ADSENSE

Khamis, 10 Februari 2011

Talam Ubi Kayu

Selamat malam rakan2 blogger.... alhamdulillah dah makan, kenyang dan gembira. Gembira sebab kuih talam ubi kayu percubaan kali pertama kira menjadilah walaupun tak seberapa cantik. Beberapa kali kalau pergi ke restoran seorang rakan...Rohana Sri Melati...amboi cantik namanya, bukan nama restorannya tapi ini nama kawan saya dan orangnya pun semanis namanya. Warung Kita... itulah nama salah sebuah restoran milik usahawan muda yang semakin berjaya ini. Kalau sesiapa datang ke Lahad Datu dan turun di Lapangan Terbang Lahad Datu, restoran Warung Kita terletak di seberang jalan sebelah kanan. Ha...sebenarnya (sambung cerita) beberapa kali pergi ke Warung Kita, tapi tak dapat kuih talam ubi kayu yang sangat enak itu... akhirnya tekad dalam hati, buat sendiri setelah merujuk bonda. Kiranya saya hasilkan kuih ini ikut cara tradisional ye... tak timbang, tapi main sukat-sukat guna cawan. Memang kalau ada kesempatan dan masih ada orang jual ubi, saya akan buat lagi...harap lebih cantiklah...


Bonda kata guna tepung gandum untuk bahagian atasnya, tapi anakanda menderhaka, digantinya dengan tepung beras campur tepung jagung. Lain kali anakanda ikut aturan bonda ye... ampunkan anakanda ye.... memang senget-senget potongan kuih talam ubi ni, orang pun faham yang membuatnya kan ke tangannya masih kaku dalam bab kuih muih ni.... okeylah, mari kita tengok bahan-bahan kuih talam ubi yang sebahagiannya saya ikut kepala saya dan sebahagian lagi ikut cara bonda saya.

Bahan-bahan:
3 cawan ubi kayu (parut / kisar dan kemudian perah air ubi gunakan kain putih)
150ml air
250 gram gula melaka (di sini tak ada gula merah & tak suka guna pewarna)
1 cawan gula perang
3 cawan santan
3/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung jagung
secubit garam

Cara:
1. Cairkan gula melaka menggunakan 150ml air yang mendidih.Campurkan sekali gula perang.
2. Gaulkan air gula bersama ubi kayu hingga sebati.
3. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukus antara 15-20 minit.
4. Masukkan santan ke dalam periuk dan masukkan bersama tepung beras serta tepung jagung dan garam mengikut rasa. Kacau hingga sebati.
5. Jerang periuk di atas api dan kacau hingga adunan menjadi kental.
6. Buka tutup pengukus dan masukkan adunan tadi di bahagian atas ubi kayu.
(Boleh cucuk-cucuk sedikit permukaan ubi atau buat cakaran meggunakan garpu supaya aduanan kedua boleh melekat dengan cantik di atas permukaan ubi)
7. Kukus hingga masak dan biarkan sejuk barulah boleh dipotong serta dihidangkan.

.....air perahan ubi parut boleh dijadikan pupur muka bagi anda yang mengalami 'sun burn'... petua ini sungguh berkesan dan pernah saya buat atas nasihat seorang rakan yang pernah bersama-sama menjelajah seluruh Sabah dan Brunei. Oleh kerana terlalu lasak dalam ekspedisi, muka kami terbakar oleh cahaya matahari ketika berada di atas feri dari Menumbuk ke Labuan dan dari Labuan ke Brunei. Pakailah 3 hari berturut-turut siang dan malam, anda akan mengalami perbezaannya....

Tiada ulasan: