ADSENSE

Ahad, 20 Februari 2011

Roti Sandwich & Salad Kentang

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Amie. Semoga sentiasa sudi bertandang untuk sama-sama berkongsi resepi dan cerita dari dapur Amie. Nampaknya cuaca sungguh nyaman pagi Ahad ini dan seluruh ahli keluarga bangun awal, maklum seperti biasa rutin gotong-royong perlu dilaksanakan. Pagi ini Amie sediakan sarapan pagi yang ringkas namun menu itulah yang digemari anak-anak. Amie sediakan roti sandwich dengan menu tambahan, salad kentang yang Amie buat ikut kepala sendiri tetapi bahan asas tetap sama.


Sebenarnya, kita boleh pelbagaikan cara penyediaan roti sandwich, dan ia tidak terhad kepada isi sardin sahaja tetapi boleh menggunakan isi daging atau ayam serta pelbagai bahan lain seperti daun salad, timun, mayonis dan sebagainya untuk menambah kelazatannya. Perkataan 'sandwich' diambil sempena nama seorang aristokrat Inggeris abad ke 18 iaitu Earl of Sandwich yang berasal dari Kota Sandwich di England.  Kalau Earl of Sandwich IV memakan roti yang mengepit daging dengan sebelah tangan sambil bermain kad, mari kita menikmati roti sandwich bersama-sama dengan rasa syukur sambil memikirkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan sebagai rezeki mengalas perut di pagi hari. Dan juga kerana izin-Nya, Amie dapat gunakan akal fikiran menyediakan sarapan pagi dengan memanfaatkan bahan yang ada.



Bahan-bahan untuk roti sandwich:
10 keping roti
1 tin kecil sardin (toskan sosnya)
4 sudu mayonis
1/2 labu bawang besar (hiris halus)
1/4 timun (hiris halus)
3 sudu marjerin

Cara:
1. Hancurkan ikan sardin.
2. Masukkan mayonis dan gaul rata.
3. Masukkan bawang besar dan timun. Gaul sekali lagi.
4. Sapukan marjerin di atas permukaan roti.
5. Ratakan permukaan roti dengan sardin dan tutup dengan sekeping roti di atasnya.
6. Potong menjadi 2 kepingan sandwich.

Bahan-bahan untuk salad kentang:
4 biji kentang (buang kulit dan rebus serta toskan airnya)
1 sudu minyak zaiton
4 sudu mayonis
1/2 sudu serbuk lada hitam
1/2 labu bawang besar (potong dadu)
2 biji tomato masak (potong dadu)
3 helai daun salad (hiris-hiris)
1/4 batang lobak merah (hiris halus)
1 sudu herba Rosemary
secubit garam

Cara:
1. Masukkan mayonis ke dalam mangkuk.
2. Masukkan bawang dan minyak zaiton. Gaul rata.
3. Masukkan tomato, lobak merah, daun salad, garam, lada hitam dan Rosemary dan gaul mesra.
4. Campurkan bahan tadi bersama kentang rebus dan taburkan herba Rosemary.
5. Hidangkan bersama roti sandwich.

Tiada ulasan: