ADSENSE

Sabtu, 23 Julai 2011

Nasi Goreng Berkat

Selamat berhujung minggu kepada semua rakan-rakan pengunjung setia ke Amie's Little Kitchen. Dengar khabarnya cuaca di tempat rakan-rakan kebanyakkannya panas menyengat sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, cuaca di tempat Amie berlainan pula. Hujan dan mendung sepanjang hari sejak tiga hari lalu. Dinginnya terasa sampai ke tulang sum-sum. Itulah cuaca Khatulistiwa, panas hujan sentiasa beriringan sepanjang tahun.
Apa pun aktiviti harian tetap berjalan lancar. Sana-sini kenduri serta bacaan tahlil diadakan. Bapa mentua Amie tentulah orang yang paling sibuk. Walaupun sudah meletak jawatan secara rasmi sebagai Imam Qariah, namun khidmatnya masih diperlukan untuk mengetuai bacaan tahlil. Beliau tidak pula menolak walaupun keletihan, kecuali keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Oleh kerana banyak menghadiri majlis tahlil, banyaklah pula orang menghantar nasi berkat ke rumahnya. Kadang-kadang menjelang lewat malam, suami menerima panggilan telefon untuk mengambil nasi berkat di kampung, sebab tak ada yang makan. Kalau di tempat Amie, di Selangor orang panggil nasi ambang, tapi di sini nasi berkat. Hari ini saja, suami sendiri dapat dua undangan ke majlis tahlil. Anak-anak ikut serta. Tinggallah Amie di rumah, nak masak pun siapa yang nak makan. Semua sudah kenyang makan selepas majlis tahlil. Dapat pula nasi berkat. Oleh kerana hari ini ada 3 nasi berkat, Amie buat nasi goreng separuh. Teringin nak makan nasi kerabu goreng, jadi campur-campurlah mana bahan yang ada.



Amie belajar makan nasi kerabu goreng semasa belajar di UM. Kami tinggal di Asrama Seksyen 17 Petaling Jaya bersebelahan dengan kampus UIA. Setiap petang banyak gerai berhampiran dibuka dan sudah tentu bajet kami sebagai pelajar amat terhad dan perlu berjimat cermat. Maklumlah, anak orang kampung.... nak minta duit dari emak bapak tentulah segan. Kenalah berkira bila berbelanja.  Pilihan utama kami tentulah makanan yang mampu dibeli terutamanya nasi goreng. Macam-macamlah nasi goreng yang kami beli termasuklah nasi goreng kerabu. Tukang masaknya memang berasal dari Kelantan. Harganya pun murah... hanya RM1.70 sen sebungkus. Banyak pula tu, makan 2 orang pun boleh kenyang. Ada satu perkara yang Amie tidak boleh lupakan.... seorang rakan baik Amie tanam pokok cili padi dalam pasu dan diletakkan di hadapan kaki lima asrama. Entah baja apa yang digunakan, subur rimbun dan berbuah lebat pula. Kalau makan nasi goreng, dipetiknya cili padi buat ulam. Kami pun tumpang juga, bila makan maggie.....minta izin daripadanya untuk ambil 2-3 biji. Tapi nasi goreng yang Amie buat ini tidak dibubuh cili padi, sebab anak-anak ikut makan sama.... takut tergigit kepedasan pulak....



Ayam goreng itu pun ayam goreng dalam nasi berkat. Amie nak kongsi resepi nasi goreng sajalah ye. Sebenarnya lebih kepada nasi kerabu tapi disebabkan berasal dari nasi berkat, jadi Amie namakannya Nasi Goreng Berkat. Resepi nasi kerabu ini Amie ikut seperti yang biasa Amie beli dan makan bersama rakan-rakan semasa tinggal di Seksyen 17.... lebih kurang 21 tahun yang lalu....

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih
3 sudu budu
1 labu bawang besar - cincang
3 biji bawang putih - cincang
1 cawan mix-vege
4 batang kacang panjang - hiris nipis
4 batang serai - hiris halus
4 tangkai daun kesum - hiris halus
3 tangkai daun selom - hiris
1/2 cawan taugeh
cili padi - hiris nipis (Amie biarkan sebiji-sebiji)
1 sudu serbuk pati ikan bilis
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan mix-vege, hirisan kacang panjang, daun selom dan serai serta daun kesum. Gaul rata.
3. Masukkan nasi dan gaul hingga sebati.
4. Masukkan budu dan gaul lagi.
5. Taburkan serbuk pati ikan bilis secara merata.
6. Hidangkan bersama ayam goreng, hirisan timun, taugeh dan cili padi.



Oleh kerana anak-anak masih kenyang makan di tempat kenduri, Amie sediakan saja nasi goreng bersama teh 'o' lemon panas. Seolah-olahnya minum petang, tapi merangkap untuk makan malam. Ni.... di bawah ni gambar apa pulak.....


Cerita tentang cuaca sejuk di permulaan kisah tadi, Amie paparkan gambar yang memang Amie simpan dalam komputer..... siapa di atas tu? Itulah Amie 19 tahun lalu ketika berada di puncak Gunung Kinabalu. Ada tarikhnya ....26.11.92....memang sejuk sangat....sebenarnya Amie pakai baju 7 lapis, dan seluar hingga 3 lapis. Betapa dinginnya atas gunung tu sehingga sehelai rumput pun tidak mampu untuk hidup di situ. Sesiapa belum pernah daki Gunung Kinabalu, naiklah walau sekali....sangat indah, mempesonakan dan sukar diungkap dengan kata-kata.... bayangkan anda berada di puncak gunung sebelum fajar menyinsing, menyaksikan matahari terbit dari celah-celah awan...... anda berada pada ketinggian melebihi 4,000 meter (4 1/2 batu tingginya dari aras laut) anda sebenarnya berada di atas awan!

16 ulasan:

ainnoraini berkata...

Lapa ni amie..baru nk gi mkn ni..nk ambik anakp terus jer keluar mkn..Mkn nasi goreng kerabu la mcm ni..dh terliur tgok amie punya masakan...

ibundo berkata...

salam amie,
bundo kalau makan nasi goreng persis itulah... mesti ada cili api sebab lidah bundo ni kalau tak kena cili api tak sah...

amie mendaki gunung kinabalu sampai atas? Hebatnya. Bundo yang naik setakat kawasan orang melawat2 tu pun dah tak tahan sejuk.

Mieza berkata...

kak amie..dah sampai puncak kinabalu bestnyer..mieza ni tak lehnak manjat sebab ada asthma huhuhu..by d way, nak makan nasi goreng berkat ni sikit supaya hidup berkat selalu..aminnn :)

Amie berkata...

Ain,
rindu nak makan nasi kerabu goreng... kebetulan masih ada budu, & daun kesum! goreng sajalah...mana yang ada.

Amie berkata...

Salam Ibundo,
memang tak puas makan nasi goreng tanpa cili api...
Amie sudah 2 kali naik gunung, itu pun masa muda2 dulu, sekarang dah tak larat...berat badan!

Amie berkata...

Mieza,
teringin nak daki lagi... tapi tak mampu nak bawa badan!
jemput makan nasi goreng berkat... boleh ambil berkat... he hehehh

Ummiross berkata...

Amie, hari minggu ummi tak masak, adess! lapar pulak tengok nasi goreng berkat Amie ni,nak keluar lah ni Amie,dah mendidih perut ni, hik!

Amie berkata...

Ummi,
hari minggu pula Amie gunakan sepenuhnya untuk masak... sebab hanya satu hari ini sajalah boleh berlama2 di dapur...he he hehehh

nuwairani ismail berkata...

kak amie,...byk betol undangan kenduri tahlil skrg...students pon jemput juga kami dtg..makanannya banyak betol...tp seronok dpt kenal budaya masyarakat sungai di sini..

bestnya kak amie dah naik gunung kinabalu...nak naik jugak, tp taktau la jadi ke tak projek gunung kinabalu hujung thn ni...

Amie berkata...

Nani,
tinggal dalam kelompok kaum sungai ye, mesti putih2 kulitnya...
mesti daki gunung tu, jangan tangguh2, nanti tak jadi pulak.... Kak Amie dah tak larat nak daki, cukuplah 2 kali.

Kak Sam berkata...

Woww tengok cili api kat atas tu tak tahan betul dibuat. Pembuka selera.

Amie berkata...

Kak Sam,
tnggu apa lagi.... jom makan!

dZana berkata...

slm amie..nasi greng hari2 pun tak pe.. mmg tgh musim kenduri la ni.. dah byk sngt nasi kkdg tu mmg tak larat nk mkn.. tgok set camni terus jer rasa lapar ..

habsahharun berkata...

lapar dah ni -.-"

Amie berkata...

Salam Dzana,
betul tu... sayang kalau tak dimakan, nanti membazir pulak ye...

Amie berkata...

Habsah,
jomlah makan sekali... banyak lagi ni...