Isnin, 28 Februari 2011

Jus Epal Hijau Dengan Tembikai Susu - Green Apple and Honeydew Juice

Sebelum menutup tirai malam ini, Amie sudahi dengan hidangan jus buah epal hijau dengan tembikai susu. Sekiranya kita rajin amalkan pengambilan jus buah-buahan, insya-Allah kita akan memulakan hari setiap pagi dalam keadaan selesa kerana jus buah-buahan membantu melancarkan proses perkumuhan dengan teratur, boleh mengatasi masalah sembelit dan rasa perut yang tidak selesa. Sebenarnya kalau kita mahu dan jika rajin serta suka, pelbagai jenis minuman boleh kita hasilkan daripada buah-buahan yang kita gemari seperti di bawah ini....


Bahan-bahan:
2 biji epal hijau
400 gram tembikai susu masak ranum
sedikit gula jika perlu
ketulan ais

Cara:
1. Potong epal dan tembikai susu ikut suka dan kisar bersama 300ml air masak.
2. Tapis dan asingkan hampasnya.
3. Campur sedikit gula.
4. Masukkan ketulan ais.
5. Siap untuk diminum.


Kari Kepala Ikan Merah Dengan Nenas

Selamat malam semua...dah makan malam belum? Amie sekeluarga petang tadi mengadap kari kepala ikan merah. Anak-anak kata kuah karinya sedap. Memang Amie akui rasanya dan juga kepekatannya... Amiekan suka kuah kari yang pekat-pekat. Bonda pun suka masak kari pekat-pekat tapi bonda pandai buat rempah kari sendiri (rasanya tentulah jauh lebih sedap berbanding rempah kari yang dah siap). Lagi satu, mungkin cara Amie masak kari berbeza sedikit dengan yang lain. Amie tidak bancuh serbuk kari, sebaliknya Amie terus tumis serbuk kari. Sesetengah orang kata tentu serbuk kari akan jadi hangus, tapi sebenarnya ada caranya yang tersendiri supaya serbuk kari tidak hangus. Memang dari dulu di mana tempat sekalipun Amie lihat serbuk kari dibancuh sebelum ditumis... sepupu Amie yang ajar supaya jangan bancuh, perlahankan api semasa menumis dan itulah rahsianya serbuk kari tidak cepat hangus. Amie juga gunakan banyak tomato dalam masakan kari supaya kari menjadi lebih pekat dan pada masa yang sama, anak-anak yang tidak suka makan sayur akhirnya termakan juga buah tomato yang dah jadi kuah tu....


Bahan-bahan:
sebelah kepala ikan merah seberat 700gram
5 biji tomato (belah 4)
6 keping hirisan nenas masak
500ml santan cair
200ml santan pekat
40 gram serbuk kari
1 sudu biji sawi
5 sudu lada kisar
7 biji bawang putih(tumbuk)
7 biji bawang merah tumbuk)
3cm halia (tumbuk)
1.5cm belacan tumbuk)
5cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
beberapa helai daun kari
garam & gula atau perasa jika suka
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk bersama bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
2. Masukkan lada kisar diikuti dengan tomato dan kacau  hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kari dan gaul rata diikuti dengan daun kari  dan biji sawi.
4. Masukkan nenas dan bancuhan pati asam jawa. Masak hingga nenas layu.
5. Masukkan santan cair dan biarkan hingga mendidih barulah masukkan ikan.
6. Pastikan kepala ikan merah hampir masak, barulah masukkan santan pekat, diikuti dengan garam dan gula.
7. Apabila telah sempurna masaknya, bolehlah angkat dan hidangkan.

~ Buah tomato sebenarnya yang menjadikan kuah kari dalam keadaan pekat~


Kuey Teow Goreng

Amie singgah sebentar di kedai beli  sebungkus roti, kononnya kalau rajin nak buat puding roti. Sedap kalau buat puding roti sendiri, dan rasa kenyang bila kita makan. Masuk dapur, lain pula ceritanya.... terpandang sebungkus kuey teow dengan seikat daun kucai dalam bakul di tepi tingkap..... alamak ni mesti gara-gara keletihan malam tadi sampai terlupa nak simpan semua bahan yang dibeli di dalam peti sejuk. Amie tengok daun kucai masih dalam keadaan elok, walaupun ada sedikit warna hijau kekuningan di hujungnya... akibat kena panaslah tu. Seperti biasa Amie keluarkan ikan untuk direndam, terpandang udang dan isi kerang. Ha.... terlupa niat asal nak buat puding roti, terus goreng kuey teow..... biasa saja cara masakannya. Nak kata ikut mana-mana buku resepi atau resepi orang lain, Amie tak buat rujukan kerana Amie dah biasa goreng kuey teow begini sejak zaman anak dara lagi dan memang suka sangat makan kuey teow terutama char kuey teow....tapi petang ni goreng biasa saja...


Bahan-bahan:
500 gram mee teow (cuci & toskan airnya)
15 ekor udang kertas (bersihkan & belah belakang)
1 cawan isi kerang
1 cawan taugeh (buang kulit kacang & ekor)
10 batang daun kucai (potong sepanjang 5cm)
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
4 sudu sos cili thai
2 sudu sos tomato
4 sudu sos soya
1 sudu serbuk pati ikan bilis
4 sudu minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang putih dan bawang merah hingga wangi.
2. Masukkan udang dan isi kerang. Gaul dan masak sehingga kulit udang berubah merah.
3. Masukkan kuey teow, disertai dengan sos cili thai, sos tomato dan sos soya. Kacau seketika.
4. Masukkan taugeh dan kucai serta taburkan serbuk pati ikan bilis. Balik-balikkan sebentar.
5. Kuey teow goreng siap untuk dihidangkan.
6. Jika suka, makan bersama lada jeruk.

Ahad, 27 Februari 2011

Sambal Terung Pipit Dengan Udang

Hmmmm.... anak-anak memang tak suka makan ikan sup. Asalkan yang berkuah...masak pindang, singgang, asam rebus... mereka kata macam ikan tu masih hidup. Macam-macamlah alasan sebab mereka hanya suka ikan goreng, ikan sos, ikan masak kari ....kecuali yang berkuah-kuah. Amie masakkan mereka sambal udang tapi ada syaratnya tau.... Amie tumpangkan terung pipit dalam sambal udang. Lama sangat tak makan terung pipit. Masa kecik2 dulu selalu petik terung pipit di kebun sampai gatal-gatal badan terkena miang batang pokoknya. Bonda suka buat ulam, tapi biasanya bonda buatkan kami sambal terung pipit. Suami pun tak makan terung pipit....biarlah Amie seorang yang makan... sesiapa kawan dengan Amie, jangan risau pasal makan... yang penting halal, kalau tak pernah makan pun, Amie tetap akan cuba....


Bahan-bahan:
20 ekor udang sederhana besar (buang kulit dan belah belakang)
2 genggam terung pipit (boleh belah dua jika suka)
5 sudu besar lada kisar
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1.5cm belacan (tumbuk)
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan 75ml air)
garam & gula
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan belacan hingga naik bau.
2. Masukkan lada kisar dan masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan bancuhan air asam dan biarkan hingga pekat.
4. Masukkan terung pipit, garam dan gula.
5. Masukkan udang dan dan gaul sebati.
6. Apabila udang telah masak, bolehlah diangkat.

Amie tidur dulu ye...letih rasa badan, esok kena bangun awal....jumpa lagi di lain resepi...

Ikan Jenahak Sup Dengan Daun Selasih

Selamat malam semua pengunjung.... malam ini Amie masak ala kadar saja sebab sehari suntuk menghabiskan masa dalam perjalanan pergi dan balik dari Lahad Datu-Tawau-Lahad Datu ikut rombongan meminang sekaligus hantaran. Alhamdulillah, semuanya selesai tapi masih Amie fikirkan betapa belanja kahwin sekarang ini melambung tinggi... asyik fikir tentang benda tu, nanti lauk makan malam tak siap pulak. Suami kata dia sangat letih memandu dan ingin melelapkan mata sekejap. Sebenarnya kalau boleh Amie pun nak terus tidur tapi.... Amie rasa, letih Amie letih lagi dia. Anak-anak pun macam tak ada mood untuk makan, maklum sepanjang perjalanan asyik mengunyah segala bekalan yang dibawa. Malam ini Amie masak sup ikan jenahak yang masih segar dari pasar ikan Tawau. Teringat bau segar daun selasih dalam sup ayam, Amie cuba daun selasih dalam sup ikan pulak. Harap sup ikan jenahak dengan daun selasih Amie akan membangkitkan selera makan seisi keluarga yang sedang keletihan.


Bahan-bahan:
3 keping ikan jenahak
10 batang babycorn (belah 2)
2 biji tomato (belah 2)
4 tangkai daun selasih
2 batang serai (diketuk)
5 biji bawang putih (tumbuk kasar)
5 biji bawang merah (tumbuk kasar)
3cm halia muda (tumbuk kasar)
2 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
1 sudu lada putih (tumbuk halus)
garam & perasa
4 sudu besar minyak jagung
7 biji cili padi (jika suka)
3 biji limau kasturi (jika suka)

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk kecuali lada putih. Masukkan sekali bunga lawang, serai dan kulit kayu manis. Goreng hingga wangi.
2. Masukkan 600ml air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan jenahak dan masak selama 5-7 minit.
4. Masukkan lada putih, garam dan perasa.
5. Masukkan babycorn, tomato dan cili padi.
6. Sup ikan jenahak siap untuk dihidangkan.
Perahkan air limau kasturi jika suka. Jika suka pedas, pecahkan cili padi sewaktu makan bersama nasi.
Oleh kerana isi ikan jenahak sangat lembut, jangan terlalu lama memasaknya, nanti hancurrrrr.... Bagi yang sudah biasa gunakan daun sup dalam masakan, apa kata sesekali gunakan daun selasih pula. Sekali dua mungkin sukar sedikit untuk menerimanya, tapi lama-lama macam Amie....suka...

Sabtu, 26 Februari 2011

Red Apple with Carrot and Lime

Malam ini Amie sempat sediakan jus campuran untuk Amie dan suami serta anak-anak. Biasanya Amie campurkan susu segar dalam jus dan gunakan penapis yang agak jarang supaya hampas yang halus-halus terutamanya lobak merah, masuk sedikit dalam minuman. Sesetengah orang tidak suka minum bersama keladaknya sekali... yang tak suka tu, bolehlah gunakan penapis yang biasa.


Amie tidak gunakan gula atau susu cair sebaliknya Amie pilih susu segar dengan sedikit madu. Kita lihat apa bahan lain yang Amie gunakan.

Bahan-bahan:
2 batang lobak merah
2 biji epal merah
600ml susu segar
4 sudu madu
1 sudu perahan lime (jangan banyak nanti masam & pahit)
kiub ais (jika suka)

Cara:
1. Potong lobak dan epal kecil-kecil dan masukkan dalam pengisar.
2. Masukkan susu segar dan madu serta perahan lime.
3. Kisar hingga hancur dan tapis untuk pisahkan hampas.
4. Tuang ke dalam gelas dan masukkan ketulan ais jika suka.

Amie belum masukkan ais dalam jus dalam gambar di atas dan di bawah ni...




Yam Flavour Ice Cream With Mango and Dessicated Coconut

Assalamualaikum semua.... hari ini agak sibuk dan letih sedikit sebab menyiapkan tugas yang belum selesai dari kelmarin. Oleh kerana masa yang diberi sangat suntuk, terpaksalah korbankan banyak perkara.... bukan apa, bantu murid-murid yang menghadapi ketiadaan kad pengenalan kerana masalah dokumen ibu bapa dan sebagainya. Oleh kerana hari Isnin perlu diserahkan, memang sakit tengkuk mengadap komputer, menyemak dokumen dan membuat senarai semak. Sedih sangat sebab sebahagian besar murid, tidak mempunyai dokumen ibu bapa kerana mereka dijadikan anak angkat, ditinggalkan oleh ibu selepas dilahirkan tiga hari kepada jiran, tidak pernah jumpa ibu bapa sejak lahir....rasa nak nangis Amie dibuatnya. Tak sampai hati Amie nak tanya murid tentang ibu bapanya, bila neneknya yang sudah tua datang untuk terangkan keadaan cucunya yang tidak mempunyai kad pengenalan.... Bukan seorang dua, tetapi seramai 58 orang dan selebihnya yang mungkin mempunyai masalah yang sama tetapi tidak menghantar borang permohonan, Amie tak boleh buat lebih daripada ini....oh Tuhan... aku hanya mampu membantu menghantar borang permohonan, yang selebihnya aku serahkan pada-Mu jua, mudah-mudahan mereka bakal menjadi warganegara yang berguna kepada agama, nusa dan bangsa. Syukurlah, sebelum 12 tengahari,Amie sempat siapkan ..... dan pulang tapi Amie perlu banyak berehat kerana esok, hari Ahad akan ikut rombongan meminang dan sekaligus hantaran ke Tawau. Oleh kerana dari pagi anak-anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan hanya makan makanan yang dibeli oleh ayahnya, menjelang tengahari Amie pula sediakan untuk mereka aiskrim seperti di bawah ini...



Kira dessert la..... buka aiskrim buatan sendiri tau..he he he... kami makan satu keluarga sampai habis.

Bahan-bahan:
500 ml aiskrim perisa keladi
2 biji mangga masak (potong ikut suka)
1/2 cawan kelapa parut kering (dessicated coconut) tabur atas aiskrim
......siap untuk dinikmati........

Khamis, 24 Februari 2011

Mango Juice


Dua hari lepas, semasa Amie pusing-pusing bandar menunggu gambar pasport siap di kedai gambar, Amie sempat memborong sebakul buah mangga. Sebenarnya, sekarang bukan musim mangga tapi Amie lihat di pasar ada beberapa buah lori pick-up jual cara borong...RM10 boleh dapat banyak. Amie pun tak kira berapa puluh biji dalam bakul tu... berat dan wangi. Sebenarnya, itu mangga dari Filipina. Kalau sedang musimnya, tak ada harga.... Dah puas makan anak beranak siang dan malam, rasa jemulah pulak. Cuba-cubalah pula buat jus. Kalau ikut warna asal, sepatutnya warna kuning pekat tapi Amie campur dengan susu segar....warnanya pun pudar macam di atas. Apapun, jus yang Amie buat ini berkesan untuk cuci perut.... perut Amie la....

Bahan-bahan:
2 biji mangga masak ranum
1 gelas susu segar
2 sudu madu

Cara:
1. Kupas buah mangga dan potong kecil-kecil.
2. Kisar mangga  bersama susu segar dan madu hingga hancur.
3. Tapis bahan yang dikisar untuk mendapatkan jus yang bersih.
4. Jika suka boleh masukkan ketulan ais. (Jus dalam gambar belum dicampur ais)
5. Boleh terus diminum atau simpan dalam peti ais.

Shiitake Mushroom Omelette

Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua pengunjung yang sudi singgah di dapur Amie. Nampaknya cuaca asyik mendung sepanjang hari. Kelmarin hujan, hari ini pun hujan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas segala rahmat-Nya. Bila hujan selalu, pokok-pokok di sekeliling rumah pun semakin subur. Apabila memandu ke tempat kerja pada waktu pagi, Amie suka buka tingkap kereta untuk menghirup udara segar...hmmmmm nyamannya. Biasanya Amie keluar dari rumah pukul 5.50 pagi, dan matahari pun belum menampakkan diri. Azan Subuh menandakan tibanya waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selalunya berkumandang melalui corong radio...lalu Amie pun terbayanglah bonda yang sedari dahulu bangun awal untuk menyediakan sarapan pagi sementara kami adik-beradik menyiapkan diri untuk pergi ke sekolah. Hari ini Amie balik lewat sedikit kerana terpaksa sekali lagi berurusan dengan pihak imigresen....terpaksa 3 kali ulang-alik, akhirnya selesai juga urusan. Bila sampai rumah, terfikir pula nak masak apa. Oh ya.... kebetulan hari ini hari Khamis malam Jumaat. Selepas solat Mahgrib, suami dan anak-anak teruna Amie pergi kampung untuk menghadiri majlis bacaan Yasin dan terus makan malam di sana. Akhirnya Amie ambil keputusan untuk masak omlet saja.


Bahan-bahan:
4 biji telur
4 kuntum cendawan shiitake segar
1 biji tomato
1 labu bawang besar
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu serbuk pati ayam
2 sudu susu cair
sedikit mentega

Cara:
1. Pecahkan telur dan pukul hingga kembang.
2. Masukkan semua bahan di atas kecuali mentega. Gaul sebati.
3. Panaskan mentega di dalam kuali.
4. Tuang bahan adunan telur ke dalam kuali dan pastikan api mesti sederhana supaya omlet tidak menjadi hangus.
5. Sekiranya suka, boleh lipat omlet di dalam kuali, jika tak mahu, tidak mengapa.
6. Biarkan omlet masak dalam keadaan basah.
7. Omlet sedia untuk dihidangkan.

Rabu, 23 Februari 2011

Latok @ Rumpai Laut Dengan Ikan Kayu Panggang

Selamat malam rakan-rakan pengunjung. Apa khabar hari ini, hari Rabu.... tentu sihat dan yang penting perut pun kenyang, hati pun senang nak jalan-jalan dari rumah ke rumah, dari dapur  ke dapur sampailah ke dapur Amie yang sentiasa berasap ni. Sebenarnya resepi hari ini merupakan hasil tangan kelmarin tapi tak sempat nak muatkan gambar sebab lambat sangatlah ........ Kelmarin petang  selepas berurusan di Pejabat Imigresen Lahad Datu, Amie sempat pusing-pusing sekejap di bandar dan pulang ke rumah membawa latok.... apa tu latok...... Latok merupakan salah satu hidangan tradisional masyarakat Bajau di Sabah. Dengan kata lain, latok ialah rumpai laut. Katanya, rumpai laut mempunyai khasiat yang tersendiri termasuk menjadikan pemakannya sentiasa awet muda, dan dari segi perubatan pula menunjukkan rumpai laut mengandungi banyak iodin dan boleh mengatasi masalah kanser tiroid. Rumpai laut banyak mengandungi kalsium, magnesium dan zat besi untuk membantu memelihara kesihatan darah, tulang, otot dan fungsi saraf. Amie beli dua jenis latok...yang satu jenis halus-halus macam di bawah ni... satu longgok seringgit je, tapi taklah banyak mana...



Satu lagi besar sikit. Kadang-kadang mereka panggil latok ni anggur laut sebab selain warnanya yang hijau, rupanya pun macam gugus anggurkan....



Sebahagian besar penduduk tempatan di Lahad Datu berketurunan Bajau. Rakan setugas Amie pun ramai daripada kalangan masyarakat ini. Beberapa kali Amie pernah makan latok bersama mereka. Penyediaannya sangat ringkas. Latok sangat enak dimakan bersama nasi panas dan ikan kayu panggang...ikan kayu ye....memang kebiasaannya, hidangan tradisional mereka, latok dimakan bersama ikan kayu panggang. Panggang ikan kayu pun ada caranya yang tersendiri. Dan ikan kayu yang dipanggang mesti ikan segar dari laut, belum disejukbekukan atau belum terkena ais. Panggang begitu sahaja tanpa menggunakan garam atau kunyit, tapi dalam gambar di bawah, Amie letak juga garam dan kunyit. Selain latok, mereka sediakan mangga muda, cili padi dan juga limau kasturi, serta kicap (ikut hidangan yang biasa Amie makan bersama mereka). Mereka tidak sediakan latok seperti yang Amie buat (gambar seterusnya), sebaliknya semasa makan nasi, mereka petik latok dari tangkai dan cecah dengan air limau bercampur cili serta mangga. Di mana istimewanya, Amie pun tak tahu tapi kalau makan bersama mereka....Amie tak segan-segan makan sampai 3-4 ekor ikan, dan nasi pun tambah 2-3 pinggan. Di bawah ini, Amie tunjukkan gambar bagaimana penyediaan cara tradisi....



Dan di bawah ini pula, gambar penyediaan cara Amie. Amie bersihkan latok dan buang tangkainya. Sebenarnya, latok tak boleh kena air atau terendam dengan air limau kasturi seperti yang Amie buat. Ini kerana akan menyebabkan latok hilang kerangupannya....kalau makan latok memang bunyi kruk krak kruk krak...pecah anggur tu dalam mulut. Ha...Amie campur je bahan-bahan seperti hirisan cili padi, sedikit belacan, bawang merah, hirisan mangga dan perahan limau kasturi. Terus hidangkan, jangan tunggu lama-lama sebab latok tu akan hilang. hanyut dalam lautan air limau kasturi.......tinggal batang je nanti...


Yang di bawah ini, gambar latok dengan pasangannya, ikan kayu panggang ikut cara Amie. Bila ada bau kunyit dan rasa garam, memang tak berapa umphhh.... Latok tu memang dah mengandungi air masin, jadi memang masuk akal kalau cara tradisional, mereka tidak lumurkan garam pada ikan panggang.


Seronok rasanya dapat kongsi resepi tempatan masyarakat Bajau di Sabah bersama rakan-rakan pengunjung. Jumpa lagi. Assalamualaikum.




Isnin, 21 Februari 2011

Lamb Curry

Suami Amie kata hidangan petang (kami makan nasi sebelum pukul 6.00) hari ini seimbang kerana Amie masak kari kambing biri-biri serta dihidangkan bersama acar mentah. Maksudnya, hidangan berlemak digandingkan dengan acar yang mengandungi rasa masam. Macam biasalah, kalau masak kari, Amie memang suka yang pekat-pekat....


Bahan-bahan:
500 gram kepingan kambing biri-biri muda (potong ikut suka)
5 biji kentang (buang kulit dan belah 2)
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat.
7 biji bawang putih (cincang)
1 labu bawang besar (cincang)
3cm halia muda (cincang)
4 biji tomato (potong dadu)
4 sudu besar lada kisar
3 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
1 sudu biji sawi
40 gram serbuk kari daging
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan sedikit santan cair)
beberapa helai daun kari
garam & gula @ perasa
4 sudu besar minyak jagung

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis halia, bawang putih dan bawang merah serta kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan lada kisar serta tomato. Tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan daun kari dan serbuk kari diikuti dengan bancuhan air asam jawa..
4. Masukkan kambing dan tumis sehingga daging menjadi layu.
4. Masukkan kentang dan santan cair. Masak sehingga kentang hampir empuk.
5. Masukkan santan pekat diikuti dengan garam dan perasa.
6. Biarkan kari kambing masak dengan sempurna dan tutup api setelah kentang & kambing empuk. (Biasanya kambing biri-biri tidak perlu mengambil masa yang lama untuk lembut)
7. Sedia untuk dihidangkan.

Acar Mentah

Lama benar Amie menyimpan hasrat untuk membuat acar mentah (resepi orang kampung Amie semasa kenduri-kendara). Kenapa namanya acar mentah ye..... Sebenarnya gini, masa Amie kecil2 dulu selalu ikut bonda pergi 'rewang' di majlis kenduri - kendara di kampung. Dari situlah Amie mengenali acar mentah ini. Salah satu bahan acar mentah tu ialah timun. Sebahagian isi dan kulit timun di potong panjang untuk dibuat acar rampai (acar yang dimasak dengan lobak dan rempah-rempah serta ditabur bijan). Bahagian isi timun pula (biasanya timun muda) diricih halus-halus, dicampur dengan nanas masak dan sengkuang untuk dijadikan acar mentah. Ada satu lagi bahan tambahan iaitu udang kering....yang memang Amie tak pernah jumpa dalam acar yang lain.  Nampaknya, petang ini tertunailah hasrat Amie itu dan kira berjayalah juga menghasilkannya walaupun hanya menggunakan imaginasi sendiri ...dengan mengingat kembali segala kenangan masa kecil dahulu. Amie tak pernah jumpa acar mentah ini sejak Amie tinggalkan kampung halaman hampir 20 tahun yang lalu. Apa yang Amie ingat ialah, acar mentah ini sangat enak rasanya, cantik hirisannya dan wangi baunya.... memang betul, bila Amie buat sendiri... rasa nak buat lagi pada masa akan datang terutama semasa buat rumah terbuka. Tengoklah gambar di bawah ni....nampak macam sayur bening je..... tapi sebenarnya itu ialah air nanas sebab Amie gunakan lebih nanas dan kebetulan pula nanas tu masak ranum. Sayang nak perap dengan garam sebab nanas tu manis..., jadi Amie biarkan air nanas tu jadi kuah acar.


Bahan-bahan:
1/2 biji nanas masak
1 biji timun
1 biji sengkuang
1 genggam udang kering (direndam dan tumbuk kasar)
2 biji lada merah
2 biji lada hijau
1 labu bawang besar
4 sudu gula
secubit garam
5 biji limau kasturi (perah airnya)

Cara:
1. Nanas, timun dan sengkuang, lada merah,lada hijau dan bawang besar dihiris halus / nipis.
2. Masukkan dalam mangkuk besar dan taburkan garam serta udang kering.
3. Masukkan gula dan air limau kasturi. Gaul mesra.
5. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.

Pembetulan: Kuih Bongkok Sebenarnya Kuih Brongkok

Assalamaualaikum, dan selamat petang kepada semua pengunjung. Kelmarin Amie muatkan gambar kuih bongkok seperti di bawah ini....


Sebenarnya selama ini Amie salah dengar, tak tahulah pekak badak barangkali. Orang sebut lain, Amie fikirkan lain. Pagi tadi Amie bertanya kepada beberapa orang rakan keturunan Bugis tentang kuih bongkok. Malangnya, mereka kata tidak ada nama 'bongkok' dalam kuih tradisi mereka. Setelah Amie terangkan rupa bentuk kuih tersebut, barulah mereka faham apa maksud Amie. Dan beginilah cerita mereka:

1. Cikgu Darwisah Abdul Wahid, (keturunan Bugis Pinrang), menelefon ibunya untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai kuih 'bongkok' Amie itu. Menurut ibunya, mereka memanggilnya baronggoh.

2. Menurut Cikgu Ramle Mapalabong pula, nama kuih itu ialah barongkok mengikut sebutan keturunan beliau dari sebelah Bugis Bone.

3. Cikgu Mustari Umar pula mengatakan kuih bongkok itu brongkoh, mengikut sebutan Bugis Andrekan.

4. Rujukan keempat saya ialah Cikgu Kamsiah Idris dan daripada beliau, saya mendapat resepi tradisional dan moden kuih barongkok. Katanya, mana-mana sebutan diterima samada barongkok, brongkoh atau baronggoh.

Di sini, Amie mohon maaf di atas kesilapan di atas dan sebagai hidangan seterusnya Amie paparkan bahan dan juga cara penyediaan kuih brongkok itu sebagaimana yang diperturunkan oleh Cikgu Kamsiah Idris daripada ibunya.

Bahan-bahan:
pisang sanggar (sebutan Sabahan - mungkin di tempat lain disebut pisang nipah @ abu)
santan pekat
1 biji telur
gula pasir
garam
daun pisang & lidi

Cara:
1. Pilih pisang yang masak ranum. Buang bahagian tengah pisang (empulur pisang), ambil isi yang elok sahaja.
2. Lecek sehingga benar-benar lenyek.
3. Campurkan dengan telur, santan, gula dan sedikit garam.
4. Bungkus dalam daun pisang.
5. Kukus sehingga masak.
6. Sejukkan di dalam peti sejuk sebelum dimakan.

Walaubagaimanapun, menurut Kamsiah dan rakan-rakan yang lain, mereka hanya menemui kuih brongkok semasa majlis kenduri sahaja kerana masyarakat hari ini kurang mempunyai waktu untuk membuatnya. Dan, ada alternatif lain untuk menyediakan kuih ini iaitu dengan cara mengukusnya di atas dulang tanpa perlu membungkus dengan daun pisang. begitu juga dengan pisang yang dilenyek, mereka lebih suka menghancurkannya penggunakan penngisar. Untuk mengenalkan aromanya, letakkan daun pisang di bawah gulang pengukus. Sekiranya ingin menyediakan secara tradisional, pilihlah daun pisang yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda sebagai pembungkus. Brongkok di dalam gambar di atas ialah brongkok tradisional kerana ada daun pengikat sekali. Terima kasih kepada rakan-rakan Amie kerana sangat senang hati membantu Amie mengenali kuih brongkok yang sebenar....

Ahad, 20 Februari 2011

Kuih Bongkok

Sebelum menutup tirai petang Ahad ini, Amie masukkan gambar kuih bongkok pemberian jiran sebelah rumah. Kalau pagi tadi anak daranya yang keempat hantar kerabu pucuk paku dengan ikan putih masak sos, petangnya pula anak daranya yang ketiga hantar kuih bongkok dan anak teruna Amie juga yang diseru namanya...... he he he. Amie tak pernah buat kuih bongkok dan sesiapa yang belum pernah makan atau melihatnya, apalagi yang baru pertama kali dengar nama kuih itu, marilah kita lihat gambar di bawah ini...


Tengoklah.....tradisional atau kreativiti ye....sudah dibungkus diikat pula, dan cuba kita buka satu nak tengok  macamana rupa kuih bongkok ni.....



waaa....tu dia...isi di dalamnya, dan nampaknya kena guna sudu untuk membawanya ke mulut kita ye... he he he. Sedikit perkongsian resepi kuih bongkok...diperbuat daripada pisang kisar, kalau tak silap campur dengan susu & gula serta sedikit garam.



Udang Goreng Dengan Serbuk Perencah Bijirin Mentega

Setiap kali masak udang dengan butter cereal seasoning powder, Amie gunakan daun kari sebagai penambah aroma tapi kali ini Amie tukar daun kari kepada daun limau purut. Hasilnya sama saja cuma bezanya dari segi bau dan tidak mempengaruhi kelazatan hidangan sebab kalau dah namanya masak butter cereal seasoning powder, memanglah sedap....


Bahan-bahan:
25 ekor udang kertas (bersihkan dan belah belakang)
10 biji cili padi (hiris)
7 helai daun limau purut
3 sudu marjerin
5 sudu butter cereal seasoning powder
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng udang hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan marjerin dalam kuali dan tumis cili padi bersama daun limau purut hingga wangi.
3. Masukkan udang dan gaul rata. Padamkan api.
4. Masukkan butter cereal seasoning powder dan gaul mesra.
5. Siap untuk dihidangkan.

Labu Masak Lemak dengan Ikan Yu Kering

Sebenarnya dari kelmarin lagi Amie dah potong-potong labu dan ikan yu kering, lepas tu simpan balik dalam peti sejuk. Pagi tadi Amie keluarkan lagi labu tu dak letakkan di tepi sinki untuk dimasak buat hidangan tengahari. Teringat pula, kelmarin suami pesan masak sayur kangkung. Jadilah resepi Amie kali ini masak lemak labu dengan ikan yu kering campur dengan kangkung.



Bahan-bahan:
400 gram labu (buang kulit dan potong dadu)
1 potong ikan yu kering (hiris menjadi 7 bahagian)
10 batang sayur kangkung (potong ikut suka)
15 biji cili padi (tumbuk)
1 batang serai (diketuk)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
1.5 cm belacan (tumbuk)
1 keping asam gelugur
1 sudu kecil serbuk kunyit
300ml santan cair
150ml santan pekat
garam & perasa

Cara:
1. Masukkan santan cair dalam periuk.
2. Campurkan dengan semua bahan tumbuk, serai, asam gelugur dan serbuk kunyit.
3. Masukkan labu bersama ikan yu kering. Panaskan atas api sederhana sehingga labu empuk.
4. Masukkan santan pekat, garam dan perasa.
5. Akhir sekali masukkan kangkung.
6. Masak lemak labu dengan ikan yu kering siap untuk dihidangkan.


Kerabu Pucuk Paku & Ikan Putih Masak Sos

Amie sedang berkira-kira untuk menyediakan makan tengahari.... tiba-tiba anak dara jiran sebelah panggil anak teruna kami.......dan melalui tingkap kaca, Amie lihat si dara hulurkan 2 buah mangkuk kaca. Alhamdulillah... rezeki Allah nak bagi.... mangkuk-mangkuk tu berisi kerabu pucuk paku dan juga ikan putih masak sos.... masih panas. Bila Amie jeling jam, baru pukul 11.00 pagi, ini bermakna jiran Amie masak tengahari lebih awal dan mungkin dia tahu Amie belum masak, jadi lauk-pauk masakannya itu bolehlah Amie makan sekeluarga. Hmmmm.... rasa sangat terharu betul. Sudah hampir 10 tahun kami hidup berjiran. Kadang-kadang, Amie baru pulang kerja, jiran Amie hulurkan lauk yang masih panas-panas dan ada kalanya sebelum keluar bekerja, dihulurkannya kuih untuk sarapan pagi. Syukur ke hadrat Ilahi, Amie dapat jiran yang sebegini dan bukannya pemberiannya yang Amie harapkan, kerana Amie tahu sebenarnya jiran Amie sangat ikhlas orangnya.  Jom kita lihat kerabu pucuk paku dan ikan putih masak sos itu...


Ini dia kerabu pucuk paku dan di bawah ini pula ikan putih masak sos.



Roti Sandwich & Salad Kentang

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Amie. Semoga sentiasa sudi bertandang untuk sama-sama berkongsi resepi dan cerita dari dapur Amie. Nampaknya cuaca sungguh nyaman pagi Ahad ini dan seluruh ahli keluarga bangun awal, maklum seperti biasa rutin gotong-royong perlu dilaksanakan. Pagi ini Amie sediakan sarapan pagi yang ringkas namun menu itulah yang digemari anak-anak. Amie sediakan roti sandwich dengan menu tambahan, salad kentang yang Amie buat ikut kepala sendiri tetapi bahan asas tetap sama.


Sebenarnya, kita boleh pelbagaikan cara penyediaan roti sandwich, dan ia tidak terhad kepada isi sardin sahaja tetapi boleh menggunakan isi daging atau ayam serta pelbagai bahan lain seperti daun salad, timun, mayonis dan sebagainya untuk menambah kelazatannya. Perkataan 'sandwich' diambil sempena nama seorang aristokrat Inggeris abad ke 18 iaitu Earl of Sandwich yang berasal dari Kota Sandwich di England.  Kalau Earl of Sandwich IV memakan roti yang mengepit daging dengan sebelah tangan sambil bermain kad, mari kita menikmati roti sandwich bersama-sama dengan rasa syukur sambil memikirkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan sebagai rezeki mengalas perut di pagi hari. Dan juga kerana izin-Nya, Amie dapat gunakan akal fikiran menyediakan sarapan pagi dengan memanfaatkan bahan yang ada.



Bahan-bahan untuk roti sandwich:
10 keping roti
1 tin kecil sardin (toskan sosnya)
4 sudu mayonis
1/2 labu bawang besar (hiris halus)
1/4 timun (hiris halus)
3 sudu marjerin

Cara:
1. Hancurkan ikan sardin.
2. Masukkan mayonis dan gaul rata.
3. Masukkan bawang besar dan timun. Gaul sekali lagi.
4. Sapukan marjerin di atas permukaan roti.
5. Ratakan permukaan roti dengan sardin dan tutup dengan sekeping roti di atasnya.
6. Potong menjadi 2 kepingan sandwich.

Bahan-bahan untuk salad kentang:
4 biji kentang (buang kulit dan rebus serta toskan airnya)
1 sudu minyak zaiton
4 sudu mayonis
1/2 sudu serbuk lada hitam
1/2 labu bawang besar (potong dadu)
2 biji tomato masak (potong dadu)
3 helai daun salad (hiris-hiris)
1/4 batang lobak merah (hiris halus)
1 sudu herba Rosemary
secubit garam

Cara:
1. Masukkan mayonis ke dalam mangkuk.
2. Masukkan bawang dan minyak zaiton. Gaul rata.
3. Masukkan tomato, lobak merah, daun salad, garam, lada hitam dan Rosemary dan gaul mesra.
4. Campurkan bahan tadi bersama kentang rebus dan taburkan herba Rosemary.
5. Hidangkan bersama roti sandwich.

Sabtu, 19 Februari 2011

Cekodok Pisang & Coffee Plus

Sesikat pisang berangan hampir masak ranum terletak di hujung meja makan sejak dua hari lalu.... Amie terfikir untuk buat cekodok. Hmm...2 tahun lepas Amie terlibat sebagai pengadil pertandingan memasak sempena aktiviti RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) di SMK Sepagaya anjuran bersama SM St. Dominic. Ini merupakan salah satu aktiviti di antara 7 aktiviti lain termasuk menganyam ketupat, sepit bola ping pong dan sebagainya. Penganjur menyediakan segala kelengkapan memasak cekodok pisang termasuk segala pisang, garam, gula, minyak dan sampai dapur sekali... he he pertandingan di adakan di bilik ERT. Ada 6 buah dapur disediakan di situ. Macam-macamlah rupa bentuk dan rasa cekodok pisang yang dihasilkan oleh para peserta yang terdiri daripada murid pelbagai kaum. Kenyanglah kami para pengadil makan cekodok pisang. Ha... sekadar terkenang cerita lalu sebab sekarang RIMUP sudah tidak diadakan lagi di sekolah-sekolah. Petang ini Amie buat cekodok pisang tapi yang mengadili anak-anak dan suami pula. Kalau habis, tandanya sedaplah tu, tapi mungkin juga sebab lapar....maklum petang-petang begini...hujan...


Bahan-bahan:
7 biji pisang berangan (lecek anggaran 1 cawan)
2 cawan tepung (Amie gunakan tepung pau untuk habiskan stok)
2/3 cawan gula perang (gula pasir pun boleh)
secubit garam
1 sudu teh tepung soda bikarbonat
100ml susu cair
minyak

Cara:
1. Gaulkan pisang lecek bersama gula perang dan garam hingga sebati.
2. Masukkan susu cair diikuti dengan tepung dan soda bikarbonat. Gaul hingga mesra.
3. Panaskan minyak yang banyak supaya boleh goreng tenggelam.
4. Oleh sebab adunan ini manis, perlu jaga gorengan supaya tidak hangus.
5. Hidangkan bersama minuman pilihan anda.

Terubuk Masin Kukus Cendawan Shiitake

Hmmm....rupa-rupanya hampir 2 bulan yang lalu, Amie beli lebih 7 jenis ikan kering di Pasar Tanjung di Tawau. Amie bungkus elok-elok dan simpan di bahagian bawah peti sejuk sehingga Amie terlupa untuk memasaknya, maklumlah ikan kering itu kan masin, taklah selalu kita makan. Pagi tadi bertemulah kembali dengan bungkusan -bungkusan kecil yang masih elok tidak terusik mengandungi keping-keping ikan kering keratang, talang, kurau, tenggiri, ikan kering yu, dan satu lagi....dibungkus istimewa sekali dan masih dalam keadaan lembap, itulah...ikan terubuk masin dari Sarawak, mesti disimpan dalam keadaan sejuk dan basah. Amie mesti masak, kalau tidak hari ini, bila lagi? Amie fikir bagus masak kukus, senang dan cepat. Dulu, memang selalu tengok bonda kukus ikan kering gelama atau kepala batu. Setelah nasi menjadi kering, bonda cuci ikan kering dan masukkan saja di atas nasi dan kemudian cepat-cepat bonda tutup periuk nasi. Ikan kering pun masak dengan wap nasi yang ditanak. Tapi Amie masak cara lain.... kukus juga cuma Amie tambah sedikit aksesori dan kukus dalam periuk pengukus, bukan atas nasi dalam rice cooker. Amie pun tidak dapat pastikan berapa lama terubuk kering ini akan habis dimakan, tapi Amie ambil keputusan kukus semuanya (seekor je pun.....), dan kalau tak habis makan boleh simpan dalam peti sejuk, esok lusa teringin makan, boleh panaskan kembali atas nasi seperti yang bonda buat dulu.


Inilah rupa terubuk masin kukus. Amie campur dengan cendawan shiitake sebab suka dengan aroma cendawan kering tu. Masyarakat Cina suka gunakan cendawan shiitake dalam masakan dan itulah sebabnya mereka sebut sebagai 'cendawan harum'. Semasa saya belajar di universiti dahulu, stiap kali cuti semester saya penuhi masa dengan bekerja sambilan dan kebetulan beberapa kali bekerja dengan majikan Cina Muslim. Dari situlah saya belajar mengenali cendawan ini. Mereka gunakan hanya beberapa kuntum cendawan ini dalam masakan. Biasanya mereka cuci dan rendam dahulu cendawan shiitake, dan air rendaman itu digunakan kembali sebagai sup atau dicampur dengan sedikit tepung jagung untuk menghasilkan sos. Melalui pembacaan Amie pula, cendawan shiitake dipercayai mujarab sebagai penawar masalah pernafasan dan melambatkan proses penuaan...awet muda kot...he he he.. Wokey, kita lihat bahan-bahan yang Amie gunakan dalam resepi terbaru Amie hari ini...

Bahan-bahan:
1 ekor terubuk masin
5 kuntum cendawan shiitake
3cm halia muda (hiris nipis)
1/2 labu bawang besar (mayang halus)
1/2 sudu pati asam jawa
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1 sudu minyak jagung

Cara:
1. Rendam ikan masin 5-7 minit (Amie tak mahu masin sangat).
2. Rendam cendawan shiitake hingga kembang. (potong 2)
3. Gunakan 2 sudu air rendaman cendawan shiitake dan bancuh dengan pati asam jawa.
4. Letakkan ikan terubuk masin di atas dulang pengukus.
5. Susun halia dan bawang serta cendawan di atasnya.
6. Tuangkan bancuhan pati asam jawa dan taburkan serbuk pati ikan bilis.
7. Akhir sekali renjiskan minyak jagung ke atas ikan
7. Kukus sehingga masak.

Sayap Ayam Sup Daun Selasih - Basil Lemon

Hari ini Sabtu, esok mestilah Ahad ye...  hari pembersihan (gotong-royong keluarga kemas rumah termasuk dapur) dan sudah semestinyalah peti sejuk. Pagi ini, berkira-kira untuk menghabiskan stok bekalan yang tinggal sepotong dua tu, kumpul semua dan masaklah sekali harung...he he he...jadilah sayap ayam sup daun selasih... Sebenarnya, kami pernah makan nasi ayam penyet di Tawau (cerita dalam resepi Nasi Ayam Penyet), dan hingga hari ini masih terasa segarnya aroma daun selasih dalam supnya. Suami saya pun mengakui keenakannya. Bukan susah dik, gantikan saja daun sup yang biasa kita gunakan tu dengan daun selasih. Dan lagi satu, biasanya Amie masak sup ala masakan Cina, tak bubuh lada putih ataupun sebarang rempah, tapi hari ini teringin pula nak buat resepi sup sendiri. Bahan yang dimasak berasaskan sup Cina tapi tambah resepi Melayu....


Bahan-bahan:
5 keping sayap ayam (potong 2)
5 biji kentang (kupas & potong 2)
1/2 batang lobak (potong 5 keping)
1 kuntum white fungus (rendam hingga kembang dan carik-carik)
10 kuntum cendawan shiitake kecil (cuci dan rendam dengan 1 liter air bersih)
7 biji bawang putih (pecahkan)
1/2 labu bawang besar (hiris halus)
3cm halia muda (hiris halus)
1 sudu lada putih (tumbuk)
3 kuntum bunga lawang
5cm kulit kayu manis
1 sudu besar serbuk pati ayam
bawang goreng
2 tangkai daun selasih

Cara:
1. Didihkan air rendaman cendawan shi-take bersama bawang putih, bawang besar dan halia serta bunga lawang dan kulit kayu manis.
2. Masukkan sayap ayam, lobak, kentang dan cendawan shi-take.
3. Masukkan lada putih.
4. Apabila ayam & kentang telah empuk, masukkan white fungus dan serbuk pati ayam. Biarkan seketika.
6. Masukkan daun selasih dan tutup api.
5. Sayap ayam sup telah masak dan masukkan ke dalam mangkuk. Taburkan bawang goreng dan lebihan daun selasih di atasnya.
6. Nikmatinya semasa masih panas.

Khamis, 17 Februari 2011

Steamed Milkfish (Baulu Kukus)

Balik kerja petang tadi, buka peti sejuk...nak tengok apa ikan yang sesuai untuk dijadikan hidangan malam ini. Tiba-tiba terpandang seekor ikan (mungkin suami beli), tapi suami belum balik kerja. Semalam tidak ada pula ikan nan seekor tu dalam peti sejuk. Tanya anak...(hari ini anak bongsu cuti sekolah sebab sambutan Cap Goh Meh), rupanya jiran sebelah bagi. Ooo....Alhamdulillah, rezeki Allah. Jiran inilah juga yang pernah hantar banyak kali ikan baulu yang sudah dipanggang, dan akhirnya menjadikan saya 'hantu baulu'. Memandangkan ikan baulu pemberian jiran Amie masih lagi 'fresh' terfikir pula untuk masak kukus. Kena masak cepat sedikit sebab perlu makan lebih awal kerana selepas Maghrib anak-anak dan suami pergi kampung untuk majlis bacaan Yasin. Akhirnya siap jugalah baulu kukus saya... tapi resepi ini ciptaan sendiri, kalau kebetulan sama dengan resepi orang lain, itu kira kebetulanlah.


Bahan-bahan:
500 gram ikan baulu
1 sudu sos ikan
5 keping snow jelly fu (rendam 20 minit)
100 gram brokoli
1/4 batang lobak (hiris halus)
3 cm halia muda (hiris halus)
4 biji bawang putih (hiris halus)
1/2 labu bawang besar (hiris halus)

Bahan untuk sos:
4 sudu sos plum with lime honey
2 sudu sos tiram masam manis
2 sudu sos cili thai
2 sudu sos soya
1 sudu tepung jagung
1 sudu serbuk pati ikan bilis
1 sudu serbuk lada hitam
100 ml air

Cara:
1. Susun snow jelly fu di atas dulang pengukus.
2.Letakkan ikan di atasnya.
3. Susun lobak dan halia, bawang putih dan bawang merah di atas ikan.
4. Renjiskan sos ikan di atasnya.
5. Kukus selama 20 minit dan pada minit ke 15, masukkan brokoli.
6. Sementara itu, campurkan kesemua bahan sos dan didihkan hingga pekat di dalam periuk.
7. Keluarkan ikan yang dikukus dan letak di atas pinggan.
8. Tuangkan sos di atasnya.
7. Jika ingin pedas, tabur hirisan cili padi.

Selamat mencuba.... dan kalau telinga berasap kerana tergigit cili, minum air panas suam.

Rabu, 16 Februari 2011

Ikan Baguk (Mayung) Masak Semur

Selamat petang semua....dah makan belum? Kalau belum, jangan segan silu buka almari makanan atau 'gerobok' di dapur Amie...dan kalau nak yang masih panas berasap, buka saja tudung periuk tu...pilih saja mana satu masakan yang berkenan di hati. Kali ini Amie masak semur...mungkin ada yang tak biasa dengan perkataan semur, tapi kalau sebut kicap, tentu semua orang terbayang botol kicap kan.... ha, memanglah masak semur gunakan kicap. Ini masakan yang biasa Amie nikmati masa kecil-kecil dulu. Bonda suka masak semur kalau ayahanda bawa pulang ikan baguk. Ha... mungkin juga istilah baguk pun seperti asing kedengaran, tapi ada juga sesetangah orang sebut ikan mayung atau ikan duri.  Menurut bonda, dahulu sebelum penggunaan ayam daging dalam kenduri kendara, orang kampung biasanya memilih ikan bagus sebagai salah satu hidangan istimewa. Ikan baguk biasanya digoreng dengan kunyit, dimasak kari atau dibuat sup. Apa yang sangat menghairankan saya, di Lahad Datu, jarang sangat orang makan ikan baguk. Kalau sesiapa pergi ke pasar ikan, baguk jarang dibeli orang, termasuk pari dan juga sembilang apalagi talapia dan harganya pun jauh sangat bezanya (murah le....) dengan harga kalau Amie beli di Pasar Sungai Buluh, Jeram. Agaknya banyak pilihan ikan laut yang lain kot....saya tak peduli, saya beli saja sebab saya tahu rasa dan bagaimana untuk memasaknya. Bila dah siap masak semur ikan baguk, rasanya tidaklah dapat menandingi masakan bonda saya walaupun saya gunakan lebih lada hitam. Apa pun sekurang-kurangnya saya cuba mengekalkan resepi masak semur ikan baguk, anak dan suami pun turut sama menikmatinya tanpa banyak soal bicara.


Bahan-bahan:
5 keping ikan baguk
7 sudu kicap manis cap kipas udang
1 sudu kecil pati asam jawa (bancuh dengan 100ml air)
5 biji bawang putih (tumbuk)
5 biji bawang merah (tumbuk)
3 cm halia (tumbuk)
1 biji lada merah (belah 2)
1 biji lada hijau (belah 2)
1 sudu lada hitam (tumbuk)
1 sudu serbuk kunyit
garam
minyak

Cara:
1. Gaul ikan baguk dengan garam dan kunyit dan goreng hingga masak.
2. Panaskan sedikit minyak dan goreng semua bahan tumbuk hingga naik bau.
3. Masukkan bancuhan air asam jawa dan biarkan mendidih sebentar.
4. Masukkan kicap.
5. Masukkan ikan dan serbuk lada hitam.
6. Masukkan lada merah dan lada hijau.
7. Biasanya kicap manis cap kipas udang sudah cukup lengkap dari segi rasanya.
8. Baguk masak semur siap untuk dihidangkan.

Selasa, 15 Februari 2011

Salad Timur & Barat (Laut & Darat)

Dah puas makan salad dari barat, kerabu dari timur dan pelbagai rasa telah dicuba...kali ini ambil jalan tengah pula. Buat salad antara timur dan barat. Apa bendanya yang Amie buat tu sampai jauh-jauh benar pergi timur ke barat, barat ke timur, tak cukup bahan dari darat, bahan dari laut pun turut sama dicampur.  Tengok sajalah rupa salad timur & barat di bawah ni ha....


Bahan-bahan:
1 biji mangga masak
1 biji epal hijau
1 biji limau sunkist
200 gram nanas masak
5 helai daun salad
1 biji lemon
7 helai daun selasih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu minyak zaiton
secubit garam
1 sudu madu
10 ekor udang kertas (buang kulit- belah belakang -celur)

Cara:
1. Potong ikut kegemaran masing-masing - epal, mangga, limau sunkist.nanas dan daun salad.
2. Masukkan dalam mangkuk bersama udang.
3. Tambah minyak zaiton, madu, garam, dan taburkan serbuk lada hitam serta masukkan daun selasih.
4. Perahkan jus lemon.
5. Boleh disimpan dalam peti sejuk terlebih dahulu tetapi kalau ingin makan begitu sahaja pun boleh.



Ba Bao Chicken Soup

Masyarakat berketurunan Cina yang menggemari sup daripada 8 jenis herba ini mempercayai bahawa sup ini banyak membawa kesan kesihatan yang baik untuk bahagian dalaman tubuh badan manusia.  Caranya mudah sahaja... anda hanya perlu membeli herba 8 jenis yang sudah dikhaskan untuk tujuan di atas. Cuma, kita perlu merenih sup ini sehingga 3 jam lamanya. Sekiranya kita gunakan ayam kampung...adalah lebih baik. Kalau tak ada, ayam daging pun boleh.


Bahan-bahan
500 gram ayam (mana-mana bahagian)
ba bao (8 jenis herba Cina)
2.5 liter air
garam

Method:
1. Put herbs and chicken in 2.5 litres of water.
2. Masak dengan api kuat dan kemudian perlahan api setelah mendidih.
3. Renih about three hour.
4. Add salt.
5. Serve.