ADSENSE

Isnin, 7 Februari 2011

Udang Goreng Salut Tepung

Selamat malam semua.... terlelap seketika sebentar tadi, lepas lelah hari ini. Maklum, sudah kembali bertugas, jadi tidak banyak kesempatan untuk menatap blog. Apa pun terima kasih kepada semua pengunjung dan sejumlah pengikut yang bilangannya semakin bertambah hari demi hari....moga kita dapat sama-sama manfaatkan blog masing-masing untuk diri sendiri dan juga rakan-rakan yang lain. Hari ini, hari pertama anak kedua pulang sekolah naik bas (sebelum ini teksi ambil dari rumah ke sekolah, dan menjelang petang bapanya pula ambil dari sekolah), hampir 6.20 petang baru sampai rumah...sudah masuk waktu Maghrib. Memang kebiasaannya akan terus ke dapur bertanya...mummy masak apa hari ini? Tapi hari ini lain sedikit... terpaksalah dia makan seorang sebab yang lain sudah makan terlebih dahulu. Kesian... esok, harap-harap anak-anak yang lain dapat menunggu kepulangannya supaya dapat makan bersama-sama. Nampak wajahnya sangat gembira bila saya hidangkan udang goreng salut tepung....horeeeyyy...teriaknya riang sementara si bongsu pula bersuara... boleh minta satu? Rasa terharu sangat sebab si abang sanggup kongsi sedikit bahagiannya dengan si adik yang sebenarnya sudah kekenyangan...


Bahan-bahan:
25 ekor udang kertas
4 sudu tepung gandum
4 sudu tepung jagung
1 sudu teh serbuk ENO (sebarang perisa)
3 biji bawang putih (tumbuk)
1.5 cm halia (tumbuk)
1 sudu teh lada putih (tumbuk)
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu serbuk pati ayam
100ml air
minyak

Cara:
1. Bersihkan udang dan belah belakang dan kelar bahagian hadapan (supaya udang tidak bengkok semasa digoreng)
2. Campurkan tepung gandum dengan tepung jagung bersama serbik ENO.
3. Masukkan semua bahan tumbuk bersama serbuk kunyit dan serbuk pati ayam.
4. Masukkan air dan gaul hingga sebati.
5. Celupkan seekor demi seekor udang dan goreng dalam minyak yang banyak dan panas.
6. Udang goreng salut tepung siap untuk dihidangkan dan enak dimakan semasa masih panas bersama cili sos.

Boleh juga campurkan sebiji telur dalam adunan jika suka.

Tiada ulasan: