ADSENSE

Ahad, 16 Januari 2011

Mee Hailam

Pagi Ahad muncul lagi.... cuaca redup, mendung dan hujan renyai-renyai ketika matahari sedang bersinar... hujan panaslah tu.. Seronok sangat bila tiba pagi Ahad, sebab semua ada di rumah. Masing-masing berperanan, mengemas rumah, membasuh itu ini dan sebagainya di samping berkelahi...anak-anaklah tu. Yang paling seronok tentulah saya, turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi dan sekeluarga akan menikmatinya bersama-sama.....oh.. teringat bonda yang jauh di sana... dulu kami 9 beradik duduk mengelilingi sarapan pagi, bonda akan bagi sama rata, tapi kini bondaku kesepian. Tiap kali masa terluang, bila ditelefon, katanya sedang duduk termenung di depan tangga rumah... tunggu siapa ye...tunggu anak cucu datang... maklum, masing-masing sibuk dengan urusan. harap-harap pagi Ahad ini bondaku sudah dikelilingi oleh cucu-cucu yang dikasihinya. Mengenang keadaan bonda, saya sangat insaf dan saat-saat bersama keluarga begini, sangat saya hargai.... Pagi ini saya buatkan anak-anak mee hailam. Saya sendiri memang sangat gemar makan mee hailam. Semasa belajar di salah sebuah sekolah berasrama di Kelang, Selangor, kami dibenarkan keluar 1 kali setiap dua minggu pada petang Jumaat. Apalagi, biasanya saya bersama kawan-kawan terutamanya Kasmah (entah di mana Kasmah sekarang), pergilah ke gerai entah apa namanya (dah lupa)...order mee hailam...weiiiii... teringat telurnya yang separuh masak cantik berkilat.... sepinggan seringgit 70 sen je...



Bahan-bahan: (untuk  5 orang)
400 gram mee kuning
200 gram hati ayam segar (potong-potong)
15 ekor udang kertas (buang kepala)
1/2 biji lobak merah (potong-potong)
3 tangkai sayur sawi (potong-potong)
2 sudu cili kisar
2 sudu sos tiram
2 sudu kicap cair
2 sudu sos tomato
5 biji bawang putih (cincang)
1/2 biji bawang besar (cincang)
2 sudu tepung jagung (bancuh dengan air)
1 sudu serbuk pati ayam
3 biji telur ayam
1 cawan air
minyak
lada jeruk

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah  serta lada kisar hingga naik bau.
2. Masukkan hati ayam dan biarkan masak. Masukkan sedikit air jika terlalu kering.
3. Masukkan lobak dan udang. Biarkan seketika.
4. Masukkan mee diikuti dengan sos tiram, kicap cair dan sos tomato.
5. Masukkan 1 cawan air dan alihkan bahan-bahan mee hailam ke tepi kuali. Biarkan kuah ditengah-tengah dan mendidih.
6. Pecahkan telur dan masukkan ke dalam kuah yang mendidih sebiji demi sebiji. hati-hati jangan sampai pecah... tapi kalau pecah pun tak apa, boleh makan jugak kan....sesetengah orang tak masukkan telur, tapi saya suka...saya masukkan je ...
5. Sementara menunggu telur separuh masak, tuangkan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit di sekeliling mee untuk memekatkan kuahnya.
6. Taburkan serbuk pati ayam.
7. Mee hailam siap untuk dihidangkan. Jika suka, makanlah dengan lada jeruk.

Tiada ulasan: