ADSENSE

Isnin, 17 Januari 2011

Nangka Muda Masak Kari Dengan Kaki Ayam

Hari ini masak kari nangka muda dengan kaki ayam. Sebenarnya dah hampir seminggu nangka muda menunggu dalam peti sejuk untuk dimasak tapi entah kenapa, hati ini tak tergerak untuk melakukannya walaupun suami pernah berkata beberapa hari lalu.... katanya teringin makan gulai nangka muda. Bukan banyak yang dimasak, sikit je....tapi sebab dia dah lama mengidam nak makan masakan ini, habis licinlah isi... tinggallah mangkuk...


Bahan-bahan:
300 gram nangka muda (potong dadi dan celur)
300 gram kaki ayam (potong ikut suka)
24 gram serbuk kari
1 cawan santan pekat
4 biji bawang putih (cincang)
4 biji bawang merah (cincang)
garam & serbuk perasa jika suka
gula
2 biji lada merah
2 biji lada hijau

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga naik bau.
2. Masukkan serbuk kari. (Saya tidak bancuh dengan air). Perlahankan api supaya kari tidak hangus.
3. Masukkan kaki ayam dan gaul rata. Masukkan 400ml air dan tutup periuk supaya kaki ayam cepat empuk.
4. Setelah kaki ayam empuk, masukkan nangka dan diikuti dengan santan pekat.
5. Masukkan garam dan serbuk perasa atau gula.
6. Nangka muda masak kari bersama kaki ayam siap untuk dihidangkan.

Saya memang suka masak kari pekat-pekat.... barulah telinga berasap...

Tiada ulasan: