ADSENSE

Jumaat, 31 Disember 2010

Nasi Ayam 2010

Nasi ayam ini merupakan resepi terakhir saya sebelum menjelang tahun baru 2011. Saya masak nasi dengan cara mengukus kerana dengan cara ini tidak perlu risau nasi menjadi lembik atau mentah dan boleh memasak dalam kuantiti yang banyak. Keluarga sebelah suami datang ke rumah, jadi saya memilih menu nasi ayam sebagai hidangan. Menyediakan nasi ayam lebih mudah berbanding makanan berlauk yang memerlukan beberapa jenis resepi. Kebetulan pula pada sebelah petang saya ada beberapa urusan dan agak lewat pulang ke rumah. Syukurlah selesai sahaja mereka membaca Surah Yasin beramai-ramai, nasi pun masak...panas-panas lagi tu...


Saya menyediakan untuk seramai 28 orang ahli keluarga termasuk kami anak beranak di rumah. Sukatan nasi ayam saya lebih dari cukup untuk semua. terpulanglah ikut sukatan masing-masing. Asas memasak nasi ayam bolehlah ikut cara seperti di bawah. Tidak semestinya kena masak dengan pengukus, boleh gunakan rice cooker atau masak di atas dapur gas. Jangan risau pasal pengukus kalau tak ada .....

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam (direbus untuk mendapatkan air rebusannya)
15 cawan beras
5 ulas bawang putih (hiris nipis)
halia (hiris nipis) 
bunga lawang
kayu manis
buah pelaga
4 kiub pati ayam
5 sudu marjerin
daun pandan

Cara:
1. Panaskan kuali saiz besar. Masukkan marjerin dan goreng bawang putih, halia, bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga dan kiub ayam. (Sementara itu didihkan air dalam pengukus )
2. Masukkan air rebusan ayam. Biarkan terus mendidih.
3. Masukkan beras. Takat air mesti melebihi beras supaya beras boleh mengembang. Masukkan daun pandan. gaul rata sehingga beras kembang dan mengering.
4. Buka penutup periuk pengukus yang sedang mendidih. Masukkan nasi / beras tadi ke dalam kukusan. Tutup rapat. Biarkan selama 20 minit.
5. Buka penutup periuk pengukus dan balik-balikkan nasi supaya masak sekata. Sekiranya nasi masih belum masak, siram dengan air rebusan ayam yang masih panas. Tutup rapat antara 10 hingga 15 minit.
6. Apabila masak, bolehlah diangkat.

Tiada ulasan: