ADSENSE

Ahad, 30 Januari 2011

Ayam Panggang Oregano Dengan Sos Lada Hitam

Salah satu khasiat lada hitam ialah dapat memanaskan badan. Biasanya ibu-ibu yang sedang dalam berpantang selepas bersalin, akan dihidangkan dengan sup atau makanan panggang yang mengandungi lada hitam. Menurut sumber sejarah yang pernah saya baca mengenai pemaklukan wilayah timur oleh penjajah barat ialah hasil lada hitam amat diperlukan untuk dijadikan salah satu bahan dalam masakan  dan dapat memanaskan badan di musim sejuk. Marilah kita bersyukur dengan segala khazanah alam kurniaan Allah yang tak terhitung banyaknya. Dijadikannya kita pelbagai bangsa, rupa dan warna kulit supaya dapat kenal mengenal sesama kita. Diberinya kita akal fikiran untuk digunakan ke jalan kebaikan. Banyak rahsia di segenap penjuru alam yang belum atau tidak kita ketahui. Kalau orang barat berminat dengan rempah ratus dari tanah Asia, apa salahnya kita mengenali serba sedikit tentang herba mereka pula. Sebut tentang 'oregano' tentu tak ada apa-apa kisah bagi yang biasa, tapi bagi yang belum mengenalinya, sesekali cubalah gunakannya dalam masakan. Bukan masakan atau orang Italy dan Mexico sahaja yang boleh gunakan herba 'oregano' dalam hidangan mereka. Tidak salah kalau kita mencuba.... dan di musim sejuk (hujan) eloklah panaskan badan dengan mencampurkan sedikit lada hitam dalam masakan..


Bahan-bahan:
3 keping bahagian paha ayam
1 biji lemon (ambil jusnya)

Bahan untuk memerap:
2 sudu makan sos BBQ
2 sudu makan Lea & Perrins Worcestershire Sauce
3 ulas bawang putih (cincang)
2 sudu makan lada hitam(tumbuk)
2 sudu makan serbuk oregano
2 sudu makan minyak zaiton

Bahan untuk sos lada hitam:
3 ulas bawang putih (cincang)
1 labu bawang besar (potong dadu)
2 sudu lada hitam (tumbuk)
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap ABC Heinz
1 sudu tepung jagung
garam
minyak


Cara:
1. Perap ayam dengan semua bahan pemerap dan perahkan jus lemon ke atasnya. (Jika tidak suka masam, gunakan sebahagian sahaja)
2. Perap ayam selama 2 jam.
3. Panggang ayam - saya gunakan kuali serba guna untuk memanggang.
4. Lebihan minyak ayam panggang saya gunakan untuk menumis bawang putih dan bawang besar.
5. Campurkan sos tomato, lada hitam, tepung jagung, garam dan kicap dan gaul rata dengan menggunakan 75ml air.
6. Masukkan bahan campuran sos tadi ke dalam kuali dan kacau rata bersama bawang putih dan bawang besar yang digoreng.
7. Jika sudah cukup pekat (ikut suka), bolehlah tutup api.
8. Tuangkan sos lada hitam ke atas ayam panggang oregano tadi.

Komen suami: ayam panggang oregano terasa lebih lazat kerana bahan perap meresap masuk dan dagingnya terasa enak... terutama rasa lemonnnnn....mmmmm. Ayam panggang ni patutnya makan dengan kentang panggang dan salad tapi kakak saya (dia memang banyak mengembara di negara barat) kata bolehlah sesuaikan dengan selera kita, saya jadikannya sebagai lauk nasi tomato...


Tiada ulasan: