Khamis, 29 September 2011

Ikan Baulu @ Bolu Panggang, Sambal Tempoyak & 7 Ulaman

Assalamualaikum buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Nampaknya kali ini Amie hanya sempat menyediakan menu makan malam yang serba ringkas memandangkan Amie agak lewat pulang petang tadi. Amie terlibat sebagai AJK Pengurus Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk Pejabat Pelajaran Daerah Lahad Datu, dan bersama beberapa orang rakan pentadbiran yang lain telah melaksanakan tugas dalam raptai penuh di Dewan Siew Ching sehingga pukul 4.30 petang. Majlis sebenar akan diadakan pada hari Sabtu ini. Okey.... di bawah ini merupakan menu ulang tayang, sebab sudah biasa sangat buat ikan panggang terutama ikan baulu@bolu. Amie temankan ikan panggang ini dengan sambal tempoyak dan 7 jenis ulam. Adeeeehhhhh..... kenapa sampai 7 jenis? Sebenarnya Amie tak tersedar pun ada 7 jenis semuanya, yang hanya dicelur sahaja termasuklah terung Taiwan, sebab apa yang terpandang dalam peti sejuk yang boleh dijadikan sayur.... Amie ambil serba sedikit. Dan entah kenapa... teringinlah pula makan ikan kering cicah sampai tempoyak. Jadi, Amie kukuslah seekor ikan kering (tak tahu nama) di dalam rice cooker sebaik sahaja nasi mula mengering.


Ikan baulu@bolu ini Amie panggang menggunakan sedikit lada putih..... resepi jiran sebelah rumah. Anak-anak minta Amie renjiskan minyak bijan sebab mereka suka aromanya. Amie bubuh sahajalah ikut selera mereka.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan baulu@bolu  - bersihkan, cuci dan toskan
2 biji bawang putih - tumbuk
1.5cm halia - tumbuk
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1/2 sudu pati asam jawa
garam
1 sudu minyak bijan
daun pisang / daun kunyit

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan kesemua bahan tumbuk berserta asam jawa dan garam.
2. Taburkan lada putih di seluruh badan ikan.
3. Panggang hingga masak- Amie lapik dengan daun kunyit dan panggang di dalam kuali.
4. Renjiskan minyak bijan sebelum diangkat dari kuali.
5. Hidangkan bersama sambal tempoyak dan pelbagai ulaman.


Antara ulam-ulaman yang Amie sediakan termasuklah timun, tomato, kacang botol, kacang bendi, lobak merah, terung dan kubis bunga. Ulaman yang paling Amie suka tentulah lobak merah. Semuanya Amie celur termasuklah terung yang biasanya Amie goreng. Macamana menu Amie kali ini? Menyihatkan tak.... sebab tidak gunakan minyak. Hanya ikan panggang dan ikan kering kukus bersama pencicah dan ulam-ulaman.


Alhamdulillah...... jom makan!

Rabu, 28 September 2011

Nasi Beriani & Daging Beriani

Assalamualaikum semua. Amie rasa rindu untuk bercerita dan berkongsi tentang resepi yang Amie masak. Sempena sambutan ulang tahun  ketiga-tiga anak bujang Amie pada hari Sabtu lalu, memang Amie tak sempat ambil semua gambar masakan walaupun pada mulanya Amie rancang untuk mengabadikan sebagai sebahagian daripada koleksi resepi Amie. Maklumlah.... walaupun tetamu yang datang merupakan rakan sekolah anak-anak, tetapi mereka perlu diraikan sebaik mungkin. Pada masa inilah kita berpeluang untuk beramah mesra dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Dan ada sesuatu yang sangat menggembirakan hati Amie, kerana Amie turut berkesempatan meraikan hari ulang tahun adik Puteri Kasih. Tak semena-mena Amie turut menitiskan air mata di atas kegembiraan dan keharuan  PUTERI KASIH  menerima 'hadiah' ulang tahunnya. Bagi pihak Puteri Kasih, Amie ucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas pelbagai ucapan yang diberikan untuknya daripada rakan-rakan blogger.  Okey.... pada hari sambutan birthday Puteri Kasih pada hari Isnin lepas,  Amie masak sekali lagi Nasi Beriyani tetapi kali ini Amie gandingkan dengan lauk Beriyani Daging. Resepi istimewa ini Amie ambil dari Buku Masakan Tradisi Melayu Johor hasil air tangan Noraini Margono. Buku resepi ini Amie beli di Damansara semasa balik beraya tempohari. Memang Amie akui masakan ini teramatlah lazatnya.... lebih lazat lagi kalau ada Puteri Kasih dan juga rakan-rakan blogger yang lain. Apa pun di bawah ini ada berpinggan-pinggan, ambil seorang satu ye..... he hehehhhh


Ikut resepi asal Nasi Beriani ini dimasak dalam periuk / rice cooker, tapi seperti biasa yang Amie buat.... masak dalam periuk pengukus. Jadi cara memasaknya Amie ubahsuai dari rice cooker ke periuk pengukus. Tapi Amie tuliskan mengikut resepi asal. Mula-mula kena masak Daging Beriani dulu sebab minyak dan kuah Daging Beriani digunakan dalam masakan Nasi Beriani pula. Entah kenapa, tekak terasa nak makan daging pula berbanding ayam. Amie gunakan  lamb.

Sumber : Masakan Tradisi Melayu Johor
Resepi  : Daging Beriani
Chef     : Noraini Margono

Daging Beriani

Bahan A:
1 kg daging kambing/lamb/ayam/lembu - pilihan
1/2 mangkuk minyak
1/2 mangkuk rempah kari daging
1/2 mangkuk rempah beriani
1 sudu lada hitam - tumbuk

Bahan B:
6 tangkai lada kering
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
4cm halia

Bahan C:
1/2 mangkuk madu
1/2 mangkuk puri tomato
2 mangkuk santan
1 sudu besar garam

Bahan D:
1/2 mangkuk kismis - goreng
1/2 mangkuk gajus - goreng
1/2 mangkuk badam - goreng
1/2 mangkuk daun pudina

Cara menyediakan:
1. Jika menggunakan daging, rebus daging hingga empuk. Jika menggunakan ayam, ayam hendaklah digoreng.
2. Kisar kesemua bahan B.
3. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis kesemua Bahan B hingga terbit minyak.
4. Setelah itu masukkan rempah kari dan rempah beriani. Gaul rata sehingga rempah dan Bahan B bersatu.
5. Masukkan Bahan C. Kacau rata. Masukkan daging.
6. Masak sehingga pekat dan terbit minyak.
7. Sebelum matikan api, masukkan separuh Bahan D dan separuh lagi masukkan ke dalam nasi.
8. Akhir sekali masukkan lada hitam dan separuh bahagian daun pudina.

P/S: Amie tidak gunakan puri tomato sebaliknya Amie gunakan yogurt asli. Amie juga tidak memasukkan Bahan D. Tuang 1/2 mangkuk  minyak  dan 1/2 mangkuk kuah Daging Beriani ke dalam mangkuk untuk dicampur dengan Nasi Beriani yang akan dimasak sebentar lagi.... tungguh yea....


Seperti biasa kitalah lipas kudung di dapur..... sambil memasak daging & nasi sambil-sambil pula potong timun, lobak dan nenas untuk dibuat acar. Okey.... kita lihat pula bagaimana Noraini Margono memasak Nasi Beriani.


Nasi Beriani

Bahan-bahan:
3 mangkuk beras Basmathi
1/2 mangkuk susu cair
2 sudu besar susu pekat
1/2 mangkuk minyak sapi
2 ulas bawang merah - hiris
1 batang serai - ketuk
rempah penumis -kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang
1 helai daun pandan
2 titik pewarna kuning
3 mangkuk air
1/2 mangkuk kuah beriani
1/2 mangkuk minyak Daging Beriani
1 biji limau nipis
sedikit garam

Cara menyediakannya:
1. Cuci beras dan toskan.
2. Panaskan minyak sapi di dalam kuali. Goreng rempah penumis, serai, dan bawang merah hingga kekuningan.
3. Setelah bawang kekuningan, masukkan beras, gaul rata hingga beras berkilat.
4. Masak air, garam dan daun pandan di dalam periuk. Setelah air mendidih masukkan susu dan akhir sekali air limau nipis.
5. Setelah air mendidih lagi, masukkan beras dan kacau rata. Tutup periuk rapat-rapat.
6. Setelah air kering, kacau nasi perlahan-lahan.
7. Buatkan beberapa lubang pada nasi dan tuangkan pewarna.
8. Buat lubang lain pada nasi, tuangkan kuah beriani.
9. Jika suka daging juga boleh dimasukkan ke dalam nasi dengan membuat lubang yang lebih besar.
10. Akhir sekali ratakan nasi dan tuangkan minyak Daging Beriani ke atas keseluruhan permukaan nasi.
11. Tutup periuk hingga nasi masak.


Jangan lupa hidangkan dengan keropok papadom dan juga Acar Mentah. Selamat menikmati Nasi Beriani di dapur Amie.....Bismillah!

Selasa, 27 September 2011

Happy Belated Birthday : Puteri Kasih : http://www.puterikasih.com

Buat PUTERI KASIH tersayang..... Kak Amie ucapkan Happy Belated Birthday pada 25 Sptember 2011, Ahad lalu. Malam tadi Kak Amie sempat 'sambutkan' ulangtahun Puteri bersama 3  'adik' puteri..... Moga Puteri gembira...... dan senyum sepanjang hari ini.


Harap Puteri Kasih suka dengan kek warna pink ini..... satu-satunya warna pink yang ada di antara pelbagai warna di kedai kek, sebab pada firasat Kak Amie... Puteri suka warna ini memandangkan warna latar blog Puteri pun warna pink. Cuma, terlupa untuk tulis tarikh lahir di situ..... he hehheh...


Adik-adik Puteri pun terkejut bila Kak Amie bawa pulang kotak kek. Mereka tertanya-tanya.... birthday siapa pula yang Kak Amie nak sambut!


Buat Puteri Kasih..... kek sudah dipotong ye .......



Sempena bithday Puteri juga, Kak Amie sekali lagi masak Nasi Beriyani..... birthday anak-anak hari tu tak sempat makan, sebab sibuk layan tetamu anak-anak dan keletihan.


Okey Puteri..... senyum selalu ya.....


Mari kita nyanyi beramai-ramai sempena ulang tahun Puteri Kasih.....

Panjang umurnya
panjang umurnya
serta mulia
serta mulia

Ahad, 25 September 2011

Sambutan Serentak Ulang Tahun Anak-Anak : September 2011

Assalamualaikum dan salam pagi Ahad buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Kelmarin Amie dan suami sibuk  membuat persiapan sambutan ulang tahun untuk ketiga-tiga anak kami yang kesemuanya lahir pada bulan September. Lahirnya pun selang 3 tahun...1995,1998 & 2001. Kelmarin memang kami khaskan untuk mereka bertiga bersama rakan-rakan mereka, selain kami juga dapat mengenali rakan-rakan anak-anak dengan lebih dekat.


Ganaches Cake : kongsi bersama.



Mohd. Faridzuan (Abang) - 30 September 1995



Mohd. Fuad (Adik) - 14 September 1998



Mohd. Fairuz Zamri (Adik Kecil) - 19 Sptember 2001





Alhamdulillah.... ada di antara rakan-rakan Abang (Mohd. Faridzuan) yang ringan tulang datang awal membantu Amie masak di dapur.


Pada masa yang sama, mereka dapat belajar masak. Kesemua mereka merupakan anak murid Amie, Tingkatan 4 pada tahun ini.


Tidak ketinggalan anak murid lelaki.... Yubob yang datang awal, membantu mengupas telur rebus sampailah memasak nasi briyani. Kali pertama masak, Amie ajar mereka. Kali kedua.... Amie serahkan kepada mereka sebab hampir tengahari dan tetamu mula berdatangan..... jadi Amie lari ke bilik sekejap untuk membersihkan dan mengemaskan diri. Alhamdulillah.... masakan mereka menjadi.


Lepas masak .... anak-anak dara duduk santai atas tingkap pulak!


Terima kasih banyak-banyak kerana ringankan kerja cikgu.......


Ganaches Cake ini dipilih sendiri oleh anak-anak.


Antara rakan-rakan pelajar yang hadir.


Dua dalam satu.... masih ada kuih raya...... hari jadi & beraya!


Makanlah apa yang ada....


Yang ini pula memilih untuk makan di luar rumah.....




Cantik situasi di atas.... ada Daniel Chin, Uthayakumar, ada Jason & Yubob..... moga anak-anak bakal pelapis masa depan negara ini akan terus hidup rukun damai.



Tay Chee Chong & Yap Xien Yin



Jason Toan & Eric


 Silakan makan...... jangan malu-malu....


Menjamu selera......



Malcom Gary, Amador & Eileen....


Sebenarnya, sebab sibuk buat itu ini.... terlupa nak ambil gambar menu yang disediakan. inilah Nasi Beriyani Jagung yang mereka kata sedap! Rata-rata yang masak di dapur tidak mahu Amie bubuh kismis dan kacang gajus. Oleh kerana ada simpanan jagung tin, Amie masukkan sebagai gantinya. Ikut cita rasa mereka..... sebab mereka juga yang akan makan.


Udang Butter Cereal. Amie pun ajar mereka masak. Pendek kata.... datang untuk sambut hari jadi anak, beraya & belajar masak!


Ini Amie masak sendiri. Lamb Masak Lada Putih...... ingatkan ramai tak suka makan lamb......licin!



Acar Mentah. Acar di atas berbeza sedikit dengan acar yang Amie selalu buat. Kalau di Sabah, biasanya hidangan acar begini yang disediakan. Ada masa nanti Amie tulis resepinya ye.... sebab acar ini ada campuran telur rebus & kacang tanah.


Pada mulanya Amie nak buat ayam masak kari.... tapi lepas raya, rasanya ramai yang dah muak. Amie buat Ayam Goreng 10 Rempah. Semoga anak-anak kami gembira bersama rakan-rakan mereka di hari ulang tahun yang diraikan kelmarin. Itu sahajalah yang mampu Mummy dan Baba sediakan untuk permata hati yang disayangi.

Jumaat, 23 September 2011

Rebung Kerisik

Selamat petang semua. Amie jengok dapur untuk seketika saja....sebab ada urusan yang perlu diselesaikan. Amie masukkan resepi Rebung Kerisik. Sebenarnya rebung ini pemberian rakan Amie, iaitu Nur Fadhillah yang sememangnya sudah tahu sangat kegemaran Amie makan rebung yang segar dan manis. Setiap kali muncul tunas rebung  baru, Nur Fadhillah tak akan lupakan Amie. Terima kasih banyak ye Nur Fadhillah... mudah-mudahan rebung di lereng bukit berhampiran rumah Fadhillah itu sentiasalah bertunas.....


Nanti ada masa Amie tuliskan resepinya ya.....


Ratah-ratahlah dulu Rebung Kerisik ni.... sedap tau!

***********

Okey, Amie sudah siapkan urusan sebentar tadi. Sekarang Amie edit semula paparan yang separuh jalan tadi. Resepi ini Amie ubahsuai dari sebuah majalah.

Bahan-bahan:
400 gram rebung - hiris / cincang kasar dan celur seketika - toskan
7 biji cili padi - hiris
1 biji lada merah - hiris
1 biji lada hijau - hiris
2 helai daun limau purut - hiris halus
4 batang daun ketumbar - hiris halus
1 labu bawang besar - mayang / 5 biji bawang merah - mayang
2 batang serai -mayang
2 biji limau nipis / 3 biji limau kasturi - ambil jusnya
1 cawan santan pekat
2/3 cawan kerisik
garam & gula

Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas.
2. Perasakan dengan garam dan gula
3. Siap untuk dihidangkan.

Rabu, 21 September 2011

Ikan Kembung Tempoyak Pekat & Kacang Panjang

Kelmarin jalan-jalan ke rumah Kak Ummi Home Sweet Home... adeehhhh sedapnya hidangan yang Kak Ummi sajikan! Kak Ummi masak Ikan Kerisi Tempoyak Pekat & Kacang Panjang! Terliur tengok.....memang Amie cadang nak masak resepi yang sama. Minggu lepas ternampak ikan kerisi segar di Pasar Sri Perdana. Petang tadi tak sabar-sabar lagi, terus ke pasar tapi tak jumpa ikan kerisi walau ekornya pun! Rasa kecewalah juga.... tapi Amie gantikan dengan ikan kembung. Kalau jumpa ikan kerisi, memang Amie nak masak juga resepi begini. Minta izin dan minta halal ya...Kak Ummi sayangggg.... dapat ganjaran pahala dengan amall jariah ini kan Kak Ummi.  Amie panjangkan resepinya di bawah atau boleh juga klik di SINI.




IKAN KEMBUNG @ KERISI TEMPOYAK PEKAT & KACANG PANJANG
Resepi Asal: Ummi @ Home Sweet Home

Bahan:-
  • 2 ekor ikan kembung @ kerisi sederhana besar - cuci dan bersihkan, kerat 2.
  • * 8 tangkai cili padi
  • * 1 tangkai cili merah
  • * 3 ulas bawang merah
  • * 2 ulas bawang putih
  • * 2 inci kunyit hidup - bahan * ditumbuk halus
  • 5 sudu besar tempoyak - dikisar dgn 1/2 cawan air
  • 1 - 2 keping asam gelugor (ikut kemasaman tempoyak)
  • 3 cawan air
  • sedikit gula
  • garam secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menumis
  • 6 urat kacang panjang - dipatah2 3 inci pjg
Cara Memasak:-
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk serta tempoyak yang dikisar tadi dan masak hingga naik bau dengan api sederhana.
  2. Masukkan air dan biarkan mendidih sebentar.
  3. Terus masukkan ikan dan asam gelugor. Reneh dengan api perlahan.
  4. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan seimbangkan rasanya bila ikan masak.
  5. Masukkan kacang panjang dan biarkan sebentar. Tutup api dan hidangkan.

Sebenarnya Amie tertanya-tanya juga dalam hati, macam ada yang kurang pulak dalam resepi ini. Lauk sudah habis licin.... masih belum dapat jawapan. Bila Amie semak semula resepi Kak Ummi, rupanya Amie terlupa masukkan kunyit! Patutlah...semacam saja rupa masak tempoyak Amie! Tapi Amie masukkan pula daun kunyit! Inilah hasilnya kalau masak sambil berangan yang bukan-bukan... he hehehhh. Di bawah ini Amie masukkan sekali sayur taugeh campur sosej lauk makan malam bersama gulai tempoyak tadi.


Tak jadi nak hantar lauk ni ke rumah Kak Ummi sebab tak cukup syarat....kunyit tak masuk! Lain kali Amie nak cari juga ikan kerisi dan masak betul-betul seperti resepi Kak Ummi ye! Terima kasih banyak ya Kak Ummi.

Selasa, 20 September 2011

Classic Spaghetti Bolognese

Salam petang Selasa kepada semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Marilah sama-sama menikmati hidangan yang Amie sediakan kali ini.  Classic Spaghetti Bolognese air tangan Amie ini memang lazat dan cukup lengkap rasa masam dan manis daging.... oppppss... Amie tak gunakan daging lembu, sebaliknya Amie gantikan dengan daging ayam. Cukup syarat bukan.....  resepi Spaghetti Bolognese mestilah mempunyai rasa masam dan manis daging! Terima kasih untuk Kak Is yang telah memberi tunjuk ajar memasak resepi ini lebih 20 tahun yang lalu.


 Bahan-bahan:
1 paket spaghetti - rebus dengan sedikit garam & minyak zaitun hingga lembut
600 gram isi ayam - cincang
1 1/2 cawan puri tomato
4 biji tomato - cincang
1/2 cawan sos tomato
1/2 cawan lada kisar / tumbuk
1 biji capsicum merah dipotong dadu - pilihan
2 ulas bawang putih - cincang
2 labu bawang besar - tumbuk
1/2 sudu serbuk lada hitam - tumbuk
1 sudu serbuk oregano
1 batang saderi - cincang
keju parmesan secukupnya
garam
3 sudu besar minyak zaitun
1 cawan air.

Cara:
1. Panaskan minyak  dan tumis bawang putih, bawang merah, lada kisar dan semua bahan cincang sehingga naik bau.
2. Masukkan puri tomato, kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan daging ayam cincang dan kacau rata.
4. Masukkan air, sos tomato dan kacau hingga mendidih.
5. Masukkan garam dan taburkan keju parmesan.
6. Letakkan spaghetti di atas pinggan. Tuangkan kuah dan taburkan serbuk oregano.


Terima kasih Kak Is...... teringin satu hari nanti makan hasil air tangan Kak Is...(kakak sulung Amie).

Sabtu, 17 September 2011

Ikan Pari Asam Pedas

 Assalamualaikum semua. Masih lagi menghadiri rumah terbuka raya? Tengahari tadi suami bersama anak bongsu beraya di rumah teman sekerjanya. Amie terpaksa berkurung di rumah.... akibat bersin yang belum reda! Lagipun terpaksa makan ubat, jadi rasa mengantuk memang kena layan. Sempat juga Amie masak lauk untuk 2 anak bujang Amie.


Ini resepi ulang tayang. Sebelum ini pun sudah masak beberapa kali. Bezanya sebelum ini Amie masak ikan pari bunga,  kali ini ikan pari minyak. Antara kedua jenis ikan pari ini tentulah ikan pari bunga jauh lebih sedap! Untuk mengetahui resepinya bolehlah klik di SINI. Amie turunkan juga resepinya seperti di bawah ini.

Bahan-bahan:
15 biji lada kering - kisar
5 biji bawang merah - kisar
5 biji bawang putih - kisar
1.5cm kunyit hidup - kisar
1.5cm belacan - kisar/tumbuk
1/2 sudu lada putih - kisar
2 keping asam gelugur
3 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan
1 batang serai - diketuk
2 biji tomato- belah 6
8 biji kacang bendi
garam & gula / perasa lain
400ml air
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai dan asam keping.
3. Masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan pari dan biarkan sehingga masak. Kacau sekali-sekala.
5. Masukkan lada putih, kacang bendi dan tomato - kali ini Amie tak masukkan kacang bendi & tomato.
6. Perasakan dengan garam & gula / perasa lain.
7. Apabila kuah hampir pekat, tutup api.
8. Sedia untuk dihidangkan.


Petang tadi Amie pula keseorangan di rumah. Suami dan anak-anak menerima jemputan rumah terbuka di rumah teman di taman perumahan sebelah. Amie layan mata yang mengantuk. Memang cadang Amie nak berehat sepuas-puasnya kerana cuti hanya tinggal esok. Biar cukup stamina untuk memulakan hari yang baru untuk hari-hari seterusnya. Bila bersendirian, mata pula tak mahu pejam. Pelbagai ingatan datang menerawang..... nampaknya AidilFitri kali ini banyak sangat yang menggamit rasa.... dan mengusik perasaan!



Amacam? Foto di atas ada nilai seninya tak? Apasal hanya separuh muka saja.... mana pergi sebelah lagi, tentu ada cerita di sebaliknya. He he he.... renungan matanya boleh ditafsir tak? Macamana nak buat tafsiran.... mata tu sembunyi di belakang kaca 2 kanta dekat & jauh... Bagaimana pula dengan yang di bawah? Hmmm.... sebenarnya kali terakhir Amie tulis sajak pada tahun 2003! 8 tahun yang lalu....bertajuk Cerita Ombak Kepada Pantai. Tiba-tiba rasa gatal hati nak hasilkan puisi lagi.....


Petang ini Amie kongsikan sebuah nukilan rasa..... kalaulah isinya dapat membongkar maksud gambar di atas...

Saat Aku Kehilanganmu

ketika itu
angin tak lagi berhembus
awan berhenti berarak
terang menjadi kelam
kabur segala pandang
maya ini tiada makna

bagaikan kuntum terungkai di tangkai
jiwaku dibawa melayang
sebahagian diriku hilang
aku tidak mengerti
saat aku kehilanganmu
aku turut kehilangan diriku

takdir dan waktu: kubertanya padamu
setelah aku kehilangannya
mungkinkah  dia akan kembali
membawa sebahagian diriku yang hilang itu

Jumaat, 16 September 2011

Chicken Meatloaf

Salam sayang buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Semoga semuanya sihat sejahtera, dengan segala urusan masing-masing terutamanya yang sedang sibuk dengan memenuhi jemputan menghadiri rumah terbuka dan sudah pastinya yang terlebih sibuk ialah tuan rumah yang menganjurkan rumah terbuka itu. Amie terpaksa 'tidak' menghadirkan diri ke beberapa jemputan, memandangkan masih dalam keadaan kurang sihat. Bagaimana pun pagi tadi Amie cuba gagahkan diri bersama suami dan anak-anak untuk berkunjung ke rumah terbuka di Kunak, rumah kawan suami. Sekembalinya dari Kunak ke Lahad Datu, kami sempat singgah di Silam, menziarahi sepupu suami.   Untuk kali ini Amie masukkan Chicken Meatloaf..... sarapan pagi yang menjadi kegemaran anak-anak. Amie sediakan secara ringkas sahaja dengan menambahkan scrambled egg.


Rasanya ramai yang guna chicken meatloaf untuk pelbagai resepi. Ada yang suka panggang, kukus dan juga goreng. Anak-anak makan saja apa yang Amie sediakan.


Jemput makan.......