ADSENSE

Isnin, 16 Mei 2011

Dalca Tulang Lembu

Seronoknya dapat jadi ibu  dan suri rumah sepenuh masa selama 4 hari... kerana memang boleh dikira dengan jari berapa hari berada di rumah sepanjang masa. Inilah kesempatan keemasan untuk tunjuk bakat  dan keinginan terpendam untuk makan itu dan ini. Amie berjaya menyediakan masakan dalca tulang lembu. Entah tulang bahagian mana yang dibeli, kaki... tak juga, tengkuk... macam iye juga, leher...mungkin tapi bukan tulang rusuk. Tak kisahlah tulang bahagian manapun. Dah siap masak nanti barulah tahu tulang tu sedap atau tak sedap walaupun sesetangah orang kata ada bahagian-bahagian tertentu yang sedap dan tak sedap. Ha... ini dia dalca tulang lembu dah siap...

Sehari dua ni rajin sikitlah ambil gambar bahan-bahan yang digunakan untuk memasak. Bukan apa, bagi sesiapa.. terutama adik2 dan anak2 yang belum pernah mendengar atau melihat, bolehlah belajar dari sini. Masakan dalca memang pernah jadi makanan kegemaran Amie sewaktu bersekolah dahulu. Setiap seminggu sekali, biasanya hari Rabu, salah satu menu dalam hidangan malam kami di asrama ialah dalca... tapi ramai yang kurang berminat untuk memakannya. Entah kenapa.... Wokey, kurang satu bahan dalam dalca Amie iaitu kacang panjang. Kenapa? Tak ada dalam simpanan pada hari ini he he he.....



Ada kentang, terung, tomato, lobak.... lobak kurus Australia, cili kering, lada hijau dan jangan lupa daun kari.



Bahan-bahan:
1kg tulang lembu (bersihkan dan rebus hingga empuk)
250 gram kacang dhal (rendam selama 1 jam - rebus hingga empuk)
4 biji kentang (buang kulit dan belah dadu)
3 biji terung (belah 2 dan potong 2)
3 biji lobak merah (belah 2 - potong 4)
2 biji tomato - saiz besar (belah 6)
300ml santan pekat
500ml air
5 sudu serbuk kari
1 sudu biji sawi
3cm kulit kayu manis
2 keping asam gelugur
garam & gula
minyak

Bahan kisar:
15 biji lada merah
10 biji bawang merah
10 biji bawang putih
3cm halia

Cara membuatnya seperti di bawah ini. Mula-mula tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak. Kemudian masukkan  daun kari diikuti serbuk kari (Amie tak bancuh), perlahankan api. Masukkan sebahagian daripada belahan buah tomato. Masukkan 100ml air dan biarkan mendidih seketika.



Lepas tu barulah masukkan kacang dhal yang sudah empuk direbus.



Diikuti dengan tulang yang sudah direbus dan empuk daging disekelilingnya.



Oleh kerana semua bahan di atas sudah empuk, masukkan sahaja kentang dan lobak merah supaya masak, dan tambah 400ml air supaya elok masaknya. Amie masukkan lebih kentang sebab itulah yang anak2 suka makan...



Bila kentang mula empuk, masukkan terung diikuti santan pekat.



Pastikan tahap kepekatan yang disukai, nak lebih pekat atau lebih cair... kalau tak suka pekat, janganlah masak lama-lama sebab kacang dhal tu bagi kuah pekat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali jangan lupa masukkan lada hijau dan juga lebihan tomato. Bila warna lada hijau sudah berubah, bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan.



Dalca Tulang Lembu dah pun siap... makan bersama nasi. Belum pun habis makan nasi, anak2 cadangkan makan dalca dengan roti canai untuk petang nanti..... sebab dalca masih banyak (memang masak banyak pun...). Jadi, menjelang petang anak2 pun menagih daripada si ayah untuk belikan mereka roti canai... (kalaulah Amie pandai buat roti canai ye....)



... mengakhiri coretan malam ini, sempat masukkan gambar roti canai mamak dengan dalca yang Amie masak.

Tiada ulasan: