ADSENSE

Selasa, 21 Disember 2010

Ikan Putih (Cupak) Masak Sweet & Sour

Saya berhasrat untuk mengurangkan pengambilan ayam dan daging dalam diet kami sekeluarga. Anak-anak memang paling suka makan ayam goreng. Memang mudah menyediakan ayam goreng tetapi apabila saya menyedari khasiat ikan yang tidak boleh disangkal terutama pengambilan semasa pertumbuhan anak-anak, jadi saya bersama suami sepakat untuk mengurangkan bekalan ayam dalam diet kami. Kajian saintis mendapati ikan merupakan sumber makanan yang penting dalam gizi makanan kita. Zat nutrien yang terdapat di dalamnya boleh mencegah daripada pelbagai penyakit. Masya-Allah, sesungguhnya Allah terlebih dahulu memberi petunjuk dan peringatan  tentang khasiat ikan dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:
 'Dan Dialah, Allah yang memudahkan keadaan laut, supaya dengan itu kamu dapat daging yang lembut (lahman tariyya) hidup-hidup sebagai makanan kamu.' (Surah al-Nahl 16:14).
 Firman Allah s.wt lagi yang bermaksud: 'Dihalalkan bagi kamu tangkapan haiwan laut dan dagingnya sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang yang dalam pelayaran.' (Surah al- Ma'idah 5:96)
Antara lain tentang kehebatan ikan ialah ia mengandungi asid lemak omega 3, mencegah penyakit kardiovaskular, bermanfaat untuk bayi juga untuk sendi dan tulang serta membantu perkembangan otak dan urat saraf dengan berkesan. Selain itu daging ikan juga membantu pembentukan gigi dan gusi yang baik, membuatkan rambut lebih segar serta menguatkan sistem pertahanan badan. Pengambilan ikan yang seimbang turut mengurangkan gejala-gejala penyakit migrain, mengurangkan risiko penyakit lupus, ulcerative colitis dan juga kencing manis. Bagi golongan tua ikan mampu memperlahankan penyakit osteoporosis iaitu tulang ringan dan reput. Ikan: satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah kepada hamba-Nya.



Saya kurang pasti apa nama ikan ni...penjual ikan kata ikan putih. Sya rasa bukan, mungkin ada nama lain misalnya ikan cupak atau cecupak. Suami kata ikan ini sewaktu dengan ikan putih juga... tak kisahlah yang penting ikan seberat 1kg +100 gram ini sudah terbaring dalam sinki dapur saya. Anak-anak pun tentu rasa bosan kalau asyik makan ikan dengan resepi yang sama setiap hari.  Jadi saya pun cuba masak ikut hati dan fikiran saya menggunakan bahan-bahan yang seadanya...kononnya masak sweet & sour.

Ikan putih @ cupak sudah terhidang. Kuahnya saya sengaja buat cair sedikit sebab anak-anak memang gemar dengan kuahnya tu...wokey di bawah ini saya perturunkan ilmu memasak ikan putih @ cupak sweet & sour.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan putih @ cupak atau ikan lain yang sesuai
lada benggala warna kuning, merah dan hijau
kiub nenas
1 labu bawang besr
5 biji bawang putih
5 biji bawang merah
bunga kantan
halia muda
3 sudu sos cili
3 sudu sos tomato
1 sudu sos ikan
1 sudu kicap ABC Heinz
minyak
tepung jagung
garam
gula

Cara:
Bersihkan ikan. (Saya potong 2 sebab nak goreng seekor kuali tak muat.) Lumurkan ikan dengan sedikit garam dan tepung jagung. Goreng dalam minyak yang banyak dan panas supaya hasilnya cantik dan masak sepenuhnya. Apabila masak, angkat dan toskan. Tumbuk halia, bawang putih, bawang merah dan bunga katan hingga lumat. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan tadi. Masukkan sos cili, sos tomato, sos ikan, kicap dan masukkan 1 cawan air panas. Didihkan seketika. Masukkan sedikit tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air untuk memekatkannya. Diikuti dengan cili benggala merah, kuning, hijau dan kiub nenas. Sekiranya kurang manis boleh tambah gula. Jika kurang masam boleh tambah plum sos. Tuangkan sos tadi ke atas ikan.

Tiada ulasan: