ADSENSE

Khamis, 13 Januari 2011

Ikan Belawis Masak Brengkes

Mungkin ada di antara anda baru pertama kali mendengar nama ikan belawis. Kalau di Sabah, memang itulah namanya. Namun begitu, keluarga sebelah suami menamakannya ikan 'menyerat'. Barangkali sekiranya anda terus membaca catatan saya hingga ke bawah dan memang saya masukkan gambar ikan belawis itu, anda mungkin menamakannya dengan gelaran tertentu....... Tak kisahlah nama apa pun, yang penting ikan ini sangat sedap jika digoreng atau dipanggang. Mak mentua saya suka masak 'brengkes'..., dan sebenarnya saya pun baru tahu istilah brengkes selepas berkahwin. Pertama kali saya mencuba brengkes ikan 'menyerat' masakan mak mentua, saya rasa masakan ini penuh dengan asam jawa... masam, masin.... tetapi ada aroma yang agak asing pada saya. Masakan ini selalu dihidangkan semasa kenduri kesyukuran, cukur rambut dan sebagainya dalam kalangan masyarakat Melayu Cocos. Semenjak mak mentua saya kembali dijemput oleh-Nya, lebih 4 tahun yang lalu, saya tidak pernah lagi menikmati masakan ini.....pernah sekali saya cuba masak tapi tersalah resepi. Saya gunakan kari, bila sudah masak, lain pula rasanya. Petang ini, sementara menunggu suami pulang dari tempat kerja serta anak dari sekolah, saya cuba ambil kesempatan untuk memasaknya walaupun banyak kekurangannya di sana-sini.... setelah siap, saya hidangkan di atas meja dan menunggu komen daripada suami tentang masakan brengkes saya ini...


Ada yang sedikit lain dalam masakan brengkes ikan saya ini. Biasanya saya tengok, brengkes yang mak mentua buat warnanya kuning tapi kenapa brengkes saya lebih kepada warna merah.... satu sudu besar saya masukkan kunyit, saya fikir selepas masuk santan, warnanya berubah kuning tapi tidak juga... saya tambah lagi satu sudu besar... sama juga... masuk satu sudu lagi ke...... alamat jadi ikan masak kunyit nanti... suami saya kata memang ada rasa brengkes tapi katanya, mungkin mentua saya tidak campur lada kering... tapi saya rasa beliau gunakan lada kering. Tak apalah, saya cuba tanya rakan-rakan kaum Cocos kemudian, yang penting sekurang-kurangnya percubaan kali kedua brengkes ikan saya ini menjadi dari segi rasanya.... mari kita lihat bahan-bahan masakan brengkes yang memang lain dari yang lain ini...


Bahan-bahan:
1 ekor ikan belawis seberat 350 gram
1/2 cawan santan pekat
2 sudu serbuk kunyit
1 sudu pati asam jawa
1 biji limau nipis
garam & perasa (jika suka)
minyak

Bahan-bahan untuk dikisar:
10 biji lada kering
1 genggam ketumbar biji
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah

Cara:
1. Bersihkan ikan dan potong 2. Goreng separuh masak dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan serbuk kunyit
4. Masukkan pati asam jawa.
5. Masukkan ikan. Taburkan garam dan perasa. Api jangan terlalu kuat.
6. Masukkan santan pekat dan biarkan sehingga pecah minyak.
7. Perahkan air limau nipis.
8. Siap untuk dihidangkan.
Rasanya memang berbeza dari masakan biasa kerana masakan ini menggunakan ketumbar!

Tiada ulasan: