ADSENSE

Rabu, 12 Januari 2011

Ikan Baulu Masak Masam Manis

Sebenarnya saya hanya mengenali ikan baulu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak pernah membelinya walaupun banyak dijual di pasar. Suatu hari jiran sebelah rumah memberikan kami sepotong ikan baulu panggang, tetapi hanya suami sahaja yang makan. Kali kedua jiran kami memberikan ikan yang sama dengan cara memasak yang sama, suami saya seorang juga yang makan. Kali ketiga, pemberian ikan yang sama dan dipanggang juga, saya mencicipi sedikit.... hmmm... lemak dan rasanya pun boleh tahan. Sejak dari peristiwa itu saya menjadikan ikan baulu sebagai salah satu hidangan keluarga. Ada nama lain untuk baulu misalnya belanak sembawa, dan kalau tidak silap saya orang Filipina memanggilnya ikan 'bangos' . Dalam bahasa Inggeris pula disebut 'milkfish'.

Anak-anak memang suka sangat makan ikan masak sos terutama yang mempunyai rasa masam manis. Dengan menggunakan bahan yang sedia ada di dapur, saya dapat menghasilkan resepi ciptaan saya sendiri iaitu baulu masak masam manis. Saya tidak menggunakan sos tomato atau sos cili tetapi menggantikannya dengan sos tiram masam manis. Saya juga membuang tulang ikan baulu untuk memudahkan anak-anak memakannya ....

Bahan-bahan:
1 ekor ikan baulu (ikan baulu saya besar dan seberat 1kg, saya ambil bahagian ekor sahaja)
1 biji telur
6 sudu tepung jagung
secubit garam

Bahan untuk sos:
1 mangkuk kecil kiub nanas
3 biji lada hijau (dihiris)
3 biji lada merah (dihiris)
4 ulas bawang putih (dimayang halus)
4 ulas bawang merah (dimayang halus)
1 inci halia muda (dimayang halus)
3 sudu sos tiram masam manis
1 sudu sos ikan
2 sudu gula pasir
1 sudu cuka makan
minyak
1 sudu tepung jagung (bancuh dengan sedikit air)

Cara menggoreng ikan:
1. Ikan dibersihkan dan dibelah dari bahagian depan. Buangkan tulang.
2. Lumurkan ikan dengan sedikit garam.
3. Pukul sebiji telur dan gaul dengan ikan.
4. Lumurkan seluruh bahagian ikan dengan tepung jagung.
5. Panaskan minyak dan goreng hingga garing. Angkat dan toskan.

Cara membuat sos:
1. Panaskan sedikit minyak. Goreng bawang putih,bawang merah dan halia hingga naik bau.
2. Masukkan lada merah dan lada hijau dan kacar hingga pecah minyak.
3. Masukkan sos ikan, sos tiram masam manis, garam. gula dan cuka diikuti dengan kiub nanas. Jika terlalu kering masukkan sedikit air. Kacau sehingga mendidih.
4. Untuk memekatkannya, masukkan bancuhan tepung jagung.
5. Sos masam manis siap dan tuang ke atas ikan.

Tiada ulasan: