ADSENSE

Isnin, 7 Mac 2011

Pengat Labu Dengan Jagung Krim

Labu oh Labu! Di sana sini ada longgokan labu. Minggu lepas, semasa Amie sekeluarga ke Tawau, sepanjang perjalanan sering terpandang longgokan labu di kiri atau kanan jalan. Biasanya labu manis serta buah kundur dan juga labu air dijual dengan harga yang sangat murah. Kalau ditimbang pun hanya RM1 untuk sekilogram.  Kalau kira biji pun, RM2 atau RM3 sahaja. Kalau Amie pandai buat kuih labu, agaknya entah berapa biji Amie borong. Semasa Amie makan tengahari di kantin, Amie pilih sayur labu masak lemak dengan kacang panjang. Teringatlah pula dengan labu-labu Amie di dapur yang belum terusik, masih belum dimasak. Ada pula sepotong labu pemberian kawan suami lebih seminggu dalam peti sejuk. Petang tadi, sempatlah Amie buat pengat labu. Pengat biasa saja, labu dengan sagu biji tapi entah masuk akal atau tidak, Amie tambah satu tin jagung krim. Tak tahulah, pernahkah dibuat orang... tapi memang boleh dimakan, janganlah takut untuk cuba resepi baru ini.... cuba dulu, baru tahu he he he... Dan oleh sebab ada beberapa biji labu yang terletak elok di sudut dapur, Amie pun ambil sebiji buat seperti di bawah ni....


Bahan-bahan:
400 gram labu (buang kulit dan potong dadu)
1 tin jagung krim
1/4 cawan sagu biji merah (rendam dan toskan setelah kembang)
1/4 cawan sagu biji hijau (rendam dan toskan setelah kembang)
3cm halia (hiris halus)
6 sudu gula
secubit garam
200ml santan pekat
500ml air
daun pandang

Cara:
1. Masak labu bersama halia dan secubit garam serta daun pandan di dalam air dan biarkan mendidih.
2. Masukkan sagu biji diikuti dengan gula.
3. Masukkan jagung krim dan kacau perlahan-lahan.
4. Masukkan santan pekat.
5. Jangan masak terlalu lama kerana akan menyebabkan labu menjadi hancur.
6. Setelah pengat kelihatan sebati dengan rasa yang diingini, tutup api.
7. Hidangkan.

Tiada ulasan: