Rabu, 31 Ogos 2011

Menyambut Lebaran di Kampung Laman

Assalamualaikum semua..... rindunya pada teman-teman! Amie memang beraya sakan di kampung kali ini. Pagi raya  pertama memang keliling kampung bersama keluarga mengunjungi sanak saudara di Bukit Hijau. Sebelah petang pula berkunjung ke rumah saudara-mara di Bukit Kucing, Sungai Buluh dan Batang Berjuntai. Sambung pula menjelang malam selepas solat Maghrib kami bertandang ke Kapar. Penat memanglah tak terkata, tapi rasa sangat gembira dapat bertemu saudara mara.



Pagi raya kedua kami berkonvoi pula ke Kelang, dan menjelang tengahari kami pulang singgah menziarahi saudara di Rantau Panjang. Sempat pula singgah di Pantai Remis.... he he hee... apalagi cari mentaranglah! Bukan masuk lumpur korek binatang laut tu tapi beli...yang kecil sekilo RM8 dan yang besar sikit RM10. Memang dah tahu di sini ada jual mentarang walaupun semua orang sedang beraya. Resepi? Menu? Minta maaf, sepanjang berada di kampung memang masak macam-macam tapi tak sempat nak tangkap gambar masakan! Esok kami akan bertolak ke Perak pula.... berkunjung ke rumah saudara sebelah bonda di Hutan Melintang, Bota dan Tapah. Tapi sepanjang perjalanan dari Jeram ke Tanjung Karang dan Sungai Besar..... mungkin singgah sebentar di rumah keluarga sebelah ayahanda. Setakat ini dulu...salam penuh kerinduan dari Amie sekeluarga buat teman-teman yang sudi berkunjung ke rumah Amie ini ye.... Selamat Hari Raya....

Jumaat, 26 Ogos 2011

Selamat Menyambut Lebaran 1432H

Salam Lebaran buat semua rakan yang sudi berkunjung ke dapur Amie..... kad yang tidak sepertinya ini Amie titipkan buat anda yang sangat Amie sayangi. Moga ikatan persahabatan di alam maya ini kekal berpanjangan. Andai ada terlanjur kata, terkasar bicara....maafkanlah segalanya! Moga gembira di hari nan mulia. Seperti rakan-rakan yang lain, Amie pun akan pulang ke kampung halaman esok pagi.... naik kapal terbang dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu dan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.... ada rezeki, umur panjang kita akan bertemu lagi!


Antara kad raya (bukan duit raya tau...) yang sempat Amie kutip dari rumah jiran tetangga maya....



daripada Lady Ayu.....



daripada Kak Rosaliza.....



daripada Kunang-Kunang....




daripada Nuwairani Ismail......



daripada Kak Nor.....




daripada Quinnie.....





daripada Wahida ........




daripada Ibu Intan....


daripada Mama Eiqa.......




daripada Ha Sue.......





daripada Ucu Faridah.





dan daripada Kak Intan.....



tidak ketinggalan daripada Mieza....



juga Anna Qawina...




......daripada Puteri Kasih



..... daripada Azatiesayang...



......daripada Kak Ummi



.....daripada Madiha



....daripada Wattie



....daripada Nieza



.......daripada DTS-Mat Gebu



......daripada Yatie.



....daripada Izahdaut.



.....daripada Ayu Singapore.


....daripada Juwita.

Dengan bangganya Amie gantung kad-kad raya yang sempat Amie himpunkan!

Lampam Masala

Ini merupakan menu terakhir untuk berbuka puasa di rumah pada hari ini. Esok pagi kami sekeluarga akan berangkat pulang ke kampung halaman keluarga sebelah Amie. Amie masak ikan lampam atau ikan salap, sebutan orang sini untuk ikan ini. Ikan lampam mudah dipancing dan hanya menggunakan buah kelapa sawit sebagai umpan. Bagaimanapun ini bukanlah ikan lampam yang kami pancing seperti selalu. Suami beli ikan ini di Pasar Tani Kampung Paris. Jangan main-main ye... di Lahad Datu pun ada 'Paris'.... ha ahahahhh..


Kemudian nanti baru Amie tuliskan resepinya ye...



Lauk sampingan termasuk ulam-ulaman dan sambal kelapa.



Setakat ini dahulu pertemuan kita sempena bulan Ramadhan al-Mubarak......

Ayam Lemon Madu

Orang sibuk buat kuih, tayang biskut raya..... Amie masih tayang lauk! Tahun ini memang berehat dari menyediakan kuih-muih raya, maklumlah balik kampung. Tak mahu bawa kuih raya sebab sampai saja dah tak molek rupanya akibat bergolek-golek dalam kargo. Ini lauk berbuka petang kelmarin.... puasa hari ke 25.

Tak payah tulis resepinya ye sebab dah pernah buat sebelum ini dalam n3 Nasi Oren Ayam Lemon Madu di SINI.


Entah mengapa, bila malam semakin larut perut jadi lapar dan teringin pula makan maggie.... Maggie Kari!

Rabu, 24 Ogos 2011

Ikan Alu-Alu Masak Taucu

Salam 24 Ramadhan. Moga puasa kita terus mendapat keberkatan. Rasanya begitu pantas masa berlalu, dan penghujung Ramadhan hampir tiba, seterusnya Syawal yang bakal menjelma akan mengakhiri tempoh menjalani ibadah puasa. Insya-Allah, seluruh umat Islam akan menyambut Aidil Fitri dalam tempoh terdekat ini. Tentu rakan-rakan sibuk membuat persiapan menyambut lebaran, membeli pakainan baru, menyediakan kuih raya, namun juadah berbuka puasa tetap disediakan untuk keluarga tercinta. Petang tadi Amie sekeluarga berbuka puasa dengan hidangan nasi putih bersama Ikan Alu-Alu Masak Taucu, dengan lauk iringan termasuk sambal belacan dan sayur sup campur. Seperti biasa, suami turut membantu menyediakan 2 jenis minuman termasuk jus nenas dan minuman panas.


Kali pertama Amie makan ikan alu-alu ialah di kantin sekolah pada tahun 2007 (ingat lagi tahun sebab baru ditugaskan ke sekolah itu). Tukang masak kantin sediakan hidangan ikan alu-alu masak taucu. Sedap sangat! Amie tanya kepada pengusaha kantin, apa nama ikan itu.... dan dari situlah Amie berkenalan dengan ikan alu-alu. Amie lihat sendiri pembekal ikan membawa beberapa jenis ikan termasuk ikan alu-alu ke dapur kantin. Wah! Panjangnya ikan alu-alu....



Bahan-bahan:
3 keping ikan alu-alu
5 sudu taucu manis
2 biji lada merah - hiris
2 biji lada hijau - hiris
1 labu bawang besar - potong bulat
3 biji bawang merah - tumbuk
3 biji bawang putih - tumbuk
1 sudu gula
1/2 sudu serbuk kunyit
75ml air
garam - jika kurang masin
minyak

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
3. Masukkan hirisan lada dan bawang besar serta taucu. Kacau rata.
4. Masukkan air dan biarkan mendidih.
5. Masukkan ikan.
6. Masukkan gula. Gaul rata.
7. Apabila kuah menjadi pekat, bolehlah angkat dan hidangkan.



Dua hari lepas Amie sempat ke pasar beli seekor ikan alu-alu seberat 5kg. Siap dipotong, dan ikan ini menjadi salah satu ole-ole pulang kampung hari Sabtu nanti........

Mufin Mr. Tan & Epal Bidara

Kelmarin petang, dalam perjalanan pulang dari sekolah, anak bongsu Amie tiba-tiba berkata:
-Mummy, boleh tak nanti buat mufin? Saya sudah janji dengan cikgu nak bagi esok.
+Haaaaa? (... agaknya masa tu mata Amie terbeliak memandang wajah si bongsu. )
-Saya tanya, cikgu suka makan mufinkah? Cikgu bilang, suka. Nanti mummy saya buatkan cikgu.
+Cikgu adik puasa tak? Siapa nama cikgu adik tu?
-Cikgu Tan, dia ajar kami Sains, Kemahiran Hidup dan Bahasa Melayu.
+Lelaki ke perempuan?
-Lelaki.

Bukan nak tahu jantina atau mata pelajaran apa yang diajar, puasa atau tidak, tapi sebenarnya memikirkan apa patut Amie lakukan. Tidak ada angin dan ribut, anak sudah berjanji dengan gurunya. Apa moralnya di sini? Apa alasan perlu diberi? Memandangkan ada nilai pengajaran di sebalik janji yang tersurat, maka janji mesti ditunaikan. Kata mesti dikota... itu yang Amie ingin terapkan dalam diri si bongsu. Amie pesan pada si bongsu:

Lain kali kalau sayang nak bagi cikgu apa-apa, bincang dulu dengan mummy ye... (bukan apa... tak berapa reti nak buat mufin....walaupun Mieza dah bagi A++)

Malam tadi sempatlah godek-godek tepung mufin pineapple mix, campur dengan tepung  lagi sebab terlalu manis. Oleh sebab nampak togel saja mufin itu, Amie bubuhlah hirisan ceri hijau, ceri merah dan juga nenas. Terfikir pula di kepala Amie, agaknya si bongsu gunakan strategi begini supaya Amie buat mufin sebab boleh katakan setiap petang balik dari sekolah dia ajak Amie buat mufin tapi Amie tak buat! Syukurlah ada cawan yang Mieza kirim tempohari. Terima kasih banyak-banyak ye Mieza, nampaknya cawan bersama isinya sudah pandai berjalan tau Mieza, ke rumah jiran dan juga ke tempat Mr. Tan!


Pagi tadi si bongsu dengan bangganya membawa 5 ketul mufin ke sekolah untuk gurunya. Bulan puasa woiiii...
Sampai di rumah pukul 3.20 petang tadi, terpandang taman yang masih terbengkalai. Tiba-tiba terpandang beberapa biji epal bidara yang bergantungan di celah daun...



Amie sangka bunganya belum mengeluarkan putik buah, rupanya selama ini tidak sedar sudah menjadi buah sebab di sebahagian dahan yang lain masih dipenuhi bunga. Teringat tahun lepas, suami terpaksa tebang pokok epal bidara ini kerana tumbang akibat hujan ribut seperti di bawah ini....



Terpaksalah dikorbankan separuh pokok sebab menimpa tingkap rumah. Harap tahun ini pokok epal bidara kesayangan kami ini akan terus berbuah lebat seperti tahun-tahun sebelumnya seperti di bawah ini.


Tahun lepas semasa balik raya di Selangor, bawa epal bidara sebab masa tu buah sudah matang. tahun ini tak dapat bawa balik kampung sebab baru mula berbuah.


Amie bawa ke sekolah... rupanya ramai yang baru tahu tentang buah epal bidara ini. Dapatlah setiap seorang sebiji atau dua ..... mana yang sempat ambil dapatlah, yang tak sempat tu tak dapatlah.....

Selasa, 23 Ogos 2011

Nasi Goreng & Ayam Goreng Butter Cereal Seasoning Powder

Apa khabar rakan-rakan semua? Semua sentiasa sihat dan dapat menjalani ibadah puasa pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan tawadduk sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Tanpa disedari hari ini sudah masuk hari ke 23 kita berada di bulan Ramdahan al-Mubarak. Petang ini Amie ingin kongsi menu berbuka puasa kami sekeluarga. Amie mempunyai banyak lebihan nasi untuk bersahur. Kadang-kadang anak-anak berselera sekali untukbersahur, tapi ada kalanya langsung tidak disentuh. Misalnya, pagi tadi anak-anak memilih maggie pula untuk dijadikan menu sahur sedangkan sudah disediakan nasi bersama lauknya sekali. Terpaksalah simpan nasi ke dalam peti sejuk, dan supaya tidak berlaku pembaziran, petang tadi Amie goreng nasi lebihan itu.


Seperti biasa, memang beginilah gaya hidup manusia bernama Amie.... apabila masuk dapur, melihat bahan yang ada, barulah memikirkan apa hendak dilakukan seterusnya. Jadilah nasi goreng tak bernama seperti di atas. Resepinya seperti berikut.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih - hiris
1 tangkai daun kesum - hiris
1 kuntum bunga kantan - hiris
4 batang serai - hiris halus
1/2 biji capsicum merah - hiris kecil
1/2 biji capsicum kuning - hiris kecil
1/2 biji capsicum hijau - hiris kecil
1 cawan jagung tin
2 sudu budu
garam / serbuk pati ayam
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
2. Masukkan semua bahan hirisan dan gaul rata.
3. Masukkan nasi, jagung dan budu. Gaul rata.
4. Taburkan garam / serbuk pati ayam. Gaul lagi hingga sebati.
5. Angkat dan hidangkan.

Amie tidak bubuh cili dan bahan-bahan lain kerana Amie sediakan lauk untuk nasi goreng yang tak bernama ini.


 Lauk paling mudah Amie sediakan petang ini ialah Ayam Goreng Butter Cereal seasoning Powder. Sama saja cara masaknya seperti Udang Goreng Butter Cereal Seasoning Powder yang Amie buat tempohari.


Bahan-bahan:
500 gram daging ayam - potong kecil-kecil
50 gram Butter Cereal Seasoning Powder
2 pelepah daun kari
7 biji cili padi - hiris nipis
2 sudu besar mentega
garam
serbuk kunyit
minyak

Cara:
1. Gaul daging ayam dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Panaskan mentega dengan api perlahan.
3. Masukkan daun kari dan hirisan cili padi. Goreng hingga harum
4. Masukkan ayam goreng dan gaul sebati.
5. Tutup api.
6. Masukkan Butter Cereal Seasoning Powder dan gaul rata.
7. Angkat dan hidangkan.


Sewaktu Amie masuk 'dapur' untuk masukkan menu hari ini, Amie sempat baca komen di sebelah dari seseorang yang menamakan dirinya sebagai 'Tetamu'. Beliau ingin tahu rupa Butter Cereal Seasoning Powder dan di mana tempat untuk mendapatkannya. Untuk 'Tetamu'.... di bawah ini ialah rupa bungkusan bahan tersebut. Selama ini Amie beli di Cosway, dan kurang pasti pula adakah ada dijual di tempat selain Cosway. 


Di Cosway Lahad Datu, harga sebungkus ialah RM5.90 dan harga di semenanjung ialah RM4.90. Harap Amie sudah dapat menjawab pertanyaan Tetamu ye...

Isnin, 22 Ogos 2011

Mee Kari Kerang

Petang tadi lewat sampai rumah. Rasanya macam tak sempat nak sediakan juadah puasa buat hari yang ke 21 ini. Sampai depan pintu pagar, suami telefon... tanya nak masak apa untuk buka puasa petang ini. Amie jawab... entahlah...(dengan nada letih... memang letih pun). Goreng mee sajalah.... kata suami. Ya Allah.... hari-hari dia nak makan mee. Mee goreng lagi! Mummy buat mee kari ya..... tiba-tiba Amie menyahut tanpa memikirkan apa keperluan untuk mee kari. Amie tahu, mee kari merupakan menu kedua kegemarannya selepas mee goreng. Ada bahan yang nak dibeli? Tanyanya di hujung telefon. Amie pun sebutlah satu persatu bahan yang perlu ada ..... Selepas Amie solat Asar, jam menunjukkan angka 5 petang. Hari ini buka puasa pukul 6.19 petang. Nampaknya di atas meja di dapur sudah tersedia pelbagai bahan segar yang baru dibeli suami. Apalagi.... operasi pun bermula.... dan yang paling seronok, sebab ada kerang! Lama sangat tak makan kerang! Bukan senang nak jumpa kerang di Lahad Datu....


Jom jemput makan sepinggan/ semangkuk  seorang. Yang di bawah ni belum bubuh kuah lagi.



Kali ini Amie rebus-rebus saja semua bahan aksesori termasuk udang, ayam, dan kerang serta fish cake. Ini disebabkan kesuntukan masa dan capai mana yang ada di depan mata. Sepanjang Ramadhan ini Amie sudah buat 2 kali mee kari termasuk yang ini. Seperti biasa, Amie tidak gunakan santan sebaliknya gantikan dengan tomato dalam kuah kari.



Oleh kerana ramai yang belum biasa makan dengan kuah kari tanpa santan, di bawah ni Amie sediakan mee kosong tanpa kuah... he he heee... boleh buat pilihan, nak kuah kari Amie atau kuah kari bersantan.  Kalau nak yang bersantan, boleh bawa sepinggan/semangkuk seorang mee di bawah ni ye.... hehehhhhhhheeee


Oleh sebab tuan dapur sekarang ni tersangat letih, minta diri dulu untuk beradu seketika. Ada masa nanti Amie tuliskan resepinya ye....Selamat berpuasa untuk hari yang seterusnya.....

Wokey.... nampaknya pagi ini selepas bangkit dari beradu, Amie sempat tuliskan resepi Mee Kari Kerang tanpa santan ini.

Bahan-bahan:
1 kg gram  mee kuning - celur, cuci dan toskan
400 gram daging ayam - rebus dan potong-potong
15 ekor udang kertas - celur
2 keping fish cake - celur dan hiris-hiris
1 cawan isi kerang kerang  yang telah dikupas
5 keping tauhu kering - potong nipis
1 cawan taugeh
5 biji telur - rebus dan belah 2
5 biji limau kasturi
daun sup
bawang goreng
hirisan lada merah

Bahan untuk kuah:
7 sudu serbuk kari daging
2 sudu lada kisar
2 pelepah daun kari
5 biji tomato - belah 4
5 biji bawang merah - tumbuk
3 keping asam gelugur
5 biji bawang putih - tumbuk
3cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
serbuk pati ayam / garam dan gula secukup rasa
minyak
1.5 liter air (Amie guna air rebusan ayam dan udang)

Bahan untuk sambal kicap:
10 biji cili padi
3 biji bawang putih
4 biji limau kasturi - ambil jusnya
4 sudu kicap manis Cap Kipas Udang
~tumbuk cili padi bersama bawang putih hingga lumat, kemudian campurkan dengan kicap dan perahkan limau kasturi~

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk, lada kisar, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga wangi.
2. Masukkan tomato, dan daun kari serta asam gelugur. Biarkan tomato layu seketika.
3. Masukkan serbuk kari dan gaul rata.
4. Masukkan air dan biarkan merenih sehingga tomato hancur.
5. Perasakan dengan serbuk  pati ayam atau garam dan gula.
6. Letakkan mee kuning  di atas pinggan / mangkuk. Susun kepingan ayam, kerang, udangtelur rebus, tauhu kering dan lain-lain.
7. Tuangkan kuah ke atasnya dan hiaskan dengan daun sup serta bawang goreng.
8. Jika suka pedas, tambahkan sambal kicap sewaktu menikmatinya.
 

Ahad, 21 Ogos 2011

Nasi Kuning Sambal Alu-Alu

Nasi Kuning? Bukan pulut kuning tau! Tidak tahu makanan tradisi suku kaum apa. Rasanya milik bersama, sebab pelbagai kaum masak, makan dan jual. Tidak terhad kepada kaum tertentu. Hanya ditemui di Sabah Negeri di Bawah Bayu. Biasanya dimakan waktu pagi sebagai alas perut atau untuk bersarapan. Dijual dalam bungkusan daun pisang. Lauknya terdiri daripada sambal ikan. Selalunya sambal ikan kayu, ikan tuna, ikan basung, tenggiri, kembung dan juga ikan layar serta ikan alu-alu. Dahulu harganya hanya RM1.00 sebungkus tapi kini sudah mencecah RM2.50-RM4.00. Kuantitinya pun tidaklah banyak, sekadar untuk alas perut sahaja seperti halnya dengan sebungkus nasi lemak! Lauknya pula semakin dipelbagaikan dan tidak terhad kepada ikan sahaja malah kita boleh pilih lauk udang dan juga ayam sekiranya ada. Sesuatu yang istimewa di negeri Sabah ini, kalau kita makan di kantin atau restoran, mesti disertakan dengan semangkuk kecil sup! Dan menu Nasi Kuning ini tidak ketinggalan sebagai salah satu menu yang dijual di bazaar Ramadhan.


Sejak bulan puasa, inilah kali pertama makan nasi kuning. Selalunya suami beli untuk sarapan pagi dan di kantin pun Amie biasanya makan menu ini. Amie tidak menggunakan resepi khusus untuk Nasi Kuning. Amie masak berdasarkan pengalaman merasa, bertanya kepada biras yang pernah menjual nasi kuning dan juga pengalaman rakan-rakan. Banyak cara masakannya termasuklah merendam terlebih dahulu beras dengan kunyit semalaman dan sebagainya. Ada yang campurkan segenggam beras pulut supaya nasi kuning lebih lemak, dan yang pastinya bahan asas seperti serbuk kunyit dan santan adalah satu kemestian. Dengan kata lain, penyediaan nasinya lebih kurang sama dengan penyediaan nasi lemak cuma ditambah dengan serbuk kunyit sahaja. Kadang-kadang Amie terbau serai dalam nasi kuning, kadang-kadang tidak pula. Ada kalanya nasi kuning tawar hambar, langsung tak bersantan... macam-macamlah yang ditemui! Ada juga yang warna kuning pucat, kuning terang...bla..bla..blaaa..

Bahan-bahan:
500 gram beras - bersihkan dan toskan airnya
400ml santan - sederhana pekat / cair
1 sudu serbuk kunyit -
3cm halia - ketuk
3cm kulit kayu manis
3 biji bawang putih - ketuk
1 helai daun pandan
garam / perasa secukupnya

Cara:
1. Tuangkan santan ke dalam kuali bersama serbuk kunyit, halia, kulit kayu manis dan bawang putih serta daun pandan.
2. Masukkan beras dan garam dan kacau sehingga kembang.
3. Apabila beras telah kering, pindahkan ke dalam periuk pengukus.
4. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi kuning masak.

Lauknya pula, biasanya kalau gunakan ikan, ikan digoreng terlebih dahulu hingga masak. Kemudian dimasak pula bersama sambal. Amie gunakan ikan alu-alu.



Ini ikan alu-alu yang telah digoreng. Ikan alu-alu ini dikenali juga dengan nama 'barracuda'. Ada jenis alu-alu yang sedap dan kurang sedap. Isi alu-alu warna kuning lebih enak berbanding isi alu-alu warna putih. Kalau di pasar, harga ikan alu-alu kuning lebih mahal sedikit berbanding ikan alu-alu putih. Masak sambal ikan alu-alu mudah sahaja, sama sahaja dengan buat sambal yang lain. Lebihkan gula sedikit.

Bahan-bahan:
20 tangkai lada kering - kisar
1 labu bawang besar - kisar
5 biji bawang merah - kisar
5 biji bawang putih - kisar
1.5cm belacan - kisar
2 keping asam gelugur - boleh guna asam jawa
1 batang serai - diketuk
garam dan gula secukup rasa / perasa lain
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan asam keping dan serai. Jika terlalu garing boleh tambah sedikit air. Masak hingga pekat.
3. Masukkan garam dan gula / perasa lain secukupnya.
4. Masukkan ikan dan biarkan seketika. Angkat dan hidangkan.



Selain sambal ikan, hidangan nasi kuning juga dilengkapi dengan telur dan juga timun serta hirisan tomato. Maaf, ini idea Amie. Sebenarnya kalau anda makan nasi kuning berbungkus daun pisang, anda akan hanya temui sambal ikan sahaja dan kadang-kadang terdapat juga sepotong telur rebus. Apa pun selamat berkongsi resepi, dan oleh kerana selalu makan nasi kuning di sini, bila sesekali balik kampung terasa rindu pula nak makan nasi kuning.... siap dengan semangkuk kecil sup!



Hi hi hiiii..... oleh sebab sudah hampir waktu berbuka puasa, tak sempat nak potong ikan. Jadi letak saja besar gedabak dalam pinggan.... Selamat berbuka puasa buat hari ke 21.