ADSENSE

Isnin, 27 Disember 2010

Ikan Patin Masak Asam Pedas

Pernah sekali saya masak ikan asam pedas ikan tenggiri dan ketika dihidangkan mak mentua saya bertanya....  inikah asam pedas semenanjung? Saya terpinga-pinga sesaat kerana keliru memikirkan rupa masak asam pedas yang sebenar.  Rasanya sudah cukup lengkap asam pedas saya dengan segala bahan-bahannya. Dari situ saya mula memahami keunikan dalam kelainan budaya hidup sebelah suami saya. Hidup bersama suku kaum yang berbeza perlu saling menghormati dan bertoleransi dalam apa jua bentuk budaya mereka. Hinggalah suatu hari ketika saya berkunjung ke kampung dan mak mentua saya sedang masak ikan lawang. Katanya masak asam pedas. Saya pun bertanya apa bahan-bahannya. Beliau dengan penuh girang mengajar saya memasak asam pedas ikan lawang.  Ikan krokok (agaknya ikan baung... krokok ialah sebutan orang Cocos) dan ikan patin pun sedap masak asam pedas... itu kata beliau. Walaupun beliau telah tiada lagi, sekali sekala saya akan memasak asam pedas cara beliau terutamanya untuk ikan patin. Mari kita lihat sama-sama masak asam pedas yang beliau perturunkan kepada saya.


Bahan-bahan yang digunakan untuk asam pedas ikan patin ini lebih ringkas berbanding bahan yang kita gunakan untuk memasak asam pedas biasa. Selalunya kita perlu kisar lada kering tetapi kali ini cara penyediaannya jauh lebih mudah.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan patin seberat 600 gram
10 biji cili padi
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
sedikit belacan
1 sudu kecil pati asam jawa
minyak
garam
serbuk perasa (jika suka)

Cara:
1. Bersihkan ikan patin dan potong ikut suka.
2. Tumbuk cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan.
3. Panas sedikit minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
4. Bancuh pati asam jawa dengan 2 cawan air dan didihkan bersama bahan yang ditumis.
5. Masukkan ikan.
6. Bubuh garam bersama serbuk perasa (jika suka)
7. Siap.

Tiada ulasan: