Ahad, 31 Julai 2011

Nasi Ayam Saffron @ Zafran

Hari ini kebanyakan orang sibuk membeli-belah terutamanya untuk persiapan menyambut bulan puasa yang dijangka pada hari esok. Oleh kerana dari jendela rumah, Amie lihat kenderaan berjalan seperti semut, Amie tidak berhasrat untuk menyertainya. Mungkin malam nanti Amie bersama suami dan anak-anak akan keluar berbelanja serba sedikit. Sebenarnya persiapan untk bersahur telah sedia ada tetapi  sengaja bawa anak-anak supaya mereka boleh pilih sendiri makanan kegemaran (terutama jus bah-buahan) masing-masing memandangkan petang tadi kedengaran suara-suara gembira mereka sekiranya esok mula berpuasa. Moga-moga hari pertama berpuasa pada tahun ini yang bakal mereka lalui merupakan permulaan yang mengujakan bagi mereka. Cuaca yang panas berdebu pada hari ini juga membuatkan Amie merasa selesa di dalam rumah sahaja. Dapat jugalah hidangkan Nasi Ayam Saffron untuk keluarga.



Kali ini Amie masak nasi ayam dengan herba saffron. Selalunya Amie masak Nasi Ayam Hainan sebab lebih mudah, cepat dan tidak perlu banyak bahan. Teringin pula nak makan nasi ayam seperti di atas tu. Mesti ramai yang sudah biasa masak nasi ayam, tapi Amie turunkanlah juga resepi untuk nasi ayam hasil air tangan Amie.

Bahan-bahan:
500 gram beras - bersihkan dan toskan airnya
700 gram ayam - bahagian peha
secubit herba saffron - rendam dengan sedikit air panas
1 helai daun pandan
500ml air rebusan ayam
1 kiub pati ayam
3 biji bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
3cmkulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
4 sudu marjerin

Bahan untuk perapan ayam:
1 sudu kicap pekat
1 sudu bawang putih  kisar
1 sudu halia kisar
1/2 sudu lada hitam - tumbuk
1/2 sudu garam
1 sudu madu
1 sudu minyak bijan
Gaul rata ayam bersama bahan pemerap di atas.

Bahan untuk sambal:
2 biji lada merah
5 biji cili padi
4 biji bawang putih
3cm halia
1 biji tomato
1 sudu gula
1/2 sudu teh garam
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
Kisar semua bahan untuk sambal dan gaul bersama garam, gula dan jus limau kasturi

Bahan kicap:
Setelah ayam digoreng, ambil lebihan bahan pemerap dan tambah sedikit kicap, madu dan minyak bijan. Didihkan di atas api.

Bahan hiasan:
bawang goreng
hirisan daun sup
hirisan timun
hirisan tomato

Cara:
1. Perap ayam dengan bahan pemerap selama 1/2 jam. Ketepikan.
2. Masukkan air dalam periuk pengukus. Biarkan mendidih.
3. Panaskan marjerin dan tumis bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang hingga wangi.
4. Masukkan air rebusan ayam dan kiub ayam. Biarkan mendidih.
5. Masukkan beras bersama  herba saffron yang direndam.
6. Kacau sekali sekala hingga beras kembang dan mengering.
7. Pindahkan nasi ke dalam periuk pengukus.
8. Kukus selama 15-20 minit.
9. Sementara menunggu nasi masak dalam kukusan, bolehlah goreng ayam yang diperap tadi.
10. Hidangkan nasi bersama ayam goreng, sambal, kicap dan bahan hiasan.



Marilah makan bersama....... Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Malam ini (kalau jadi) kita bangun sahur sama-sama ye....

Potato Wedges & Cream of Mushroom Soup

Selamat pagi semua. Nampaknya tak sempatlah nak sembang panjang sebab baru saja seorang rakan telefon ajak Amie minum pagi bersamanya. Walaupun sudah bersarapan pagi bersama suami dan anak-anak, namun Amie terfikir mungkin ada sesuatu yang ingin dibincangkan oleh rakan tadi.


Sarapan pagi ini berupa kentang goreng wedges dengan sup krim cendawan. Selalu juga Amie buat kentang wedges tapi kali ini Amie bubuh oregano dalam bancuhan tepungnya. Jumpa lagi ye, kawan Amie sedang menunggu di Bandar Sri Perdana.

Sabtu, 30 Julai 2011

Kerabu Perut

Petang ini Amie tak makan nasi. Amie ratah kerabu perut! Mungkin ada yang tak pandai makan perut..... he he he... tak kisahlah! Sudah terlalu lama tidak buat dan makan menu ini. Beberapa kali berhasrat nak buat, tapi bila ke tempat menjual daging, perut sudah habis. Petang tadi, rezeki yang ditunggu sudah tiba. Keluar dari pintu pagar tempat berkursus tergerak untuk menghalakan kereta ke pasaraya. Ada 2 paket perut segar di situ dan Amie terus ambil satu.


Kalau masak sendiri, kita bebas nak bubuh apa. Tapi yang penting perut lembut mesti empuk. Untuk itu Amie tidak gunakan sebarang petua, dan hanya merebus perut dengan api perlahan sehingga empuk atau hingga air rebusan menjadi kering. Amie masukkan seketul kiub pati ayam sebagai perasa supaya meresap dalam perut.

Bahan-bahan:
600 gram perut segar - cuci hingga bersih
1 cawan pucuk paku - celur
1 cawan taugeh - celur
1 cawan kelapa parut
1/2 cawan udang kering - rendam
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
5 biji cili padi - hiris
3 batang serai - hiris
1 labu bawang besar - hiris
3 biji bawang merah
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
1 kiub pati ayam
sedikit garam
sedikit gula

Cara:
1. Rebus perut lembu menggunakan sukatan air melebihi parasnya. Masukkan 1 ketul kiub ayam. Biarkan masak hingga airnya kering dengan api perlahan. Apabila telah empuk dan masak, potong ikut suka.
2. Tumbuk.bawang merah bersama udang kering dan kelapa parut. Sangan sebentar hingga naik bau.
3. Masukkan kelapa sangan tadi ke dalam mangkuk besar.
4. Masukkan semua bahan hirisan ke dalamnya. Gaul sebati.
5. Tambahkan garam dan gula.
6. Masukkan pucuk paku, taugeh dan perut. Gaul hingga mesra.
7. Perahkan air limau kasturi.
8. Sedia untuk dihidangkan.

Pada masa yang sama, Amie masak asam pedas ikan alu-alu.


Kalau rasa lapar, bolehlah makan nasi dengan asam pedas tu.

Udang & Sotong Goreng Rangup

Ini resepi tertunggak... hidangan makan malam untuk malam semalam. Oleh kerana internet buat hal, malas nak tunggu lama.... terus tidur sebab 7.30 hingga 2.00 petang Sabtu ada Latihan Dalam Perkhidmatan. Udang dan sotong goreng ini Amie ikut resepi kakak ipar Amie. Adunkan tepung gandum dengan tepung jagung, dan tambahkan lada putih serta serbuk ENO. Memang rangup!



Bahan-bahan:
20 ekor udang kertas sederhana besar - buang kepala dan kulit, tinggalkan ekor
3 ekor sotong sederhana besar - buang kulit, mata dan mulut serta asingkan telur jika ada, potong ikut suka
3/4 cawan tepung gandum
3/4 cawan tepung jagung
3 biji bawang putih - tumbuk
3cm halia - tumbuk
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1 sudu serbuk ENO
1/2 sudu serbuk kunyit
air
minyak

Cara:
1. Campurkan tepung gandum, tepung jagung, semua bahan tumbuk, serbuk ENO, serbuk pati ikan bilis serta sebuk kunyit.
2. Masukkan air dan buat satu adunan yang sedang-sedang, tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
3. Panaskan minyak dalam kuali.
4. Celupkan udang atau sotong ke dalam adunan dan goreng dengan minyak terendam.
5. Apabila kelihatan kuning keemasan, bolehlah angkat dan hidangkan.

Resepi begini memang jadi rebutan anak-anak. Seronok tengok mereka makan. Licin bersih! Pada masa yang sama Amie teringin pula makan ikan kering terbang kukus dan juga telur hitam seperti di bawah. Jadi, ini bahagian Amie dan suami pula menghabiskannya.... anak-anak manalah mahu makan...



Ke mana pun kupergi, lauk-pauk kampung tetap menjadi pilihan!

Khamis, 28 Julai 2011

Nasi Oren Ayam Lemon Madu

Amie buka penutup periuk pengukus untuk melihat keadaan nasi yang sedang dikukus. Tiba-tiba anak-anak dan suami menerpa ke dapur bila terbau aroma Nasi Oren yang sedang Amie kacau dalam periuk...... masing-masing sibuk bertanya apa resepi yang Amie masak untuk makan malam ini. Kita sedang masak Ayam Lemon Madu, sibuk lagi anak-anak untuk mencicipi kuahnya yang sedang memekat dalam kuali! Alhamdulillah, biarpun Amie masak entah apa-apa resepi, syukurlah setakat ini apa yang dimasak semuanya habis dimakan. Tidaklah berlaku pembaziran sebab seisi keluarga boleh menerima apa sahaja hasil air tangan Amie. Ini yang buat tambah kuat semangat nak masak macam-macam ni.... he he dengan syarat tau, ... cooking with my heart and soul!


Nasi Oren Ayam Lemon Madu

Amie pernah terpandang nama resepi ini dalam sebuah majalah tapi bila nak masak, tak tahu dalam majalah yang mana satu. Tengahari tadi sempat jumpa Encik Google, diberinyalah kita dua alamat rumah chef yang ada masakan ini. Satu, alamat Chef Nasi Oren dan satu lagi Chef Ayam Lemon Madu.


Ayam Lemon Madu

Namun begitu, ada sedikit pengubahsuaian ikut cita rasa Amie. Untuk resepi Nasi Oren bolehlah jumpa chef masakannya di MAJALAH RASA. Di bawah ini Amie sertakan juga resepi yang telah Amie cuba tadi.

Bahan-bahan:
500gm beras basmathi
3 biji bawang merah - Amie gantikan dengan sebiji bawang besar
2 ulas bawang putih
50gm mentega
2 sudu makan jus oren - Amie perah jus sebiji limau Sunkist
3 sudu makan stok ayam - dicampur
bersama dengan air (jadikan 4 cawan) - Amie gunakan kiub ayam
1 biji buah oren - dihiris nipis
Garam secukup rasa
Lada sulah secukupnya
1 helai daun pandan
Sedikit pewarna kuning
* Amie tambah hirisan halia dan 1/2 cawan kismis

Cara memasak:
1. Basuh beras sehingga bersih.
2. Panaskan periuk dan masukkan butter, kemudian tumiskan bawang merah dan putih yang telah dikisar serta daun pandan sehingga naik bau.
3. Setelah itu, masukkan beras yang telah dibasuh tadi dan kacau sehingga sebati.
4. Kemudian masukkan stok ayam dan jus oren ke dalam tumisan tadi.
5. Selepas itu masukkan garam dan lada sulah secukup rasa. Kacau sebati.
6. Tutup periuk dan tanak sehingga masak.
7. Setelah nasi siap di masak titikkan pewarna kuning dalam 2-3 titik untuk menambah warna pada nasi tadi.
8 Sedia dihidangkan.

Amie ambil kesempatan ini untuk menunjukkan cara memasak nasi menggunakan periuk pengukus. Beberapa hari lepas Nora Shahaira meminta Amie memberi panduan bagaimana caranya untuk masak nasi dalam periuk pengukus. Mula-mula kena berkenalan dulu dengan periuk pengukus. Ada macam-macam jenis, dan rupa bentuk. Yang warna-warni pun ada. Amie biasa gunakan periuk pengukus seperti di bawah ini.



Sebenarnya usia periuk pengukus ini sudah melebihi 15 tahun, tapi Amie sangat sayang padanya sebab banyak jasanya dalam hidup Amie. Kalau kenduri atau buat rumah terbuka, periuk inilah Amie gunakan untuk mengukus nasi. Di sini, orang panggil periuk Filipina sebab memang datangnya dari Filipina. Ada saiz sederhana dan ada saiz besar. Istimewanya kalau masak nasi cara kukus, kita tidak bimbang nasi akan lembik atau keras atau juga mentah. Satu lagi, nasi lebih tahan lama.... maknanya tidak cepat basi. Untuk pengetahuan Nora juga, banyak cara kukus nasi. Sesetengah orang suka rendam dulu beras, baru masukkan dalam kukusan. Ada yang bersihkan sahaja dan terus masukkan dalam periuk itu. Bila beras sudah kembang, mereka akan renjis air supaya nasi menjadi lembut. Setiap kali masak nasi lemak, nasi minyak, nasi briyani dan pelbagai jenis nasi, Amie akan masak dulu nasi dalam kuali dan setelah kembang dan kering, Amie pindahkan ke dalam periuk pengukus yang sudah sedia dididihkan airnya. Misalnya, petang tadi dalam tempoh 1 jam, Amie sempat siapkan Nasi Oren dengan lauknya sekali, Ayam Lemon Madu. Oleh kerana nasi ini dimakan segera, Amie gunakan kaedah masak dulu hingga kembang seperti di bawah....



Mula-mula tumis dulu segala bahan seperti yang disebut dalam resepi. Bila sudah naik bau, masukkan stok ayam /kiub ayam yang dibancuh dengan air panas. Untuk 500 gram beras, Amie gunakan 400ml air. Oleh sebab beras Basmathi makan air, untuk kembangkannya tidak cukup 200 - 300ml air seperti masak beras wangi atau beras biasa.



Kacau sekali sekala supaya beras tidak kering melekat di bahagian bawahnya. Bila beras sdah kembang dan mengering, pindahkan ke dalam periuk kukusan seperti di bawah ini. Tutup antara 15-20 minit. Biasanya kalau nasi sudah kembang, tidak perlu renjis air lagi sebab wap kukusan sudah cukup untuk melembutkan nasi itu.



Ikutlah langkah demi langkah seperti yang disarankan dalam mana-mana resepi untuk menghasilkan nasi yang diingini. Nampaknya siap masaklah sudah Nasi Oren Amie seperti di bawah ini....



Nasi Oren yang sudah sempurna masaknya.



Jom makan sama-sama. Opppsss... terlupa untuk masukkan resepi Ayam Lemon Madu. Boleh tengok di  AYAM LEMON. Resepinya seperti berikut:

Bahan-bahan:
1/2 kg ayam - dipotong kecil
3 sudu besar kicap
2 sudu besar sos cili
2 biji lemon - ambil jusnya
1 1/2 sudu besar madu
1 sudu besar minyak sayuran
3 cm halia - mayang halus
3 ulas bawang putih - cincang
1/2 cawan susu cair
1/2 kiub ayam
1 sudu besar tepung jagung
1 1/4 cawan mentega
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Cara Menyediakan:
1. Bersihkan ayam dan gaulkan dengan kicap, jus lemon, sedikit minyak sayuran serta madu. Perap selama 1/2 jam.
2. Goreng ayam yang telah diperap tadi hingga garing.
3.Tinggalkan sedikit minyak goreng ayam di dalam kuali tadi  dan tambahkan mentega. Tumis halia, bawang putih hingga naik baunya.
4. Kemudian masukkan sos cili dan susu sejat. Biarkan mereneh dan masukkan garam secukup rasa.
5. Masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air. Apabila agak pekat sedikit, masukkan ayam yang telah digoreng.
6. Kacau agar sama rata dan kuah sebati dengan ayam.
7. Angkat dan hidangkan.

Harap dengan perkongsian ini dapat membantu Nora Shahaira memahami serba sedikit tentang cara-cara masak nasi menggunakan periuk pengukus. Rakan-rakan yang lain..... apalagi, jomlah mencicipi resepi Amie malam ni.... Bismillah....

Rabu, 27 Julai 2011

Tart Nenas & Kek Lapis

Belum masuk bulan Ramadhan, apalagi Syawal yang masih nun jauh.... tapi Amie sudah ada kuih raya! Tart Nenas & Kek Lapis adalah antara menu pilihan utama Amie.....



Tak ada biskut tak apa, yang penting 2 di atas tu kena ada. Kadang-kadang habis stok Kek Lapis di supermarket. Kena beli lebih dan awal. Apa pun raya tahun ini..... Amie balik kampung. Jadi, tak dapat beraya di rumah sendiri. Sunyi sepilah rumah..... tertutup rapat! Oleh sebab akan beraya di Selangor, jadi makan dululah kuih raya Sabah ni..... he hehehhh.  Anak-anaklah nanti yang paling seronok kerana dapat merasai dua pengalaman berhari raya dalam suasana dua budaya!


Hey.... apa ni Amie.... puasa belum lagi dah cerita pasal kuih raya pulak! Tak ada cerita lain ke? Cerita lain ada tapi cerita biasa-biasa saja. Hari ini masak Ikan Putih Sambal Tomato. Sambal tomato lebihan kelmarin tu dibaikpulih, buat penambahbaikan untuk dijadikan sos .... tuang atas ikan. Itu saja.....



Sebenarnya Amie geram tengok pelbagai kuih muih yang dijual di pasaraya. Oleh kerana tahun ini tak berbelanja raya untuk rumah terbuka (balik kampung), beli sajalah kuih kegemaran Amie tu.....

Ikan Sulig, Sambal Tomato & Ulam-Ulaman

Baru balik dari rumah Diana Sky Blue Kitchen .... dari Labuan - Kota Kinabalu - Lahad Datu, turun dari MAS Wing terus balik rumah masuk dapur sendiri. Tengok ikan masak sambal di dapur Diana, teringat pula ikan goreng kita yang belum diangkat dari kuali....... belum hangus lagi! Rasanya ekor ikan Diana macam sama dengan ikan yang Amie goreng, cuma Diana kata tak tahu namanya. Amie sempat ambil gambar ikan itu petang tadi....kalau Diana datang ke dapur Amie, tentu dia boleh cam rupa ikan tu.....


Nama ikan yang Amie goreng petang tadi ikan sulig....haa... nama ikan itu memang terpampang di mini market. Ikan ini menjadi kegemaran ibu mentua Amie. Isinya tebal dan lembut, penuh.... tapi kulitnya nipis. Ibu mentua suka ambil isi ikan ini buat serunding. He he he... masih lagi selera kampung ni.... Amie goreng saja ikan, buat sambal tomato dan celur lobak merah serta putik jagung dan juga goreng terung Taiwan. Untuk Diana, cuba tengok rupa ikan di bawah ini, sama tak dengan ikan sambal Diana. kalau sama, maknanya tekaan Amie melalui ekor ikan Diana tu betullah.... kalau salah, Diana kena belanja makan Kak Amie tau....



Ibu mentua Amie panggil ikan ni ikan buntut kuning sebab ekornya warna kuning. Tengok tu...mulutnya kecil saja....... comelkan! Kalau Amie masak ikan ini di kampung, ibu dan bapa mentua siap berpesan.... goreng lembik-lembik ye nak.... mulanya Amie tak faham tapi lama-lama baru Amie tahu, jangan goreng lama-lama sebab isinya sangat lembut dan cepat masak! Macam Diana kata, (kalau betullah ini ikan yang dia masak sambal tu), ikan ini sedap, tapi oleh kerana isinya yang sedap... Amie pun tak tahu nak masak apa selain goreng supaya 'sedapnya' tu tak lari. Keluarga sebelah suami pula suka masak sambal perah air limau nipis!


 Amie gandingkan dengan sambal tomato. Sambal tomatonya pula Amie belajar daripada Yantie, bekas pembantu rumah Amie yang berketurunan Bugis dari Sulawesi tapi Amie ubahsuai ikut citarasa dan selera Amie. Kita lihat sama-sama apa bahan yang digunakan untuk membuat sambal tomato.



Kalau inginkan rasa sambal tomato yang lebih enak, tomato hanya dipotong-potong saja bersama bawang besar. Masukkan bersama bahan yang lain, masak dengan api perlahan sehingga hancur dan kuah menjadi pekat. Hasilnya, sambal akan kelihatan lebih halus-mulus.Tapi kali ini, sebab nak cepat siap, Amie kisar kesemua bahan dan hasilnya sambal tomato kelihatan agak kasar sedikit tetapi enak rasanya tetap sama.

Bahan-bahan:
3 biji tomato merah
2 biji tomato hijau
4 biji lada merah
3 biji lada hijau
7 biji cili padi
2 labu bawang besar
7 biji bawang putih
3 keping asam gelugur - Amie tambah sendiri
1 batang serai - dititik
3 helai daun limau purut - Amie tambah sendiri
1 keping belacan - angganran 3cm  x 3cm
garam dan gula
minyak

Cara:
1. Kisar kesemua bahan di atas kecuali daun limau purut, serai dan asam gelugur.
2. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bahan kisar.
3. Masak dengan api perlahan sehingga pecah minyak.
4. Masukkan asam gelugur, serai, garam dan gula. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi pekat.
5. Masukkan daun limau purut.
6. Tutup api.



Inilah rupa sambal tomato. Kalau suka warna hijau, gunakan tomato muda dengan lada hijau. Kalau suka warna merah menyala, pilih sajalah tomato masak ranum dengan lada merah!    Cukuplah setakat ini dahulu.... Amie mohon diri. Jumpa lagi..... dan selamat menjamu mata dengan hidangan ala kampung dari Amie's Little Kitchen.



P/S: asyik ulam lobak merah saja.... sebenarnya Amie suka makan lobak merah celur cicah sambal.... bagi yang belum pernah cuba..... cubalah sekali.... pasti inginkan lagi.

Selasa, 26 Julai 2011

Popia

Siapa suka popia? Jom masuk dapur Amie, kita minum petang.....


Oleh kerana balik awal sedikit, sebelum azan Asar sempat siapkan inti popia. Amie kena ikut selera anak-anak sebab merekalah pelanggan tetap Amie. Anak-anak memang tak suka makan sayur, jadi sia-sialah Amie masukkan sayur itu dan ini sebab waktu makan nanti, anak-anak keluarkan isinya. Baiklah jangan membazir. Mereka masih boleh terima lobak dan sengkuang, tapi bersyarat.... mesti bubuh jagung dan udang. Macam-macamlah selera anak-anak kita ye..... Oleh kerana popia merupakan makanan kegemaran anak-anak, Amie buat 50 keping saiz sederhana.



Bahan-bahan:
50 keping kulit popia saiz sederhana
sebiji telur
minyak
sos cili Thai

Bahan inti:
1 cawan udang - cincang
1 cawan isi ayam - cincang
1 tin jagung
2 biji lobak merah - hiris halus
2 biji sengkuang - hiris halus
3 biji bawang putih - hiris halus
1 sudu serbuk pati ikan bilis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan ayam dan udang. Gaul sebati.
3. Masukkan lobak merah, sengkuang dan jagung.
4. Masukkan serbuk pati ikan bilis. Gaul hingga mesra.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga kekuningan / garing.
9. Angkat dan toskan minyaknya.
10. Hidangkan bersama sos cili Thai.

Seperti yang dijangkakan, masa menghabiskan popia bersama anak-anak tidak sampai pun 7 minit....licin selicin-licinnya!



Sesiapa yang suka makan popia, ambillah seberapa banyak yang anda suka. Memang sengaja buat lebih untuk para tamu yang sudi datang bertandang ke dapur Amie. Jangan balik dulu sebelum kenyang. Minum sekali di dapur Amie.... air kopi ada di atas tu, lemon tea ada di sebelah ni.....teh 'o' ada dekat popia tu.... he hehehhhh.... kalau tak minum panas, carilah sendiri air sejuk dalam peti ais tu....

Isnin, 25 Julai 2011

Ikan Baulu Panggang, Sambal Tempoyak & Ulam-Ulaman

Selamat malam semua. Hari ini Amie ingin kongsi lauk kampung. Amie panggang ikan baulu. Setengah orang panggil ikan bolu. Ikut sebutan dan loghat masing-masing kaum agaknya. Kalau di semenanjung rasa ramai yang masih belum kenal ikan ini sebab beberapa kali Amie masukkan blog, ramai yang tertanya-tanya apa nama ikan ini di sana. Di bawah nanti ada Amie masukkan gambar ikan baulu itu. Di Indonesia katanya, nama ikan itu ikan belanak sembawa. Orang Filipina pula panggil ikan 'bangos' manakala orang putih pula itu 'milkfish.



Panggang dalam oven, bukan atas bara.


Tempoyak di atas tu pemberian Nan, dibawa dari Terengganu. Sebab dia ni lelaki, katanya tak tahu nak masak apa, dibaginyalah satu tapau tempoyak. Tempoyaknya tak pula rasa masam seperti yang biasa Amie makan, ada rasa manis-manis sikit tapi bukanlah lempuk. Di sini tak ada tempoyak, sebab orang sini tak biasa makan tempoyak. Kalau ada durian lebih, Amie buat tempoyak sendiri... haaa... kalau dah terpaksa, memang semuanya pandai kita buat! He he hee... tapi sebenarnya sekarang belum ada sebiji durian pun yang dijual, lambat sikitlah msim durian di sini. Tadi sempat telefon anak buah, simpankan sikit tempoyak, raya nanti Amie nak angkut..... sorokkan dalam bagasi! Di bawah ini apa pula?  Inilah rupa ikan baulu alias bolu.... ha...dah nampakkan? Apa namanya kalau di semenanjung? Ikan baulu ini seberat 800 gram.



Dulu Amie tak pandai makan ikan baulu@bolu. Jiran sebelah suka bagi ikan baulu panggang, suami saja yang makan. Oleh sebab lebih tiga empat kali jiran hulur, Amie pun cubalah rasa ikan tu.... eh! sedaplah....! Mulai saat itu (4 atau 5 tahun lepas) Amie pun jadi'hantu baulu! Siap tanya dengan jiran, macamana dia panggang ikan tu.... rupanya dibubuhnya asam garam dan kunyit serta lada putih. Amie pun buatlah sendiri. Anak-anak pun suka makan tapi siap pesan, mesti renjis minyak bijan sebab mereka suka aromanya.




Jadi malam ini Amie pertemukan Ikan Baulu Panggang dari Sabah dengan Sambal Tempoyak dari Terengganu, dihiasi dengan ulam-ulaman tempatan termasuk lobak merah celur, kacang botol dan kacang bendi. Berpeluh-peluh anak-anak dan suami makan. Anak-anak pun pandai makan sambal tempoyak! Suami Amie mana pernah kenal tempoyak..... haa...bila dah kahwin dengan Amie, kena kahwinlah sekali dengan budaya kita kan.... barulah sporting namanya!



Jadinya malam ini kita makan menu kampung yang mudah disediakan. Amie perturunkanlah resepi jiran sebelah Amie seperti berikut:

Bahan-bahan:
2/3 ekor ikan baulu - bersihkan dan kelar-kelar
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
sedikit pati asam jawa
1/2 sudu lada putih - tumbuk
minyak bijan
daun pisang / daun kunyit

Cara:
1. Lumurkan badan ikan dengan garam, kunyit, dan asam jawa serta lada putih.
2. Alas dengan daun pisang / daun kunyit.
3. Bakar dalam oven sehingga masak.
4. Keluarkan dan renjiskan minyak bijan

Jadi 1/3 ikan lagi apa Amie buat? Amie tahu anak-anak sangat suka makan ikan baulu panggang lada putih dan direnjis minyak bijan, jadi bahagian kepala dan dada ikan Amie masak asam rebus. Masakan kegemaran Amie ini nampak gila-gila sikit sebab resepinya pun ikut kepala Amie. Amie masukkan bawang besar, asam keping, serai, kunyit, daun limau purut, tomato dan juga lada putih tumbuk. Tak tahu nak panggil resepi apa.



Bila masak rebus-rebus begini, kenangan bersama bonda pasti menggamit memori. Sambil makan, sempat lagi hirup kuahnya....slrurrrrppp!!!!!!

Nasi Saffron Hujan Panas & Ayam Masak Kari

Ini resepi tertunggak. Kelmarin internet buat hal. Sebelum resepi jadi basi, baiklah cepat-cepat Amie masukkan hari ini. Tengah sibuk berkemas di dapur, terjumpalah sebungkus kecil saffron. Amie pn tak ingat, bila dan di mana saffron ini dibeli. Tentu ramai yang pernah masak nasi minyak dan sebagainya dengan menggunakan saffron.  Belum pun Amie siap masak, anak dan suami beberapa kali menjengah ke dapur.... bertanya,bau apakah yang ini? Wah! Nampaknya herba saffron yang diambil dari stigma bunga saffron telah berjaya menambah aroma pada nasi minyak hujan panas yang sedang Amie masak! Amie temankan Nasi Saffron Hujan Panas dengan lauk Ayam Masak Kari dan juga Acar Mentah.


Oleh sebab sudah bercampur dengan pelbagai warna pelangi, tenggelamlah rupa bentuk saffron yang sememangnya halus-halus  itu.



Ha.... nampaklah juga seurat dua herba saffron tu...... Seorang rakan Amie (Kak Aminah Isa - sudah lebih 10 tahun balik ke Kedah), suka masak nasi minyak dengan saffron. Kawan inilah yang bertanggungjawab mempengaruhi masakan Amie kali ini. Resepi yang Amie gunakan memang daripadanya tetapi Amie tokok tambah dengan pewarna dan jadilah Nasi Saffron Hujan Panas. Kita lihatlah apa bahan yang digunakan dalam resepi ini.

Bahan-bahan:
500 gram beras Basmathi
satu sudu teh herba saffron - rendam dengan 1 sudu besar air panas
150 gram minyak sapi
1/2 cawan kismis
1 labu bawang besar - mayang halus
3 biji bawang putih - mayang halus
3cm halia - hiris nipis
200 ml susu cair
200 ml air rebusan ayam - Amie ganti dengan 1 kiub ayam & 200ml air
3cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
pewarna hijau, merah & kuning telur

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus. Sementara itu panaskan minyak sapi dan tumis bahan hirisan bersama kulit kayu manis,cengkih, bunga lawang dan buah pelaga serta kiub ayam hingga wangi.
2. Masukkan beras dan saffron serta gaul rata.
3. Masukkan susu cair dan air. Kacau sekali- sekala hingga beras kembang.
4. Setelah beras mengembang dan kering, pindahkan ke dalam periuk pengukus. Tutup selalam 15 minit.
5. Buka penutup dan buat beberapa lubang pada nasi. Titikkan pewarna dan tutup kembali periuk.
6. Selepas 10 minit, buka kembali tutup periuk, dan masukkan kismis. Gaul bersama nasi supaya warna-warni turut tersebar.
7. Tutup periuk dan tutup api. Biarkan seketika sebelum diangkat untuk dihidangkan.

Di bawah ini pula Ayam Masak Kari. Amie suka makan kari berkuah pekat. Satu lagi, semasa masak kari... Amie tak bancuh serbuk kari. Ini semua ajaran daripada sepupu Amie. Katanya lagi, cubalah campurkan serbuk kari daging / ayam dengan kari ikan. Sedap, katanya. Amie pun ikutlah apa katanya. Sehinggalah ke hari ini, memang Amie suka masak kari cara begitu. Dan sudah semestinya Amie akan campur dengan tomato, tetapi Amie tak masukkan lada kisar tau..... sebelum terlupa, nak bagi tahu lagi...Amie suka sangat masukkan biji sawi, sebab apa tau.... biji sawi dipercayai boleh membuang angin dalam badan.... itu menurut kepercayaan masyarakat Indialah....


Ada kekurangannya dalam resepi Ayam Masak Kari.... cuba teka apa dia? Haa... sudah tentulah daun kari.... sebab daun kari yang Amie ada sudah kering, jadi Amie tak bubuh. Nampaknya Amie agak rajin sikit petang ini, di bawah ini Amie sertakan resepi Ayam Masak Kari versi Amie.

Bahan-bahan:
500 gram daging ayam - potong ikut suka
3 biji kentang - belah 2
3 biji tomato - belah 4
3 sudu serbuk kari daging / ayam
3 sudu serbuk kari ikan
1 sudu biji sawi
150 ml santan
1/2 sudu pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
100ml air
1 labu bawang besar - mayang halus
4 biji bawang putih - mayang halus
1/5cm halia- hiris nipis
3cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
daun kari - Amie tak bubuh
garam & gula
minyak

Cara:
1.Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan hirisan termasuk bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga hingga harum.
2. Masukkan buah tomato dan goreng dengan api perlahan hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kari serta biji sawi dan gaul sebati.
4. Masukkan daging ayam dan biarkan seketika sehingga airnya keluar. Jika terlalu kering masukkan 100ml air.
5. Masukkan kentang dan santan. Kacau sekali-sekala hingga pekat.
6. Masukkan bancuhan air asam jawa, garam dan gula.
7. Apabila daging ayam masak, kentang empuk dan kuah menjadi pekat, tutup api.


Sesiapa yang sampai awal ke dapur Amie.... haa... dapat sepinggan seorang ye....cepat...cepat siapa cepat dia dapat! Yang lambat sampai tu...kalau tak dapat jangan nangis ye... hi hi hiiii...

Ahad, 24 Julai 2011

Mee Udang Goreng Sotong

Salam pagi Ahad untuk semua. Cuaca pagi ini sungguh nyaman, masih terasa dingin... mungkin disebabkan hujan semalaman. Suasana keliling nampak redup di bawah kepulan awan yang berarak  perlahan menahan sinaran cahaya matahari. Sungguh indah! Amie pun dengan rasa gembira menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak kerana hanya hari Ahad sahajalah dapat berlama-lama di dapur. Sesetengah orang membawa keluarga menikmati sarapan  pagi di luar, tetapi tidak bagi Amie. Sudah lebih dari cukup setiap hari Isnin hingga Sabtu sarapan di luar. Biarpun tidak seenak mana, tapi sekurang-kurangnya anak-anak dan suami dapat merasa air tangan ibunya yang hanya mampu menyediakan sarapan pagi seminggu sekali.... he hehehhh.. Kita tengok mee goreng ringkas yang Amie sediakan pagi ini....


Dalam resepi ditulis Mee Udang tapi tak nampak udang pun.... Ha... sebenarnya nama mee yang digunakan tu Mee Cap Udang. Amie gunakan udang tapi udang kering ditumbuk halus. Memang sedaplah mee kering Cap Udang. Amie memang tak pernah beli mee jenis begini. Oleh kerana suami memang suka sangat makan mee, Amie pun tak kisah mee jenis apa yang dibelinya. Kalau dia nak makan, Amie masakkan sajalah.



Bahan-bahan:
400 gram @ 1 bungkus Mee Cap Udang - celur dalam air panas hingga lembut - cuci dan toskan
3 ekor sotong sederhana besar - bersihkan dan potong ikut suka
3 batang sawi - potong ikut suka
2 sudu lada kisar
2 sudu sos tomato
2 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
1 sudu kicap pekat
1 sudu serbuk pati ayam
secubit garam - jika kurang masin
minyak

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1/2 cawan udang kering

Bahan untuk sambal / lada:
7 biji cili padi
3 biji bawang putih
secubit garam
1 sudu gula
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
~tumbuk kesemua bahan hingga lumat, tambah garam & gula serta perahan air limau kasturi~

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan lada kisar dan masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan sotong. Gaul rata bersama sos tiram, sos cili dan sos tomato serta kicap pekat.
4. Masukkan sayur sawi.
5. Masukkan mee dan sedikit air panas jika mee terlalu kering.
6. Masukkan serbuk pati ayam. Jika kurang masin, tambah sedikit garam.
7. Gaul mesra dan sedia untuk dihidangkan. Hiaskan dengan telur rebus, hirisan tomato dan daun bawang.



Suami Amie macam sedap sangat dapat makan mee goreng. Amie pandang saja dia makan..... Amie sendiri makan roti telur, tak mahu makan mee goreng.... sebab dah selalu sangat makan.... rasa jemu, tapi suami memang tak pernah jemu makan mee goreng!

Sabtu, 23 Julai 2011

Nasi Goreng Berkat

Selamat berhujung minggu kepada semua rakan-rakan pengunjung setia ke Amie's Little Kitchen. Dengar khabarnya cuaca di tempat rakan-rakan kebanyakkannya panas menyengat sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, cuaca di tempat Amie berlainan pula. Hujan dan mendung sepanjang hari sejak tiga hari lalu. Dinginnya terasa sampai ke tulang sum-sum. Itulah cuaca Khatulistiwa, panas hujan sentiasa beriringan sepanjang tahun.
Apa pun aktiviti harian tetap berjalan lancar. Sana-sini kenduri serta bacaan tahlil diadakan. Bapa mentua Amie tentulah orang yang paling sibuk. Walaupun sudah meletak jawatan secara rasmi sebagai Imam Qariah, namun khidmatnya masih diperlukan untuk mengetuai bacaan tahlil. Beliau tidak pula menolak walaupun keletihan, kecuali keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Oleh kerana banyak menghadiri majlis tahlil, banyaklah pula orang menghantar nasi berkat ke rumahnya. Kadang-kadang menjelang lewat malam, suami menerima panggilan telefon untuk mengambil nasi berkat di kampung, sebab tak ada yang makan. Kalau di tempat Amie, di Selangor orang panggil nasi ambang, tapi di sini nasi berkat. Hari ini saja, suami sendiri dapat dua undangan ke majlis tahlil. Anak-anak ikut serta. Tinggallah Amie di rumah, nak masak pun siapa yang nak makan. Semua sudah kenyang makan selepas majlis tahlil. Dapat pula nasi berkat. Oleh kerana hari ini ada 3 nasi berkat, Amie buat nasi goreng separuh. Teringin nak makan nasi kerabu goreng, jadi campur-campurlah mana bahan yang ada.



Amie belajar makan nasi kerabu goreng semasa belajar di UM. Kami tinggal di Asrama Seksyen 17 Petaling Jaya bersebelahan dengan kampus UIA. Setiap petang banyak gerai berhampiran dibuka dan sudah tentu bajet kami sebagai pelajar amat terhad dan perlu berjimat cermat. Maklumlah, anak orang kampung.... nak minta duit dari emak bapak tentulah segan. Kenalah berkira bila berbelanja.  Pilihan utama kami tentulah makanan yang mampu dibeli terutamanya nasi goreng. Macam-macamlah nasi goreng yang kami beli termasuklah nasi goreng kerabu. Tukang masaknya memang berasal dari Kelantan. Harganya pun murah... hanya RM1.70 sen sebungkus. Banyak pula tu, makan 2 orang pun boleh kenyang. Ada satu perkara yang Amie tidak boleh lupakan.... seorang rakan baik Amie tanam pokok cili padi dalam pasu dan diletakkan di hadapan kaki lima asrama. Entah baja apa yang digunakan, subur rimbun dan berbuah lebat pula. Kalau makan nasi goreng, dipetiknya cili padi buat ulam. Kami pun tumpang juga, bila makan maggie.....minta izin daripadanya untuk ambil 2-3 biji. Tapi nasi goreng yang Amie buat ini tidak dibubuh cili padi, sebab anak-anak ikut makan sama.... takut tergigit kepedasan pulak....



Ayam goreng itu pun ayam goreng dalam nasi berkat. Amie nak kongsi resepi nasi goreng sajalah ye. Sebenarnya lebih kepada nasi kerabu tapi disebabkan berasal dari nasi berkat, jadi Amie namakannya Nasi Goreng Berkat. Resepi nasi kerabu ini Amie ikut seperti yang biasa Amie beli dan makan bersama rakan-rakan semasa tinggal di Seksyen 17.... lebih kurang 21 tahun yang lalu....

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
3 sudu budu
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih - cincang
1 cawan mix-vege
4 batang kacang panjang - hiris nipis
4 batang serai - hiris halus
4 tangkai daun kesum - hiris halus
3 tangkai daun selom - hiris
1/2 cawan taugeh
cili padi - hiris nipis (Amie biarkan sebiji-sebiji)
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan mix-vege, hirisan kacang panjang, daun selom dan serai serta daun kesum. Gaul rata.
3. Masukkan nasi dan gaul hingga sebati.
4. Masukkan budu dan gaul lagi.
5. Taburkan serbuk pati ikan bilis secara merata.
6. Hidangkan bersama ayam goreng, hirisan timun, taugeh dan cili padi.



Oleh kerana anak-anak masih kenyang makan di tempat kenduri, Amie sediakan saja nasi goreng bersama teh 'o' lemon panas. Seolah-olahnya minum petang, tapi merangkap untuk makan malam. Ni.... di bawah ni gambar apa pulak.....


Cerita tentang cuaca sejuk di permulaan kisah tadi, Amie paparkan gambar yang memang Amie simpan dalam komputer..... siapa di atas tu? Itulah Amie 19 tahun lalu ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. Ada tarikhnya ....26.11.92....memang sejuk sangat....sebenarnya Amie pakai baju 7 lapis, dan seluar hingga 3 lapis. Betapa dinginnya atas gunung tu sehingga sehelai rumput pun tidak mampu untuk hidup di situ. Sesiapa belum pernah daki Gunung Kinabalu, naiklah walau sekali....sangat indah, mempesonakan dan sukar diungkap dengan kata-kata.... bayangkan anda berada di puncak gunung sebelum fajar menyinsing, menyaksikan matahari terbit dari celah-celah awan...... anda berada pada ketinggian melebihi 4,000 meter (4 1/2 batu tingginya dari aras laut) anda sebenarnya berada di atas awan!

Jumaat, 22 Julai 2011

Nostalgia Air Tangan Makcik Rabiah

Petang ini ada cerita dari dapur... kerana tak semena-mena teringat pada seorang makcik.... ibu angkat Amie....Makcik Rabiah di Jeram. Sekitar tahun 1980-an semasa Amie Tingkatan 1, Amie tinggal bersamanya, kerana suami makcik Rabiah bekerja di Kelang, hanya balik pada petang Sabtu dalam seminggu. Anak-anak makcik semuanya bekerja jauh, ada yang masih belajar tapi tinggal di asrama di Kuala Lumpur. Memandangkan makcik mengalami masalah pendengaran, Amie diminta menemaninya. Kebetulan sekolah pun berhampiran, Amie jalan kaki saja. Tiap hujung bulan Amie tolong bayar bil air dan bil letrik. Kadang-kadang Amie tolong beli lala atau kerang di Pekan Jeram. Makcik Rabiah memang sangat pengasih dan penyayang. Bukan Amie yang jaga beliau, tapi Amie pula yang dijaganya. Tiap-tiap pagi Makcik Rabiah bangun awal, sediakan Amie sarapan pagi sebelum ke sekolah, dan bekalkan makanan. Paling seronok kalau Makcik Rabuah buat minyak kelapa. Wangi je bau minyak yang baru dimasak, dengan tahi minyaknya sekali. Amie suka sangat parut kelapa (guna mesin), maklumlah masa tu bukan semua orang mampu beli mesin kelapa. Seminggu sekali Amie bantu Makcik Rabiah belah koko. Hari Sabtu datang orang Cina membeli koko. Makcik Rabiah akan bagi Amie beberapa ringgit sebagai upah belah koko. Suatu petang Jumaat, semasa Amie bantu belah koko, tiba-tiba pisau tersasul membelah jari telunjuk Amie sebelah kiri..... punyalah Makcik Rabiah kelam kabut bawa Amie ke klinik. Ada lagi parut tu sampai hari ini.... sepanjang 1 inci.  Okey, kita cerita tentang masakan makcik kesayangan Amie ini. Antara  satu set masakan yang selalu Makcik Rabiah sediakan ialah seperti di bawah....


Boleh dikatakan hampir setiap minggu Abang Besar (anak makcik yang sulung) balik dari UPM dengan isterinya akan beli ikan cencaru besar di Pasar Sungai Buluh. Makcik Rabiah akan panggang ikan itu. Seingat Amie, biasanya Makcik Rabiah akan masak lemak sayur tertentu dengan mamasukkan lala yang sudah dibuang kulit ke dalamnya. Satu perkara yang Amie tak mungkin lupa ialah, dalam seminggu paling kurang satu kali Amie memungut sayur kangkung yang tumbuh liar di celah-celah pokok pisang dan pokok kelapa. Makcik Rabiah akan buat sambal hitam untuk cicah dengan kangkung celur. Entah apa cerita Makcik Rabiah sekarang. Mudah-mudahan masalah pendengarannya akan bertambah baik. Petang tadi Amie sediakan lauk pauk yang biasa dihidangkan oleh Makcik Rabiah sewaktu Amie tinggal bersamanya. Amie juga sempat sediakan sup ayam untuk anak-anak....



Sup Ayam + Cendawan Shiitake  + Lobak Merah



Nak kongsi satu resepi saja iaitu sambal hitam. Sambal hitam ini Kak Alang Azizah (anak Makcik Rabiah) yang ajar Amie buat. tentulah sampai sekarang Amie ingat....mudah saja cara membuatnya. Tumbuk 2-3 biji lada kering dengan bawang merah mentah. Masukkan garam & gula. Dulu Kak Alang tambah ajinomoto. Campur dengan sedikit air asam jawa dan kicap. Itu saja. Tapi petang tadi, Amie tak masukkan benda lain kecuali masukkan kicap manis cap Kipas Udang ( sudah cukup lengkap bahannya). Amie gantikan asam jawa dengan perahan air limau kasturi. Harap suatu hari nanti Amie dapat berjumpa dengan Makcik Rabiah.

Khamis, 21 Julai 2011

Opor Sotong Sumbat

Hai senangnya dalam hati..... akhirnya dapat juga masak sotong sumbat setelah beberapa hari asyik tertunda-tunda untuk membuatnya kerana kekangan masa. Dari pagi hingga tengahari kami terlibat dengan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Anak sulung Amie, Mohd. Faridzuan dapat 6 anugerah termasuk 3 mata pelajaran terbaik Tingkatan 4, Anugerah NILAM, Penyertaan ke Pesta Pantun Peringkat Daerah, dan juga Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2010. Adiknya pula, Mohd. Fuad dapat juga naik ke pentas untuk menerima 2 anugerah termasuk Anugerah Pelajar Terbaik Tingkatan 1 Tempat Ketiga. Pukul 12 tengahari balik ke rumah hantar anak-anak, dan tidur beberapa minit untuk mendapat tenaga sebelum kembali semula ke sekolah kerana pada pukul 2 petang ada mesyuarat guru. Amie bersama seorang rakan lewat sedikit pulang kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan, dan menjelang pukul 6 petang,  kami pulang. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya dipertengahan jalan sehingga terpaksa pasang lampu kenderaan. Sambil mendengar rancangan ADILA, Amie pandu perlahan-lahan...... bersama linangan air mata.... h huhuhuuuu... leleh lagi! Adalah kisah yang menyentuh hati dalam ADILA! Sampai depan pagar rumah, hujan masih lebat.... Amie duduk diam-diam dalam kereta, masih khusyuk mendengar celoteh ADILA...... sebenarnya malas nak turun sebab tak bawa payung, nanti basah kena hujan. Tiba-tiba anak-anak menerpa keluar bukakan pintu pagar, apalagi ..... masuklah. Itu cerita sepanjang hari, sekarang kita cerita tentang opor sotong sumbat pula.....


Amie masak ikut buku resepi Kompilasi Masakan Makanan Laut. Bagaimanapun ada sedikit ubahsuai, misalnya dalam resepi tersebut tiada lada tapi Amie masukkan lada, dan juga perahan air limau nipis. Kelmarin Amie masak brengkes ikan belawis aroma ketumbar, hari ini Amie masak opor sotong aroma jintan pula. Jom tengok resepinya.

Sumber   : Kompilasi Masakan Makanan Laut
Resepi    : Opor Sotong Sumbat
Penyelenggara:   Patonah Chai Choh

Bahan-bahan:
1 kg sotong putih - cabut kepala dan bersihkan
100 gram isi ikan - Amie gantikan dengan 4 biji ubi kentang - rebus, lenyek dengan lada putih tumbuk dan sedikit serbuk pati ikan bilis
20 gram kerisik
500ml santan - Amie gunakan 150ml santan pekat
1 sudu serbuk pati ikan bilis - pilihan Amie
minyak
1 biji limau nipis - ambil jusnya  - pilihan Amie

Bahan kisar:
10 biji lada merah - pilihan Amie - dalam buku resepi tiada penggunaan lada
4 biji bawang merah
2 batang serai
2 cm lengkuas
4 biji buah keras
2 sudu teh jintan putih
2 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Celur sotong seketika dan toskan.
2. Masukkan ubi kentang lenyek ke dalam sotong dan tutup sotong dengan kepalanya, sematkan lidi supaya tertutup kemas.
3. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga naik minyak.
4. Masukkan sotong diikuti dengan santan.
5. Masukkan kerisik dan gaul rata.
6. Setelah agak pekat masukkan serbuk pati ikan bilis.
7. Akhir sekali masukkan perahan air limau nipis.
8. Potong-potong dan hidangkan. Sedia untuk dinikmati bersama nasi panas.
.....Amie makan begitu saja .....

Wokey.... kawan-kawan, sampai di sini dulu pertemuan kita untuk kali ini. Amie kena tidur awal sebab esok ada mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah, walaupun sebenarnya esok kami cuti peristiwa, sekolah cuti sehari..... dan sudah janji dengan si bongsu untuk masakkan bekalannya ke sekolah..... kenalah kotakan janji kita.... Terima kasih kepada yang sudi singgah, insya-Allah Amie akan datang berkunjung ke rumah kawan-kawan semula sebab tak tahan godaan dengan pelbagai aroma yang menggoda selera! Assalamualaikum.....

Rabu, 20 Julai 2011

Stylish Blogger Award Dari Mieza


Amie dah gantung award dari MIEZA.......


Malam ini Amie terbang melintasi Laut China Selatan dan selamat melepasi pintu imigresen di setiap lapangan terbang untuk kali yang kedua. Lepas....... tak kena cukai. Amie pun bawa pulang ke rumah award  dari Mieza dengan selamatnya. Terima kasih banyak-banyak dik Mieza atas ingatan pada  Kak Amie. Seronok dan teramat gembira kerana terasa diri dihargai sebagai seorang sahabat walapun hanya di alam maya........ mudah2an suatu hari nanti kita dapat berjumpa ye dik Miezaaaaa.....

Belawis Masak Brengkes

Selamat malam semua. Dah lewat malam baru boleh berjumpa ..... petang tadi raptai penuh untuk majlis anugerah pelajar yang akan diadakan esok pagi. Menjelang petang Amie pulang ke rumah, masak tergesa-gesa, dan selepas Maghrib berkejar semula ke dewan. Alhamdulillah, segala persiapan pentas telah sempurna, hadiah dan sijil sudah disusun, kerusi meja semuanya teratur.... boss pun nampak ceria. Oleh sebab rasa mengantuk yang teramat sangat, Amie tak tunggu lama.... terus pulang. Cadangnya nak tidur awal malam ini tapi tiba-tiba teringat lauk petang tadi yang belum masuk blog. Amie masak brengkes ikan belawis. Mungkin kedengarannya agak asing, sebab di semenanjung memang Amie tak pernah dengar atau jumpa resepi ini.


Resepi ini merupakan salah satu hidangan tradisi masyarakat Melayu Cocos. Amie menuntut ilmu masak brengkes ini daripada ibu mentua. Biasanya ikan yang digunakan ialah ikan belawis. Bagaimanapun ikan-ikan lain juga boleh digunakan termasuk ikan sulik, ikan temparing dan sebagainya. Amie memang sudah beberapa kali masukkan gambar ikan belawis, tapi mungkin kali ini tak berapa jelas sebab tertutup dengan kuahnya. Bolehlah lihat di SINI. Keluarga sebelah suami memang sangat menggemari resepi warisan nenek moyang mereka ini.

Apa uniknya resepi brengkes ini? Ada rempah ketumbar  dan apa yang selalu Amie perhatikan ialah, perahan limau nipis merupakan bahan wajib untuk resepi tradisi Cocos ini. Masakan ini seringkali dihidangkan semasa kenduri-kendara. Mari kita semak bahan-bahannya:

Bahan-bahan:
1 ekor ikan belawis - 400 gram - potong 2
1 sudu makan serbuk kunyit
75ml santan pekat
1 biji limau nipis - perah jusnya
garam / serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan kisar:
1/3 cawan rempah ketumbar
5 biji lada merah
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kunyit. Gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat. Perlahankan api.
5. Masak sehingga kuah pekat.
6. Masukkan garam / serbuk pati ikan bilis.
7. Perahkan air limau nipis.
8. Angkat dan hidangkan.