Khamis, 28 April 2011

Ikan Pari Masak Asam Pedas

Selamat malam rakan-rakan pengunjung. Belakangan ini Amie selalu lewat masukkan resepi dalam blog. Bukan apa, agak kesuntukan masa.... minggu ini saja ibarat burung pula gaya hidup Amie. Apa tidaknya, 5.45 keluar rumah... 6 petang baru sampai semula ke rumah. Anak-anak pun asyik makan nasi bungkus... nampaknya pengurusan masa agak menyeleweng bulan April ini. Ini ha... resepi ikan pari... cerita tentang ikan pari, kalau di kampung Amie di Selangor, bonda suka masak 'semur' atau masak kicap. Siap dengan lada putih, kulit kayu manis dan bunga lawang bonda masukkan. Kuahnya mesti pekat.... masih terasa keenakan air tangan bonda. Apa lagi kalau pari masak 'pecak'... rasanya hanya bonda saja yang paling pandai masak di dunia. Malangnya, bila dah kahwin, suami pula tak suka makan ikan pari. Kalau ke pasar, tengok sajalah ikan tu.... punya banyak dan segar dan sangat murah..., apa tidaknya, sepotong harganya RM2 saja. Lama-kelamaan ikan pari di sini naik harga pula. Agaknya dah mula ramai yang menggemarinya. Di pasar besar berharga RM5, di Pasar Sri Perdana pula RM6. Tapi kalau Amie balik kampung, alamak.... harga ikan pari di Sungai Buluh mencecah RM15-16 1kg. Lama-kelamaan suami & keluarganya pun mula pandai makan ikan pari juga....



Bahan-bahan:
500 gram ikan pari (potong 10 bahagian)
3 biji tomato (cincang)
10 biji kacang bendi
4 tangkai daun kesum
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
200ml air
garam & gula
minyak

Bahan-bahan kisar:
25 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
1.5cm belacan
1.5cm halia
1.5 cm kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan tomato cincang bersama air asam jawa. Masak sehingga tomato menjadi hancur.
3. Masukkan daun kesum dan biarkan layu. Tambah 200ml air ke dalam tumisan. Didihkan.
4. Masukkan ikan pari dan masak selama 15 minit dan kuah menjadi pekat.
5. Masukkan lada putih dan kacang bendi. Tunggu sehingga kacang bendi berubah warna.
6. Ikan pari masak asam pedas siap untuk dihidangkan.

Sabtu, 23 April 2011

Sayur Keladi Masak Lemak Dengan Ikan Sembilang

Sayur keladi... batang keladi masak lemak. Inilah antara sayur yang sering bonda masak masa kami kecil dulu. Oleh kerana senang nak dapat batang keladi sebab ayah bonda memang ada kebun ubi kayu, keladi, jagung, pisang dan sebagainya, macam-macam resepi bonda mengolahnya. Paling mudah masak asam rebuslah. Bonda gunakan daun asam, petik je dari kebun. Kadang-kadang masak asam pedas dan kadang-kadang bonda jemur dulu batang keladi. Sekarang nak cari batang keladi pun susah. Sudah terjumpa batang keladi di Pasar Sri Perdana, Amie pun terus tak lepas peluang. Kan sedap kalau masak dengan siput sedut... tak ada pula siput tu... Suatu ketika, masa bonda datang ke rumah kami di sini, terjumpa batang keladi... Amie terus beli. Sebatang berharga RM4.... bonda menggeleng kepala sambil mengucap, kenapa mahal sangat? Susah nak jumpa keladi di sini mak... tak macam di kampung, keliling rumah mak tanam macam-macam.... masa tu mak yang masak batang keladi, masuklah maca-macam rempah termasuk jintan dan ketumbar. Kali ini Amie tak masukkan pula rempah-rempah tu. Cukuplah masukkan belacan, udang kering dan cili padi....


Bahan-bahan:
7 batang keladi (siat kulit dan potong serong 5cm)
5 keping ikan sembilang
200ml santan cair
100ml santan pekat
1/2 sudu serbuk kunyit
3 keping asam gelugur (1 keping untuk masak lemak, 2 keping untuk celur batang keladi)
garam & gula

Bahan tubuk:
15 biji cili padi
7 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1.5cm belacan
1/2 cawan udang kering

Cara:
1. Celur batang keladi bersama 2 keping asam gelugur hingga masak. Ketepikan.
2. Campurkan kesemua bahan tumbuk ke dalam santan cair dan didihkan bersama ikan sembilang.
3. Masukkan serbuk kunyit dan asam gelugur.
4. Masukkan batang keladi dan santan pekat.
5. Masukkan garam & gula.
6. Kacau sekali-sekala supaya tidak pecah santan.
7. Angkat dan hidangkan.

Dilutan Mampalam

Sesekali teringin juga mencuba resepi yang menjadi koleksi dalam simpanan. Amie terbaca tentang Dilutan Mampalam dalam buku resepi Masakan Sabah. Bila Amie amat-amati bahan-bahannya, macam lebih kurang resepi kerabu mangga. Amie ubahsuai ikut citarasa sendiri walaupun sebelum ini Amie biasa buat kerabu mangga.


Amie tambah hirisan timun, hirisan bawang besar dan kacang tanah tumbuk.



Bahan-bahan hirisan:
2 biji mangga muda
1/2 biji timun muda (buang kulit & biji)
1 biji lada hijau
1 biji lada merah
1 labu bawang besar

Bahan-bahan tumbuk kasar:
1/2 cawan ikan bilis goreng
1/2 cawan kacang tanah goreng
5 biji cili padi

Bahan lain:
1 sudu perahan air limau kasturi @ limau nipis
garam & gula secukup rasa

Cara:
1. Campur kesemua bahan dan gaul rata.
2. Biarkan selama 20 minit.
3. Hidangkan bersama nasi panas.


Khamis, 21 April 2011

Nasi Goreng Pataya

Entah kali yang ke berapa anak bongsu Amie meminta Amie datang ke sekolahnya waktu tengahari dan hantar makanan kepadanya. Akhirnya hari ini hasratnya itu tercapai memandangkan hari ini Amie cuti peristiwa setelah 3 hari berjemur di padang. Pesannya sejak dua hari lepas... hantar nasi goreng special, dan kelmarin berpesan lagi....bawakan ayam goreng. Apa nasi goreng special yan digemarinya? Dia memang suka makan nasi goreng pataya. Nantilah, Amie tengoklah apa bahan yang ada di dapur. Satu lagi, anak Amie suka sangat makan jagung. Elok sangatlah tu, sebab ada satu tin jagung belum digunakan lagi. Tepat pukul 1 tengahari Amie keluar dari rumah (habis kelas pukul 1 tengahari tapi dari Isnin - Khamis ada kelas tambahan hingga ke petang), sengaja Amie keluar waktu ini memandangkan suasana sesak di hadapan sekolah dan jalan besar. 5 minit kemudian Amie sampai dan dari jauh sudah kelihatan anak Amie lambaikan tangan di hadapan pagar sekolah. Ya...Allah, kalau Amie tak datang macamana? Mesti kecewa anak kecil ini kan.... Amie hulurkan padanya dua bekas berisi makanan (nasi goreng pataya & ayam goreng) bersama sebotol air kosong. Dia perkenalkan 2 orang rakannya yang menemaninya, dan melihat anak menyalami Amie, rakan2nya pun turut bersalam juga. Nampak riang sungguh wajah anak Amie.... si kecil tahun 4.



Nasi Goreng Pataya



....bersama ayam goreng.

Sebaik sahaja sampai di rumah, dia terus berkata.... kenapa mummy hantar nasi sikit sangat? Ha... kenapa dik? Tak cukupkah? ...kami makan 3 orang...la....la..la..kongsi dengan kawan2 rupanya. Manalah Amie tahu...Amie teringat anak kedua Amie semasa bersekolah rendah dahulu, sentiasa ingatkan Amie, kalau bekalkan makanan mesti lebih. Amie tanya kenapa ....katanya ada kawan2 yang tak bawa bekalan atau belanja sekolah tengok dia makan di kantin, kesian katanya. Entahlah.....yang bongsu pula beritahu Amie... kawan saya bilang... hebatnya mamamu... pandai masak... oh, itu tandanya anak2 tadi lapar! Di rumah pula, 2 bujang Amie cuti peristiwa sekolah sama macam Amie, dan Amie tambah sup ayam dengan daun selasih dalam hidangan tengahari. 



Ini untuk anak2 bujang di rumah.

Rabu, 20 April 2011

Ikan Cencaru Pekasam

Tiba-tiba teringin makan ikan pekasam... biasanya guna ikan darat tapi Amie gunakan ikan cencaru. Amie tak bubuh beras goreng, sebaliknya hanya bubuh asam jawa dengan garam saja. Dan satu lagi.... bukan digoreng, Amie pangganggggg...... Mula-mula bersihkan ikan dan belah belakangnya. Tos hingga kering. Masukkan 2 sudu asam jawa dan 1 sudu garam halus.  Perap dalam bekas kedap udara selama 3 hari, tapi Amie perap 2 hari saja sebab tak sabar nak makan pekasam..... Biasanya ikan pekasam digoreng, tapi Amie panggang pulak... jadilah juga, boleh dimakan.


Bahan-bahan:
1 ekor ikan pekasam
1/2 batang lobak (hiris)
1 biji mangga muda (cincang)
1 labu bawang besar (hiris)
2 biji lada hijau (hiris)
2 biji limau kasturi - perah airnya
garam & gula

Cara:
1. Panggang ikan cencaru pekasam hingga masak. Letakkan di atas pinggang.
2. Gaul semua bahan hirisan dan bersama perahan air limau, garam dan gula.
3. Biarkan antara 10-15 minit.
4. Hidangkan bersama ikan cencaru pekasam.

Ikan Terbang Kering Goreng Daun Kesum

Beberapa hari yang lalu, suami bawa pulang sebungkus ikan kering. Katanya kawan yang beri, dan bukan dibeli sebaliknya ikan kering buatan sendiri. Ikan itu pula hasil tangkapan di laut.... katanya lagi, ikan itu namanya 'ikan terbang'..... Ikan terbang? Amie belek-belek rupa ikan itu.... mungkin juga digelar 'terbang' sebab macam bersayap.... nanti boleh tengok di bawah ni, ada Amie masukkan gambar ikan terbang tu. Suami kata ikan itu tidak semasin ikan kering yang biasa dijual. Amie pun fikir ada juga kebenarannya, maklumlah kalau ikan masin buatan sendiri tentu kita boleh tentukan sebanyak mana tahap kemasinan yang kita mahu. Kelamrin petang, Amie cuba masak 2 ekor ikan terbang... masak apa? Nak buat ceritalah ni... kelmarin pagi semasa Amie di padang (hari ke-2 sukan tahunan sekolah), seseorang menghulurkan sebuah bungkusan kepada Amie. Bila Amie buka..... seberkas daun kesum yang masih segar! Mungkin baru dipetik. Kata si utusan tadi, pengirimnya dari Silabukan....oh! Teman lama....Serimah Selamat yang sempat Amie temui semasa Pesta Pantun Peringkat Daerah Lahad Datu di SMK Silabukan. Itu cerita minggu lepas...12 April 2011 bersamaan hari Selasa dan Amie salah seorang pengadil pertandingan peringkat akhir. Tak sempat cerita banyak dengan Serimah, cuma yang Amie ingat Serimah tanya....ada kau tanam daun kesum? Amie jawab... banyak kali tanam tapi tak hidup. Tak sangka pula dikirimkan kepada Amie daun kesum (entah dari mana dia petik)....oleh sebab sangat banyak, sempatlah Amie bahagikan kepada beberapa orang rakan yang berminat...... Jadi petang kelmarin, Amie pun goreng ikan terbang kering dengan daun kesum.... sebaik sahaja pulang dari padang (seharian di padang.... wajahku rentung dan kulit menjadi segaring ikan kering....)


Bahan-bahan:
2 ekor ikan terbang kering (potong 4 dan cuci serta toskan)
7 biji lada kering (potong menjadi 2-3 hirisan)
5 tangkai pucuk daun kesum
5 biji bawang putih (hiris nipis)
7 biji bawang merah (hiris nipis)
1 labu bawang besar (hiris nipis)
secubit garam & perasa
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 25ml air)
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak tumis semua bahan hirisan sehingga wangi.
2. Masukkan hirisan lada kering, daun kesum bersama ikan terbang kering. Kecau seketika.
3. Masukkan bancuhan air asam jawa, garam & perasa.
4. Masak antara 3-4 minit.
5. Ikan terbang kering goreng daun kesum siap untuk dihidangkan.
~enak dimakan bersama nasi panas~



Inilah ikan terbang yang Amie masak tu.... rasanya tidaklah masin sangat, dan sudah seestinya sedap....


Isnin, 18 April 2011

Mee Goreng

Hari ini kami ke Padang Bandaran... ada sukantara dan diteruskan ke acara kemuncak kejohanan olahraga pada hari Rabu, lusa. Awal pagi tadi Amie bawa 2 anak bujang Amie sarapan pagi ...makan nasi lemak dan nasi kuning..... ingatkan anak-anak masih kenyang, rupanya kelaparan menjelang tengahari. Dalam perjalanan pulang tengahari tadi, sempat anak-anak menyenaraikan menu yang mereka inginkan sebagai hidangan tengahari. Tidak ada yang menyebut nasi tapi pilihan mereka ialah mee atau kuey teow goreng. Mereka senaraikan juga apa bahan yang perlu dimasukkan termasuk ayam dan udang. Kebetulan 'traffic jam' ... Amie cepat2 memikirkan apa patut Amie lakukan terlebih dahulu sebagaik sampai di rumah. Ada mee kering di rumah tapi anak2 tak mahu makan. Mereka mahu juga mee kuning atau kuey teow dan kalau susah2 kata mereka, beli sajalah maggie.... alamak!!!! bila anak2 sebut maggie....Amie terus menyetujui akan masakkan mereka mee goreng. Tapi... ayam tentu masih keras, udang tak apa juga sebab cepat lembut... jam 2.30 petang Amie terpaksa bergegas semula ke padang sebab masih ada acara padang & balapan yang belum selesai. Akhirnya, semasa singgah beli mee kuning...Amie beli dua ketul ayam seberat 700 gram. Balik rumah, terus ke dapur dan capai bahan yang ada untuk resepi mee goreng...dan entah macamana boleh pula terfikir campurkan sedikit taucu kacang kuning manis dalam mee goreng...


Bahan-bahan:
1kg mee kuning (bilas dengan air dan toskan)
500 gram isi ayam
15 ekor udang kertas
4 sudu cili kisar
2 sudu sos cili
2 sudu sos tomato
2 sudu kicap pekat
2 sudu sos taucu (sweet yellow bean)
2 biji lada merah (hiris)
2 biji lada hijau (hiris)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1 sudu serbuk pati ayam
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk serta cili kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan ayam dan biarkan masak selama 7-10 minit.
3. Masukkan sos taucu, sos cili dan sos tomato. Kacau rata.
4. Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah serta udang. Balik-balikkan sehingga udang kemerah-merahan.
5. Masukkan mee kuning dan gaul sebati.
6. Tuangkan kicap dan gaul lagi hingga merata.
7. Taburkan serbuk pati ayam.
8. Mee goreng sedia untuk dihidangkan.
~Jika suka hidangkan bersama telur goreng separuh masak, hirisan timun dan tomato~


Ahad, 17 April 2011

Ikan Alu-Alu Masak Taucu ( Sweet Yellow Bean)

Ikan alu-alu yang dibeli Ahad lepas panjangnya lebih 2 kaki. Jadi Ahad minggu ini habiskan stok dalam peti sejuk. Ada lima keping ikan alu-alu. Memang Amie sengaja simpan 5 keping ikan untuk setiap satu bekas supaya mudah dikeluarkan untuk direndam, dan dimasak. Maklumlah, 5 beranak..., kalau ikan mesti 5 keping atau bahagian, kalau ayam 10 bahagian, kalau udang 20 ekor.... he he...kebetulan 'tupperware' yang digunakan tu macam 'sporting' pula sebab cukup muat dengan jumlah yang dibahagikan. Itulah kelebihannya kalau kita ada 'tupperware', macam2 saiz ada... tapi pastikan 'tupperware' kita original dan bukannya 'plastikware'.... apa pun 'ware'nya tak kisahlah,pakailah ana-mana pun. Yang penting makanan kita tersusun rapi dalampeti sejuk dan mudah untuk kita kenalpasti isinya.... Berbalik cerita ikan alu-alu masak taucu ini, sebenarnya beberapa tahun yang lalu Amie sering makan masakan ini di kantin. Bila dah tukar pengusaha kantin, hilanglah juga resepi itu. Sebab rasanya yang sedap, Amie  masak resepi ini dan anak-anak pun tambah nasi 2 kali.... bapanya tak makan sebab ada 'bekalan' pecal dari kampung....(harap perutnya tak kembung makan banyak kangkung)...


Bahan-bahan:
5 keping ikan alu-alu
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1 labu bawang besar (hiris)
2 biji lada merah
2 biji lada hijau
4 sudu taucu
1/2 sudu gula
1/2 sudu garam
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu tepung jagung (bncuh dengan sedikit air)
50ml air
minyak
3 tangkai daun sup (hiris)
bawang goreng

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga masak dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
3. Masukkan lada hijau dan lada merah serta bawang besar. Kacau seketika.
4. Masukkan taucu (sweet yellow bean) dan tambah 50ml air.
5. Masukkan ikan dan gula. (walaupun namanya 'sweet' tapi taucu tetap masin)
6. Tuangkan bancuhan air tepung jagung dan kacau perlahan-lahan hingga pekat.
7. Ikan alu-alu masak taucu siap untuk dihidangkan.
8. Hias bersama hirisan daun sup dan bawang goreng.
~enak dimakan bersama nasi panas~

Sayur Campur Tempe & Udang

Selamat petang semua... semoga petang Ahad yang ceria ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakan-rakan pengunjung. Kalau hari Ahad memang aktiviti Amie mengumpul segala bekalan yang tertinggal dalam peti sejuk sepanjang minggu ini. Ada sedikit tempe, beberapa biji kacang buncis, beberapa ekor udang kertas... ha ha... apa lagi, satukan ia menjadi sayur campur seperti di bawah ini....


Bahan-bahan:
10 ekor udang kertas
10 keping tempe (goreng & ketepikan)
2 kuntum black fungus (rendam hingga kembang  dan hiris)
7 biji kacang buncis (patahkan 3)
1 biji lobak merah (hiris bulat)
4 biji bawang putih (tumbuk)
4 biji bawang merah (tumbuk)
2 biji lada hijau (hiris)
1 sudu kecil tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah.
2. Masukkan udang bersama lobak merah serta black fungus. Masak sehingga udang kemerah-merahan.
3. Masukkan kacang buncis dan tempe goreng. Kacau seketika.
4. Taburkan serbuk pati ikan bilis.
5. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah pekat.


Sabtu, 16 April 2011

Laksa Utara

Assalamualaikum dan selamat petang. Kali ini Amie masak betul2, maksudnya ikut resepi sebenar. Bukan macam selalu, main hentam ikut suka dan ikut bahan yang ada saja. Ini pun asal ada bahanlah, tapi kebetulan pula bahan2 semua ada, cukup lengkap sebagaimana yang terdapat dalam resepi. Amie ikut resepi SAJI keluaran Februari 2011. Kami 5 beranak tak cukup makan sebungkus laksa walaupun di luar bungkusan laksa sudah tertulis: 8-10 orang. Maklumlah, anak-anak sedang membesar, makan semangkuk tak cukup... nak 2-3 kali. Lagipun, makan laksa bukannya mengenyangkan seperti makan nasi. Yang buat perut kita penuh sebab hirup kuahnya tu..... tak apalah, kalau tak cukup juga laksa (sebab kuahnya pun satu periuk), boleh rebus spaghetti pula sebagai pengganti. Oooo iya..... dalam resepi tu gunakan 2kg ikan dan 200 gram laksa, eh...betulkah resepi tu? Amie ubah 2 kg jadi 1kg ikan dan 200 gram laksa jadi 2 bungkus.... silap2 2kg ikan, tenggelam tak nampak laksa yang 200 gram tu... he he he...


Bahan-bahan:
1 kg ikan kembung (rebus dan ambil isinya - kisar)
2 bungkus laksa (rendam hingga lembut dan celur hingga masak)
4 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
4 keping asam gelugur
garam

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
10 ulas bawang merah
1.5 cm belacan
2 cm lengkuas muda

Bahan hiasan:
1 biji timun (hiris halus)
2 labu bawang besar (mayang halus)
1/2 biji nenas (cincang)
5 biji telur (rebus dan belah 2)
2 biji lada merah / cili padi (hiris halus)
5 biji limau kasturi

Cara:
1. Satukan bahan kisar bersama rebusan air ikan dan isi ikan yang dikisar.
2. Masukkan daun kesum, bunga kantan, asam gelugur dan garam.
3. Masak hingga asam gelugur kembang dan jangan dibiar mendidih terlalu lama.
4. Letak sedikit laksa di dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atasnya.
5. Hiaskan dengan hirisan timun, bawang besar.lada merah, nenas,limau kasturi dan terus.
6. Laksa sedia untuk dinikmati.





Ubi Pulut Rebus Dengan Sambal Ikan Bilis

Dah lama tak makan ubi rebus. Masa kecil dahulu, rasa dah jemu sebab itulah makanan yang sentiasa dihadap.... maklumlah, makanan orang kampung. Kebun pun penuh dengan pokok ubi. Sekarang ni nak cari ubi pun susah. Ha...kelmarin sempat singgah di tepi jalan beli ubi. Kata penjualnya, ubi pulut...memang sedap ubi pulut sebab melekit-lekit macam pulut. Apa lagi...rebus sajalah, buatkan sambal ikan bilis. Jemput makan ye....


Bahan-bahan:
4 batang ubi kecil (potong 2 dan belah 2)
secubit garam
500ml air

Bahan untuk sambal:
1 cawan ikan bilis
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh bersaa 50ml air)
1 labu bawang besar (mayang halus)
garam & gula
minyak

Bahan kisar:
20 biji lada kering
10 biji bawang merah
7 biji bawang putih
1.5cm belacan

Cara:
1. Rebus ubi bersama secubit garam di dalam 500ml air sehingga empuk dan toskan airnya.
2. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan ikan bilis dan bancuhan air asam jawa.
4. Masukkan garam dan gula dan biarkan selama 10 minit di atas api perlahan.
5. Masukkan bawang besar dan kacau sehingga bawang layu.
6. Angkat dan hidangkan bersama ubi rebus.

Ayam Goreng Madu Dengan Sambal Halia

Siapa tak suka makan ayam goreng? Semua orang sukakannya.... dan memang negara kita ni kaya dengan pelbagai resepi ayam goreng. Macam-macam boleh dicuba. Ayam goreng yang Amie buat ni patutnya makan dengan nasi ayam, tapi lupakanlah nasi ayam tu...., ratah aje....cecah dengan sambal halia & ulam-ulaman. Macam orang tak pernah makan ayam aje ni....tak caya cuba tengok gambar di bawah ni, tak sempat potong@cincang, letak je begitu ...he he...


Bahan-bahan:
2 keping ayam (bahagian peha)
minyak
nanas
timun
tomato

Bahan perap:
3 biji bawang putih (tumbuk)
1.5cm halia (tumbuk)
1/2 sudu kecil pati asam jawa
1 sudu kicap pekat
2 sudu madu
1 sudu lada putih (tumbuk)
garam

Bahan sambal:
2 biji lada merah
1/2 biji tomato (buang kulit)
1.5cm halia muda
3 biji bawang putih
2 biji limau kasturi
garam & gula

Cara:
1. Perap ayam dengan bahan pemerap selama 1/2 jam dan kemudian goreng hingga masak dengan api perlahan.
2. Tumbuk kesemua bahan sambal. Perahkan air limau kasturi .
3. Hiris halus sedikit kulit limau kasturi dan campurkan ke dalam sambal halia supaya wangi.
4. Susun ayam goreng madu di dalam pinggan dan hias bersama nanas, timun dan tomato.
5. Hidangkan bersama sambal halia. Boleh diratah begitu sahaja atau makan bersama nasi.

Ikan Baguk Masak Asam Pedas Ala Cocos

He he...kalau bapak mentua Amie nampak rupa asam pedas ni mesti beliau tergelak sebab rupa kuahnya yang jadi gelap begini... bukan apa, Amie terlebih masukkan belacan. Patutnya sikit je... sebenarnya suku kaum sebelah mentua tak makan ikan baguk atau mayong, tapi sebab teringin nak makan, Amie masak sajalah... anak suami pun makan juga. Paling seronok bila tengok penjual ikan potong ikan baguk di pasar... nampak telur2.....ha, Amie tayang telur baguk ni ye...



Bahan-bahan:
5 keping ikan baguk (lumur dengan tepung gandum dan perap 15 minit - cuci & toskan)
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 250ml air)
1 batang serai (diketuk)
garam & perasa
1 biji lada merah (belah 2)
1 biji lada hijau (belah 2)
minyak

Bahan tumbuk:
7 biji cili padi
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5 cm belacan (kurangkan menjadi separuh sahaja)

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk sehingga wangi.
2. Masukkan serai dan bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan baguk dan masak antara 12-15 minit.
4. Masukkan garam dan perasa secukupnya.
5. Masukkan lada merah dan lada hijau.
6. Angkat dan hidangkan.


Udang & Cendawan Shiitake Masak Tom Yam

Kalau  nak cuba resepi ini, dipersilakan.... sebab Amie jamin rasa dan aromanya sangat sedap. Bukan apa, ini hasil kreativiti memasak dengan menggunakan bahan seadanya yang terdapat di dapur. Amie tak pasti sama ada resepi tom yam bersama cendawan shiitake ini pernah dibuat orang atau tidak. Oleh sebab Amie suka aroma cendawan kering shiitake yang harum itu, jadi Amie bilas cendawan dan kemudian rendam dengan 400ml air selama 1 jam. Apabila cendawan kembang, airnya Amie tidak buang, sebaliknya Amie jadikan kuah tom yam. Tidak banyak bahan yang Amie gunakan, hanya udang kertas, babycorn, lobak merah dan cendawan shiitake sahaja.... dan terlupa nak masukkan tomato (sudah dibelah). Amie masukkan lada hitam sedikit....


Bahan-bahan:
15 ekor udang kertas
1 biji lobak merah (hiris nipis)
7 kuntum cendawan shiitake (rendam)
7 batang babycorn (belah 2)
5 helai daun limau purut
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
2 batang serai (diketuk)
1.5 cm lengkuas (diketuk)
10 biji cili padi (pecahkan)
1 labu bawang besar (potong menjadi 4)
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
400ml air rendaman cendawan shiitake
minyak
garam & gula

Bahan kisar:
7 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, lengkuas, cili padi, daun limau purut, bunga kantan dan bancuhan pati asam jawa.
3. Masukkan lobak merah dan cendawan bersama 400ml air rendaman cendawan shiitake. Biarkan mendidih.
4. Masukkan udang dan biarkan selama 3-5 minit.
5. Masukkan babycorn dan bawang besar.
6. Bubuh garam & gula secukup rasa.
7. Angkat dan hidangkan panas.
~jika suka, perahkan air limau nipis~

Siput Sedut Masak Asam Pedas

Ada lebihan siput sedut pemberian rakan suami tempohari. Amie masak asam pedas pula. Nak jodohkan dengan batang keladi, tak jumpalah pula tumbuhan tu di pasar... jadi asam pedas siput sedut kali ini tak berteman kecuali daun kesum dengan bunga kantan.


Bahan-bahan:
1kg siput sedut (buang ekor)
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
2 tangkau daun kesum
1/2 sudu pati asam jawa
garam & gula
250 ml air
minyak

Bahan kisar:
10 biji lada kering
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan daun kesum dan bunga kantan. Biarkan seketika.
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa.
4. Masukkan siput sedut dan balik-balikkan sebentar.
5. Masukkan air dan biarkan mendidih atau sehingga siput sedut masak.
6. Bubuh garam dan gula secukup rasa.
7. Siput sedut masak asam pedas sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 15 April 2011

Ikan Sembilang Masak Asam Pedas

Masak asam pedas ikan sembilang.... ini pun resepi yang terlewat da..... kali ini masak cair-cair, tak pekat macam selalu sebab nak cepat. Biasanya Amie rajin cincang tomato dan masak terlebih dahulu bersama lada kisar. Kali ini Amie guna cili boh saja.... tak kisar lada kering...hei, entahlah nak masak tapi yang ringkas dan nak cepat saja. Tak apalah, sekurang-kurangnya ada panduan yang boleh diguna bersama untuk orang yang semakin kelam kabut hidupnya sejak akhir-akhir ini macam Amie....


Bahan-bahan:
5 keping ikan sembilang (perap dengan tepung gandum dan cuci)
 6 sudu cili boh
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1.5cm belacan (tumbuk)
2 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
2 biji tomato (belah 2)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
garam & gula
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
250 ml air
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih serta belacan.
2. Masukkan cili boh dan biarkan sehingga pecah minyak.
3. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan bancuhan air asam jawa. Biarkan seketika.
4. Masukkan air dan biar mendidih. Masukkan ikan sembilang.
5. Masukkan lada putih dan biarkan terus mendidih antara 7-10 minit.
6. Masukkan garam dan gula serta tomato.
7. Apabila sedang elok masaknya, angkat dan hidangkan.



Sambal Mangga Dengan Ulam-Ulaman

Ini satu lagi resepi yang baru sempat Amie masukkan dalam blog. Rasa letih dan pahit mulut, membuatkan Amie terfikir untuk buat sambal belacan dengan ulam-ulaman termasuk tempe. Ini gara-gara makan tempe di Pulau Jawa... rasanya tentulah ada beza sedikit sebab di sana tempe dikira lauk utama, jadi ke mana kita pergi untuk makan, memang tetap ada hidangan tempe dan tahu, dan rasanya memang lebih sedap di sana...., tak apalah, kita pun boleh masak yang sedap juga...



Bahan-bahan untuk sambal:
10 biji cili padi
5 biji bawang putih (digoreng)
5 biji bawang merah (digoreng)
1.5 cm belacan (digoreng)
1 biji mangga muda (cincang)
garam & gula

Bahan ulam-ulaman:
1/2 batang lobak (dicelur)
7 biji kacang buncis (dicelur)
2 biji tomato (belah 6)
1/4 biji timun (hiris)
5 keping tempe (digoreng)

Cara:
1. Tumbuk bawang putih,bawang merah, cili padi dan belacan.
2. Masukkan garam dan gula. Tumbuk lagi.
3. Masukkan mangga mud cincang dan tumbuk bersama sambal belacan tetapi jangan hancur.
4. Keluarkan sambal mangga dan masukkan ke dalam sebuah bekas, susun bersama ulam-ulaman.


Ikan Alu-alu Masak Asam

Amie suka sangat pilih ikan alu-alu masak asam kalau makan di restoran. Bila masak sendiri, rasa lebih puas hati sebab boleh ratah sebanyak mana yang Amie suka. Bukan saja kepala ikan alu-alu, ekor ikan alu-alu pun Amie boleh ratah.... he he tamaknya... bukan apa, tak boleh beli sekilo atau 2kg tapi kena beli seekor... tak tahu bila boleh habis, tu sebab masak lebih & ratah2 saja...


Bahan-bahan:
5 keping ikan alu-alu (termasuk kepala dan ekor)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1 batang serai (dititik)
5 helai daun limau purut
1 keping asam gelugur
2 biji tomato (belah 2)
1 biji lada hijau (belah 2)
1 biji lada merah (belah 2)
garam & perasa
250ml air
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih, bawang merah dan serai.
2. Masukkan air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan daun limau purut, asam gelugur dan ikan.
4. Biarkan terus mendidih antara 7-8 minit.
5. Masukkan tomato, lada merah dan lada hijau serta garam dan perasa. Biarkan seketika.
6. Angkat dan hidangkan semasa panas.

Cencaru Panggang Sumbat Sambal Kelapa

Lama tak makan ikan cencaru sumbat kelapa.... akhirnya dapat juga sediakannya. Kali ini Amie buat sambal kelapa, campur sedikit belacan dan terus panggang. Hai... melelh-leleh pulak sambal kelapanya....


Bahan-bahan:
1 ekor ikan cencaru seberat 600 gram (bersihkan dan belah belakang)
3 keping hirisan timun
3 keping hirisan tomato

Bahan untuk sambal kelapa:
1 cawan kelapa parut
2 biji lada merah
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah
1.5 cm belacan
10 biji lada putih
1/2 sudu kecil pati asam jawa
1 batang serai (hiris halus)
1 helai daun kunyit muda (hiris halus)
garam & gula

Cara:
1. Bersihkan ikan cencaru dan toskan hingga kering.
2. Tumbuk bawang putih dan bawang merah, lada merah, serai, belacan dan lada putih hingga lumat.
3. Masukkan kelapa parut dan tumbuk bersama bahan tadi tetapi jangan sampai lumat.
4. Keluarkan bahan yang ditumbuk ke dalam sebuah bekas dan gaul bersama pati asam jawa, garam, gula dan hirisan daun kunyit.
5. Masukkan kesemua bahan tadi ke belakang ikan.
6. Panggang sehingga masak.
7. Hidangkan ikan cencaru panggang sumbat sambal kelapa berama ulam-ulaman.

Khamis, 14 April 2011

Siput Sedut Masak Lemak Dengan Nanas

04 Mei 2011 ni genaplah 19 tahun Amie duduk di Sabah.... dan inilah kali pertama Amie dapat makan siput sedut.... itu pun kawan suami yang beri. Nak beli dipasar, lain pula bentuknya. Oleh sebab agak banyak siput yang dibawa pulang, Amie masak separuh saja.... ha...inilah rupa siput Sabah...ada rupa Siput Sarawak tak?


Bahan-bahan:
1 kg siput sedut (potong ekor)
200ml santan pekat
15 biji cili padi (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
10 keping nanas
1 sudu serbuk kunyit
1 batang serai (diketuk)
garam & gula
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga wangi.
2. Masukkan cili padi dan serai serta serbuk kunyit.
3. Masukkan nanas dan balik-balikkan hingga layu.
4. Masukkan siput dan kacau sekali sekala.
5. Masukkan santan disertai dengan garam dan gula.
6. Kacau selalu supaya tidak pecah santan.
7. Apabila masak, bolehlah angkat dan hidangkan.
1.

Sayur Campur Udang

Masak sayur campur.... campur apa yang ada dan tambah beberapa ekor udang. Mudah, ringkas dan menarik... sedap? Mestilah sedap sebab terdapat pelbagai jenis sayur di dalamnya seperti di bawah ini dan ...makan panas-panas terutama sekali ketika perut kosong berkeroncong minta diisi... Sebenarnya Amie nak masak sayur lodeh, dah siap sediakan tempe dengan santan sekali. Tengah nak masak, suami pulang bawa siput.....minta Amie masak siput! Terpaksalah cancel sayur lodeh.... jadilah sayur campur aje...


Bahan-bahan:
10 ekor udang kertas
5 batang babycorn (belah 2)
1/2 biji lobak merah (belah 2 dan hiris nipis)
5 batang kacang buncis (hiris nipis)
1 biji lada merah (hiris)
1 biji lada hijau (hiris)
3 biji bawang putih (pecahkan)
1 sudu sos tiram
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1/2 sudu tepung jagung (bancuh dengan 3 sudu air)
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan udang dan goreng lagi hingga udang kemerah-merahan.
3. Masukkan lada hijau,lada merah dan lobak merah dan gaul rata.
4. Masukkan kacang buncis dan babycorn.
5. Tuangkan sos tiram dan taburkan serbuk pati ikan bilis. Kaau seketika.
6. Tuangkan bancuhan tepung jagung dan bolehlah angkat apabila kuah mula kelihatan pekat.

Acar Ikan Yu Kering

Selamat petang semua. Belakangan ini Amie tidak sempat memasukkan resepi terbaru masakan Amie. Bukan apa, sebenarnya Amie agak kesuntukan masa, jadi terpaksalah ditunda ke waktu yang lain bergantung kepada kelapangan Amie. Apa pun yang penting Amie dapat kongsi bersama hasil resepi yang Amie masak. Acar ikan yu kering ini sebenarnya bukanlah seperti acar yang biasa Amie buat kerana kali ini Amie campurkan dengan timun dan lobak. Pertama kali Amie buat acar ikan yu kering ialah pada tahun 2000. Amie bawa pulang ke kampung di Selangor dan nampaknya ayahanda (allahyarham) sangat suka makan acar ikan yu kering. Memang Amie buat banyak dan tahan lebih sebulan sebab Amie selalu panaskan dan simpan dalam bekas kedap udara. Sudah hampir 3 bulan Amie simpan ikan yu kering dalam peti sejuk, tak juga Amie masak. Keadaannya masih elok dan Amie putuskan untuk masak acar sajalah seperti di bawah.... tapi bukanlah acar yang boleh bertahan berbulan2 macam yang biasa Amie buat....


Bahan-bahan:
300 gram ikan yu kering (rendam dan potong dadu)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
15 ulas bawang putih (buang kulit)
5cm halia (hiris halus)
6 sudu lada kisar
1 sudu biji sawi
40 gram serbuk kari
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 75ml air)
3 sudu cuka
4 sudu gula
1/2 sudu garam
1 biji timun (ambil bahagian luar - hiris ikut suka)
1 biji lobak merah (hiris ikut suka)
1 labu bawang besar (hiris ikut suka)
6 minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis halia serta bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan biji sawi dan lada kisar. Masak sehingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kari dan masak lagi hingga terbit bau.
4. Masukkan bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih.
5. Masukkan ikan yu kering. Biarkan seketika.
6. Masukkan lobak merah diikuti dengan timun.
7. Taburkan garam dan gula (ikut rasa)
8. Renjiskan cuka dan apabila telah elok masaknya, angkat dan hidangkan.

Ahad, 10 April 2011

Nasi Kuning Sambal Ikan Alu-Alu

Ini bukan nasi kuning dari pulut ye. Ini memang namanya nasi kuning. Pertama kali Amie makan nasi kuning begini pada Mei 1992, tak ingat tarikh. Kawan Amie beli dengan harga RM1. Nasi kuning tu dibungkus dalam daun pisang, lauknya seekor ikan basung masak sambal. Oleh kerana mungkin 'nasi kuning' ini merupakan makanan tradisi di sini (Sabah), memang di mana dan ke mana kita pergi, pasti akan bertemu dengannya. Agaknya kira 'nasi lemak' kitalah kalau di sini. Banyaklah rasa dan jenis-jenis lauk yang Amie sudah temui berkaitan dengan nasi kuning ini. Ada yang berlauk telur rebus dengan sambal, ada lauk ayam masak sambal. Apa pun yang paling terkenal lauk nasi kuning ialah sambal ikan, dan biasanya ikan kayu tapi ada juga digunakan ikan tuna, tenggiri, kembung dan macam-macam jenis ikan. Yang pasti, ikannya dimasak sambal. Biasanya Amie lihat di restoran atau di gerai makan, ikan dan sambal dipisahkan. Apabila nasi kuning hendak dibungkus, barulah ikan goreng tadi dimasukkan dalam bekas sambal, dan ada juga Amie terlihat ikan goreng diletak di atas nasi dan kemudian dituang sambal. Rasanya nasi kuning pula, ada macam-macam. Kadang-kadang Amie dapat makan nasi kuning yang sangat lazat.... nasinya gurih, lemak dan sambal ikan yang cukup rasa, tapi kadang-kadang terbeli yang kurang 'nasib baik'.... macam nasi biasa saja dicampurdengan serbuk kunyit.... he he... kalau cerewet sangat, buatlah sendiri... barulah puas hati. Nasi kuning yang Amie hasilkan ini sebenarnya Amie sendiri tidak tahu untuk menerangkan dari mana asal-usul resepinya. Kadang-kadang Amie rasa nasi kuning yang dimakan ada rasa serai, kadang-kadang terjumpa kulit kayu manis, dan banyak kali tidak terjumpa apa-apa bahan selain nasi kuning itu sendiri... dan sebelum terlupa Amie nak beritahu, biasanya nasi kuning dimakan waktu pagi sebagai sarapan.....


Tak perlulah Amie tuliskan resepi dan cara memasaknya sebab sama saja caranya dengan buat nasi lemak, cuma tambah serbuk kunyit saja. Lauknya pula, kalau dah sambal ikan tu... rasanya semua dah tau cara memasaknya.... he he he....saja je nak share rupa nasi kuning tu macamana.... sesiapa ingin mencuba, dipersilakan....


Khamis, 7 April 2011

Nasi Lauk Ayam Puri Tomato Kari & Acar

Ini masakan orang hidup kelam kabut... ambil saja mana yang ada. Kalau pencinta resepi masakan tradisional mesti marah ni.... iyalah, entah apa2 yang dibuat oleh Amie ini. Orang lain masak kari ikut peraturan, Amie masak kari ikut kepala sendiri... kreativitilah namanya tu, taklah cerewet sangat dengan syarat mesti ada semua bahan yang nenek moyang kita guna, barulah kita nak masak. Kalau ikut peraturan begitu, kena tunggu jadi tuang masak atau suri rumah sepenuh masa.... tak tahu bila, dah bergelar nenek nanti kot...he he he....

Bahan-bahan:
500 gram daging ayam (potong 10 bahagian)
3 biji kentang (potong ikut suka)
6 sudu tomato puri
1 tin susu cair
50 gram serbuk kari
3cm halia (tumbuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
1 labu bawang besar (cincang)
2 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
garam & gula
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk bersama bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
2. Masukkan tomato puri dan biarkan seketika.
3. Masukkan serbuk kari dan gaul sebati.
4. Masukkan daging ayam, bersama kentang dan terus gaul sehingga ayam layu.
5. Masukkan susu cair, perlahan api. Biarkan ayam menjadi empuk.
6. Apabila ayam empuk,masukkan garam dan gula.
7. Ayam PuriTomato Kari sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih dan acar mentah.

Nasi Goreng Dengan Ikan Yu Kering

Sesiapa yang belum pernah masak ikan yu kering, ha... ini Amie ada satu resepi yang boleh dikongsi bersama. Dengar 'ikan yu' macam besar betul ikan tu ye... tapi kita potonglah kecil2 supaya tak rasa takut nak makan he he he....


Bahan-bahan:
3 mangkuk nasi putih
1 potong ikan yu (potong dadu kecil2 & rendam seketika untuk hilangkan masin)
1 tin jagung (toskan airnya)
3 kelopak kobis (hiris nipis)
5 biji bawang putih (cincang
5 biji bawang merah (cincang)
10 biji cili padi (cincang)
5 helai daun limau purut
2 sudu budu
1 sudu sos soya
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan ikan yu kering dan kacau hingga sebati.
3. Masukkan jagung dan kacau lagi.
4.Masukkan nasi bersama daun limau purut. Gaul bersama bahan dalam kuali hingga sebati.
5. Tuangkan budu dan sos soya. Terus gaul.
6. Taburkan serbuk pati ikan bilis dan gaul lagi sekali.
7. Nasi goreng bersama ikan yu kering siap untuk dihidangkan.
~ jika suka bolehlah letakkan apa-apa aksesori yang disukai dan menarik minat seseiap untuk menjamahnya~


Sea Coconut Herbal Soup

Dah lama tak renih sup herba.... ini dia sea coconut herbal soup. Bersihkan sebungkus sea coconut herbal soup dan renih 3 jam bersama daging ayam, letak sedikit sahaja garam. Rasanya sedap dan sedikit manis....