau aktiviti Pasca PMR. Yang di sebelah Amie tu namanya Salmi. Cikgu Salmi.... baru setahun bertugas di sekolah. Cikgu Salmi seorang Guru Kaunseling yang sangat berdedikasi..... dan Cikgu muda belia ini sebenarnya bekas anak murid Amie.... Ha..., bayangkan di sekolah Amie ada lagi 3 orang guru bekas anak murid sendiri. Selesai menguruskan perkara-perkara berkaitan kelas dan pengurusan dalam pentadbiran, Amie pun bergegas tukar kulit lagi untuk jadi driver mengambil guru pengiring dan peserta program yang dihantar pagi tadi. Cuba tengok gambar di bawah.... sempat lagi Amie ambil gambar mereka dari tempat duduk Amie....


Pialanya kecil saja.... tapi apa yang sekolah kami dapat? Kami dapat 3 anugerahlah.

Pertama: Johan Tandas Berkualiti 2011 Peringkat Daerah Lahad Datu
Kedua: Johan Melukis Program Bersepadu Sekolah Sihat 2011 Peringkat Daerah Lahad Datu
....dan yang satu lagi tu.... yang ketiga: Naib Johan Kantin Berkualiti 2011 Peringkat Daerah Lahad Datu... laaaa apa ni?
Kalau tandas dapat Johan memang berasas sebab tandas sekolah kami sentiasa dicuci dan dimop sepanjang waktu dari pagi hingga petang oleh pekerja pembersihan dan memang tidak berbau, sentiasa bersih walaupun tidak seceria mana dengan pelbagai aksesori dan perhiasan. Tapi... yang kantin pulak.... katanya kotor sebab ada burung merpati dengan kucing! Apa pun Pengetua nampak sungguh gembira walaupun pagi tadi hanya memandang Amie tanpa kata. Dan katanya lagi.... jangan lupa simpan sijil Anugerah Pengurusan Disiplin Terbaik Peringkat Daerah Lahad Datu yang kami dapat sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah pada Julai lepas. Tahun ini unit di bawah Salami sudah dapat 3 anugerah.... nanti saya bagi kredit.... katanya. Amie pun senyum-senyum simpul.... Madame, yang dapat kredit tu guru-guru unit saya.... Amie mengingatkannya. Ya...yaaa... setiap unit akan saya bagi kredit.... katanya.


Ini Cikgu Noorul Asyikin, guru pengiring merangkap Guru Unit Kesihatan yang sentiasa berusaha keras menyelesaikan segala tugasnya dengan sempurna.  Sukanya dia .... gambar ini diambil tengahari tadi sebaik tamat program. Sepanjang perjalanan kembali ke sekolah, kamipun ketawa-ketawa saja. Rasa seronoklah kami  hari ini.... Inilah celoteh  Amie untuk kali ini walaupun bukan cerita dari dapur tapi kenangannya ikut masuk ke dapur......

Rabu, 19 Oktober 2011

Roti Sosej Berkeju


Assalamualaikum teman-teman blogger yang disayangi.... Terima kasih atas doa untuk FIL Amie, insya-Allah segalanya akan berjalan lancar dan masih lagi di bawah pengawasan doktor. Amie pun baru balik dari menziarahinya di hospital tapi sampai rumah Amie sempat hidangkan Roti Sosej Berkeju untuk semua yang sudi berkunjung ke dapur Amie. Sebelum ini Amie pernah buat tapi tak bubuh keju. Nampaknya hasilnya kurang kemas sedikit sebab buatnya pun..... sambil melayan rancangan ADILA, mana perginya 'cooking with my heart and soul' sebab jiwanya melayang bersama lagu Bisikan Hati. Sesekali layan lagu begini, habis berjurai-jurai airmata. Waduh! Kenapa petang ini suasana jadi melankolik yaaa..... teringat zaman di universiti dulu pada tahun 1989.... Amie suka dengar rancangan Bisikan Hati yang ke udara menjelang tengahmalam hingga pukul 2 pagi. Pernah sekali hantar coretan dan tersiar. Seronoknya tak terkira.....sampai sekarang masih teringat sebuah lagu pilihan juruhebah Zulraidi Razi yang disesuaikan dengan coretan Amie.... nak tahu lagu apa? Kita minum dulu secawan teh dan cicipi sepotong Roti Sosej Berkeju di bawah ini.....




Bahan-bahan:
12 keping roti - lenyek hingga nipis
12 batang sosej
12 keping keju
2 cawan serbuk roti
1 biji telur
1 1/2 cawan tepung gandum
100ml air
sedikit marjerin - pilihan
minyak

Cara:
1.  Sapukan marjerin ke atas roti - pilihan
2. Letakkan kepingan keju di atas roti.
3. Letakkan sosej dan gulung roti.
4. Lekatkan roti dengan telur.
5. Celup roto berisi sosej ke dalam tepung.
6. Bancuh tepung gandum dengan air dan jika suka letak secubit garam.
7. Salutkan roti tadi dengan serbuk roti.
7. Panaskan minyak dan goreng hingga garing.
8. Angkat dan hidangkan. Boleh makan begitu saja atau jika suka makan dengan sos yang digemari.



Sambung cerita yang terputus tadi tu...... lagu yang disiarkan oleh juruhebah melalui Ruangan Bisikan Hati siaran Radio Malaysia Rangkaian Nasional itu ialah lagu Mahligai Syahdu nyanyian Hattan. Jom nyanyi pelan-pelan kat dapur Amie...... satu .... dua.... tiga.....

kita bertemu kali ini untuk apa
adakah hanya menambahkan lagi sengsara
luka yang lama
belum dapat aku sembuh.....

lupalah pula senikata seterusnya....he hehehhhh...PERINGATAN: yang boleh ikut nyanyi hanyalah ibu-ibu sahaja, yang masih anak dara macam Nani@Nuwairani Ismail dan Puteri Kasih kurang digalakkan .....hi hi hiiii... gurau aje yea...


Selasa, 18 Oktober 2011

Banana Cho Chip Muffin

Adapun hari ini pulang awal sedikit dari hari-hari yang sebelumnya. Dengan penuh semangat bersama si bongsu, kami pun menggodeklah tepung di dapur untuk dibuat muffin. Tiba-tiba si dia telefon, pukul 4.30 petang nanti si dia akan pulang ambil kami untuk ke hospital. Oh.... ayahanda mentuaku masuk wad rupanya. Ya.... yaaaa... ... kami akan bersiap. Jadi sementara menunggu kepulangannya sebentar lagi, Amie pun masukkanlah dulu hasil adunan tepung tadi....


ooooo......si dia sudah sampai....kami ke hospital dulu.... tinggallah rakan-rakan bersama muffin yang baru keluar dari oven ni.


Wokey..... dah balik dari hospital. Nampaknya ayahanda mentua masih dalam pemeriksaan lanjut dan kemungkinan akan menjalani pembedahan dalam jangka masa terdekat. Terima kasih kepada Mieza ...... masih ada lagi cup muffin kirimannya yang Amie simpan, dan Amie gunakan untuk Banana Cho Chip Muffin ini. Kejap lagi nak hantar seketul dua muffin ke rumah Mieza.....

Isnin, 17 Oktober 2011

Ikan Kembung Asam Kari

Rasa sunyilah pula petang ini. Biasanya sewaktu Amie sediakan makan malam di dapur, anak kedua yang baru pulang dari sekolah akan berseru dari pintu ruang dapur.....mummy masak apa hari ini? Itulah sahaja pertanyaan yang sama diulang setiap petang sebaik tiba di rumah. Petang ini dia sudah berada di Kota Kinabalu. Pertama kali Amie berjauhan dengannya untuk tempoh 5 hari. Syukurlah, perjalanan selama 7 jam dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu dapat ditempuhinya dengan selamat, tidak mabuk dan muntah-muntah seperti salah seorang rakannya. Dan baru sebentar tadi Amie telefon, katanya sudah siap mandi, makan dan bersedia untuk mengikuti program pukul 8 malam. Biarlah....biarlah dia belajar hidup berdikari. Asyik memikirkan dirinya, tak tersedar siaplah lauk untuk makan malam kami.


Ha.... inilah hasilnya resepi untuk mereka yang jenis lipas kudung dan mengejar masa. Semua masuk kuali sekali harung. Dalam kuah ada ikan kembung, dalam kuah ada sayur terung dan kacang bendi....2,3 dalam 1. Bukan setakat masuk lada dan air asam jawa, masukkan sekali serbuk kari! Siapa kata tak sedap.... belum cuba belum tau..... Ucu Faridah  dan Hazila sudah lama menunggu di pintu... marilah jemput masuk, makan sama! 


Bahan-bahan:

3 ekor ikan kembung sederhana besar - bersihkan dan potong 2
2 biji terung - belah 2 & potong 4
10 biji kacang bendi
1/2 sudu pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
3 sudu rempah kari
1 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut
garam / gula / perasa
300ml air
minyak


Bahan kisar:
15 biji lada kering 
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih 
1.5cm belacan 

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan rempah kari, serai dan bancuhan air asam jawa.
3. Masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan terung bersama ikan kembung. Biarkan mendidih atau sehingga terung dan ikan masak.
5. Masukkan kacang bendi dan daun limau purut.
6. Perasakan dengan garam & gula / perasa lain.
7. Apabila kuah hampir pekat, tutup api.
8. Sedia untuk dihidangkan.




Masakan begini memang pilihan bijak untuk orang yang kurang pandai mengurus masa macam Amie.  Apa pun, hidangan tunggal ini kira lengkaplah sudah sebagai lauk makan malam kami sekeluarga. Mana Ucu dengan Hazila yang dah lama menunggu tu ye.....? Jom makan sama-sama..... cuci tangan dulu. Bismillah.....