Selasa, 31 Mei 2011

Ikan Jenahak Kukus Cendawan Shiitake

Kalau jenis ikan lembik lembut macam jenahak, Amie lebih suka masak rebus-rebus saja sebab masaknya sekejap dan masih mengekalkan isinya yang sedap. Masak cara kukus pun kira sama jugalah sebab tak perlu lama-lama berendam dengan pelbagai rempah dan bahan lain. Jadi, untuk malam ini Amie masak cara kukus sahaja...., sambil memenuhi citarasa anak-anak dengan merenjiskan minyak bijan sebagai sentuhan terakhir sebelum dihidangkan... kih kih kih....






 Bahan-bahan:
1/2 ekor ikan jenahak seberat 800 gram
3 kuntum cendawan shiitake (cuci dan rendam dengan 75ml air - potong halus)
5cm halia muda (hiris nipis)
3 biji bawang putih (hiris nipis)
1 1/2 sudu sos ikan
minyak bijan

Bahan sos:
2 sudu sos tomato
2 sudu sos cili
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1/2 kuntumbunga kantan (hiris halus)
1/2 sudu tepung jagung (bancuh dengan air rendaman cendawan shiitake)

Cara:
1. Letakkan ikan di dalam loyang pengukus. Taburkan bawang putih, halia dan hirisan cendawan shiitake.
2. Renjiskan sos ikan di atas ikan tadi.
3. Kukus selama 15 minit. Keluarkan air kukusan ikan. Kukus kembali ikan jenahak tadi.
4. Bancuh sos tomato, sos cili, serta serbuk pati ikan bilis bersama air kukusan ikan.
5. Didihkan bahan sos dan tuangkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkannya.
6. Masukkan hirisan bunga kantan. Biarkan seketika.
7. Angkat dan tuang di atas ikan yang sedang dikukus. Biarkan ikan dikukus selama 5-7 minit.
8. Angkat dan hidangkan. Jangan lupa renjis sedikit minyak bijan di atasnya untuk menambah aroma.


Jus Buah Mentega

Pernah minum jus buah mentega? Belum pernah melihat buah mentega? Ada Amie sertakan gambar di bawah ini. Sebelah suami kata namanya buah 'jauh pandangan'..., bila Amie makan rasanya ada sedikit-sedikit macam buah tanjung yang Amie suka panjat di tepi jalan semasa menunggu bas sekolah kecik2 dulu. Yang harum baunya tu... bunganyalah... he he he.. Amie jumpa buah mentega atau buah jauh pandangan ni di pasar Tawau. Beli 4 biji seberat 2 kg. Maknanya hitung panjang, sebiji mungkin 500 gram. Untuk satu jug besar jus buah mentega, Amie hanya gunakan 1/2 biji saja. Itu pun masih pekat.... nak tahu rasanya? Rasanya lebih kurang avocado tapi avocado ada bau-bau langu sedikit, buah mentega lebih lemak dan baunya lebih menyenangkan...



Yang di bawah ini belum lagi bercampur ketulan ais.



250gram isi buah mentega yang telah dikisar bersama 600ml susu cair.



Separuh buah mentega yang Amie gunakan untuk menghasilkan jus. Ohh.. lupa pula nak tulis cara menyediakan jus buah mentega. Mudah saja, tapi mestila ada buah mentega...

Bahan-bahan:
1/2 biji buah mentega (ambil isinya)
600ml susu cair
3 sudu gula (tidak perlu banyak sebab buah mentega mempunyai rasa manis)
ketulan ais (perlu lebih untuk melarutkan jus yang pekat)

Cara:
1. Kisar buah mentega bersama 600ml susu cair.
2. Tapis.
3. Campurkan gula.
4. Masukkan ketulan ais.
5. Sedia untuk diminum.

~Jus buah mentega agak mengenyangkan seperti kita minum jus buah avocado~

Sambal Hitam Belimbing Buluh Versi Maklong

Amie terpikat pula dengan sambal hitam belimbing buluh dalam blog Along Maklong. Amie minta izin daripada Maklong untuk mencubanya. Mula-mula rasa pelik juga tetapi bila dah masak dan makan, memang tak ada yang pelik dalam dunia ini... tak percaya, cubalah. Amie takut betul bila disebut belimbing buluh... sebab apa, takutkan rasanya yang sangat masam tu... masa kecik2 dulu suka sangat gigit dan buang dan sentiasa tertanya-tanya bilalah masanya belimbing buluh akan masak sebab rasanya tak pernah manis... asyik masam sepanjang waktu... sekarang ni pulak, kita jadikan dia sambal hitam. Amie cuba tanya pada Encik Google, katanya asalnya sambal begini dari negeri Pahang terutamanya di Kuala Lipis. Tapi sekarang mana-mana negeri dan mana-mana orang pun boleh masak dan boleh makan, yang penting mesti ada belimbing buluh ye, bukan belimbing besi...


Amie gunakan 1 kg belimbing buluh. Bila dah direbus selama 4 jam, jadi kecut dan kering, hasilnya dapatlah semangkuk kecil. Cukuplah untuk kami makan berdua, anak-anak biasanya tak mahu makan sambal kecuali sambal belacan yang tak berapa pedas...



Inilah rupa belimbing buluh yang sangat masam rasanya. Sama saja rupa belimbing buluh Sabah dengan belimbing buluh yang  Amie gigit-gigit buang masa kecik2 dulu di Selangor. Di bawah ini pula bahan-bahan yang digunakan untuk memasak sambal hitam belimbing buluh.


Bahan-bahan:
1 kg belimbing buluh
3/4 cawan ikan bilis
segenggam cili padi (Amie guna merah sebab tak ada cili padi hijau di dapur)
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih
garam & gula
minyak

Cara:
1. Rebus belimbing buluh bersama sedikit garam selama 4 jam - sehingga airnya kering.
2. Goreng ikan bilis, bawang putih dan bawang merah serta cili padi. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Tumbuk kesemua bahan yang digoreng. (Amie lihat dalam gambar sambal maklong, tak nampak hancur), jadi Amie tumbuk kasar-kasar saja.
4. Tumbuk atau lenyek2 sekali belimbing buluh tadi.
5. Panaskan sedikit minyak dan tumis kesemua bahan yang ditumbuk.
6. Tambahkan garam sekiranya belum cukup masin semasa merebus belimbing buluh. Tambahkan gula ikut rasa masing-masing.
7. Hidangkan bersama nasi.
8. Amie hidangkan bersama daun selom, petai dan hirisan tomato.



Terima kasih ye Maklong, kalau ada salah silap sambal hitam belimbing buluh tu kira kreativiti dan versi masakan Amie pulak yea...

Cempedak Goreng

Hari ini kami cuti sempena Pesta Kaamatan negeri Sabah. Bila dah mula cuti begini macam-macamlah yang nak di buat terutama sekali bab masakan... sebab memang rutin harian kan... Kami beli cempedak di simpang jalan Semporna-Tawau sehari selepas majlis pernikahan dan persandingan anak buah sebelah suami (dari Lahad Datu) di Tawau - pihak pengantin perempuan. Suami Amie kata, pilih yang benjol-benjol sebab itu menunjukkan banyak isi di dalamnya. Betul juga ye... ha, rakan2 pengunjung blog Amie...lain kali kalau nak beli buah cempedak, selain baunya yang wangi menandakan sudah masak,pilihlah yang benjol-benjol.. ha haa... balik rumah pasti tak menyesal sebab isinya penuh. Memang petua beginilah yang selalu Amie dan suami amalkan setiap kali beli buah cempedak... Dah sampai rumah, goreng sajalah.....


Bahan-bahan:
1 biji buah cempedak (1 kg)
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu garam
1/2 sudu teh serbuk eno
175ml air
minyak

Cara:
1. Gaul tepung gandum, tepung beras, garam, kunyit dan eno bersama air.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng.
3. Apabila minyak telah panas celupkan buah cempedak ke dalam adunan.
4. Goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan minyaknya.

Ahad, 29 Mei 2011

Udang Harimau Sup

Amie pernah dengar orang kata, untuk mengekalkan keenakan dan keaslian rasa sesuatu makanan, tak perlu masak dengan pelbagai aksesori... he he he... apa maknanya tu? Kalau begitu, agaknya Amie masak udang harimau sup dapat memberikan jawapan kepada kata-kata tersebut. Betulkah? Amie pun fikir begitu juga, sebab dengan cara kukus atau masak sup, barulah kita dapat 'rasa' sebenar makanan itu, maklumlah tak perlu berempah kari, tak perlu digoreng, tak perlu sos dan sebagainya. Okeylah, Amie masak udang harimau sup dan Amie campur dengan rebung segar yang baru dikupas, belum dihiris pun....... (sempat beli di pasar Tawau dan penjual rebung sempat pesan: terus masak... jangan rendam dalam air sebab ini rebung manis.) Untuk aroma segar, Amie masukkan beberapa helai pucuk daun kemangi...


Bahan-bahan:
600 gram udang harimau - 10 ekor (bersihkan & tak perlu buang kulit)
200 gram rebung manis
3 tangkai pucuk kemangi
4 biji bawang merah (tumbuk)
4 biji bawang putih (tumbuk)
1.5cm halia (tumbuk)
2 batang serai (dititik)
1/2 sudu teh lada hitam (tumbuk)
garam & perasa
600ml air

Cara:
1. Didihkan air bersama semua bahan tumbuk, halia dan serai.
2. Masukkan rebung dan biarkan seketika.
3. Masukkan pula udang harimau dan masak selama 5 minit.
4. Masukkan daun kemangi, garam dan perasa.
5. Udang harimau sup siap untuk dihidangkan.

Lala Masam Manis

Hai... jumpa lagi. Baru sehari tinggalkan dapur, dah rindu nak asapkan semula. Oleh kerana malam ini kami sekeluarga akan ke kampung untuk membantu mana yang patut sempena perkahwinan 2 orang anak buah, Amie masukkan dahulu menu Amie tengahari tadi. Amie sempat masak lala masam manis....



Bahan-bahan:
1 kg lala
5 biji bawang merah (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1.5cm halia (tumbuk)
2 batang serai (dititik)
5 sudu sos tomato
5 sudu sos cili
1 sudu sos tiram
1 sudu gula
1/2 sudu kecil garam
1/2 biji capsicum merah (potong dadu)
1/2 biji capsicum kuning (potong dadu)
1/2 biji capsicum hijau (potong dadu)
1 helai daun kunyit (carik-carik)
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan tumbuk bersama serai sehingga wangi.
2. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili. Gaul sebati.
3.Masukkan lala dan balik-balikkan sebentar. Biarkan seketika sehingga kulit lala terbuka dan mengeluarkan sedikit air.
4. Masukkan garam dan gula.
5. Masukkan campsicum merah, kuning dan hijau dan daun kunyit.
6. Balik-balikkan seketika dan tutup api.
7. Sedia untuk dihidangkan.

Sabtu, 28 Mei 2011

Kek Hari Guru

Kelmarin, 27 Mei 2011 merupakan hari terakhir persekolahan untuk semester pertama tahun ini. Tarikh inilah yang dipilih untuk sambutan hari guru yang tertunda. Sambutannya seperti tahun-tahun lepas juga, ada cabutan bertuah, ada persembahan koir, tarian,sukaneka dan akhir sekali jamuan makan. Ada satu yang menarik hati Amie iaitu di antara kek hari guru ada salah satu kek  yang berwarna biru putih.... rasa macam suci romantik pula.


Nampak cantikkan? Selamat bercuti kepada semua pelajar dan juga warga pendidik (tak semua... sebab bahagian pentadbiran kena bertugas masa cuti termasuk Amie). Apa pun hari ini, esok dan lusa kami cadang nak bawa anak-anak berjalan-jalan di sekitar Tawau. Tak dapat pergi menyaksikan pesta Kaamatan pada 31 Mei di Kota Kinabalu, sebab hari ini mengiring anak buah akad nikah di Tawau dan 30 Mei 2 orang anak buah naik pelamin. Jadi, buat sementara waktu...Amie's Little Kitchen tak berasap....sebab tuannya tutup pintu dapur dan jalan-jalan kejap.

Khamis, 26 Mei 2011

Sembilang Kari Asam Rebung

Hmmm... rebung pemberian Nur Fadhillah yang belum dimasak masih berbaki. Amie nak gandingkan rebung itu dengan ikan sembilang. Akhirnya terhidanglah resepi ikan sembilang kari asam dengan rebung di atas meja makan. Amie masih kekalkan cara masakan bonda, iaitu goreng dahulu separuh masak ikan sembilang itu. Bukan apa, tujuan bonda supaya ikan tidak berbau hanyir atau hamis. Memang ada cara lain untuk hilangkan bau kurang enak ini seperti rendam dengan air asam atau lumur dengan tepung. Apa pun Amie pilih cara bonda dengan melumurkan garam dengan sedikit kunyit dan kemudian menggorengnya sebentar. Rebungnya pula, oleh kerana sudah beberapa hari dalam simpanan, mungkin rasanya berubah getir sedikit, jadi Amie celur seketika dan kemudian toskan airnya. Macam biasalah, kalau masak kari memang Amie suka yang pekat, jadi Amie tambahkan tomato cincang untuk memekatkan kuah, dan sudah semestinya serbuk kari  tidak dibancuh terlebih dahulu dengan air sebab Amie nak serlahkan aroma kari itu semasa memasak... tapi ingat, supaya serbuk kari tidak cepat hangus...perlahankan apinya semasa menggaulnya dengan bahan kisar lain dalam kuali.


Bahan-bahan:
500 gram ikan sembilang (potong ikut suka)
1 cawan rebung (celur dan toskan airnya)
2 biji tomato masak (cincang)
3 sudu serbuk rempah kari ikan
1/2 sudu halba
200ml santan
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 75ml air)
garam & gula
1/2 sudu serbuk kunyit
minyak

Bahan kisar:
15 biji lada kering
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1.5cm belacan

Cara:
1. Lumurkan ikan sembilang dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk rempah kari (perlahankan api).
4. Masukkan halba, tomato cincang dan air asam jawa. Masak sehingga tomato hancur.
5. Masukkan rebung.
6. Masukkan santan dan kacau sekali-sekala hingga mendidih.
7. Masukkan ikan sembilang. Masak seketika.
7. Akhir sekali masukkan garam dan gula @ perasa,
8. Kari asam yang dihasilkan sudah semestinya pekat. Angkat dan hidangkan.

Rabu, 25 Mei 2011

Nasi Kerabu Kuning

Beberapa bulan yang lalu, entah mengapa tiba-tiba Cikgu Tan Chong Yoke bagi Amie biji benih bunga telang. Amie simpan dalam beg, angan dan terlupa nak tanam... bila tengok semula...hanya tinggal kulitnya, rupanya sudah pecah merekah dan bijinya entah hilang ke mana. Agaknya kalau Amie terus tanam hari itu, mungkin sekarang dah mula mengeluarkan bunga. Suatu masa dahulu, ustazah di depan rumah bagi Amie benih telang, Amie tanam dan sebab terlalu subur merimbun sampai menyeberang ke pagar jiran, suami tebang pokok itu... mati terus. Ha.. nak minta lagi, ustazah itu pun dah tak ada pokoknya lagi. Hari ini, bila teringin nak buat nasi kerabu, seluruh kedai dikunjungi.... bukan nak beli bunga telang, memang tak ada kedai yang jual pun. Nak cari pewarna biru... haram tak jumpa. Akhirnya buat juga nasi kerabu tapi bukan warna biru, kelabu atau ungu sebaliknya warna kuning...


Bahan-bahan untuk nasi:
1/2 kg beras (cuci dan toskan)
1 batang serai (diketuk)
5 helai daun limau purut
1/2 sudu serbuk kunyit

Bahan-bahan untuk ulam:
4 batang kacang panjang
1/4 bahagian kobis
1/2 biji timun
1 cawan taugeh
3 batang serai
1 kuntum bunga kantan
beberapa helai daun kesom
~Hiris kesemua bahan di atas kecuali taugeh~


Rajin pula hari ini Amie buat solok lada... sebab dapat lada yang agak besar walaupun tak berapa montel, jadi boleh sumbat banyak isi....



Bahan-bahan untuk solok lada:
4 biji lada hijau
4 biji lada merah
1 cawan kelapa parut
1 cawan isi ikan
1/2 sudu lada hitam
3 biji bawang merah
garam dan gula
200ml santan



Lada hijau dan lada merah yang telah dibuang isinya. Di sebelahnya tu... kelapa campur isi ikan yang sudah ditumbuk.

Cara:
1. Tumbuk hingga lumat kelapa parut bersama bawang merah, dan lada hitam.
2. Masukkan isi ikan, garam dan gula dan tumbuk sekali lagi hingga sebati.
3. Buangkan isi lada.
4. Masukkan bahan tumbuk ke dalam perut lada.
5. Masukkan santan ke dalam periuk dan masukkan solok lada.
6. Tabur secubit garam dan gula.
7. Masak hingga santan menjadi kering....
~sesetengah orang masak dengan cara mengukus, mana-manalah yang disukai~



Solok lada hijau merah dah siap. Kita lihat pula sambal kelapanya.

Bahan-bahan untuk sambal kelapa:
2 cawan kelapa parut
4 ekor  ikan kembung (bakar / rebus dan hancurkan isinya)
4 biji bawang merah (tumbuk)
2 batang serai (tumbuk)
1/2 sudu lada hitam (tumbuk)
5 biji cili padi (tumbuk)
garam & gula

Cara:
1. Goreng kelapa parut tanpa minyak.
2. Masukkan semua bahan tumbuk serta isi ikan dan sangan hingga kuning keemasan.
3. Masukkan garam dan gula.

Bahan-bahan untuk sambal budu:
7 biji cili padi  (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
3 biji bawang putih (tumbuk)
200ml santan
5 sudu budu
gula

Cara:
1. Panaskan santan hingga keluar minyak.
2. Masukkan semua bahan tumbuk.
3. Akhir sekali masukkan budu dan gula.

Nasi kerabu yang Amie hidangkan ini dimakan bersama ikan goreng salut tepung dan juga telur masin. Jom.... makan.


... yang di bawah ni untuk rakan2 Amie yang memang 'kaki nasi kerabu'....



.....bukan untuk dijual yea... makan ramai2 di kantin.......sodap!!!!

Pisang Goreng Madu

Selamat petang semua... he he he... petang ni Amie rajin sikit untuk siapkan minuman petang. Apalagi yang lebih mudah untuk disediakan selain pisang goreng... sebab pisang sesikat sudah masak di penjuru dapur. Pisang raja..., itu sajalah pisang yang dapat gantikan pisang nangka. Memang meleleh liur mengenangkan pisang nangka sebab di sini susah@jarang jumpa pisang nangka. Biasanya pisang goreng di sini disebut pisang sanggar yang bermaksud pisang goreng, dan pisang yang digunakan tentulah pisang saba atau pisang jaba. Kalau di tempat kita, pisang tu ialah pisang kepuk atau pisang nipah. Setiap kali Amie tanya tentang pisang nangka, mereka tunjuk pisang raja.... kata mereka itulah pisang nangka.. he he he...raja pun rajalah, eh ehhh nangka pun nangkalah... Dulu Amie suka sangat makan pisang goreng madu di Airport Lahad Datu. Sekarang ni dah tak ada, entah ke mana pergi penjualnya. Satu lagi, di Lahad Datu dan Tawau atau juga daerah lain di Sabah, mereka makan pisang goreng dengan sambal... sambal rasa belacan, tapi rasa limau kasturi... sedaplah juga...


Bahan-bahan:
10 biji pisang raja masak (kupas kulit - belah 2)
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil serbuk eno
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam
2 sudu besar madu
150ml air
minyak

Cara:
1. Bancuh tepung gandum, tepung beras bersama air, garam, serbuk kunyit, dan serbuk eno mengikut kepekatan yang disukai.
2. Masukkan madu dan gaul sebati.
3. Panaskan minyak. Celup pisang ke dalam adunan tepung dan goreng satu persatu.
4. Angkat apabila pisang kelihatan kuning keemasan.

Selasa, 24 Mei 2011

Sambal Mangga Udang

Sambal Mangga Udang... bukan sambal itu ada udang tau, tapi jenis mangga tu mangga udang. Dua tiga hari lepas suami ambilmangga udang di belakang rumah dan letak di dapur, belum terusik lagi. Petang tadi tergerak hati untuk mengusiknya. Oleh sebab malas nak goreng bawang dan belacan, Amie gunakan sahaja bahan mentah dalam sambal kali ini. Belacan mentah (tapi sebenarnya belacan dah kira masaklah tu... dalam kotak) dan bawang merah mentah. Semua mentah, kecuali teman-teman sambal mangga udang termasuk lobak merah dan kacang bendi Amie celur sebentar.


Bahan-bahan:
10 biji cili padi
2 biji lada merah
1.5cm belacan
3 biji bawang merah
1 cawan mangga udang cincang
garam  gula
3 biji limau kasturi (perah airnya)

Cara:
1. Tumbuk cili padi, lada merah, bawang dan belacan hingga lumat (kasa-kasar pun boleh)
2.Masukkan mangga udang cincang dan lenyek perlahan-lahan sehingga sebati.
3. Masukkan garam dan gula.
4. Masukkan air limau kasturi. Gaul sebati.
5. Hidangkan bersama ulam-ulaman seperti daun salad, timun, tomato, lobak merah dan kacang bendi.

~Selamat menjamu selera!!!!



Sup Rebung Dengan Ayam

Apa khabar semua pengunjung? Mesti sihatkan.... kalau tak sihat tentu tak larat nak buka laptop... he he he... Amie seronok sangat hari ini kerana rakan sekerja Amie, Nur Fadhillah Abdullah memberikan Amie rebung buluh yang masih segar. Memang Amie yang tak tahu malu ini, sering berpesan padanya... jangan lupa Amie kalau ada rebung baru muncul di perdu rumpun buluhnya. Bukan apa, sejak sudah tahu beza mana yang lazat dan sebaliknya, pandai pula Amie jual mahal dengan rebung. Maklumlah, pengalaman makan rebung buluh  (di rumah Roseneh  Taringa) yang manis di hutan rimba rumah panjang masyarakat Murut Silungai di pedalaman Pensiangan, barulah Amie tahu rupanya ada banyak jenis rebung buluh. Sudahlah begitu, cara mereka masak hanya rebus, bubuh garam dan bubuh daun apa' yang dititik... ya Allah... pelik bin ajaib, Subahanallah... sedapnya dah cukup perisa dari daun apa' itu. Kali ini bukan rebung orang Murut seperti Roseneh Taringa tetapi rebung buluh orang Kadazan-Dusun pula. Rebungnya sama, tapi orangnya saja yang berbeza kaum. Oleh sebab Amie 'sayang' sangat dengan rasa rebung yang diberi ini, Amie ingin kekalkan kelazatannya dengan hanya memasak sup dengan ayam dan walaupun hanya masak ringkas begini, bau rebung sup yang sedang dimasak seolah-olah bau cendawan payung  yang bonda Amie masak masa kami kecil dulu. Ada sekali dulu Amie masukkan dalam blog, sup rebung dengan ayam tapi yang ini Amie buat sedikit tambahan (ikut cara bonda: tambah rempah, dan ikut cara kawan... Serimah Selamat dengan memasukkan akar & batang daun sup semasa menumis).


Bahan-bahan:
600 gram daging ayam segar (potong 10 bahagian)
2 cawan rebung (Nur Fadhillah sudah cincang)
3cm batang berakar daun sup (rendam supaya hilang pasir pada akar dan tumbuk halus bersama bahan lain)
5 biji bawang merah (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1/2 sudu kecil  jintan putih (tumbuk)
1/2 sudu kecil jintan manis (tumbuk)
1/2 sudu kecil ketumbar (tumbuk)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
3cm halia (tumbuk)
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
garam & perasa
daun sup
daun bawang
600ml air
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk, kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan hingga layu.
3. Masukkan daging ayam dan biarkan hingga mendidih.
4. Masukkan rebung dan masak lagi sehingga ayam empuk.
5. Masukkan garam dan perasa.
6. Angkat dan hidangkan bersama taburan daun sup dan bawang goreng.

~Menurut kawan : Serimah Selamat... akar dan bonggol daun sup itulah yang memberikan aroma sebenar dalam masakan sup dan memang Amie selalu gunakannya dalam masakan sup terutama sup untuk mee hoon.~

Isnin, 23 Mei 2011

Ikan Gerut-Gerut Masak Lemak Berempah

Selamat malam semua...., malam masih muda tapi mata Amie macam dah layu semacam. Apapun sebelum masuk tidur, sempatlah juga Amie masukkan resepi masakan ikan gerut-gerut. Namanya lemak berempah, bukanlah bermaksud banyak jenis rempah yang digunakan. 3 jenis je... ketumbar, jintan putih dengan jintan manis.... tapi kira rempah jugalah. Ini yang bestnya.... bebas menyerlahkan kreativiti dalam masakan walaupun kadang-kadang macam entah apa-apa resepi yang dibuatnya... he he he...


Bahan-bahan:
2 ekor ikan gerut-gerut (bersihkan dan potong ikut suka)
250ml santan
12 keping nanas masak
5 biji lada kering (potong 2)
1/2 sudu serbuk kunyit
1 keping asan gelugur
2 batang serai (dititik)
5 biji bawang merah (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1.5cm belacan(tumbuk)
1/2 sudu jintan putih (tumbuk)
1/2 sudu jintan manis (tumbuk)
1/2 sudu ketumbar (tumbuk)
minyak
100ml air
gram & gula

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk serta serai hingga wangi.
2. Masukkan nanas, kunyit dan asam gelugur. Kacau sebati.
3. Apabila nanas layu, masukkan air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan gerut-gerut dan masak selama 5 minit.
5. Masukkan santan, garam dan gula. Kacau sekal-sekala.
6. Apabila sedang elok masaknya, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Seafood Garden Kuey Teow

Selamat petang semua. Apa agaknya makna di sebalik seafood garden kuey teow tu...??? Gara-gara traffic jam hampir 2 jam, akhirnya sampai rumah masak kuey teow saja. Itu pun sebab perut anak dah lapar, capai saja mana yang dapat. Rendam sotong dengan udang, cincang itu ini, potong sana-sini, jadilah kuey teow tawar... haha....hh kenapa tawar? Tak bubuh garam ke? Tak bubuh lada... la..... Pasal traffic jam ni, tak tahulah bila akan selesai, sakit kaki lutut dibuatnya menekan brek kereta. Kiri kanan pula kereta menyusup-sasap mahu cepat, alahai... pak traffic pula tak ada hari ini. Puas berpusing-pusing keliling Bulatan Airport Lahad Datu hingga ke abulatan Mahkamah Majistret, tersekat pula di depan Hospital Lama.... uuuwaaaaa.....Tak mahulah cerita tentang traffic jam, semua orang sakit hati dan sakit kepala bila mengenangkannya. Baiklah kita masak warna-warni supaya sedap mata memandang.... hati pun riang.


Bahan-bahan:
300 gram kuey teow (bilas dengan air)
 7 ekor sotong (potong ikut suka)
10 ekor udang (bersihkan)
3 biji bawang merah (tumbuk)
3 biji bawang putih (tumbuk)
2 sudu sos tiram
1 sudu sos tomato
1 sudu sos soya
1 sudu serbuk pati ayam
1/2 biji capsicum merah (potong dadu)
1/2 biji capsicum kuning (potong dadu)
1/2 biji capsicum hijau (potong dadu)
10 helai daun kucai (potong 3cm)
2 biji telur
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan udang dan sotong. Tumis selama 2 minit.
3. Masukkan kuey teow dan gaul rata.
4. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos soya. Gaul lagi hingga sebati.
5. Masukkan 2 biji telur di tengah-tengah masakan dan gaul bersama kuey teow.
6. Masukkan daun kucai, capsicum merah, kuning dan hijau.
7. Akhir sekali taburkan serbuk pati ayam. Gaul sekali lagi.
8. Angkat dan hidangkan.

Ahad, 22 Mei 2011

Vadai

Banyak jenis kekacang dalam simpanan Amie tapi tak tahu nak buat apa. Sebenarnya segala kacang yang tersimpan Amie sediakan semasa bonda datang tahun lepas, tapi lepas tu lebihannya tak digunakan sehingga ke hari ini. Sebutlah kacang apa, kacang hijau, kacang dhal, kacang soya, kacang pinggang, kacang merah, kacang hitam.... yang bonda gunakan satu saja iaitu kacang hijau... dibuatnya taugeh untuk melengkapkan bahan pecal. Yang lain tak terusik... jadi petang ini nak usik lebihan kacang dhal. Nak buat kuih vadai untuk minum petang. Masa kami kecil dulu ayah dan bonda suka beli kuih vadai di gerai mamak di Sungai Buluh. Amie tak pasti betulkah kuih ini namanya vadai atau masalodeh? Tapi rakan sekerja Amie (India) kata ini kuih vadai dan dia sendiri pernah bawa sebakul vadai ke sekolah, gunakan bakul Amie semasa aktiviti RIMUP (Rancangan Perpaduan Untuk Murid) yang kebetulannya salah satu aktivitnya ialah pameran makanan tradisional pelbagai kaum. Panas-panas lagi... warnanya kuning keemasan, tak sampai berapa minit... habis kawan2 makan, tak sempat buat pameran! Teringat dulu suatu hari Amie jalan-jalan ke rumah seorang teman (masa tu di tingkatan 2), sedang buat kuih vadai di rumahnya, dan Amie rasa hairan sangat sebab bukanlah susah sangat membuatnya. Rasanya pula... memanglah sedap. Dia tunjukkan Amie bagaimana cara membuatnya.  Cuma bezanya, hari ini Amie kisar kacang dhal, sedangkan kawan Amie pada waktu itu gunakan lesung untuk menumbuk tumbuk. Pesannya lagi, kalau nak buat kuih vadai, separuh kacang tumbuk kasar-kasar dan separuh lagi tumbuk lumat. Tahniah buat kawan baik Amie.... Raja Halizah yang sekarang sudah mempunyai dua buah kedai makan di Pelabuhan Kelang dan Meru. Semoga terus berjaya ye Chef Raja Halizah...



Bahan-bahan:
500 gram kacang dhal (rendam selama 3 jam)
1 labu bawang besar (cincang)
2 biji lada kering (hiris halus)
2 biji lada hijau (hiris halus)
1/2 cawan udang kering (rendam - tumbuk kasar)
3 pelepah daun kari
1/2 sudu jintan manis
1 1/2 serbuk pati ikan bilis
minyak
~ Amie saja2 masukkan udang kering, tak masuk pun tak apa sebab rasanya udang kering bukanlah resepi asli kuih ini~
Cara:
1. Kacang dhal dibahagi 2. Campur sedikit air untuk dikisar. Separuh dikisar halus dan separuh lagi dikisar kasar.
2. Toskan sebentar.
3. Masukkan daun kari, bawang cincang, jintan manis, udang kering,hirisan lada hijau dan lada kering.
4. Gaul sebati bersama pati ikan bilis.
5. Bentuk menjadi adunan bulat.
6. Goreng di dalam minyak panas sederhana dan terendam.
7. Angkat apabila kuih berwarna kuning keemasan.


Puding Karamel Buah-Buahan

Selamat petang semua, hmmmm..... suka-suka buat puding karamel dengan anak bongsu dan si tengah. Kita sibuk buat benda lain, mereka sibuk pecahkan telur. Biarlah.... mudah-mudahan jadi anak yang boleh memasak walaupun anak lelaki... dan harap-harap juga kalau sudah berumahtangga (lama lagi...) dapat bantu isteri di dapur, sebagaimana ayahnya yang ringan tulang membantu Amie dalam segala urusan rumahtangga. Puding karamel yang anak-anak buat sama saja macam puding karamel yang lain, cuma Amie suruh campur sedikit gula melaka. Di bawah ni hasil kerja anak2 bujang Amie....



Sudah beberapa kali masukkan puding karamel dalam blog ini, jadi tak payahlah tulis resepinya lagi. Letak gambar sajalah yea... he he he...

Award Daripada Story of Mama


Terima kasih mama nor@noorsafone


Sahabat mayaku ini hobinya menjahit, memasak dan menghasilkan kraftangan. Hebatnya, cukup serba serbi sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Suka sangat tengok 3 anak dara mama nor@noorsafone... comel2 belaka. Moga-moga jalinan persahabatan kita akan berkekalan.... ye mama nor...

Award Daripada Sweet Memories


Terima kasih Syarifah Nadzarah

Mudah-mudahan persahabatan kita bertambah erat walaupun hanya di alam maya. Ibu kepada tiga anak ini suka sangat masak... Amie pun ada tiga anak juga ye... Marilah sama-sama berkelahi dengan periuk belanga di dapur setiap hari... lepas tu upload hasilnya dalam blog kita ye...

Award Daripada Dapur CT (DDCT)


Terima kasih Ct Delima
Gold Card DDCT ini untuk VVIP ....., kata Ct semua follower dalam blognya adalah VVIP dan suka sangat dengan motto DDCT:

ANYONE CAN COOK!

he he he... sebab semua orang memang perlu makan ye Ct...! Tahniahlah, sebab nampak usaha Ct yang begitu bersungguh-sungguh menyemarakkan dunia masakan tanahair....

Award Daripada Cahaya Azyla

Terima kasih Cahaya Azyla


Semoga segala impian Cahaya Azyla akan tercapai untuk menjadi seperti:

Siti Khadijah yang begitu agung cinta pada Allah dan Rsulullah,
ingin didik jiwa seperti Siti Aishah,
ingin berkorban seperti Siti Fatimah,
ingin sesabar Siti Sarah dan
ingin setabah Nabi Ismal.

Insya-Allah mudah-mudahan akan tercapai segala cita-cita murnimu itu. Amin.

Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol

Assalamualaikum semua, dah minum pagi? Nampaknya Amie sekeluarga pagi ini sarapan berat, seberat nasi lemak.... Ini semua hasil berguru dengan rakan-rakan Kelantan & Terengganu. Biasanya Amie masak nasi dagang Terengganu, gunakan beras wangi sahaja tapi hari ini tergerak pula hati nak masak nasi dagang campur beras wangi dengan beras perang. Katanya, kalau dah campur beras perang, kira dah jadi nasi dagang Kelantan pula. Sayangnya Amie terlebih sukatan untuk beras perang. Patutnya campur sikit saja tapi Amie sudah 'termerendam' 1/2 kg beras wangi dan 1/2 kg beras perang. Nampak warnanya pun.... gelap saja. Lain kali kena hati2 ye... Amie, kesian pada kawan2 Kelantan  & Terengganu yang bersungguh2 ajar Amie masak nasi dagang. Apapun, terima kasih buat Fauziah Deraman dan Nor Kamilah Khalil yang menjadi mahaguru & chef nasi dagang Amie kali ini. Bila dengar ajaran Chef Nor Kamilah, gerun juga dengar... apa tidaknya, bila dikatakan masak gulai ikan tongkol pun boleh memakan masa sampai satu hari... ha, yang itu hanya orang Terengganu yang betul2 ikut cara tradisi sahaja yang tahu cerita sebenar mengapa sampai jadi begitu. Amie pun tak ikut 100% petua memasaknya misalnya, mengeluarkan nasi yang sedang dikukus untuk digaul bersama santan. Amie renjis terus santan ke dalam nasi yang sedang di kukus dan kemudian menggaulnya lagi. Dan untuk acar pula, itu ikut kepala Amie.... acar orang kampung Amie tu.... Untuk Fauziah Deraman dan Nor Kamilah Khalil, terima kasih sudi perturunkan ilmu dari negeri Terengganu, dan Amie doakan mudah2an terkabullah doa dan termakbullah hajat untuk pindah balik ke Terengganu 25 Mei 2011 ini. Kalau tak dapat pun tak apa, kita sama-sama teruskan khidmat di bumi Sabah. Nanti banyaklah lagi resepi dari negeri mereka boleh dikongsi bersama.



Bahan-bahan untuk nasi dagang:
800 gram beras wangi (sudah tersukat 1/2 kg)
200 gram beras peras (sudah tersukat 1/2 kg)
500ml santan pekat
5 biji bawang merah (hiris nipis)
5cm halia (hiris halus)
1 sudu teh halba
1/2 sudu garam
1/2 sudu gula melaka

Cara:
1. Rendam beras wangi dan beras perang selama 8 jam.
2. Toskan kedua-dua beras dan campurkan.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Masukkan halba, bawang merah dan halia. Gaul rata. Tutup kembali periuk pengukus.
5. Campurkan gula melaka dan garam ke dalam santan.
6. Buka kembali tutup pengukus dan renjiskan santan pekat ke atas nasi. Gaul hingga sebati.
7. Kukus semula selama 10 minit.
8. Sedia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol dan acar mentah.



Bahan-bahan untuk gulai ikan tongkol:

Bahan A:
1 kg ikan tongkol (bersihkan dan potong ikut suka)
3 keping asam gelugur
1 sudu gula melaka
sedikit garam

Bahan B:
1 liter santan
3 keping asam gelugur
7 biji cili padi (belah 2)
3 biji lada hijau
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu serbuk ketumbar
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk jintan putih
2 sudu gula melaka
1 sudu garam
minyak

Bahan kisar:
10 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
5cm halia

Cara:
1. Rebus bahan A hingga masak dan toskan airnya.
2. Gunakan air rebusan ikan untuk memerah santan kelapa.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk jintan manis, jintan putih dan serbuk ketumbar hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak.
5. Masukkan cili padi, cli hijau dan asam gelugur.
6. Masukkan ikan tongkol, garam dan gula melaka.
7. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Tutup api.



Bahan-bahan untuk acar mentah:
1/2 cawan udang kering (rendam dan tumbuk kasar)
1/2 batang lobak merah
1 biji timun
1/2 biji nanas masak
1 biji sengkuang
1 labu bawang besar
3 biji lada hijau
garam & gula secukup rasa
cuka

Cara:
1. Potong kesemua lobak, timun, nanas dan sengkuang, bawang dan lada hijau  ikut citarasa masing-masing.
2. Satukan di dalam sebuah bekas dan gaul bersama udang kering.
3. Akhir sekali perasakan dengan garam, gula dan cuka.
4. Siap untuk dihidangkan.

Lengkaplah sudah nasi dagang bersama teman-temannya, gulai ikan tongkol dan acar mentah. Jom... makan kita!!!.


Sabtu, 21 Mei 2011

Telur Ikan Goreng Salut Tepung

Menjelang petang, tiba-tiba diserang rasa bosan berkurung dalam rumah seharian. Sudahlah tingkap dan pintu tak boleh buka lebih setahun lalu, sebab kerja-kerja pembinaan jalan raya masih dilakukan .... betul2 berhadapan dengan rumah kami. Habuk tak terkira lagilah, sampai kami pun kena sakit gatal-gatal. Habis pakaian di ampaian terkena habuk pasir. Kononnya, siap bulan Mac tapi hingga sekarang belum siap lagi. Kebetulan pula, dua minggu lepas SURVEY dibuka, dan kebetulan lagi letaknya di seberang jalan berhadapan rumah kami... semua ada depan mata, macam salah pilih tempat kediaman pula.....(sebab selalu berangan tinggal di rumah kampung yang nyaman dan jauh dari hiruk pikuk kota). Apa tidaknya, semenjak pasaraya SURVEY dibuka, bertambah-tambahlah traffic jam. Jiran sebelah menyebelah cadangkan kalau nak pergi shopping di situ, jalan kaki saja. Memang betul, sebab beberapa kali kami pergi situ, asyik terpusing-pusing cari tempat parking. Amie ajak suami pergi jalan-jalan ke bandar, tak mahu berebut di Bandar Sri Perdana depan rumah kami. Kami pun cuci mata, beli apa yang berkenan di mata termasuklah telur ikan alu2 dan tenggiri...... he he... nak masak apa? Amie fikir nak masak lemak cili padi, tapi suami suruh goreng. Alamak! Tak meletupkah telur ikan nanti? Pernah dulu Amie makan telur ikan pepes (panggang dalam daun pisang), tapi mana nak cari daun pisang senja-senja begini. Okeylah, Amie cuba goreng macam goreng sotong. Bersihkan dulu telur ikan, toskan dan sedikan bahan-bahan untuk menyalutnya.


Bahan-bahan:
4 keping telur ikan (potong 2 setiap keping - cuci dan toskan)
1.5cm halia (tumbuk)
1 sudu tepung gandum
3 sudu tepung jagung
3 biji bawang putih (tumbuk)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
1 tangkai daun sup (hiris)
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu kecil pati asam jawa
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan untuk sos:
2 sudu mentega
1 biji lemon (perah airnya)
1 sudu tepung jagung (bancuh dengan 25ml air)

1. Gaul telur ikan bersama semua bahan tumbuk, serbuk kunyit, asam jawa dan serbuk pati ikan bilis serta hirisan daun sup hingga sebati.
2. Lumurkan dengan tepung gandung bercampur tepung jagung. Biarkan seketika.
3. Panaskan minyak dan goreng tenggelam. Angkat apabila warna kuning kemerahan.
4. Untuk menyediakan sosnya pula, panaskan mentega di dalam kuali@periuk.
5. Masukkan jus lemon dan bancuhan tepung jagung.
6. Apabila sedang pekatnya, tutup api.
7. Hidangkan telur ikan goreng salut tepung dengan sos lemon.
Alhamdulillah, telur ikan tak meletup semasa Amie menggorengnya.....


Sup Campur

Dah masak ikan bayan masak sambal, Amie temankan pula dengan sup campur. Amie tak masukkan lada putih sebab sambal ikan dah pedas, nanti meleleh-leleh segala keringat dan apa-apa entah lagi yang keluar sewaktu makan... sudahlah cuaca panas, masak pedas pula, sup pun panas-panas lagi. Marilah jemput makan tengahari bersama...


Bahan-bahan:
2 biji kentang (potong dadu)
2 kuntum white fungus (rendam hingga kembang kemudian carik2)
3 kuntum cendawan shiitake (cuci dan rendam hingga kembang - potong 2)
15 biji fish ball
1.5cm halia (hiris nipis)
3 biji bawang putih (pecahkan)
1/2 labu bawang besar (cincang)
1 biji tomato (belah 6)
1 sudu serbuk pati ayam
daun sup
bawang goreng
500ml air

Cara:
1. Didihkan air dan masukkan halia, bawang putih dan bawang besar.
2. Masukkan kentang dan cendawan shiitake. Masak sehingga kentang empuk.
3. Masukkan fish ball dan white fungus. Didihkan lagi selama 3 minit.
4. Masukkan serbuk pati ayam dan tomato.
5. Tutup api dan hidangkan sup bersama daun sup dan bawang goreng.

Ikan Bayan Masak Sambal

Amie berkira-kira untuk masak ikan bayan... ikan bayan lagi ye..., tapi ini bukan bayan hijau biru dan putih kuning jingga, ini bayan warna kelabu. Sama keturunan dengan bayan-bayan lain. Agalnya kalau masak sambal ala Cocos tentu sedap. Syukurlah sempat berguru dengan mak mentua untuk masak-masak cara mereka. Bila suami pulang tengahari tadi, terus dia ke dapur dan ternampak 3 ekor bayan atas sinki. Wah... ini sedap masak..... Amie terus menyampuk... masak sambal kan? Apalagi, tersengih panjanglah kawan. Tapi, untuk masak sambal ni kena ada limau nipis. Amie kata limau nipis dah habis. Suami kata.... ada lagi tu dalam peti sejuk. Dah habis...Amie berkeras. Dia terus buka peti sejuk dan diambilnya 2 biji limau nipis di bahagian bawah... he he he... banyak sangat aksesori dalam peti sejuk, sampai Amie sendiri tak ingat di mana letaknya itu dan ini yang diperlukan. Resepi ini Amie ubahsuai, misalnya Amie tambah sedikit gula dan sebenarnya memang masakan ini (setahu Amie) memang orang Cocos tak suka masukkan gula. Mereka sukakan rasa yang masam.  Dah siap pun.......berpeluh-peluhlah kami sekeluarga menikmati ikan bayan masak sambal perah air limau nipis.



Bahan-bahan:


3 ekor ikan bayan seberat 700gram (gambar atas)
2 biji limau nipis (perah airnya)
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 100ml air)
minyak
garam & perasa (jika suka)
gula
serbuk kunyit

Bahan kisar:
20 biji lada kering
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5cm belacan

Cara:
1. Bersihkan ikan dan potong 2. Lumurkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng setengah masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Masukkan ikan dan gaul rata.
4. Masukkan bancuhan air asam jawa. Biarkan masak selama 4-5 minit.
5. Masukkan garam perasa@gula.
6. Akhir sekali masukkan perahan air limau..... (1 biji limau nipis pun cukuplah...sebab Amie tak suka sangat yang masam-masam ni)
7. Angkat dan hidangkan dengan nasi panas.

Jumaat, 20 Mei 2011

Kuey Teow Sup Seafood

Ini menu tengahari tadi...... hidangan untuk 2 orang saja. Rebus dan makan. Yang penting perut dah tak keroncong lagi....


Bahan-bahan:
2 cawan kuey teow (celur dan toskan)
10 biji fish ball
5 biji crab ball (belah 2)
6 ekor udang
3 ekor sotong (potong-potong)
2 tangkai sayur sawi (potong-potong)
1/2 batang lobak merah (potong panjang2)
2 biji bawang putih (tumbuk)
2 biji bawang merah (tumbuk)
1 sudu serbuk pati ayam
sedikit halia (tumbuk)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
minyak
400ml air
daun sup
bawang goreng

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk kecuali lada putih hingga wangi.
2. Masukkan air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan fisah ball, crab ball, lobak merah, udang , sotong dan lada putih. Biarkan masak selama 2 minit.
4. Masukkan serbuk pati ayam.
5. Akhir sekali masukkan sayur sawi.
6. Apabila sayur sawi berubah warna, tutup api.
7. Letakkan kuey teow di dalam mangkuk dan tuangkan kuah seafood ke atasnya.
8. Hidangkan bersama bawang goreng dan daun sup.
Makanlah bersama sambal kicap untuk lebih rasa enak.