Isnin, 31 Januari 2011

Jenahak Bakar Sambal Petai

Petang kelmarin kami sempat keluar ke bandar walaupun hampir senja dan hujan pun masih turun renyai-renyai. Niat di hati nak cari sayur mayur, terutama sayuran kampung yang dijual di tepi pasar besar (macam2 ada di situ), tapi sebab hujan, tak adalah yang menjual di situ. Terpandanglah pula di sebuah gerai tepi laut, ada benda bergantung-gantung... rupanya petai. Ha... apalagi, bukan senang nak dapat petai di sini sebab penduduk tempatan tak berapa gemar makan petai. Beli sajalah 2 kilo. Nampak gayanya hari-hari mendatang penuhlah blog masakan saya dengan petai. Memang puas hati dengan buah petai yang saya beli. Jenuhlah saya kupas kulitnya, melihat isinya yang cantik tak diusik ulat dan bulat-bulat montel. Orang kata kalau petai yang kecut dan tidak bulat, khasiatnya tidak tinggi. Dan orang kata lagi... antara khasiat biji petai boleh merawat sakit jantung, kencing manis,mencuci buah pinggang, dan mengeluarkan cacing terutama kanak-kanak yang mengalami masalah kecacingan. Walau apa pun khasiat petai, bagi saya ia sangat baik untuk cuci perut kita... he he he... banyaknya khasiat yang tersembunyi di sebalik bau dan rasa yang adakalanya tidak digemari oleh sesetengah orang! Cerita tentang ikan bakar dengan sambal petai ni, saya pilih ikan jenahak untuk dijadikan sajian malam sekeluarga....mari kita lihat satu persatu proses membakar ikan dengan sambal petai mengikut kepala saya....



Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak seberat 700gram
2 papan petai (buang kulit)
daun pisang (pembungkus ikan bakar)
2 batang lidi (penyucuk daun)

Bahan kisar:
7 biji lada merah (cili kering lebih baik)
7 biji cili padi
5 biji bawang putih
1 labu bawang besar
sedikit belacan
1 sudu kecil pati asam jawa
garam & perasa
minyak

Cara:
1. Bersihkan ikan dan kelar-kelar. Ketepikan.
2. Tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Layurkan daun pisang di atas api.
4. Letak ikan di atas daun pisang dan bubuh bahan yang ditumis serta petai.
5. Bungkus ikan dengan daun pisang dan bakar atau panggang selama 30 minit atau sehingga masak.



dah tepek sambal atas ikan, susunlah biji-biji petai pulak (gambar susun petai atas ikan dah ter'delete').... yang di bawah ni ikan yang dah dipanggang tapi saya belum terbalikkan.... kira okeylah kan... nampaklah gambaran ikan bakar @ ikan panggang sambal petai saya....



ikan di atas ni baru setengah masak... matanya pun belum terbeliak (tersembul keluar - tanda dah masak), saya saja keluarkan nak tengok dan kemudian bungkus semula, panggang untuk bagi masak bahagian atasnya pula... selamat mencuba... wangi tau bau petai panggang ni...

Pucuk Ubi Masak Lemak Dengan Tulang Ikan Talang

Semasa blog walking pagi tadi, terserempak dengan resepi di rozzan blogspot.com  Apa yang menarik saya temui ialah resepi masak lemak pucuk ubi dicampur dengan kacang hijau. Kebetulan hari ini saya sedang berkira-kira untuk masak lemak pucuk ubi. Minta halal dan minta izin pada tuan punya resepi, saya ambil satu saja...iaitu kacang hijau. Ha... hasilnya seperti di bawah ni... saya campur masak lemak pucuk ubi dengan tulang ikan talang kering.


Bahan-bahan:
secekak pucuk ubi
2 cawan santan pekat
4 keping tulang ikan talang
1 genggam kacang hijau
1 batang serau (dititik)
15 biji cili padi (tumbuk)
4 biji bawang putih (tumbuk)
4 biji bawang merah (tumbuk)
sedikit belacan (tumbuk)
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam & perasa

Cara:
1. Celur pucuk ubi hingga empuk.
2. Rebus kacang hijau hingga empuk. Toskan.
3. Masukkan santan dalam periuk dan gaul bersama bahan-bahan tumbuk, serai dan kunyit.
4. Panaskan periuk di atas api dan masukkan sekali pucuk ubi, kacang hijau dan garam.
5. Kacau dan jangan sampai pecah santan.


Jus Avocado

Kelmarin petang tiba-tiba terpandang 3 biji avocado di dalam bungkusan plastik.... di mana saya dapat buah ni ya....beli di pasar Seri Perdana...bukan, di pasar Lahad Datu...pun bukan. Hmmm...saya imbas kembali beberapa hari yang lalu, ohh ... ya baru saya teringat, 5 malam yang lepas saya bersama suami keluar ke bandar untuk mengambil tempahan baju saya yang sudah siap di jahit. Dan kerana hujan lebat, kami terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Oleh kerana lewat sampai, tak sempatlah masak, jadi kami singgah di sebuah kedai dekat coldstorage berhampiran kawasan perumahan kami untuk membeli sesuatu. Di situlah saya membeli avocado....dan patutlah kulitnya pun dah hampir hitam...dah masak ranum. Nasib baik terjumpa...maklum sama-sama bertimbun dengan banyak barang dapur yang baru sempat dikemas kelmarin. Saya buat jus avocado tapi dalam gambar di bawah ni ... tak dicampur ais.

Bahan-bahan:
2 biji avocado seberat 400 gram
200ml susu cair
4 sudu gula pasir
500ml air masak

Cara:
1. Asingkan isi avocado dari kulitnya.
2. Masukkan dalam pengisar berserta gula pasir, susu cair dan air masak.
3. Kisar selama 1-1/2 minit.
4. Tidak perlu ditapis kerana avocado telah hancur.
5. Campurkan sedikit ais untuk rasa sejuk.

Gambar di atas belum dicampur ais. Sebenarnya buah avocado mengandungi banyak khasiat untuk kesihatan dan dikatakan mempunyai antioksidan yang berfungsi untuk menahan penyerapan lemak yang kurang sihat melalui perut kita. Avocado juga mengandungi zat potassium untuk melegakan tekanan darah tinggi. Ia juga dikatakan baik untuk mata kerana terdapat kandungan beta carotene di dalamnya. Dulu, seorang teman pernah memberikan saya isi avocado dicampur dengan aiskrim....mmmmm memang sedap... walaupun sesetengah orang tidak suka rasa avocado... katanya pahit, tapi belum cuba belum tahu...jangan cakap dulu...he he

Sosej & Kacang Panggang

Selamat pagi semua.... masih sejuk, dan tak terkira berapa hari sudah hujan turun. Sempat jenguk belakang rumah... pokok anggur dah mula sakit, daun-daun mula kekuningan sebab terlalu banyak menyerap air. Banyak tangkai buah yang baru berputik lunyai tanggal tak mampu menampung jumlah air yang terlalu banyak.


hu hu... tinggal tiga biji je... adakah semua ranting anggurku mengalami nasib yang sama?


 
Tiba-tiba hujan turun lagi... tak sempat nak ambil gambar anggur yang terselit di bahagian dalam...memang anggur sensitif dengan air yang banyak terutama semasa berbuah. Selalunya anggur kami berbuah sempurna tapi mungkin kebetulan kali ini musim hujan... tak apalah.... mari kita masuk dapur. Apa sarapan pagi yang sempat saya sediakan untuk anak-anak...hmmm tak lain tak bukan, hanya roti panggang, sosej, telur goreng dan kacang panggang serta teh halia.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)
8 keping roti panggang
8 batang sosej (potong 2)
4 biji telur
12 sudu kacang panggang

Cara:
1. Rebus sosej dan toskan.
2. Goreng telur mata kerbau.
3. Panggang roti dan jika suka sapukan mentega bersama jam pilihan.
4. Susun atas pinggan dan letakkan 3 sudu kacang panggang.
5. Hidangkan bersama minuman pilihan

Di bawah ini.... hidangan sarapan pagi  kami 4 beranak (saya & anak2 - suami dah keluar kerja....sarapan di luar la....) telur goreng, sosej rebus serta roti sapu mentega dengan jam blackcurrant bersama teh halia. Anak-anak makan sosej dengan sos cili thai.



Ahad, 30 Januari 2011

Mee Goreng Mamak Special

 Macam-macam rupa mee mamak...rasanya pun macam-macam juga. Dah banyak makan macam-macam rupa dan rasa mee mamak,baiklah saya cuba sendiri. Masaklah apa yang ada, potong-potong, campak dalam kuali. Gaul..... tuang itu tuang ini,  pecahkan telur, kacau lagi. Siap.


Bahan-bahan:
500 gram mee kuning
200 gram sotong (potong ikut suka)
5 batang sosej udang (potong ikut suka)
5 keping tauhu kering (potong ikut suka)
3 batang sayur sawi
2 biji telur
2 biji lada merah (hiris-hiris)
4 biji bawang putih (cincang)
1/2labu bawang besar (cincang)
2 sudu sos tomato
2 sudu sos cili
3 sudu kicap manis ABC Heinz
garam
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan goreng bawang puih serta bawang merah hingga naik bau.
2. Masukkan sotong dan sosej udang serta tauhu kering. Kacau sekali sekala.
3. Masukkan batang sawi dan mee kuning.
4. Masukkan sos tomato, sos cili dan kicap. Gaul rata.
5. Masukkan daun sawi dan garam.
6. Tolak mee ke tepi kuali dan biarkan kosong di tengah-tengah. Pecahkan 2 biji telur. Biar seketika.
7. Gaul telur bersama bahan lain.
8. Mee goreng mamak special siap untuk dihidangkan.

Ayam Panggang Oregano Dengan Sos Lada Hitam

Salah satu khasiat lada hitam ialah dapat memanaskan badan. Biasanya ibu-ibu yang sedang dalam berpantang selepas bersalin, akan dihidangkan dengan sup atau makanan panggang yang mengandungi lada hitam. Menurut sumber sejarah yang pernah saya baca mengenai pemaklukan wilayah timur oleh penjajah barat ialah hasil lada hitam amat diperlukan untuk dijadikan salah satu bahan dalam masakan  dan dapat memanaskan badan di musim sejuk. Marilah kita bersyukur dengan segala khazanah alam kurniaan Allah yang tak terhitung banyaknya. Dijadikannya kita pelbagai bangsa, rupa dan warna kulit supaya dapat kenal mengenal sesama kita. Diberinya kita akal fikiran untuk digunakan ke jalan kebaikan. Banyak rahsia di segenap penjuru alam yang belum atau tidak kita ketahui. Kalau orang barat berminat dengan rempah ratus dari tanah Asia, apa salahnya kita mengenali serba sedikit tentang herba mereka pula. Sebut tentang 'oregano' tentu tak ada apa-apa kisah bagi yang biasa, tapi bagi yang belum mengenalinya, sesekali cubalah gunakannya dalam masakan. Bukan masakan atau orang Italy dan Mexico sahaja yang boleh gunakan herba 'oregano' dalam hidangan mereka. Tidak salah kalau kita mencuba.... dan di musim sejuk (hujan) eloklah panaskan badan dengan mencampurkan sedikit lada hitam dalam masakan..


Bahan-bahan:
3 keping bahagian paha ayam
1 biji lemon (ambil jusnya)

Bahan untuk memerap:
2 sudu makan sos BBQ
2 sudu makan Lea & Perrins Worcestershire Sauce
3 ulas bawang putih (cincang)
2 sudu makan lada hitam(tumbuk)
2 sudu makan serbuk oregano
2 sudu makan minyak zaiton

Bahan untuk sos lada hitam:
3 ulas bawang putih (cincang)
1 labu bawang besar (potong dadu)
2 sudu lada hitam (tumbuk)
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap ABC Heinz
1 sudu tepung jagung
garam
minyak


Cara:
1. Perap ayam dengan semua bahan pemerap dan perahkan jus lemon ke atasnya. (Jika tidak suka masam, gunakan sebahagian sahaja)
2. Perap ayam selama 2 jam.
3. Panggang ayam - saya gunakan kuali serba guna untuk memanggang.
4. Lebihan minyak ayam panggang saya gunakan untuk menumis bawang putih dan bawang besar.
5. Campurkan sos tomato, lada hitam, tepung jagung, garam dan kicap dan gaul rata dengan menggunakan 75ml air.
6. Masukkan bahan campuran sos tadi ke dalam kuali dan kacau rata bersama bawang putih dan bawang besar yang digoreng.
7. Jika sudah cukup pekat (ikut suka), bolehlah tutup api.
8. Tuangkan sos lada hitam ke atas ayam panggang oregano tadi.

Komen suami: ayam panggang oregano terasa lebih lazat kerana bahan perap meresap masuk dan dagingnya terasa enak... terutama rasa lemonnnnn....mmmmm. Ayam panggang ni patutnya makan dengan kentang panggang dan salad tapi kakak saya (dia memang banyak mengembara di negara barat) kata bolehlah sesuaikan dengan selera kita, saya jadikannya sebagai lauk nasi tomato...


Acar Rampai

Acar rampai saya mudah saja. Sebab tak mahu pedas, saya tidak bubuh lada kisar. Sebaik-baiknya rendam dulu timun di dalam air kapur makan supaya rangup, tapi saya tak ada kapur. Inilah hasil acar rampai saya untuk hari ini, dan dimakan bersama nasi tomato...

Bahan-bahan:
1 biji timun (potong panjang)
1 batang lobak (potong panjang)
2 biji lada merah (belah 2)
2 biji lada hijau (belah 2)
15 biji bawang putih
3 cm halia muda (potong memanjang)
1 labu bawang besar (potong ikut suka)
1/2 cawan cuka makan
1/2 cawan gula
1 sudu garam
1 sudu kunyit
1 sudu biji sawi (sangan terlebih dahulu)
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia hingga naik bau.
2. Masukkan lobak dan serbuk kunyit. Kacau rata.
3. Masukkan timun dan disusuli dengan cuka.
4. Masukkan gula, garam dan biji sawi. Gaul seketika.
5. Acar rampai siap untuk dihidangkan.
1.Panaskan minyak

Nasi Tomato

Assalamualaikum semua....dan salam Ahad yang masih basah...hujan sepanjang waktu. Nampaknya tak bolehlah buat aktiviti luar rumah pada hari ini. Anak-anak pun sibuk bantu ayahnya mengemas kabinet dapur... maklum, segala lipas dan bertelur menetas, kenalah sekali-sekala buat 'operasi lipas' he he he...  Oleh kerana musim sejuk (winter????).. yang dinginnya sampai menyucuk tulang, dan bersin pun mula kedengaran sekali-sekala, agaknya dah masuk angin sejuklah tu... saya fikir bagus juga saya masak yang panas-panas untuk keluarga. Masak nasi tomato tapi lauknya lain sikit... acar rampai tu kira biasalah, tapi saya padankan nasi tomato dengan ayam panggang oregano bersos lada hitam.



Biasanya masak nasi tomato orang gunakan beras basmathi, tapi tak ada beras basmathi, guna beras wangi atau beras siam pun boleh. Tak ada semua jenis beras tu, guna beras biasapun tak ada salahnya. Lauknya pula macam-macam boleh disediakan, taklah terhad kepada ayam masak merah, ayam masak opor pun sedap... cubalah ayam panggang oregano...pasti anda ingin memasaknya lagi...

Bahan-bahan:
4 cawan beras (ikut sukatan rice cooker)
1 tin susu cair
1 tin kecil tomato puri
1 kiub ayam
3cm halia muda (dihiris panjang)
3 biji bawang putih (dihiris nipis)
3cm kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 sudu marjerin

Cara:
1. Panaskan marjerin atau mentega dalam kuali. Tumis halia, bawang putih, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan tomato puri dan kacau rata.
3. Masukkan susu cair dan kiub ayam.
4. Masukkan beras dan kacau sekali sekala sehingga kembang dan kering.
5. Masukkan nasi yang telah kering ke dalam periuk pengukus dan kukus 20-25 minit.
6. Nasi tomato siap untuk dihidangkan.

Saya hidangkan bersama ayam panggang oregano dan acar rampai.



Brownies Strawberry

Saya memang 'kayu' bab kuih muih terutama kek. Memandangkan anak-anak suka makan kek coklat, saya cuba 'belajar' sikit-sikit. Memang banyak cara untuk membuat kek, tapi saya masih kaku dan untuk selamat saya pilih jalan beli adunan brownies kemudian saya hiaslah ikut suka hati saya. harap-harap selepas ini saya pandai buat kek sendiri.


Bahan-bahan:
510 gram low fat brownies mix
3 biji telur gred A
75 ml air
150ml mentega lembut

Bahan frosting:
gula i-sing (ikut citarasa)
4 sudu serbuk koko
1 sudu esen vanilla
sedikit air panas menggelegak

Cara:
1. Panaskan ketuhar pada suku 180 darjah Celcius.
2. Masukkan adunan brownies, 3 biji telur dan 75ml air ke dalam mesin pemukul. Gunakan kelajuan sederhana selama 2 minit.
3. Masukkan mentega lembut dalam mesin pemukul dan gunakan kelajuan rendah selama 1 minit.
4. Sapukan loyang (bentuk ikut suka - sebaiknya ukuran 9cm X 12cm panjang) dengan sedikit mentega.
5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar antara 40 -45 minit.
6. Kek masak sekiranya lekang dari tepi loyang dan sekiranya kurang yakin, cucuk kek dengan kayu pencungkil dan sekiranya kayu keluar dengan bersih bermakna kek sudah masak.
7. Sekiranya suka hias kek, keluarkan kek dari ketuhar dan biarkan sejuk.
8. Saya sediakan frosting untuk kek - campurkan bahan untuk frosting dan gaul sebati kemudian sapukan pada kek yang sudah sejuk.
9. Untuk nampak lebih meriah, saya letakkan strawberry walaupun tak tersusun... dan untuk suka2 saja, saya taburkan kelapa kering seperti di bawah ini....
okeylah... walaupun nampak buruk kek coklat saya, tapi memadailah untuk kali ini ye..yang penting sedappppp!!!!




Roti Telur Dengan Sup Jagung Udang


Hari Ahad datang lagi... wah..seronoknya bila semua dapat berkumpul terutama semasa menikmati sarapan pagi. Pagi ini saya sediakan keluarga roti telur dengan sup jagung campur udang. Sebenarnya saya mahu sediakan jagung kukus campur mayonis dan kismis tapi sekali lagi tangan dan mata saya 'tak betul.' Periuk pengukus sudah di atas dapur. Air kukusan sudah mendidih. Bila buka tin jagung, alamak... jagung krim pulak. Entah kali ke berapa saya buat silap begini. Saya ubah menu daripada jagung kukus kepada sup jagung. Rasa sangat gembira sebab anak-anak memang menyukai sup jagung...

Bahan-bahan untuk roti telur:
6 biji telur (pukul hingga kembang)
10 keping roti (potong 2)
 mentega

Bahan-bahan untuk sup jagung:
1 tin jagung krim
12 biji udang 9 (buang kulit)
1 biji telur
1/2 sudu serbuk pati ayam
1 sudu tepung jagung (bancuh dengan 75ml air)
400 ml air
daun bawang
hirisan lada merah

Cara:
1. Panaskan mentega atau marjerin dalam kuali.
2. Celup roti ke dalam telur dan panggang dalam kuali.Gunakan api sederhana supaya roti tidak hangus.
3. Didihkan air dalam periuk. Masukkan jagung krim dan udang.
4. Bila udang telah masak, masukkan bancuhan air tepung jagung serta serbuk pati ayam.
5. Pukul telr hingga kembang dan tuangkan perlahan-lahan ke dalam sup sambil dikacau.
6. Sup jagung udang sedia untuk dihidangkan. Hiaslah ikut suka... saya letak daun bawang dan lada merah supaya nampak harmoni warna sup jagung kuning, daun bawang hijau dan hirisan lada merah.

Selamat mencuba...dan emmm enak sekali dijadikan menu sarapan pagi bersama keluarga. Anak-anak saya cecah roti telur dengan sos chili thai dan nampaknya mereka kenyang bersarapan (seminggu sekali bersama keluarga).. dan minum teh susu.


Sabtu, 29 Januari 2011

Layar Masak Campuran Perisa Lea & Perrins Worcestershire Sauce

Hujan terus turun mencurah-curah... di kampung, di bandar, segenap penjuru daerah Lahad Datu. Biarpun hujan siang dan malam, perut pun perlu di isi.... anak-anak dah mula bising, asyik masak ikan berkuah2...dah bosan kata mereka. Bagus juga anak-anak beri isyarat begitu, jadi kenalah kreatif sedikit untuk masak. Kebetulan cuti sekolah (cuti tahun baru cina) seminggu penuh... ini yang syok ni... waktu beginilah boleh mengeratkan hubungan dengan anak-anak melalui masakan. Maklum, kalau hari bekerja, sebelum matahari terbit, kita dah keluar, bila matahari dah terbenam barulah dapat berkumpul semula... sayangnya masing-masing dah letih, layan matalah saja gamaknya. Sebenarnya kami tidak makan waktu malam, selalunya makan nasi sebelum jam 7.00 malam tetapi sebab petang tadi tersekat di jalan-jalan tertentu kerana membeli-belah, sampai rumah agak lewat. Jadi, makan pun lewat jugalah.... nasib baik ikan yang dikeluarkan tengahari tadi (tak jadi masak) dah hilang ais. Sementara menunggu nasi masak, saya pun buatlah mana yang patut untuk hidangan malam sekeluarga....


Bahan-bahan:
8 potong ikan layar
1 batang lobak merah (potong ikut suka)
15 biji kacang manis
1/2 biji capsicum kuning (potong kiub)
2.5 cm halia muda (hiris nipis)
3 biji bawang putih (pecahkan)
minyak

Bahan untuk memerap:
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
1 sudu minyak bijan
1 sudu tepung jagung

Bahan untuk sos: (campurkan kesemuanya dalam bekas berisi 1/2 cawan air)
1 sudu Lea & Perrins Worcestershire Sauce
1 sudu sos soya
1 sudu kecil gula
1/2 sudu teh garam
1 sudu tepung jagung
1/2 cawan air

Cara:
1. Gaul ikan layar dengan bahan perap dan tutup selama 20 minit.
2. Goreng ikan layar selama 1-2 minit sahaja. (cepat masak sebab sudah diperap)
3. Celur sebentar lobak merah, kacang manis dan capsicum kuning. Toskan.
4. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis halia bersama bawang putih hingga wangi.
5. Masukkan lobak merah, kacang manis dan capsicum kuning.
6. Masukkan ikan dan bahan sos. Gaul rata.
7. Sedia untuk dihidangkan.


Udang Masak Plum & Lime Honey

Kalau masak bab sos yang ada madu, lemon, plum dan sos thai memang sampai menjilat jari. Bukannya susah sangat nak masak cara begini sebab banyak bahan siap telah tersedia. Pilih saja di kedai, masaklah ikut suka...macam masakan saya di bawah ni he he... cuma saya tak goreng udang terlebih dahulu sebaliknya saya terus masak (sekali masak je..) sama juga rasanya...

Bahan-bahan:
400 gram udang kertas
2 sudu plum & lime honey
10 biji cili padi (hiris)
1 biji lada merah (hiris)
1 biji lada hijau (hiris)
1/2 labu bawang besar (hiris)
3 keping lemon (potong 2)
secubit garam
2 sudu mentega

Cara:
1. Gaul udang dengan garam.
2. Panaskan mentega dan masukkan semua bahan hirisan. Masak hingga wangi.
3. Masukkan udang dan masak antara 4-5 minit sahaja.
4. Masukkan plum & lime honey. Gaul rata.
5. Masukkan kepingan lemon.
6. Udang masak plum & lime honey siap untuk dihidangkan.

Senang saja untuk memasaknya... tetapi bau dan rasanya ehmmmm... aroma yang membangkitkan selera hingga menjilat jari.

Sotong Masak Rendang


Sebut tentang masak rendang, tentu terbayang rendang ayam, itik, rendang daging, rendang kerang atau rendang ale-ale serta beberapa jenis haiwan laut yang lain terutama yang bercengkerang. Kali ini saya cuba perkenalkan rendang sotong.... bagi yang dah biasa masak dan makan resepi begini, tentu tak jadi masalah untuk memasaknya. Adik-adik dan anak-anak remaja yang baru mengenali dunia masakan, sebenarnya kita mempunyai pelbagai jenis resepi... tak terkira banyaknya...termasuklah rendang sotong seperti dalam gambar di atas tu..... wokey...kita lihat apa bahan yang diperlukan untuk masak rendang sotong.

Bahan-bahan:
400 gram sotong (potong ikut suka)
2 sudu besar kerisik
4 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit (dimayang halus)
1 cawan santan pekat
1 keping asam gelugor

Bahan kisar:
5 biji cili kering
7 biji cili padi
1 batang serai
2 biji buah keras
1.5 cm halia
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Masukkan santan ke dalam kuali beserta bahan kisar. Masak  dan kacau hingga pekat.
2. Masukkan sotong dan asam gelugor.(Jangan masak terlalu lama (antara 3-4 minit sahaja) sebab sotong akan jadi liat)
3. masukkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.
4.Masukkan garam dan perasa.
5. Sotong masak rendang sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 28 Januari 2011

Udang Masak Hong Kong Mixed Ginger

Ada beberapa jenis sayuran yang terdapat dalam botol jeruk hong kong mixed ginger. Antaranya termasuklah lobak merah, pickles, cucumbers, leeks, red peppers, betik dan white melons. Jeruknya agak manis dan saya rasa sesuai sekali untuk dimasak bersama udang. Saya hanya menambah sedikit sos soya dan tak perlu masukkan sebarang perisa tambahan sebab jeruk sudah rasa manis dan sos soya rasa masin.

Bahan-bahan:
400 gram udang kertas
1/2 botol hong kong mixed ginger
2 sudu sos soya
3 biji bawang putih (dicincang)
1/2 labu bawang besar (dicincang)
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan udang dan masak selama 4-5 minit.
3. Masukkan hong kong mixed ginger dan kacau seketika.
4. Masukkan sos soya.
5. Udang masak hong kong mixed ginger siap untuk dihidangkan.

Sayur Campur Goreng Udang Geragau

Kerja menumis ni kerja paling mudah... bahan asas tentulah bawang putih dan bawang merah. kalau nak tambah perencah lain, ikut suka masing-masinglah. Petang ini saya masak sayur campur kacang buncis dengan lobak tapi saya tambah dua lagi sayur yang perlu direndam terlebih dahulu supaya kembang iaitu white fungus dan jelly snow-fu.

Bahan-bahan:
12 biji kacang buncis (potong ikut suka)
1/2 biji lobak merah (potong ikut suka)
1 kuntum white fungus (rendam15 minit dan carik-carik)
5 kuntum jelly snow-fu (rendam 15 minit dan potong 2)
1 genggam udang geragau (tumbuk halus)
3 biji bawang putih (tumbuk)
3 biji bawang merah (tumbuk)
1 sudu serbuk pati belacan
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan masak selama 3 minit.
3. Masukkan white fungus dan jelly snow-fu dan masak lagi selama 3 minit.
4. Akhir sekali masukkan kacang buncis dan serbuk pati belacan.
5. Sayur campur goreng udang geragau siap untuk dihidangkan.

Ikan Kaci Masak Kari

Lama tak masak kari ikan. Musim hujan begini, agaknya kalau makan kari boleh membantu panaskan badan kot... maklum, dah mula rasa nak selesema. Okeylah... terus kepada cerita tentang kari, saya masak kari ikan kaci... Nampak dalam gambar macam gelap je kuah kari... terlebih cili keringlah tu...

 Bahan-bahan:
1 ekor ikan kaci seberat 500 gram (bersihkan dan potong ikut suka)
3 sudu serbuk kari ikan
1 cawan santan cair
3 cm halia (dihiris nipis)
3 biji lada hijau (belah 2)
2 biji tomato (belah 4)
1 sudu teh pati asam jawa (bancuh dengan air)
daun kari
minyak
garam dan perasa

Bahan kisar:
10 biji cili kering
 5 biji bawang putih
1 labu bawang besar

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan serbuk kari dan daun kari.
3. Masukkan ikan dan air asam jawa. Biarkan seketika sehingga ikan layu.
4. Masukkan santan diikuti dengan garam dan perasa. Masak selama 5 minit.
5. Masukkan tomato dan lada hijau.
6. Kari ikan kaci siap untukdihidangkan.

Ketam Goreng Sos Lemon

 Setelah siap masak ketam sos lemon, tiba-tiba saya teringat seorang kawan lama (waktu bujang dulu) suka mengajak saya datang ke rumahnya dan beberapa kali menghidangkan ketam rebus. Katanya,  kalau nak makan ketam sepuas-puasnya, jangan masak dengan macam-macam cara, rebus saja dan ratah tanpa nasi. Betul...memang puas saya makan dengan cara begitu. Insya-Allah, selepas ini saya akan ikut saranannya, cuma mungkin rebus ketam dan cecah dengan sos tertentu. Tak apalah, kita cerita tentang ketam goreng sos lemon yang saya sediakan kali ini...


Bahan-bahan:
1 kg ketam
1 biji telur
4 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh garam
minyak

Bahan untuk sos:
2 sudu besar mentega
1 sudu tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)
1 biji lemon (ambil jusnya)
1 sudu besar gula (larutkan bersama jus lemon)

Cara:
1. Salut ketam dengan telur serta taburkan sedikit garam dan lumurkan dengan tepung jagung.
2. Goreng ketam hingga masak. Ketepikan.
3. Panaskan mentega. Masukkan jus lemon yang telah dilarutkan bersama gula.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau rata.
5. Masukkan ketam dan gaul rata. Tutup api.
6. Ketam goreng sos lemon sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 27 Januari 2011

Ikan Gerut-Gerut Masak Asam Pedas

Sebenarnya resepi gerut-gerut masak asam ni terlewat n3.... ni lauk kelmarin, tapi tak apalah, tak basi pun dalam gambar kan.... bukan apa, tak sempat nak n3 sebab mengantuk sangat. Agaknya sepanjang minggu ni setiap hari ada mesyuarat di tempat kerja, itu yang buat habis masa dan badan duduk statik atas kerusi.... apalagi hujan, ha... kepala pun asyik fikir bantal sajalah. Apa pun saya tetap ingin kongsi resepi dengan rakan-rakan yang berkunjung ke blog saya. Walaupun musim hujan, saya tetap masak rebus-rebus seperti dalam gambar ni...


Bahan-bahan:
1 ekor ikan gerut-gerut (potong 3)
2 biji tomato
5 helai daun limau purut
2 keping asam gelugor
garam
gula

Bahan kisar:
3 biji lada kering
1.5 cm lengkuas
1 batang serai
1 labu bawang besar
4 biji bawang putih
1.5 cm belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan 600ml air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan dan asam gelugor. Biarkan seketika sehingga ikan masak.
4. Masukkan daun limau purut dan tomato.
5. Masukkan garam dan gula.
6. Ikan gerut-gerut masak asam siap untuk dihidangkan.


Selasa, 25 Januari 2011

Ikan Kembung Panggang Dengan Sambal Mangga

Sebelum masuk tidur.... harap dapat n3 resepi yang terakhir untuk hari ini. Panggang ikan je untuk petang ni. Best... sebab ikan pun masih fresh...


Bahan-bahan:
2 ekor ikan kembung
garam
serbuk kunyit
beberapa hiris timun
1 biji tomato (potong 6)

Bahan untuk sambal:
1 biji mangga muda (dicincang)
7 biji cili padi
1 biji cili merah
2cm belacan
secubit garam
1 sudu gula

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan sedikit garam dan kunyit. Panggang hingga masak. (orang kata kalau matanya tersembul keluar, kira masaklah tu... macam dalam gambar di atas...)
2. Tumbuk cili padi bersama cilimerah dan belacan. Masukkan garam dan gula dan separuh hirisan mangga.
3. Ikan panggang siap untuk dihidangkan bersama sambal mangga, tomato dan timun.
Selamat mencuba! Jumpa lagi esok.....



Mee Udang

 Petang tadi sempat juga saya masak sedikit mee udang... makan berdua dengan anak sulung. Si bongsu kekenyangan makan limau mandarin dan sedang menunggu janji untuk membawanya keluar malam ini. Okey... mee udang...tidaklah susah sangat untuk memasaknya. Yang penting bahan-bahan mesti berasaskan udang. Bukan sebab malas dan sebagainya, tapi sebab nak cepat,guna sajalah pes mee udang yang dah sedia ada...he he...


Bahan-bahan:
150 gram mee kuning
150 gram udang kertas
10 biji bebola udang
2 sudu pes mee udang
daun bawang
hirisan lada merah
2 sudu udang kering rangup dalam minyak cili (crispy dried shrimp)
600ml air

Cara:
1. Rebus udang hingga masak dan toskan.
2. Biarkan air rebusan udang terus mendidih dan masukkan pes udang.
3. Masukkan bebola udang dan mee.
4. Masukkan udang rebus.
5. Masukkan hirisan lada merah dan daun bawang.
5. Mee udang siap untuk dihidangkan bersama crispy dried shrimp (jika suka)

Sambal Goreng

Selamat malam semua... malam ni agak lewat sedikit n3 sebab layan anak bongsu (janji untuk membawanya ke bandar membeli sesuatu...) Saya masak sambal goreng....Bahan asasnya betik tapi kenapa nama resepi sambal goreng pula.... tak dapatlah nak menjawabnya sebab memang sudah begitu namanya. Ini satu lagi resepi yang biasa dimasak oleh keluarga sebelah suami dan juga tidak ketinggalan sebagai salah satu menu semasa kenduri. Mereka tidak sebut betik tetapi 'katis' atau 'kepayas'. Ha... tak pula mereka namakan resepi sambal katis.... tetap sambal goreng biarpun rupanya tidak seperti sambal. Kepada anda yang belum pernah mencubanya, samada memasak atau makan, jangan risau.... dijamin sedap kalau betul2 ikut resepi yang saya tulis di bawah ni..

Bahan-bahan:
1 biji betik tua seberat 400 gram (potong memanjang)
200 gram hati/mempedal ayam (potong-potong)
3 biji lada merah (ditumbuk)
3 biji bawang putih (ditumbuk)
3 biji bawang merah (dihiris)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan 200 ml air)
1 sudu serbuk pati ayam
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan hati dan mempedal ayam serta lada putih dan biarkan masak selama10-15 minit. (Biasanya mereka - Cocos - rebus terlebih dahulu hati dan mempedal ayam.)
3. Masukkan betik dan hirisan lada merah diikuti dengan air asam jawa. Masak selama 12-15 minit lagi.
4. Apabila kuah pekat, masukkan serbuk pati ayam.
5. Sambal goreng siap untuk dihidangkan.

Isnin, 24 Januari 2011

Ikan Belawis Masak Lemak Dengan Mangga

Salam semua.... petang ringkas saja. Lewat pulang dari kerja kerana ada sedikit tugas tambahan yang perlu disiapkan... anak bongsuku tertidur atas sofa dengan kasut sekolah yang belum ditanggalkan.... rupanya terlupa janjiku padanya hari ini untuk membawanya ke bandar membeli sesuatu ....... dan dia menanti kepulanganku di depan pintu hingga terlena...ohhh...maafkan mummy sayang......syukurlah, bila dipujuk, dia bersetuju untuk ke bandar esok (ohh...esok ada mesyuarat pulak...) Dia meneruskan tidurnya, setelah sebiji limau mandarin saiz L yang dingin, kuhulur padanya, dan dia terus letakkan di bawah pipinya. Anakku tidur dengan buah limau... nak masak apa petang ni? Hmmm.... cari ikan yang mudah dicairkan, ikan belawislah, apa lagi...leper je badan ikan tu. Siaplah masak lemak ikan belawis dengan mangga.


Bahan-bahan:
2 ekor ikan belawis (potong 2)
2 biji mangga muda (potong)
7 biji kacang bendi
1 batang serai (diketuk)
1 keping asam gelugor
1 sudu kunyit
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam dan perasa

Bahan tumbuk:
7 biji cili padi
4 biji bawang putih
4 biji bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan tumbuk dan serai hingga wangi.
2. Masukkan santan cair.
3. Bila mendidih masukkan ikan dan biarkan seketika.
4. Masukkan serbuk kunyit dan asam gelugor dan mangga.
5. Masukkan santan pekat.
6. Masukkan kacang bendi.
7. Masukkan garam dan perasa.
8. Siap untuk dihidangkan.


Ahad, 23 Januari 2011

Jemput-Jemput Ikan Bilis

Rasanya jarang benar anak-anak zaman sekarang menyebut kuih jemput-jemput atau cekodok.... maklum, kuih ni kuih orang kampung... Dulu, macam-macam jenis jemput-jemput yang bonda buat. Campur pisang, campur kelapa parut, campur udang, dan yang paling dikenang sampai sekarang tentulah jemput-jemput ikan bilis. Saya masih ingat, kami adik beradik akan membandingkan bentuk kuih jemput-jemput di tangan masing-masing. Ada yang seperti bentuk rama-rama, kepala arnab dan sebagainya... Kala hujan begini, baiklah saya buat jemput-jemput ikan bilis untuk hidangan minum petang...


Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
1/2 cawan ikan bilis
1/2 labu bawang besar (dimayang)
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Tumbuk kasar-kasar ikan bilis bersama bawang besar.
2. Masukkan tepung dalam mangkuk dan campur dengan bahan tumbuk.
3. Masukkan air dan serbuk pati ikan bilis. gaul sebati.
4. Panaskan minyak dan gorenglah adunan tepung tadi hingga kekuningan.
5. Jemput-jemput ikan bilis siap dan hidangkan bersama sambal atau sos cili.

Hmmm... enak dimakan waktu hujan (sekarang pun masih hujan) dan hidangkan bersama minuman panas....milo atau horlicks...aroma yang sangat menggoda selera... he he

Sup Sea Food

Ada sebelah kepala ikan kaci tertinggal belum dimasak .... nak buat apa ha... oohhh boleh buat sup campur dengan beberapa bahan lain...tapi resepinya ada sedikit-sedikit gaya tom yam sebab saya masukkan lengkuas, serai, cili api dan daun limau purut. Tak kisahlah.... yang penting bila ada kuah-kuah begini, saya namakan 'sup' sajalah...


Bahan-bahan:
sebelah kepala ikan kaci
5 ketul ketam ball
5 ketul prawn ball
5 ketul fish cake
1 batang sawi
2 batang serai
4 biji cili hijau
7 biji cili padi (tumbuk)
4 biji bawang putih (tumbuk)
4 biji bawang merah (tumbuk)
1.5 cm lengkuas (tumbuk)
4 helai daun limau purut
1 keping asam gelugor
1 sudu serbuk pati ikan bilis

Cara:
1. Didihkan 500ml air dan masukkan bahan tumbuk.
2. Masukkan ikan, asam keping serta serai dan biarkan seketika.
3. Masukkan ketam ball, prawn ball dan fish cake. Didihkan lagi selama 3 minit.
4. Masukkan sayur sawi, cili hijau dan daun limau purut.
5. Akhir sekali masukkan serbuk pati ikan bilis.
6. Sup sea food siap.

Nasi Lemak Sambal Sotong

Anak-anak dah menagih janji.... masak nasi lemak. Biasanya kena masak lebih sikit sebab anak-anak suka sangat makan, tak cukup sekali makan... jadi tak perlu masak untuk tengahari. Paling mereka suka tentulah sambalnya. Untuk memastikan sambal nasi lemak rasa lebih sedap, saya pastikan memasaknya sebelah malam sebelum tidur. Ini kerana apabila kita menghangatkannya pada keesokan pagi, segala bahan sudah cukup sebati dan meresap sepenuhnya. Itulah salah satu rahsia (saya tak tahu cara orang lain...), dan memang ada perbezaan rasa sambal yang baru ditumis berbanding sambal yang siap sedia beberapa jam sebelumnya. Sepanjang pagi ini, puaslah anak-anak makan nasi lemak, bersama secawan teh 'o' dan hujan yang turun tak berhenti tambahlah mendinginkan suasana.... hmmm...dah pekena nasi lemak, mata pun layu, hujan lagi tu.... apa lagi... kalau ikutkan hati, memang enak sungguh kalau boleh tarik selimut....tapi banyak kerja lain sedang menunggu..... anak-anak pun sibuk dengan baju sekolah dan kasut sekolah, dengan kerja rumah dan sebagainya. Mmmmm... nasi lemak sambal sotong hidangan di padi Ahad yang dingin....


Bahan untuk nasi lemak:
7 cawan beras (ikut sukatan rice cooker) cuci dan toskan
1000ml santan (terpulang pekat atau cair - kalau pekat hasilnya sangat lemak)
3 cm halia (dihiris atau diketuk pun boleh)
3 biji bawang putih (dihiris atau diketuk pun boleh juga)
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
sedikit garam

Cara:
1. Didihkan santan bersama halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis dan daun pandan.
2. Masukkan beras dan sedikit garam. kacau sekali sekala sehingga beras kembang dan santan kering.
3. Masukkan dalam periuk pengukus.
4. Kukus 20-25 minit atau sehingga nasi benar-benar masak.

Bahan untuk sambal:
300 gram anak sotong kering (rendam selama 1 jam) bersihkan dan tos
3 sudu gula
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam / serbuk pati ikan bilis

Bahan kisar:
20 biji cili kering (rebus dan toskan - buang biji)
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1.5 cm belacan

Cara:
1. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan pati asam jawa, serbuk pati ikan bilis dan gula.
3. Masukkan sotong dan masak dengan api perlahan selama 15-20 minit.

Bahan-bahan lain:
7 biji telur rebus (belah 2)
1 biji timun (hiris nipis)
200 gram ikan bilis goreng
kacang tanah (ha...saya lupa nak goreng kacang tanah..)
keropok kentang pedas manis

Saya hidangkan bersama keropok kentang kerana meniru idea semasa makan nasi kuning dan nasi lemak di Tawau. Boss kami, En. Alias Selliming pesan makanan dari sebuah restoran, dan kami tertarik dengan salah satu lauk yang dihidangkan iaitu keropok kentang pedas manis... dan satu lagi lauk iaitu serunding... tapi saya belum bersedia untuk menyediakan serunding. Cukuplah dengan keropok dulu.... wokey...kepada rakan-rakan yang berminat serta adik-adik dan anak-anak yang sedang belajar memasak, jangan lupa cubalah resepi nasi lemak saya...

Sabtu, 22 Januari 2011

Sup Jagung Dengan Isi Ayam

Sambungan cerita nasi jagung dengan ayam masak merah.... tersalah buka tin jagung tu......ha ha.....setelah sebahagian air rebusan ayam digunakan untuk masak nasi jagung, dan nasi jagung sedang dikukus, sementara kuah ayam masak merah sedang menunggu masa menjadi pekat, saya didihkan kembali air rebusan ayam dan saya masukkan 1/2 cawan hirisan isi ayam.


Bahan-bahan:
1 tin jagung krim
1/2 cawan hirisan isi ayam
2 cawan air rebusan ayam
2 biji telur
1 sudu besar tepung jagung (bancuh dengan air)
1 sudu kecil serbuk pati ayam

Cara:
1. Didihkan air rebusan ayam. Masukkan isi ayam.
2. Masukkan jagung krim dan kacau.
3. Masukkan serbuk pati ayam. Biarkan sup mendidih.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan sup.
4. Pukul telur hingga kembang dan tuang ke atas sup sambil terus dikacau supaya telur tidak berkumpul.
5. Tutup api.
6. Sup jagung dengan isi ayam siap untuk dihidangkan.

Nasi Jagung Dengan Ayam Masak Merah

Selamat malam semua.... hari ini Sabtu, esok Ahad... hari untuk bersama keluarga. Hari ini anak-anak ke sekolah untuk menghadiri kelas ganti sempena cuti Tahun Baru Cina nanti. Agaknya terlalu  banyak makan  limau mandarin, perut pun rasa semacam sejak dua tiga hari ini, tapi setelah minum setengah gelas 'eno' dan tidur seketika, rasa lega sedikit. Rasanya terlelap dalam seminit dua, tapi bila terjaga jam menunjukkan 5.15 petang... alamak!!!... belum masak...anak akan pulang dari sekolah 1 jam dari sekarang. Ikan belum direndam.... nasib baik tengahari tadi sempat beli beberapa keping ayam segar, masak ayamlah petang ni... terbayanglah wajah riang anak-anak bila mummy masak ayam... Dalam kalut kelam kabut, sempat siapkan nasi jagung dengan ayam masak merah... seringkas-ringkasnya. Hmmmm...nak jadi cerita, nak ambil jagung biji terambil jagung krim... dah dibuka... buat sajalah sup jagung he he.... jadi petang ni kami menjamu selera dengan bijirin jagung.... dan ayam masak merah saya mungkin sedikit berbeza dengan kebiasaan cara memasaknya sebab saya rebus ayam dan bukannya goreng... cubalah, anda akan dapat merasai perbezaannya....


Bahan-bahan nasi jagung:
4 cawan beras (sukatan rice cooker)
1 tin jagung biji
6 cawan air rebusan ayam
3 biji bawang putih (cincang)
3 cm halia muda (cincang)
1 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 kiub ayam
4 sudu besar marjerin

Cara:
1. Panaskan marjerin dalam kuali. Tumis bawang putih, halia, bunga lawang dan kulit kayu manis hingga wangi.
2. Masukkan air rebusan ayam dan kiub ayam. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali sekala sehingga beras kembang dan kering.
4. Pindahkan nasi ke dalam periuk pengukus. Masukkan jagung dan kukus selama 20-25 minit.
5. Nasi jagung siap untuk dihidangkan.



Saya fikir untuk menjimatkan masa dan mempercepatkan proses memasak, saya perlu buat kerja 3 dalam satu. Itu sebabnya saya rebus ayam, dan air rebusannya saya gunakan untuk masak nasi jagung dan selebihnya saya gunakan untuk masak sup jagung. Sebaik sahaja nasi jagung masuk ke dalam periuk pengukus, saya terus masak ayam sementara itu air rebusan ayam yang masih di dalam periuk, saya tambah dengan isi ayam untuk dijadikan sup jagung. Mari kita lihat betapa ringkas dan mudahnya ayam masak merah saya ini.


Bahan-bahan:
600 gram ayam segar (potong menjadi 10 bahagian) dan rebus hingga masak, toskan.
4 sudu sos tomato
4 sudu sos cili
1 sudu serbuk pati ayam
3 sudu besar kacang pea

Bahan kisar:
5 biji cili merah (sebaiknya cili kering)
4 biji bawang putih
4 biji bawang merah
5 biji lada merah

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan sos tomato dan sos cili. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air rebusan ayam.
3. Masukkan ayam dan gaul rata. Masak dengan api perlahan.
4. Tabur serbuk pati ayam.
5. Masukkan kacang pea.
6. Ayam masak merah sedia untuk dihidangkan bersama nasi jagung.

Sebaik-baiknya ada acar tetapi tak sempat buat sebab anak dah menunggu di meja makan..... makan je la....

Jumaat, 21 Januari 2011

Tenggiri Kering Masak Lemak Nanas

Biasanya kita masak ikan tenggiri segar tapi kali ini saya cuba masak ikan tenggiri kering. Oleh kerana ini merupakan kali pertama, tentulah banyak kekurangannya dan saya harap kali kedua dan seterusnya ada penambahbaikan dalam masakan sebegini.


Bahan-bahan:
sepotong ikan tenggiri kering (potong 4 - potong lebih kecil lebih baik)
10 keping potongan nanas segar
1 rumpun sawi pahit (potong-potong)
1 cawan santan pekat
15 biji cili padi (ditumbuk)
5 biji bawang putih (ditumbuk)
5 biji bawang merah (ditumbuk)
1 batang serai (dititik)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
secubit garam
1 sudu kecil gula

Cara:
1. Panaskan 400ml air dan masukkan ikan tenggiri kering bersama nanas dan bahan-bahan yang ditumbuk, asam gelugor dan serai serta serbuk kunyit. Biarkan mendidih sehingga nanas layu.
2. Masukkan santan, dan sawi pahait serta garam dan gula.
3. Kacau sekali sekala supaya tidak pecah santan.
4. Tenggiri kering masak lemak nanas sedia untuk dihidangkan.



Ikan Bayan Kukus 3 Rasa

Anak-anak kata ikan kukus yang saya masak rasa pedas. Memang saya sengaja masak begitu. Orang lain masak 3 rasa, saya pun masak 3 rasa dengan cara saya sendiri. Oleh kerana saya renjiskan minyak bijan supaya ikan nampak berkilau-kilauan, aroma kukusannya keluar sampai ke ruang tamu.... anak-anak sangka saya buat nasi ayam sebab biasanya saya renjis minyak bijan juga ke atas ayam goreng atau ayam kukus.Sebut tentang minyak bijan ni, saya pernah terbaca tentang penggunaannya dalam masyarakat India di negara kita. Katanya setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadipelawas dalamsistem penghadaman di samping membantu tumbesaran bayi. Tak tahulah sejauh mana kebenarannya, tapi anak-anak pun memang suka dengan aroma minyak bijan dalam masakan.

 Bahan-bahan:
1 ekor ikan bayan
1 sudu kecil sos ikan
1 sudu sos tiram masam manis
2 sudu besar sos tomato (Habhals)
2 sudu besar sos cili (Habhals)
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak bijan
minyak

Bahan kisar:
5 biji lada merah
4 biji bawang putih
4 biji bawang merah
2 batang serai
3 cm lengkuas
3 cm halia

Cara:
1. Letak ikan di dalam dulang pengukus dan renjiskan dengan sos ikan. Kukus ikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan sos tiram masam manis, sos tomato dan sos cili dan serbuk pati ikan bilis. Masak hingga pekat.
4. Keluarkan ikan dari kukusan dan letakkan di dalam pinggan.
5. Tuangkan sos di atasnya. Renjiskan minyak bijan.
6. Bayan kukus 3 rasa sedia untuk dihidangkan.