ADSENSE

Khamis, 3 Februari 2011

Paceri Nanas

Cerita tentang paceri atau pajeri...samalah tu...dua-dua istilah boleh guna (ikut Kamus Dewan), saya tak pernah peduli tentang resepi ini. Zaman kanak-kanak sewaktu di kampung, memang masak paceri nanas tak pernah ketinggalan dalam menu untuk kenduri-kendara terutama di majlis kahwin. Yang saya nampak, di mana ada nasi minyak, di situ mesti ada paceri....yang mengandungi bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis. Bahan lain saya tak tahu dan saya pun tak gemar memakannya kerana rasanya kurang digemari oleh lidah kanak-kanak...masam manis pedas...Lama kelamaan saya suka pula makan paceri nanas dan sekarang amat jarang saya temui paceri nanas walaupun dalam hidangan di majlis kahwin. Bila suami kata, paceri tu sedap, saya pun cubalah berusaha mengingat kembali apa sebenarnya bahan yang digunakan... nak telefon bonda, ....tengah sibuk masak-masak untuk kenduri arwah ayahanda dan abang ipar malam ni...dengar kata salah satu masakan bonda, keli goreng dengan petai...hu hu...manalah kami nak dapat keli di sini...hmmm..ni kes ingat-ingat lupa resepi paceri, akhirnya saya dapat juga mengingat satu persatu bahan-bahannya walaupun hampir terlupa memasukkan udang kering he he he...sikit je masak takut tak sedap, tapi memang sedaplah...... lain kali nak buat lagi. Patutnya guna nanas tua tapi nanas saya dah masak ranum....tak apalah, saya layukan dulu nanas saya.


Bahan-bahan:
400 gram nanas (celur hingga layu)
4 biji bawang putih (tumbuk)
4 biji bawang merah (tumbuk)
1 genggam udang kering (tumbuk)
1/2 sudu teh jintan manis (tumbuk)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 cm kulit kayu manis
2 sudu besar kerisik
200ml pati santan
2 sudu rempah kari
garam & gula
minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan-bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.
3. Masukkan rempah kari dan serbuk kunyit. Masukkan santan. 
4. Masukkan nanas, garam dan gula.
5. Masukkan kerisik dan gaul rata.
6. Masak dengan api perlahan.
7. Paceri nanas siap untuk dihidangkan.


Tiada ulasan: